Anda di halaman 1dari 5

TUGASAN 3: PENULISAN AKADEMIK

Richey (1986) mendefinisikan reka bentuk pengajaran (RP) sebagai sains untuk mencipta
spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan
suatu keadaan yang dapat memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau
besar dalam sesuatu subjek. Menurut Andrews dan Goodson (1980) dalam Yusup (1998),
mereka telah mengkaji 40 model RP dan kebanyakan model RP adalah sama. Perbezaannya
ialah dari segi istilah yang digunakan, untuk siapa, bila dan cara model itu direka bentuk dan
digunakan (Briggs, Gustafon, & Tillman, 1991).

Gustafson (1991) telah membahagikan model-model tersebut kepada tiga jenis, iaitu
model berorientasikan bilik darjah, model berorientasikan produk dan model berorientasikan
sistem (Rujuk Lampiran 1.0). Model RP berorientasikan bilik darjah lazimnya tidak menggalakkan
guru membina bahan. Guru hanya memilih media yang sesuai dengan objektif pembelajaran dan
rancangan pengajarannya sebelum masuk ke bilik darjah. Contoh model RP berorientasikan bilik
darjah adalah model ASSURE (1996), model Kemp (1985) dan model Dick dan Reiser (1989).

Untuk melancarkan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran, guru boleh


mengaplikasikan Model ASSURE sebagai panduan untuk merancang penggunaan media dalam
pengajaran. Model ini telah diperkenalkan oleh Heinich, Molanda, Russell (1989). Singkatan
akronim ASSURE telah ditunjukkan dalam Peta Minda 1.

Fasa pertama dalam model ASSURE ialah analisis pelajar. Sebelum memulakan proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru perlu mengetahui ciri-ciri umum murid seperti umur,
etnik, jantina, keadaan mental, emosi, fizikal dan sosioekonomi. Guru juga hendaklah mengambil
kira kompetensi khusus peringkat masuk, kemahiran dan pengetahuan sedia ada yang berkaitan
dengan topik pembelajaran. Gaya pembelajaran murid juga hendaklah diperhatikan oleh guru
sama ada murid tersebut belajar berdasarkan lisan, logik, visual, muzikal dan sebagainya.
Sekiranya murid menghadapi masalah terhadap subjek tertentu, guru hendaklah menukar corak
pengajaran. Analisa terhadap murid menjadi sukar apabila murid adalah baru bagi guru. Jadi
guru perlu memakan tempoh sedikit bagi membuat pemerhatian (Abd. Rahman, 1999).
Pencapaian akademik dan rekod murid dapat membantu guru untuk lebih mengenali mereka.

Penentuan objektif juga penting bagi memastikan kelancaran PdP di bilik darjah. Objektif
merupakan hasil pembelajaran yang dikehendaki iaitu apa yang murid akan peroleh di akhir sesi
pengajaran dan pembelajaran (Goh, 2009). Objektif yang ditetapkan juga hendaklah fokus
kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap baru untuk dipelajari di samping memastikan selari
di antara alat dengan aktiviti pengajaran. Pencapaian objektif lazimnya dapat diukur melalui ujian
seperti ujian sumatif dan ujian formatif.

Fasa ketiga dalam Model ASSURE ialah pilih kaedah, media dan bahan. Terdapat tiga
langkah dalam pemilihan, iaitu menentukan kaedah yang sesuai dengan tugasan pembelajaran,
memilih media yang sesuai untuk melaksanakan kaedah yang dipilih dan memilih, mengubahsuai
atau mereka bentuk media yang telah ditentukan. Bagi pemilihan kaedah, guru hendaklah
memastikan kaedah yang dipilih adalah berkait rapat dengan objektif, standard pembelajaran dan
kumpulan sasaran pelajar. Terdapat dua aspek penting dalam pemilihan media, iaitu memilih
media yang telah tersedia dan keduanya ialah memilih format atau bentuk media yang belum
ternyata mesej di dalamnya. Kriteria pemilihan media amat dititikberatkan berdasarkan pada
lapan kriteria tersebut (Rujuk Peta Minda 2). Bagi mereka bentuk media pula, guru hendaklah
mengambil kira tujuh perkara, iaitu objektif, pelajar, kos, kepakaran teknikal, peralatan, fasiliti dan
masa.

