Anda di halaman 1dari 33

Karangan: Pelajar Bekerja Secara Sambilan?

Apakah kerja sambilan? Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan
oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut dilakukan oleh golongan tua
dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan atau membantu suami menyara keluarga.
Sememangnya kerja sambilan wajar dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden
tetapi gaya ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja.
Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang
pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik.
Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat
kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada
remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya.
Malah, remaja mampu membentuk personality yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di
tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa,
rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja
yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka
bekerja secara sambilan ini.
Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang
mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas
kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan.
Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.
Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi
pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan, lupa
tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup
sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu
menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.
Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara
bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan.
Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini
sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah
yang lain.

Karangan: Bahasa Melayu semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita. Orang luar turut
memandang rendah bahasa kita itu.
Bahasa Melayu merujuk bahasa kebangsaan di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan itu.
Namun, bahasa ini semakin dipinggirkan oleh masyarakat umum terutamanya generasi muda sehingga
penggunaan bahasa ini semakin merosot. Lantaran itu, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk
memastikan bahasa ini kembali gah di persada dunia.
Tindakan yang mudah untuk menjadikan bahasa kebangsaan ini kembali digunakan oleh masyarakat ialah
pihak berkuasa menerbitkan filem bertaraf dunia untuk tontonan umum. Apabila filem dalam bahasa
kebangsaan ini ditonton oleh orang asing sudah pasti keinginan mempelajari bahasa itu akan muncul.
Keinginan ini menjadi semakin meluas apabila filem yang menarik itu dialih bahasa mengikut bangsa
yang menontonnya seperti filem korea yang dialih bahasa menjadi bahasa Melayu di Malaysia.
Selain itu, pihak yang berkuasa dalam bahasa boleh menerbitkan lebih banyak dokumentari tentang
bahasa ini supaya pelbagai polemik yang timbul dalam bahasa diketahui umum. Dokumentari ini boleh
disiarkan menerusi internet kerana generasi muda lebih gemar melayari internet untuk memperoleh
informasi. Maka, usaha menerbitkan dokumentari ini akan menjadikan perbahasan tentang bahasa ini
semakin rancak lalu menjadikan generasi muda meminatinya semula.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga boleh di apai menerusi kerjasama pihak pemimpin negara dan
ahli politik yang sanggup menggunakan bahasa ini dalam ucapan rasmi mereka terutama ketika berada di
luar negara. Apabila golongan pemimpin negara menggunakan bahasa ini sudah pasti pihak luar akan
berusaha memahaminya lalu tersebarlah keagungan bahasa ini. Maka, bahasa Melayu akan kembali gah
di persada dunia apabila pemimpin politik negara menghulurkan kerjasama mereka.
Bahasa Melayu boleh ditingkatkan keagungannya semula apabila sektor awam dan swasta di negara ini
menggunakan bahasa itu dalam semua urusan harian mereka. Semua pihak yang bekerja di kedua-dua
sektor ini akan menjadikan penggunaan bahasa ini lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu dalam
kalangan pelajar sahaja. Lama-kelamaan, bahasa ini akan menjadi satu kebanggaan dalam jiwa setiap
rakyat Malaysia kerana mereka menggunakannya dalam kehidupan harian terutama ketika bekerja itu.
Konklusinya, bahasa Melayu memerlukan satu lonjakan baru untuk menjadi sebuah bahasa antarabangsa
semula. Semua pihak terutamanya kerajaan hendaklah sanggup memikul tugas untuk merealisasikan
impian ini. Bak mata pepatah bahasa menunjukkan bangsa yang membuktikan penggunaan bahasa
Melayu dalam kehidupan kita bakal menentukan imej bangsa Malaysia itu pada masa depan.

Karangan: Kegiatan cetak rompak di negara ini masih lagi berlaku terutama secara online.
Aktiviti cetak rompak di negara ini dikatakan sudah mencapai tahap meruncing terutama di kawasan
bandar. Biasanya, amalan ini melibatkan pelanggaran hak cipta lagu, filem, muzik, dan gambar serta
produk tertentu yang memberikan keuntungan kepada pesalah. Jadi, ada banyak perkara yang boleh
dilakukan untuk mengekang masalah ini daripada berlarutan.
Langkah pertama melibatkan usaha pihak berkuasa menggubal akta yang lebih menyeluruh untuk
menghalang kemelut ini berlaku. Dalam undang-undang ini hukuman yang dikenakan lebih berat seperti
kadar denda yang tinggi dan tempoh penjara yang panjang kepada mana-mana pihak yang melakukan
perkara negatif ini. Lama-kelamaan, semua pihak tidak berani terlibat dalam gejala cetak rompak kerana
takut dihukum dengan hukuman yang berat itu.
Selain itu, polemik cetak rompak boleh dikawal apabila pihak berkuasa menyiarkan kempen kesedaran
tentang isu ini. Kempen ini disiarkan menerusi internet dan rangkaian sosial kerana remaja sering
menjadikan rangkaian sosial punca informasi mereka. Akibatnya, golongan muda ini memahami situasi
cetak rompak di negara lalu mereka tidak akan melakukan amalan yang keji itu.
Tambahan pula, isu cetak rompak boleh dikawal apabila pihak penguat kuasa menjalankan pemeriksaan
dengan lebih menyeluruh. Bilangan anggota penguat kuasa ditambah bersama-sama kuasa mereka untuk
menangkap, menahan dan menghukum sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan cetak rompak.
Akibatnya, pihak yang melakukan cetak rompak tidak berpeluang untuk menjalankan aktiviti mereka
kerana rondaan pihak berkuasa begitu kerap.
Akhir sekali, satu badan khas yang berfungsi memantau aspek hak cipta ditubuhkan di negara ini sebagai
kaedah menghalang cetak rompak. Badan khas ini mempunyai pegawai yang mahir dalam mengenal pasti
mana-mana pihak yang melanggar hak cipta pihak lain. Jelaslah, badan khas ini berupaya menghalang
sebarang niat jahat pihak tertentu untuk mempergunakan hak cipta produk syarikat lain di negara ini.
Kesimpulannya, masalah cetak rompak telah menjadi duri dalam daging di negara ini sehingga
menjejaskan imej negara. Ada pihak yang melihat isu ini sebagai remeh lalu enggan berubah sikap
dengan membeli produk sebenar itu. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang
membuktikan bahawa masyarakat kita masih enggan bertindak dengan bijak untuk menyelesaikan
masalah cetak rompak ini.

Karangan: Kemajuan sains dan teknologi mendatangkan kebaikan kepada manusia.


