Anda di halaman 1dari 10

1.

0 Tugasan 1
Profesion perguruan adalah satu profesion yang sangat mulia dan amat penting dalam
proses perkembangan manusia, masyarakat dan negara. Di zaman teknologi yang serba maju
dan canggih ini, peranan dan tanggungjawab guru semakin mencabar. Guru memainkan
peranan yang sangat penting dalam memberi kesedaran pada diri sendiri dan masyarakat serta
hubungannya dengan Tuhan. Guru yang baik adalah seorang guru yang mempunyai sahsiah
yang baik dan juga mengamalkan etika keguruan yang standard. Mereka dapat membuat
pilihan yang tepat dan tekal kerana kesemua yang menjadi pilihannya adalah berdasarkan
kepada integriti dengan berpandukan asas- asas moral, etika dan akhlak mulia yang disediakan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Guru sebegini dipanggil sebagai seorang yang
profesional. Menurut Akhiar Pardi et.al (2015), guru yang profesional merupakan guru terlatih
yang telah mendapat latihan ikhtisas dalam latihan perguruan dalam tempoh masa yang
tertentu.

Sehubungan dengan itu, dalam profesion perguruan terdapat lima peringkat


perkembangan guru sepertimana yang dinyatakan oleh Trotter pada tahun 1986. Antara lima
peringkatnya ialah guru novis, guru novis lanjutan, guru cekap, guru mahir dan guru pakar. Di
setiap peringkat ini, guru akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi guru pakar dimana ianya
merupakan peringkat terakhir dalam peringkat perkembangan guru. Guru pakar merupakan
guru yang sememangnya menjadi sumber rujukan kepada guru- guru yang berada di peringkat
yang sebelumnya terutamanya kepada guru novis dan guru novis lanjutan. Guru pakar ialah
guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dan sentiasa
berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan bertanggungjawab, khususnya
dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Mereka mempunyai sahsiah yang terpuji,
berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam
serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar.

Guru- guru pakar juga merupakan pemimpin yang profesional dalam kalangan
masyarakat. Kepimpinan adalah keupayaan seseorang individu untuk mempengaruhi,
memotivasikan dan membolehkan orang lain menyumbang ke arah keberkesanan dan
kejayaan sesebuah organisasi. Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan mewujudkan iklim
pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan. Guru yang mempunyai sifat kepimpinan
yang tinggi sentiasa dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin.
Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya dan kepimpinan seorang guru.
Kepimpinan berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti bilik
darjah. Kepimpinan guru dalam bilik darjah dianggap sebagai himpunan kemahiran seseorang
guru selain daripada mengajar.

Rentetan itu, sebagai seorang pemimpin profesional guru pakar menguasai ilmu
pengetahuan yang sangat mendalam. Mereka mempunyai pengetahuan yang sangat luas
dalam bidang tugasnya terutamanya pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK). PPIK adalah
konstruk yang digunakan untuk menjelaskan bidang pengetahuan guru mengenai isi kandungan
dan pedagogi. Ini termasuk guru pakar mempunyai pengetahuan tentang bagaimana tajuk-
tajuk tertentu dalam sesuatu mata pelajaran perlu diajar dengan menggunakan teknik- teknik
tertentu bersesuaian dengan tajuk yang diajar. Sehubungan dengan itu, guru- guru pakar tahu
mengenai cara- cara menyusun, menyembahkan dan menyesuaikan isi kandungan tajuk
berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar untuk memahami tajuk berkenaan.
Secara tidak langsung mereka dapat membantu seseorang pelajar memahami sesuatu mata
pelajaran dengan baik. Hal ini adalah kerana, guru pakar dapat memberi contoh, membuat
analogi yang sesuai, mengadakan pelbagai aktiviti dan tunjuk cara untuk memberi kefahaman
kepada pelajar.

