Anda di halaman 1dari 52

Permalahan dalam KOMSAS...

1.0 PENGENALAN

Dasar pendidikan negara berhasrat melahirkan individu yang berperibadi mulia yang kemudiannya menjadi rakyat
yang berkualiti. Falsafah Pendidikan Negara juga menjelaskan bahawa pendidikan negara ini bersifat berterusan
kerana adanya unsur-unsur kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat ke peringkat
yang seterusnya. Selanjutnya, Falsafah Pendidikan Negara juga menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia
berfungsi untuk memperkembang bakat dan kemampuan murid waima dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
secara menyeluruh dan bersepadu.

Pengajaran KOMSAS dalam subjek Bahasa Melayu Melayu amat menepati hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang
bermatlamat mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Hal ini
amat bersesuaian dengan kesusasteraan Melayu yang mencerminkan masyarakat dan kebudayaan serta merupakan
manifestasi kesenian melalui media yang lebih berkesan. Di samping itu, komponen kesusasteraan Melayu juga
membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni
seterusnya membantu matlamat ke arah berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan komponan kesusasteraan Melayu atau KOMSAS dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pada 22 Jun 1999. Pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat
bermula Mac 2000 bagi tingkatan satu dan empat. Pendekatan yang digunakan adalah bersifat makro iaitu
menyeluruh dan tidak mendalam. Oleh itu, pengajaranya bukan sahaja dapat meningkatkan dan mengukuhkan
kemahiran berbahasa malah membolehkan mereka memperoleh nilai estetik daripada pembacaan dan penghargaan
terhadap karya kesusasteraan Melayu.

Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk
memenuhi keperluan pengetahuan murid tentang variasi bahasa, kefahaman terhadap gaya bahasa, mengenal serta
mendekati unsur-unsur kemanusiaan dan kemasyarakatan serta pelbagai dimensi budaya lain melalui pembacaan
dan penikmatan teks kesusasteraan Melayu yang disenaraikan dalam subjek bahasa Melayu. Hal ini kerana, teks
kesusasteraan Melayu yang ditetapkan oleh kementerian ialah karya bahasa yang terkandung sifat-sifat unik dan
istimewa dalam penghasilannya.

Kini, kurikulum bahasa Melayu yang telah melalui semakan dan mula dilaksanakan pada tahun 2003, telah
mengalami beberapa pengubahsuaian dan unsur terbaru dalam pendidikan diintegrasikan dalam kandungan
kurikulum itu. Pengubahsuaian itu sesuai dengan tujuan pendedahan komsas dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu iaitu membolehkan pelajar mengapresiasi karya kesusasteraan Melayu, mengetahui ilmu
kesusasteraan Melayu secara ringkas, mengenal pasti penulis dan sejarah perkembangan tanah air berasaskan teks
kesusasteraan yang dibaca oleh pelajar serta mengukuhkan kemahiran berbahasa. Malah, melalui pembacaan karya-
karya mengikut zon yang ditetapkan, secara tidak langsung dapat membangkit, memupuk serta membina tabiat
minat membaca dalam kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

Peranan Komsas

Kesusasteraan Melayu khususnya KOMSAS boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi kerana
kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran dan perasaan yang dijalin oleh bahasa yang indah
membenarkan pelajar sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain. Seperti karya-
kaya yang lain bukan sahaja mampu memukau deria rasa dan intelek peminatnya bahkan memaparkan kehidupan,
menenangkan keadaan huru-hara, menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah.
Secara tuntasnya, kesusasteraan Melayu berupaya membentuk diri agar menghormati orang lain, membina sahsiah
yang elok dan bersikap toleransi.

Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu
dapat mendidik pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses pengajaran dan pembelajaran Komponen
Kesusasteraan Melayu akan mewujudkan jati diri serta berilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar dan guru itu
sendiri. Di samping itu, bahan pengajarannya akan dapat memotivasikan para pelajarnya untuk membaca bahan
yang lebih baik. Bahan yang dibaca akan menyalurkan pemikiran positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan
seumur hidup. Keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi pelajar dalam proses
pembelajaran secara beterusan.

Pelajar yang didedahkan dengan pengajaran komponen sastera juga mampu meningkatkan kecintaan terhadap tanah
air. Melaluinya juga, pelajar akan diperkenalkan dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan, cinta akan tanah air serta
kebudayaan kebangsaan. Oleh itu, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada setiap pelajar sekiranya
pelajar dengan bantuan guru dapat menilai dan mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran Komponen
Kesusasteraan Melayu dalam masa pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.

Guru-guru perlu mempunyai beberapa perspektif dalam pengajaran sastera iaitu guru perlu faham dan menilai
kepentingan pelajar terhadap bentuk karya sastera, guru sentiasa meminta pelajar faham kriteria spesifik dan teknik-
teknik untuk menganalisis sastera, guru mengutamakan penghayatan estetika karya sastera, guru perlu
mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif, guru membantu pelajar membentuk kemahiran
pembelajaran kolaboratif dan guru memilih bahan bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Dalam hal ini, dari
sudut pandangan guru, pelajar perlu menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran penghayatan, kemahiran
pembelajaran kolaboratif dan kemahiran membaca genre sastera.
Permasalahan Dalam KOMSAS

Sebenarnya, masalah dalam penguasaan pelajar terhadap komponen sastera yang disisipkan dalam bahagian
pemahaman bagi subjek bahasa Melayu harus dipandang serius memandangkan peranan KOMSAS kepada pelajar
dan masyarakat sekelilingnya adalah sangat besar. Jika dilihat hasil kajian yang dibuat oleh Zaitul Azma Zainon
Hamzah (2007) dalam makalahnya menjelaskan bahawa hasil daripada kajian beliau mendapati pelajar menghadapi
kesukaran untuk dalam mempelajari bahan teks tradisional. Berikut ialah maklum balas daripada respoden yang
telah dikaji oleh beliau:
Dalam bahagian pemahaman, kajian mendapati bilangan pelajar yang menghadapi kesukaran dalam memahami
prosa tradisional (25.0%), novel (16.4%), petikan umum (14.7), puisi tradisional (14.3%), drama (12.0%), sajak
(11.3%) dan cerpen (6.3). kesukaran ini berkaitan dengan tahap penguasaan makna perkataan klasik. Oleh
itu,masalah pelajar dalam menguasai komponen sastera harus dikenal pasti dan masalah ini di atasi agar objektif
mata pelajaran ini dapat dicapai.

Masalah pelajar dalam menguasai KOMSAS harus dikenal pasti dan diselesaikan. Kekangan masa bukanlah suatu
penghalang bagi seseorang guru untuk menilai sejauh mana masalah ini dapat di atasi. Melalui pendekatan Psikologi
Pendidikan yang diperkenalkan kepada bakal guru, sedikit sebanyak dapat membantu guru menyelesaikan masalah
pelajar yang kurang menguasai komponen sastera. Guru boleh berperanan sebagai pendidik dan juga penyelesai
masalah dalam bilik darjah.

Di sini dapat kita perhatikan bahawa terdapat beberapa persoalan yang wujud apabila pelajar lemah menguasai
Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) di sekolah iaitu sejauh manakah pemahaman pelajar-pelajar dalam
pembacaan teks KOMSAS?, Bagaimanakah sikap pelajar terhadap perlaksanaan KOMSAS?, Adakah pelajar
menunjukkan respon yang positif terhadap pembelajaran KOMSAS?, Sejauh manakah pencapaian pelajar setelah
mengikuti pembelajaran KOMSAS?.

Persoalan-persoalan seperti inilah yang perlu dijawab oleh guru-guru yang berperanan dalam mengajar Komponen
Kesusateraan Melayu (KOMSAS) dengan melakukan penilaian dan kajian masalah yang wujud dalam kalangan
pelajar serta mencari kaedah atau langkah yang berkesan bagi membantu pelajar yang lemah untuk menguasai
komponen sastera wajib ini. Masalah yang wujud sama ada melalui faktor dalaman atau luaran ini boleh berlanjutan
jika tiada tindakan atau inisiatif susulan yang dilakukan oleh semua pihak bagi mengatasi masalah pelajar dalam
menguasai KOMSAS.

Perkara ini akan dikaji dengan lebih mendalam melalui peringkat-peringkat pembahagian subtopik dalam KOMSAS
iaitu bagaimana setiap masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar untuk menguasai Komponen Kesusasteraan
Melayu diselidik atau dikenal pasti dan penyelesaian masalah yang sesuai akan dijalankan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran sebagai panduan yang boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru dan bakal guru.

2.0 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI KOMPONEN SASTERA (KOMSAS)

2.1 Masalah Pelajar Dalam Menguasai Puisi Melayu Tradisional


Kebiasaanya dalam pembelajaran mata pelajaran kesusasteraan melayu, salah satu aspek kelemahan yang
dikenalpasti gagal dikuasai oleh pelajar ialah dalam bahagian puisi Melayu tradisional. Biasanya pembelajaran puisi
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu puisi Melayu tradisional dan puisi Melayu moden. Puisi Melayu tradisional
dikenali juga sebagai puisi lisan iaitu karangan berangkap yang berbentuk syair, pantun, gurindam, seloka, mantera,
teromba dan selainnya atau suatu bentuk pengucapan yang memiliki susunan perkataan yang bermakna, istimewa,
baik, indah, manis, imaginatif, kreatif dan manis daripada yang selalu dituturkan (Nik Hassan Basri, 2007:345).

Kelemahan ketara pelajar adalah untuk memahami maksud atau kata-kata klasik yang terdapat dalam setiap puisi
yang dipelajari oleh mereka. Gaya bahasa dalam puisi Melayu tradisional sangat ketara penggunaan bahasanya
dengan puisi Melayu moden kerana banyak menggunakan kata-kata kiasan dan pelajar jarang mendengar perkataan-
perkataan klasik dituturkan apatah lagi menggunakan perkataan-perkataan klasik tersebut dalam pertuturan seharian
mereka. Ini adalah kerana pelajar-pelajar tersebut menggunakan bahasa ibunda mereka atau bahasa Melayu baku
dalam kehidupan seharian. Pemahaman yang kurang dalam kosa kata Melayu klasik menyebabkan pelajar kurang
menguasai puisi Melayu tradisional.
Hal ini boleh dilihat dalam contoh petikan Syair Dandan Setia Intan Terpilih dalam Antologi Anak Laut iaitu:

Dedaun Berahi nama desanya,


Mendam Perasat raja perkasa,
Rakyatnya banyak berketi laksa,
Bersuka-suka setiap masa.
Makna ungkapan “Berketi laksa” ialah bahasa klasik yang membawa maksud menunjukkan keadaan orang yang
ramai. Hal ini banyak menjadi kekeliruan dalam kalangan pelajar dan ada sesetengahnya tidak mengetahui langsung
makna tersirat yang diungkapkan dalam pantun kiasan tersebut. Hal ini akan menyukarkan lagi pemahaman makna
bagi pelajar Cina dan India yang pertuturan seharian mereka banyak menggunakan bahasa Cina dan Tamil dan
bukannya bahasa Melayu Klasik.

Dalam Pantun Mengenang Nasib pula, beberapa kosa kata Melayu klasik yang menjadi bahasa kiasan tidak difahami
oleh pelajar. Sebagai contohnya berdasarkan petikan pantun mengenang nasib di bawah:

Kusangka nanas di tengah padang,


Kiranya pandan yang berduri;
Kusangka panas sampai ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari.

Kebiasaanya, pelajar akan mentafsirkan kata-kata seperti panas dan hujan sesuatu keadaan cuaca yang tidak
disangka-sangka akan berlaku dan mengikut logik bahasanya, tanggapan pelajar tersebut sememangnya betul.
Walau bagaimanapun, mengikut tafsiran kata klasik dan dalam konteks ayat dalam petikan yang sebenarnya, kata
seperti panas dikiaskan sebagai kesenangan, manakala hujan dikiaskan sebagai kesusahan atau penderitaan. Disini
dapat kita lihat bahawa pelajar kurang menguasai kosa kata Melayu klasik dan kebanyakan mereka mentafsirkan
kata-kata klasik adalah sama sahaja maknanya dengan bahasa Melayu baku yang digunakan oleh mereka dalam
pertuturan seharian. Kekeliruan yang berlaku ini juga akan melemahkan penguasaan pelajar dalam pengajaran dan
pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS).

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kegagalan pelajar untuk memahami makna serta kosa kata
Melayu klasik dalam puisi Melayu tradisional iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

2.1.1 Faktor Luaran


Faktor luaran yang boleh dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan pelajar untuk
memahami kosa kata klasik dan maksud dalam puisi tradisional ialah faktor guru itu sendiri. Guru mempunyai
kemahiran yang kurang dalam menjelaskan makna sesuatu kata klasik dan ada segelintir guru yang memberikan
jawapan seperti “Cikgu juga kurang pasti makna kata tersebut” kepada pelajar mereka di dalam kelas yang
menunjukkan kurangnya pengetahuan guru dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Zahirah
Aziz dan Kamaruzaman Abdullah dalam satu seminar “Pengajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu” (2001) telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh para guru, iaitu guru tidak mahir dengan
istilah sastera sehingga mengganggu kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi serba salah dalam
menilai sudut sastera untuk Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan bimbang ia
menjadi subjek Kesusasteraan Melayu (Elektif) pula. Menurut Salbiah Ani (2001) ada guru yang tidak mempunyai
latar belakang Kesusasteraan Melayu sekalipun mereka terlatih dalam pengajaran Bahasa Melayu ketika menuntut di
pusat pengajian tinggi atau di maktab-maktab perguruan. Kedapatan juga guru yang langsung tidak mempunyai latar
belakang pendidikan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dipertanggungjawabkan mengajarkan mata
pelajaran Bahasa Melayu dengan alasan mereka orang Melayu.

Bahan pengajaran dan pembelajaran yang tidak menarik dan membosankan juga menyebabkan pelajar kurang
memberi tumpuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Media pengajaran buku teks sebagai bahan sumber
utama dan buku-buku rujukan serta buku kerja dalam kajian berhubung penggunaan soalan berkaitan kosa kata juga
didapati masih tertumpu pada aras rendah dan soalan pada aras tinggi tidak diberi perhatian (Rawadieh, 1998; Noor
Rohana, 1996;). Bahan pengajaran dan pembelajaran yang terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata, tidak
lengkap dan kekaburan persembahan bahan pengajaran atau kurang nampak seperti tulisan yang kecil di papan
hitam menjadi penyumbang kepada kegagalan pelajar untuk memahami proses pembelajaran. Tambahan pula,
rujukan bagi teks komponen sastera di sekolah adalah sangan terhad. Kebanyakan perpustakaan di sekolah tidak
menyediakan kemudahan pinjaman buku KOMSAS yang banyak kerana beranggapan bahawa pelajar hanya belajar
bergantung seratus peratus kepada teks yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Sebenarnya, Kementerian
Pelajaran Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam menilai apakah teks-teks yang disediakan kepada pelajar
mencukupi untuk pelajar membuat analisis komponen sastera. Pelajar mempunyai kesulitan kerana teks-teks yang
disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adakala menjangkaui tahap pemikiran pelajar. Hal ini juga boleh
menyumbang kepada masalah pelajar tidak dapat menguasai puisi tradisional dengan baik.
2.1.2 Faktor Dalaman

Faktor dalaman turut dikenalpasti sebagai penyumbang kepada kegagalan pelajar untuk memahami kosa kata atau
perkataan dan makna-makna klasik dalam puisi Melayu tradisional. Sikap pelajar yang malas untuk mencari bahan
tambahan bagi mengukuhkan lagi pemahaman menyebabkan mereka gagal untuk mencari makna kosa kata yang
sesuai dalam puisi Melayu tradisional. Mereka terlalu bergantung kepada nota atau latihan guru semata-mata.
Kadang kala mereka hanya meneka makna kata secara logik tanpa membuat rujukan tambahan. Kajian juga
mendapati pelajar bersikap pasif dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Pelajar tidak menunjukkan minat
dalam mempelajari sastera dan tidak suka membaca karya sastera. Tambahan pula, walaupun pusat sumber tidak
terdapat banyak buku sastera, tetapi jarang dikunjungi oleh pelajar. Pelajar hanya mendekatinya apabila membuat
rujukan untuk kerja kursus. Jarang terdapatnya pelajar mengambil inisiatif untuk membaca genre sastera, kecuali
prosa, cerpen dan novel sebelum pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Selain itu, faktor rakan sebaya juga mendorong kepada kelemahan pelajar menguasai kosa kata Melayu klasik.
Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam mempengaruhi remaja yang kita kategorikan sebagai
pelajar. Akibat daripada kebosanan atau ketidakfahaman di dalam kelas, pelajar akan mengajak rakannya yang lain
untuk bermain dibelakang atau melakukan kerja lain yang dianggapnya lebih menyeronokkan. Ini akan menganggu
pelajar untuk menguasai puisi tradisional memandangkan tanpa tumpuan yang cukup di dalam kelas mustahil
seseorang itu dapat menguasai sesuatu pelajaran. Di samping itu, majoriti pelajar yang kurang memahami kosa kata
Melayu klasik ini biasanya terdiri daripada kaum Cina dan India. Pergaulan yang berlaku sesama kaum mereka
sahaja menyebabkan kosa kata Melayu klasik itu tidak meluas. Sebagai contohnya pelajar Cina akan bergaul dengan
pelajar Cina dan perbualan harian mereka banyak menggunakan bahasa Cina atau bahasa ibunda mereka.
Pemahaman mengenai kosa kata Melayu klasik hanya boleh difahami apabila mereka mengikuti proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas sahaja.
2.1.3 Penyelesaian Masalah

Bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar untuk memahami kosa kata atau perkataan klasik
dan makna dalam puisi Melayu tradisional, guru perlu mengambil inisiatif yang bijak untuk menyelesaikan masalah
tersebut melalui beberapa peringkat dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu sebelum, semasa dan selepas
proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

2.1.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu sebelum kelas bermula bagi proses pengajaran dan pembelajaran
(p&p) yang dijalankan pada kelas yang akan datang, guru perlu memberitahu pelajar untuk membaca petikan sajak,
puisi atau seloka yang terkandung dalam pengajaran puisi Melayu tradisional yang akan diajar untuk menimbulkan
pengetahuan sedia ada kepada pelajar. Oleh itu, pengetahuan pelajar tidak akan berada pada tahap kosong apabila
proses pengajaran dan pembelajaran bermula nanti. Guru juga perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran dan
pembelajaran atau alat bantu mengajar (ABM) yang menarik dan mencukupi seperti persembahan powerpoint.
Penggunakan teknologi banyak membantu memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru serta pelajar. Roger
Azevedo menyatakan bahawa :
“Computer environment is a metacognitive learning tools as one that is designed for instructional purpose and uses
technology to support the learner in achieving the goals of instruction. This may include any type of technology-
based tool, such as an intelligent tutoring system, an interactive learning environment, hypermedia, multimedia, a
simulation, microworld, collaborative learning environment and so on.”

