Bahasa istana atau bahasa dalam ialah variasi bahasa yang digunakan sewaktu merujuk kepada
golongan diraja atau sewaktu berhubung dengan mereka.
Variasi bahasa ini mempunyai perkataan dan ungkapan khusus serta gaya pengungkapan
tersendiri.
Empat aspek penggunaan bahasa istana ialah:
i. Penggunaan kata ganti nama
ii. Penggunaan gelaran
iii. Penggunaan perkataan dan ungkapan khusus
iv. Unsur pemulukan dan pendinaan
Kata ganti nama diri ialah perkataan yang menjadi ganti kepada kata nama orang, dan terbahagi
kepada tiga jenis iaitu:
i. Kata ganti nama diri orang pertama
ii. Kata ganti nama diri orang kedua
iii. Kata ganti nama diri orang ketiga
beta Kata ganti nama diri orang pertama yang digunakan oleh raja.
patik Kata ganti nama diri orang pertama yang digunakan oleh rakyat biasa apabila
berhubung dengan golongan raja.
tuanku Kata ganti nama diri orang kedua yang bermaksud ‘tuan yang mulia’.
baginda Kata ganti nama diri orang ketiga bagi raja.
Setiap ahli keluarga diraja diberikan gelaran. Kita dapat mengenali mereka melalui gelaran-
gelaran ini, antaranya :
i. Tengku, misalnya Tengku Abdullah
ii. Tunku, misalnya Tunku Abdul Rahman
iii. Ungku, misalnya Ungku Abdul Aziz
iv. Raja, misalnya Raja Sulaiman
Terdapat gelaran dan bentuk sapaan yang dikaitkan dengan pangkat dan gelaran raja, seperti
Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia, dan Yang Mulia.
Penggunaan Perkataan dan Ungkapan Khusus bagi Golongan Diraja
Perkataan dan ungkapan khusus merujuk sejumlah perkataan dan frasa yang digunakan khusus
sewaktu merujuk kepada golongan diraja. Bagi masyarakat biasa, perkataan-perkataan lain
digunakan seperti :
Perkataan bagi Masyarakat Biasa Padanan dalam Bahasa Istana
tidur beradu
makan santap
mandi bersiram
tinggal bersemayam
sakit gering
arwah almarhum
bercakap bertitah
berpergian berangkat
bersetuju berkenan
meninggal mangkat
anak lelaki putera
anak perempuan puteri
Bahasa basahan ialah bahasa yang digunakan dalam keadaan yang tidak rasmi, contohnya di
restoran, stesen bas, padang bola, dan di rumah. Dalam situasi rasmi, contohnya semasa
mesyuarat , perbicaraan di mahkamah, persidangan perlimen, dan seminar, bahasa basahan
tidak boleh digunakan.
Bahasa basahan tidak digunakan dalam bentuk tulisan, tetapi digunakan dalam bahasa
lisan/semasa pertuturan.
Bahasa basahan mempunyai mempunyai beberapa cirri, iaitu:
a. Dari segi tatabahasa,pengguna bahasa basahan tidak menggunakan tatabahasa yang
lengkap. Sebagai contoh, kata hubung biasanya digugurkan.
Dollah suka makan nasi lemak. Leman suka makan kentang goreng. (bahasa basahan)
Dollah suka makan nasi lemak, tetapi Leman sukan makan kentang goreng. (bahasa baku)
b. Dari segi imbuhan, biasanya imbuhan penanda aktif me- akan digugurkan.
Adik patahkan pembaris saya. (bahasa basahan)
Adik mematahkan pembaris saya. (bahasa baku)
Bahasa basahan juga banyak menggunakan imbuhan pasif di- dan ter-.
Sam dihantar ke hospital.
Sam terlanggar kerbau.
c. Dari segi perbendaharaan kata, terdapat tiga jenis perbezaan antara bahasa basahan
dengan bahasa baku.
i. Perkataan yang berbeza untuk makna yang serupa.
