Anda di halaman 1dari 11

PENDEKATAN BERTIMBANG RASA

1.0 Definisi
Konsep pendekatan bermaksud cara atau jalan bagaimana sesuatu mata pelajaran
boleh diajar berdasarkan kepada objektif jangka panjangnya (Kwai, T., Y., 1996). Dewan
Bahasa Edisi Keempat mendefinisikan bertimbang rasa sebagai menaruh rasa berbelas
kasihan, bersimpati dan berlaku adil. Oleh itu, pendekatan bertimbang rasa membawa
maksud kaedah yang guru gunakan dalam pengajaran dengan mengintegrasikan nilai
kepedulian dan keprihatinan dalam proses tersebut.
“Pendekatan bertimbang rasa menegaskan bahawa setiap murid perlu bertimbang
rasa dalam membuat keputusan dan melakukan sesuatu tindakan agar tidak
menyinggung perasaan orang lain” (Abdullah Zhidi Omar & Mahdi Shuid, 2016).
Pendekatan bertimbang rasa adalah berbeza dengan pendekatan pengajaran Pendidikan
Moral lainnya yang hanya menumpukan kepada menganalisis peraturan dan ketetapan
moral sahaja. Pendekatan ini menekankankan kepada konsep bertimbang rasa dengan
mengambil kira keperluan serta kepentingan orang lain dalam membuat sebarang
keputusan atau tindakan.

2.0 Pro dan kontra pendekatan bertimbang rasa

2.1 Pro pendekatan bertimbang rasa

2.1.1 Menerapkan sikap prihatin dalam diri murid

McPhail dan rakan-rakannya (1973) telah menyatakan bahawa bagi membantu pelajar
sekolah menengah bersikap prihatin terhadap orang lain, mereka perlu belajar membuat
pilihan supaya tindakkannya tidak menyinggung perasaan orang lain. Dalam pendekatan
ini, sikap ‘prihatin’ merujuk kepada tiga perkara iaitu bertimbang rasa dan peka kepada
keperluan, perasaan serta kepentingan kendiri dan orang lain, belajar memahami
pendapat-pendapat yang berbeza dan bersifat empati serta belajar menyesuaikan diri
dengan orang lain.
Sikap prihatin yang terdapat dalam pendekatan bertimbang rasa merujuk kepada
bertimbang rasa dan peka kepada keperluan, perasaan serta kepentingan kendiri dan
orang lain, belajar memahami pendapat-pendapat yang berbeza dan bersifat empati serta
belajar menyesuaikan diri dengan orang lain (Rahmad Sukor, 2007). Pendekatan ini dapat
membantu murid untuk berfikir secara mendalam berkenaan dengan sesuatu keputusan
yang akan mereka ambil dan secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan moral

1
dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana pendekatan ini menekankan tentang perasaan
dan emosi. Pendekatan bertimbang rasa dirangka bagi mengalakkan anak-anak muda
supaya prihatin terhadap orang lain berbanding pendekatan lainnya yang hanya
mementingkan kemampuan pelajar untuk membuat penaakulan (Hirst, P., 2012).
Pendekatan bertimbang rasa ini mengandungi proses ‘membuat pilihan’ yang dapat
membantu murid supaya dapat mengambil tindakan yang bermoral. Pertama sekali murid
perlu mengenalpasti pilihan, menimbang kesan-kesan pilihan dan akhir sekali membuat
keputusan yang bersesuaian dengan apa yang dihargai oleh diri sendiri dan orang lain.
Sebagai contoh, Siti menginginkan sebatang pensel yang dimiliki oleh rakannya. Siti
bercadang untuk mencuri pensel tersebut. Melalui proses ‘membuat pilihan’, Siti pertama
sekali akan mengenalpasti pilihan yang wujud. Selepas itu, Siti perlu menilai akibat
daripada pilihan tersebut dan akhirnya membuat keputusan. Jika Siti bertindak untuk
mencuri pensel tersebut, rakannya pasti akan berasa sedih kerana telah kehilangan
pensel serta akan dimarahi oleh ibu bapanya. Melalui pendekatan bertimbang rasa, Siti
akan mencuba untuk memahami perasaan yang dialami oleh rakannya itu. Siti akan
berasa kasihan dan bersimpati terhadap nasib yang akan menimpanya dan mengambil
keputusan untuk tidak mencuri lagi. Oleh itu, sikap prihatin mampu diterapkan.

