Anda di halaman 1dari 16

Teknik Bercerita Dalam Perkembangan Emosi Kanak-Kanak Prasekolah

Oleh

Dr.Rohizani Yaakub,

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan

Universiti Sains Malaysia

Pulau Pinang

Pengenalan

Ibu bapa dan guru lazimnya akan berasa sangat gembira dan bangga apabila anak-anak

mula menunjukkan minat terhadap buku. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa

minat terhadap buku pada peringkat awal perlulah sentiasa dipupuk supaya minat itu

terus berpanjangan sehingga menjadi kebiasaan. Hal ini kerana sikap terhadap membaca

dalam kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah adalah sangat penting dalam

menentukan aktiviti pembacaan mereka seterusnya. Pada peringkat ini kanak-kanak

sangat menyukai aktiviti membaca cerita secara kuat. Maksudnya, mereka suka kalau ibu

bapa, guru-guru, atau sesiapa sahaja membacakan cerita dan mereka mendengar. Pada

masa yang sama, kanak-kanak sebenarnya menyimpan hasrat untuk dapat membaca

seperti yang dilakukan oleh pencerita tersebut. Perbuatan membaca iaitu pergerakan

kepala (mata) dari kiri ke kanan, sangat menarik perhatian kanak-kanak. Mereka seolaholah

tidak sabar untuk menguasai kemahiran ‘ajaib’ tersebut.

Umumnya semasa anak-anak masih kecil, ibu bapa akan duduk bersama anak-anak dan

membacakan buku-buku cerita kepada mereka. Keriangan jelas terbayang di wajah anakanak

yang mendengar cerita, tidak kira dari siapa. Namun, masa yang dihabiskan

bersama anak-anak untuk bercerita akan semakin kurang setiap hari anak semakin

membesar, sehinggalah anak-anak dibiarkan untuk membaca sendiri. Biasanya itulah hal

yang terjadi dalam mana-mana keluarga pun. Namun, dengan perkembangan ilmu, sudah
banyak ibu bapa yang terus-menerus memberikan masa dan perhatian terhadap

pembacaan anak-anak kerana diyakini bahawa peranan merekalah sebenarnya yang akan

mempengaruhi sikap anak-anak terhadap pembacaan apabila mereka besar. Menyedari

pentingnya peranan mereka, banyak ibu bapa yang mula memberikan lebih perhatian dan

belajar cara bercerita dengan lebih sistematik bagi membantu anak-anak memupuk sikap

positif terhadap membaca. Hal ini kerana disedari bahawa sikap positif terhadap

membaca dalam kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah adalah sangat penting dalam

menentukan aktiviti pembacaan mereka seterusnya.

Perkembangan Emosi Kanak-kanak

Jika diteliti model pendidikan prasekolah yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan

Kurikulum, komponen perkembangan sosioemosi memberi fokus kepada penguasaan

kemahiran emosi yang matang. Hal ini kerana diyakini bahawa perkembangan emosi

yang matang dapat menjadi asas yang kukuh ke arah pembentukan sahsiah individu yang

seimbang. Keseimbangan antara semua komponen pula penting sebagai persediaan awal

kepada kanak-kanak memasuki alam persekolahan formal.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003 : 5)

Terdapat pelbagai cara untuk memupuk keseimbangan emosi kanak-kanak di peringkat

prasekolah. Contohnya, aktiviti bermain yang dijalankan semasa berada di sekolah.

Bercerita juga merupakan salah satu aktiviti yang sangat sesuai dengan perkembangan

emosi kanak-kanak.