Soalan ringkas juga perlu disediakan oleh guru kepada pelajarnya. Penggunaan soalan-soalan yang berkesan dalam
pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu juga diperlukan untuk merangsang pemikiran pelajar ke arah
berfikiran kritikal dalam menangani kehendak pelbagai aspek kemahiran berbahasa terutamanya berkenaan kosa
kata Melayu klasik yang jarang ditemui dan difahami oleh pelajar. Melalui soalan, Marohaini Yusoff (1989)
menjelaskan pelajar dapat menentukan kefahamannya tentang isi, idea, persoalan, maksud sesuatu perkataan, konsep
dan rangkai kata terhadap bahan yang dibacanya. Ungkapan pertanyaan dan soalan yang digunakan sewajarnya
mengandungi pelbagai aras dalam usaha membentuk pelajar agar dapat menguasai soalan-soalan dari aras rendah
kepada yang lebih mencabar pemikiran iaitu pada aras tinggi. Oleh sebab inilah klasifikasi aras kognitif soalan perlu
diberi perhatian dan penekanan serius oleh pendidik dalam mengimplimentasikan pengajaran dan pembelajaran di
bilik darjah. Guru seharusnya menggunakan soalan yang pelbagai aras kognitif bagi menggerakkan pelajar ke arah
menguasai kemahiran berfikir pada kepelbagaian aras tersebut. Tegasnya, soalan yang dibina dan dikemukakan
wajar didasarkan kepada klasifikasi hierarki aras kognitif soalan bagi menjamin penggunaan kepelbagaian aras
penyoalan ke arah menerapkan kemahiran berfikir dan memantapkan pemikiran pelajar. Bentuk latihan juga perlu
diberi di dalam kelas. Guru juga perlu membuat rujukan tambahan bagi memastikan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran, guru dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh pelajar.

2.1.3.2 Semasa Sesi Pengajaran Dan Pembelajaran

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran pula, guru perlu menunjukkan cara membaca puisi tradisional atau
pantun dengan betul sebelum mengarah pelajar melakukan perkara yang sama. Kemudian guru boleh meminta
pelajar untuk membaca atau menyampaikan puisi tradisional atau pantun seperti Pantun Kiasan, Syair Pembunuhan
Angreni dan Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih dengan intonasi yang betul secara rawak di dalam kelas
berpandukan bantuan guru. Guru meminta pelajar untuk memberikan pendapat terhadap pemahaman pelajar melalui
pembacaan tadi dan secara tidak langsung guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar serta pelajar yang faham
dengan pelajar yang kurang faham. Proses pertanyaan guru dengan mengemukakan soalan kepada pelajar perlu
dilakukan sebagai satu prasyarat untuk mewujudkan interaksi yang berkesan dalam bilik darjah. Pada peringkat ini,
guru akan mendapatkan respon pelajar di dalam kelas. Jika respon pelajar kurang menggalakkan, guru perlu
membantu pelajar dengan menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh petikan puisi Melayu tradisional tadi.
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran juga, guru boleh bertanyakan beberapa soalan ringkas mengenai makna
kosa kata klasik dalam puisi tradisional dan jika jawapan yang diberikan oleh pelajar salah, guru boleh beralih
kepada soalan lain pula. Hal ini boleh menarik pelajar untuk cuba berfikir menjawab soalan secara spontan atau apa
yang difahami oleh mereka daripada terus tidak memahami kehendak soalan.

Selain itu, guru juga boleh menjalankan aktiviti kuiz berkenaan kosa kata Melayu klasik dalam bentuk soalan
objektif. Kuiz ini dapat membantu pelajar untuk mencari jawapan dengan membuat beberapa rujukan buku
tambahan seperti buku glosari kata-kata Melayu klasik yang secara tidak langsung akan mendorong mereka
menambahkan pengetahuan kosa kata Melayu klasik.

2.1.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh berhenti pada tahap sebelum dan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran sahaja. Selepas pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menambah pengetahuan pelajar atau
mengulangi hasil pembelajaran dengan lebih berkesan. Hal ini demikian kerana, pelajar mudah mengalami lupaan
dengan mudah kerana pelajar kurang meneliti dan memberi tumpuan pada penerimaan informasi yang diproses
melalui deria daftar dan memori jangka pendek. Bagi mengelak lupaan ini berlaku secara tidak sengaja, guru perlu
menanganinya dengan memberi satu tugasan kumpulan dan individu kepada pelajar atau boleh dikenali sebagai
kerja rumah kepada pelajar tadi. Menurut Engle dan Oransky (1999) yang dipetik daripada buku “Psikologi” oleh
Suppiah Nachiappan (2008), lupaan juga berlaku disebabkan kandungan memori jangka pendek yang
membolehkannya memegang butiran-butiran dalam bentuk informasi adalah terhad kepada suatu jangka masa yang
ditentukan. Langkah pertama, guru perlu memberi tugasan kumpulan dan individu kepada pelajar yang merangkumi
puisi tradisional dan mencampurkan kumpulan pelajar yang faham sedikit mengenai kosa kata klasik dengan
kumpulan pelajar yang kurang faham serta melantik seorang ketua atau wakil yang mahir untuk mengetuai
kumpulan tadi. Tugasan kumpulan merangkumi agenda guru yang mengarahkan kumpulan yang sudah terbentuk
tadi untuk membuat persembahan puisi dan membuat analisis kosa kata dan makna puisi yang telah dipersembahkan
oleh mereka.

Bagi tugasan individu pula, pelajar dikehendaki menyenaraikan atau mencari seberapa banyak kosa kata Melayu
klasik yang tidak difahami dan mencari maknanya sekali menggunakan bahan rujukan tambahan yang boleh dicari
di internet atau buku-buku yang berkaitan dengan bahasa. Guru akan membuat pemantauan tugasan yang diberikan
dengan menyemak setiap lembaran kerja pelajar. Guru juga akan bertindak membimbing pelajar dengan
memberikan latihan atau latih tubi soalan-soalan peperiksaan lepas yang berkaitan dengan kosa kata Melayu klasik.
Kedua-dua pengajaran dan pembelajaran seperti yang dinyatakan di atas tadi merupakan teknik scaffolding dalam
pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran scaffolding dapat membantu pelajar yang lemah. Pihak guru atau rakan
sebaya akan memberi bantuan kepada pelajar yang memerlukan bantuan sahaja dan pihak yang memberi bantuan
tidak akan membuat segala-galanya tetapi lebih membuat aktiviti memantau tugasan yang dibuat oleh pelajar supaya
pelajar yang lemah dapat menguasai kemahiran dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dengan baik.
Pendekatan scaffolding sebenarnya banyak memberi sumbangan kepada pelajar iaitu ia menjadikan pelajar lebih
berminat untuk melibatkan diri dalam tugasan dengan lebih efektif dan pelajar juga dapat mengembangkan prestasi
dan zon perkembangan proksimal pelajar seperti yang disarankan oleh Vygotsky.

Hasil daripada respon pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran, guru juga boleh menggunakan teknik menyoal
kembali pelajar selepas waktu pengajaran dan pembelajaran dijalankan untuk mengelak lupaan sekali lagi berlaku.
Penilaian guru selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi memperbaiki kelemahan yang
berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) sebelum ini. Jika pelajar didapati masih lagi lemah dan
tidak seronok dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru harus menggunakan teknik
pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai. Sebagai contohnya menjalankan aktiviti kuiz yang disertakan dengan
hadiah. Secara tidak langsung guru akan memotivasikan pelajar di dalam bilik darjah untuk lebih berusaha
menyelesaikan soalan kosa kata Melayu klasik dan makna melalui teknik peneguhan positif iaitu menggunakan
kata-kata pujian atau memberi hadiah.Peneguhan positif adalah memberikan sesuatu sesuatu ganjaran yang
memuaskan pelajar setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulang atau diperkuatkan
lagi (Roediger, 1996)
2.2 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI PUISI MELAYU MODEN.

Puisi Melayu moden merupakan salah satu daripada subtopik yang diajar dalam komponen sastera. Pelajaran ini
bertujuan untuk mendekatkan para pelajar kepada karya-karya puisi Melayu moden, khususnya sajak. Sajak
merupakan satu hasil kesusasteraan Melayu yang kurang diminati ramai. Kebanyakan pelajar mendapati,
pembelajaran puisi Melayu moden menjemukan dan mereka meninggalkan bangku sekolah dengan membawa satu
tanggapan yang negatif tentang sajak. Keadaan ini akan terbawa-bawa ke peringkat yang lebih dewasa, sehingga
amat ketara peminat sajak adalah amat sedikit bilangannya di negara kini (Azman Wan Chik,1981: 53). Satu
daripada sebab hal ini berlaku ialah berhubung dengan cara mengajar yang digunakan oleh guru dalam bilik darjah.
Namun begitu, terdapat beberapa faktor dalaman dan faktor luaran yang membawa kepada masalah pelajar untuk
menguasai puisi moden.

2.2.1 Faktor Dalaman

Faktor dalaman memainkan peranan penting dalam menentukan kefahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Faktor
dalaman terdiri daripada minat pelajar, sikap pelajar dan baka. Tanpa minat yang mendalam, sikap yang rajin
mentelaah serta disebabkan faktor baka, sesuatu pelajaran akan menjadi sukar untuk dikuasai oleh pelajar. Minat
memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat memberi tumpuan yang mendalam dalam sesuatu
subjek. Dalam kajian yang dibuat oleh guru-guru di negara ini didapati bahawa pelajar yang kurang berminat dalam
mempelajari subjek yang diajar oleh guru akan menyebabkan pelajar mengalami masalah untuk menguasai subjek
tersebut.

“Mengapa pelajar tidak minat belajar sastera?” Kelemahan dalam minat dan perasaan fobia terhadap sastera telah
menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan skor markah dan prestasi KOMSAS yang merupakan sisipan
dalam bahagian pemahaman bagi subjek Bahasa Malaysia. Keadaan ini menimbulkan pelbagai masalah susulan
seperti pelajar kurang memberi perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran, pelajar menjadi pasif, tidak
membuat kerja rumah dan tiada insentif untuk meningkatkan prestasi diri. Dalam masalah menguasai puisi Melayu
moden, pelajar kurang berminat dengan subjek yang diajar oleh guru kerana bahasa yang digunakan sukar difahami.
Pelajar sukar untuk memahami sajak kerana ayat yang digunakan sukar untuk diterjemahkan kembali dalam bentuk
bahasa yang mudah difahami. Masalah ini akan menjadi semakin meruncing sekiranya guru tidak memainkan
peranan penting dalam membawa pelajar untuk menghayati dan memahami sajak tersebut. Kesan daripada
kebosanan pelajar dalam memahami sajak akan membuatkan pelajar kurang berminat untuk menguasai sajak
seterusnya membawa kepada masalah pelajar dalam menguasai puisi moden.

Safiah (1979) menegaskan minat membaca di kalangan pelajar berkait rapat dengan faktor pencapaian. Membaca
teks sastera memerlukan cabaran-cabaran intelektual yang berbeza. Membaca teks sastera bukan sahaja sekadar
menikmati maksud yang tersurat, tetapi juga maksud yang tersirat di mana ia melibatkan penaakulan dan gerak hati.
Unsur sastera dalam pendidikan berfungsi untuk memperluaskan pemikiran individu kerana genre sastera yang
bermutu tinggi mempunyai makna yang tersirat yang perlu diperhalusi oleh pembaca. Bahan bacaan sastera boleh
menanam sikap suka membaca di kalangan pelajar dan membudayakan tabiat membaca dalam masyarakat.
Terdapatnya faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar kurang meminati sastera. Pertama, kurangnya minat
membaca di kalangan pelajar menjadi penyumbang utama ke arah fenomena ini. Pelajar hari ini didedahkan kepada
sumber-sumber hiburan lain yang lebih menarik berbanding dengan bahan bacaan yang berunsur lebih ringan, padat
dan berbentuk hiburan. Kedua, tidak ada galakan daripada ibu bapa kerana mereka beranggapan dengan membaca
bahan sastera seperti novel dan cerpen akan mengganggu pencapaian akademik. Ketiga, kurangnya pendedahan
tentang sastera dan peluang pekerjaan yang berkaitan. Keempat, harga buku sastera yang tinggi.

Dapatan kajian Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan buku-buku sastera berbentuk rekreasi di pasaran
merupakan faktor kekurangan minat pelajar terhadap sastera. Beliau mencadangkan kelab membaca ditubuhkan agar
pelajar boleh digalakkan membaca dengan adanya sedikit cenderahati dan menyeru pihak penerbit atau pengarang
menghasilkan buku-buku sastera dalam bentuk rekreasi yang sesuai untuk dibaca oleh pelajar. Kajian Kathy (1994)
juga menggunakan teknik baca kuat untuk menggalakkan pelajar membaca dan buku percuma diberikan kepada
pelajar yang terlibat. Buku-buku bentuk rekreasi perlu ditambahkan untuk menggalakkan minat membaca di
kalangan pelajar.

2.2.2 Faktor Luaran

Faktor luaran yang membawa pelajar kepada masalah tidak dapat menguasai puisi moden adalah tenaga pengajar
dan pendekatan pengajaran yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seringkali berlaku keadaan di
mana tenaga pengajar kurang berkeupayaan menimba minat pelajar supaya menghayati puisi moden. Walaupun
pengajar boleh mengajar puisi moden tetapi apa yang sering berlaku ialah guru sering mencampuradukkan gaya dan
pendekatan pengajaran komponen sastera. Hal ini sangat ketara terutamanya dalam kalangan guru yang kurang
didedahkan dengan pendekatan, kaedah, teknik pengajaran puisi moden. Apabila berlakunya keadaan di mana guru
mencampuradukkan pendekatan, teknik dan kaedah teknik pengajaran KOMSAS maka keadaan ini menjadikan
puisi moden berorientasikan ke arah yang lain. Penyimpangannya adalah terlalu luas dan sukar dikawal.

Pengajaran puisi moden dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan penggunaan bahan bahan kajian teks puisi
moden dalam mata pelajaran kesusasteraan Melayu mempunyai gaya dan pendekatan yang berlainan. Gaya dan
pendekatan pengajaran Bahasa Malaysia adalah berorientasikan matlamat pengajaran Bahasa Malaysia. Bagi
mencapai matlamat ini puisi moden digunakan sebagai bahan pengajaran sedangkan gaya dan pendekatan
pengajaran sastera berdiri atas dasar pengajarannya yang tersendiri dan hanya menggunakan bahasa sebagai media
penghubung cerita. Apabila berlaku beberapa kesilapan dan kesalahan pegangan seperti ini menyebabkan guru yang
mengajar mata pelajaran KOMSAS itu kurang berkeupayaan menimbulkan ransangan, kecenderungan dan minat
pelajar serta kurang bertenaga. Apabila sampai pada peringkat ini guru lebih menumpukan perkembangan kognitif
berbanding perkembangan afektif pelajar. Pelajar lebih banyak melakukan aktiviti hafalan berbanding aktiviti
menghayati dan menghargai.
2.2.3 Penyelesaian Masalah

Penyelesaian masalah perlu di capai oleh guru dan pelajar bagi memastikan masalah dalam menguasai puisi moden
dapat diselesaikan. Seperti biasa, penyelesaian boleh dibuat pada peringkat sebelum, semasa dan selepas proses
pengajaran dan pembelajaran (p&p) sama seperti dalam menyelesaikan masalah pelajar dalam menguasai puisi
Melayu tradisional.

2.2.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu sedar dan melengkapi diri dengan segala
pengetahuan yang ada tentang puisi moden iaitu sajak. Guru juga perlu sentiasa mengingati bahawa objektif pelajar
belajar sajak adalah untuk :
(i) Pelajar dapat menyatakan aspek-aspek keindahan puisi moden.
(ii) Pelajar dapat menilai bentuk dan gaya bahasa puisi moden.
(iii) Pelajar dapat memberitahu nilai-nilai dan unsur-unsur kemanusiaan dalam sajak.
(iv) Pelajar dapat menyatakan nilai-nilai rasa yang terdapat dalam sajak.
(v) Pelajar dapat mencipta sajak mengikut kemampuan mereka.
(vi) Pelajar dapat menyatakan isi dan persoalan-persoalan dalam sajak.

Di samping sentiasa berpegang dengan objektif pembelajaran, guru juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai
pengetahuan tentang kaedah yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebelum memulakan
kelas.

Dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar, seharusnya ada galakkan berbentuk motivasi intrinsik
atau motivasi ekstrinsik daripada pihak ibu bapa atau guru. Ina Sue (1994) menjalankan kajian ke atas 39 orang
murid Gred 3 dengan tujuan memupuk keseronokkan membaca dalam kalangan pelajar dan pelajar memilih untuk
membaca apabila terdapatnya galakan, pilihan bahan bacaan dan masa untuk membaca. Dapatan kajian ini
menunjukkan bahawa pelajar membaca dengan penuh minat setelah mendapat galakan daripada ibu bapa dan guru.
Murid juga menunjukkan respon yang positif dalam penulisan jurnal. Mohd Nasir Hassan (2002) menjalankan
kajian kes selama empat minggu semasa praktikum dengan menggunakan teknik melagukan puisi. Beliau
menggunakan kecerdasan muzikal yang ada pada pelajar dengan melagukan sajak diiringi petikan gitar dan tiupan
harmonika serta disesuaikan dengan latar belakang yang membantu proses mengapresiasi sajak. Dapatan kajian ini
menunjukkan pelajar Cina yang tidak meminati sastera dan tidak faham sastera mula meminati sastera dan boleh
menghafal sajak yang dipelajari apabila dipuisilagukan. Beliau mendapati bahawa pengajaran dan pembelajaran
berpusatkan pelajar adalah perlu untuk memupuk minat pelajar dalam mempelajari sastera. Terdapat keserasian
antara hasil dapatan beliau dengan pandangan Ronald & Michael (1991) iaitu:

“A student-centred literature class is one which allow more exploration of the literary text by the learners and invites
learners to develop their own responses and sensitivities.”

