Anda di halaman 1dari 11

MAHKAMAH

AWANG ABDULLAH

PELAKON

HAKIM

PENDAKWA RAYA

PEGUAM BELA

PENTERJEMAH

PEGAWAI

TERTUDUH I (BULAT BIN LEPER)

TERDTUDUH II (AKINOMOTO)

TEMPAT : Ruang mahkamah, tempat berlangsungnya siding perbicaraan.

MASA : Siang, waktu pagi.

SET & PROP : Terdapat meja tinggi untuk HAKIM, siap dengan penukul. Selain itu, terdapat
kandang orang salah. Terdapat juga meja untuk PENDAKWA RAYA dan PEGUAM BELA.

PEGAWAI : (Bernada lantang) Ketibaan yang arif lagi bijaksana, tuan hakim mahkamah
terbuka!

PENDAKWA RAYA dan PEGAWAI MAHKAMAH berdiri. TUAN HAKIM masuk (dengan iringan
muzik) lalu mengambil tempat.

HAKIM : (Dengan bahasa Melayu telor Inggeris) Ya, tuan-tuan sekalian, boleh duduk.
Semua sudah hadir?

PEGAWAI : Sudah, tuan.

HAKIM : Sekarang, kita mulakan perbicaraan.

PEGAWAI : Tertuduh I diminta masuk.


TERTUDUH I masuk (diiringi muzik), mengambil tempat di dalam kandang orang salah dan
mengangkat sumpah.

TERTUDUH I : Bahawasanya saya dengan sesungguhnya bersumpah di hadapan mahkamah


yang mulia ini untuk bercakap benar.

HAKIM : Siapa nama kamu?

TERTUDUH I : Bulat bin Leper, tuan.

HAKIM : Baik, pendakwa raya … mulakan perbicaraan.

PENDAKWA RAYA bangun lalu membacakan pertuduhan.

PENDAKWA RAYA : Ya, tuan hakim, bahawa Bulat bin Leper, pada 10 Januari 1988, antara
jam 8.00 hingga 9.00 pagi telah dituduh menyebabkan kematian seorang nenek tua,
Mek Teh binti Jali, 99 tahun, di Taman Gagak Putih.

HAKIM : Ya, Bulat bin Leper, adakah kamu faham akan tuduhan yang dikenakan
ke atas kamu?

TERTUDUH I : Faham, tuan.

HAKIM : Adakah kamu mengaku salah?

TERTUDUH I :Tidak mengaku salah, tuan.

HAKIM :Baiklah, kes kamu akan dibicarakan. Adakah kamu memakai peguam?

TERTUDUH I :Saya orang miskin, tuan. Saya tak ada duit nak bayar peguam.

HAKIM :Oh, itu tak jadi masalah … kita ada peguam percuma. Sedia berkhidmat
untuk orang miskin macam kamu.

Ya, pegawai … sila panggil peguam bela masuk ke dalam mahkamah.

PEGAWAI : (Bernada lantang) Peguam bela, diminta masuk ke ruang perbicaraan


sekarang juga!

PEGUAM BELA masuk dengan agak lambat.


PEGUAM BELA : (Bernada lemah sedikit) Ya, tuan hakim …

HAKIM : Kenapa lambat?

PEGUAM BELA : Tengah tengok gusti, tuan.

HAKIM : Tak habis-habis dengan gusti. (Bernada perlahan, separuh berbisik)


Siapa menang?

PEGUAM BELA : Hikitiki Man lagi, tuan.

HAKIM : (Seolah-olah geram, kecewa) Cis!

(Kembali serius) Hmmm … peguam bela, ini ada satu kes lagi.

PEGUAM BELA : (Berlagak serius) Sedia berkhidmat, tuan … untuk bangsa dan negara.

HAKIM : Ya, peguam bela … ini pelanggan kamu … Bulat bin Leper, telah
dituduh menyebabkan kematian seorang nenek tua secara tidak sengaja pada 10
Januari 1988, antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi, di Taman Gagak Putih. Saya beri kamu
tempoh seminit untuk berunding dengan pelanggan kamu. (Meniup wisel)

PEGUAM BELA dan TERTUDUH I berunding dengan aksi tergesa-gesa, keburuan.