Kepentingan emosi dalam kehidupan telah mula diakui oleh ahli-ahli falsafah sejak

zaman Greek lagi. Tidak hairanlah jika Plato, Aristotle, Spinoza, Descartes, Hobbes, dan

Hume telah mengemukakan teori-teori berkaitan emosi yang menjadi asas kepada

penyelidikan tentang emosi dan kaitannya dengan kehidupan manusia. Walau


bagaimanapun, penyelidikan tentang emosi menjadi sukar kerana wujudnya nilai

normatif yang tidak konsisten antara satu individu dengan individu yang lain. Menurut

Plato, terdapat tiga komponen asas dalam minda manusia iaitu daya takulan, kehendak

(desire), dan komponen emotif. Antara komponen emotif yang dimaksudkan ialah

kegembiraan, kesedihan, ketakutan, dan kemarahan. Bagi Aristotle juga, emosi

mempunyai peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi kehidupan manusia secara

keseluruhannya.

Bercerita

Telah lama disedari bahawa cerita dapat memberi sumbangan ke arah kejayaan akademik

dan kesejahteraan emosi kanak-kanak. Cerita-cerita rakyat misalnya, sesuai dijadikan

bahan bercerita. Sebagai alat untuk pembelajaran, kaedah bercerita dapat dijadikan alat

untuk menggalakkan pelajar meneroka keunikan diri mereka. Selain itu ia juga dapat

meningkatkan tahap kebolehan mereka berkomunikasi melalui pemikiran dan perasaan

serta meluahkannya dalam bentuk oral yang teratur. Dalam dunia sekarang yang serba

maju dan canggih, aktiviti bercerita dapat dijadikan alat untuk memupuk dan

menyuburkan sifat-sifat peka pelajar terhadap kelebihan menguasai bahasa dengan baik.

Selain itu, ia juga menyedarkan mereka bahawa adalah penting kita mempunyai

kemahiran mendengar yang baik bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan antara

individu.

Bercerita juga membolehkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan perasaan secara

lisan. Perkara ini berlaku apabila kanak-kanak diberi peluang untuk bercerita semula

setelah guru berbuat demikian. Guru boleh bertanya kepada kanak-kanak apakah yang

mereka fikir akan berlaku selepas sesuatu kejadian dalam cerita. Dengan cara ini, kanakkanak
dengan daya imaginasi mereka akan dilatih memberikan pendapat dan pandangan.

Guru pula perlu menerima cadangan kanak-kanak tersebut tanpa prejudis. Dari situ guru

boleh membantu kanak-kanak ‘mengembara’ ke dalam dunia imaginasi dengan

mendengar dan berkongsi cerita tersebut dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Bercerita boleh dijadikan alat untuk melatih kemahiran mendengar dan bertutur secara

yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana sewaktu bercerita, kanak-kanak atau guru

juga tidak terikat dengan nada dan intonasi perbualan yang biasa. Setiap patah perkataan

perlu diucapkan bersesuaian dengan cerita. Contohnya, sekiranya terdapat kisah harimau

dalam cerita itu, guru boleh memberi perhatian yang lebih sewaktu menyebut ‘harimau

meNGAUM’ bagi memberi kesungguhan bahawa harimau mengaum itu suatu perbuatan

yang dapat menunjukkan kegagahan. Guru tidak perlu untuk membunyikan ‘ngauman’

itu, cukup kalau memberi penekanan dalam sebutannya. Hal ini dapat mengelakkan jika

guru tidak dapat mengaum dengan suara yang kuat dan dalam. Suasana bercerita dan

mendengar cerita ini dapat mewujudkan keseronokan kepada kanak-kanak di samping

mereka dapat melatih kemahiran mendengar yang baik. Guru mungkin boleh memberi

arahan awal supaya kanak-kanak mendengar dengan baik, barulah guru akan mula

bercerita. Jika pelajar pula diberi peluang bercerita, sesi tersebut dapat menjadi sesi

melatih mereka bertutur dan menyebut perkataan dengan betul. Contohnya:

“Ada seekor itik cantik ingin memetik buah betik. Itik yang cantik tidak

dapat memetik buah betik. Pokok betik sangat tinggi. Itik cantik tidak

putus asa. Buah betik itu mesti dipetik. Itik cantik bercadang meminta

tolong”.

