Anda di halaman 1dari 3

Teks Ucapan YB Senator Dato’ Shahanim Binti Mohamad Yusoff

Sempena Perasmian
Mesyuarat Agung PIBG SM Akademi Islam Kali Ke- 4 Tahun 2018

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera.
Saudara Pengacara Majlis,
Yang Berusaha , Pengetua SM Akademi Islam Darul Aman
Yang Dihormati Tuan Hj Aminodin Bin Saad YDP PIBG
Penolong-Penolong Kanan
AJK PIBG, Guru-guru, Tuan-tuan dan Puan-puan Yang Dihormati Sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan
izinnya dapat kita sama-sama berkumpul pada pagi yang mulia ini, sempena Majlis
Mesyuarat Agung PIBG kali ke-4 bagi Sekolah Menengah Akademi Islam Darul Aman.
Terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya ke majlis hari ini dan
seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG sekolah ini. Tahniah dan syabas saya
ucapkan kepada Penasihat dan Jawatankuasa PIBG kerana telah dapat merancang,
mengelola dan seterusnya melaksanakan mesyuarat ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Seperti yang kita sedia maklum, semua Mesyuarat PIBG sekolah mesti diadakan pada
setiap tahun sebelum 31 Mac dengan memilih dan melantik AJK PIBG pada setiap kali
Mesyuarat Agung diadakan. Di samping itu, harus diingatkan bahawa perkara berkaitan
dengan Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) perlu dipatuhi pada
setiap masa seperti mana yang tercatat dalam SPI Bilangan 5 Tahun 2001 yang
dikeluarkan oleh pejabat KPPM, KPM. Perkara-perkara yang disentuh di dalam surat
pekeliling itu ialah PIBG Sekolah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara
ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini
diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama
dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid
di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah,
ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).
PIBG juga mempunyai peranan ’saling melengkapi’ terhadap fungsi Kementerian
Pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang
kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Tuan-tuan dan Puan-Puan

Sesungguhnya, majlis pada pagi ini amat bermakna, di mana pihak sekolah dan ibu
bapa dapat bertemu untuk berbincang dan mencari kata sepakat, demi kepentingan
dan masa depan anak-anak masing-masing. Permuafakatan seumpama inilah yang
menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah dengan mengambil kira batasan-batasan
kuasa PIBG. Selain daripada memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baru kita
juga akan membincangkan usul-usul yang telah dikumpul, diharapkan juga mesyuarat
PIBG pada pagi ini akan dapat diputuskan dengan sebaik mungkin tanpa
menimbulkankan masalah kepada pihak ibu bapa atau waris murid-murid.

Harus juga diingatkan kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya bermula di rumah.


Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama ada anak-anak kita terdidik
dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan
dengan segala gejala negatif di luar rumah. Jelas, tanggungjawab menentukan
keperibadian anak-anak sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil
untuk melepaskan tanggungjawab itu sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak
sekolah. Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk
menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan
pelajar, guru dan juga pembangunan sekolah. Alhamdulillah, setakat ini kerjasama
yang baik dan erat telah ditunjuk oleh oleh pihak sekolah dan PIBG.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan terima kasih atas jemputan ke majlis pada pagi ini dan saya juga ingin
mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK PIBG yang bakal dipilih dan dilantik
sebentar nanti. Harapan saya supaya Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-4 ini akan dapat
berjalan lancar dan teratur.
Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah
Menengah Akademi Islam Darul Aman kali ke- 4.

Kalau ada sumur di ladang,

Bolehlah kita menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Bolehlah kita bertemu lagi.

Sekian, terima kasih dan assalamualaikum wbt