Seterusnya, sikap pelajar menentukan kejayaan pelajar dalam menguasai sesuatu pengajaran. Sekiranya pelajar
mempunyai sikap bersungguh-sungguh dalam mendapatkan sesuatu maka apa yang ingin dicapainya akan dapat
diperoleh dengan mudah. Namun begitu, pada masa kini kita dapat lihat segelintir pelajar yang menghadapi masalah
dalam menguasai puisi Moden ialah pelajar yang malas mengulangkaji dan tidak memberi tumpuan dalam kelas.
Apa yang penting ialah guru perlu mengkaji apakah masalah pelajar sehingga membawa kepada sikap hilang
tumpuan dalam kelas kepada mereka. Di samping itu, sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, guru
harus membekalkan diri dengan beberapa pengetahuan tentang pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai contoh, pendekatan Teori Tingkah Laku dalam pengajaran dan pembelajaran, pendekatan Teori Kognitif
dalam pengajaran dan pembelajaran, dan sebagainya. Hal ini dapat diterangkan seperti berikut:
1) Pendekatan Teori Tingkah Laku Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pendekatan teori tingkah laku ialah teori yang perlu diterapi oleh setiap guru sebelum memulakan kelas agar guru
dapat mengawal tingkah laku pelajar semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abdul Hamid
Awang (2006), perbicaraan tentang teori tingkah laku memang banyak diperkatakan oleh para cerdik pandai. Secara
definisinya, teori ini adalah lebih melihat kepada perlakuan tingkah laku setiap individu. Hal ini bermaksud dalam
konteks pendidikan, teori ini menekankan bahawa perubahan akan terjelma pada setiap individu setelah mengalami
proses pengajaran dan pembelajaran serta perkaitan persekitaran sebagai pemangkin kepada perubahan tingkah laku.

Menurut Abdul Hamid Awang lagi, dua tokoh utama yang telah mengetengahkan teori pembelajaran berasaskan
tingkah laku ialah Ivan Petrivich Paavlov dan B.F. Skinner. Kedua-dua tokoh ini telah membicarakan tentang
beberapa prinsip yang berkaitan dengan tingkah laku. Pavlov telah membuktikan bahawa sesuatu rangsangan itu
akan mewujudkan gerak balas. Jika gerak balas ini dikukuhkan maka ia akan menghasilkan suatu bentuk peneguhan.
Konsep ini amat penting di dalam pelaksanaan guru merancang bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Berasaskan konsep yang telah diutarakan oleh Pavlov dalam konteks pengajaran dan pembelajaran beberapa
penggunaan teori ini dirasakan dapat diaplikasikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep yang
dimaksudkan ialah konsep rangsangan dan konsep gerak balas yang dapat diperkukuhkan melalui latihan. Motivasi
juga adalah satu set penting. Dalam konteks ini guru harus menggunakan motivasi sebagai alat rangsangan untuk
merangsang murid di dalam bilik darjah. Pembelajaran juga boleh berlaku melalui pengalaman.

Selain Parlov, Edwars Thorndike juga turut membicarakan tentang “Teori Tingkah laku”. Thorndike membuktikan
bahawa pembelajaran yang dilakukan dengan ada kesediaan di dalam diri pelajar sudah pasti akan menghasilkan
pembelajaran yang positif. Begitu juga bahawa latihan memainkan peranan penting dalam menguasai pembelajaran.
Thorndike juga turut menjelaskan bahawa pembelajaran yang menyeronokkan akan mewujudkan rangsangan yang
positif dalam diri pelajar. Pelajar akan rasa seronok dan ingin terus berada di dalam suasana pembelajaran. Teori
Thorndike melibatkan tiga konsep utama iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Kesan; dan Hukum Latihan bagi
membantu guru mengenal pasti corak pembelajaran yang lebih sesuai yang boleh mengukuhkan pengajarannya.
Dalam pengajaran dan pembelajaran teori yang dikemukakan oleh Thorndike ini adalah sangat berguna. Hal ini juga
melibatkan bentuk pengajaran yang lebih sistematik. Oleh itu, guru harus mempunyai pengetahuan tentang teori
tingkah laku agar guru lebih bersedia untuk memulakan pengajaran dalam kelas.

2) Pendekatan Teori Kognitif Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Selain daripada pengetahuan asas tentang teori tingkah laku, guru juga perlu mempunyai pengetahuan asas tentang
teori kognitif. Menurut Abdul Hamid Awang (2006), ahli psikologi yang tergolong dalam dasar ini menolak hujah
yang diperkenalkan oleh ahli-ahli Teori Tingkah Laku. Golongan ini berpendapat bahawa pembelajaran itu mudah
dan tidak memerlukan proses cuba jaya. Menurut golongan ini lagi bahawa dalam proses pembelajaran seseorang
murid itu membentuk struktur kognitif sendiri dalam kotak ingatannya. Golongan teori ini beranggapan bahawa
setiap individu mempunyai keupayaan mental mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala
pengalaman untuk membolehkan mereka membuat pertalian antara pengalaman yang tersimpan dengan masalah
yang ada. Keupayaan individu seperti ini adalah dikenali sebagai celik akal. Antara tokoh yang tergolong sebagai
ahli Teori Kognitif ialah S. Burner, David Ausubel dan Robert Gagne.

Menurut pengarang lagi, Teori Burner yang menarik perhatian pendidik adalah berkaitan dengan perkembangan
kognitif. Ia menekankan cara-cara manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara
mendalam. Burner juga menyarankan bahawa terdapat tiga peringkat dalam perkembangan kognitif iaitu peringkat
enaktif, peringkat ikonik; dan peringkat simbolik. Terbuktilah bahawa dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Burner ini akan dapat membantu guru dalam mengenal pasti pemeringkatan pembelajaran berdasarkan umur dan
juga beberapa aspek lain yang harus diberi pehatian dalam pengajaran. Aplikasi Teori Burner dalam pengajaran
adalah mengutamakan pembelajaran konsep dan hubungannya dengan konsep yang lain, sumber untuk membantu
pengajaran, pemeringkatan isi pelajaran dari mudah kepada kompleks, dan pembentukan kemahiran menyusun,
menganalisis, membuat sintesis, aplikasi dan penilaian.

Ausubel pula menyarankan bahawa pembelajaran boleh berlaku dengan dua cara iaitu secara resepsi dan penemuan.
Ini bermakna beliau menyarankan pembelajaran secara deduktif iaitu belajar sesuatu konsep atau prinsip dan
kemudiannya belajar contoh-contoh khusus yang berkait awal (advance organizer) yang dalam proses pengajaran
dan pembelajaran memerlukan guru mengetahui tahap pengetahuan sedia ada setiap pelajar. Hubungan konsep
penemuan yang disarankan oleh Ausubel adalah cukup sesuai dan memberikan impak kepada guru untuk menyusun
atur pengajaran dan pemilihan sumber yang berkesan. Manakala Gagne amat terkenal dengan teori pembelajaran
yang memerlukan pemeringkatan daripada mudah kepada yang susah. Gagne juga telah menyenaraikan lapan jenis
pembelajaran iaitu; pembelajaran isyarat, pembelajaran rangsangan, pembelajaran melalui rangkaian, pembelajaran
melalui pertalian berbahasa, pembelajaran diskriminasi, pembelajaran konsep, pembelajaran hukum dan
pembelajaran penyelesaian masalah. Pembelajaran penyelesaian masalah adalah pembelajaran yang paling tinggi
sekali. Teori gagne juga diteliti sudah pasti memberi gambaran kepada guru bahawa pembelajaran itu amat luas
metodologinya. Apa yang penting ialah guru harus menyaring, menganalisis dan memastikan sumber mana dan teori
manakan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pengajaran.

2.2.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah semasa mengajar puisi moden di dalam bilik darjah. Semasa proses
pengajaran dan pembelajaran, guru boleh meminta pelajar untuk mencipta sajak. Sajak ini digubah dengan cara
menyusun perkataan-perkataan sehingga kelihatan seperti sebuah gambar. Bunyi sebenar sajak itu tidak
dipentingkan. Apa yang diperlukan ialah kesan pandangan (visual) yang lahir daripadanya. Latihan-latihan seperti
ini boleh menjadi cara yang terbaik untuk menyakinkan para pelajar yang mereka boleh bermain dengan perkataan-
perkataan sepertimana yang dapat dilakukan oleh penyajak.

Seterusnya, guru boleh meminta para pelajar menulis nama mereka atau rakan-rakan mereka atau sesiapa sahaja dan
kemudian lahirkan sebuah puisi daripada nama tersebut. Pelajar mungkin boleh menciptakan puisi dengan
menggunakan nama itu pada setiap baris atau boleh juga menuliskan baris puisi itu dengan menggunakan nama
tersebut. Misalnya, nama seorang gadis seperti HAYATI:

H Hasratku
A Adalah daun-daun berguguran
Y Yang kering, hancur
A Atau hanya satu lamunan
T Tiada siapa yang mengerti atau tahu
I Itu yang kunanti

Guru juga boleh meminta para pelajar mencipta sajak berformat.Bagi memudahkan para pelajar, guru bolehlah
menyediakan struktur format tersebut. Guru boleh meminta pelajar menulis puisi mereka mengikut strukturnya.
Contohnya:

Contoh 1

Baris 1 – nama kamu


Baris 2 – dua perkataan tentang kamu
Baris 3 – tiga perkataan menyatakan hasrat kamu
Baris 4 – dua perkataan menyatakan warna kegemaran kamu
Baris 5 – nama samaran kamu

Contoh 2

Baris 1 – satu tempat


Baris 2 – dua bunyi di situ
Baris 3 – tiga perkara yang kamu lihat
Baris 4 – dua bau di situ
Baris 5 – dua perkataan menyatakan kamu sedih

Setelah pelajar dapat menulis puisi-puisi tersebut, bandingkan hasil kerja mereka. Bincangkan perkataan-perkataan
yang digunakan oleh penyajak. Bincangkan idea yang dikemukakan. Adakah ia sesuai? Mengapa? Mengapa tidak?.
Disamping itu, guru boleh meminta para pelajar melukis gambaran-gambaran (images) yang mereka dapat
gambarkan hasil daripada pembacaan puisi Melayu moden (sajak). Sebelum itu, guru terlebih dahulu memberikan
arahan kepada mereka supaya mereka mendapat gambaran tugasan tersebut. Guru dan para pelajar kemudiannya
membincangkan ketepatan gambaran-gambaran yang diberikan. Cara ini amat baik untuk melibatkan pelajar dalam
perbincangan. Mereka terpaksa melihat dengan cermat perkataan-perkataan yang diucapkan oleh penyajak. Latihan
ini juga merupakan satu cara yang dapat memberi para pelajar sesuatu bahan untuk ditulis.

Selain itu, guru boleh meminta para pelajar melengkapkan baris-baris yang dihilangkan daripada beberapa untaian
puisi. Setelah para pelajar menyempurnakan kerja-kerja mereka itu, bincangkan ayat-ayat atau idea yang diberikan
oleh mereka sendiri. Adakah idea-idea itu sesuai? Idea yang manakah paling tepat?. Di akhir pelajaran guru bolehlah
membacakan baris-baris yang sebenar. Dalam pelajaran berikutnya, guru boleh menyediakan senarai istilah-istilah
asas puisi yang terdiri daripada pelbagai unsur-unsur ( unsur-unsur bunyi dan unsur-unsur bahasa seperti aliterasi,
asonansi, imejan, simbol, hiperbola dan sebagainya). Galakkan para pelajar menggunakan unsur-unsur ini dalam
puisi yang mereka cipta. Mereka juga boleh menggunakan istilah-istilah ini semasa mengkaji atau menilai sesebuah
karya itu. Seterusnya, guru boleh mnyediakan satu senarai jenis-jenis puisi Melayu moden yang hendak dikenali
pelajar. Minta para pelajar itu menambah dalam senarai itu jenis-jenis puisi yang dibaca dalam kelas. Dengan
melakukannya para pelajar boleh memiliki satu koleksi tajuk-tajuk puisi Melayu moden di dalam buku mereka. Ini
boleh dijadikan rujukan tambahan kemudian.

Di samping itu, guru juga boleh menggunakan kaedah lain semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh:

1) Pembelajaran Puisi Moden Melalui Perbincangan

Perbincangan ialah satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu idea. Tujuannya adalah untuk
melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Aktiviti ini boleh dijadikan sebagai satu proses
belajar yang terancang dengan langkah-langkah persediaan awal oleh pelajar dan guru serta dikendalikan dalam
jangka waktu yang telah ditetapkan. Perbincangan boleh dijalankan secara di dalam kelas atau di dalam kumpulan
kecil. Corak perbincangan secara kelas adalah lebih menyeluruh manakala perbincangan dalam kumpulan kecil
dijalankan mengikut pecahan tajuk. Melalui aktiviti perbincangan, pelajar dapat meningkatkan kemahiran memberi
pendapat dan hujah yang bernas dan tersusun dalam pelbagai situasi, bertutur dengan intonasi dan gaya yang betul.
Selain itu, pelajar dapat mendengar dan memahami sesuatu perbincangan dengan teliti dan berkesan, membina
budaya belajar yang sihat seperti kerjasama antara ahli kumpulan dan memperkembangkan kemahiran belajar untuk
terus belajar.

Dari sudut pengajaran dan pembelajaran, perbincangan boleh dijalankan dalam tiga peringkat iaitu peringkat
permulaan pengajaran dan pembelajaran, peringkat perkembangan pelajaran dan peringkat akhir pelajaran. Pada
peringkat permulaan pengajaran dan pembelajaran, perbincangan boleh dijalankan sebagai aktiviti untuk meransang
minat pelajar kepada pelajarannya. Manakala pada peringkat perkembangan pelajaran, pembelajaran boleh
dikembangkan melalui aktiviti perbincangan iaitu pelajar menjadikan perbincangan sebagai saluran untuk
mengeluarkan pendapat dan fikiran mereka. Pada peringkat akhir pelajaran pula, aktiviti pembelajaran boleh
dikukuhkan dengan mengadakan atau memberi peluang kepada pelajar untuk berbincang dan membuat sesuatu
rumusan tentang sesuatu tajuk perbincangan. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan pengetahuan pelajar.

Sebelum guru memulakan aktiviti perbincangan, guru perlu bijak memilih tajuk yang berkaitan dengan sajak tetapi
tajuk itu menarik dan sesuai. Hal ini kerana tajuk yang menarik akan membantu guru untuk memastikan sesi
perbincangan berjaya mengalakkan penglibatan pelajar. Oleh itu, tajuk perlulah dipilih berdasarkan ciri-ciri yang
berikut:
i. menarik dan meransang minat pelajar;
ii. isinya sesuai dengan alam dan tahap perkembangan pelajar;
iii. dapat mencabar dan mencerna daya intelek pelajar;
iv. mengandungi nilai-nilai murni; dan
v. mempunyai lebih daripada satu kemungkinan dalam penyelesaian masalah atau jawapan.

2) Kaedah Menghayati dan Mengalami

Menurut Kamarudin Hj Husin (1988 ), kaedah ini berdasarkan pendapat Goodman (1962) yang telah mengesyorkan
supaya sesuatu pengalaman dikaji mengikut apa yang ditanggapi oleh pembaca sendiri. Kaedah mengalami dan
menghayati menekankan ‘kenikmatan’. Ini bermaksud sesuatu aspek komponen sastera (KOMSAS) yang dipelajari
itu dapat dirasakan sepenuhnya. Penghayatan itu berdasarkan kepada himpunan pengalaman pelajar dan ini
digunakan untuk mendapatkan sesuatu pengalaman baru. Dalam teori Skemata, iaitu rangkaian ilmu pengetahuan
lampau yang mempengaruhi kefasihan dalam pembelajaran. Ia cuba untuk menerangkan bahawa storan informasi
dalam memori jangka panjang adalah berbentuk rangkaian fakta dan konsep-konsep kerangka untuk memberi
informasi baru. Dalam pengajaran dan pembelajaran, para pelajar didedahkan kepada beberapa persoalan di dalam
sesuatu aspek kesusasteraan yang dikaji. Langkah ini disusuli pula dengan aktiviti menginterpretasi persoalan-
persoalan itu sehingga ia benar-benar dapat dirasakan.

Pengajaran tidak mementingkan sesuatu objektif tertentu tetapi lebih menumpukan kepada analisis pengalaman.
Soalan-soalan yang dikemukakan harus bersifat mencungkil pengalaman para pelajar. Guru harus sentiasa menarik
perhatian dan minat para pelajar ke arah cerita yang dipelajari. Alat-alat bantu mengajar adalah penting , terutama
usaha menyuburkan imaginasi para pelajar. Mereka dilatih berfikir secara kritis dan oleh kerana itu, pandangan
pendapat,pertimbangan yang wajar, penilaian, kritikan dan sebagainya perlu diberi perhatian oleh guru ketika
mengadakan perbincangan tentang cerita yang dipelajari itu. Dalam hal membina empati dalam kalangan pelajar,
mereka digalakkan membuat simulasi sendiri dengan menggunakan episod-episod yng sesuai yang dapat
memberikan kefahaman yang mendalam terhadap sajak yang dikaji.

Kaedah ini amat sesuai digunakan untuk kajian cerpen atau komponen sastera yang lain kerana ia membabitkan
kerohanian, ilmu jiwa dan sifat-sifat intrinsik manusia. Penerokaan terhadap hati nurani manusia, nilai-nilai
kemanusiaan dan kemasyarakatan, soal-soal moral dan kebudayaan, penonjolan sifat-sifat keperwiraan, perasaan
seni dan halus akan menyusuk jika ia benar-benar dapat dialami dan dihayati oleh pelajar. Hal ini demikian kerana
kebanyakan isi, tema dan persoalan yang dibawa dalam sesuatu cerpen tertumpu kepada hal-hal sedemikian, maka
kaedah mengalami dan menghayati akan dapat memberi kepuasan dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam
kalangan pelajar. Kaedah ini beranggapan bahawa pengalaman amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran
KOMSAS. Oleh kerana pengalaman itu ditempuh dan bukan dipelajari, maka setiap orang tentulah mempunyai idea
dan pandangan hidup yang tersendiri.