Bercerita juga dapat memperkenalkan kosa kata baru bersesuaian dengan isi.
Sebolehbolehnya

guru perlu berusaha untuk memperkenalkan beberapa perkataan baru setiap kali
bercerita kepada kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak akan mudah belajar makna

kata apabila digunakan dalam konteks yang sesuai. Banyak perkataan yang mempunyai

lebih daripada satu makna. Dengan menggunakan dalam cerita, kanak-kanak dapat

menyesuaikan kegunaan kata dengan konteks yang sesuai. Walau bagaimanapun, guru

perlu elakkan memperkenalkan terlalu banyak perkataan dalam satu-satu masa kerana

ianya mungkin akan mengelirukan kanak-kanak. Sekiranya ada perkataan baru yang

telah diperkenalkan, guru bolehlah membuat sedikit persediaan dengan menuliskannya

pada kertas imbasan dan dilekatkan di papan ‘flannel’ atau dinding kelas supaya mudah

diingat oleh kanak-kanak. Daya imaginasi sewaktu bercerita dapat merangsang

penggunaan bahasa yang baik.

Kanak-kanak lebih cepat belajar perkara yang diminati dan bercerita sangat menarik

perhatian mereka. Setiap kanak-kanak mempunyai minat yang berbeza terhadap cerita.

Kanak-kanak lelaki misalnya lebih meminati cerita-cerita binatang. Kanak-kanak

perempuan pula mungkin lebih sukakan cerita ‘Cinderella’ atau ‘Red Riding Hood’

kerana ceritanya mengisahkan perihal kecantikan puteri. Walau bagaimanapun, guru

biasanya menghadapi sebuah kelas yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan juga

perempuan. Oleh itu adalah sukar bagi guru untuk mengadakan sesi bercerita yang

berasingan kepada kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Apa yang boleh

dilakukan oleh guru ialah mengimbangkan cerita seumpama itu supaya mengandungi

aksi-aksi lasak. Oleh itu kedua-dua kanak-kanak dapat menikmatinya. Kanak-kanak

perempuan menggemari kecantikan puteri, dan kanak-kanak lelaki menggemari aksi-aksi

lasak tersebut. Tugas berat itu perlulah dibuat oleh guru sebelum mula bercerita supaya

penceritaan akan menjadi licin dan lancar.

Bercerita dapat menjadi cara yang sesuai untuk mengenali keunikan individu. Sewaktu
aktiviti bercerita dijalankan, guru dapat mengenal pasti ciri-ciri tertentu dalam setiap

pelajarnya. Ada kanak-kanak yang dapat duduk dan mendengar dengan baik, ada kanakkanak

yang hanya boleh duduk diam selama beberapa minit sahaja, ada kanak-kanak

yang suka mengganggu rakan sewaktu sesi berlangsung, ada kanak-kanak yang suka

mengambil bahagian dalam bercerita, dan sebagainya. Secara tidak langsung, guru dapat

mengenal perangai setiap pelajar di bawah penyeliaannya. Perkara ini penting bagi

mereka untuk mengawal kelas sewaktu pengajaran berlangsung.

Sewaktu sesi bercerita, guru dapat menunjukkan contoh kepada pelajar untuk dijadikan

panduan dan pedoman hidup. Guru juga dapat menerapkan nilai-nilai murni yang perlu

diamalkan seperti taat kepada ibu bapa, mendengar nasihat adik-beradik, berkongsi

kemudahan dalam kelas atau di rumah, dan pelbagai lagi bergantung kepada kreativiti

guru. Namun perlu diingat iaitu elakkan memberi penekanan yang terlalu berat terhadap

pemupukan nilai sehinggakan sesi bercerita bertukar menjadi sesi ceramah. Keadaan ini

tidak dapat meninggalkan impak yang positif terhadap pelajar. Sekiranya keadaan ini

berlaku, pelajar akan berasa bosan dan enggan memberi kerjasama pada masa-masa akan

datang. Misalnya terdapat watak tertentu dalam cerita yang boleh dijadikan panduan

kepada pelajar, guru bolehlah mengaitkannya dengan mengambil pelajar-pelajarnya

sebagai contoh. Misalnya, “Tengok, apa yang jadi kalau tidak mendengar nasihat ibu”

atau “Piko sakit gigi sebab tidak memberusnya sebelum tidur”. Guru boleh menyambung