HAKIM : Masa sudah cukup. Baik, kita sambung perbicaraan.

PENDAKWA RAYA bangun untuk memulakan tugasnya.

PENDAKWA RAYA : Bulat bin Leper, adakah pada 10 Januari 1988, antara jam 8.00 hingga
9.00 pagi, kamu berada di Taman Gagak Putih?

TERTUDUH I : Ya, benar, tuan.

PENDAKWA RAYA : Dan pada waktu yang tersebut itu, kamu telah makan sebiji pisang dan
membuang kulitnya?

TERTUDUH I : Ya, benar sekali, tuan.

PENDAKWA RAYA : Dan dalam waktu yang tersebut itu, seorang nenek yang sedang
berjoging telah terpijak kulit pisang yang kamu buang lalu tergelincir dan jatuh. Kejadian
itu menyebabkan pinggangnya patah dan dia mati dalam perjalanan ke hospital.

Adakah kamu mengaku bahawa kenyataan ini benar?


TERTUDUH I : Kenyataan itu tidak benar, tuan.

PENDAKWA RAYA : Saya ulang. Adakah kamu makan pisang pada waktu tersebut?

TERTUDUH I : Benar, tuan.

PENDAKWA RAYA : Dan kulit pisang itu, kamu yang buang, bukan?

TERTUDUH I : Benar, tuan.

PENDAKWA RAYA : Dan nenek itu mati akibat terpijak kulit pisang yang kamu buang, bukan?

TERTUDUH I : Tidak benar, tuan.

PENDAKWA RAYA : Awak tidak mahu mengaku?

TERTUDUH I : Tidak mengaku, tuan.

PENDAKWA RAYA : Benar-benar tidak mahu mengaku?

TERTUDUH I : Saya tidak mahu mengaku, tuan. Saya tidak bersalah.

PENDAKWA RAYA : Awak mesti mengaku. Bukti dan fakta sudah cukup untuk mensabitkan
kesalahan awak.

PEGUAM BELA bangun membantah.

PEGUAM BELA : Tuan hakim, saya membantah tindakan pendakwa raya. Pendakwa raya
nampaknya cuba menekan anak guam saya.

HAKIM : Ya, pendakwa raya. Saya fikir soalan awak sudah selesai. Awak boleh
duduk.

PENDAKWA RAYA : Baik, tuan.

HAKIM : Sekarang giliran peguam bela untuk mengemukakan soalan.


Dipersilakan.

PEGUAM BELA : Bulat bin Leper, benarkah pada 10 Januari 1988, antara jam 8.00
hingga 9.00 pagi, kamu berada di Taman Gagak Putih?

TERTUDUH I : Ya, benar, tuan.

PEGUAM BELA :Dan pada waktu siang yang tersebut itu, kamu telah makan sebiji pisang
berangan … kemudian kulitnya, yang kamu tidak lalu nak makan, kamu buang ke dalam
tong sampah, yang tersedia oleh pihak berwajib, tapi sudah rosak pintunya?
TERTUDUH I : Ya, benar sekali, tuan.

PEGUAM BELA : Dan kamu sedar bahawa tugas membaiki pintu tong sampah itu bukan
tugas kamu?

TERTUDUH I : Ya, tuan.

PEGUAM BELA : Lalu, kulit pisang yang kamu buang ke dalam tong sampah itu ialah
suatu perbuatan yang sudah cukup memperlihatkan kesedaran sivik kamu, malah kamu
telah menunjukkan contoh yang baik?

TERTUDUH I : Benar sekali, tuan.

PENDAKWA RAYA bangun dan membantah.

PENDAKWA RAYA : Yang arif, peguam bela cuba memutarbelitkan kenyataan.

PEGUAM BELA : Yang arif, soalan saya belum tamat. Saya harap pendakwa raya tidak
mengganggu perjalanan mahkamah.

HAKIM : Pendakwa raya diminta bertenang dan kembali ke tempat duduk.

PEGUAM BELA : Yang arif, saya sambung kembali soalan saya.

Ya, Encik Bulat … setelah kulit pisang itu kamu buang ke dalam tong sampah, maka
datanglah seekor kambing yang teramat kurus dan lapar lalu makan sisa buangan di
dalam tong sampah itu dengan rakusnya sehingga kulit pisang itu telah tercampak
keluar ke jalan raya …

PENDAKWA RAYA bangun membantah lagi.

