Anda di halaman 1dari 7

Pengenalan

Dalam sistem pendidikan prasekolah, kepelbagaian pendekatan, teknik dan strategi


pengajaran dan pembelajaran telah digunakan oleh guru untuk mencapai sesuatu objektif.
Tujuan kepelbagaian ini digunakan adalah untuk memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran murid di prasekolah agar dapat dilaksanakan secara berkesan dan bermakna
sesuai mengikut tahap perkembangan murid-murid prasekolah.

Kepelbagaian pendekatan, teknik dan strategi yang digunakan oleh guru-guru


khasnya guru prasekolah ini adalah untuk mencapai objektif proses pengajaran dan
pembelajaran yang boleh menarik minat murid untuk belajar sesuatu di samping guru dapat
mencipta sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan dapat
melibatkan murid secara holistik. Untuk melaksanakannya secara berkesan, terdapat
kepentingan-kepentingan kepelbagaian dalam pendekatan, teknik dan juga strategi yang
harus diketahui oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh
diaplikasikan di prasekolah tersebut.

1
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah, guru telah
menggunakan pelbagai pendekatan-pendekatan pembelajaran untuk memudahkan murid
dalam mempelajari sesuatu di dalam kelas. Menurut Abdull Sukor Shaari, (2011) ada
mengatakan bahawa pendekatan ini dapat didefinisikan sebagai sesuatu tanggapan yang
mempunyai perkaitan yang saling berhubungan terhadap pengajaran dan pembelajaran
yang dilaksanakan oleh guru di dalam kelas. Pendekatan ini sangat penting sebagai salah
satu panduan dan cara guru untuk mendekati murid-muridnya secara terperinci untuk
memberi kefahaman terhadap murid-murid prasekolah tentang isi pelajaran yang hendak
disampaikan oleh guru di prasekolah.

Dalam pendidikan prasekolah, pendekatan-pendekatan yang sering digunakan oleh


guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas ialah
pendekatan belajar melalui bermain. Dalam konteks sistem pendidikan prasekolah, belajar
sambil bermain ini merupakan satu pendekatan bermain yang telah dirancang dan diatur
oleh guru bagi merangsang tahap kognitif murid terhadap sesuatu dan pengetahuan yang
diperolehinya melalui bermain yang melibatkan psikomotor murid. Pendekatan belajar
melalui bermain ini dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu pertama, main sosial kepada
enam peringkat seperti perlakuan tidak menentu, main sendirian, main pemerhatian, main
selari, main asosiatif dan main koperatif serta kedua ialah main kognitif iaitu murid-murid
mendapat kemahiran dalam membuat sesuatu keputusan dengan berfikir secara logik
tentang sesuatu perkara (Mariani Md Nor & Siti Hawa Abdullah, 2009)

Melalui bermain sambil belajar ini, terdapat kepentingan yang dapat diperoleh oleh
murid itu sendiri antaranya ialah murid dapat meluahkan perasaan mereka semasa bermain
bersama rakan-rakan di kelas. Bukan itu sahaja, murid-murid prasekolah juga dapat
mewujudkan kemahiran sosial dan dapat mengelakkan masalah komunikasi yang sangat
mempengaruhi kanak-kanak dalam berinteraksi dengan orang lain dalam kehidupan
seharian mereka melalui nilai-nilai murni yang mereka pelajari secara individu semasa
bermain di kelas (Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd. Kosnin, Yeo Kee Jiar, 2013).

Pendekatan seterusnya yang sesuai digunakan di prasekolah ialah pendekatan


Masteri. Pendekatan masteri ini dapat didefinisikan sebagai sesuatu pengajaran dan
pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru terhadap murid iaitu di mana guru menyediakan
suasana pembelajaran yang memberi peluang kepada murid dalam menguasai sesuatu
kemahiran dan beralih kepada kemahiran yang baru untuk dikuasai berdasarkan masa yang
diperuntukkan mencukupi atau sebaliknya kepada murid (Esah Sulaiman, 2004).
Pendekatan masteri ini meliputi beberapa elemen khususnya iaitu prinsip pembelajaran
masteri yang sangat mementingkan penguasaan murid terhadap sesuatu kemahiran

2
sebelum beralih kepada pembelajaran kemahiran yang baru, terdiri daripada murid yang
normal, masa yang diperuntukkan mencukupi serta mendapat arahan yang jelas daripada
guru (Subadrah Nair & Sakunthala Devi Gopal, 2014).