“Siapa nak jadi seperti Piko?” atau “Siapa tak suka dengar cakap ibu?”. Seterusnya

mungkin dia boleh berkata “Cikgu tahu Amar suka dengar cakap ibu kan?” atau “Semua

pelajar cikgu ni suka dengar cakap ibu, kan?”. Secara tidak langsung kanak-kanak itu

akan terasa dihargai kerana dilibatkan dalam penceritaan. Perkara ini dapat menaikkan

imej kendiri mereka.


Bercerita Dalam Bilik Darjah

Bercerita merupakan aktiviti yang menarik dan boleh digunakan dalam mana-mana

pelajaran bagi menghidupkan sesuatu pengajaran. Bercerita dapat meningkatkan

kefahaman kanak-kanak terhadap pelajaran dan boleh merangsang kanak-kanak

melahirkan idea atau pendapat serta menjadikan pembelajaran sebagai suatu pengalaman

yang menyeronokkan. Bercerita juga dapat dijadikan sebagai aktiviti pengukuhan.

Sebelum bercerita, guru perlu menyediakan diri selengkapnya. Misalnya memilih cerita

yang sesuai, menentukan fokus cerita, memikirkan soalan-soalan yang boleh

dikemukakan, perkataan atau frasa yang perlu difokuskan dan mencatat rangka cerita

sebagai panduan. Selain itu, guru perlu berlatih bercerita sebelum bercerita kepada

kanak-kanak untuk menambahkan keyakinan diri atau mencatat butir-butir penting atas

kad-kad kecil sebagai rujukan dan menentukan alat atau bahan yang akan digunakan

semasa bercerita.

Semasa bercerita pula, guru perlu memastikan keadaan kanak-kanak selesa, dapat

memberi tumpuan sepenuhnya terhadap cerita, tidak ada gangguan yang boleh

mengalihkan perhatian mereka dan melibatkan kanak-kanak dengan memberi peluang

menjawab soalan atau melakonkan semula. Suara guru perlu jelas, bahasa yang

digunakan sesuai dengan tahap kanak-kanak dan istilah yang diperkenalkan daripada

yang konkrit kepada abstrak. Gerak badan dan mimik muka yang sesuai boleh digunakan

untuk menarik perhatian kanak-kanak. Bahan-bahan yang sesuai perlu digunakan bagi

membantu penyampaian guru dan membantu kefahaman kanak-kanak terhadap jalan

cerita. Guru perlu peka terhadap reaksi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Sekiranya

sesuai, guru bolehlah memakai pakaian yang khas untuk menambahkan keseronokan

kepada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pakaian itu hanya sebagai tambahan kepada
guru, sekiranya tiada pun tidak mengapa. Aksi guru sebenarnya yang lebih mustahak.

Nada dan intonasi guru sangat penting. Sekiranya suara guru ‘rata’ dan tidak ‘bertukartukar’

mengikut ceritanya, sesi akan menjadi hambar.

Selepas bercerita, guru perlu menyediakan aktiviti susulan sama ada menjawab soalansoalan,

meminta kanak-kanak bercerita semula, atau simulasi/melakonkan bahagianbahagian

tertentu cerita bagi memastikan kanak-kanak memahami cerita. Selain itu,

nyanyian, melukis, dan kuiz boleh dijadikan sebagai pengukuhan.