PENDAKWA RAYA : Yang arif, hujah peguam bela tidak logic, tak masuk akal sama sekali,
kambing yang lapar tidak makan kulit pisang dan mengaisnya keluar …

PEGUAM BELA : Yang arif, saya minta pendakwa raya tidak mengganggu perjalanan
mahkamah.
HAKIM mengeluarkan kad kuning.

HAKIM : Satu kad kuning untuk pendakwa raya. Sila duduk.

Ya, peguam bela, sila teruskan …

PEGUAM BELA : Yang arif, saya sambung kembali hujah saya. Adapun kambing yang
tersangat kurus dan lapar itu juga tersangatlah letihnya sehingga matanya pun sudah
menjadi kabur dan berpinar-pinar. Ini menyebabkan kambing itu tidak Nampak kulit
pisang, sehingga terkaislah olehnya makanan kegemarannya itu ke atas jalan raya.
Malang tak berbau, seorang nenek yang sedang berjoging menghampiri … kambing
terkejut dan cabut lari. Nenek tua itu terpijak kulit pisang dan jatuh … sampailah ajalnya,
dia pun mati.

Dengan ini, jelas bahawa Bulat bin Leper tidak terbabit dalam soal ini. Yang bersalah,
bukannya Bulat, tapi kambing kurus. Oleh sebab itu, bukan Bulat yang harus dihukum,
sebaliknya kambing kuruslah yang perlu dihukum.

Ya, yang arif, saya kira fakta ini cukup jelas dan tidak meragukan, dan saya mohon
mahkamah yang mulia menjalankan keadilannya dengan membebaskan Bulat bin Leper
daripada tuduhan membunuh secara tidak sengaja, tanpa syarat.

Sekian hujah-hujah saya. Mohon pertimbangan yang arif, tuan hakim. Terima kasih.

HAKIM : Ya pendakwa raya … ada hujah-hujah tambahan?

PENDAKWA RAYA : Pada hemat saya, Bulat bin Leper ialah pihak yang bertanggungjawab
dalam kes ini. Kalau Bulat tidak membuang kulit pisang, maka kambing tidak boleh
mengaisnya ke jalan raya dan seorang nenek tua tidak akan memijaknya.

Atas alasan itu, saya mohon mahkamah keadilan ini menjatuhkan hukuman yang
seberat-beratnya ke atas Bulat bin Leper. Sekian, yang arif, terima kasih.

HAKIM : Ya, peguam bela … kalau ada hujah-hujah tambahan, dipersilakan.

PEGUAM BELA : Ya, yang arif, saya tegaskan kembali hujah saya bahawa Bulat bin
Leper telah membuang kulit pisang ke tempat yang wajar dan betul. Maka, dengan itu,
ternyatalah Bulat bin Leper tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Dalam soal ini, nyata sekali, yang bersalah ialah kambng kurus … bukannya Bulat bin
Leper. Sekian, hujah-hujah saya.
HAKIM : Pendakwa raya? Ada apa-apa lagi?

PENDAKWA RAYA : Mahkamah ini untuk manusia, bukan untuk binatang. Macam mana kita
nak hukum kambing.

PEGUAM BELA :Setiap binatang peliharaan mesti ada tuannya. Tuan empunya kambing
itulah yang perlu dihukum.

PENDAKWA RAYA : Kalau tidak ada yang mahu mengaku?

PEGUAM BELA : Maka kambing itu harus menjadi hak milik pihak yang berwajib.

HAKIM : Sudah … sudah! Hujah-hujah kamu berdua sudah selesai. Harap


bertenang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, setelah meneliti hujah-hujah daripada kedua-dua


belah pihak, mahkamah dengan ini mengambil kesimpulan bahawa pendakwa telah
gagal mengaitkan kes ini dengan tertuduh dan sebaliknya, peguam bela telah dapat
meyakinkan mahkamah tanpa keraguan bahawa Bulat bin Leper tidak melakukan
kecuaian dan seterusnya dibebaskan daripada tuduhan membunuh Mek teh binti Jali
secara tidak sengaja.

TERTUDUH I mengucapkan terima kasih kepada PEGUAM BELA dengan gaya penuh
kesyukuran.