2.1.2 Pendekatan bertimbang rasa berkait rapat dengan kehidupan sosial murid

McPhail menyatakan bahawa kemoralan pada dasarnya dilihat sebagai fenomena


hubungan manusia yang menekankan kepentingan perasaan dan sikap terhadap orang
lain (Lynch, J., Modgil, C., Modgil, S., 1997). Oleh itu, murid dapat memahami konsep
moral dengan lebih mudah kerana pendekatan ini menjurus kepada kehidupan sosial
murid. Pendekatan ini akan membantu murid untuk melihat dengan jelas perkaitan antara
konsep moral dengan realiti kehidupan sebenar dan pengalaman sedia ada murid.

Manusia merupakan makhluk sosial. Penerimaan sesebuah kelompok adalah amat


penting. Pendekatan bertimbang rasa akan membantu memberikan gambaran kepada
murid-murid tentang sikap yang diterima oleh ramai pihak. Guru dapat memberikan
contoh situasi berkenaan dengan seorang murid iaitu Ali. Ali seorang murid yang
pemalas. Dia sering tidak menyiapkan kerja yang diamanahkan kepadanya. Melalui
contoh yang diberikan guru dapat mengadakan perbincangan di dalam kelas berkenaan
dengan sikap Ali. Guru perlu menggalakkan murid untuk berfikir tentang kesan daripada
perbuatan tersebut kepada Ali sendiri dan juga rakan sekelas yang lain. Rakan sekelas
Ali mungkin tidak mahu berkerjasama dengan Ali akibat daripada sikapnya yang malas.
Penolakan yang Ali dapat akan memberikan kesedaran kepada murid-murid bahawa

2
mereka perlu mengambil berat terhadap pandangan orang lain supaya mereka tidak
mengalami nasib yang sama seperti Ali. Oleh itu, melalui situasi yang guru berikan, murid
akan mengelakkan sikap-sikap negatif supaya mendapat penerimaan dan pengiktirafan
daripada sesebuah kelompok sosial.

2.1.3 Pendekatan bertimbang rasa bukan hanya menumpukan kepada peraturan dan
ketetapan moral sahaja

Pengetahuan murid yang meluas terhadap peraturan dan ketetapan moral tidak
menjamin bahawa murid tersebut mempunyai moral yang tinggi. Kupperman (1983)
melaporkan bahawa orang yang membuat sesuatu yang tidak bermoral tidak semestinya
lebih bodoh atau lebih pandai berbanding dengan orang yang biasa. Akan tetapi individu
yang tidak bermoral ini sentiasa tidak sensitif terhadap kesengsaraan mangsanya kerana
adalah sukar untuk dia memperoleh perasaan moral (dipetik daripada Hin, E., B., 2003).
Hal ini demikian kerana kebanyakan murid pada dasarnya tahu bahawa sesuatu tindakan
yang mereka lakukan adalah salah, namun mereka tetap juga melakukan perkara yang
tidak bermoral. Fenomena ini berlaku kerana murid tidak sedar tentang kesan serta akibat
yang telah mereka lakukan jika mengamalkan perkara yang tidak bermoral. Mereka
hanya mementingkan kepada kepuasan diri serta keuntungan yang akan mereka
perolehi. Kurangnya kesedaran murid tentang kepentingan sikap bermoral akan
menyebabkan pemantapan moral dalam diri murid kurang berkesan.

2.2 Kontra pendekatan bertimbang rasa


2.2.1 Pendekatan bertimbang rasa bersikap berat sebelah

Pendekatan ini melibatkan keinginan, kehendak dan kemahuan seseorang untuk


memperdulikan pandangan seseorang individu. Hal ini bermakna murid akan mengambil
tindakan atau keputusan yang berbeza jika mereka berhadapan dengan isu tersebut
dengan individu yang berbeza. Murid akan memberikan perhatian terhadap persepsi
serta pandangan terhadap individu yang mereka minati. Perkara yang akan membawa
kepentingan diri murid tersebut juga akan mempengaruhi tingkah laku murid. Sebagai
contoh, Sara selalu menjaga tutur katanya apabila bercakap dengan gurunya di sekolah.
Namun begitu apabila Sara bergaul dengan rakan-rakannya dia sering menggunakan
perkataan yang kesat dan kasar. Melalui situasi ini, kita dapat melihat bahawa Sara hanya
mengambil berat terhadap pandangan gurunya daripada rakan sekelasnya sendiri. Sara
juga bersikap sedemikian untuk kepentingannya sendiri. Dia menginginkan guru-guru
untuk menyukainya.