2.2.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Selepas sesi pengajaran dan pembelajaran juga adalah penting bagi memastikan pelajar memperolehi apa yang telah
diajar oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menggunakan kaedah sentuhan jiwa.
Sentuhan jiwa bermaksud guru berupaya untuk mengajak pelajar agar dapat terus mengikuti kelas dengan baik.
Melalui kaedah sentuhan jiwa, guru boleh berinteraksi dengan pelajar selepas tamat waktu kelas. Guru perlu
mengesan mana-mana pelajar yang lebih cenderung mengalami masalah dalam menguasai puisi moden dan
mengkaji punca yang mendorong pelajar itu gagal menguasai pembelajaran mereka. Seterusnya guru boleh
menggunakan masa yang sesuai untuk berkomunikasi secara sentuhan jiwa agar pelajar terbabit menjadi lebih
tertarik dan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran berikutnya. Sebenarnya kaedah sentuhan jiwa adalah
kaedah yang terbaik dalam menangani masalah yang meruncing dalam usaha guru menarik minat pelajar untuk lebih
meminati pembelajaran dalam kelas.

Menurut Suppiah Nachiappan at el. (2008), guru perlu mempunyai pengamatan tentang peranan emosi dalam
memimpin guru kepada perspektif baru atas perkembangan kecerdasan yang dimiliki oleh pelajar. Ilmu pengetahuan
tentang asas-asas emosi akan membantu menyelesaikan banyak masalah yang dialami oleh pelajar. Asas emosi
pelajar adalah penting untuk diselami oleh para guru. Guru boleh mengadakan motivasi selepas kelas atau
mendekatkan diri dengan pelajar melalui bicara jiwa. Guru perlu selalu bercakap dengan pelajar, iaitu tidak
menggunakan kekasaran dan tahu bagaimana mempengaruhi pelajar. Sekiranya guru menggunakan kesemua ini
dalam pengajaran dan pembelajaran maka masalah penguasaan pelajar dalam menguasai puisi moden sudah pasti
dapat di atasi.

2.3 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI CERPEN

2.3.1 Faktor Dalaman

Faktor dalaman memainkan peranan penting dalam mempengaruhi para pelajar. Antara faktor dalaman yang
mempengaruhi pelajar ialah sikap dan minat. Minat membaca pelajar terhadap cerpen semakin berkurangan. Hal ini
mungkin terjadi kerana mereka beranggapam bahawa cerpen kurang menarik dan kadang-kadang imaginasi yang
tidak masuk akal. Kesukaran yang timbul kerana kebanyakan cerpen menggunakan gaya bahasa yang pelbagai.
Selain itu, pelajar juga kurang minat untuk membaca cerpen yang telalu panjang. Apatah lagi, dalam komponen
sastera yang diajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima pelajar terpaksa mengkaji terlalu banyak cerpen.
Hal ini menyebabkan pelajar menghadapi masalah untuk mentelaah seterusnya menguasai cerpen.

2.3.2 Faktor Luaran

Faktor luaran yang mempengaruhi pelajar ialah kurangnya pendedahan awal dalam kalangan pelajar. Pengajaran
cerpen kurang diberi perhatian di sekolah. Malah tidak pun diajar atau didedahkan secara formal kepada pelajar di
peringkat menengah rendah dan menengah atas. Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) hanya
diadakan satu waktu khas bagi memperkenalkan mata pelajaran komponen sastera kepada pelajar. Peruntukkan satu
waktu itu pun tidak mencukupi tetapi boleh memberi ruang kepada guru memperkenalkan secara asas hal-hal yang
berhubung dengan cerpen. Pada peringkat menengah rendah dan menengah atas, pengenalan asas kompenen sastera
diselitkan di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Keadaan ini sedikit berbeza jika hendak dibandingkan dengan
sukatan yang terdapat dalam Kurikulum Lama Sekolah Menengah, di mana pengenalan asas kepada komponen
sastera kurang jelas. Pelajar hanya dicadangkan membaca buku-buku sastera sebagai bahan bacaan tambahan.
Walaupun begitu masih terdapat beberapa kelemahan kerana buku-buku cerpen yang dicadangkan tidak sepenuhnya
dapat dikaji oleh pelajar.

Selain itu, kurang pendedahan awal dalam kalangan pelajar turut menyumbang kepada masalah pelajar tidak dapat
menguasai cerpen dengan baik. Pengajaran cerpen kurang diberi perhatian di sekolah. Malah tidak pun diajar atau
didedahkan secara formal kepada pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas. Dalam Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) hanya diadakn satu waktu khas bagi memperkenalkan mata pelajaran
KOMSAS kepada pelajar. Peruntukkan satu waktu itu pun tidak mencukupi tetapi boleh memberi ruang kepada guru
memperkenalkan secara asas hal-hal yang berhubung dengan cerpen. Pada peringkat menengah rendah dan
menengah atas, pengenalan asas KOMSAS diselitkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Keadaan ini sedikit
berbeza jika hendak dibandingkan dengan sukatan yang terdapat dalam Kurikulum Lama Sekolah Menengah, di
mana pengenalan asas kepada KOMSAS kurang jelas. Pelajar hanya dicadangkan membaca buku-buku sastera
sebagai bahan bacaan tambahan. Walaupun begitu masih terdapat beberapa kelemahan kerana buku-buku cerpen
yang dicadangkan tidak sepenuhnya dapat dikaji oleh pelajar.

2.3.3 Penyelesaian Masalah

Menurut Kamarudin Hj. Husin (1988:187), mengajar cerita pendek di dalam kelas adalah lebih menyeronokkan
berbanding dengan genre-genre kesusasteraan yang lain. Para pelajar didapati lebih tertarik dengan cerpen kerana
cara terpantas bagi mereka untuk menikmati kesan dan menghayati hasil sesebuah kesusasteraan. Cerita pendek
boleh dibaca dalam jangka masa yang singkat. Ia tidak mengandungi misteri seperti yang biasanya terdapat dalam
puisi. Namun begitu, pelajar menghadapi masalah dalam menguasai cerpen kerana faktor-faktor tertentu. Oleh itu,
guru perlu sedar bahawa cerita pendek (cerpen) bukanlah untuk dijadikan sesuatu untuk dibaca dan diajar sahaja
tetapi hendaklah berupaya memberi sumbangan sesuatu yang berguna kepada pelajar.

Ada beberapa faktor yang perlu diberi pertimbangan oleh guru-guru ketika menyampaikan pengajaran mereka
kepada para pelajar. Dalam konteks pengajaran cerpen, guru perlulah mengetahui kaedah pengajaran yang sesuai
digunakan untuk memudahkan pelajar menguasai cerpen. Guru perlu sentiasa membuat persediaan tentang proses
yang bakal berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran. Apa yang paling penting, guru harus tahu apa yang perlu
dilakukannya sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.

2.3.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

1.Pendekatan Psikologi

Sebelum bermulanya proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, guru perlu memantapkan pengetahuan
mengenai komponen cerpen terlebih dahulu bagi menarik minat pelajar dalam mempelajari seterusnya menguasai
cerpen. Guru boleh menggunakan pendekatan psikologi. Hal ini demikian kerana pendekatan psikologi memusatkan
perhatian kepada manusia yang mencipta di samping watak-watak yang dikemukakan dalam karya sebagai
manifestasi daripada tingkah laku manusia juga. Pendekatan ini menggunakan pelbagai teori jiwa untuk mengkaji
tingkah laku manusia, baik pengarangnya mahupun konflik-konflik perwatakan yang ditimbulkan dalam ciptaan
cerpen atau KOMSAS. Guru perlulah membaca dan mengkaji karya seseorang pengarang terlebih dahulu supaya
guru dapat mengetahui bagaimanakah sikap pengarang terhadap sesuatu persoalan yang ditimbulkan. Apakah motif-
motif yang sering ditemui dalam karya-karyanya dan anasir-anasir lain yang sering diulang-ulang oleh pengarang.
Pendekatan psikologi banyak dilihat berdasarkan kepada pandangan psikologi daripada ahli-ahli psikologi terkenal
seperti Sigmund Freud, Adler dan Jung. Karya- karya Freud seperti Three Contributions to the Theory of Sex (1970)
dan The Interspersion of Dreams (1912) telah mempengaruhi banyak pengkritik dan juga penulis tentang peranan
seks dan mimpi dalam kehidupan manusia. Teori Freud ini amat sesuai dengan pandangan aliran naturalisme,
terutama sekali di Perancis yang memberikan gambaran bahawa ‘manusia adalah mangsa alam sekitar dan biologi’.
Freud berkata manusia terikat kepada perasaan seks (libido) akibat daripada tekanan masyarakat terhadapnya.
Penilaian Freud bahawa manusia ini adalah sakit dan bukan jahat. Hal ini bersesuaianlah dengan naturalist yang
tidak mahu menganggap manusia itu tidak bertanggungjawab tetapi menganggap manusia sebagai mangsa daripada
tekanan-tekanan alam dan preterhuman forces.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pendekatan ini memberi penekanan kepada soal-soal kejiwaan dan
karya, terutama kejiwaan pengarang. Karya cerpen dianggap sebagai hasil cetusan hati nurani manusia (pengarang)
yang diwarnai oleh elemen-elemen abstrak, emosi, pengalaman diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pendekatan
psikologi ini akan membolehkan guru menyedari perlunya kefahaman jiwa itu dalam menghayati dan memahami
tujuan sebenar mengajar cerpen agar guru dapat memberi komitmen sepenuhnya di dalam bilik darjah. Jika pelajar
turut dibawa bersama dalam pendekatan psikologi ini maka pelajar akan lebih mudah menghayati karya tersebut
dengan lebih mendalam terutamanya dari aspek penciptaan, watak dan perwatakan, dan kesannya kepada penikmat
(audiens dan masyarakat) serta sebab-munasabab mengapa sesuatu cerpen (cerita pendek) diolah sedemikian.

Bahan Dipilih, Disusun, Dikawal dan Diperingkatkan

Sebelum memulakan pengajaran, guru perlulah menyediakan alat bantuan mengajar KOMSAS. Bahan-bahan yang
hendak disampaikan kepada para pelajar mestilah dipilih, disusun, dikawal dan diperingkatkan terlebih dahulu. Hal
ini penting kerana penelitian terhadap bahan-bahan pengajaran tidak akan menimbulkan sebarang masalah dalam
proses pengajaran dan pembelajaran kelak. Pemilihan bahan-bahan pengajaran adalah proses mencari bahan
pengajaran KOMSAS yang sesuai dan menarik untuk pelajaran. Pemilihan bahan biasanya berdasarkan tujuan dan
tingkat pencapaian pelajar yang akan mempelajarinya. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh terpesong daripada
sukatan mata pelajaran cerpen.

Bahan-bahan yang dipilih bermaksud bahan-bahan yang menarik dan sesuai. Bahan-bahan ini hendaklah berkaitan
dengan pengalaman dan pengetahuan para pelajar serta tidak terkeluar daripada persekitaran kehidupan para pelajar
itu. Hal ini demikian kerana dalam Teori Kognitif, apa yang ditekankan ialah kesedaran tentang hubungan antara
ransangan atau penggunaan rangkaian ilmu lampau yang sesuai terhadap pengajaran dan pembelajaran (Suppiah
Nachiappan at el : 2008,88). Pengalaman lampau pelajar sangat membantu dalam proses-proses mengingat dan
pemahaman. Manakala, bahan-bahan disusun ialah bahan-bahan yang diatur mengikut prosedur supaya
perkembangan pelajar maju secara beransur-ansur dan tertib dari awal hingga akhir pengajaran. Susunan bahan-
bahan pengajaran yang teliti dapat menggelakkan pengajaran berlaku secara tidak sistematik. Guru-guru harus tahu
mana-mana bahan yang perlu digunakan terlebih dahulu dan yang mana akan digunakan kemudiannya. Selain itu,
guru juga perlu membahagikan bahan mana yang patut disampaikan pada peringkat permulaan, pada peringkat
pertengahan dan pada peringkat akhir. Guru juga perlu tahu jenis-jenis aktiviti yang akan digunakan dalam bilik
darjah nanti.

Di samping itu, bahan yang dikawal pula ialah bahan-bahan yang ditentukan supaya bahan itu dapat disampaikan
secara seimbang. Guru harus dapat mengawal masa dan bahan-bahan yang hendak disampaikan supaya sesuai
dengan salah satu daripada waktu mengajar yang telah ditetapkan. Apa yang dirancang hendaklah dilaksanakan
sepenuhnya. Guru hendaklah memastikan bahawa bahan-bahan yang digunakan itu tidak terkeluar daripada bahan-
bahan yang telah dipilih dan disusun iaitu ia tidak disampaikan secara suka hati. Guru juga perlu memastikan bahan-
bahan tersebut tidak diajar berulang kali. Bahan-bahan yang tidak sempat disampaikan dalam pengajaran pertama
hendaklah disambung dan disempurnakan dalam pengajaran berikutnya.

Bahan-bahan yang diperingkat pula bermaksud bahan-bahan yang ditentukan mengikut tahap-tahap tertentu. Pada
masa ini umur dan naluri kanak-kanak tidaklah menjadi masalah yang besar lagi kerana umur pelajar yang sedang
mengikuti kelas KOMSAS adalah terkawal iaitu umur pelajar sekolah menengah. Tetapi latar belakang keluarga,
pengalaman, kecenderungan dan kebolehan mereka tetap berbeza. Oleh itu, bahan yang hendak diajar perlulah
dirancang terlebih dahulu. Pemilihan, susunan , kawalan yang dilakukan, dan bahan-bahan pengajaran perlu
diperingkat-peringkatkan mengikut kesesuaian. Pemeringkatan biasanya daripada mudah kepada yang lebih susah,
daripada dekat kepada jauh, daripada dalam pengalaman hingga luar pengalaman dan sebagainya.

Kesedaran Guru Dalam Peranannya Sebagai Guru Bahasa Melayu Yang Mengajar Cerpen

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kejayaan mengajar cerpen bukan sahaja terletak kepada alat bantuan
mengajar dan murid sahaja malah melibatkan faktor guru itu sendiri. Kejayaan dan kegagalan sesuatu proses
pengajaran dan pembelajaran itu bergantung juga kepada guru yang menyampaikan pelajaran itu. Guru bukan sahaja
perlu memiliki pengetahuan yang cukup malah guru juga harus memiliki pengetahuan psikologi, sosiologi dan
pedagogi. Di samping itu, guru haruslah sedar akan tujuan dan objektif mengajar dan kepada siapa mereka
mengajar. Guru perlu tahu peranannya ialah:

i. Guru hendaklah bertindak sebagai penggerak atau pembimbing perbincangan dalam kelas. Perbincangan secara
terbuka perlu digalakkan supaya pelajar lebih memahami, menikmati dan menghayati bahan-bahan seperti cerpen
yang diajar dalam bilik darjah.
ii. Guru hendaklah sentiasa kreatif dan imaginatif. Guru hanya boleh membentuk soalan-soalan yang dinamis,
membuat tafsiran yang tepat, mengeluarkan dan mengalirkan idea-idea secara spontan, cekap melayan pertanyaan
pelajar dan sebagainya. Unsur-unsur kreatif dan imaginatif ini mampu melahirkan guru yang bijaksana dan unggul.
Selain itu, pengajaran guru juga akan menjadi lebih menarik dan berkesan.
iii. Guru hendaklah boleh membina latar yang sesuai dan menarik untuk pelajar nikmati bahan-bahan cerpen dengan
lebih berkesan. Dalam hal ini, alat bantuan mengajar sangat perlu digunakan oleh guru.
iv. Guru janganlah menggunakan paksaan ke atas pelajar-pelajarnya untuk menerima pendapatnya sahaja. Dalam
pelbagai perkara, para pelajar mestilah diberi peluang mengemukakan pendapat sendiri. Sesuai dengan tujuan
penikmatan dan penghayatan, para pelajar itu harus bebas mencurahkan perasaan mereka.
v. Guru hendaklah mementingkan nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Pengajaran guru
harus tertumpu kepada tujuan menghayati dan menikmati keindahan itu. Para pelajar harus sedar dan dapat
menghargai sesuatu karya itu.
vi. Guru hendaklah menggalakkan pelajar mencari jawapan sendiri dalam setiap persoalan yang dikemukan.
Kebebasan memberi pendapat akan melatih para pelajar menjadi lebih kritikal dan dinamik.
vii. Guru hendaklah ada kesungguhan. Minat guru terhadap bahan-bahan kesusateraan mestilah sudah tersemai.
Minat merupakan motivasi utama untuk guru rajin menyediakan sebarang alat bantuan mengajar dan merancang
pengajaran yang berkesan.
viii. Guru hendaklah menyediakan soalan-soalan yang lengkap untuk dikemukakan kepada para pelajar. Soalan-
soalan hendaklah berbentuk meninjau kefahaman dan penghayatan. Soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajar
biasanya melatih mereka berfikir dengan lebih matang dan teliti.
ix. Guru hendaklah menggunakan teori-teori pembelajaran yang baik, pendekatan kaedah dan teknik pengajaran
yang sesuai. Semua perkara ini perlu diselaraskan.

Tuntasnya, sekiranya guru sedar akan peranannya dalam memastikan pelajar faham tentang cerpen yang hendak
disampaikan kepada pelajar maka objektif pelajaran itu sudah pasti dapat dicapai dengan jayanya. Kesedaran ini
perlu berlaku sebelum guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.

2.3.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

1.Ketelitian dan Ketrampilan Bacaan.

Ketelitian dan keterampilan membaca karya cerpen harus dikuasai oleh guru dan perlu didedahkan kepada para
pelajar. Apabila pelajar dapat menguasai aras bacaan, ketelitian, kesungguhan dan keterampilan membaca karya
fiksyen amnya dan cerpen khususnya membawa pelajar kepada perasaan jemu dan bosan membaca. Perasaan dan
sikap ini dapat dikendurkan kerana pelajar dapat memahamidan menghayati isi kandungan dan wawasan di belakang
cerita tersebut.

Penguasaan pelajar terhadap keterampilan ini membawa mereka lebih dekat dengan gambaran suasana, fenomena
dan jalinan peristiwa yang ditampilkan oleh cerpenis. Pelajar dapat menangkap dan mengesan kandungan perutusan
yang dicetuskan oleh pengarang. Pengarang mengutarakan pengertiaan maksud melalui penggunaan kata-kata, frasa,
kalimat mahupun wacana yang digunakan oleh cerpenis. Unsur dan gaya bahasa seperti ini menyukarkan pelajar
mengesan maksudnya sekiranya pelajar tidak diasuh bagaimana hendak memahami, menggayakan dan memahirkan
pembacaannya serta ketekunan berserta ketelitian membaca.

