Tekanan atau stress adalah adalah lumrah dalam kehidupan seseorang. Setiap insan pasti pernah
mengalami tekanan dalam pelbagai perkara. Sebenarnya, tekanan adalah normal kepada sesiapa pun.
Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menangani stress yang dihadapinya agar
kehidupannya dapat berlansung dengan baik. Stress yang berlebihan dapat member kesan kepada diri
sesorang dari aspek kesihatan fizikal, emosi dan sosial. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO ), kesihatan mental didefinisikan sebagai kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni
dengan orang lain, kebolehan dalam mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan
kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat. Ternyata kebolehan untuk menyumbang
kepada masyarakat ini berkait rapat dengan kerjaya seorang guru. Guru sebagai sumber manusia
dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk dan
mencorakkan sesebuah masyarakat. Tidak hairanlah ada kata-
kata yang menyebut, “ Gagal seorang doktor, mati satu pesakit, gagal seorang guru, rosak satu
generasi “.
Daripada kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk menangani stress yang
berlaku dalam kalangan guru supaya fungsi seorang guru itu dapat dimanfaatkan dengan seoptimal
yang mungkin. Di Malaysia, masalah tekanan dalam kalangan guru bukanlah perkara yang baru.
Ianya bukan sahaja menjadi bahan kajian ilmiah malah ia telah menjadi isu dalam media massa.
Menurut Muhamad (1995), kajian oleh Kongress Kesatuan Guru- guru Dalam Perkhidmatan
Pendidikan Malaysia ( KONGRES ) menunjukkan kebanyakan guru mengeluh terhadap tugas dan
rutin seorang guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Antara
alasan yang sering diberi adalah masalah peribadi, tawaran kerja yang lebih baik, tidak mahu
berjauhan dengan keluarga dan persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat.
Beban tugas yang terlampau berat dapat mengakibatkan seseorang guru itu mengalami perasaan
kegagalan dan kelesuan akibat
tuntutan yang tidak dapat diatasinya itu. Perkara ini dikenali sebagai “burnout”. Istilah
burnout ini pertama kali diperkenalkan oleh Freudenberger (1974).
Dalam erti kata yang lain, burnout juga boleh didefinisikan sebagai pilihan yang terakhir apabila satu
siri percubaan untuk menangani tekanan negative menemui titik kegagalan. Maslach & Jackson
(1981) telah memperkembangkan konsep burnout dengan menerangkan bahawa sebenarnya terdapat
tiga jenis burnout. Ketiga-tiga jenis burnout itu ialah kelesuan emosi (emotional exhaustion),
depersonalisasi (depersonalization) dan pencapaian peribadi (personal accomplishment). Maslach &
Jackson (1981) menerangkan bahawa kelesuan emosi merujuk kepada perasaan kelesuan fizikal dan
emosi dan perasaan bosan akibat daripada tekanan kerja dan kekangan-kekangan masa harian.
Depersonalisasi pula merujuk kepada pembentukan sikap yang negatif dan respons yang dingin
terhadap orang lain (contoh: pelajar, rakan sejawat) di tempat kerja seseorang. Ia disebabkan oleh
interaksi yang terlalu kerap dan tidak berhabisan antara seorang individu dengan orang lain di tempat
kerjanya. Manakala pencapaian peribadi merujuk kepada perasaan kehilangan harga diri dan perasaan
kurang mencapai dalam pekerjaan. Ia disebabkan oleh kurang penghargaan dan maklumbalas yang
positif. Untuk mengatasi masalah stress dalam kalangan guru, pelbagai langkah boleh diambil.
Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh mempelajari kemahiran
relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan. Sebagai contoh, guru
boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara menarik dan
menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres. Bukan sahaja begitu,
seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan bersenam, makan
makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak meminum air beralkohol kerana badan
yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi cara hidup yang seimbang,
seseorang guru perlu meluangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti rekreasi. Dengan
membuat demikian, mereka dapat mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan
mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang
dihadapi.
Selain daripada aktiviti fizikal yang dapat menghilangkan stress, seorang guru juga patut menguasai
kemahiran pengurusan masa. Kebanyakan guru-guru muda yang baru diserapkan di sekolah
kebanyakan tidak pandai menguruskan masa sendiri sehinggakan mereka cenderung untuk
mencampurkan tugas rasmi dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Kebanyakan guru yang bekerja
menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan tanggungjawab yang lain
sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini secara tidak langsung akan
mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan emosi akibat beban kerja. Oleh itu, kemahiran
pengurusan masa dapat membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting
dahulu dan melakukannya dengan lebih bijak. Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual
bekerja dan meluangkan masa lapang individu yang secukupnya untuk kegunaan diri. Selain daripada
itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja.
Didapati tugas guru di sekolah bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan
yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya,
pengurusan data-data murid dan sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja
diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama
45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk
mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi,
menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan
mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang
cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di
luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu pula komitmen
mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin serius apabila murid-
murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan utama dan seterusnya negara
mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia
.