Perkembangan sains dan teknologi merujuk perubahan dalam penghasilan alat-alat yang memudahkan
kehidupan manusia. Produk seperti kereta, komputer, televisyen, dan telefon bimbit menjadi bukti
perkembangan sains dan teknologi itu. Sesungguhnya, kemajuan dalam bidang ini memang
mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia.
Faedah yang paling ketara terhasil menerusi sains dan teknologi ialah perkara ini memudahkan urusan
manusia di pejabat. Pengenalan sistem online memudahkan jabatan kerajaan dan swasta berkomunikasi
sesama mereka serta masyarakat. Akibatnya, teknologi ini menjimatkan penggunaan kertas kerana urusan
surat-menyurat diganti dengan komunikasi menerusi sistem online tersebut.
Selain itu, sains dan teknologi turut memudahkan komunikasi atau perhubungan sesama manusia.
Penggunaan internet menjadikan kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di dunia ini menerusi satu
sentuhan jari sahaja. Perkara ini boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, sahabat, dan kenalan
kerana kosnya yang begitu murah.
Tambahan pula, sektor pendidikan turut menerima tempias pengenalan sains dan teknologi tersebut.
Penggunaan komputer menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah lebih menarik serta
efisien. Lantaran itu, para pelajar akan lebih cepat memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru mereka.
Sains dan teknologi turut membantu kehidupan suri rumah menjadi lebih mudah dan teratur. Penciptaan
pelbagai jenis mesin dapat menggantikan tenaga wanita dalam menguruskan rumah tangga mereka seperti
mesin basuh, periuk elektrik, dan pengisar makanan. Maka, tugas suri rumah menjadi lebih senang dan
kehidupan keluarga lebih menarik.
Kesimpulannya, sains dan teknologi memang membawa banyak kesan positif terhadap manusia. Namun,
ada pihak yang melihat teknologi dan sains menjadikan manusia semakin malas. Bak kata pepatah sekali
air bah sekali pantai berubah yang menyaksikan kehidupan manusia bakal ditentukan oleh penghasilan
sains dan teknologi yang selalu berubah itu.
Karangan PT3: Ibu bapa memiliki tugas yang berat dalam proses membentuk anak yang baik
tetapi pelbagai masalah tetap timbul.
Usaha mendidik anak bukanlah satu tugas yang ringan kerana berat mata memandang berat lagi bahu
yang memikulnya. Tugas di pejabat yang semakin mencabar turut menjejaskan tumpuan ibu bapa dalam
usaha mendidik anak mereka tersebut. Jelaslah, ibu bapa alaf ini menghadapi cabaran yang menggunung
dalam mendidik anak sendiri.
Dugaan utama yang menghalang ibu bapa melaksanakan tugas mereka dikaitkan dengan situasi
kemunculan media rangkaian sosial itu. Remaja zaman ini sering membandingkan asuhan ibu bapa
dengan rakan sebaya di dalam media rangkaian sosial terutamanya “facebook”. Apabila perbandingan
dibuat sudah pasti didikan ibu bapa akan menjadi perbahasan dalam jiwa anak sehingga mereka tidak lagi
menghormati ibu bapa sendiri.
Selain itu, ibu bapa era moden turut menghadapi cabaran mendidik anak yang begitu hebat kerana
persaingan dalam aspek pendidikan begitu ketara. Semua ibu bapa mahu anak mereka berjaya dalam
peperiksaan umum negara sehingga mereka mendesak anak belajar tanpa henti pula. Akibatnya, ada ibu
bapa yang memaksa anak belajar lalu perselisihan faham berlaku sehingga menjejaskan hubungan
keluarga.
Tambahan pula, kemunculan pelbagai gejala sosial dalam zaman ini telah meninggalkan kesan mendalam
pada jiwa ibu bapa sehingga menjejaskan didikan mereka. Rasa risau jika anak mereka terpedaya dengan
gejala sosial seperti melepak, merokok, berjudi, dan pengambilan dadah. Mereka terpaksa mendidik
secara keras lalu anak mula memberontak menjadikan hubungan mereka terus renggang untuk satu
tempoh yang panjang.
Cabaran terakhir yang menduga ibu bapa dalam melaksanakan tugas mereka ialah ibu bapa terpaksa
menghadapi pemikiran materialistik masyarakat. Semua aspek kehidupan anak dipenuhi dengan
keperluan kewangan terutamanya pendidikan, pakaian, dan peribadi yang sukar untuk dipenuhi oleh ibu
bapa. Lama-kelamaan, ibu bapa berasa tertekan lalu mereka mula bertindak melulu dalam urusan
mendidik anak yang menimbulkan pertengkaran pula.
Kesimpulannya, tugas mendidik anak pada zaman ini bukanlah mudah. Ibu bapa perlu melengkapkan diri
mereka dengan pelbagai kemahiran terutama kemahiran teknologi komunikasi untuk memahami sikap
anak mereka. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana didikan awal sahaja yang
berupaya menghasilkan anak yang baik.
Karangan: Makanan ringan sudah menjadi satu jenis makanan harian kanak-kanak di negara ini.
Makanan ringan bermaksud makanan yang tidak mengandungi zat makanan yang sesuai untuk kanak-
kanak. Pada zaman ini, kategori makanan ini meliputi minuman bergas, gula-gula, keropok, dan juga
makanan segera. Sebenarnya, makanan ini menjadi pilihan utama kanak-kanak disebabkan oleh pelbagai
faktor.
Punca utama makanan ini digemari oleh kanak-kanak dikaitkan dengan harganya yang murah. Wang saku
yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak mereka tidak banyak lalu kanak-kanak perlu bijak berbelanja
dengan membeli makanan yang murah. Lama-kelamaan, amalan sebegini menjadikan makanan ringan
makanan utama kanak-kanak kerana faktor harga yang begitu murah berbanding makanan yang
berkhasiat.
Selain itu, kanak-kanak memilih makanan ringan kerana cara pembungkusannya yang menarik perhatian
mereka. Para pengilang menggunakan kata-kata yang menarik bersama-sama warna bungkusan yang
terang untuk mengambil perhatian kanak-kanak. Akibatnya, makanan ringan menjadi makanan utama
dalam kehidupan kanak-kanak itu kerana mata mereka tertarik dengan cara pembungkusannya itu.
Tambahan pula, makanan ringan mudah diperoleh oleh kanak-kanak lalu mereka sering membelinya.
Penjual menjual makanan ringan di kawasan sekolah dan kedai runcit sekitar kawasan perumahan kerana
tiada kawalan terhadap penjualan makanan sebegini. Sesungguhnya, kanak-kanak negara ini akan terus
membeli makanan ringan kerana mudah untuk mereka membelinya.
Kanak-kanak turut memilih makanan ringan kerana makanan ini dikatakan sedap lalu memenuhi cita rasa
mereka. Makanan ini mengandungi gula, dan garam serta lemak yang menjadikan kanak-kanak begitu
gembira memakan makanan ini. Jelaslah, makanan ini amat diperlukan oleh kanak-kanak kerana rasanya
yang sedap berbanding makanan seperti sayur dan ayam.
Kesimpulannya, makanan ringan memang diminati oleh kanak-kanak di mana-mana pun. Ibu bapa
memikul tugas berat mengawal aspek pemakanan anak mereka. Bak kata pepatah nasi sudah menjadi
bubur kerana kanak-kanak sebegini akan mendapat pelbagai jenis penyakit pada masa depan.
Tambahan pula, hubungan sesama manusia menjadi lebih mudah apabila teknologi dan sains digunakan
secara meluas dalam kehidupan manusia. Internet membolehkan manusia berkomunikasi dengan sesiapa
sahaja di dunia ini secara pantas kerana kosnya begitu murah. Jelaslah, teknologi sebegini akan
merapatkan sesama ahli keluarga, sahabat, dan kenalan sehingga mewujudkan suasana kehidupan yang
harmoni.
Teknologi dan sains yang dihasilkan itu turut berupaya membantu suri rumah menguruskan rumah tangga
mereka. Wanita boleh memasak, mengemas rumah, dan mencuci pakaian pada masa yang sama kerana
semua peralatan zaman ini telah dicipta dengan begitu pintas sekali. Maka, mereka akan menjadi lebih
gembira kerana mampu menguruskan rumah sehingga menjadikan keluarga sejahtera.
Kesimpulannya, sains dan teknologi memang membawa banyak kebaikan kepada manusia dalam
meneruskan cabaran kehidupan moden ini. Cuma, ada segelintir pihak yang menyalahgunakan sains dan
teknologi ke arah kejahatan seperti menggodam komputer orang lain, menyiarkan berita palsu menerusi
rangakain sosial di telefon bimbit, dan menipu mangsa menerusi pelbagai taktik yang dikaitkan dengan
internet itu. Bak kata pepatah kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga yang menyebabkan imej sains
dan teknologi menjadi kabur pada mata masyarakat kita.
Karangan: Pelancongan semakin menjadi aspek penting dalam usaha menjana pendapatan negara
terutama ketika ekonomi dunia merudum ini.
Industri pelancongan semakin penting kepada Malaysia kerana menyumbang pendapatan yang tinggi
kepada negara. Sektor ini menyediakan peluang kerja kepada penduduk tempatan dan meningkatkan
kadar tukaran wang asing negara pada masa yang sama. Justeru, pelancongan turut mendatangkan kesan
yang banyak kepada budaya tempatan tanpa disedari oleh semua.
Ramai pihak berpendapat bahawa pelancongan memperkaya budaya tempatan yang sudah terkenal itu.
Pelancong yang datang ke negara ini pasti menyerlahkan budaya mereka seperti suka membaca, menjaga
kebersihan diri, dan menggunakan bahasa yang sopan lalu penduduk tempatan akan menirunya.
Tuntasnya, sikap pelancong yang positif ini akan menjadi sebahagian daripada budaya tempatan kerana
masyarakat kita pasti menirunya pula.
Sehubungan dengan hal itu, budaya tempatan akan berkembang kerana budaya ini dipupuk sebaik sahaja
jumlah pelancong semakin meningkat saban tahun. Hal ini demikian kerana pelbagai pertunjukan
kebudayaan tradisional boleh dianjurkan oleh pihak hotel yang menerima kunjungan pelancong asing itu.
Jelaslah, lebih banyak penduduk tempatan yang akan melibatkan diri dalam pertunjukan tradisional ini
lalu menjamin budaya lama ini terus hidup dalam masyarakat kita.
Selaras dengan hal itu, kedatangan pelancong asing boleh memupuk persefahaman antarabangsa pula.
Mungkin suatu masa dahulu penduduk negara ini tidak memandang orang Jepun dengan persepsi
kekejaman mereka ketika perang dahulu masih menghantui minda rakyat kita. Rumusnya, masyarakat
akan saling memahami budaya orang lain apabila sering bertemu seperti orang Jepun yang memahami
budaya kita dan kita yang menghormati budaya Jepun.
Kesimpulannya, sektor pelancongan harus diberi keutamaan oleh mana-mana pihak di negara ini kerana
bidang ini memberikan pulangan yang lumayan. Namun, masih ada segelintir pihak yang melihat
pelancongan sebagai satu kaedah penyebaran budaya kuning dalam kehidupan masyarakat. Peribahasa
jauh perjalanan luas pandangan membuktikan bahawa pelancongan merupakan satu bidang yang
berupaya memajukan minda masyarakat.

\
Karangan: Ibu bapa memainkan peranan dalam menghasilkan keluarga yang penyayang.
Keluarga penyayang bermaksud keluarga yang hidup dalam suasana yang baik dan harmoni. Biasanya,
keluarga ini selalu menghabiskan masa bersama-sama dan berani meluahkan perasaan mereka sepanjang
masa. Jadi, apakah tugas yang harus dilakukan oleh ibu bapa untuk memperoleh keluarga penyayang itu?
Perkara yang paling mudah dilakukan oleh ibu bapa untuk menjadikan keluarga mereka penyayang
melibatkan curahan kasih sayang kepada anak-anak. Setiap pagi mereka harus memeluk dan
mengucapkan kata-kata sayang kepada anak supaya mereka berasa disayangi selalu. Akibatnya, anak
akan memiliki sikap yang positif apabila dicurahkan kasih sayang sepanjang masa oleh ibu bapa mereka.
Selain itu, ibu bapa yang prihatin terhadap masalah anak mereka akan berjaya menghasilkan keluarga
yang penyayang itu. Semua perubahan sikap anak hendaklah diawasi kerana perubahan itu bermaksud
anak mereka mempunyai masalah tertentu. Lama-kelamaan, anak akan menyedari bahawa ibu bapa
mereka mengutamakan mereka kerana mempunyai sikap prihatin terhadap masalah anak.
Tambahan pula, keluarga penyayang akan terhasil sebaik sahaja ibu bapa menghabiskan masa dengan
anak-anak mereka. Apabila ada cuti sekolah atau cuti umum sudah pasti masa itu dihabiskan dengan
membawa anak melawat tempat baharu yang boleh merapatkan hubungan sesama keluarga. Aktiviti
sebegini akan menjadikan interaksi ibu bapa dan anak menjadi intim.
Kesimpulannya, ibu bapa perlulah mengambil inisiatif untuk membentuk keluarga penyayang itu. Mereka
harus sedar bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi yang mengingatkan kita betapa
pentingnya teladan ibu bapa dalam kehidupan anak. Apabila ibu bapa bersikap positif usaha
menghasilkan keluarga penyayang ini akan terhasil pula.

Karangan: Kehidupan remaja penuh dengan pelbagai cabaran terutama dalam kehidupan moden
itu.
Kehidupan remaja merujuk cara mereka menjalani aktiviti harian dalam hidup itu. Ada remaja yang
cemerlang hidupnya dan ada juga yang mengalami pelbagai rintangan yang hebat pula. Ringkasnya,
banyak faktor mempengaruhi corak kehidupan remaja pada zaman ini.
Perkara penting yang mencorakkan kehidupan remaja dikaitkan dengan pemilikan keluarga yang
berkaliber. Setiap ahli keluarga saling memberikan motivasi, nasihat, dan teguran yang betul kepada
remaja ketika mereka mengalami masalah. Akibatnya, remaja yang ada keluarga yang berwawasan akan
mengambil tindakan yang tepat dalam hala tuju kehidupan mereka.
Selain itu, remaja yang bijak menapis informasi yang diterima menerusi media massa akan mengharungi
kehidupan dengan baik. Banyak bahan dalam media massa terutamanya internet yang memutarbelitkan
fantasi dengan realiti. Lama-kelamaan, remaja yang gagal mengawal penggunaan media massa mereka
akan terjerumus ke lembah hina.
Tambahan pula, kehidupan remaja banyak ditentukan oleh jenis rakan sebaya yang didampingi oleh
mereka. Semua keputusan yang diambil oleh remaja pastinya berpunca daripada nasihat rakan sebaya itu.
Remaja lebih mempercayai rakan sebaya kerana usia yang serupa tanpa memikirkan kematangan rakan
mereka itu.
Sikap remaja itu sendiri turut mempengaruhi corak kehidupan mereka pada masa hadapan. Mereka yang
ada semangat yang tinggi dan berupaya memotivasikan diri akan berjaya menepis cabaran kehidupan
yang berlaku. Apabila sikap remaja itu berkualiti sudah pasti taraf kehidupan mereka juga akan menjadi
lebih baik.
Kesimpulannya, remaja zaman ini perlulah bertanggungjawab terhadap kehidupan sendiri. Mereka tidak
boleh menuding jari kepada sesiapa apabila kehidupan mereka tidak berjalan lancar. Sudah sampai
masanya remaja kita mencipta kejayaan mereka berdasarkan kekuatan sendiri dan bukannya bergantung
kepada orang lain.

Karangan: Masalah Pemanasan Global.