Pelajar juga harus diasuh supaya taat dan berkeinginan membaca secara berterusan supaya menghabiskan
pembacaannya. Memahami dan menghayati cerpen tidak boleh dilakukan oleh pelajar sekiranya mereka hanya
membaca separuh-separuh sahaja dan menyambung kembali pembacanya apabila ada kelapangan. Pelajar harus
membaca sesebuah cerpen berkali-kali. Bacaan pertama hanya semata-mata mencari idea keseluruhan dan
pengesanan gaya sementara seseorang penulis. Bacaan kali pertama ini juga akan menentukan keindahan sesebuah
cerpen. Oleh itu bacaan pertama ini walaupun pantas tetapi merupakan ransangan pertama bagi menerokai isi cerpen
itu dengan lebih mendalam.

Bacaan kali keduanya atau bacaan isi kandungan dilakukan di mana pelajar memberikan penelitian terhadap aspek-
aspek yang hendak dihalusi. Pada peringkat ini pelajar diajar oleh guru untuk menanda isi kandungan bahan
bacaannya seperti menggaris , menghitamkan dan sebagainya di tempat-tempat seperti nama watak, latar masa dan
tempat supaya memudahkan pelajar mengingat. Hal ini akan memudahkan pelajar merujuk kembali untuk
memahami, menggayakan dan memahirkan pembacaannya serta ketekunan berserta ketelitian membaca. Pelajar
juga harus diasuh supaya taat dan berkeinginan membaca secara berterusan supaya menghabiskan pembacaannya.
Walaupun aktiviti susulan semasa membaca kali kedua ini boleh dilakukan tetapi pelajar harus menguasai bacaan
telaah bagi mengandaikan karya ciptaan cerpen dengan berdasarkan kepada tumpuan pemahaman dan penghayatan.

Pelajar juga harus memahami secara dekat tema yang hendak disampaikan oleh cerpenis. Bagi mengesan tema
utama sesebuah cerpen, pelajar harus mengesan tema utama sesebuah cerpen Misalnya teks cerpen Lambaian Malar
Hijau karya pelajar harus sedaya upaya memahami, menghayati dan menangkap maksud tema. Dengan terus
membaca keseluruhan cerpen Lambaian Malar Hijau berdasarkan teknik baca isi kandungan dan bacaan teliti,
pelajar cuba menikmati dan memperhalus persoalan-persoalan kemanusiaan dan kesejagatan seperti yang
dipaparkan oleh penulis melalui watak cikgu Jo yang sangat dedikasi dan menjalankan amanah sebagai pendidik
dengan penuh tanggungjawab. Buktinya, cikgu Jo sanggup masuk ke kampung Orang Asli semata-mata hendak
memujuk Daneng sehingga akhirnya Daneng bersetuju untuk meneruskan perjalanannya. Kejayaan pengarang
dalam mengetengahkan sifat “ Cikgu Jo” yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Inilah nilai universal
yang dapat dikesan dan diamalkan oleh semua manusia tanpa mengira bangsa, agama dan perbezaan status. Dengan
ini sahaja pelajar akan dapat menghubungkan dirinya dengan cerpen tersebut. Pelajar berkeupayaan menyatukan
dirinya dengan cerpen tersebut.

Menurut Ishak Ramli (2003), selalunya cerpen tidak menggunakan bilangan watak yang banyak jika dibandingkan
dengan genre-genre lain. Sifat seperti ini menjadikan pelajar lebih mudah memahami dan menghayati cerpen.
Namun begitu, pemahaman dan penghayatan ini tidaklah semudah yang disangka oleh guru kerana cerpenis
mempunyai pelbagai gaya bahasa bagi mengolah dan menghidupkan watak-watak dalam cerpennya.

2. Menggunakan Teknik Penemuan

Pada peringkat awal, guru memberikan penerangan berkenaan konsep atau makna. Tujuannya adalah mengajak
pelajar mengetahui maksud sesuatu perkara secara lebih mendalam. Contohnya cerpen ‘hikayat mat jenin’. Pada
peringkat awal pengajaran, guru memberikan maksud tema. Tema bererti perkara utama cerita dalam cerpen.
Menerusi cerpen ini, pelajar menemui tema iaitu, “kegigihan bekerja membolehkan seseorang itu mencapai kejayan
cemerlang”. Secara tidak langsung, pelajar lebih mudah memahami isi pengajaran yang cuba diterangkan oleh guru.
Di sini pelajar diajak berfikir secara kreatif dan kritis bagi mengeluarkan pendapat dan idea secara tidak langsung.
Oleh itu, pelajar mudah memahami dan menemui sesuatu perkara yang diingini oleh guru. Pelajar juga lebih mudah
memahami perkara yang sukar dalam waktu yang singkat.

Selepas mengemukakan konsep tema, guru boleh mengemukakan beberapa soalan kepada pelajar cerita cerpen.
Guru boleh mengubahsuai beberapa soalan supaya lebih mudah difahami oleh pelajar. Tujuan utama kaedah
penemuan adalah supaya para pelajar mudah menemui soalan yang timbul dan seterusnya mereka boleh
mengeluarkan soalan dan dibincangkan bersama. Secara keseluruhannya, persoalan yang wujud dalam cerpen
‘hikayat mat jenin’ adalah berkaitan anak yang malas. Selain itu, mendapat manfaat daripada pengalaman dan
nasihat baik, sabar menempuh pelbagai masalah dan akhirnya kejayaan dapat dicapai tanpa perlu memiliki
pendidikan tinggi. Melalui kaedah ini guru boleh membawa pelajar mengenal pasti jenis-jenis watak dan perwatakan
yang wujud. Sebagai contohnya watak statik, watak bulat dan watak pipih. Pelajar juga boleh mengenal pasti watak

· Pokok-pokok dan rumah-rumah di kiri dan kanan jalan berlari-lari ke belakang.


· Belum sempat aku menyambutnya, deringan loceng menghalau Raja Nor Mustaqimah.

Melalui cerpen ini, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai pengajaran yang ada. Guru boleh menggunakan teknik
penceritaan iaitu guru menceritakan sesuatu isu di luar sukatan dan seterusnya menyatakan nilai-nilai murni, nilai
kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan. Berdasarkan cerita ini, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai murni, nilai
kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan. Berdasarkan cerita ini juga, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai yang ada
dalam hiakayat mat jenin. Antaranya ialah ketabahan dan keberanian.

Pengajaran cerpen tidak lengkap tanpa nilai-nilai teladan yang boleh dijadikan pegangan. Guru perlu mendedahkan
nilai-nilai ini kepada pelajar. Secara tidak langsung, guru menyelitkan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri
pelajar. Melalui kaedah penemuan ini, guru boleh menggunakan teknik menyelesaikan masalah. Pada dasarnya, guru
boleh mengemukakan sebarang masalah kepada pelajar. Sebagai contohnya, sikap pelajar yang tidak mendengar
cakap kedua orang tuanya. Sama ada secara berseorangan atau kumpulan, pelajar diminta menyelesaikan masalah
itu. Pelajar juga boleh mengemukakan masalah mereka dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.

Dalam menyelesaikan masalah, pelajar diperuntukkan masa supaya berbincang dengan kawan-kawan yang lain. Hal
ini bagi memastikan idea yang dihasilkan bernas dan relevan. Secara tidak langsung, pelajar dapat mengenal pasti
nilai dan pengajaran dalam cerpen dan sekaligus mengeluarkan isi-isi yang berkenaan. Guru bertindak sebagai
pemudah cara sahaja. Banyak perkara perlu dilakukan sendiri oleh pelajar dan guru hanya memberi panduan.
Melalui aktiviti ini pelajar dapat mengeluarkan idea dan mengalakkan mereka berfikir secara kreatif dan kritis.
Kaedah penemuan ini menyeronokkan pelajar. Hal ini kerana mereka berusaha dengan sendiri bagi mendapatkan
jawapan pada persoalan yang dikemukakan. Dengan ini dapat mengelakkan pelajar daripada bosan semasa
mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

3. Teknik soal jawab

Teknik menyoal memainkan peranan penting dalam mengembangkan daya intelek, rohani, dan emosi serta
menggalakkan daya pemikiran yang kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru digalakkan supaya mempelbagaikan
teknik menyoal agar pengajaran dapat disampaikan dengan berkesan, menarik dan memberangsangkan pelajar untuk
terus belajar. Penggunaan soalan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa boleh membantu pelajar meningkatkan
kefahaman isi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, persoalan juga membolehkan pelajar untuk :
a. Membimbing dan menggalakkan pelajar berinteraksi antara satu sama lain, dengan guru dan dengan bahan;
b. memenuhi kehendak pelajar yang berlainan tahap pencapaian;
c. membantu guru untuk meningkatkan daya pemikiran pelajar;
d. membantu dan menggalakkan pemikiran secara meluas dan mendalam;
e. menilai peringkat kefahaman pelajar; dan
f. memberangsangkan pelajar untuk terus belajar.

Guru boleh menggunakan pemeringkatan soalan mengikut taksonomi Bloom. Soalan-soalan yang dikemukan
bolehlah terdiri daripada pelbagai aras atau peringkat kesukaran iaitu daripada soalan-soalan adalah seperti berikut:
Peringkat Soalan
Aras Pemikiran Pelajar
Contoh
Pengetahuan
Pelajar perlu mengingat atau menghafal sesuatu yang sudah dipelajari. Pelajar boleh mendapat butiran jawapan
secara berterusan.
Siapakan nama pengarang novel “ Lambaian Malar Hijau ? ”
Apakah nasihat cikgu Jo kepada Daneng?
Pemahaman
Pelajar perlu memahami maksud atau makna sesuatu bahan yang diberikan.
Terangkan apakah yang cuba disampaikan oleh pengarang tentang kasih sayang antara Cikgu Jo dengan Daneng?
Apakah usaha yang dilakukan oleh Cikgu Jo untuk memastikan pelajar cemerlang seperti Daneng terus belajar?
Pengetahuan dan Aplikasi
Pelajar boleh menggunakan pengetahuan yang telah ada untuk disesuaikan atau digunakan dengan situasi atau
bahasa yang diberikan.
Karangkan sebuah cerita pendek yang ada kaitan dengan tema yang telah dibincangkan tadi?
Berdasarkan cadangan-cadangan yang telah anda berikan, apakah langkah yang boleh diambil untuk membantu
Daneng?
Analisis
Pelajar boleh memecahkan atau mencerakinkan sesuatu bahan kepada bahagian-bahagian kecil supaya dapat
memahami keseluruhan bahan dengan lebih jelas.
Senaraikan semua sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Cikgu Jo dalam petikan ini?
Apakah cara-cara yang boleh kita lakukan untuk membantu Cikgi Jo menyelesaikan masalahnya.
Sintesis atau Rumusan
Pelajar boleh merumus atau membuat kesimpulan tentang bahan-bahan yang telah dicerakinkan supaya mendapat
satu kesimpulan atau rumusan tertentu.
Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui cerpen yang dibaca tadi?
Apakah perkara pokok yang dibicarakan dalam petikan diatas.
Penilaian
Pelajar boleh membuat pertimbangan atau menilai sesuatu bahan.
Patutkah kanak-kanak diberi kebebasan memilih bahan bacaan yang disukainya.
Pada pendapat anda apakah tanggungjawab anda sebagai pelajar?

Pemeringkatan soalan penting dalam memastikan pelajar dapat menerima sesuatu dengan mudah. Soalan-soalan
yang dikemukakan boleh dibahagikan kepada dua jenis:

1. Jenis Bertumpu ( Convergent)

Soalan jenis ini memerlukan jawapan betul atau salah iaitu lebih berbentuk objektif. Jawapan kepada soalan jenis ini
boleh didapati daripada petikan atau bahan yang diberikan. Dalam pemeringkatan soalan mengikut Taksonomi
Bloom, peringkat pengetahuan, pemahaman dan penggunaan pada peringkat rendah termasuk dalam jenis ini.

2. Jenis Bercapah ( Divergent )

Jawapan kepada soalan ini lebih bersifat terbuka atau bebas. Jenis soalan ini lebih menguji pemikiran pelajar supaya
dapat menaakul, meneroka menganalisis, mengkritik dan menghayati sesuatu bahan. Jenis soalan ini juga memberi
peluang kepada pelajar berinteraksi secara aktif dan melahirkan pemikiran yang kreatif. Soalan-soalan yang
termasuk dalam jenis bercapah adalah soalan diperingkat analisis, sistesis dan penilaian.

Sebelum mengemukakan soalan, guru hendaklah merancang, membentuk dan memilih soalan yang sesuai. Guru
perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara yang berikut:

1. Bila Menyoal ?

Bilakah soalan dikemukakan? Adakah pada awal pelajaran sebagai pengenalan untuk menimbulkan minat dan
kesediaan pelajar bagi menghadapi pembelajaran, atau pada pertengahan pelajaran sebagai ransangan untuk menguji
pemahaman pelajar?

Soalan boleh dikemukakan pada awal, pertengahan atau pada akhir pelajaran mengikut keperluan dan keadaan.

Contohnya:
i. Pernahkah anda melihat permainan tradisional?
( Awal)
ii. Bolehkah anda merumuskan kembali apa yang telah kita bincangkan tentang sejarah wau di Malaysia?
( Pertengahan)
iii. Pada pendapat anda perlukah permainan tradisional diperkenalkan kepada generasi akan datang?
(Akhir/Pengukuhan)
Soal-jawab merupakan salah satu aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran cerpen yang dapat
membimbing pelajar ke arah pemikiran yang lebih luas. Soalan yang mencabar akan membantu pelajar menajamkan
lagi pemikiran dan juga membantu pelajar mencari maklumat melalui perbincangan dan pembacaan yang luas. Oleh
itu, guru seharusnya memberikan perhatian yang serius kepada aspek soal-menyoal dan memanfaatkan
penggunaannya untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.
2.4 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI DRAMA

Drama merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam antologi Kesusasteraan Melayu yang diperkenalkan sebagai
sisipan dalam bahagian pemahaman bagi subjek Bahasa Malaysia. Drama ialah cerita berdialog atau cereka yang
mengandungi konflik yang memaparkan kehidupan yang dilakonkan atau karya yang dipersembahkan oleh pelakon
di atas pentas yang dikenali sebagai teater atau sandiwara atau yang dipersembahkan melalui radio, televisyen atau
sejenis karangan cereka yang berbentuk prosa dan puisi yang mengandungi dialog dan menampilkan pelbagai
persoalan dan realiti kehidupan. Menurut Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir (2005a: 334), drama dapat dipisahkan
kepada dua bentuk, iaitu drama bertulis dan drama pementasan.

Dasar pendidikan negara yang berhasrat melahirkan individu yang berperibadi mulia yang kemudiannya menjadi
rakyat yang berkualiti. Falsafah Pendidikan Negara juga menjelaskan bahawa pendidikan negara ini bersifat
berterusan kerana adanya unsur-unsur kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat
ke peringkat yang seterusnya. Selanjutnya, Falsafah Pendidikan Negara juga menyatakan bahawa pendidikan di
Malaysia berfungsi untuk memperkembang bakat dan kemampuan murid waima dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani secara menyeluruh dan bersepadu.

Pengajaran drama dalam antologi kesusasteraan Melayu amat menepati hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang
bermatlamat mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Hal
ini amat bersesuaian dengan unsur drama yang mencerminkan masyarakat dan kebudayaan serta merupakan
manifestasi kesenian melalui media lakonan dan penceritaan yang lebih berkesan. Di samping itu, unsur drama juga
membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni
seterusnya membantu matlamat ke arah berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

2.4.1 Penyelesaian Masalah

Drama dari segi pendidikan adalah lebih daripada pementasannya. Unsur drama boleh dikatakan menjadi aktiviti
yang dapat memberi peluang kepada murid untuk ‘belajar sambil bermain’. Belajar sambil bermain adalah satu
konsep dalam alam pendidikan yang dapat menggalakkan pelajar cenderung untuk belajar. Hal ini kerana, melalui
konsep ini pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan bererti. Unsur drama bukan sahaja dapat mengajar tentang
bahasa kepada para pelajar, malahan turut mengajar pelajar kemahiran sosial dan sikap seperti kerjasama,
berinisiatif, kreatif, kesedaran terhadap sesuatu masalah tertentu dan pelbagai kemahiran lain tidak mungkin
diperoleh daripada kurikulum formal persekolahan biasa. Kemahiran seperti ini penting bagi pertumbuhan mental,
fizikal dan emosi seseorang pelajar.
Namun, kegiatan berdrama mempunyai kekangan-kekangan tertentu untuk dilaksanakan meskipun pelbagai
kelebihan boleh didapati daripada aktiviti ini. Meskipun terdapat banyak kelebihan berkaitan pembangunan diri
pelajar, aktiviti tersebut tidak dapat dilaksanakan menjadikannya tidak menyeluruh dan terhad. Keadaan ini bukan
sahaja terhad kepada waktu pertunjukannya tetapi juga kepada pelajar dan guru yang mampu melaksanakannya. Hal
ini bermaksud, mampu dari sudut perolehan guru yang berjiwa atau berbakat seni. Kebanyakan pelajar tidak mampu
menghayati teks sastera yang disediakan apatah lagi malu untuk melakonkan watak-watak dalam drama. Jika guru
mempunyai perasaan malu, pasti gagal untuk menggerakkan pelajarnya. Secara tuntasnya, masalah dalam
pembelajaran unsur drama ialah pelajar kurang berkeyakinan dan malu dalam pembelajaran sama ada dalam
pembacaan mahupun pementasan.