Banyak perkara yang perlu difikirkan sewaktu mengatur sesuatu sesi bercerita bersama

pelajar. Antaranya ialah guru perlulah:

1. Permudahkan plot cerita yang ingin diperdengarkan

Gunakan perkataan sendiri untuk bercerita dengan mengekalkan konsep-konsep

kesesuaian pilihan perkataan. Seringkali guru tidak dapat membina cerita sendiri tetapi

akan memetik dari buku-buku cerita yang ada di pasaran. Kita perlu ingat, kadangkadang

buku cerita dihasilkan oleh penulis bukan yang tidak mempunyai latar belakang

pendidikan. Mereka adalah penulis yang menulis untuk memenuhi pasaran. Sukar

mendapatkan buku cerita yang benar-benar memenuhi kehendak pembelajaran kanakkanak

iaitu yang menghiburkan, dan dalam masa yang sama memberi pengajaran. Oleh

itu adalah penting kepada guru-guru untuk membaca cerita-cerita sebegini dan

mempermudahkan plotnya bagi menyesuaikan dengan kanak-kanak. Benar atau salah

cerita itu bukanlah perkara terpenting tetapi jika guru dapat bercerita dengan baik

sehingga kanak-kanak dapat menerima cerita tersebut, itu dikatakan sudah berjaya.
2. Bina peta atau carta alir cerita

Manusia memang mempunyai sifat lupa. Tidak terkecuali bagi guru. Oleh itu, guru

bolehlah membina peta cerita atau carta aliran untuk memudahkan cerita dan

mengelakkan lupa. Semua ini perlu dilakukan supaya guru tidak tersekat-sekat sewaktu

bercerita. Tambahan pula jika ada pelajarnya yang suka mencelah atau menimbulkan

masalah semasa sesi berlangsung. Selepas menangani masalah pelajar, guru terlupa di

mana dia telah berhenti. Perkara ini akan membuatkan pelajar berasa kecewa. Kalau

guru menyediakan peta cerita, perkara ini dapat dielakkan. Walaupun terganggu, guru

tetap dapat menyambung ceritanya dengan baik. Walau bagaimanapun, gangguan

seumpama itu dapat mengurangkan keseronokan kanak-kanak mendengar cerita, dan

seboleh-bolehnya dielakkan oleh guru.

3. Sediakan alat bantu yang sesuai

Sekiranya perlu, guru perlu menyediakan alat bantu untuk digunakan sewaktu sesi

bercerita. Tujuannya supaya kanak-kanak berasa seronok. Misalnya gambar-gambar

binatang, pemandangan, atau apa saja yang berkaitan dengan cerita boleh menjadikan

sesi bercerita lebih menarik minat. Warna-warni gambar menjadai pelengkap kepada

penceritaan yang menarik.

5. Bercerita dengan suara, gaya, dan intonasi yang sesuai.

Aspek ini adalah perkara paling penting dalam sesebuah sesi bercerita. Sekiranya suara

yang “monotonous” dengan gaya yang hambar dan intonasi yang mendatar, pelajar akan

jemu dan gagallah guru tersebut. Keadaan akan menjadi lebih serius jika guru berterusan
‘tiada gaya’ bercerita, lama-kelamaan pelajar menjadi bosan dan tidak berminat

mengikuti sesi bercerita yang dikendalikan oleh guru tersebut. Sesi bercerita juga boleh

bertukar menjadi sesi yang bising dan tidak terkawal.

6. Sediakan pakaian khas jika perlu

Sesuatu sesi bercerita akan menjadi lebih menarik sekiranya guru menyediakan pakaian

khas sewaktu bercerita. Selain membangkitkan “mood” kanak-kanak, ia juga dapat

menjadikan sesi lebih “real”. Tidak perlulah menyediakan pakaian yang mahal atau

terlalu detail sehingga menenggelamkan cerita. Cukuplah sekadar penghias untuk

membezakan antara waktu pengajaran biasa dengan sesi bercerita. Keadaan ini juga boleh

menjadikan kanak-kanak lebih bersemangat dan bersedia untuk mengambil bahagian

yang aktif dalam sesi tersebut.