Guru pakar mempunyai ilmu yang lebih luas tentang konsep dan tujuan mengajar
sesuatu mata pelajaran, kefahaman pelajar tentang mata pelajaran tersebut, kurikulum dan juga
strategi pengajaran yang sesuai dengan tahap pelajar. Mereka berupaya menjana idea baru
dan melaksanakan idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.Hal ini sangat
berbeza dengan guru- guru novis dan guru novis lanjutan. Mereka tidak punyai banyak ilmu
pengetahuan tentang perkara- perkara begini walaupun mereka mendapat latihan
perkhidamatan untuk masa yang tertentu. Hal ini adalah kerana, guru novis dan novis lanjutan
mempunyai pengalaman mengajar yang kurang berbanding guru pakar. Guru pakar mempunyai
pengalaman yang sekian lama sehingga mereka menjadi handal dalam menangani pelbagai
situasi menggunakan ilmu yang sedia ada. Guru pakar juga seringkali diberi tugas untuk
menggubal kertas soalan kerana mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam. Guru
pakar sering menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran kepada guru novis dan guru
novis lanjutan. Hal ini adalah kerana guru pakar mampu mengenalpasti keperluan dan masalah
pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan. Guru pakar juga berupaya
untuk meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) dan membangunkan potensi
pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain ilmu pengetahuan yang mendalam, guru pakar sebagai pemimpin profesional
mempunyai kecekapan dan kepakaran dalam bidang tertentu. Guru pakar ialah guru yang
menguasai dan menghayati sepenuhnya kandungan mata pelajaran yang mereka mempunyai
kepakaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran,
berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Mereka
pakar dalam mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran (PdP) mereka dalam masa yang dirancang. Perkara sebegini tidak dapat
dilaksanakan oleh semua guru pada setiap masa. Hal ini adalah kerana, guru pakar mahir dan
cekap dalam menguruskan masa mereka. Mereka tidak akan membazirkan masa sewenang-
wenangnya. Sehubungan dengan itu, mereka tidak akan menyediakan bahan sumber atau
bahan bantu mengajar yang melibatkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang lama untuk
menyediakannya. Malah guru pakar akan menyediakan bahan sumber yang paling mudah
untuk menyediakan tetapi berkesan dan membantu sepanjang proses PdP.

Guru pakar ialah guru yang memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi serta
berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi dan
forum. Kemahiran komunikasi merupakan asset yang sangat penting kepada seseorang yang
bergelar sebagai guru sama ada komunikasi dengan murid, guru- guru lain dan seluruh warga
sekolah. Kemahiran komunikasi merupakan kemahiran untuk berhubung dengan orang lain.
Aspek ini melibatkan penggunaan beberapa kemahiran seperti pendengaran yang aktif dan
kawalan nada suara. Maka, kemahiran ini dapat dilihat pada diri seseorang dalam sifat
kepimpinannya dan bagaimana beliau membahagi- bahagikan tanggungjawab atau tugas
dengan rakan sejawatnya. Jadi, penguasaan terhadap kemahiran ini dapat menggambarkan
sebaik mana seseorang itu berkomunikasi dengan seseorang dan bagaimana pembawaan diri
dalam urusan seharian yang melibatkan orang lain. Di sini, kemahiran ini dilihat dalam
beberapa aspek kemahiran seperti kemahiran bukan lisan,kemahiran menyampaikan idea
secara lisan dan bertulis dengan berkesan serta berkebolehan berinteraksi secara berkesan.
Disebabkan mereka mahir dan cekap dalam berkomunikasi, guru pakar tahu cara
berkomunikasi dengan orang lain secara berkesan. Mereka tidak akan berasa panik semasa
mengendalikan sesuatu situasi di sekolah. Penyampaian maklumat juga sangat mudah,
difahami orang ramai, jelas dan tepat. Disebabkan guru pakar memiliki kepakaran dan
kecekapan dalam kemahiran komunikasi, mereka sering akan dijemput oleh agensi luar atau
sekolah- sekolah lain untuk memberikan ceramah, motivasi dan lain- lain lagi.
Di samping guru pakar mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan kecekapan
serta kepakaran yang tinggi, mereka juga berpegang teguh pada kod etika perguruan semasa
bertugas. Kod etika bermaksud garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti,
produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua
aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku
profesion dalam masyarakat. Kod etika merupakan satu set tingkah laku atau tanggungjawab
guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa mereka. kod etika
ini dianggap penting kepada guru kerana ia sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh semua
guru. Kod etika dalam bentuk dokumen membantu guru- guru menyemak semula kod tersebut.
Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh
dipertahankan dan dikuatkuasakan. Seseorang guru dapat meningkatkan lagi imej profesion
perguruan secara hitam putih dan rasmi. Hal ini dapat membuka mata masyarakat untuk
menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai
matlamat pendidikan dan negara.

Guru pakar sebagai pemimpin profesional berupaya mengikut kod etika perguruan
dalam apa jua situasi. Sebagai contoh, apabila seorang murid menimpa kemalangan di
hadapan pintu pagar sekolah, guru pakar tahu bagaimana mengendalikan situasi tersebut tanpa
kelam kabut dan menjadi panik. Semua guru akan rujuk guru pakar tersebut kerana mereka
tidak punyai pengalaman dan akan menjadi panik terutamanya guru novis. Guru novis akan
bertindak melulu tanpa berfikir secara rasional akan kesan perbuatan mereka. Manakala guru
pakar pula berupaya bertindak rasioanal dan betul berpandukan kod etika yang telah
ditetapkan. Hal ini dapat mengurangkan pelbagai masalah yang berkemungkinan dihadapi oleh
guru- guru lain di sekolah tersebut. Disebabkan guru pakar terbiasa dengan kod etika
perguruan, maka mereka berupaya mengambil keputusan yang rasional tanpa mengancam
mana- mana pihak. Oleh hal yang demikian, guru pakar ini sentiasa disanjung tinggi oleh guru-
guru lain. Mereka dihormati, dipercayai oleh rakan sejawat dan menjadi pemimpin yang boleh
dirujuk pada bila- bila masa sahaja.