Drama dalam KOMSAS sebenarnya mampu menjadi wahana pembelajaran yang baik dan berkesan. Penggunaan
buku teks yang dibekalkan sememangnya mempunyai beberapa drama berbentuk tulisan yang sangat menarik
dengan gaya bahasa yang kreatif dan naratif yang dicipta oleh beberapa penulis tersohor negara. Sepatutnya,
pembelajaran KOMSAS dapat mencambahkan minat pelajar terhadap kesusasteraan dan bidang berkaitan
dengannya di samping hasil sampingan yang dapat membangunkan sahsiah pelajar

Drama dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah menengah ialah unsur-unsur drama asas yang
terdapat dalam gerak kerja lisan. Pelajar diharapkan dapat menguasai kemahiran bahasa lisan dengan berlatih
bercerita dan melakonkan cerita-cerita. Aspek ini amat menarik kerana menjadi tanggapan bahawa pada peringkat
awal remaja, mereka masih gemar bercerita dan berlakon olok-olok. Hal ini menjadi kebiasaan semulajadi yang ada
pada diri setiap pelajar. Sebagai bukti, apabila tiada guru di dalam bilik darjah, pelajar mula membuat bising dengan
pelbagai aksi ketika bercerita sesama rakan. Keadaan yang semulajadi ini harus dieksploitasi dengan sepenuhnya
oleh guru. Tetapi, mengapakah apabila disuruh berlakon, pelajar malu dan kaku? Hal inilah yang perlu
dititikberatkan oleh setiap guru dalam menangani setiap pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan ragam.

Pembelajaran drama melibatkan pelbagai kemahiran yang tidak harus dipandang mudah oleh seseorang guru. Guru
perlu sedar bahawa pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu diterokai serta dikembangkan oleh guru.
Pembelajaran drama adalah medan terbaik untuk guru mengenal pasti keupayaan setiap pelajar. Terdapat pelajar
yang mempunyai kemahiran artistik dan seni yang tinggi. Pelajar seperti ini boleh dikembangkan bakat nyanyian,
lakonan ataupun tarian yang dimiliki olehnya. Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai bakat tersebut
berkemungkinan seorang yang tinggi sifat kepimpinannya. Oleh itu, guru boleh melantiknya sebagai ketua dalam
sesuatu program pementasan yang dilaksanakan. Malah, terdapat juga kru-kru sokongan yang menjadi tulang
belakang sesuatu pementasan sesuai untuk pelajar yang cergas dan suka dengan kerja-kerja disebalik tabir. Walau
apa pun peranan mereka guru perlu memandang serius supaya keyakinan mereka dapat dipupuk serta mengikis sifat
malu apatah lagi ketika berhadapan dengan orang ramai. Selain itu, peranan ibu bapa turut sama penting dalam
mengatasi masalah ini di samping alat bantu mengajar yang sesuai untuk membantu mereka memahami dengan
2.4.1.1 Instrumen Penyelesaian

i) Guru (Teori Modeling/ Kognitif Sosial Bandura)

Teori yang digunakan ialah, Teori Modeling atau Teori Kognitif Sosial yang diasaskan oleh Bandura. Dalam
teorinya, beliau menjelaskan bagaimana individu dalam sesebuah masyarakat menerima pembelajaran. Menurut
beliau, pembelajaran bukan sahaja berlaku secara pelaziman klasik dan operan yang mementingkan perkaitan antara
rangsangan dan gerak balas, tetapi juga melalui peniruan. Dalam hal ini, pembelajaran unsur drama amat bertepatan
dengan teori ini dimana guru sebagai model dan pelajar adalah penirunya. Teori Modeling dari Bandura ini
merupakan gabungan antara teori belajar behavioristik dan psikologi kognitif, dengan prinsip modifikasi perilaku.
Teori Modeling Bandura menunjukkan pentingnya proses mengamati dan meniru sikap dan reaksi orang lain.
Bandura ( 1977 ) menyatakan bahawa :

“Learning would be exceedingly laborious, not to mention hazardous, if people had torely on the effects of their own
action to inform them what to do. Fortunately, most human behavior is learned observationally through modeling,
from observing others one forms an idea of how new behaviors are performed and on later occasions this coded
information serves as guide for action.”.

Teori ini menjelaskan perilaku manusia dalam konteks interaksi timbal balik yang berkesinambungan antara
kognitif, perilaku dan pengaruh lingkungan.

Belajar adalah proses perubahan perilaku yang dibentuk melalui umpan balik informatif yang dihasilkan oleh
perilaku langsung individu dalam interaksinya dengan lingkungannya, misalnya melalui melihat, mengamati, dan
bahkan meniru orang lain disekitarnya. Oleh yang demikian, proses belajar akan menyenangkan, menyedihkan, atau
apa sahaja yang sesuai dengan keadaan mental orang yang sedang belajar. Proses perubahan dengan pola ini banyak
kaitannya dengan keadaan lingkungan sekitar yang mempengaruhi individu. Misalnya seseorang yang hidupnya
dibesarkan dalam lingkungan judi, maka dia cenderung berjudi, atau setidak-tidaknya menganggap bahawa judi itu
tidak salah. Jika seseorang hidup dalam lingkungan media dan sumber-sumber informasi, maka orang yang
berkaitan akan menyukai informasi, atau setidak-tidaknya tahu akan informasi dan sumber-sumber informasi.
manusia akan selalu menyesuaikan dirinya dengan lingkungan sosial sekitarnya.

Keadaan ini seharusnya dimanfaatkan oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru
seharusnya menjadi seorang dramatis yang natural tidak kira apa pun mata pelajaran yang diajarnya. Guru juga perlu
mempunyai kebolehan untuk menyampaikan bahan-bahannya dengan berkesan iaitu kebolehan berlakon dan
mengikis semua perasaan malu menjadikan seorang guru itu dianggap serba boleh. Apabila guru mampu
meningkatkan keyakinan dirinya, ia tidak akan merasa sukar untuk menggerakkan anak muridnya melakonkan
drama di bilik darjah mengikut sukatan yang telah ditetapkan. Oleh itu, guru perlu meneroka setiap potensi dan
bakat yang ada pada pelajarnya. Hal ini membolehkan guru mengenalpasti apakah kebolehan yang ada serta dapat
merangka tugas-tugas yang patut diberikan kepada pelajarnya dalam pengajaran drama. Tidak semua pelajar akan
menjadi pelakonnya. Sesetengah pelajar mungkin berbakat dalam bidang pengarahan dan kreatif dalam penyediaan
props. Inilah fungsi sebenar guru sebagai pembimbing supaya bakat mereka dapat digilap.

Sebelum memulakan sesuatu pengajaran drama, guru perlu mengenalpasti apakah lakonan yang hendak dibawa oleh
seseorang pelajar serta apakah kepentingannya dalam pendidikan dan kesesuaiannya dengan jiwa pelajar. Lakonan
perlu realistik iaitu dapat dijalankan oleh pelajar serta sesuai dengan tahap umur pelajar. Dialog-dialog yang
dilontarkan dalam sesebuah drama mestilah hidup, lancar, cair dan tidak kaku. Sukatan pelajaran yang telah disusun
dapat membantu guru memilih bahan pengajaran yang baik berpandukan buku teks. Di sinilah kehebatan seorang
guru yang dapat diukur. Guru yang baik dapat menggerakkan emosi dan kebolehan berlakon pelajar untuk
menjayakan sesuatu pementasan. Tidak semestinya semua pelajar akan mengambil peranan dalam lakonan. Guru
perlu menyusun atur tugas bagi membolehkan pelajarnya mempunyai peluang yang sama untuk terlibat serta
menjadi latihan kerjasama dalam sesuatu organisasi yang bakal menjadi contoh kehidupannya kelak.

Guru dan pengajaran juga merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru yang
mengajar dengan baik dapat mengubah persepsi pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Untuk mengubah persepsi
pelajar, guru perlu memainkan peranan membentuk minat pelajar serta lebih menumpukan perhatian dalam
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Oleh itu, guru harus sentiasa bersikap proaktif dan menganbil inisiatif
untuk berusaha meningkatkan kemahiran dan menghasilkan teknik pengajaran berkesan yang mampu menarik minat
pelajar, dan pada masa yang sama turut memenuhi keperluan sukatan pelajaran.

Menurut Prettyman (1996), daya kreatif guru adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran drama. Minat dan
kesungguhan yang mendalam pada seorang guru itu membantu mempercepat proses penghayatan pelajar. Guru juga
tidak seharusnya beranggapan mempelajari unsur drama adalah suatu perkara yang mudah dan membiarkan pelajar
membaca dan memahami sendiri teks drama. Seseorang guru perlu mempunyai keupayaan untuk menarik hati
pelajar dengan menyelami peristiwa yang berlaku sehingga pelajar benar-benar dapat merasakan sesuatu peristiwa
dalam drama tersebut. Bimbingan dan galakan daripada guru kepada pelajar amat penting agar pelajar dapat
melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah. Pendapat ini juga disarankan oleh Mike yang menyatakan bahawa:

”...teachers are the decisive element in the classroom. Teachers posses power to make a child’s life joyous or
miserable. Teachers can be an instrumen of inspiration or torture to a child’s motivation to learn”.

Oleh itu, guru perlu memainkan peranan sebagai ”pelajar contoh” di dalam kelas. Pelajar mudah dikawal sekiranya
guru pandai memilih aktiviti yang sesuai, menjalankan pengajaran dan pembelajaran dua hala, memahami kehendak
individu di dalam kelas dan menjalankan aktiviti pengukuhan berdasarkan kemampuan pelajar. Penerapan model
Role Playing juga perlu digunakan oleh guru dengan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Melalui kaedah ini,
beberapa kelebihan akan didapati membabitkan guru, pelajar dan kemahiran yang diperoleh pelajar. Melaluinya
juga, guru dapat meningkatkan kemampuannya dalam mencapai objektif pengajaran, memotivasikan pelajar dan
membimbing pengajaran. Selain itu, di pihak pelajar pula, pelajar lebih berani menyatakan pendapat dan seterusnya
terdapat kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar
serta memudahkan pelajar mengingat kembali tentang konsep, fakta dan teori.

2.) Teori Pelaziman Operan Skinner

Pembelajaran unsur drama dalam KOMSAS tidak boleh dianggap mudah oleh guru. Setiap pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan haruslah mempunyai kaedah-kaedah yang mampu menarik serta merangsang
perhatian pelajar. Dalam Teori Pelaziman Operan Sinner, gerak balas boleh dikuatkan atau dihapuskan jika diberi
peneguhan sebaik-baik sahaja gerak balas ditunjukkan. adalah suatu proses peneguhan perilaku operan ( penguatan
positif atau negatif ) yang dapat mengakibatkan perilaku tersebut dapat berulang kembali atau hilang sesuai dengan
keinginannya.

Skinner telah menjalankan uji kaji terhadap seekor tikus di dalam makmalnya. Skinner memasukkan tikus yang
telah dilaparkan dalam sebuah kotak yang disebut “Skinner box”. Kotak tersebut sudah dilengkapi dengan pelbagai
peralatan, iaitu tombol, alat pemberi makanan, penampung makanan, lampu yang dapat diatur nyalaannya dan lantai
yang dapat dialirkan elektrik. Akibat lapar, tikus tersebut berusaha keluar untuk mencari makanan. Ketika tikus itu
bergerak untuk keluar dari kotak itu, secara tidak sengaja, tikus tersebut akan menekan tombol menyebabkan
makanan keluar. Secara berjadual, makanan diberi secara bertahap sesuai dengan peningkatan perilaku yang
ditunjukkan oleh tikus. Proses ini disebut shaping.

Berdasarkan hasil percubaannya kepada tikus dan burung merpati, Skinner menyatakan bahwa unsur terpenting
dalam pembelajaran ialah peneguhan. Hal ini bermaksud, pengetahuan yang terbentuk melalaui respon akan
semakin kuat apabila diberi peneguhan. Skinner membahagikan peneguhan ini kepada dua, iaitu peneguhan negatif
dan penguatan positif. Penguatan positif sebagai motivasi, dapat meningkatkan terjadinya pengulangan tingkah laku,
sedangkan peneguhan negatif dapat mengakibatkan perilaku berkurang atau menghilang. Dalam hal ini, adalah
penting bagi seorang guru memberikan peneguhan positif dalam bilik darjah sebagai salah satu bentuk motivasi
dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam kegiatan berdrama, komitmen yang diberikan pelajar adalah sangat
tinggi terutama apabila membabitkan sesuatu pementasan. Pelajar bukan sahaja terlibat dengan pementasan tetapi
juga terlibat dengan kegiatan belakang tabir yang menuntut perhatian penuh daripada setiap pelajar. Oleh itu, guru
tidak seharusnya terlepas pandang. Hal ini akan mengakibatkan pelajar akan berasa tidak dihargai seterusnya
menyebabkan mereka tidak bermotivasi untuk melakukan tugas tersebut.

Apabila peneguhan positif diberi kepada pelajar, pelajar akan menjadikannya sebagai satu bentuk motivasi yang
akan mendorongnya melakukan sesuatu dengan lebih baik. Guru perlu menggunakan kaedah ini untuk membentuk
diri pelajar sesuai dengan kemampuannya. Contohnya, guru akan memberikan pujian terhadap kegiatan-kegiatan
berdrama yang dilakukan oleh pelajarnya. Malah, selesai sahaja aktiviti tersebut, guru akan memberikan hadiah
yang kepada pelajar yang menonjolkan hasil kerja yang memuaskan. Oleh itu, pelajar akan terus berusaha untuk
melakukan tugassan seterusnya dengan menunjukkan peningkatan prestasi dan hasil kerja yang lebih bermutu.

Sehubungan itu, guru tidak boleh bersikap pilih kasih. Hal ini kerana bukan semua pelajar akan berlakon. Guru perlu
bersikap lebih adil dan ikhlas menghargai hasil kerja pelajarnya. Guru perlu menzahirkan perasaan bangga dan
menghargai hasil kerja pelajarnya supaya menjadi peneguhan kepada mereka. Rangsangan-rangsangan seperti
senyum, menepuk bahu pelajar serta turut melibatkan diri dalam aktiviti pelajar adalah contoh peneguhan yang akan
memberi impak positif terhadap pelajar. Guru juga perlulah memberi peneguhan secara serta-merta dan
bersistematik. Sebaik-baiknya, setelah selesai sahaja sesuatu aktiviti itu dijalankan, peneguhan positif perlulah
diberikan. Pemberian ganjaran juga haruslah bersesuaian dengan tahap umur pelajar. Contohnya, tahap pelajar
sekolah menengah atas lebih menggemari aktiviti sosial. Oleh itu, guru boleh menganjurkan jamuan melibatkan
pelajar secara terkawal.

3.) Penggunaan Alat Bantu Mengajar ( ABM )

Pembelajaran aktif dapat mempertingkat pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang
untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalaman.
Pembelajaran secara konkrit kepada pembelajaran abstrak amat digalakkan supaya pelajar dapat berfikir secara
induktif. Hal ini penting supaya pembelajaran tersebut menjadi pembelajaran yang bermakna. Oleh itu, guru perlu
membantu pelajar dalam pembentukan pembelajaran yang bermakna. Pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang
perlu dikembangkan oleh guru.

Dalam pembelajaran drama, penggunaan ABM amat penting untuk memastikan pelajar memahami setiap
pengajaran. Hanya ABM yang mempunyai komunikatif tinggi sahaja yang mampu membantu pelajar memperoleh
pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya
penghayatan. ABM yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan,
sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan
pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan
kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan
pengajaran guru lebih berkesan. ABM bukan sahaja membantu menghidupkan kelas malah mempelbagaikan
perkembangan kognitif dan afektif pelajar-pelajar.

Antara contoh penggunaan ABM yang berkesan dalam pengajaran drama ialah penggunaan radio dan televisyen.
Hal ini kerana penggunaan radio dan televisyen melibatkan penggunaan banyak deria pelajar seterusnya menjadikan
pengajaran lebih berkesan. Dalam sesuatu pengajaran drama, penerangan boleh disertakan dengan contoh-contoh
yang konkrit, gambaran-gambaran yang jelas, terang dan menarik. Semua ini dapat dilakukan melalui alat-alat radio
dan televisyen seterusnya menarik dan memikat hati pelajar dan ini boleh mendorong mereka untuk terus meminati
drama dan mempelajarinya. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting untuk memilih bahan yang bermutu
untuk disajikan kepada pelajarnya.

Selain itu, penggunaan buku teks juga adalah perlu. Hal ini kerana buku teks merupakan sumber utama dalam
pembelajaran. Bahan-bahannya telah diteliti terlebih dahulu oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Terdapat
pelbagai bahan pengajaran dalam buku teks termasuk latihan-latihannya. Malahan idea-idea yang terkandung di
dalamnya boleh diekspoitasi oleh para guru dengan menokok tambah bahan-bahan itu sendiri. Namun begitu, guru-
guru tidak seharusnya terlalu bergantung dengan bahan yang terkandung dalam buku teks. Mereka harus
mendedahkan kepada para pelajar lebih daripada buku teks dan sesuai dengan tahap umur pelajar tersebut. Hal ini
bermakna, guru-guru sendiri perlu memainkan serta menambahkan pengalaman mereka sendiri. Contohnya, guru
boleh menggunakan teks drama yang dikarangnya sendiri atau memberi galakan kepada pelajar mereka untuk
menghasilkan skrip sendiri. Hal ini secara tidak langsung mampu menambahkan keyakinan mereka dalam
pembelajaran serta mencambahkan pemikiran kreatif dalam dirinya.

Penggunaan pelbagai media yang sesuai dan menarik penting supaya suasana pengajaran yang kaku dapat ditukar
kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi drama melalui genre elektronik, perisian
komputer dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran
drama. Guru perlu kreatif dan inovatif serta memilih bahan yang sesuai. Sumber dan bahan pengajaran yang
digunakan oleh guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap
pelajaran dan menjadikan pelajar merasa mereka amat penting. Guru perlu memastikan pelajar lebih membuat
daripada mendengar dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu membaca, menulis, berbincang seterusnya terlibat
dalam pementasan. Guru juga perlu memasukkan aktiviti pembelajaran yang aktif dan dan singkat tanpa
mengurangkan isi kandungan. Dengan ini pelajar dapat belajar lebih daripada proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru akan melamahkan perkembangan potensi pelajar dalam proses
pembelajaran. Hal ini akan mengakibatkan prestasi pelajar tidak mencapai tahap yang optimum. Teknik yang
variatif dan inovatif dapat membangkitkan minat pelajar untuk belajar. Teknik interaktif mestilah melibatkan
pembelajaran yang komunikatif serta wujudnya integrasi penggunaan ketrampilan berbahasa.
Secara tuntasnya, faktor bahan memberi kesan yang mendalam untuk meningkatkan minat pelajar untuk terus
menguasai sesuatu kemahiran dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Guru perlu peka dengan penggunaan
teknologi maklumat seiring dengan arus pendidikan semasa supaya pembelajaran menjadi lebih menarik. ABM
dapat membentuk gaya pemikiran, kreatif dan memperkukuh persepsi pelajar. Penggunan ABM yang merupakan
unsur terpenting dalam pengajaran drama berfungsi sebagai penyubur imaginasi para pelajar. Melaluinya, mereka
akan dilatih berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang wajar, penilaian, kritikan dan sebagainya. Oleh itu,
mereka perlu diberi perhatian oleh guru semasa mengadakan perbincangan. Penglibatan semua pelajar adalah perlu
bagi memastikan masalah utama dapat diatasi iaitu mengikis perasaan malu dalam diri pelajar. Apabila guru
bertanya dan menerima pendapat mereka, pelajar akan rasa dihargai seterusnya sentiasa berusaha memberikaan
idea-idea baru. Guru perlu membantu mereka membuat simulasi sendiri berdasarkan bahan-bahan yang ditonton.