Oleh itu, kepentingan yang boleh diperolehi melalui pendekatan pembelajaran


masteri ini adalah pendekatan ini dapat meningkatkan kemahiran serta pengetahuan
mengikut tahap dari mudah ke susah sehinggalah murid tersebut berjaya menguasainya.
Bukan itu sahaja, pendekatan yang digunakan ini dapat mengesan serta meningkatkan
pencapaian murid yang lemah melalui aktiviti yang dilakukan secara berulang-ulang
sehinggalah dapat menguasainya dengan sendiri dan guru dapat menentukan aktiviti
pengayaan dan pemulihan terhadap murid prasekolah yang dapat menguasai mahupun
sebaliknya.

3
Selain daripada pendekatan-pendekatan yang telah diterangkan, pelbagai teknik
juga telah diguna pakai oleh setiap guru untuk mencapai proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkualiti. Di prasekolah juga, guru lebih banyak menggunakan pelbagai
teknik-teknik mengajar yang dapat menarik perhatian murid untuk berminat dalam
pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Menurut Kamus Dewan (2002), dalam buku
yang bertajuk Pedagogi dari sekolah ke institute pendidikan tinggi yang ditulis oleh Abdull
Sukor Shaari (2011), ada mengatakan bahawa teknik dapat didefinisikan sebagai kaedah
yang digunakan untuk menciptakan sesuatu pelbagai seni yang dapat digunakan sebagai
satu cara dalam pengajaran. Antaranya ialah teknik nyanyian. Nyanyian adalah suatu melodi
yang dapat merangsang minat murid terhadap pembelajaran serta memberikan
keseronokkan kepada murid dalam mempelajari sesuatu.

Teknik nyanyian ini adalah teknik yang melibatkan pergerakkan anggota badan,
suara serta alat muzik yang digunakan di dalam kelas. Teknik nyanyian juga adalah
berdasarkan kepada pemilihan jenis-jenis lagu yang sesuai dengan murid serta mempunyai
unsur-unsur nasihat mahupun nilai murni yang boleh diamalkan oleh murid dalam
kehidupan. Murid-murid prasekolah sangat sukakan muzik apatah lagi apabila guru
memasangkan lagu kegemaran murid yang berunsurkan pembelajaran. Hal ini telah
memberi rangsangan motivasi kepada murid untuk menimbulkan keinginan terhadap
pembelajaran di dalam kelas (Nor Ella Fadzilah Kamilan, 2012).

Melalui teknik nyanyian ini, terdapat kepentingan yang memberi kesan positif
kepada pembelajaran murid iaitu murid dapat mempelajari sesuatu dengan mudah melalui
teknik nyanyian yang mana murid belajar sambil menghafal sesuatu untuk menguatkan
proses ingatan terhadap apa yang teah dipelajari di dalam kelas. Teknik nyanyian ini juga
sebenarnya bukan sahaja mempengaruhi daya ingatan murid terhadap pembelajaran tetapi
juga dapat mewujudkan emosi yang gembira dalam pembelajaran . Dengan ini, murid
mudah berinteraksi serta dapat mengeratkan hubungan dengan murid-murid lain melalui
aktiviti bernyanyi di dalam kelas serta dapat bekerjasama antara satu sama lain dalam
aktiviti pembelajaran bersama dengan guru di prasekolah.

Di samping itu, teknik lain yang sering digunakan juga ialah teknik main peranan.
Teknik main peranan ini membawa maksud iaitu melakonkan kembali sesuatu situasi yang
dikemukakan oleh guru kepada murid dalam bentuk video, televisyen mahupun melalui
pembacaan yang diberikan oleh guru sesuai mengikut tahap kemampuan murid untuk
memahaminya. Murid pula akan diberikan peranan sebagai watak-watak tertentu dalam
suatu situasi yang disediakan oleh guru itu sendiri untuk melakonkan watak tersebut secara
spontan (Abdull Sukor Shaari, 2011).