Pemanasan global merupakan ‘’demam panas’’ yang dialami oleh Bumi di mana keadaan alam sekitar
yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi secara mendadak. Peningkatan suhu ini bukan sahaja telah
menjejaskan kesihatan rakyat tetapi juga sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi negara.
Isu pemanasan global berlaku apabila aktiviti penebangan hutan, pembakaran terbuka, aktiviti
perindustrian, pelepasan asap kenderaan dan aktiviti penerokaan hutan yang giat dilakukan. Untuk
mengatasi masalah tersebut, kerajaan harus mengetatkan lagi undang-undang supaya aktiviti penerokaan
hutan dan sebagainya dapat dikawal.
Selain itu, kerajaan juga harus mengalakkan rakyat mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka
dalam mengatasi isu pemanasan rumah hijau. Kerajaan atau penubuhan NGO harus giat mengadakan
kempen – kempen kesedaran seperti kempen ‘’Sayangilah Alam Sekitar’’ dan sebagainya merupakan
salah satu alternatif yang bagus untuk memupuk semangat mencintai alam sekitar dalam setiap individu.
Melentur buluh biarlah daripada rebungya. Sikap mencintai alam sekitar harus dipupuk sejak kecil lagi.
Para ibu bapa harus mendidik anak untuk menjimatkan penggunaan eletrik dan air sebagai salah satu cara
untuk mengatasi isu pemanasan global. Selain daripada mendidik anak anak mereka, ibu bapa juga harus
menunjukkan teladan yang elok supaya anak-anak akan mencontohi kelakuan mereka dan bukannya
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Media massa huga harus turut memainkan peranan mereka untuk menyebarkan informasi dan maklumat
tentang pemanasan global kepada masyarakat. Sesetengah masyarakat terutamanya generasi tua ataupun
warga emas tidak sedar bahawa kelakuan mereka seperti pembakaran sampah secara terbuka akan
mendorong kepada peningkatan suhu.
Di samping peranan pihak media massa dan kerajaan, masyarakat juga turut berganding bahu untuk
mengatasi masalah pemanasan global. Selain daripada memandu kenderaan sendiri, kita juga harus
menggunakan kenderaan awam yang telah disediakan. Ini dapat mengurangkan kadar pelepasan gas
karbon monoksida di samping mengurangkan kesesakan jalan raya.
Tanggungjawab untuk memulihara kembali kesihatan Bumi merupakan peranan setiap penduduk dunia
dan tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan ataupun pertubuhan – pertubuhan NGO sahaja bak kata
pepatah bersama kita teguh, bercerai kita roboh. Hargai dan sayangilah bumi kita supaya generasi yang
akan dating dapat menikmati keindahan Bumi ini.
Karangan: Faktor-faktor Yang Menyebabkan Kes Ragut.
Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan buat
masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak betul dalam
masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini
bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh
itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?
Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak
memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat
kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka dan ini menjadI
sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan
apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang
asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian
telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.
Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami
kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa membuang
pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik. Ketidakupayaan
pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka
ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut
meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk
menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah
pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi
menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera seperti ini
sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh itu, kekurangan kamera litar tertutup
telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.
Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda
kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah masyarakat itu.
Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri seseorang untuk tidak melakukan
jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut
meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan agama mereka.
Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu
menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk
menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak
merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia.
Mungkin peribahasa sudah terantuk baru tengadah memberikan kita satu pandangan supaya bersedia
sedia sebelum masalah itu berlaku.
Karangan: Kebaikan-kebaikan Mengutamakan Sektor Perindustrian
Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama
sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed.
Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun
2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa
sebarang pertikaian lagi.
Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita
mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan
kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah.
Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk
membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan
sektor lain.
Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat.
Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan,
kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh
rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat
untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk
menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan
terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan
kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu
sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.
Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat
negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang
pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang
tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam
tempoh yang panjang.
Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat.
Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi
yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan
yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang
menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat
negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.
Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini.
Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak
negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam
penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.
Karangan: Rancangan Hiburan Televisyen Menyebabkan Masyarakat Lupa Tentang Budaya Seni
Tradisional
Televisyen sering dianggap sebagai satu ciptaan moden yang banyak membawa kebaikan kepada manusia
pada zaman moden ini. Namun, penyiaran pelbagai rancangan berbentuk hiburan telah menyebabkan ada
pihak beranggapan bahawa masyarakat mula meminggirkan budaya seni tradisional pula. Keadaan ini
diperkuatkan menerusi kenyatan demi kenyataan pihak media massa yang melihat program hiburan
sebegini menghancurkan kebudayaan tempatan seperti tarian dan permainan tradisional. Sesungguhnya,
penyiaran rancangan hiburan menerusi televisyen membawa masyarakat melupakan kebudayaan
tradisional mereka.
Kalau kita kaji secara mendalam kebanyakan rancangan hiburan yang disiarkan itu memaparkan cara
berpakaian yang langsung tidak berunsur tradisional. Ada artis terutama dari Barat yang memakai pakaian
yang mencolok mata kerana pada mata mereka pakaian sebegini mampu meninggikan lagi populariti
seseorang artis itu. Generasi muda yang menonton rancangan hiburan sebegini sudah pasti akan tertarik
lalu menganggap cara berpakaian artis itu sahaja yang betul lalu cuba memakainya dalam kehidupan
seharian mereka tanpa memikirkan kesan sampingannya. Jelaslah, program hiburan yang disiarkan itu
menyebabkan masyarakat kita melupakan cara berpakaian yang seiringan dengan kebudayaan tempatan.
Begitu juga penggunaan bahasa dalam rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen telah
menyebabkan kebudayaan tradisional kita terjejas. Akibat aspek masa dan cuba menjadikan rancangan
hiburan itu lebih menarik, penggunaan bahasa yang rojak dan tidak tepat digunakan secara meluas
sehingga menjadikan masyarakat sukar hendak membezakan penggunaan bahasa yang betul. Keadaan ini
menyebabkan ada pihak yang menganggap bahasa alam televisyen itu lebih betul berbanding dengan
tatabahasa yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di negara ini. Maka, kekeliruan sebegini
menjadikan bahasa kebangsaan kita akan diperlekehkan penggunaannya oleh pihak-pihak tertentu sehinga
menjejaskan imej kebudayaan tradisional negara kita pada jangka masa panjang pula.
Tambahan pula, program berbentuk hiburan itu turut memaparkan pemaparan kesopanan yang
bertentangan dengan kebudayaan tradisional kita. Sudah banyak kali kita mendengar komentar
masyarakat yang mengaitkan dengan kehilangan adat sopan generasi muda akibat terlalu terpengaruh
dengan budaya yang mereka tonton di televisyen itu. Budaya memarahi ibu bapa, bergaduh dengan guru
dan mengeluarkan bahasa kesat sudah dianggap biasa kerana masyarakat sering melihat adegan sebegini
di televisyen. Jelaslah, masyarakat kita semakin melupakan adat sopan ketimuran yang suatu masa dahulu
amat kita banggakan sudah hilang lantaran terlalu banyak menonton adegan yang kurang sesuai di
televisyen pula.
Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat
negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang
pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang
tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam
tempoh yang panjang.
Namun, penyiaran program hiburan di televisyen berupaya untuk menghalang pemikiran yang positif
dalam diri seseorang itu. Pandangan yang melihat kebudayaan negara itu sendiri sebagai satu kebudayaan
yang lemah dan tidak sesuai dengan peredaran zaman dipengaruhi menerusi sikap melihat program
hiburan yang keterlaluan itu. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan satu perasaan yang
menolak kewujudan kebudayaan tempatan dalam jiwa seseorang tersebut. Jelaslah, program hiburan di
televisyen menyebabkan pemikiran seseorang akan berubah lalu memandang rendah kebudayaan
tradisional mereka sendiri.
Pada masa yang sama, tindakan menyalahkan televisyen seratus peratus bukanlah satu tindakan yang
bijak kerana berlakunya sesuatu perkara itu sudah pasti banyak berkaitan dengan faktor yang lain juga.
Pinggiran kebudayaan tradisional kita turut disebabkan sikap generasi muda kita yang tidak begitu
memandang tinggi kebudayaan tempatan sehingga sanggup meniru kebudayaan lain pula. Kita
menganggap kebudayaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Barat itu lebih moden dan
praktikal lalu segera menirunya tanpa merujuk dahulu aspek menghargai kebudayaan sendiri. Maka,
kegagalan menghargai negara, bangsa dan kebudayaan sendiri turut menyebabkan kebudayaan tradisional
itu semakin lama semakin hilang ditelan zaman.
Kesimpulannya, rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen itu memang menyebabkan
kebudayaan tradisional kita mengalami kemerosotan daripada segi imejnya. Semua pihak terutama pihak
berkuasa hendaklah lebih peka untuk membuat peraturan yang mengehadkan penayangan rancangan
berbentuk hiburan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kebudayaan tradisional kita itu. Kegagalan
berbuat demikian dengan segera akan menyebabkan kebudayaan kita terhakis sedikit demi sedikit lalu
hilang akhirnya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih― membuktikan
semua yang berlaku itu berada dalam ketentuan diri kita sendiri.

Karangan: Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara Kita


Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan
keamanan negara kita.
Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman
bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus
pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada
negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak
tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada
dalam situasi harmoni itu.
Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan
tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan
mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan
memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara
yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan
berteknologi tinggi.
Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara
ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau
lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini
juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk
memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan
keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu
tahap keamanan yang tinggi..
Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini
apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran
pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara
yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system
pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses
demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di
negara ini.
Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula
menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan
sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan
kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini
untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa
masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus
dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.
Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini.
Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa
mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal
jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat
negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis
menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.
Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa
yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang
harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik
mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya― kerana keamanan ini
memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

Karangan: Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang


Cogan kata dicipta dengan pelbagai tujuan dalam kehidupan manusia kini. Pada satu peringkat cogan kata
berperanan untuk menggambarkan tujuan sesuatu tindakan itu. Ada juga cogan kata yang dihasilkan
dengan niat untuk menarik perhatian orang ramai terhadap sesuatu perkara pula. Jadi, “Sekolah
Cemerlang Pelajar Terbilang”• merupakan satu cogan kata yang mempunyai pelbagai tafsiran kepada
pelajar, masyarakat dan sekolah itu sendiri.
Cogan kata ini bermaksud jika sekolah itu cemerlang dalam semua aspek maka sekolah itu akan mampu
untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan terkenal. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah
merupakan tempat paling lama pelajar menghabiskan masa mereka yakni hampir 8-10 jam sehari dalam
tempoh lima hari seminggu. Jumlah masa yang panjang di sekolah membuktikan bahawa semua perkara
yang berlaku dalam hidup pelajar itu banyak bergantung atau berkait dengan pihak sekolah itu sendiri.
Jelaslah, sekolah yang baik berupaya melahirkan pelajar yang lengkap daripada semua aspek kehidupan
terutama peribadi dan kejayaan akademiknya.
Pemilikan cogan kata sebegini memberikan satu maksud yang jelas kepada mana-mana sekolah jua.
Semangat warga sekolah pasti mampu ditingkatkan kerana semua sedar kepentingan sekolah dan
penghuninya saling berkait. Guru-guru akan memastikan diri mereka berdedikasi untuk menjalankan
tugas manakala pelajarnya pula mengingatkan diri sendiri agar lebih berdisiplin untuk memudahkan
urusan pengajaran guru mereka kelak. Sesungguhnya, kewujudan cogan kata memberikan satu semangat
yang tinggi kepada semua pihak untuk berusaha mencapainya.
Malah, cogan kata ini seolah-olah cuba membutkikan bahawa suasana sekolah yang baik perlu
diwujudkan dahulu sebelum pelajarnya mendapat kejayaan pula. Sekolah yang cemerlang mampu
melahirkan lebih banyak pelajar yang baik peribadi dan kejayaan akademiknya. Masyarakat akan
mengenali seseorang pelajar itu belajar di sekolah yang tertentu berdasarkan karektor dan pencapaiannya
dalam kehidupannya. Sebenarnya, suasana sekolah yang baik berupaya menentukan kejayaan pelajarnya
pula.
Usaha untuk memiliki sekolah yang cemerlang dan pelajar yang terbilang bukanlah satu usaha yang
mudah. Semua warga sekolah harus menyedari kenyataan ini lalu sanggup berganding bahu untuk
menjalankan tugas masing-masing dengan baiknya. Semangat kerjasama sebeginilah yang bakal
menyaksikan semua masalah yang dihadapi baik oleh sekolah atau pelajar ditangani dengan berkesan
pula. Maka, cogan kata sebegini memberikan satu kefahaman kepada semua tentang usaha gigih yang
menanti mereka jika mahu memperoleh kejayaan.
Selain itu, cogan kata ini turut membabitkan istilah pelajar terbilang yang seolah-olah memberitahu
bahawa setiap pelajar tidak wajar melupakan sekolah lama mereka. Pelajar harus tahu menghargai
sekolah mereka dalam pelbagai cara atau bentuk tertentu. Penghargaan dalam bentuk pemberian
sumbangan kewangan untuk pihak sekolah menjalankan aktiviti pelajar menjadi satu contoh mudah buat
pelajar. Jelaslah, pelajar yang memahami cogan kata ini akan terus menerus membantu sekolah mereka.
Kesimpulannya, cogan kata merupakan satu istilah yang sesuai digunakan di semua sekolah di negara ini.
Pada masa yang sama cogan kata juga berupaya untuk menaikkan semangat guru dan pelajar untuk
bergerak bersama-sama ke arah satu matlamat yang diidamkan. Ketiadaan cogan kata seolah-olah
memberikan satu bayangan bahawa sekolah itu tidak mempunyai satu tradisi yang harus dipertahankan
oleh pelajar dan gurunya. Bak kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” membuktikan
sekolah juga ada peranan tertentu dalam mendidik pelajar.

