Gambar hiasan
A- A+ (Ubah saiz teks)
MENGIMBAS zaman belajar dahulu, rasa seram sejuk bila melihat rotan di atas
meja guru disiplin. Hujung rotan dah pecah seribu. Entah berapa ramai pelajar yang
sudah menjadi mangsa rotan.
Di tapak tangan atau punggung? Mungkin sahaja hanya gertakan dengan memukul
rotan di atas muka meja...
Hukuman rotan ini sebenarnya tidak asing dalam masyarakat sejak zaman dahulu.
Ibu bapa dan guru menjadikan rotan sebagai peringatan dan hukuman kepada anak
untuk menjadi insan berguna bila besar nanti. Tambahan pula perbuatan merotan
bukanlah dilakukan berkali-kali dalam satu masa seperti pesalah dijatuhi hukuman di
penjara. Kebiasaannya pelajar hanya dirotan sekali dua bagi kesalahan dilakukan
dengan harapan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang lagi.
Advertisement
Pada 11 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, bekas Pengarah Jabatan Pendidikan
Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Ismail Md Noor telah menyatakan sokongan terhadap
penambahbaikan hukuman disiplin dan memberi kuasa kepada cadangan pengetua
atau guru untuk merotan pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.
Beliau yang diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin
Woo, berpendapat, guru-guru sedia ada sudah terlatih dalam pelbagai skop
termasuk psikologi, akhlak dan disiplin. Mereka lebih maklum dengan masalah
pelajar. Bagaimanapun beliau tidak mahu pelajar sebagai mangsa guru di sekolah.
Ini boleh merosakkan nama baik kerjaya pendidik.
Melihat lebih lanjut terhadap pelaksanaan hukuman disiplin terbaru ini, GPS Bestari
mengupas reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah bekas Pengarah Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri untuk
mengetahui penerimaan dan sejauh mana mereka bersedia untuk menghadapi
penambahbaikan peraturan disiplin di sekolah ini.
Disiplinkan pelajar
Guru dari Sekolah Kebangsaan Demang Taha, Masjid Tanah, Melaka, Mohd Najib
Mazelan, berkata, warga guru menyambut baik hukuman rotan dilaksanakan
semula.
“Hukuman rotan merupakan satu daripada cara untuk mendisiplinkan pelajar, dan
bukannya mendera seperti yang diperkatakan oleh ibu bapa masa kini. Hairan juga
kenapa ada sesetengah ibu bapa yang tidak boleh menerima hukuman rotan
dilakukan kepada pelajar yang bermasalah disiplin sedangkan sewaktu mereka
belajar dulu juga hukuman ini telah dilaksanakan, malah lebih teruk lagi.”
“Kita boleh lihat, bila hukuman rotan tidak dijalankan, kalangan murid semakin 'naik
lemak' dan jalan mendada seolah-olah tidak menghormati guru yang mengajar
mereka. Bila ada guru yang mengenakan hukuman, mulalah ibu bapa datang serang
sekolah dan mencaci guru.
"Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami sebagai guru tahu tugas dan
tanggungjawab kami,” katanya yang berharap agar penambahbaikan hukuman
disiplin ini diterima baik oleh semua pihak terutamanya ibu bapa dan murid.
Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin, Melaka, Nur Syafiqah Mohd
Roslan yang merupakan bekas guru berkata, usaha tambah baik hukuman disiplin
ini amat disambut baik oleh warga pendidik.
Beliau berpendapat, hukuman disiplin seperti rotan ini merupakan satu cara untuk
mendisiplinkan pelajar sekolah. Ini kerana jika pelajar yang melakukan kesalahan
tidak dihukum, mereka akan menganggap perbuatan dan kesalahan yang mereka
lakukan itu bukan perkara besar. Jika berterusan, kesalahan tersebut sedikit
sebanyak boleh menjejaskan pelajaran mereka dan juga nama baik sekolah.
“Apa yang boleh saya katakan, guru mempunyai peranan sangat kecil di sekolah.
Ibu bapa juga harus memainkan peranan mereka di rumah.
"Jangan terlalu manjakan anak dan didiklah mereka supaya sentiasa berdisiplin dan
menjauhkan diri daripada gejala sosial demi masa hadapan cemerlang,” katanya.