Akhir sekali, guru pakar sebagai pemimpin profesional ini juga bukan sahaja disanjung
tinggi oleh guru- guru sekolah dan murid- murid. Malah masyarakat juga akan menilai dan
memerhatikan setiap yang dibuat oleh guru- guru sebegini dan menjadikannya sebagai teladan.
Setiap tindak tanduk dan sikap guru sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling
terutamanya pelajar dan ibu bapa. Hal ini adalah kerana profesion perguruan merupakan
sesuatu profesion yang sangat dihormati, dipercayai dan juga disanjung tinggi oleh masyarakat
kerana guru bertanggungjawab mendidik anak bangsa supaya bertingkah laku baik dan
barakhlak mulia. Setiap tindakan guru dan keputusan yang diambil oleh guru sentiasa menjadi
perbualan ramai orang. Memandangkan secara umumnya guru pakar mempunyai ilmu
pengetahuan yang sangat luas mengenai semua perkara, mempunyai kecekapan dan
kepakaran yang sangat tinggi dan sentiasa berpegang teguh pada kod etika perguruan, mereka
sentiasa dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Hal ini adalah kerana, guru- guru
pakar ini sentiasa membina hubungan yang baik dengan orang ramai. Mereka berupaya untuk
berbincang dengan ibu bapa murid- murid sekolah tentang pencapaian akademik, membuat
penambahbaikan dengan kerjasama masyarakat dan banyak lagi yang melibatkan masyarakat
setempat. Perkara sebegini membantu meningkatkan kredibiliti guru pakar sebagai pemimpin
profesional. Secara tidak langsung, kepercayaan orang ramai juga akan meningkat terhadap
guru- guru pakar.

Secara kesimpulannya, profesion perguruan mempunyai matlamat untuk membentuk


insan dan ihsan manusia yang sempurna dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Guru
juga berperanan menyediakan seorang individu itu tentang peranan dan tanggungjawabnya di
dalam masyarakat demi mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat
seterusnya membantu negara mencapai kemajuan. Seorang guru itu setaraf dengan pemimpin
dan ketua masyarakat kerana guru berperanan mendidik dan membimbing ahli masyarakat lain
ke arah jalan yang benar dan tidak terpesong dari landasan kehidupan yang baik. Oleh itu,
setiap guru perlu mempunyai tanggungjawab masing- masing dan perlu berusaha menjadi guru
pakar.
2.0 Tugasan 2
Guru memiliki kod etika keguruan demi memartabatkan profesion perguruan. Etika
bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Kod etika
merupakan satu garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti, produktiviti
dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang
berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam
masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menetapkan garis panduan atau kod
etika perguruan di Malaysia agar para guru tidak lari dari landasan serta tidak melakukan
tindakan yang tidak wajar. Tetapi pada zaman materialistik ini, bukan semua guru mematuhi
atau menjalankan tugas berlandaskan kod etika keguruan. Cikgu Y pun salah seorang
daripadanya. Hal ini adalah berdasarkan situasi yang diberikan iaitu, Cikgu Y mempromosi
jualan insuran pendidikan dan hayat dalam kalangan rakan sejawat di sekolah beliau.

Cikgu Y yang mempromosi jualan insuran di sekolah tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatian atau fokus dalam tugas utamanya. Berdasarkan kod etika perguruan, tanggungjawab
utama seseorang guru adalah terhadap anak muridnya. Ini bermaksud ketika guru sedang
menjalankan tugas, perkara lain harus diketepikan buat sementara waktu agar guru dapat
memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajar. Ianya sudah tentu menjadi tanggungjawab
seorang guru untuk melindungi dan menjaga kepentingan pelajarnya terutamanya ketika berada
di sekolah. Apabila Cikgu Y sibuk mempromosikan jualan insurannya, dia tidak dapat memberi
fokus kepada tugas utamanya iaitu sebagai seorang guru. Dia akan lebih mengutamakan kerja
sambilannya kerana kerja tersebut memerlukan Cikgu Y sentiasa bersungguh- sungguh dalam
mencari pelanggan. Contohnya, apabila Cikgu Y sedang mengajar di dalam bilik darjah, tiba-
tiba telefon bimbingnya berdering. Cikgu Y terus menjawab panggilan tersebut dan berurusan
dengan pelanggannya tanpa melupakan anak muridnya di hadapan mata dia. Hal ini
menunjukkan Cigku Y hilang fokus semasa mengajar dan murid- murid telah diabaikan demi
kerja sambilannya.