Karangan: Usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam negara memberikan banyak manfaat
kepada masyarakat
Sistem pengangkutan awam merujuk sistem pengangkutan yang disediakan oleh kerajaan untuk
kemudahan rakyatnya bergerak ke destinasi yang dihajati oleh mereka. Perkhidmatan teksi, bas, LRT,
kereta api, dan sebagainya merupakan antara sistem pengangkutan yang disediakan tersebut. Namun,
sudah banyak pihak tertentu yang membuat komentar tentang kelemahan dalam sistem pengangkutan
awam negara itu. Maka, apakah usaha-usaha yang harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam menjadikan
pengangkutan awam pilihan rakyat.
Langkah yang paling bijak dilakukan oleh kerajaan ialah pihak berkuasa menurunkan kadar tambang
pengangkutan jenis ini. Kerajaan boleh mewajibkan semua pengusaha pengangkutan awam supaya
mematuhi arahan ini dengan memberikan pelbagai insentif kepada pengusaha itu pula seperti pelepasan
cukai keuntungan dan sebagainya. Dasar yang bijaksana ini akan menjadikan kos harian pergerakan
rakyat akan menurun lalu menarik minat lebih banyak pihak untuk menggunakan pengangkutan awam
sebagai pengangkutan utama mereka. Ringkasnya, tambang yang murah akan menjadikan pengangkutan
awam pilihan utama rakyat.
Selain itu, sistem pengangkutan awam yang bersatu atau berintregrasi sifatnya boleh menarik minat
masyarakat terutama remaja untuk menggunakannya pula. Satu pelan dasar induk pengangkutan awam
dirangka supaya semua sistem LRT dan MRT serta bas bersama-sama teksi disatukan lokasi dan
pembayarannya untuk kemudahan rakyat. Kejayaan integrasi ini memerlukan satu bentuk kerjasama yang
kukuh sesama pengusaha pengangkutan awam agar mereka mampu memberi perkhidmatan kepada semua
kawasan strategik masyarakat. Jadi, kemampuan kerajaan menjadikan sistem pengangkutan awam bersatu
atau seragam boleh menjadikan pengangkutan ini disukai oleh rakyat negara ini pada masa depan.
Tambahan pula, khidmat pelanggan sistem pengangkutan awam perlulah diubah menjadi lebih baik dan
mesra pula. Pekerja sistem pengangkutan awam diberi latihan cara yang betul dan mesra untuk melayan
keperluan pengguna dalam sebarang keadaan supaya perkhidmatan pengangkutan awam berjalan lancar.
Kemampuan khidmat pelanggan yang baik akan menjadikan masyarakat lebih yakin dan gembira untuk
menggunakan sebarang jenis pengangkutan awam ini dalam kehidupan harian mereka. Sesungguhnya,
kejayaan pengangkutan awam negara banyak ditentukan oleh kemampuan sumber manusianya dalam
melayan keperluan pengguna sepanjang masa.
Kerajaan juga boleh menaikkan harga kereta di negara ini dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan
rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara. Semua kereta yang diimport dan dihasilkan oleh
negara hendaklah dikenakan harga serta cukai yang tinggi supaya rakyat berfikir dua kali sebelum
berhasrat untuk membeli kereta sendiri dalam kehidupan mereka. Apabila situasi ini berlaku sudah pasti
banyak rakyat akan beralih untuk menggunakan sistem pengangkutan awam negara pada bila-bila masa
sahaja kerana sedar kos pembelian kereta sendiri lebih mahal berbanding menggunakan bas atau LRT itu.
Akibatnya, pengguna pengangkutan awam akan bertambah sepanjang masa kerana rakyat kos untuk
menyelenggarakan kereta sendiri akan menghakis pendapatan bulanan mereka itu.
Akhir sekali, kerajaan bolehlah menjalankan kempen kesedaran yang efektif tentang kebaikan
menggunakan pengangkutan awam di negara ini. Kempen ini perlulah menarik dan mempunyai konsep
yang boleh difahami oleh generasi muda serta disiarkan menerusi media moden terutamanya internet.
Kemampuan kerajaan menyediakan kempen yang berkualiti akan membuatkan rakyat negara ini cuba
memberi peluang terhadap pengangkutan awam lalu jumlah pengguna pengangkutan ini akan bertambah.
Sudah terang lagi bersuluh membuktikan bahawa kempen menjadi alat yang penting dalam usaha
kerajaan mempopularkan pengangkutan awam negara.
Kesimpulannya, pengangkutan awam di negara ini masih jauh ketinggalan daripada aspek kemudahan
dan jumlah penggunanya berbanding negara jiran seperti Singapura. Sudah sampai masanya kita semua
berubah sikap dan persepsi terhadap pengangkutan awam yang dikatakan tidak berstatus tersebut. Jika
negara mahu terus maju dan moden pastinya pengangkutan awam diberikan penekanan tinggi oleh
kerajaan kita. Pengangkutan awam merupakan penentu kemajuan negara kita.
Karangan: Para pedagang senjata menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan untuk mengaut
keuntungan tinggi ekoran perkembangan industri senjata dunia.
Kita semua sedia maklum bahawa perkembangan industri senjata dunia telah menjadikan sektor ini
sebagai salah satu bidang yang menguntungkan. Nyawa manusia telah dijadikan taruhan industri ini untuk
mengaut keuntungan berlipat kali ganda terutamanya di kawasan rantau yang berisiko bergolak itu.
Antara negara yang menjadi pengeksport utama senjata dunia meliputi Amerika Syarikat, Rusia, Jerman,
Britain, Perancis, Itali, Brazil, China, dan beberapa negara lain. Kita harus memahami faktor yang
menyebabkan industri ini terus berkembang walaupun jutaan nyawa manusia telah hilang akibat
kewujudan industri ini.
Salah satu faktor yang menjana perkembangan industri senjata dunia dikaitkan dengan kemampuan
industri ini untuk mengeluarkan pelbagai jenis peluru berpandu, kapal terbang canggih, kereta kebal yang
unik, dan kapal selam yang berupaya berada di dalam laut untuk sekian lamanya. Semua teknologi yang
disebutkan tadi mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan ketenteraan sesebuah negara terutama jika
negara itu mempunyai sempadan dengan negara-negara yang berisiko tinggi berlakunya peperangan.
Industri ini telah berjaya memenuhi pelbagai keperluan dalam bidang ketenteraan mana-mana negara di
dunia ini. Jelaslah, industri ini berkembang kerana mereka berupaya memenuhi keperluan ketenteraan
negara di dunia ini.
Selain itu, perkembangan industri ini turut dijanakan oleh amalan campur tangan kuasa besar dalam
sebarang konflik yang melanda dunia pada masa ini. Tindakan campur tangan kuasa besar ini telah
menambahkan kebuntuan sebarang usaha untuk mencari jalan penyelesaian antara pihak yang
bersengketa tersebut. Rundingan demi rundingan yang diatur menemukan kegagalan sehingga
menyebabkan pihak yang bertelagah itu tidak lagi mempercayai sebarang rundingan meja bulat yang
boleh membawa keamanan lalu beralih mengangkat senjata untuk berperang. Ringkasnya, setiap
peperangan yang tercetus mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan industri senjata dunia kerana
mereka turut mempunyai kepentingan tertentu seperti kata pepatah ada udang di sebalik batu.
Tambahan pula, Amerika Syarikat yang dikatakan sebagai raja pembekal senjata dunia telah
meningkatkan lagi pengaruh mereka dengan menggalakkan syarikat negara itu bergabung dengan syarikat
pengeluar senjata yang lain. Penggabungan dengan syarikat senjata Eropah dan Asia telah menyebabkan
mereka berupaya untuk mengawal pasaran senjata dengan lebih menyeluruh pula. Situasi ini
menyebabkan pembekalan senjata dunia menjadi lebih luas, lancar, dan mudah sehingga sesiapa sahaja
berupaya membeli peralatan canggih ini jika mereka mampu membayarnya. Lantaran itu, sebarang
persengketaan pasti akan berakhir dengan penggunaan senjata sebagai jalan penyelesaiannya.
Peningkatan pasaran industri senjata api ini juga dikaitkan dengan kekerapan industri ini mengadakan
pameran pelbagai peralatan senjata mereka di dunia. Walaupun, banyak negara menggunakan pameran ini
dengan alasan boleh mendatangkan keuntungan daripada aspek pelancongan atau memberikan peluang
kerja kepada rakyat tetapi perkara yang nyatalah ialah industri ini boleh mengiklankan peralatan mereka
menerusi media massa yang membuat liputan pameran tersebut. Semua pihak terutamanya golongan
muda akan berasa kagum dengan kecanggihan teknologi persenjataan yang dipamerkan itu lalu minda
mereka hanya tertumpu kepada keupayaan senjata dalam menyelesaikan masalah pada masa depan.
Sebenarnya, pameran persenjataan menjadi pintu masuk yang paling mudah ke dalam minda manusia
bahawa semua masalah boleh diselesaikan jika manusia memiliki senjata yang paling canggih di dunia.
Industri ini juga semakin maju kerana mereka menggunakan peperangan yang berlaku sebagai medan
buat mereka menguji kemampuan senjata yang dihasilkan oleh syarikat masing-masing itu. Pelbagai
pihak yang berselisih faham dalam aspek kawasan sempadan negara akan menjadi mangsa adu domba
syarikat pengeluar senjata ini. Apabila senjata mereka diuji dalam peperangan sebenar pelbagai
perubahan boleh dibuat untuk menjadikan senjata itu lebih baik pada masa hadapan. Pada masa yang
sama, peperangan juga menjadi tempat paling efektif buat industri ini untuk membuktikan kepada mana-
mana pihak bahawa senjata mereka lebih baik berbanding senjata yang dihasilkan oleh pesaing mereka
apabila jumlah kematian manusia dijadikan ukuran asas.
Konklusinya, semua kuasa besar yang terlibat dalam industri senjata dunia perlulah bersikap adil dalam
menentukan masa depan dunia. Mereka seharusnya tidak menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan
untuk mengaut keuntungan yang besar. Kesan peperangan lebih banyak mendatangkan keburukan
daripada kebaikan bak kata pepatah menang jadi arang kalah jadi abu yang harus menjadi peringatan
kepada semua bahawa senjata bukanlah cara terbaik untuk berdamai. Sudah sampai masanya kita semua
mengutamakan ciri kemanusiaan dalam menyelesaikan semua persengketaan yang berlaku di dunia ini.

Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di negara kita.
Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan tersebut.
Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong
yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura,
Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan
Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber
ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan
selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong
berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi
tumpuan pelancong.
Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati.
Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita.
Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk
seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati
keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-
sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan
Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat
menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora
dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong
dari dalam dan dari luar negara.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula
jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing
khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai
pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran
matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh
keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini
juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-
manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke
negara kita.
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan
banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara
kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini
dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para
pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di
kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban
dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut,
kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut,
Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri
pelancongan negara.
Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya
di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk
maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India
telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal
dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia
juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat
Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula
terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia
telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan
sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementerian Pelancongan telah mengadakan
pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai
usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke
negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia
Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan
bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan
Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan
konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan
pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia
semakin berkembang maju.
Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi
negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua
masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta
akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk
berkunjung sambil merehatkan minda mereka.
Faktor Pencemaran Alam Sekitar dan Langkah Mengatasinya.
"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada
generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya."
Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling
berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Mendepani arus globalisasi, setiap kita pasti mahukan kondisi
alam sekitar yang terbaik dan indah mahupun aset pembangunan melampaui kesedaran kita terhadap
kepentingan alam sekitar. Oleh yang demikian, anjakan paradigma harus dilakukan agar punca-punca
berlakunya alam sekitar dapat dibejat.