4.) Pengaruh Baka

Pengaruh baka amat penting dalam menentukan pembelajaran anak-anak berjaya. Motivasi ibu bapa mempunyai
kaitan rapat dengan aspirasi pendidikan anak-anak. Sikap anak-anak boleh dikatakan menyerupai sikap ibu bapa.
Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting dalam mempengaruhi kejayaan anak-anak. Wilkins menyatakan bahawa:

”...the attitude of children are almost always the atitudes of their parents also, so that it could be said that the parents
do much to determine the lack of success of their children in learning..” (1981:53)

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak-anak mempelajari sastera. Walau apa pun unsur
dalam pembelajaran, ibu bapa perlu mengambil bahagian dalam pembelajaran anak-anak. Galakan ibu bapa amat
penting sebagai pendorong kepada anak-anak untuk berjaya dalam pembelajaran. Dalam pembelajaran unsur drama
dalam KOMSAS, ibu bapa perlu bertindak sebagai pengarah yang membolehkannya mengikis sifat malu anak-anak
apabila terlibat dalam sesuatu pementasan. Ibu bapa perlu mengambil alih tugas guru apabila berada di rumah. Hal
ini akan menyebabkan anak-anak akan berasa mereka mendapat sokongan yang penuh serta yakin akan kemampuan
diri sendiri.

Sebelum itu, minat membaca haruslah dipupuk terlebih dahulu. Peranan ibu bapa sangat penting dalam memupuk
minat membaca anak-anak. Sekiranya ibu bapa meluangkan masa membaca bersama anak-anak atau membaca
untuknya, minat membaca akan terpupuk secara tidak langsung terutama dalam pembelajran sastera. Minat terhadap
sestera perlulah dipupuk sejak awal. Hubungan yang baik dan sokongan daripada ibu bapa boleh meningkatkan
minat pelajar dalam pelajaran.
2.5 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI NOVEL

Novel merupakan salah satu komponan sastera yang terdapat dalam KOMSAS bahasa Melayu yang mesti diajarkan
oleh guru di dalam kelas. Novel adalah sebuah roman yang singkat atau dikenali juga sebagai sebuah prosa reka
yang panjang di dalamya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan. Contohnya, novel Di Hadapan Pulau yang
diajarkan kepada pelajar tingkatan empat dari negeri selatan mengesahkan tentang kehidupan rakyat jelata yang
penuh dengan penderitaan akibat daripada peperangan. Istilah ‘novel’ itu berasal daripada bahasa Itali novella yang
bermaksud satu benda kecil yang baru.

Masalah pelajar dalam menguasai komponen sastera dilihat semakin meruncing dengan kepelbagaian faktor yang
mempengaruhinya. Dalam masalah pelajar untuk menguasai novel terdapat beberapa faktor yang mempengaruhinya
iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

2.5.1 Faktor Dalaman

Kebanyakan pelajar sukar untuk menguasai novel kerana mereka malas hendak menghabiskan membaca novel
kerana novel adalah sebuah cerita panjang dan bagi mereka novel sesuatu yang membosankan juga. Pelajar tidak
minat mengkaji novel kerana terpaksa mengkaji pelbagai aspek yang terdapat di dalamnya. Selain itu, mereka malas
hendak menghafal perwatakan setiap watak yang terdapat dalam novel berkenaan. Sementara itu, mereka juga
mudah mencampuradukkan perwatakan watak yang terdapat dalam novel berkenaan. Faktor lain, ada juga pelajar
yang minat belajar novel tetapi mereka susah hendak mengingati unsur- unsur yang terdapat dalam novel berkenaan.
Sementara itu, pelajar juga tidak dapat menguasai novel kerana guru sendiri belum bersedia menguasai novel yang
hendak beliau bincangkan. Pelajar menjadi tidak berminat dengan novel memandangkan novel memerlukan
pembacaan yang panjang. Novel mempunyai banyak pecahan bahagian. Kekangan waktu membaca menyebabkan
pelajar semakin terdesak untuk mengambil sikap endah tidak endah dengan pembacaan novel. Hal ini menyebabkan
pelajar tidak memahami persoalan, peristiwa, plot serta pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut. Sebagai
contoh, novel Di Hadapan Pulau yang memerlukan pelajar menelaah novel ini bagi mendapakan skop-skop
pembelajaran tertentu.

2.5.2 Faktor Luaran

Selain daripada faktor dalaman, faktor luaran juga banyak menyumbang kepada kegagalan murid untuk menguasai
novel kerana guru sendiri tidak mempunyai kepelbagaian teknik mengajar novel yang menarik untuk memancing
minat pelajar. Pengajaran selalunya bersifat sehala sahaja iaiu guru hanya bercakap dan pelajar hanya mendengar
serta berdiam diri tanpa apa-apa respon terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berjalan dalam
kelas. Suasana kelas yang sungguh membosankan juga akan menggalakkan kecenderungan pelajar untuk tidak
menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran kerana tidak ada alat bantu mengajar yang
lengkap berkenaan dengan pengajaran novel. Waktu pengajaran untuk subjek ini juga tidak mencukupi kerana
pelbagai teknik perlu digunakan untuk menghilangkan kebosanan dalam diri pelajar. Antaranya menggunakan
teknik perbincangan, melakonkan satu-satu watak dan mengunakan slied show memerlukan tempoh waktu yang
banyak.
2.5.3 Penyelesaian Masalah

Pengajaran novel melibatkan pelbagai tingkah laku pelajar. Oleh kerana kekangan waktu pengajaran novel dan
pelbagai permasalahan yang terdapat dalam novel maka membawa kepada kebosanan pelajar melanjutkan untuk
analisis dan penghayatan terhadapnya. Perlakuan ini bukan perkara baru dalam pengajaran novel. Bagi mengelakkan
berlakunya perkara sebegini beberapa langkah perlu diatur oleh guru sastera. Novel boleh diajar secara ekstensif,
intensif atau melalui bacaan bebas. Pendekatan pertama menekankan kuantiti; kedua, menekankan kualiti; dan
ketiga, menekankan keperluan serta minat. Ketiga- tiga ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing- masing.
Walau bagaimanapun, kebanyakan guru akan mengasaskan pemilihan mereka kepada kesesuaian dan kepelbagaian.
Sesuatu perancangan pengajaran kesusasteraan yang baik akan mengambil kira ketiga- tiga aspek berkenaan.

2.5.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum memulakan pengajaran, guru- guru perlu memerhatikan tingkah laku muridnya supaya cara pengajaran
yang akan digunakan memberi kesan kepada murid berkenaan. Hal ini kerana setiap individu mempunyai tingkah
laku yang berbeza. Menurut Atan Long (1978), perbezaan individu memberi kesan yang besar terhadap
kepelbagaian tingkah laku dalam bilik darjah. Guru-guru perlu mengenal pasti tingkah laku yang berbeza itu untuk
mengetahui masalah asas palajar. Antara implikasi yang ketara ialah:

1. Perbezaan gaya berfikir

Perbezaan gaya berfikir merujuk kepada gaya kognitif dan gaya belajar murid. Kedua- dua gaya terhasil daripada
perbezaan individu. Kedua-dua gaya ditunjukkan oleh murid di dalam kelas seperti ada yang lebih selesa belajar
menggunakan kemudahan- kemudahan audio dan ada pula yang lebih selesa dengan menggunakan alat visual. Gaya
belajar dikelaskan sebagai gaya belajar bergantung, bebas, mengelak, bekerjasama, bersaing dan melibatkan diri.
Anda boleh mengenal pasti dengan jelas keenam-enam gaya belajar di atas di dalam sebuah bilik darjah. Parry dan
Shipman, dua tokoh yang banyak mengkaji hal- hal yang berkaitan dengan implikasi perbezaan individu telah
mendapati sekurang-kurangnya dua puluh perbezaan gaya belajar individu. Oleh itu, guru perlu membuat sedikit
kerja rumah meneliti perlakuan setiap murid dalam kelasnya sebelum pengajaran dimulakan.

2. Kesediaan belajar

Murid- murid yang telah dikenal pasti mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesedian kognitif dan
kesediaan psikomotor memerlukan pertimbangan sewajarnya daripada guru dalam memilih kaedah dan teknik
mengajar. Murid- murid yang pintar biasanya akan bersedia awal untuk belajar berbanding dengan murid yang
lembam yang memerlukan ransangan yang lebih untuk menggerakkan mereka belajar. Perlu diperhatikan daya
kecergasan dan kestabilan emosi murid sebelum pengajaran dimulakan. Oleh itu, dicadangkan guru membuat
pemerhatian awal secara rambang untuk mendapatkan tahap kesediaan murid pada hari itu.

Sementara itu, sebelum menentukan tahap taksonomi teknik yang harus dilakukan oleh guru ialah beliau terlebih
dahulu harus mengenal pasti tahap kebolehan serta gaya pembelajaran pelajarnya. Gaya pembelajaran merupakan
satu set ciri peribadi yang mempengaruhi seseorang dalam menerima, mengumpul dan memproses maklumat. Gaya
pembelajaran pula berkait rapat dengan tahap kecerdasan seseorang pelajar. Gardner (1993) yang membuat kajian
tentang teori kognitif telah memperkenalkan satu model kecerdasan yang pelbagai jenis. Model ini menjelaskan
bahawa kecerdasan boleh dipelajari, diperkembangkan dan dipertingkatkan. Model ini berdasarkan prinsip- prinsip
iaitu:

· Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan ada yang berbeza-beza.
· Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap yang cekap jika diberikan
galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
· Kecerdasan yang bertindak serentak dalam menghasilkan sesuatu kerja, dan jarang beroperasi secara sendiri.
· Sesuatu kecerdasan boleh dimanifistasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Sembilan kecergasan yang diperkenalkan oleh Gardner terdiri daripada kecerdasan linguistik (kecekapan bahasa),
kecerdasan visual/spatial, kecerdasan muzikal, kecerdasan tubuh badan (kenestatik/fizikal) , kecerdasan logik
matematik, kecergasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan naturalistik dan kecerdasan
emosional/spritual (etika). Berdasarkan sembilan kecerdasan yang dinyatakan tadi, guru boleh merancang dan
memilih beberapa teknik atau aktiviti yang sesuai serta serasi dengan gaya pembelajaran dan kecerdasan pelajar.
Antara aktiviti atau teknik yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran novel
yang merupakan salah satu komponan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ialah seperti berikut:

(a) Kecergasan Linguistik

Individu yang mempunyai kecenderungan dalam kecerdasan jenis verbal-linguistik boleh berfikir dan mampu
menggunakan perkataan untuk menyampaikan sesuatu secara berkesan sama ada dalam bentuk lisan atau penulisan.
Pelajar akan sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk memanipulasikannya. Pelajar mampu untuk
berkomunikasi dengan baik melalui aktiviti mendengar, bertutur, membaca serta menulis. Mereka peka terhadap
berbagai- bagai fungsi bahasa terutamanya dari segi kebolehan untuk mencuit perasaan dan emosi. Oleh itu, Pelajar
mudah berbahasa bagi melahirkan perasaan dan pendapat, gemar akan makna yang kompleks, mudah mengingati
maklumat dan boleh memberi keyakinan kepada orang lain.

Selain itu, Pelajar juga pandai berbicara, gemar bercerita dan tekun mendengar cerita atau membaca. Kecergasan
jenis ini menuntut kemampuan seseorang untuk menyimpan berbagai- bagai informasi yang bererti dan berkaitan
dengan proses pemikirannya. Contoh-contoh aktiviti ialah mengambil bahagian dalam perbahasan, pemperkayakan
perbendaharaan kata, berucap secara formal, menulis karya- karya kreatif, berjenaka dan bercerita. Penyair, penyiar
radio, pembaca berita, penceramah, penulis, penyarah dalam bidang sastera adalah pekerjaan yang sepadan untuk
mereka yang mempunyai kecergasan verbal-linguistik. Sebagai contohnya, guru boleh mengadakan peraduan
mengulas novel. Hal ini bagi menarik minat pelajar untuk memahami novel. Selain itu, guru boleh menyuruh
pelajarnya menulis cerita berdasarkan pengalaman hidup. Hal ini bagi menggalakkan pelajar menulis dengan kreatif.

(b) Logik Matematik (penyelesaian masalah)

Kecergasan logikal-matematik adalah kebolehan menggunakan nombor, menaakulan, mengenal pasti pola abstrak,
perkaitan, sebab dan akibat. Kebolehan yang dominan di bahagian kiri otak membolehkan seseorang menakul secara
deduktif dan dominan serta berfikir secara konseptual dan abtrak. Kecergasan ini menggabungkan kemampuan
matematik dengan mudah sahaja dan boleh membuat soalan, menganalisis, mensintesis, mengira dan menggunakan
komputer dengan cekap.

Seseorang yang mempunyai kecergasan logikal-matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang besar terhadap
kegiatan berbentuk eksplorasi. Mereka sering bertanya tentang berbagai- bagai fenomena yang dilihat oleh mereka
yang berlaku di sekeliling mereka. Lazimnya, mereka suka menuntut penjelasan logik dari setiap pertanyaan. Selain
itu, mereka juga suka menklafisikasikan benda untuk mudah mengira. Contoh- contoh aktiviti jenis kecergasan ini
adalah penggunaan simbol, rumus, urutan nombor, polo abstrak, perkaitan sebab dan akibat (logik), penyelesaian
masalah, pengurusan grafik dan pengiraan. Sebagai contohnya melakar bentuk sebagai simbol menjelaskan
rumusan. Melakar peta minda, grafik atau carta aliran berdasarkan teks iaitu guru boleh menyuruh pelajar membuat
peta minda untuk mengingati pengajaran yang terdapat dalam novel berkenaan. Dalam novel Di Hadapan Pulau kita
boleh membuat carta aliran bagaimana keadaan rakyat jelata sebelum, semasa dan selepas peperangan.

(c) Kecerdasan Interpersonal

Kecergasan interpersonal merupakan kemampuan individu dalam mendiskriminasi antara pelbagai petanda
interpersonal dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan berkesan secara pragmatik terhadap petanda tersebut.
Kecergasan interpersonal membolehkan seseorang itu memahami perasaan, motivasi, tabiat dan hasrat orang lain.
Selain itu, mereka juga berasa sensitif dan memahami emosi, perasaan, fikiran dan harapan orang lain. Murid-murid
yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan berkesan melalui pembelajaran, bekerjasama dengan rakan
sebaya dan mudah terlibat dengan pergaulan. Sebagai contohya, melalui aktiviti perbincangan rakan sebaya, guru
boleh menyuruh pelajar membincangkan tema, watak, latar, teknik plot, dan sebagainya yang terdapat dalam novel
yang sedang mereka pelajari. Guru juga boleh mengadakan forum (perkara pokok dalam karya). Hal ini boleh
menimbulkan minat pelajar terhadap novel serta mengadakan perbahasan (isu yang ditimbulkan daripada teks).
Dengan ini pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan tidak membosankan pelajar.

(d) Kecerdasan Intrapersonal

Kecergasan intrapersonal merupakan kesedaran tentang diri sendiri, berfikiran metakognitif, dan berkebolehan untuk
menilai diri sendiri. Orang yang mempunyai kecerdasan intrapersonal yang tinggi selalunya dapat mengenali diri
sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Selain itu, orang
seperti ini akan lebih menyukai belajar secara bersendirian di perpustakaan dan gemar melakukan renungan yang
mendalam dan termenung di persekitaran yang sangat sunyi. Di samping itu, mereka juga mempunyai kepekaan
terhadap perasaan.

Contoh yang boleh kita lihat ialah guru boleh menggalakkan pelajar menulis jurnal atau diari refleksi tentang
perasaan anda ketika membaca novel Di Hadapan Pulau. Membahaskan (isu yang ditimbulkan dalam teks). Guru
boleh juga mengarahkan pelajar membahaskan persoalan keruntuhan akhlak akibat daripada penderitaan pada
zaman peperangan yang terdapat dalam novel Di Hadapan Pulau. Dengan ini, para pelajar boleh memberikan idea
masing- masing dan ini menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik. Selain itu, guru juga boleh membuat
bayangan minda iaitu merenung kisah yang terdapat dalam novel. Hal ini membolehkan pelajar lebih mengingati
peristiwa yang terdapat dalam novel berkenaan.

(e) Kecerdasan Emosional/Spiritual

Menurut Goleman (1995), kecergasan emosional adalah kemampuan merasakan, memahami, dan secara selektif
menerapkan daya dan kepekaan emosi sebagai sumber tenaga dan pengaruh manusia. Kecergasan ini menuntut
perasaan untuk belajar mengakui, menghargai perasaan pada diri dan orang lain serta menganggapnya dengan tepat,
menerapkan secara efektif tenaga emosi dalam kehidupan sehari- hari.

Sebagai contohnya guru boleh mengadakan perbincangan tentang nilai dan pengajaran yang terdapat dalam novel
yang dibaca serta membahaskan isu-isu dalam karya yang perlu selesaikan oleh pelajar. Guru juga boleh melakukan
improvisasi iaitu mengesakan klimaks dalam novel Di Hadapan Pulau ialah apabila Mak Ketong bersama-sama
dengan Aziz dan Afidah seolah-olah berputus asa menghadapi penderitaan hidup. Apabila terdengar bunyi kapal
terbang dan diikuti bunyi bom, mereka duduk sahaja tanpa bersembunyi di dalam shelter. Pelajar disuruh memberi
penjelasan mengapa penyelesaiannya harus begitu. Teknik ini akan menjadikan pelajar sentiasa berfikir dan tidak
hanya mengharapkan penjelasan daripada guru sahaja. Hal ini akan menghilangkan rasa bosan belajar novel kerana
melibatkan pengajaran dua hala iaitu murid dan guru. Sementara itu, jika pihak sekolah mempunyai peruntukan,
mereka boleh menjemput tetamu dalam aksi menjemput pengarang untuk membicarakan moral dan pemikiran dalam
karya novelnya. Novel Di Hadapan Pulau penulisnya ialah A. Samad Said. Monolog iaitu menghayati watak dalam
karya serta merasai perasaan dan aspek kerohanian watak dalam karya.

