Anda di halaman 1dari 9

Pengenalan

Motivasi adalah salah satu daripada aspek yang penting dalam sukan. Ia akan
mempengaruhi penglibatan atlet dalam aktiviti sukan, latihan, pertandingan dan
sebagainya. Ia juga mungkin mempengaruhi minat dan kepuasaan seseorang atlit
terhadap sukan yang diceburinya. Oleh itu, tajuk motivasi perlulah dikaji dengan
terperinci.

Definisi dan Komponen Motivasi


Motivasi ialah sumber atau alat yang menggalakkan seseorang untuk mencapai
matlamat dan seterusnya berusaha untuk mencapai matlamat tersebut (Cox, 1994).
Motivasi juga boleh didefinisikan sebagai kekuatan dalaman yang menggerakkan
dan membawa kepada tingkah laku ( Vincent dan Mohd. Sofian dalam Mohd. sofian,
2002). Motivasi juga merujuk kepada arah dan intensiti usaha seseorang individu
(Sage, 1977 dalam Shaharudin, 2001).

Bagi seseorang jurulatih, motivasi bererti usaha untuk memotivasikan atletnya


supaya dapat melakukan sesuatu tugasan dengan baik dan sempurna. Manakala
motivasi bagi seseorang atlet pula ialah berusaha untuk persembahan terbaik.
Seseorang atlet yang bermotivasi untuk meningkatkan prestasinya akan turun ke
padang untuk membuat latihan tanpa diarahkan oleh orang lain kerana
motivasinya untuk merealisasikan matlamat adalah tinggi.
Motivasi boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu motivasi intrinsik (dalaman)
dan motivasi ekstrinsik (luaran).

(a) Motivasi Intrinsik


Menurut Singer (1984), motivasi instrinsik ialah motivasi yang timbul dari dalam hati
seseorang itu sendiri. Motivasi ini timbul daripada keinginan dirinya sendiri untuk
mencapai matlamat-matlamat seperti kesedaran tentang potensi dirinya, kejayaan,
kepuasan dan keseronokan. Lazimnya, seseorang atlet yang bermotivasi intrinsik
akan terus terlibat dalam sesuatu aktiviti. Ia lahir dalam diri seseorang atlet
disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan minatnya tanpa dipaksa orang lain.

Atlet yang mempunyai motivasi intrinsik akan mengikuti latihan peningkatan


kemampuan atau pertandingan bukan kerana dorongan dari luar seperti hadiah,
pujian, penghargaan dan publisiti, melainkan kerana kepuasaan dalam dirinya.
Tambahan lagi, atlet yang mempunyai motivasi intrinsik biasanya tekun, bekerja
keras, teratur dan berdisiplin dalam menjalani latihan serta tidak bergantung kepada
orang lain.

(b) Motivasi Ekstrinsik


Motivasi ekstrinsik ialah motivasi yang dirangsang oleh elemen luar seperti ganjaran
untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan. Ganjaran itu adalah
dalam pelbagai bentuk seperti hadiah, hukuman, ugutan, penghargaan dan
pengiktirafan (Mohd. Sofian, 2002). Motivasi ini hanya akan kekal seketika kerana
atlet akan berusaha bersungguh-sungguh apabila ganjaran disediakan. Ganjaran
kebendaan lebih cepat hilang jika dibandingkan dengan ganjaran kepuasan atau
motivasi dalaman.

Motivasi berbentuk hukuman digunakan oleh jurulatih sukan sebagai dorongan atau
rangsangan untuk mencapai sesuatu kejayaan. Keadaan ini tidak begitu baik kerana
pemain lain akan turut berada dalam keadaan tertekan dan ketakutan malahan tidak
menyeronokkan. Hukuman boleh meningkatkan motivasi atlet untuk memperbaiki diri
dan prestasinya. Namun, hukuman dan dendaan yang keterlaluan akan menjejaskan
dan mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang.