Pencemaran alam sekitar boleh diruncingkan kepada tiga perkara iaitu pencemaran udara, pencemaran
air dan pencemaran bunyi. Pencemaran udara nyata memberikanheterogen impak kepada manusia
sekiranya sampah sarap dan sisa toksik terus dihumban ke dalam punca utama aliran air iaitu sungai dan
laut. Sampah sarap yang terkumpulghalibnya akan menyekat aliran air lantas menyumbang kepada
takungan air. Hal ini berpotensi menyebabkan banjir kilat. Selain itu, sisa toksik dan minyak daripada
kilang menyebabkan ekosistem organisma marin terganggu apabila disalurkan ke sungai atau laut.
Lebih ruwet lagi, pencemaran air memberikan kesan yang eksplisit terhadap kesihatan manusia kerana hal
ini seolah-olah menjadi medium penyebar penyakit-penyakit seperti taun dan juga denggi. Ironinya,
semua golongan harus mengenepikan sifat nafsi dan mulalah menjaga alam sekitar.

Tambahan lagi, minda manusia berjiwa rakus seperti golongan pemaju perumahan masih dangkal
kerana asyik memikirkan keuntungan. Jadi, kealpaan ini menyebabkan pencemaran udara. Hal ini kerana,
semakin banyak pokok-pokok ditebang bagi memberikan medan kepada kemajuan sektor pembangunan.
Pencemaran udara berlaku apabila gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia tidak dapat diserap
oleh sang flora dek kerana populasinya kian merudum. Proses perumahan di kawasan lereng bukit juga
harus dihentikan kerana menyoroti peristiwa lampau, tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada
2009 menjadi indikator yang jelas bahawa hal ini tidak harus dimanifestasikan.

Di samping itu, masalah pencemaran alam sekitar diperkasakan lagi dengan pencemaran bunyi. Hal ini
lebih tertumpu kepada rumah-rumah di kawasan perindustrian. Banyak aduan yang disiarkan di media
apabila ketenteraman penduduk diakui terganggu dengan bunyi bising yang terhasil daripada pengilangan
berskala besar seperti kilang kelapa sawit dan sebagainya. Rentetan daripada itu, asap yang dibebaskan
tanpa tapisan menyebabkan pencemaran pencemaran udara yang izhar. Oleh yang demikian, pengusaha
kilang harus bersifat inovatif dan pragmatis agar pencemaran tersebut dapat dikekang.

Namun begitu, sekiranya pencemaran-pencemaran tersebut terus menggugat keindahan alam sekitar, kita
haruslah memikirkan mangkin yang efektif agar pidana ini tidak bermaharajalela. Langkah yang boleh
diambil adalah proses pemeliharaan dan pemuliharaan yang berterusan. Cara ini dapat meningkatkan
kandungan gas oksigen dalam udara selain kelebihan menahan tanah daripada runtuh sekiranya
penanaman di lereng-lereng bukit dilakukan secara progresif. Di samping itu, pemaju perumahan yang
masih tegar menjalankan projek di kawasan yang tidak diluluskan harus menjalani hukuman berat. Hal ini
bagi memartabatkan kesedaran mereka bahawa alam sekitar amat penting. Bagi memastikan langkah ini
menjadi, pihak berkuasa tempatan harus melakukan observasi dengan kerap. Sekiranya pihak berkuasa
tempatanlah yang menjadi petualang dengan menerima suapan, maka benarlah pepatah, "harapkan pagar,
pagar makan padi". Mereka harus dihukum.
Oleh itu, semua pihak haruslah bersinergi agar alam sekitar dapat dikekalkan keindahannya. Janganlah
kita menjadikan modenisasi sebagai alasan yang konkrit untuk tegar menjadi evasif. Seharusnya, kita
hendaklah mengetahui bahawa jika alam sekitar terus dicemari, generasi akan datang akan
kehausan signifikan alam sekitar terhadap masyarakat di dunia.

Langkah-Langkah Untuk Mengatasi Pencemaran Alam


Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini.
Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai
pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah
melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan alam sekitar terpelihara.Walau bagaimanapun, gejala
pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan
mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib
menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak
berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-
undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan
hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam. Selain itu, tindakan
penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara
tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam
biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika
hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar
denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka
bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu, pihak berwajib mestilah
lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.

Selain itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid
sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang
sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat
dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata
pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah
khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar
dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa
lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi
gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya.
Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi
pencemaran alam.

Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen
dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu
maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah
penyampaian maklumat melalui kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat
dengan masyarakat. Pada umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu,
televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah
mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar digunakan
sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini kempen yang dilaksanakan
tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah seperti pahat dengan
penukul. Adakalanya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen
yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran
alam sekitar.