Bahasa Basahan Bahasa Baku
dia beliau
cikgu guru
awak anda
macam mana bagaimana
kenapa megapa
jemput sila
tengah sedang
buat untuk
emak bapak ibu bapa
kalau jika
ii. Bentuk-bentuk kependekan perkataan
Bahasa Basahan Bahasa Baku
ni ini
tu itu
mau mahu
kejap sekejap
ke kah
nak hendak
dah sudah
tau tahu
tak tidak
Bahasa Baku
Bahasa baku bermaksud kelainan bahasa yang diterima oleh anggota komuniti bahasa dan
digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam penulisan dan juga pengajaran.
Bahasa baku berbeza daripada dialek lain dari segi sebutan, ejaan, tatabahasa, dan kosa kata.
Sebagai contoh, dari segi sebutan, bahasa Melayu baku mempertahankan sebutan huruf a pada
semua kedudukan dalam perkataan seperti apa.
Dari segi tatabahasa, khususnya ayat pasif, struktur ayat pasif dengan orang pertama dan kedua
ialah kata kerja dasar didahului oleh kata ganti nama (pertama dan kedua). Contohnya :
a) Buku itu telah saya baca. (orang pertama)
b) Kerja tersebut belum kau selesaikan. (orang kedua)
Bagi orang ketiga pula, bentuknya adalah dengan awalan di-. Contohnya:
a) Buku itu telah dibaca oleh Ahmad.
b) Kerja tersebut belum diselesaikan olehnya.
Secara bandingan, terdapat beberapa bentuk pasif lain dalam dialek. Bentuk-bentuk ini tidak
dianggap baku.
a) *Buku itu telah Ahmad baca.
b) *Buku itu nyabaca di Ahmad.
Dalam konteks sesebuah Negara, bahasa baku diletakkan pada beberapa kedudukan tertentu,
misalnya sebagai bahasa rasmi negara dan juga sebagai bahasa persuratan.
Bahasa rasmi sebagai bahasa yang digunakan sebagai bahasa perhubungan rasmi seperti dalam
upacara rasmi dan surat-menyurat, dengan kata lain, bahasa yang digunakan dalam urusan-
urusan rasmi Negara berkenaan.
Bahasa persuratan pula ialah variasi bahasa yang dianggap terbaik dalam konteks sosial untuk
tujuan pengajaran. Bahasa persuratan digunakan dalam penulisan dan karya sastera.
Bahasa Mesra
Bahasa mesra digunakan oleh orang yang mempunyai ikatan yang rapat dalam kalangan
mereka. Ikatan yang wujud mungkin disebabkan mereka sama-sama pernah atau masih belajar
di dalam kelas yang sama, bersal dari kampung yang sama, rakan sepasukan, rakan sekerja.
Latar belakang ikatan ini melahirkan status sama tinggi atau sama rendah dalam kalangan
mereka. Mereka berasa seperti adik-beradik dan disebabkan hubungan atau perasaan yang
wujud lahir kemesraan dalam kalangan masyarakat penutur.
Dalam bahasa mesra, kata ganti nama diri yang digunakan ialah aku, engkau atau bentuk-bentuk
dialek seperti hang dan ambo.
Kata ganti nama diri orang kedua biasanya digantikan dengan panggilan yang khusus
berdasarkan usia seseorang yang dilawan bercakap seperti kakak, abang, pak cik, dan mak cik.
Bahasa Pasar
Bahasa pasar ialah bentuk bahasa Melayu yang digunakan semasa percakapan antara orang
Melayu dengan kaum lain dan antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain.
Berdasarkan situasi, bahasa pasar bermaksud bahasa campuran antara bahasa Melayu dengan
bahasa yang lain seperti bahasa Cina dan bahasa bahasa Tamil.
Bahasa pasar digunakan untuk tujuan tidak rasmi seperti ketika membeli-belah di kedai,
berbual-bual, dan bertanya tentang sesuatu kepada orang lain. Tujuannya adalah untuk
mewujudkan pemahaman antara orang yang sedang berbual.
Bahasa Melayu pasar mempunyai ciri tatabahasa dan perbendaharaan kata yang dipengaruhi
oleh unsur-unsur bahasa Cina dan bahasa Tamil.
Contoh ayat yang menggunakan bahasa pasar :
a) Lu mana mau pigi ha?
b) Itu besar punya rumah siapa punya?
c) Kasi gua sepuluh ribu.
d) Itu gila punya orang sini mari tadi.
e) Itu cilaka punya orang banyak sue.