HAKIM : Dan atas kuasa yang ada pada saya, saya mengeluarkan perintah
supaya tuan kambing itu dicari sampai dapat. Kalau tidak ada yang mengaku, maka
kambing itu menjadi milik pihak yang berwajib, dan perintah juga dikeluarkan supaya
pintu tong sampah itu dibaiki segera oleh pihak yang bertanggungjawab. (Mengetuk
meja dengan tukul dua kali)

PEGAWAI : Mahkamah berehat selama 2 minit.

TERTUDUH I keluar. Sementara itu, HAKIM, PEGAWAI, PENDAKWA RAYA dan PEGUAM
BELA berehat dengan aksi masing-masing. Kemudian, PEGUAM BELA keluar. Muzik selingan
dikumandangkan.

Setelah seketika, PEGAWAI masuk mengambil tempat dan alunan muzik dimatikan.
PEGAWAI : Tempoh rehat sudah tamat. Mahkamah kembali bersidang.

HAKIM, PEGUAM BELA dan PENDAKWA RAYA mengambil tempat masing-masing.

PEGAWAI : Tertuduh II diminta masuk.

TERTUDUH II melangkah masuk. (Dengan iringan muzik)

PEGAWAI : Sila angkat sumpah.

TERTUDUH II : Akakkuku dekengaka ikiniki bekesukupoko akakaka bekekaktaka


bekenaka.

Sesi mahkamah ketawa, kecuali HAKIM.

HAKIM : Diaaam ! (Mengetuk tukul ke meja tetapi terkena tangan sendiri)

Sesi mahkamah sunyi.

HAKIM : (Mengitai-ngitaikan tangan, menahan kesakitan) Ah … hah … hah …


hah … !

PEGAWAI : (Bernada selamba tetapi tidak keras seperti jerkahan HAKIM tadi) Diam!

HAKIM : (Tersipu-sipu, meletakkan telunjuk ke mulut seperti membuat isyarat


supaya senyap) Syyy …. Siapa nama kamu?

TERTUDUH II : Nakamoko akakuku, Akikino-komokotoko

HAKIM : Asal dari mana?

TERTUDUH II : Akakuku akasaka dakariki ukuluku Dukungunku.

HAKIM : (Dengan nada panjang, nyaring) Pegawaiii …!

PEGAWAI : Ya, tuan hakim !

HAKIM : Panggil penterjemah !

PEGAWAI : Baik, yang arif.

(Bersuara lantang, melaung) Penterjemah diminta masuk dengan segera!

PENTERJEMAH masuk dengan agak lambat sambil membetulkan kain sarung dan tali
lehernya.
HAKIM : Kenapa lambat, wahai penterjemah?

PENTERJEMAH : Tengah melabur, tuan hakim … tersalah makan colek kelubi.

HAKIM : Buah kelubi? Itu kan makanan beruang …

PENTERJEMAH : Tapi saya jumpa dalam beg tuan.

HAKIM : (Spontan mengerutkan kening, membuat isyarat supaya diam, tidak


meneruskan penerangan tentang kelubi) Syyy … teruskan sidang …

PENDAKWA RAYA : Baiklah, yang arif.

Bahawasanya kamu, Akikino-komokotoko, pada 20 Mac 1988, telah dituduh mencuri s


eekor beruk subsidi milik kerajaan Malaysia dari stor JKK Ulu Dungun.

HAKIM : Ya … Akikino-komokotoko, apakah kamu faham akan tuduhan yang


dikenakan atas kamu?

TERTUDUH II : Akakuku taka fakahaka iskitikilaka bekeroko sukusikidiki.

PENTERJEMAH : Yang arif, adapun empunya diri yang bernama Akikino-komokotoko,


atau ringkasnya Akinomoto ini tidak faham akan istilah beruk subsidi.

HAKIM : Pendakwa raya, harap perincikan istilah beruk subsidi yang tidak
difahami oleh Akinomoto.

PENDAKWA RAYA : Ya, yang arif … mohon tempoh 2 minit untuk merujuk kamus.

PENDAKWA RAYA membuka buku besar dan beraksi membelek kandungannya dengan teliti.