Sekiranya guru bersedia sebelum mengadakan aktiviti bercerita, sesi tersebut akan

menjadi sangat bermakna dan kanak-kanak dapat belajar sesuatu darinya. Banyak

perkara yang boleh dilakukan bergantung kepada inisiatif dan kreativiti guru.

Memilih Cerita Untuk Kanak-kanak

Banyak perkara yang perlu diberi perhatian apabila memilih cerita untuk digunakan

dengan kanak-kanak prasekolah. Antaranya ialah plot cerita, iaitu struktur penceritaan.

Kita biasa mendengar kanak-kanak bertanya “Seronok tak cerita tu?”. Yang dimaksudkan

oleh kanak-kanak itu ialah adakah cerita itu bagus kerana plot diumpamakan seperti

benang yang menjahit dan mencantumkan peristiwa cerita serta menceritakan apakah

yang berlaku kepada watak-watak dalam cerita itu. Baik plot cerita, baiklah cerita itu.

Plot yang baik berkembang secara semulajadi daripada tindakan watak-watak, dan
bukannya terjadi secara disengajakan. Cerita yang mengandungi sub plot yang banyak

juga boleh mengelirukan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak peringkat prasekolah, memadai

cerita yang mempunyai satu plot utama sahaja.

Latar cerita juga penting kepada kanak-kanak. Latar masa boleh jadi pada masa

sekarang, yang sudah lepas, atau masa akan datang. Begitu juga dengan latar tempat.

Boleh jadi di tempat yang biasa dengan kanak-kanak atau fiksyen semata-mata. Walau

bagaimanapun, latar yang dipilih perlu bersesuaian dengan watak yang digunakan. Guru

boleh mempelbagaikan cerita yang digunakan, bukannya memilih jenis cerita yang sama

sahaja, bagi mengelakkan kebosanan.

Tema cerita yang dipilih untuk kanak-kanak juga penting. Ianya bergantung kepada

tujuan guru menggunakan buku cerita tersebut, iaitu apakah mesej yang ingin

disampaikan kepada kanak-kanak. Kadang kala terdapat buku-buku cerita yang

mengandungi makna yang berlapis, iaitu yang tersirat. Guru perlulah pandai mencungkil

segala tema ini supaya kanak-kanak akan mendapat impak yang optimum. Tema yang

hendak dipilih perlulah yang sesuai untuk dipupuk kepada kanak-kanak, seperti adil,

jujur, dan seumpamanya. Ini kerana tidak semua nilai yang hendak didedahkan kepada

kanak-kanak pada peringkat itu. Memadai kalau mereka dididik untuk bertolak ansur

dengan rakan-rakan, boleh berkongsi permainan, boleh menghormati rakan ketika rakan

bercakap, tidak merampas barangan rakan, dan seumpamanya. Melalui cerita, guru dapat

menyampaikan segala mesej ini dengan bersahaja dan meneguhkannya selepas cerita

selesai. Dengan cara ini, mesej akan lebih kekal dalam ingatan kanak-kanak. Buku-buku

yang mengandungi pengenalan konsep-konsep mudah seperti saiz, bentuk, dan warna

bolehlah diperkenalkan. Perasaan ingin tahu mereka terhadap sesuatu dapat

membangkitkan minat kanak-kanak tersebut terhadap aktiviti membaca. Oleh itu bukubuku
mengenai ‘mengapa sesuatu itu begitu’, dan ‘mengapa perkara ini begini’ sangat

menarik perhatian mereka. Contohnya fenomena cuaca, binatang, alam sekitar, dan

sebagainya. Selain itu kanak-kanak juga sangat sukakan cerita-cerita pengembaraan.

Contohnya pengembaraan ke zoo atau sarkis. Watak-watak yang ada adalah pelbagai

dan guru dapat mencipta bermacam-macam watak yang sesuai dengan minat kanakkanak

di bawah seliaannya. Yang pentingnya tema cerita dapat membangkitkan rasa

ingin tahu kanak-kanak kerana dari situlah mereka belajar mengenai diri mereka, rakanrakan,

dan dunia seluruhnya.