NOTA TAMBAHAN
ISU-ISU ALAM SEKITAR
Ramai orang kini sedar tentang kemerosotan alam sekitar. Bagi tempat-tempat tertentu kemerosotan alam
sekitar telah mencapai krisis dan boleh dianggap sebagai bencana. Sebagai contohnya, kebocoran loji
nuclear di Chernoby, Ukraine ( dulunya dalam kesatuan Soviet ) telah merosakkan alam sekitarnya tanpa
dapat diperbaiki dan masih menjadi ancaman kepada penduduk sekitar dan alam sekeliling. Media massa
sering membawa berita tentang aspek kemerosotan alam sekitar alam sekitar, dan tidak kurang juga orang
perseorangan menyuarakan tentang keadaan alam sekitar itu dalam media tersebut. Antara perkara yang
diberi perhatian termasuklah keadaan pencemaran di bandar-bandar besar, kesesakan lalu lintas di bandar,
banjir kilat, pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih.Selain itu, penebangan hutan tak
terkawal dan kepupusan pelbagai spesis flora dan fauna juga turut diberi perhatian.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan
sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan
kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak
dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi
generasi masa depan akan menwarisi masalah yang diwujudkan pada masa ini. Oleh itu, timbullah
pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi
dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut.
Pelbagai usaha untuk menangani isu-isu alam sekitar telah dilakukan sama ada oleh kerajaan, pihak
swasta dan masyarakat sendiri melalui cara perundangan dan bukan perundangan namun hasilnya tetap
tidak memuaskan. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai kelemahan dan kekangan dalam melaksanakan
langkah-langkah tersebut. Adalah diharapkan tugasan yang dijalankan ini dapat mengenal pasti kekangan
dan masalah tersebut dan seterusnya mencadangkan cara penyelesaian yang lebih baik dan berkesan
untuk isu-isu tersebut.
MASALAH KETEGA
SAN DAN PELAKSANAAN
Keberkesanan kaedah kawalan alam sekitar bergantung pada setakat mana kawalan-kawalan itu
mencukupi dan memandai. Apakah kawalan-kawalan itu merangkumi segala aspek permasalahan alam
sekitar, termasuk segala bentuk bentuk pencemaran dan keutuhan sumber alam. Pengawalan bukan
semata-mata terhadap masalah yang telah serius tetapi juga turut merangkumi segala bentuk pencemaran
walaupun masih dalam peringkat yang tidak membimbangkan dan juga segala kemungkinan kemusnahan
terhadap alam sekitar yang akan berlaku juga perlu diambil kira. Di Malaysia, peruntukkan undang-
undang adalah merangkumi hampir segala aspek tentang alam sekitar namun adalah menjadi satu trend
bagi pihak berkuasa untuk menumpukan kawalan ke atas masalah-masalah alam sekitar yang telah serius
dan mendapat perhatian dan meminggirkan masalah-masalah yang biasa. Namun pihak berkuasa tidak
boleh dipersalahkan kerana untuk melakukan kawalan yang menyeluruh memerlukan kos yang tinggi.
Oleh itu, pihak swasta dan masyarakat secara amnya perlu mengeluarkan sedikit wang dan tenaga untuk
membantu pihak berkuasa menjalankan kawalan menyeluruh ke atas alam sekitar dan tidak
mengharapkan pihak kerajaan semata-mata..
Masalah seterusnya ialah dari segi ketegasan langkah-langkah kawalan yang telah diambil. Apakah
peraturan-peraturan yang dibuat dalam bentuk penetapan tingkat piawaian misalnya, sudah cukup tegas
dan sesuai dengan tingkat yang boleh menjamin kesihatan, atau apakah tingkat tersebut sudah cukup
tinggi sesuai dengan tingkat penetapan yang telah dibuat oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) atau Amerika Syarikat. Begitu juga apakah cukai pencemaran atau denda yang
dikenakan itu sudah cukup tinggi sehingga ia boleh dijadikan daya penggerak utama bagi menggelakkan
pencemaran. Soalan seterusnya ialah dari segi pelaksanaannya. Apakah semua program dan penetapan
yang telah dibuat itu dapat dijalankan sepenuhnya?
Masalah ini akan diulas lebih lanjut dalam kelemahan penguatkuasaan tetapi dari segi umumnya tingkat
piawaian pengurusan alam sekitar di negara ini ada yang telah mencapai standard antarabangsa dan ada
yang belum. Sebagai contoh, sistem pembekalan air di Malayisa telah memenuhi piawaian WHO (
sumber: Majalah MASSA ) namun pengurusan alam sekitar di Malaysia masih dikritik masyarakat
antarabangsa kerana lebih mengutamakan pembangunan. Tentang denda dan undang-undang yang ada,
secara keseluruhan ia masih belum mampu membendung pencemaran di tahap yang dikehendali dan
bukan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan kerana pelbagai masalah dan kekangan.
Contohnya program kitar semula yang bermula awal tahun 2000 semakin terpinggir kerana tiada
sambutan daripada masyarakat selain daripada kesukaran mewujudkan pusat kitar semula di setiap daerah
dan kawasan.
KEKANGAN POLITIK DAN EKONOMI
Masalah alam sekitar berkait rapat dengan masalah ekonomi dan seterusnya kekukuhan politik
pemerintah pemerintah. Keutamaan yang diberikan terhadap penjagaan alam sekitar bermakna sedikit
sebanyak akan menyekat dan menjejaskan prestasi ekonomi. Ketidakstabilan ekonomi negara akan
menyebabkan kemerosotan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah. Kerajaan pusat dan negeri
memerlukan sumber kewangan yang besar bagi projek-projek pembangunan. Oleh itu, projek-projek
pembangunan lebih diutamakan daripada kepentingan alam sekitar. Beberapa contoh dapat dilihat.
Pembinaan lebuh raya Karak-Kuala Lumpur telah menyebabkan pencemaran Sungai Gombak dan
perlahan-lahan menjadikannya sebagai kawasan paya yang tidak berguna . Pembinaan jalan raya Relau-
Balik Pulau telah merosakkan tanaman di enam buah kampong di daerah Relau dan Balik Pulau.
Selain itu, keanggotaan dalam Majlis Kualiti Alam Sekitar ( sebarang peraturan alam sekitar yang akan
dibuat dirujukkan kepadanya) juga gagal untuk mencerminkan penyertaan rakyat. Daripada sembilan
perwakilan yang terdapat di dalamnya tiada satupun daripada rakyat awam atau daripada mana-mana
badan bukan berkepentingan kerajaan. Cuma seorang sahaja yang dilantik daripada kalangan kakitangan
akademik universiti. Perwakilan yang seperti itu sudah tentu akan lebih memberatkan kepada priority
pembangunan ekonomi. Oleh itu, segala candangan dan nasihat daripada perwakilan majlis ini kepada
Menteri berkenaan juga tidak mungkin berada dalam tingkat mendesak khususnya daripada keperluan
piawaian yang tegas. Oleh itu, adalah penting agar keanggotaan dalam Majlis ini dinilai semula atau
mempunyai beberapa pemerhati daripada golongan orang awam agar segala keputusan dan tindakan yang
diambil oleh Majlis ini tidak mengutamakan kepentingan ekonomi semata-mata. Prinsip ‘check and
balance’ yang diamalkan oleh perlanan sistem pemerintahan negara yang terdiri daripada tiga cabang
utama iaitu eksekutif, legislative dan kehakiman boleh diguna pakai dalam hal ini.
Penguatkuasaan denda terhadap pihak yang melakukan pencemaran juga mempunyai kaitan dengan
kepentingan ekonomi. Jumlah denda yang tinggi kepada pengilang bermakna ia akan menjejaskan aktiviti
kilang tersebut. Keluaran mungkin akan dikurangkan atau harga barang keluaran kilang berkenaan akan
dikurangkan. Ini menyebabkan pihak berkuasa berkecenderungan mengenakan denda yang sedikit bagi
kesalahan yang besar. Misalnya, pada bulan Februari 1982, Hotel Holiday Inn telah didenda Cuma RM
300 kerana mencemarkan air laut di Batu Feringgi disebabkan pelepasan najis tak sempurna dan sisa-sisa
air buangan. Pada tahun 1981 pula, sebuah kilang di Kedah telah didenda RM 500 kerana mencemar
Sungai Tawar dan Sungai Kangar.
Jika dilihat daripada contoh-contoh ini, hukuman yang dikenakan adalah amat tidak berpatutan dengan
peruntukkan yang ada. Hukuman bagi pelepasan buangan ke laut ialah denda tidak lebih RM 10000 dan
penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Manakala hukuman bagi pencemaran perairan daratan
ialah denda tidak lebih RM 10 000, penjara tak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan
RM 1000 sehari bagi kesalahan yang diteruskan selepas mendapat notis daripada Ketua Pengarah untuk
menghentikanya. Di sini, banyak faktor boleh dilihat iaitu kelemahan penguatkuasaan, unsur korupsi dan
sebagainya yang menyebabkan masalah ini. Tetapi masalah ini juga tidak dapat lari daripada jangkaan
bahawa pihak berkuasa lebih mengutamakan kepentingan ekonomi semata-mata dengan berlembut
dengan pihak yang bersalah. Denda yang dikenakan ini hanyalah merupakan derma daripada pencemar
yang sedikitpun tidak akan memberi sebarang pengajaran kepada mereka. Mereka akan terus melakukan
pencemaran dan membayar denda yang kecil.
Selain itu, berlaku penindihan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan Negeri dalam isu-isu dan hal
berkaitan dengan alam sekitar. Peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri berkenaan
sumber dan hal-hal alam sekitar adalah jelas. Perundangan subsidiari sama ada undang-undang jenayah
dan sivil yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah mengikut garis panduan Perlembagaan
masing-masing kerana ia merupakan undang-undang yang tertinggi. Kerajaan Persekutuan dalam
usahanya untuk mewujudkan undang-undang yang seragam antara negeri telah meluluskan undang-
undang berkaitan alam sekitar yang dapat digunakan di semua negeri. Langkah ini diterima di semua
negeri di semenanjung namun keseragaman ini tidak dapat dicapai di Sabah dan Sarawak kerana kedua
buah negeri ini mempunyai peruntukkan khas dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, tiada
pindaaan yang boleh dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan hal ehwal kedua buah
negeri seperti hal- hal perundangan negeri, bidang kuasa Mahkamah Tinggi, agama dan adat istiadat
kedua buah negeri tanpa persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah atau Sarawak.
Selain itu, Jabatan Alam Sekitar yang merupakan agensi persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli
dan Alam Sekitar tiada kawalan menyeluruh berkaitan dengan sumber-sumber alam sekitar. Hal berkaitan
dengan dengan tanah, hutan, sumber air , kawasan Kerajaan tempatan, perikanan and pertanian adalah di
bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai
Negeri , Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, konflik sering berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan
Negeri berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.
Di dalam kes pemuliharaan alam sekitar, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kualiti Alam
Sekeliling ( Pindaan ) 1985 merupakan akta-akta yang digubal dan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan
tetapi pengurusan sumber alam sekitar masih dalam kawalan Kerajaan Negeri. Kejayaan Akta-akta
tersebut bergantung kepada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun
kadang kala kerjasama ini susah dicapai jika berkait dengan kepentingan kedua-dua buah pihak seperti
dalam kes pembalakan di Endau- Rompin.
Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) Hutan Simpan Endau-Rompin akan dijadikan Taman
Negara. Taman Negara ini terdiri daripada kawasan seluas 500 000 ekar dan termasuk 90 000 ekar di
Pahang dan 120 000 ekar di Johor. Pada tahun kedua Rancangan ini, Kerajaan Negeri Pahang telah
menggunakan 30 000 ekar daripada kawasan tersebut untuk pembalakan. Sebalik pelbagai bantahan
daripada badan bukan kerajaan dan orang awam, kerajaan Negeri menyatakan mereka amat memerlukan
hasil daripada pembalakan tersebut. Walaupun mendapat pelbagai tentangan dan perhatian daripada
Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pahang bercadang mengeluarkan lebih banyak lesen pembalakan.
Hal ini hanya dapat diselesaikan selepas pilihan raya pada tahun 1978 di mana Menteri Besar Pahang
yang baru dilantik.
Kes Endau-Rompin merupakan contoh pertelingkahan kepentingan antara kerajaan Persekutuan dengan
Kerajaan Negeri. Masalah pertelingkahan kepentingan dan pertindihan kuasa akan tetap berlaku kerana
masing-masing mempunyai hak untuk menguruskan sumber-sumber alam sekitar seperti yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukkan tersebut bukanlah buruk atau
membebankan kerana ia bertujuan mengimbangi kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri
di dalam sistem pemerintah negara yang berbentuk persekutuan. Namun ia tetap mempunyai
kelemahannya seperti yang telah dinyatakan. Dengan membuat pindaan kepada Perlembagaan
Persekutuan ia dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi mewujudkan juga masalah baru seperti kuasa
mutlak berada di tangan Kerajaan Persekutuan dan tiadanya imbangan kuasa dalam pemerintahan negara.
Namun, langkah terbaik dalam hal ini ialah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memberi kuasa
sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan sumber dan hal-ehwal alam sekitar namun
adalah penting memasukkan peruntukkan melantik badan yang bebas untuk mengawasi tindakan kerajaan
dalam menguruskan alam sekitar. Hanya dengan cara ini masalah pertindihan kuasa dan pertelingkahan
dapat diselesaikan di samping memastikan Kerajaan Persekutuan tidak bertindak sesuka hati dalam
pengurusan alam sekitar negara dengan melantik badan pemerhati bebas untuk mengawasi mereka.
Sesungguhnya, jika pihak kerajaan betul-betul mengutamakan alam sekitar mereka haruslah megetepikan
kepentingan politik dan ekonomi dan melaksanakan pembangunan terancang ( substainable development)
seperti yang diperuntukkan dalam rancangan Malaysia Ketiga hingga kini ( Rancangan Malaysia Ke- 9 ).
Tentang masalah melaksanakan undang-undang persekutuan di Sabah dan Sarawak kerana kedua buah
negeri ini mempunyai keistimewaan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri kedua buah
negeri perlu juga mengambil kira kebaikkan undang-undang tersebut terhadap pembangunan alam sekitar
di negeri masing-masing. Tiada salahnya mengguna pakai undang-undang tersebut dengan menggubal
undang-undang yang sama dengan undang-undang tersebut dan menguatkuasakannya di negeri masing-
masing jika ia betul-betul merupakan pilihan terbaik disebabkan kekangan yang ada untuk menggunakan
undang-undang persekutuan.
Tetapi masalah yang ada kini ialah kedua buah negeri terlalu mengikut telunjuk Kerajaan Persekutuan
dalam melaksanakan sesuatu projek sambil mengabaikan kepentingan alam sekitar. Contohnya,
Pembinaaan Empangan Bakun di Sarawak banyak menjejaskan ekosistem alam sekitar. Kerajaan negeri
dalam hal ini perlu menggunakan kuasa mereka seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan untuk tidak membenarkan projek ini pada awalnya jika mereka betul-betul mengutamakan
kepentingan dan pengurusan alam sekitar.
MASALAH BIDANG KUASA DAN HIERARKI JABATAN ALAM SEKITAR (JAS)
Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditubuhkan pada tahun 1975 untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 dan diketuai oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling yang mempunyai bidang kuasa
tertentu dalam mentadbir pengurusan alam sekitar di bawah Akta tersebut. Jabatan ini merupakan salah
satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ( kini Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar ).
Bidang kuasa JAS adalah terhad. Dalam hal-hal penentuan keputusan dan program, JAS tidak dan kurang
berperanan. Ia cuma sebagai badan penasihat yang nasihatnya tidak semestinya akan diterima.
Kementerian sendiri dalam usaha untuk memajukan penyelidikan sains misalnya penyelidikan dan
kegunaan atom dari segi keputusan dan perancangannya tidak pun meminta dan mengambil kira
pandangan JAS, sedangkan kedua-dua bahagian ini berada dalam Kementerian yang sama. Di sini jelas
bahawa peranan JAS hanyalah kepada pelaksanaan peraturan alam sekitar yang tertentu sahaja, itu pun
setelah berlakunya kerosakkan. Sekiranya dalam kementerian yang sama JAS tidak atau kurang
mempunyai kuasa untuk menyertai proses membuat keputusan, maka apatah lagi dalam Kementerian lain
atau jabatan-jabatan luar daripada kementerian ini.
Masyarakat cenderung menyalahkan Jabatan Alam sekitar apabila berlaku satu pencemaran yang serius
kerana tidak mengambil langkah awal mencegahnya. Apakah daya Jabatan ini untuk melaksanakan
langkah pencegahan awal jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementeriannya sendiri.
Jabatan boleh mengesyorkan mengambil tindakan awal untuk mencegah sesuatu pencemaran daripada
berlaku namun jika Kementerian sendiri tidak menyokong tindakan mereka dan meluluskannya serta
lebih mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata, cadangan itu hanya tinggal cadangan tanpa
pelaksanaan. Masyarakat perlu sedar bahawa kakitangan JAS hanya makan gaji dengan kerajaan dan
tidak mampu mengingkari arahan majikan sendiri. Oleh itu, JAS tidak sepatutnya disalahkan seratus
peratus apabila berlaku pencemaran alam sekitar yang serius.
Contoh masalah yang mungkin timbul antara JAS dan Kementerian ialah pihak Kementerian
membenarkan pembalakan di sesuatu kawasan dan JAS berpendapat pembalakan tersebut akan memberi
kesan yang serius kepada alam sekitar. Jika Kementerian tetap dengan keputusannya JAS tidak mampu
menghalang kerana Kementerian dan pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam hal ini. Oleh itu,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Menterinya Datuk Seri Adenan Satem perlu peka
terhadap perkara ini dan mengambil kira penglibatan dan pendapat JAS sebelum membuat sesuatu
keputusan agar objektif pembangunan terancang dapat dicapai.
Selain itu, beberapa kelemahan lain wujud dalam JAS dalam melindungi dan meningkatkan mutu alam
sekitar, misalnya tidak terdapat unit-unit penguatkuasa khas iaitu pegawai-pegawai dalam setiap unit (
