Anda di halaman 1dari 3

Daripada bilik kuliah tradisional ke digital

https://www.hmetro.com.my/node/181498

Nor Hanisah Kamaruzaman


rencana@hmetro.com.my

Perkembangan teknologi banyak mengubah cara belajar di seluruh dunia menjadikan


proses pembelajaran semakin melangkaui ruang fizikal bilik kuliah dan bersifat lebih
global.
Rentetan itu, ramai penyelidik dalam bidang akademik di dalam dan luar negara giat
menerokai potensi teknologi serta peralatan mudah alih untuk menyokong proses
pembelajaran.
Tidak mahu ketinggalan mengoptimumkan keupayaan teknologi dalam sektor pendidikan
tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan langkah proaktif dan
pembaharuan secara berperingkat menerusi pengenalan konsep bilik darjah digital.
Transformasi yang diperkenalkan itu bagi menggantikan konsep pembelajaran tradisi
selain selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)
2015-2025 yang antara lonjakan utamanya Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global.
Pengarah Bahagian Hubungan Industri KPT Prof Madya Dr Arham Abdullah berkata,
langkah itu perlu bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam landskap pendidikan
pada abad ke-21.
Menurutnya, penggunaan teknologi itu juga diharap mampu membuka dimensi baru ke
arah kecemerlangan sektor pendidikan tinggi sekali gus memacu kejayaan lebih
gemilang untuk jangka panjang.
“Menjadi aspirasi kementerian untuk mencipta sistem pendidikan tinggi yang mampu
menjadi contoh di peringkat global bagi membolehkan negara kita mampu bersaing
dalam ekonomi antarabangsa.
“Pemain industri perlu menjadi peneraju bagi membolehkan inovasi dan transformasi
pendidikan secara digital dapat direalisasikan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan industri untuk membangunkan sistem yang
kurang fokus pada kaedah tradisional, sebaliknya menjadi laluan akademik dengan
meletakkan nilai sama ke atas latihan yang sangat diperlukan di bidang teknikal dan
vokasional bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja,” katanya.
Buat masa ini Microsoft Malaysia dengan sokongan KPT memperkenalkan satu
penyelesaian pendidikan terbaru untuk mengubah bilik kuliah tradisional menjadi digital.
Menerusnya proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) menjadi lebih mudah dengan
penggunaan aplikasi tertentu ketika kuliah, penggunaan media sosial untuk menghantar
bahan pengajaran, tutorial dan sebagainya sekali gus berkeupayaan meningkatkan
komunikasi hingga ke peringkat global sama ada secara dua hala atau lebih.
“Bagi tujuan itu, KPT giat mengejar teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan
warga kampus serta mewujudkan pengalaman pembelajaran interaktif.
“Suasana P&P juga akan menjadi lebih menarik melalui penggunaan elemen ICT seperti
teks, audio, video, grafik dan animasi yang mampu meningkatkan tahap kemahiran
berfikir serta berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah, seterusnya membuat
keputusan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Sektor Awam Microsoft Malaysia Nik Ariff Nik
Omar mengakui teknologi bakal memainkan peranan lebih besar dalam mengubah
sistem pendidikan pada masa depan.
“Kami menjangka pendidikan abad ke-21 berkembang pesat dengan teknologi bakal
berada di barisan hadapan dalam pendidikan serta melengkapkan pelajar dengan
kehidupan serta kemahiran kerja yang mampu bersaing di peringkat global.
“Seiring dengan generasi muda membentuk kira-kira 62 peratus daripada tenaga kerja
pada tahun 2015 serta peningkatan akses kepada teknologi seperti mudah alih dan
penyimpanan awan (penyimpanan teknologi komputer berasaskan Internet), terdapat
permintaan tinggi bagi kandungan digital dan pengalaman melalui pelbagai aplikasi serta
platform dalam talian.
“Menerusi kecanggihan teknologi, kami mampu mewujudkan suasana dan pengalaman
baru untuk guru serta pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai kaedah untuk berhubung
dan ini secara semula jadi mengarah kepada perubahan dalam pengajaran serta
pembelajaran seperti yang kami tunjukkan hari ini,” katanya.
Memberi pendapat yang sama, Pakar Teknologi dan Pensyarah Kanan Asia Pacific
University of Technology & Innovation (APU) Dr Kalai Anand Ratnam berkata, beberapa
teknologi utama Microsoft sudah mengubah bilik darjah untuk pembelajaran kolaboratif.
Antara alat yang digunakan ialah Microsoft’s Skype for Business (sebahagian perisian
Office 365 untuk pendidikan) yang membolehkan komunikasi dan kolaborasi dari mana-
mana tempat dan bila-bila masa tanpa menggunakan sebarang peranti.
“Selain kemudahan yang diwujudkan teknologi berasaskan awan (Internet), alat
pembelajaran oleh Microsoft akhirnya meningkatkan kerjasama di dalam dan di luar bilik
darjah.
“Ia turut menyediakan pelbagai pengalaman pembelajaran berkenaan kehidupan
sebenar di peringkat global seperti pelajar berhubung dengan pendidik secara maya dan
meraih manfaat dari seluruh dunia,” katanya.
Nik Ariff berkata, dengan transformasi digital dalam pendidikan sebagai fokus utama,
Microsoft akan terus mempromosikan pembelajaran abad ke-21 di Malaysia.
“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, rakan kongsi tempatan,
komuniti, sekolah dan pendidik untuk menggunakan kuasa teknologi maklumat dalam
menyediakan pembelajaran mudah diakses di mana-mana saja,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:51 AM

Anda mungkin juga menyukai