Fasa yang seterusnya ialah gunakan media dan bahan. Fasa ini melibatkan penggunaan
media dan bahan yang telah dipilih dalam fasa sebelumnya. Guru hendaklah mengkaji semula
bahan yang telah dipilih sebelum menggunakannya dalam kelas di samping menggunakan
peralatan terkini supaya media yang dipilih boleh berfungsi dengan lancar. Fasa ini merupakan
fasa yang amat kritikal kerana kadangkala jika perkakasan dan perisian gagal berfungsi atas
pelbagai alasan, ia akan memberi kesan yang amat negatif kepada pembelajaran (Noriati, Boon,
Sharifah, & Wan, 2012). Oleh itu, terdapat lima langkah bagi penggunaan media yang baik, iaitu
pribiu bahan, sediakan bahan, sediakan persekitaran, sediakan pelajar dan sediakan
pengalaman pembelajaran.

Selain itu, penglibatan pelajar juga telah ditekankan dalam Model ASSURE. Guru
haruslah memastikan penglibatan pelajar secara aktif dalam proses PdP. Bagi murid yang
bersikap pasif, guru hendaklah menggunakan pelbagai kaedah untuk menggalakkan penglibatan
mereka dalam aktiviti perbincangan, kerja kumpulan, hands-on dan sebagainya. Hal ini kerana
pembelajaran berfokus kepada proses mental secara dalaman dapat menyokong kepada
keberkesanan pembelajaran melalui manipulasi maklumat yang ada. Maklum balas turut
ditekankan dalam fasa ini kerana proses pembelajaran berlaku sekiranya terdapat tindak balas
daripada murid. Maklum balas yang diberikan oleh murid juga dapat memudahkan guru untuk
menyediakan latihan pengukuhan dan pengayaan.
Fasa terakhir dalam Model ASSURE ialah menilai dan menyemak bahan pengajaran.
Penilaian ialah proses membuat pertimbangan nilai tentang sesuatu perkara. Keputusan
penilaian akan mempengaruhi keputusan yang diambil terhadap perkara yang dinilai. Lagipun,
penilaian merupakan satu proses yang berterusan kerana berlaku sebelum, semasa dan selepas
pengajaran. Penilaian melibatkan aspek seperti menilai pencapaian murid, pembelajaran yang
dihasilkan, menilai media dan kaedah, kualiti media, penggunaan guru dan murid.

Tuntasnya, menurut kajian Zaleha & Suhanim (2010) dalam Rafiza (2013), model
ASSURE telah berjaya menghasilkan bahan yang baik dari aspek isi kandungan, penilaian,
maklum balas, pembelajaran kendiri, komuniti pembelajaran, pedagogi dan navigasi sehingga
menyebabkan proses PdP dapat dijalankan secara fleksibel dan efektif.
Lampiran

Tumpuan Jenis Sumber Individu Bina atau Taksiran Percubaan Sebaran


Model Output Komited atau Pilih Keperluan dan ulang
Untuk Bina Pasukan Bahan kaji
Bahan

Orientasi Satu/dua Sangat Individu Pilih Rendah Rendah ke Tiada


Bilik Darjah waktu rendah sederhana
Orientasi Pukul Tinggi Individu Bina atau Rendah Sangat Tinggi
Produk Pengajaran ke pilih ke Tinggi
Kendiri pasukan sederhana
Orientasi Kursus untuk Tinggi Pasukan Bina Sangat Sederhana Sederha
Sistem tentera, tinggi ke tinggi na ke
kolej,sekolah tinggi
Sumber: Gustafson: Survey of Instructional Design Models (1991)

Rajah 1.0 Taksonomi Model Pengembangan Pengajaran Berasaskan Ciri-ciri Terpilih


RUJUKAN

Abd. Rahman, D. (1999). Teknologi Pendidikan. Cheras: Edusystem Sdn. Bhd.


Briggs, L., Gustafon, K., & Tillman, M. (1991). Instructional Design. New Jersey: Educational
Technology Publications.
Goh, B. C. (2009). Pengurusan Teknologi Maklumat dalam Pendidikan. Ipoh: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Gustafson, K. (1991). Survey of Instructional Development Models. United Stated: Public Domain.
Noriati, A., Boon, P. Y., Sharifah, F. S., & Wan, K. W. (2012). Teknologi Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Rafiza, A. R., & Maryam, A. R. (2013). Pembinaan Media Pengajaran Berasaskan Multimedia di
Kalangan Guru ICTL. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 1(2), 2-31.
Diakses pada 25 Julai 2017, dari https://pdfs.semanticscholar.org
Richey, R. (1986). The Theoritical and Conceptual Bases of Instructional Design. New York:
Nichols Publishing Co.
Wan Abdul, K. W., Ramlah, H., & Rosini, A. (2005). HBEF 3103 Prinsip Teknologi Pengajaran.
Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.
Yusup , H. (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.