unit pencemaran air, udara dan sebagainya) yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan
peraturan. Yang ada cuma perbincangan perbincangan antara JAS dengan unit-unit tersebut sahaja. Untuk
menyelesaikan masalah ini dan melancarkan penguatkuasaan, adalah wajar dilantik seorang pegawai bagi
setiap unit penguatkuasaan agar dapat menyelia dan merancang setiap tindakan unit tersebut.
Pertindihan kuasa antara bidang kuasa pengurusan alam sekitar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri juga merumitkan kerja JAS. Sebahagian besar sumber alam sekitar yang sepatutnya berada dalam
pemantauan JAS adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri seperti tanah, air dan hutan. Oleh itu,
mungkin timbul isu JAS tidak dibenarkan menjalankan tugas mereka oleh Kerajaan Negeri kerana
tindakan mereka melibatkan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, terdapat sebuah kilang
membuang bahan buangan ke dalam sungai dan JAS hendak mengambil tindakan terhadap mereka.
Namun mereka memberikan surat daripada Kerajaan Negeri yang membenarkan perbuatan tersebut.
Dalam hal ini, JAS akan berada dalam dilema sama ada mengambil tindakan atau tidak kerana perkara
tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dalam keadaan ini, JAS perlu melaksanakan
tugas mereka kerana mereka mempunyai hak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika
perkara ini dibawa ke mahkamah, mahkamah perlu memainkan peranan dalam menyelesaikannya.
Namun pertindihan kuasa ini juga mempunyai kebaikkan di mana kerajaan tempatan yang juga
mempunyai kuasa dalam pengurusan alam sekitar boleh membantu JAS dalam penguatkuasaan.
Kerjasama ini sudah tentunya membawa lebih banyak kebaikkan daripada bertelingkah tentang
pertindihan kuasa yang ada. Selain itu, kerjasama juga boleh dibuat dengan agensi penguatkuasa yang lain
seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah
dan Jabatan Kesihatan.
MASALAH KAKITANGAN
Masalah utama yang dihadapi oleh Jabatan Alam Sekitar dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam
Sekitar adalah dari segi masalah kakitangan organisasi iaitu berkaitan dengan pengambilan kakitangan
untuk mengisi jawatan kosong. Oleh sebab kakitangan yang ada tidak mencukupi untuk menjalankan
segala aktiviti yang berkaitan dengan penguatkuasaan peraturan yang ditetapkan di bawah akta tersebut,
maka jawatan kosong ini perlu diisi.
Pada peringkat awal pelaksanaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pejabat-pejabat JAS yang
mentadbirkan Akta ini memang telah menduga bahawa masalah perjawatan akan wujud dan dijangka
bahawa akta ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sebelum dapat dilaksana
dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Pada tahun 1974 dan 1975, tugas-tugas untuk menyelengarakan
penubuhan JAS sebagai agensi yang akan mentadbirkan akta ini dan masalah pentadbirannya terpaksa
dikendalikan oleh hanya dua orang Pegawai Tadbir Diplomatik (P.T.D ) serta tanpa kakitangan pembantu
yang tetap. Sehingga tahun 1975, kedudukan kepegawaian di Jabatan Alam Sekitar masih lagi serius
dengan beberapa kekosongan jawatan berlaku pada peringkat yang lebih kanan. Daripada sejumlah 25
jawatan yang ada cuma 13 jawatan sahaja yang terisi.
Pegawai-pegawai teknikal hanya diperoleh pada peringkat rendah mulai dari bulan Mei 1975.
Sungguhpun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah berusaha mencari
calon yang berkelayakan untuk memenuhi jawatan-jawatan tersebut tetapi masih tidak dapat dipenuhi
kerana ketiadaan calon yang sesuai dalam bidang yang berkaitan. Oleh yang demikian, program kerja
yang menyeluruh tentang langkah-langkah kawalan dan kerja-kerja perancangan tidak dapat dijalankan
secara sistematik dan sempurna sepertimana yang diharapkan.
Masalah kekurangan kakitangan ini sedikit sebanyak sudah pasti menjejaskan kejayaan pelaksanaan Akta
Kualiti Alam Sekitar 1974. Contohnya dalam aktiviti kajian dasar untuk menentukan pencemaran air pada
tahun 1980, hanya dua kajian dasar sahaja dapat dijalankan berbanding lapan kajian yang dicadangkan.
Ini disebabkan oleh kekurangan kakitangan pada awal tahun berkenaan.
Berdasarkan statistik yang dikemukakan, ia adalah statistik pada 25- 30 tahun dulu. Jadi apakah
keadaannya sekarang? Sehingga kini masalah kakitangan yang tidak mencukupi masih menjadi masalah
bagi JAS dalam melaksanakan penguatkuasaan dan perancangan. Walaupun JAS mempunyai pejabat di
setiap negeri, pegawai penguatkuasa masih belum mencukupi. Masalah ini mungkin berpunca daripada
pembiayaan yang tidak mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan dan masalah ini juga berlaku pada
agensi penguatkuasa yang lain.
Melihat kepada masalah ini yang masih belum selesai sejak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mula
berkuatkuasa, ia menunjukkan kelemahan daripada pihak kerajaan dan negeri dalam menguatkuasakan
undang-undang berkaitan dengan alam sekitar. Keadaan ini juga jelas menunjukkan ketidaksungguhan
pihak terbabit dalam melindungi alam sekitar dan melaksanakan pembangunan terancang seperti yang
telah dinyatakan dalam pelan Rancangan Malaysia Ketiga hingga sekarang. Oleh itu, masalah ini perlu
diselesaikan segera dengan mengambil sumber tenaga yang diperlukan untuk Jabatan Alam Sekitar dan
jabatan penguatkuasa yang lain agar masalah ini tidak berlarutan dan undang-undang yang ada dapat
dikuatkuasakan dengan lebih berkesan di samping perancangan pembangunan alam sekitar yang lebih
baik.
Namun janganlah mengambil mereka yang tidak berkelayakan atau tidak berminat dengan isu alam
sekitar untuk memenuhkan jawatan yang kosong. Adalah lebih baik menanamkan dulu sikap yang betul
kepada mereka yang dilantik agar mereka tidak menjalankan tugas dengan sambil lewa.
MASALAH KOS PENGURUSAN
Dalam Rancangan Malaysia Ketiga ( 1976-1980) , JAS telah mendapat peruntukan perbelanjaan
pembangunan awam berjumlah RM 40 juta dan jumlahnya telah merosot kepada RM 36 juta dalam
Rancangan Malaysia Keempat, walaupun keperluan penjagaan alam sekitar semakin mendesak. Jika
dibandingkan jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan awam, peratusnya adalah terlalu kecil, tidak
melebihi 2 peratus dalam kedua-dua rancangan tersebut. Walaupun begitu peruntukan kendalian JAS
terus meningkat melebihi 10 kali ganda antara tahun 1976-1985, ini khususnya disebabkan oleh bilangan
kakitangan JAS yang semakin meningkat.
Bagi buangan kotoran kumbahan domestik, JAS telah menetapkan buangan sebanyak 50 mg/1 BOD ke
sungai yang tidak digunakan bagi pembekalan air dan 20 mg/1 bagi sungai yang digunakan bagi sumber
pembekalan air. Kajian menunjukkan bahawa untuk mencapai matlamat antara 2-20 mg/1 ia memerlukan
perbelanjaan pelaburan sebanyak RM 2.71 billion. Jumlah ini terlalu besar dan tentunya menyukarkan
bagi pihak kerajaan membuat keputusan segera ke atasnya. Pungutan dan pelupusan sampah sarap pepejal
dikatakan melibatkan kos purata pada tahun 1983 sebanyak RM 50 setiap tan. Kalau bagi Kuala Lumpur
yang dianggarkan buangan pepejal sampah ialah 1000 tan sehari, maka ini bermakna sejumlah lebih
daripada RM 18 juta akan terlibat bagi setiap tahun untuk kawasan Kuala Lumpur sahaja.
Dari segi pihak pengilang (pencemar), kesukaran juga timbul dalam melaksanakan kawalan pencemaran.
Kos yang besar akan terpaksa ditanggung bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi kilang getah
dan kelapa sawit sahaja, sehingga tahun 1983, sejumlah RM 200 juta terpaksa dibelanjakan bagi tujuan
ini.
Menurut data terkini kerajaan memperuntukkan RM194 juta untuk hal-hal berkaitan alam sekitar dalam
belanjawan 2005. Jumlah ini cukup besar dibandingkan dengan 15-20 tahun lalu tetapi persoalan yang
timbul ialah adakah jumlah ini mencukupi? Jumlah ini menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam
pembangunan alam sekitar negara. Namun jika pencemaran terus meningkat tanpa pengawalan, jumlah
ini sudah tentunya tidak mencukupi untuk menanggung semua gaji pegawai dan kakitangan yang terlibat
dalam hal-hal alam sekitar, pembersihan semula kawasan pencemaran, program pemeliharaan dan
pemuliharaan dan sebagainya.
Salah satu langkah untuk mengurangkan kos ialah memberi kontrak pada pihak swasta menjalankan
proses pembersihan atau menswastakan sesebuah agensi atau jabatan yang cuma bertanggungan dalam
hal-hal pembersihan pencemaran. Langkah ini sudah pasti mengurangkan beban kerajaan namun masalah
akan timbul bila orang ramai terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati alam sekitar yang
bersih. Dalam hal ini sudah pastilah pihak kerajaan akan dipersalahkan pula.
Kesimpulannya, berapa banyak pun peruntukkan yang diberikan kepada kerajaan untuk pembangunan
alam sekitar negara, ia tetap tidak mencukupi jika pencemaran terus meningkat dan masyarakat tidak turut
memainkan peranan memelihara alam sekitar. Oleh itu, langkah terbaik ialah orang ramai turut
memainkan peranan agar pencemaran dapat dikawal dan seterusnya mengurangkan beban kerajaan.
Langkah ini akan turut melancarkan pembangunan alam sekitar negara agar orang ramai dapat menikmati
alam sekitar yang bersih.
MASALAH KESEDARAN DAN PENERIMAAN UMUM
Sungguhpun kesedaran rakyat tentang kepentingan alam sekitar telah meningkat, tetapi kesedaran ini
masih belum mencapai peringkat yang realistik. Masih ramai yang melihat pengurusan alam sekitar
semata-mata untuk mengadakan udara yang nyaman dan air yang bersih tanpa melihat kaitannya dengan
usaha pembangunan.
Berdasarkan keadaan ini terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab terus melakukan kegiatan yang
mencemarkan alam sekitar dan melanggar peraturan alam sekitar. Masih ramai pemandu kenderaan motor
yang menggunakan asap-asap kenderaan melebihi paras yang dibenarkan iaitu tak lebih 50 UAH yang
ditetapkan di bawah kaedah-kaedah Kereta Motor ( kawalan Pelepasan Asap dan Gas) 1977.
Majoriti rakyat Malaysia masih tiada kesedaran yang menyeluruh tentang pemuliharaan dan pemeliharaan
alam sekitar. Pelbagai pihak hanya melenting dan mengutarakan pendapat mereka apabila suatu isu alam
sekitar itu menjadi sensasi atau mendapat liputan meluas media massa. Namun tiada tindakan susulan
yang berkesan yang diambil untuk menyelesaikannya. Sebagai contoh, isu bahan toksik yang diletakkan
di dalam sebuah kilang terbiar di Johor di mana bahan toksik itu datang dari Taiwan . Pelbagai pihak
mengutarakan kebimbangan mereka dan kesan bahan toksik itu terhadap penduduk setempat, namun
masih tiada tindakan berkesan untuk menghapuskan bahan toksik atau memindahkannya ke tempat lain.
Mereka yang terbabit memberikan pelbagai alasan seperti pihak Taiwan enggan menerima balik bahan
itu, masalah pengurusan dan undang-undang dan sebagainya. Seharusnya tindakan drastik harus diambil
dalam hal ini seperti menlupuskan bahan toksik ini dengan segera dengan cara yang dipratikkan dan
bukan membiarkannya begitu sehingga suatu hari nanti memudaratkan penduduk.
Rakyat perlu sedar bahawa mereka turut bertanggungjawab dalam pemeliharan alam sekitar dan tidak
mengharapkan kerajaan semata-mata. Kesedaran perlu ada dan bukannya hanya mengambil mudah isu-
isu alam sekitar atau hanya pandai bercakap tanpa apa-apa tindakan. Cadangan dan pelan tanpa apa-apa
tindakan berkesan umpama mencurahkan air ke atas daun keladi.
KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Pendidkan dari peringkat awal memainkan peranan penting untuk menanamkan kepentingan
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat. Namun nilai-nilai ini jarang dapat
dilihat dalam masyarakat kini dan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar semakin meningkat.
Keadaan ini membuktikan kecacatan dalam sistem pendidkan negara yang gagal menanamkan sifat-sifat
sivik dan terpuji serta tentang hal-hal alam sekitar kepada masyarakat dan golongan pelajar.
Di sekolah Rendah dan Menengah, pendidikan alam sekitar tidak diajar sebagai matapelajaran yang
berasingan dan dimuatkan dalam matapelajaran lain seperti sains dan Kajian tempatan. Namun untuk
keperluan peperiksaan, sering kali matapelajaran seperti Kajian Tempatan digunakan untuk mengajar
subjek lain. Oleh itu, pendidkan alam sekitar diabaikan untuk memenuhi keperluan alam sekitar dengan
menggunakan masa itu untuk pelajaran lain. Pada peringkat institusi pengajian tinggi pula hanya pelajar
yang mengambil ijazah atau subjek berkaitan dengan alam sekitar sahaja mengetahui tentang isu-isu dan
cara untuk menguruskan alam sekitar. Manakala pelajar lain hanya berpandangan seperti masyarakat
biasa iaitu alam sekitar hanya berkait dengan kebersihan, flora dan fauna dan persekitaran tanpa
mengetahui kepentingan pengurusan alam sekitar yang betul.
Namun kini terdapat harapan dalam pendidkan alam sekitar di mana kerajaan mengutamakan pendidikan
alam sekitar bermula dari Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) dan masyarakat turut melibatkan diri
dalam pendidikan yang bersifat tidak formal. Contohnya promosi kesedaran alam sekitar, pertandingan
bertemakan alam sekitar dan penyiaran rancangan berbentuk alam sekitar di dalam media elektronik dan
media massa.
Adalah diharapkan usaha-usaha yang ada berterusan agar kesilapan masa lalu tidak diulangi dan generasi
muda dan baru memperoleh ilmu yang menyeluruh tentang pendidikan alam sekitar serta dapat
mempraktikkannya kelak untuk berdepan dengan isu-isu alam sekitar di masa hadapan. Pendidikan adalah
medium yang berkesan untuk pembangunan kelak.
KELEMAHAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Ketiadaan pegawai penguatkuasa yang mencukupi dan kesusahan dalam menyediakan laporan yang
lengkap sebelum sesuatu tindakan dapat diambil adalah kelemahan dalam penguatkuasaan undang-
undang alam sekitar dan menyebabkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan
semakin menurun. Masalah lain ialah pemantauan sering dilakukan dalam waktu bekerja walhal banyak
pencemaran dilakukan pada waktu malam seperti pelepasan asap kilang dan sisa buangan ke dalam
sungai.
Di peringkat Kerajaan Tempatan dan Pejabat Daerah keadaannya lebih serius kerana bilangan anggota
yang terhad, kebanyakkan daripada mereka tidak dilatih berkenaan cara menguatkuasakan undang-
undang alam sekitar. Malah ada di antara mereka yang tidak mengetahui pun adanya peruntukkan tentang
penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di bawah bidang kuasa mereka. Di Pejabat Daerah Hulu
Langat, tiada seorang pun pegawai yang dilatih dalam hal-hal penguatkuasaan alam sekitar dan mereka
juga tidak tahu adanya peruntukkan berkenaan hal berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.
Selain itu, masalah-masalah lain yang dihadapi ialah kekangan politik dan ekonomi, pertindihan kuasa
antara kerajaan Negeri dan Persekutuan, tiadanya kos yang mencukupi dan tiada kerjasama daripada
orang ramai. Selain itu, masalah pecah amanah atau rasuah juga mungkin timbul yang menyumbang
kepada masalah kelemahan penguatkuasaan namun tiada data atau kes mengenainya yang diketahui
umum.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kelemahan penguatkuasaan alam sekitar. Namun
masalah ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk para pegawai penguatkuasa untuk tidak menjalankan
tugas mereka dengan baik. Mereka sepatutnya berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan
tugas agar usaha mereka dihargai dan mendapat pujian ramai. Melalui cara ini sahaja, masalah-masalah
lain yang dihadapi mereka akan disedari pihak terbabit dan seterusnya menyelesaikan masalah tersebut
satu persatu. Kelemahan dan tiada kesungguhan di pihak pegawai penguatkuasa sendiri akan
membantutkan lagi penguatkuasaan dan menambah masalah yang sudah banyak berkenaan
penguatkuasaan .
KESIMPULAN
Negara sudah mempunyai banyak peruntukkan undang-undang berkenaan alam sekitar yang jika
dikuatkuasakan sepenuhnya mampu menangani masalah-masalah alam sekitar yang timbul kini. Namun
penguatkuasaan sepenuhnya masih tidak dapat dijalankan kerana pelbagai kelemahan dan kekangan yang
ada. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil kira faktor ini dan bukannya menggubal dan meluluskan
undang-undang alam sekitar yang baru.
Selain itu, pihak swasta dan orang ramai juga perlu memainkan lebih peranan dalam meringankan beban
kerajaan dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata menangani isu-isu alam sekitar yang timbul.
Penyelesaian masalah alam sekitar secara bukan perundangan seperti melalui pendidikan formal dan tidak
formal perlu dipergiatkan lagi dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat agar pembangunan terancang
dapat dicapai dengan berkesan.
Pelan pembangunan negara dan pengekalan alam sekitar negara sebenarnya menuju ke arah yang betul
seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ketiga hingga Rancangan Malaysia Kesembilan.
Namun masih banyak lagi tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap yang diingini disebabkan
pelbagai kelemahan dan kekangan yang timbul. Kuncinya adalah kerjasama daripada semua pihak dan
bukan kerajaan semata-mata. Mengejar kekayaan materialistik sekarang merupakan trend kehidupan
orang ramai tanpa mengambil kira pembangunan alam sekitar, tetapi apakah nilai harta benda itu kelak
jika kita terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati alam sekitar itu sendiri yang sepatutnya
percuma sahaja.
Adalah diharapkan mereka yang berpendidikan tinggi juga sedar akan kepentingan alam sekitar dan
menjadi penunjuk arah ke arah pengekalan alam sekitar dan pembangunan terancang untuk semua.