4
Teknik main peranan yang telah diterapkan dalam pembelajaran murid-murid
prasekolah juga amat baik kerana teknik main peranan ini mempunyai kepentingan iaitu
dapat melatih murid untuk bertutur secara fasih dan lancar diikuti dengan intonasi yang betul
serta mempengaruhi pertuturan murid dalam kehidupan seharian apabila bergaul dengan
orang lain walau dimana sahaja murid tersebut berada. Teknik ini juga dapat membina
pemikiran murid untuk berfikir secara kreatif dan kritis melalui penguasaan kemahiran
berbahasa dalam diri murid.

5
Sehubungan dengan itu, guru bukan sahaja menggunakan kepelbagaian
pendekatan dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah juga
menggunakan strategi pembelajaran yang dilihat bersesuaian dengan murid prasekolah
agar mereka sentiasa mempunyai minat yang mendalam untuk mempelajari perkara yang
baru daripada guru mereka sendiri. Antara strategi pengajaran dan pembelajaran yang amat
sesuai untuk digunakan di prasekolah ialah strategi pengajaran berpusatkan murid. Definisi
pengajaran berpusatkan murid ialah penglibatan murid secara holistik dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di kelas. Strategi ini memfokuskan penglibatan murid secara
aktif dalam setiap aktiviti yang dilakukan oleh guru dapat bergerak secara bebas untuk
melakukan pelbagai aktivit seperti penyelesaian masalah, mewarna dan lain-lain (Esah
Sulaiman,2004).

Melalui strategi pengajaran berpusatkan murid ini, murid dapat belajar dalam
bentuk interaksi dua hala yang mana murid dengan murid bekerjasama dalam sesuatu
aktiviti dan guru hanyalah berperanan sebagai pembimbing dari semasa ke semasa kepada
murid apabila murid mengalami kesukaran dalam menyiapkan sesuatu. Pengajaran
berpusatkan murid ini dilaksanakan telah mengambil kira dalam pelbagai aspek murid iaitu
dari segi kebolehan, minat dan penglibatan murid di dalam kelas. Dengan ini, betapa
pentingnya strategi pendekatan berpusatkan murid ini untuk menghasilkan pembelajaran
yang berkualiti.

Tambahan pula, strategi yang harus digunakan di prasekolah juga ialah strategi
pendekatan pengajaran berpusatkan bahan. Pengajaran berpusatkan bahan ini dapat
didefinisikan sebagai proses pengajaran yang hanya menumpukan sepenuhnya sahaja
kepada penggunaan bahan pembelajaran di dalam kelas. Di dalam kelas, peranan guru pula
hanya sebagai pembimbing kepada murid dan murid belajar melalui bahan pengajaran
untuk menguasai sesuatu kemahiran secara berkesan dan tidak terlalu bergantung semata-
mata kepada guru tetapi mempunyai daya usaha yang tinggi untuk mencuba melakukan
sendiri sehingga berjaya menguasainya (Esah, 2004)

Oleh hal yang demikian, kepentingan daripada strategi pendekatan pengajaran


berpusatkan bahan ini dapat memupuk sikap berani mencuba serta berdikari dalam
kehidupan murid serta dapat memupuk sifat-sifat sosial melalui aktiviti berkumpulan dalam
penggunaan bahan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, tanpa strategi ini, pasti
murid akan bergantung sepenuhnya kepada guru dan tidak kurang mahir dalam
penggunaan bahan pengajaran semasa proses pengajaran dan pembelajaran tersebut
berlangsung.

6
Kesimpulannya, kepelbagaian pendekatan, teknik dan strategi pengajaran dan
pembelajaran ini amatlah penting untuk difahami serta diaplikasikan oleh guru semasa
berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran di kelas serta mengambil kira
kepentingan dan tujuan sesuatu pendekatan, teknik ataupun strategi itu digunakan di
digunakan. Hal ini kerana, kesan daripada kepelbagaian penggunaan dalam
melaksanankan pengajaran dan pembelajaran oleh guru akan mempengaruhi kefahaman
serta minat murid terhadap pembelajaran mereka yang merangkumi dari segi aspek
jasmani, emosi, rohani dan sosial murid-murid prasekolah.

Anda mungkin juga menyukai