3
2.2.2 Pendekatan bertimbang rasa melibatkan tindak balas emosi
Pendekatan ini melibatkan pergolakan emosi serta perasaan dalam membuat
sesuatu keputusan tanpa sebarang penggunaan akal fikiran yang rasional. Contohnya,
Azli mendapat tahu bahawa rakan baiknya Chong telah mencuri duit rakan sekelasnya.
Tetapi melalui pendekatan bertimbang rasa akan timbulnya perasaan belas kasihan dan
simpati terhadap Chong jika Azli bertindak untuk melaporkan perkara tersebut kepada
guru disiplin. Oleh itu, Chong akan terlepas daripada kesalahannya itu. Namun, jika kita
fikir secara logik, mencuri merupakan sesuatu sikap yang tidak bermoral dan kita perlu
melaporkan sebarang kejadian kecurian bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang
kembali. Pendekatan ini akan menyebabkan keputusan atau tindakan yang diambil akan
diganggu dan dipengaruhi oleh emosi individu itu sendiri. Pemikiran secara rasional tidak
dititikberatkan sehingga menyebabkan keputusan tersebut adalah tidak berasaskan
penaakulan moral.

2.2.3 Pendekatan bertimbang rasa tidak mempunyai asas yang kuat

Bertimbang rasa merupakan perkara yang baik dan boleh diterima secara rasional,
namun tidak sempurna dan kukuh jika nilai bertimbang rasa ditekankan serta menjadi
fokus utama yang berdiri sendiri dalam pendekatan pengajaran Pendidikan Moral (Kelly,
A.V. & Downey, 1978). Hal ini kerana nilai bertimbang rasa tidak dapat dijadikan satu
pendekatan yang terpisah dengan nilai lainnya. Bagi memastikan penerapan nilai moral
dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pengabungjalinan nilai-nilai lain dengan
pendekatan bertimbang adalah perlu. Nilai seperti kasih sayang, hormat-menghormati,
tolong-menolong dan belas kasihan merupakan antara nilai-nilai yang bergerak seiringan
dengan pendekatan bertimbang rasa. Pengabungjalinan nilai-nilai seperti ini akan dapat
mengukuhkan, menguatkan dan memantapkan lagi pendekatan bertimbang rasa dalam
pengajaran Pendidikan Moral.

4
3.0 Cadangan tentang bagaimana pendekatan ini dapat diterapkan kepada murid-murid
pelbagai kaum dan agama dalam bilik darjah

3.1 Pengaplikasian tiga set bahan pengajaran


School Council Moral Education Project di bawah pimpinan Peter Mcphail telah
membangunkan pendekatan bertimbang rasa dengan menghasilkan pelbagai bahan
pengajaran untuk menerapkan nilai moral dalam diri pelajar. Bahan-bahan pengajaran
ini merupakan situasi yang mempunyai pelbagai konflik dari isu hubungan
interpersonal kepada dilema sosial yang lebih meluas. Tiga set bahan pengajaran iaitu
‘in other people’s shoes’, ‘proving the rules’ dan ‘what would you have done’
mempunyai tahap kerumitan yang berbeza bagi setiap situasi. Penggunaan dan
perbincangan berdasarkan bahan-bahan ini dinyatakan dapat membantu remaja
belajar untuk menjadi lebih sensitif kepada keperluan dan kepentingan orang lain,
untuk meramalkan akibat daripada tindakan dan untuk membangunkan kesedaran
sosial secara keseluruhan (Straughan, R., 2012). Oleh itu, bahan-bahan yang telah
dikemukan oleh Peter Mcphail dapat digunakan bagi menerapkan pendekatan
bertimbang rasa dalam kalangan murid pelbagai kaum dan agama.