Tiga Model Motivasi

(a) Model Motivasi Keperluan-tujuan


Model motivasi keperluan-tujuan dimulai dengan perasaan keperluan individu.
Keperluan ini kemudian ditransformasikan menjadi perilaku yang diarahkan untuk
mendukung pelaksanaan perilaku tujuan. Tujuan dari perilaku adalah untuk
mengurangkan keperluan yang dirasakan. Secara teori, perilaku mendukung tujuan
dan perilaku tujuan berkelanjutan sampai keperluan yang dirasakan telah
berkurangan atau dipenuhi.

(b) Model Ekspektasi Motivasi Vroom


Sebenarnya, proses motivasi adalah lebih rumit daripada yang digambarkan oleh
model motivasi keperluan-tujuan. Model Ekspektasi Motivasi Vroom mengatasi
beberapa kerumitan tambahan. Sama seperti model keperluan-tujuan, Model
Ekspektasi Motivasi Vroom adalah berdasarkan pada premis bahawa keperluan yang
dirasakan menyebabkan perilaku kemanusiaan. Akan tetapi, model ini telah
menangani isu kekuatan motivasi. Kekuatan motivasi adalah peningkatan keinginan
individu untuk menjalankan sesuatu perilaku. Ketika keinginan meningkat atau
menurun, kekuatan motivasi dikatakan berfluktuasi.

(c) Model Motivasi Porter-Lawler


Porter dan Lawler telah mengembangkan suatu model motivasi yang
menggambarkan huraian proses motivasi yang lebih lengkap dibandingkan model
motivasi keperluan-tujuan atau Model Ekspektasi Motivasi Vroom. Model Motivasi
Porter-Lawler ini konsisten dengan dua model sebelumnya di mana model ini
menerima premis bahawa keperluan yang dirasakan akan menyebabkan perilaku
kemanusiaan dan usaha yang dilakukan untuk mencapai suatu tugas ditentukan oleh
nilai balas jasa yang dirasakan.

Lima Panduan Untuk Membina Motivasi Kepentingan Motivasi Pencapaian dan


Kegigihan Bertanding

Untuk mengatasi masalah dalam sukan, seseorang yang telah hilang minat dalam
sukan mestilah digalakkan supaya aktif semula, terus berusaha dan mencapai
kepuasan daripadanya. Sumber yang penting ialah motivasi. Garis panduan bagi
memotivasikan atlet supaya mempertingkatkan persembahannya yang dicadangkan
Vincent dan Mohd. Sofian (dalam Mohd. Sofian, 2002) adalah seperti berikut:

(a) Sifat Motivasi dalam Dua Keadaan


Penyertaan yang kurang bermotivasi biasanya berpunca daripada gabungan faktor
peribadi dan situasi. Faktor peribadi boleh menyebabkan seseorang atlet kurang
bermotivasi tetapi situasi atlet perlu turut diambil kira. Selalunya, adalah lebih mudah
bagi seseorang jurulatih itu menukarkan keadaan daripada mengubah personaliti
atletnya. Jurulatih seharusnya tidak hanya menfokuskan perhatian kepada sifat
peribadi atau situasi sahaja tetapi pertimbangkan interaksi antara kedua-duanya.

(b) Memahami Dan Mengenali Tujuan Penglibatan Atlet


Jurulatih perlu memahami dan mengenali motivasi atau tujuan seseorang melibatkan
diri dalam sukan. Gould dan Petlichkoff (1988) menunjukkan tujuan penyertaan atlet
dalam sukan ialah memperbaiki kemahiran, mendapatkan keseronokan,
mendampingi kawan-kawan, inginkan pengalaman, mendapat kejayaan dan
memperbaiki kesihatan. Untuk membina motivasi dalam diri atlet, jurulatih haruslah:

 mengkaji setiap individu tentang apa yang mereka suka dan tidak suka
mengenai sesuatu aktiviti. Dengan cara ini, jurulatih dapat menyelaraskan
kegemaran mereka dalam latihan untuk mempertingkatkan motivasi mereka.
 mengetahui serba sedikit maklumat tentang individu yang terlibat. Jurulatih
akan lebih memahami individu tersebut dan boleh menerapkan teknik-teknik
motivasi yang sesuai dengan peribadinya.
 meminta setiap peserta menulis sebab mereka terlibat dalam sukan atau
latihan. Sebab-sebab ini boleh dijadikan panduan dalam perancangan sesuatu
latihan.