Di samping itu, Cikgu Y yang mempromosi jualan insuran pendidikan di sekolah juga
sudah tentu akan menghadapi kekangan masa. Hal ini adalah kerana, dia pasti sangat sibuk
menguruskan kerja- kerja insuran walaupun semasa berada di sekolah. Oleh itu, cikgu tersebut
tidak akan sempat untuk menyediakan rancangan pengajaran harian, bahan bantu mengajar
yang menarik kepada murid dan latihan untuk murid- muridnya. PdP yang tidak dirancang ini
akan menyebabkan murid berasa bosan untuk belajar dan tidak berminat dalam pelajaran. Hal
ini akan meyebabkan guru tersebut tidak begitu bersedia dengan PdP dia. Kesannya hanyalah
kepada murid- murid yang belajar dengannya. Mereka tidak dapat memahami apa yang diajar
oleh guru mereka. ia memberi kesan kepada prestasi akademik mereka. Selain itu, disebabkan
cikgu Y sibuk dengan kerja sambilannya di sekolah, maka kemungkinan besar dia masuk ke
kelas lewat setiap kali. Oleh itu, terdapat peluang yang besar kepada murid- murid untuk
melakukan kesalahan disiplin.

Cikgu Y juga menjadi tidak minat untuk mengajar walaupun mengajar menjadi kerjaya
utamanya. Dia akan berasa menjual insuran ini dapat memberi keuntungan berkali ganda
berbanding dengan kerjaya guru. Oleh itu, Cikgu Y akan menumpukan lebih perhatian dan
sangat berminat terhadap mempromosikan jualan insuran pendidikan. Berdasarkan kod etika
perguruan, seseorang guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan tidak boleh
memntingkan diri sendiri. Dalam kes Cikgu Y, dia sangat mementingkan diri sendiri dengan
mengabaikan tugasnya sebagai seorang guru. Dia sanggup membuat kerja lain hanya kerana
mengharapkan gaji yang lumayan. Dia tidak mementingkan tugasnya sebagai seorang guru dan
dan juga melanggar kod etika perguruan. Disebabkan Cikgu Y tidak berminat untuk mengajar,
maka sudah pasti dia tidak akan menyediakan rancangan pengajaran harian sebelum PdP.
Ketiadaan RPH ini akan menyebabkan cikgu tersebut kelam kabut semasa mengajar dan tidak
mengendahkan atau mempedulikan PdP dia. Berdasarkan kod etika perguruan, seseorang guru
boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh
menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal. Tetapi tidak boleh melakukannya pada
waktu persekolahan semasa bertugas.

Sehubungan dengan itu, pandangan masyarakat terhadap cikgu tersebut juga akan
dipandang rendah. Hal ini adalah kerana guru bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa
untuk menjadi insan yang berkualiti. Tetapi apabila guru menunjukkan contoh yang kurang baik
kepada anak muridnya, mereka juga akan mengikut cara- cara bagaimana gurunya bertindak
dan berkelakuan di depan mata anak muridnya. Cikgu Y sepatutnya menjadi contoh teladan
yang baik kepada anak muridnya. Hal ini adalah kerana kanak- kanak sentiasa meniru apa
yang dibuat oleh guru- guru mereka. Apabila guru menunjukkan contoh yang tidak baik kepada
murid seperti lewat masuk ke kelas dan sentiasa menggunakan gajet di dalam bilik darjah,
murid- murid pun akan mengulangi atau mengikut perbuatan tersebut atau mengaplikasin
perbuatan negatif tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini akan menimbulkan
kemarahan ibu bapa dan mereka akan hilang kepercayaan terhadap guru- guru di sekolah.

Kesimpulannya, sekolah merupakan tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru
juga bertangungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah sahaja.
Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai akauntabiliti terhadap
perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar guru juga
hendaklah menjalankan tugas- tugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor,
setiusaha peperiksaan, setiusaha PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan- jawatan lain yang
di lantik oleh pihak pentadbiran sekolah. Tugas- tugas seperti itu digalakkan untuk dilaksanakan
oleh seorang guru. Tetapi guru tidak boleh melaksanakan tugas atau kerjaya lain di sekolah.
Hal ini akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan masyarakat tentang kredibiliti
seorang guru.