2.5.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Peranan guru dalam menghadapi perbezaan individu.

Guru ialah objek penting yang perlu mengetahui dan menangani perbezaan individu. Peranan-peranan yang
dilakukan oleh guru adalah seperti berikut:

Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran

Strategi yang berkesan diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada umumnya strategi pengajaran terbahagi
kepada tiga jenis, iaitu strategi pemusatan yakni pemusatan kepada guru, murid atau pada bahan. Pemilihan strategi
pengajaran oleh guru bergantung kepada situasi murid. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana
boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa murid.

Memberi peneguhan positif dan peneguhan negetif

Menurut seorang ahli psikologi yang paling masyhur yang terlibat dengan teori perlakuan iaitu B. F. Skinner
mengambil berat tentang kemahiran guru menggunakan peneguhan di dalam bilik darjah. Peneguhan positif
bermakna guru memberi pujian atau hadiah kepada satu tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid.
Sebaliknya, jika tingkah laku yang dibentuk oleh murid tidak dikehendaki atau negetif guru boleh menggunakan
peneguhan negetif. Hal ini bagi menimbulkan perasaan dihargai dalam diri pelajar apabila mereka memberikan
jawapan yang betul dan guru terus memuji mereka. Hal ini kerana fitrah manusia suka memang dipuji.

Teknik motivasi

Motivasi bermakna penggerak untuk memandu tingkah laku ke arah yang lebih dinamik. Guru mungkin bertemu
dengan pelajar yang malas belajar novel. Mengikut Greece, seorang tokoh motivasi, menyatakan setiap tingkah laku
individu yang berbeza-beza memerlukan satu teknik motivasi yang berbeza-beza. Seorang pelajar yang malas
belajar dengan pelajar yang tidak mempunyai cita-cita memerlukan tenaga penggerak yang berbeza-beza. Oleh itu,
guru perlu biasa dan memahirkan diri dengan pelbagai teknik motivasi.

Mempelbagai kedah pengajaran

Pada masa ini terdapat berbagai-bagai kaedah mengajar yang telah dicipta. Antara kaedah mengajar yang biasa
diamalkan seperti berkumpulan, kooperatif, inkuiri, perbincangan, sosiodrama, kuliah dan sebagainya. Kaedah-
kaedah yang disukai oleh murid adalah berbeza-beza. Contohnya, ada murid tidak suka dengan aktiviti-aktiviti
pembelajaran bersama rakan manakala ada juga murid yang suka kepada bentuk pengajaran dan pembelajaran luar
kelas. Guru perlu mendalami kecenderungan kaedah pengajaran yang disukai oleh murid. Walau bagaimanpun, guru
pastinya tidak dapat memenuhi permintaan kehendak semua murid tetapi dengan mempelbagaikan kaedah mengajar
akan dapat mengurangkan kebosanan murid. Contohnya, dalam mengkaji novel perbincangan amat penting kerana
memerlukan pelajar berfikir dan bertukar-tukar idea tentang unsur-unsur yang terdapat dalam novel berkenaan.

Merancang variasi penyampaian

Variasi penyampaian bermakna guru menggunakan segala kebolehan dan bakat sebagai guru semasa berhadapan
dengan murid. Guru harus menggunakan semua pencainderanya seperti tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan
kepala, dan gerakan fizikal guru yang berbagai- bagai. Dengan mempelbagaikan teknik pengajaran mampu menarik
perhatian murid- murid yang mengatuk yang secara tiba- tiba akan terjaga apabila mendengar tepukan tangan guru.
Murid yang suka mengganggu rakan pasti akan berhenti mengganggu rakan apabila guru bergerak menghampirinya.
Guru hendak selalu menukar-nukarkan intonasi suara supaya murid-murid benar-benar terhibur. Banyak kajian
menunjukkan murid-murid tidak berminat untuk belajar disebabkan oleh persembahan pengajaran guru tidak
memberansangkan. Contohnya, mempelajari novel bagi pelajar sesuatu yang membosankan. Jadi guru harus peka
dengan keadaan muridnya. Apabila ada pelajar yang sudah hilang fokus dalam belajar, guru harus menggerakkan
fizikal mereka yang berbagai-bagai.

Semasa guru hendak memulakan pengajaran, beliau harus memulakan sesuatu proses pengajaran dengan permulaan
yang menarik dan berkesan. Ini penting untuk mewujudkan perasaan seronok terlebih dahulu sebelum para pelajar
didedahkan dengan pengkhususan kajian yng lebih mendalam dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Konsep
pengajaran bermula daripada yang mudah sebelum beralih kepada yang susah. Langkah pertama pengajaran
selalunya akan menantukan kejayaan atau kegagalan langkah-langkah berikut. Keberkesanan dan keseronokan
dalam mengikuti aktiviti pengajaran besar sekali pengaruhnya kepada pelajar bagi memastikan kejayaan sesuatu
pengajaran.

Selain itu, guru seharusnya memberi gambaran awal buku yang bakal dipelajari supaya para pelajar akan lebih
tertarik terhadap apa yang terkandung di dalam buku tersebut. Semasa menyampaikan episod ini guru perlu lebih
berhati- hati dengan gaya, teknik penyampaian dan penerokaan awalan supaya ia berupaya meransang pelajar
supaya membaca dan terus membaca novel tersebut. Pada peringkat awal pengajaran guru hendaklah mengurangkan
sedikit penekanan kepada unsur- unsur struktural yang membangunkan novel tersebut. Sebaliknya, bawa pelajar
menikmati dan menerokai pengalaman baru terlebih dahulu sebelum memperincikannya daripada satu aspek ke satu
aspek yang lain dengan lebih mendalam.

Pada peringkat awal penerokaan novel, guru jangan terus bertindak seperti seorang pakar perubatan yang mengajar
dan menjalankan praktikal kepada calon kedoktoran. Pelajar tidak harus terus dibawa mengkaji setiap elemen dan
unsur yang membangunkan novel tersebut. Jika kaedah ini dilakukan kepada pelajar, maka guru tersebut memulakan
pengajarannya dengan suatu bentuk ‘pembunuhan minat dalam kebutaan pendekatan’. Hal ini kerana pengajaran
novel tidak seperti pengajaran puisi yang boleh diberikan sekali gus semua aspek dalam satu atau dua waktu
pengajaran, tetapi pengajian yang hendak dilakukan memerlukan jumlah waktu yang panjang. Oleh itu guru harus
memecahkan novel tersebut kepada beberapa tahap dan pecahkannya mengikut bab-bab tertentu.

Dalam proses membahagikan peringkat-peringkat perkembangan pengajaran ini, guru-guru boleh menyediakan
beberapa sedutan dan pengalaman baru yang diperoleh daripada novel tersebut. Berikutnya, guru boleh
memadankan pengalaman baru itu dengan pengalaman sedia ada pelajar supaya mereka sama-sama merasai dan
mengaitkan pengalaman dalam novel dengan pengalaman sedia ada mereka bagi membentuk suatu kesatuan
pengalaman. Guru-guru juga harus menanamkan kesedaran kepada pelajar berkenaan dengan pengalaman-
pengalaman yang begitu banyak yang terdapat dalam novel itu. Hasilnya, novel yang dibaca itu akan memberi
gambaran pengalaman baru serta mempunyai sepenuh ataupun sedikit variasi pengalaman pelajar.

Novel-novel yang baik biasanya mementingkan ketepatan dan ekonomi. Setiap episod atau penceritaan (deskripsi)
mestilah mempunyai sebab-sebab dan berkaitan dengan kehidupan. Pilih beberapa episod daripada novel tertentu
dan bincangkan mengapa ini semua mustahak. Minta para pelajar meneliti novel tersebut dan cari episod- episod
atau diskri yang tidak mustahak.

Alat- Alat Bantu Mengajar

Sementara itu, penggunaan alat bantu mengajar juga merupakan salah satu teknik untuk menarik minat pelajar
dalam pangajaran novel. Antaranya ialah:

a) Gambar
Guru- guru boleh menggunakan gambar- gambar bagi membantu pelajar menguasai konsep-konsep yang hendak
disampaikan kepada pelajar. Gambar ini boleh berupa gambar sekeping atau bersiri. Gambar-gambar ini boleh
digunakan dalam pelbagai suasana, umpamanya:
1. Gambar untuk menerangkan sesuatu objek, benda, orang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
2. Gambar untuk menerangkn sesuatu keadaan atau suasana seperti suasana sedih, gembira dan sebagainya.
3. Gambar untuk menerangkan beberapa peristiwa penting misalnya peristiwa kebuluran semasa perang dan
peristiwa menyelamatkan diri daripada akar-askar Jepun dalam novel Di Hadapan Pulau.
4. Gambar menunjukkan perwatakan watak- watak dan tokoh- tokoh penting.
5. Gambar untuk memperlihatkan keadaan di waktu senja, pagi, petang dan sebagainya.

Dalam membuat pemilihan gambar, guru- guru perlu memberi perhatian kepada ketepatan, kesesuaian dan
ringkasan.

b) Carta

Carta juga boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Cara ini memudahkan para pelajar untuk
mengingati sesuatu urutan peristiwa dan tarikh-tarikh sesuatu kejadian itu berlaku terhadap watak- watak yang
terdapat dalam novel yang dibaca. Antara fungsi carta yang boleh digunakan dalam novel ialah:

1. Cara untuk menerangkan keturunan dari awal hingga akhir.


2. Carta untuk menjelakan peristiwa-peristiwa sejarah.
3. Carta untuk memperlihakan elemen-elemen tarikh, masa dan waktu sesuatu peristiwa.
4. Carta untuk mempelihatkan hubung kait watak-watak dalam cerita.
5. Carta untuk menjelaskan rentetan-rentetan peristiwa dan plot.

Dalam membuat pilihan carta, guru-guru perlu memberi perhatian kepada ketepatan dan kesesuaiannya. Carta
seharusnya tidak terlalu banyak maklumat kerana ia boleh mengelirukan pelajar.

2.5.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Selepas sesi pengajaran dan pembelajaran, dinamakan sebagai penamat kepada satu penyelesaian sesuatu tugas atau
pembelajaran tertentu. Dalam pengajaran dan pembelajaran, penutup boleh dilakukan melalui suatu rumusan atau
kesimpulan. Biasanya, ada dua kesimpulan yang boleh digunakan oleh guru untuk menamatkan pengajarannya.
Pertama ialah kesimpulan kognitif. Kesimpulan jenis ini merupakan penutup yang dilakukan untuk mengukuhkan
segala bentuk pelajaran yang telah dipelajari. Perhatian diberikan kepada butir-butir utama yang telah diketengahkan
dan dikuasai. Kesimpulan kognitif haruslah menarik dan sekurang-kurangnya dapat membawa pelajar kepada
beberapa kemungkinan dan persoalan- persoalan yang baru.

Contoh kesimpulan kognitif ialah :-


Perkara: cerita- “Cikgu rasa cukulah dahulu setakat ini. Kita semua telah mendengar cerita tadi dan beberapa rakan
kamu telah dapat menceritakan semula cerita itu. Siapakah antara kamu dapat memberitahu apakah pengajaran yang
kita dapati daripada cerita ini?”

Kedua ialah kesimpulan sosial yang dilakukan untuk memberitahu pelajar satu perasaan pencapaian. Hal ini
bermakna, walaupun mereka menemui sebarang kesulitan dalam pelajaran, mereka tetap ingin terus berusaha dan
mencuba lagi. Biasanya, penyimpulan sosial digunakan hanya pada akhir sesuatu pengajaran, dengan tujuan untuk
memberitahu pelajar yang mereka sudah berjaya dan penghargaan harus diberi kepadanya.

Contoh kesimpulan sosial:-


Perkara: novel- “Kamu semua telah memahami sungguh- sungguh tema dan persoalan yang terdapat dalam novel
ini. Hampir semua daripada kita telah dapat memberikan pendapat tentang tema dan persoalan. Tahniah cikgu
ucapkan! Dalam pelajaran akan datang, kita semua akan belajar pula nilai dan pengajaran yang terdapat dalam novel
ini.”

Dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran, penggunaan kesimpulan kognitif dan kesimpulan sosial adalah perlu
kerana dengannya guru dapat:
Menarik dan menumpukan perhatian pelajar kepada perkara-perkara yang telah dipelajari.
Mengukuhkan pembelajaran pelajar.
Membina rasa pencapaian dan rasa dapat menguasai pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Menarik perhatian pelajar kepada tamatnya sesuatu peringkat pembelajaran.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru sewaktu hendak membuat penutup. Antaranya penutup
mesti memberi makna kepada pelajar, mempunyai perkaitan dengan isi dan objektif pengajaran dan pembelajaran
dan bersifat dalam bentuk menilai keberkesanan sesuatu pelajaran. Selain itu, penutup mestilah mencadangkan
kegiatan- kegiatan susulan yang akan dijalankan, memberi kesedaran dan mewujudkan rasa puas dan ingin mencuba
lagi di kalangan pelajar.

3.0 KESIMPULAN
Walaupun pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) banyak memberi manfaat
kepada pelajar dari segi keseluruhannya, kita juga jangan lupa bahawa tidak semua pelajar mampu untuk menguasai
pembelajaran KOMSAS ini di sekolah kerana latar belakang hidup, pengetahuan, minat, personaliti dan konsep
kendiri yang berbeza-beza antara satu pelajar dengan pelajar yang lain menyebabkan penerimaan mereka terhadap
komponen sastera adalah berbeza-beza.

Melalui aktiviti mengenal pasti masalah yang sering membelenggu pelajar seperti yang dilakukan diatas ini,
dapatlah dirumuskan bahawa faktor yang paling ketara kelemahan pelajar dalam menguasai KOMSAS secar
keseluruhannya ialah kurangnya pemahaman secara mendalam terhadap pembacaan karya-karya yang berunsurkan
sastera ini. Interaksi yang kurang di dalam kelas antara guru dengan pelajar juga boleh dilihat secara tersirat banyak
mempengaruhi kegagalan pelajar untuk memperoleh maklumat dengan cara yang berkesan. Pembelajaran teori
psikologi pendidikan di universiti bagi bakal-bakal guru sahaja tidak cukup malah pengaplikasian teori psikologi
pendidikan di sekolah itu nanti perlu lebih menyeluruh dan bersepadu.

Langkah secara drastik dan tersusun perlu segera dicari terutamanya oleh guru. Kepelbagaan teknik dapat menarik
minat serta perhatian pelajar. Pelajar hari ini lebih suka akan pembelajaran yang bersifat kurang formal dan lebih
menggalakkan penglibatan aktif mereka. Guru perlu sentiasa berusaha mengubah menu harian mereka kerana
pelajar hari ini bukan pelajar yang hanya menerima apa yang diberikan oleh guru. Mereka lebih suka mempelajari
sesuatu secara autentik. Walaupun dalam era teknologi maklumat yang canggih ini, guru masih berperanan sebagai
model dan fasilitator yang membimbing pelajar untuk mencapai objektf pembelajaran.

Oleh itu, guru harus sentiasa bersedia memenuhi keperluan tersebut dengan mengikuti latihan dalam perkhidmatan
secara berterusan bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan mereka selari dengan senario pendidikan semasa
yang pesat berkembang. Guru juga harus mempunyai ilmu yang mencukupi untuk disampaikan secara berkesan
kepada pelajar, di samping memiliki sikap dan nilai diri yang bersesuaian dengan gaya hidup seorang pendidik alaf
baru, ini bermakna guru mesti selalu membaca, menulis, berkarya, membuat kajian ilmiah dan setiasa memenuhi
keperluan tersebut supaya komponan sastera di dalam KOMSAS bahasa Melayu ini tidak dianggap sebagai suatu
pelajaran yang membosankan. Jika kelas mata pelajaran bahasa Melayu sebagai kelas yang paling menarik, sebagai
tempat pelajar meningkatkan minat dan kebolehan membaca, menulis dan mendengar. KOMSAS juga boleh
menjadi komponan yang menarik dalam bahasa Melayu.

Selain itu, adalah lebih baik jika guru-guru yang mengajar bahasa Melayu diberi kursus dan pendedahan yang
menyeluruh dan berterusan untuk mengajar KOMSAS dalam bahasa Melayu ini. Teks yang dipilih sepatutnya
ditukarkan setiap lima tahun mengikut kesesuaian zaman dan cerita serta pemikiran yang relevan dengan apreasiasi
agama, bangsa, dan negara.
Komponen Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu memang boleh dilaksanakan
dengan jayanya jika mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Pelbagai faktor yang mempengaruhi kejayaan
mahupun kegagalannya seperti faktor kepakaran guru, kesediaan guru, pentadbiran, alatan, masa, teknik, latar
pelajar, minat, dorongan, suasana fizikal, dan lain-lain. Apa yang penting sekarang adalah melaksanakannya
mengikut kemampuan dan kreativiti yang terdaya dilakukan oleh semua pihak.
Sesungguhnya usaha untuk memasukkan komponen sastera dalam bahasa Melayu di sekolah adalah satu usaha yang
amat wajar, terpuji, tepat dan bijak. Negara yang sedang melangkah ke arah globalisasi, kemajuan, dan Wawasan
2020 untuk menjadi negara maju akan lebih lengkap dan seimbang jika rakyatnya mempunyai ketamadunan
keinsanan yang tinggi dan mendalam dan segalanya ada di dalam kesusasteraan itu.

Kesimpulannya, pengajaran kesusasteraan Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang,
prihatin dan beretika tinggi. Komponen ini penting kepada pelajar bukan setakat menghafal cerita malahan karya
sastera kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman etika dan lain-lain lagi. Malah, di dalamnya
terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak mempunyai penghujungnya sekaligus memancarkan
perkembangan tamadun sesuatu bangsa termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya.

Anda mungkin juga menyukai