PENDAKWA RAYA : Yang arif, adapun “beruk” itu menurut kamus The Advance Dictionary of
the Modern English for the Malaysian World, terbitan Syarikat Cetak Rompak Sendirian
Berhad … adapun istilah “beruk” itu dapatlah diperincikan sebagai … is a kind of animal
which have a short tail, and the body is full with “bulus”, and like to eat bananas, and
many people call … monkey.

Adapun makna “subsidi” itu menurut kamus yang sama, muka surat 300, perenggan
dua, baris lima dari bawah, dapatlah diperincikan sebagai maknanya … is a subsidy …
that’s all, ya tuan hakim.
HAKIM : Well done … well done … Apakah kamu sudah faham wahai
Akinomoto?

TERTUDUH II : Akakuku makakiki toko fakahaka daka hakaraka pendakakakawoko


gukunoko bakahakasaka makaleke sikiyaka.

PENTERJEMAH : Adapun katanya bahawa dia semakin tidak faham dan meminta pihak
pendakwa menggunakan bahasa Melayu.

HAKIM : Ya, ya, ya … saya juga sudah lupa. Kita sudah merdeka selama 30
tahun, seharusnya kita menggunakan bahasa Melayu … bahasa kebangsaan kita di
dalam mahkamah yang mulia ini.

Ya, pendakwa raya, sila huraikan menurut bahasa Melayu.

PENDAKWA RAYA : Perintah dijunjung, ya yang arif.

Adapun istilah “beruk” itu menurut kamus yang tersebut itu dan apabila diterjemahkan,
maknanya ialah sejenis binatang yang mempunyai ekor pendek, dan badannya penuh
dengan “bulus” … eh, maaf … bulu … dan ia sangat suka makan pisang, ( menunjukkan
dengan ibu jari kea rah HAKIM sambil tersengih-sengih) sama dengan hobi tuan.

Istilah subsidi itu pula apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu lama, ertinya
“sabsidi” (disebut sebagaimana dieja: s-a-b-s-i-d-i) dan kalau menurut bahasa Melayu
baharu yang baku, ertinya “subsidi” (disebut s-u-b-s-i-d-i) … sekian adanya …
wassalam.

HAKIM : Cakap … cakap … apakah kamu sudah faham wahai Akinomoto?

TERTUDUH II : Fakahaka cikikiki.

PENTERJEMAH : Adapun Akinomoto itu berkata, bahawa dia faham sikit-sikit, tuan.

HAKIM : Sikit-sikit … kira bolehlah. Jadi, Akinomoto, apakah kamu mengaku


salah?

TERTUDUH II : Akakuku mekengakakuku sakaloko, takapiki akakuku nook cakakaka


cikikiki.

PENTERJEMAH : Adapun Akinomoto berkata bahawa dia mengaku salah tuan, tapi
katanya dia mahu bercakap sikit.

HAKIM : Dibenarkan … (dengan gaya sedikit berlucu) tapi sikit saja, tau.
TERTUDUH II : Ikibiku bekeroko ikitiku sukudoho hakamiki, daka akakuku nook
akanokonyaku daka bekerika bakaleke ikibunyoko.

PENTERJEMAH : Adapun Akinomoto berkata bahawa ibu beruk itu sudah pun hamil dan
dia mahu beri balik ibu beruk itu kepada yang berhak dan mahu memelihara anaknya.

HAKIM : Ya, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, setelah mempertimbangkan


dengan penuh adil dan saksama, maka saya dengan kuasa yang ada pada saya
dengan ini memerintahkan Akinomoto memelihara ibu beruk itu sehingga selamat
melahirkan anak. Kalau anaknya jantan, namakan “Mat Yeh”. Kalau anaknya betina,
namakan “Mentesah”.

Lalu apabila habis tempoh pantangnya selama 40 hari, tak termasuk cuti am dan cuti
ganti, maka ibu beruk itu haruslah dipulangkan kepada yang berhak … dan sebagai
dendanya, sehingga anak beruk itu mencapai umur akil baligh, maka Akinomoto
terpaksalah memanjat kelapa dengan anak beruk menjadi tuannya.

Sekian.

Muzik selingan dikumandangkan sebagai isyarat bahawa adengan drama ditamatkan.

TAMAT

Sumber:
Antologi Tanah Ronggeng,
(peny.) Wan Ahmad Ismail,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992