(c) Perubahan Persekitaran Mengubah Motivasi


Kita perlu menggunakan pengalaman peserta atau pemain untuk menyediakan satu
persekitaran yang sesuai untuk bersukan bersesuaian dengan kehendak mereka.
Misalnya, seorang pengurus taman sesuatu daerah mengetahui bahawa setengah
atlet dewasa lebih berminat kepada pertandingan dan setengah lagi tidak. Oleh itu,
pengurus taman itu harus menjadikan permainan sofbol bukan sahaja sebagai
pertandingan tetapi juga sebagai rekreasi. Perubahan ini akan menambah jumlah
peserta dengan memberi apa yang dikehendaki mereka. Oleh itu, seseorang jurulatih
hendaklah merangka keadaan untuk merealisasikan motivasi bermaksud merangka
keadaan dengan mengkaji pelbagai kehendak.

(d) Pengaruh Motivasi Seorang Jurulatih


Seseorang jurulatih mempunyai peranan yang kritikal untuk mempengaruhi motivasi
atlet. Contohnya, seorang jurulatih yang cergas dan periang akan memberikan
pertimbangan yang teguh dan waras. Dalam beberapa tahun atlet akan mengenali
sikap seseorang jurulatih itu secara lebih mendalam. Walau bagaimana pun, jurulatih
mungkin akan mengalami hari yang kurang baik dan bersikap kurang ceria dan
seterusnya boleh mempengaruhi altet menyebabkan mereka tidak puas hati atau
keciwa. Tingkah laku jurulatih pada hari-hari tersebut akan mempengaruhi suasana
motivasi atlet. Sebagai seorang yang profesional, jurulatih seharusnya bertungkus-
lumus mengatasi hari-hari yang kurang baik tersebut.

(e) Penggunaan Perubahan Tingkah Laku untuk Mengubah Motif Atlet yang Tidak
Disenangi
Atlet-atlet adalah manusia biasa yang melibatkan diri dalam sukan dengan motif
yang berlainan. Jurulatih perlu cuba mengubah motif atlet yang tidak disenangi.
Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak telah mencederakan pemain utama
pasukan lawan demi kemenangan. Jurulatih harus menggunakan teknik perubahan
sikap untuk mengubah motif yang tidak diingini iaitu, jurulatih harus menekankan
sikap permainan bersih, menegur pemain yang agresif sambil membincangkan
kelakuan yang sepatutnya bersama atlet. Dengan ini, perubahan sikap dapat
mengubah motivasi seseorang atlet.

Teori Motivasi Pencapaian

Motivasi pencapaian bermaksud kecederungan seseorang atlet sama ada mendekati


atau mengelakkan diri dari situasi yang kompetitif atau berasaskan pencapaian
(Shaharudin, 2002). Seseorang individu menyertai sukan bergantung kepada dua
motif utama iaitu motif intrinsik dan motif ekstrinsik. Motif intrinsik adalah secara
dalamam seperti keinginan memperbaiki pencapaian sendiri, meningkatkan tahap
kesihatan dan keseronokan. Motif ekstrinsik adalah secara luaran seperti keinginan
mendapatkan ganjaran, penghormatan atau lain-lain perkara yang bersifat
kebendaan. Antara teori yang mengupas pendekatan motivasi pencapaian ini adalah
model motivasi pencapaian McClelland dan Atkinson.

Menurut model ini, motivasi itu terbentuk berdasarkan motif untuk mencapai
kejayaan dan takut kepada kegagalan. Keinginan seseorang atlet melibatkan diri
dalam sesuatu aktiviti bergantung kepada motif untuk mencapai kejayaan atau takut
kepada kegagalan. sekiranya atlet tersebut yakin akan berjaya, maka dia akan
melibatkan diri. Sebaliknya, sekiranya dia merasa tidak yakin, dia tidak akan
menyertai aktiviti berkenaan. Dengan kata lain, penyertaan seseorang atlet dalam
sebarang aktiviti boleh dilihat berdasarkan formula berikut:

Motivasi Pencapaian = Motivasi Intrinsik – Kebimbangan Kognitif Seketika

Situasi berikut menerangkan penggunaan model ini. Lim ialah seorang wakil sekolah
yang handal dalam bola keranjang. Dia ditukarkan ke sekolah baru kerana
pemindahan rumah. Di suasana baru itu, dia mencuba nasib untuk mewakili pasukan
bola keranjang sekolah. Walau bagaimana pun, dia memerhatikan ramai calon lain
lebih tinggi dan lebih handal daripadanya. Sekiranya dia masih memegang pada
persepsi asalnya, dia tidak akan mencuba nasibnya ( takut kepada kegagalan).
Sebaliknya, sekiranya dia merasakan dirinya mempunyai kebolehan yang setara
dengan calon-calon lain, maka dia akan memilih untuk menyertai ujian pemilihan
tersebut (motif untuk mencapai kejayaan).

Elemen motivasi ekstrinsik membantu menjelaskan mengapa seseorang individu


terus menyertai sesuatu aktiviti walaupun motif untuk mencapai kejayaan individu
tersebut rendah. Ini mungkin disebabkan oleh pengaruh motivasi ekstrinsik seperti
ganjaran wang, piala, pujian atau anugerah. Dengan elemen luaran ini, Atkinson
mengakui bahawa terdapat kesan pengaruh luaran dalam motivasi individu.

Teori Atribusi
-Satu cabang atau pendekatan motivasi berbentuk kognitif (cox,1998)
-Heider,1994 manusia berkeinginan untuk menjelaskan tentang apa yang berlaku
berdasarkan kepada persepsi mereka tentang sebab ia berlaku
-Apa yang difikirkan oleh seseorang atlet tentang dirinya berkait rapat dengan
persepsinya terhadap kesan dan akibat tindakannya itu.

Lokus Kawalan Dalaman


Sebarang keputusan yang terhasil secara dalaman kepada individu (pengaruh
individu)

Lokus Kawalan Luaran


Pengaruh persekitaran (seperti nasib, peluang dan orang lain merupakan faktor yang
mempengaruhi sesuatu keputusan)

Model Atribusi Heider


Lokus Penyebab
Heider(1944) terdapat empat faktor iaitu usaha,kebolehan,tahap kesukaran tugas
dan nasib.
Weiner(1972) dua dimensi penyebab iaitu kestabilan dan lokus kawalan.

Kestabilan
Terbentuk berdasarkan atribut yang stabil dan tidak stabil.

Kebolehkawalan
Atributsi dianggap sebagai berada dikawalan atau di luar kawalan individu tersebut.
Kesukaran untuk mengaitkan atributsi luaran dan dalam kawalan.

Pembentukan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding


Atlet yang bermotivasi dalaman akan sentiasa mengekalkan penglibatannya dalam
aktiviti fizikal atau sukan. Namun, seseorang jurulatih perlu membentuk lagi motivasi
atletnya dengan pelbagai strategi.

(a) Mewujudkan Pengalaman Kejayaan


Kejayaan atlet boleh dipastikan dengan menstrukturkan aktiviti di setiap peringkat
latihan. Misalnya, dalam latihan jaringan, saiz gol boleh dibesarkan atau dikecilkan
mengikut kebolehan atlet sehingga dia mencapai kejayaan. Dengan bertambahnya
kejayaan dalam penguasaan kemahiran dan persembahan dalam latihan, atlet akan
ditingkatkan keyakinan kejayaan dalam sesuatu pertandingan. Pengalaman kejayaan
itu dapat menguatkan lagi keinginan bersaing.

(b) Meningkatkan Keyakinan Diri Atlet


Keyakinan diri penting untuk persembahan yang baik dan perlu dibina. Aktiviti yang
boleh meningkatkan keyakinan diri atlet adalah memberi maklum balas positif
kepada atlet terhadap perlakuan yag betul dan tepat, berfikiran positif, berlatih
dengan pemain yang berkebolehan dan sebagainya.

(c) Latihan Berperingkat


Proses latihan berperingkat akan membina keyakinan diri atlet dengan menilai
keupayaan kendiri. Atlet akan berlatih menguasai kemahiran dengan latih tubi.
Setelah kemahiran dikuasai, atlet itu boleh menilai diri sendiri berbanding dengan
orang lain untuk memperbaiki kelemahan. Proses terakhir ialah atlet telah dapat
mengintegrasikan penguasaan kemahiran dan telah bersedia untuk membuat
perbandingan dengan orang lain.

