Anda di halaman 1dari 3

Kepentingan amalan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak
positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam meniti arus kemodenan yang
berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada
tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia.
Masalah wabak penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015, angka
pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200,000 orang jika
dibandingkan dengan bilangan pesakit pada tahun dahulu. Senario yang menggemparkan ini
haruslah ditangani dari akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah
kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat? Saya akan rangkaikan satu demi satu.
Pertama sekali, salah satu kebaikan amalan gaya hidup sihat termasuklah tumbesaran yang
seimbang. Dalam kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat
mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak
kurang juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun
makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh
mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis
yang merupakan antara punca kematian tinggi di negara kita. Maka, tumbesaran yang seimbang
ditentukan oleh pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mengandungi ketujuh-
tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral,
lemak, air serta serat. Ibu bapa haruslah menanam tabiat pemakanan seimbang dalam anak-anak
sejak usia muda supaya menjaga diet mereka apabila dewasa kelak kerana bak kata pepatah,
melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pengambilan minuman berkarbonat dan arak
haruslah dikurangkan kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan
mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air
kosong atau jus buah-buahan yang asli serta mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan
dalam diet mereka. Lagipun, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di
luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan biasanya digoreng dengan penuh minyak.
Maka, tumbesaran seorang individu akan lebih menyeluruh dan seimbang. Jelaslah bahawa
pemakanan yang seimbang dapat memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang
diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden.

Selain itu, pengamalan gaya hidup sihat melahirkan sikap atau mentaliti positif untuk menangani
cabaran dan pancaroba di dunia luar. Terdapat beberapa contoh gaya hidup sihat yang dapat
mengurangkan tekanan dan stres kehidupan, iaitu mendapat rehat yang mencukupi dan
bersenam. Rehat yang mencukupi memainkan peranan penting dalam pengamalan gaya hidup
sihat. Kita perlulah berehat antara 6 hingga 8 jam sehari kerana rehat inilah yang mengecas
semula organ-organ dalam badan kita untuk meneruskan kehidupan pada keesokan harinya.
Meskipun generasi muda kini lebih suka tidur selepas tengah malam, ibu bapa tetap haruslah
menetapkan satu masa tidur yang spesifik untuk dipatuhi oleh anak-anak. Hal ini dapat
memastikan anak-anak mendapat pemulihan tenaga sepenuhnya. Sehubungan dengan kita,
marilah kita meneruskan perbincangan tentang aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat.
Secara umum, kita seharusnya melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari
dan 3 kali seminggu. Aktiviti bersukan dapat mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh yang
keluar sewaktu melakukan senaman menyebabkan semua toksin badan keluar bersama-sama.
Stres yang dialami juga dapat dihilangkan jua. Kesannya, individu tersebut mampu membina
tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Selain menyihatkan badan, aktiviti sukan
juga dapat mencergaskan minda kita. Hal ini disebabkan ketika bersukan, oksigen akan
diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan untuk

1
menjalankan proses respirasi, di samping mempercepat alira oksigen ke otak. Maka, kita tidak
mudah mengantuk ketika berada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Sudah pastinya
produktiviti kerja serta proses pembelajaran akan lebih efisien kerana bak kata pepatah, minda
cerdas lahir daripada badan yang sihat. Jelaslah bahawa rehat yang secukupnya dan aktiviti
sukan dapat melahirkan minda serta badan yang ishat.
Kepentingan amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah pencegahan serangan penyakit.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala merupakan antara kaedah untuk menjamin satu kehidupan
yang sihat. Melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali, pihak doktor
mampu mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula.
Hal ini memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah,
mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan
diri bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti
menggosok gigi, mandi dan berpakaian bersih perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi
mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, asas-asas kebersihan lain perlu diamalkan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak dihinggapi lalat dan
juga memilih tempat makan yang bersih untuk menjamu selera. Selain mengutamakan kebersihan
diri, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Umpamanya, orang ramai
digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan. Amalan
seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas,
lalat dan ssebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti
pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan dan ditukar. Dengan
cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta
membentuk kehidupan yang shirt.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, terdapat banyak amalan hidup sihat yang boleh kita
amalkan dalam kehidupan seharian sekiranya kita faham apa yang dimaksudkan dengan amalan
hidup sihat. Amalan hidup sihat juga boleh menggambarkan dan mencerminkan keperibadian
seseorang. Hal ini kerana , seseorang yang mempunyai keperibadian yang baik akan turut
menjaga kesihatannya dengan baik. Mengamalkan gaya hidup sihat sebenarnya tidak susah,
namun mengekalkan amalan gaya hidup sihat itulah menjadi tanda tanya kepada semua rakyat di
Malaysia. Bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, jadi jika kita
tidak berusaha mengamalkan gaya hidup sihat, kita tidak akan pernah tahu akan kesan positifnya
terhadap diri kita. Maka amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk
melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, semua lapisan masyarakat, sama ada ibu bapa, pihak sekolah,
masyarakat, dan Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk
merealisasikan impian negara kita itu untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap
individu. Panjangnya huraian hendaklah melebihi 180 patah perkataan.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat

Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan

2
Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan
gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah
melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan
ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan
seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan
rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti
negara.

Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu,
tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang
diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti
sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol
yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi
dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.

Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah
yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan
badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak,
menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah
daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan
memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas
berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari,
diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang
perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian
kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah
terhantuk baru nak tengadah.

Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan
rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk
merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat
untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk
melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu,
yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing

Anda mungkin juga menyukai