Watak juga memainkan peranan yang penting apabila memilih buku untuk kanak-kanak.

Watak-watak yang hidup dan ‘real’ seperti orang-orang yang dikenali sesuai dipilih.

Kadang-kadang ada buku yang menggunakan watak-watak binatang tetapi jika dilukiskan

dengan sesuai, juga berkesan. Maksudnya watak-watak itu perlulah mempunyai

kelebihan dan kelemahan tersendiri. Cara pengarang memperkenalkan watak juga

pelbagai. Ada yang memperkenalkan secara terus, ada yang diperkenalkan oleh watak

lain dalam cerita, ada yang diceritakan melalui dialog-dialog tertentu. Malah ada watak

yang tidak diperkenalkan tetapi dapat dikesan melalui aksi-aksi tertentu. Namun perlu

diingat bahawa, perwatakannya perlulah tekal, tetapi bukannya sentiasa baik atau jahat

semata-mata. Segala perlakuan dan percakapan watak perlulah sesuai dengan umur,

budaya, dan taraf pendidikan. Watak-watak juga tidak boleh terlalu banyak sehingga

boleh mengelirukan kanak-kanak. Biasanya buku yang baik hanya mengandungi empat

watak sahaja. Ini membolehkan kanak-kanak mengikuti cerita watak-watak tersebut

dengan mudah. Mungkin guru boleh membincangkan secara tidak formal tentang

masalah-masalah yang dihadapi oleh watak dalam cerita dan kaitkan dengan diri kanakkanak.

Dengar jika kanak-kanak mengemukakan pendapat mereka tentang watak-watak

yang telah dibaca.


Stail dan gaya bahasa yang digunakan dalam cerita juga sangat penting diberi perhatian

sewaktu memilih buku cerita kepada kanak-kanak. Cara pengarang memilih kata-kata

dan ayat untuk mengaitkan plot dapat memberi keseronokan sewaktu membacanya.

Gaya bahasa yang sesuai dengan latar dan watak yang dipilih membuatkan cerita menjadi

logik dan diminati oleh kanak-kanak. Kanak-kanak tidak sukakan cerita yang terlalu

deskriptif, tetapi cerita yang mengandungi rima-rima tertentu dapat menarik perhatian

mereka. Buku cerita yang mengandungi lagu-lagu tertentu juga memberikan

keseronokan kepada kanak-kanak. Oleh itu pilihlah buku cerita yang mengandungi ayatayat

mudah kerana ayat kompleks yang panjang membosankan pelajar kerana sukar

difahami. Pengulangan yang sesuai juga boleh digunakan. Contohnya:

Piko ingin bermain.

Piko tiada kawan.

Piko bertemu Cimi.

Piko ajak Cimi bermain dengannya. Cimi setuju.

Piko dan Cimi bermain bersama-sama.

Piko dan Cimi bermain dengan gembira.

Lulu nampak Piko dan Cimi sedang bermain.

Lulu ingin bermain bersama-sama mereka.

Piko dan Cimi mengajak Lulu bermain bersama mereka.

Lulu sangat gembira.

Lulu, Piko, dan Cimi bermain bersama-sama.

Lulu, Piko, dan Cimi bermain dengan gembira..

Moti ternampak Lulu, Piko, dan Cimi bermain bersama-sama.

Moti ingin bermain bersama-sama mereka.

Lulu, Piko, dan Cimi mengajak Moti bermain bersama-sama.


Moti sangat gembira.

Moti, Piko, Cimi, dan Lulu bermain bersama-sama.

Moti,Piko, Cimi, dan Lulu menjadi kawan baik.

Format buku cerita juga memainkan peranan penting dalam menarik minat kanak-kanak.