(d) Pelbagaian Kandungan Latihan


Perasaan bosan ialah musuh utama bagi setiap pemain yang terlibat dalam
sebarang kegiatan sukan. Perasaan kurang seronok merupakan sebab asas
seseorang atlet keluar daripada kegiatan sukan ( Sofian, 2002). Oleh itu, jurulatih
haruslah merancang program latihan yang mempunyai kandungan dan turutan latih
tubi yang dapat dipelbagaikan bagi setiap sesi latihan. Sesi latihan boleh menjadi
menarik dan menyeronokkan dengan pengisian peluang-peluang untuk belajar,
menunjukkan kemahiran baru dan melibatkan diri dalam simulasi pertandingan.

(e) Penetapan Matlamat Diri yang Realistik


Seseorang atlet perlu mempunyai matlamat kendiri untuk meningkatkan motivasi
dalaman. Matlamat-matlamat ini tidak semestinya hasil pencapaian prestasi tetapi ia
boleh dalam bentuk peningkatan prestasi kendiri atau kawalan emosi kendiri. Atlet
juga perlu menetapkan objektif khusus yang boleh diukur. Misalnya, dalam latihan
jaringan, atlet boleh menetapkan bilangan gol yang perlu dijaringkan dalam setiap
sesi latihan.

(f) Penglibatkan Pemain Dalam Membuat Keputusan


Jurulatih harus memberi atlet-atletnya tanggungjawab untuk membuat sesuatu
keputusan dan peraturan. Dengan ini, kawalan persepsi akan ditingkatan dan
pencapaian peribadi dapat dirasai. Misalnya, pemain-pemain diberi
peluang merancang atau membuat perubahan terhadap aktiviti-aktiviti latih tubi.
(g) Latihan Simulasi
Latihan simulasi dijalankan dalam keadaan yang hampir sama dengan pertandingan
sebenarnya. Atlet akan dapat membiasakan diri dengan pertandingan sebenar yang
akan dihadapinya. Kelemahan penguasaan kemahiran dan strategi dapat dikesan
dan dibaiki dalam latihan simulasi. Atlet akan bersedia untuk menghadapi
pertandingan dengan penuh keyakinan.

Penggunaan Motivasi Pencapaian dan Kegigihan Bertanding dalam Latihan

Seseorang jurulatih yang baik dan berkesan akan cuba meningkatkan dan
mengekalkan motivasi atletnya. Motivasi intrinsik harus dipupuk dan dikembangkan
dalam diri setiap atlet. Peranan jurulatih adalah berusaha memastikan atlet mereka
memilih motivasi intrinsik. Sebaliknya, atlet yang mempunyai motivasi ekstrinsik
biasanya bermain untuk ganjaran yang berupa kebendaan, penghargaan dan
publisiti. Ganjaran kebendaan akan hilang lebih cepat jika dibanding dengan
ganjaran kepuasan atau motivasi intrinsik.

Tahap motivasi intrinsik meningkat bila atlet merasakan dia telah mempamerkan
prestasi yang baik berbanding dengan mereka yang mempunyai persepsi kejayaan
yang rendah. Menang atau kalah adalah tidak penting dalam penentuan motivasi
intrinsik. Apa yang perlu dilakukan oleh jurulatih atau guru ialah memberikan maklum
balas yang subjektif terhadap perlakuan yang baik walau pun objektifnya tidak
tercapai. Justeru itu, jurulatih harus menstruktur dan menggunakan ganjaran (dan
strategi-strategi lain) untuk meningkatkan persepsi kejayaan melalui motivasi intrinsik
atlet mereka.

Kesimpulan
Tajuk ini telah merangkumi beberapa aspek motivasi pencapaian dan kegigihan
bertanding. Pengetahuan motivasi dalam latihan ini akan membantu jurulatih, guru
dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk meningkatkan motivasi atlet mereka. Dan
diharapkan atlet-atlet ini akan mengekalkan motivasi mereka dalam latihan dan
pertandingan.

Anda mungkin juga menyukai