LANGKAH-LANNGKAH MENGATASI OLEH PIHAK KERAJAAN


Kerajaan merupakan nadi utama pergerakan dan pentadbiran bagi sesebuah negara. Bagi isu
besar seperti pencemaran alam sekitar turut menjadi agenda utama yang kepada kerajaan untuk
mengatasinya demi kesejahteraan hidup rakyat bagi sesebuah negara. alam sekitar yang tidak
tercemar dapat melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal dan mental. Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) merupakan kementerian yang dipertanggungjawabkan
untuk memelihara alam sekitar dari dicemari dan memulihara alam sekitar yang tercemar. Selain
itu Kementerian pelajaran turut memainkan peranan bagi mendidik pelajar-pelajar sekolah untuk
mencintai alam sekitar dan berusaha untuk melindunginya.

Melalui langkah penguatkuasaan undang-undang Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan jabatan
di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang memainkan peranan untuk
mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan
di bawahnya yang menyekat pencemaran dari punca tetap (point sources) (dengan izin). Efluen
dan sisa kumbahan daripada industri dan loji-loji pengolahan kumbahan perlu dirawat terlebih
dahulu dan mematuhi had yang ditetapkan di bawah Akta berkenaan dan peraturan-peraturan
berkaitan sebelum dilepaskan. Di samping itu, Rondaan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar patut
diperbanyakkan, Para pengusaha terutama pengusaha kilang secara besar-besaran patutlah
mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar(JAS) sebelum sesuatu operasi perindustrian
dijalankan. Selain itu, Bagi masalah pencemaran air yang melibatkan pencemaran sungai Jabatan
Pengaliran dan Saliran (JPS) juga diberikan peranan oleh NRE untuk mengambil tindakan bagi
mensyaratkan semua premis makanan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
memasang Sistem Penapis Sisa Makanan (Food, Oil & Grease Trap) untuk menghalang sisa
makanan, minyak dan gris disalurkan terus memasuki sungai dan mencemarkannya dan
melaksanakan program ‘Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Sungai’ untuk
mempertingkatkan kualiti air sungai dan mengambil tindakan undang- undang terhadap pihak-
pihak yang melakukan kesalahan mencemarkan sungai, sekiranya disabit kesalahan, boleh
dikenakan hukuman di bawah Seksyen 25 (3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu denda tidak
lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau
kedua-duanya sekali. Denda tambahan juga pada kadar tidak lebih daripada RM 1000.00 boleh
dikenakan bagi tiap-tiap hari kesalahan yang diteruskan selepas suatu notis yang menghendakinya
menghentikan perbuatan tersebut disampaikan kepadanya. Jabatan Perhutanan dan Semenanjung
Malaysia(JPSM) yang juga di bawah NRE telah ditugaskan untuk menjaga hutan negara yang
telah diwartakan sebagai hutan simpan. Jabatan ini memainkan peranan penting untuk menjaga
hutan dari diterokai dengan haram dan berleluasa yang akhirnya akan menyebabkan pencemaran
tanah, pencemaran air dan udara. Tindakan yang diambil oleh Jabatan Perhutanan dan
Semenanjung Malaysia(JPSM) seperti tindakan undang-undang yang di kenakan terhadap
pesalah-pesalah yang melakukan pembalakan secara haram, penerokaan hutan simpan dengan
haram dan melakukan pembakaran terbuka adalah usaha yang harus di teruskan .

Kementerian pelajaran bersama-sama Jabatan Alam Sekitar(JAS) telah menganjurkan kempen


untuk melindungi alam sekitar di mana ia adalah sesuatu yang sihat dan amat berfaedah kepada
masyarakat. Antara kempen-kempen yang melindungi alam sekitar ialah kempen cintai lah sungai
kita, kempen kitar semula, sahabat alam, Pameran Alam Sekitar dan sebagainya. Misalnya,
pameran alam sekitar yang dimaksudkan di sini ialah pameran segala bahan yang berkaitan
dengan isu pencemaran. Pameran ini boleh dilakukan di sekolah-sekolah dan juga tempat-tempat
awam seperti perpustakaan awam. Pameran ini bolehlah merangkumi isu-isu alam sekitar, sebab-
sebab pencemaran, kesan-kesannya dan apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan kadar
pencemaran. Pameran sebegini boleh meningkatkan kesedaran dan mengajar masyarakat untuk
melindungi alam sekitar. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar(JAS) juga telah merupakan satu
program pemantauan, pelaksanaan dan maklum balas keberkesanan aktiviti dan yang paling
penting penglibatan secara hands-on atau fizikal oleh anggota masyarakat untuk membantu
agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang
merosakkan atau mencemarkan alam sekitar yang dikenali sebagai program rakan alam sekitar.

Kesimpulannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi pencemaran


terhadap alam sekitar seperti penguatkuasaan undang-undang, kempen-kempen
kesedaran,pameran yang berkaitan dengan alam sekitar dan sebagainya. Namun, usaha-usaha
kerajaan itu ibarat mencurah air kedaun keladi tanpa disokong oleh pihak-pihak (NGO) dan
masyarakat di negara ini.
Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak
bertanggungjawab. Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia
sendiri.
Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita
yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh
manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena
ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan
gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang
bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba
saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani
kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu
diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.
Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar
ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam
aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan
dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah
berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan
menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan
untuk menangani masalah ini daripada berlaku.
Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran
terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang
menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka
semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara
kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal
ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan
membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.
Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan
membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan
ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau
bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh
sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini
pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak
pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar
umbinya.
Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan
yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak
selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah
banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6
Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut
tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok
konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan
kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar
dan mudah runtuh.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan
mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita
mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika
perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada
sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga
alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah
menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam
kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah
selera, sebelum bertindak.