Faktor-faktor saiz, bentuk, reka bentuk halaman, ilustrasi, pemilihan huruf, dan kualiti

kertas boleh mempengaruhi minat mereka terhadap sesebuah buku. Buku yang

mengandungi banyak gambar yang berwarna-warni tentunya menarik dan kanak-kanak

suka. Selain membaca, mereka juga dapat menikmati gambar yang cantik. Tidak mustahil

jika kanak-kanak dapat mencipta cerita mereka sendiri berdasarkan gambar dalam buku

cerita tersebut. Tulisan yang menarik dan saiz yang sesuai boleh membuatkan mereka

tertarik untuk membacanya. Kanak-kanak yang masih dalam peringkat belajar membaca

akan lebih mudah membaca tulisan yang besar. Buku cerita yang menggunakan format

tulisan mengikut suku kata juga dapat membantu kanak-kanak belajar membaca. Selain

itu bentuk buku yang senang dipegang juga mempengaruhi minat kanak-kanak. Tidak

hairanlah jika kebanyakan buku kanak-kanak yang menggunakan kertas tebal dan

berkualiti lebih digemari berbanding buku biasa dengan kertas nipis.

Namun, sebelum membaca sesebuah buku kepada kanak-kanak, guru-guru atau sesiapa

sahaja perlu membacanya terlebih dahulu. Pastikan cerita/idea yang ingin disampaikan

melalui buku tersebut dapat menyentuh hati kanak-kanak. Untuk membantu memilih

buku yang sesuai dan menjadikan sesi membaca cerita atau bercerita itu efektif, guru

perlulah mempunyai panduan-panduan tertentu seperti pilihlah buku-buku yang dapat

menggambarkan permasalahan yang sedang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut.

Misalnya dalam usia enam tahun, biasanya apakah perkara yang sering bermain di fikiran

kanak-kanak. Kemungkinan isi cerita yang berkaitan dengan permainan, binatang, dan
seumpamanya adalah menarik minat mereka. Buku cerita yang dipilih juga sebaikbaiknya

dapat menggalakkan penyertaan aktif kanak-kanak. Misalnya mengandungi lagu

atau bait-bait puisi yang boleh dinyanyikan bersama-sama. Walaupun tujuan utama

mendengar cerita adalah untuk berhibur, perlu diingat bahawa kanak-kanak juga perlu

belajar sesuatu dari cerita tersebut. Oleh itu buku cerita yang menggabungkan unsurunsur

kognitif dan afektif adalah perlu supaya mereka dapat menyerap nilai dan

pengajaran yang ingin diketengahkan melalui sesebuah cerita. Kalau boleh, cerita yang

dipilih perlu mengandungi unsur-unsur penyelesaian masalah. Tidak perlu menyelesaikan

masalah yang besar dan berat, memadai jika mereka perlu mencantum dan menyusun

gambar. Kerja itu sebenarnya memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah.

Kesimpulan

Minat kanak-kanak terhadap pembacaan perlu disemai sejak kecil dan sentiasa dipupuk

secara berterusan. Orang dewasa memainkan peranan yang sangat besar dalam

menentukan tabiat yang baik ini menjadi sebati dengan kanak-kanak. Kesediaan orang

dewasa menghabiskan masa yang berkualiti dengan kanak-kanak akan membantu mereka

mengenal potensi diri sendiri. Selain itu orang dewasa juga perlu membantu kanakkanak

memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai dengan usia dan minat mereka.

Sekiranya perkara ini berjaya dilakukan, biasanya kanak-kanak akan membesar dan

menjadi individu yang gemar membaca dan meneroka ilmu pengetahuan.


Rujukan:

Charlotte S.Huck & Doris Young Kuhn. 1968. Children’s Literature 2nd Ed. Holt,

Rinehart and Winston, Inc.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2003. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan.

Sohaimi Abdul Aziz. 1998. Membentuk Kecerdasan Emosi Kanak-kanak Melalui

Kesusasteraan Kanak-kanak. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Anda mungkin juga menyukai