3.1.1 “In other people’s shoes”

Bahan ini menyentuh situasi yang melibatkan hubungan biasa antara individu
dengan individu yang lain. Murid perlu menganalisis isu yang timbul antara individu
tersebut dengan mengambil kira perkara yang perlu mereka lakukan, mengenal pasti
kesan dan akibat terhadap sesuatu tindakan dan memahami padangan serta
perasaan orang lain tentang konflik tersebut. Sebagai contoh, guru menceritakan
sebuah situasi berkenaan dengan sikap Ahmad yang sering memperlekehkan ajaran
agama rakan-rakan sekelasnya. Guru akan membincangkan situasi tersebut
menggunakan pendekatan bertimbang rasa. Guru akan bertanya “Adakah tindakan
Ahmad tersebut wajar?”, “Apakah kesan daripada sikap Ahmad yang sering
mempersenda ajaran agama orang lain?”, dan “Apakah perasaan rakan-rakan
Ahmad apabila Ahmad mengejek agama mereka?”. Pertanyaan-pertanyaan seperti
berikut akan menggalakkan murid untuk berfikir dan membuat penaakulan moral.
Sikap empati dapat dibentuk dalam diri murid dan menggalakkan mereka untuk
meletakkan diri dalam situasi yang rakan Ahmad alami. Melalui langkah ini, murid
akan melahirkan rasa simpati terhadap keadaan yang menimpa rakan Ahmad.
Mereka akan belajar untuk mengamalkan sikap yang bermoral hasil daripada sikap
prihatin terhadap keadaan orang lain.

5
3.1.2 “Proving the rule”
Bahan ini digunakan dalam situasi yang ditetapkan sama ada di dalam rumah,
sekolah atau kejiranan sekitarnya, individu yang terlibat dalam konflik tersebut bukan
satu atau dua orang sahaja tetapi melibatkan identiti peribadi dan sosial, hubungan
dalam kumpulan, dan konflik antara kumpulan yang berbeza (Rogers, S.R., 1974).
Situasi yang digunakan dalam bahan ini adalah lebih kompleks berbanding dengan
“In other people’s shoes”. “Proving the rule” akan meransang murid untuk mengenal
pasti peraturan, harapan dan tekanan supaya mereka dapat belajar menyesuaikan
diri dengan keadaan tersebut sesuai dengan pegangan nilai mereka. Sebagai negara
yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya, adalah amat
penting bagi kita untuk mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bertoleransi antara
satu sama lain. Hal ini demikian kerana setiap kaum dan agama mempunyai larangan
dan ajarannya yang tersendiri. Melalui bahan ‘proving the rule’ kita dapat mengajar
murid untuk mengetahui peraturan yang telah ditetapkan oleh sesuatu komuniti
supaya murid diterima dalam komuniti tersebut. Misalnya, kita diajar untuk
menundukan sedikit badan apabila berjalan di hadapan orang yang lebih tua.
Tindakan ini menunjukkan bahawa kita menghormati individu tersebut. Tingkah laku
ini merupakan salah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh masyarakat kita sejak
zaman dahulu lagi. Oleh itu, guru dapat menggunakan situasi seperti ini untuk
menggalakkan murid berfikir tentang persepsi dan penerimaan masyarakat jika kita
tidak mengamalkan peraturan tersebut.

3.1.3 “What would you have done”

Bahan ini melibatkan situasi yang lebih kompleks daripada ‘proving the rule’.
“What you have done” melibatkan tentang beberapa masalah budaya di seluruh
dunia yang berlaku pada zaman ini. Bahan ini mengemukakan situasi yang
mempunyai tahap kekompleksan yang tinggi dan berkaitan dengan beberapa
tanggungjawab, konflik ras, bencana, sikap penyayang dan bencana alam.

Rahmad Sukor (2007) menyatakan pendekatan ini dapat dilaksanakan mengikut


langkah-langkah berikut:

i. Mengemukakan situasi moral sama ada dalam konteks perhubungan


peribadi, kepentingan kumpulan, autoriti atau isu-isu semasa.
ii. Mencari alternatif tindakan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi
dengan menggunakan fakta-fakta dan penakulan.
iii. Mentafsirkan kesan alternatif tindakan ke atas diri sendiri dan orang lain.

6
iv. Membuat keputusan setelah mempertimbangkan kesan ke atas diri
sendiri dan orang lain dengan memberi keutamaan kepada keperluan, perasaan
serta kepentingan orang lain.

Melalui langkah-langkah yang telah dicadangkan, murid dapat belajar tentang


cara yang terbaik untuk membuat keputusan ketika menghadapi konflik hidup
yang kompleks.

3.2 Aktiviti dalam bilik darjah


Pendekatan bertimbang rasa dapat diterapkan dalam diri murid melalui
pelbagai aktiviti yang guru laksanakan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran (p&p) di dalam bilik darjah. Aktiviti berkumpulan seperti
perbincangan, main peranan, lakonan, pembelajaran berasaskan projek atau
simulasi secara tidak langsung dapat mewujudkan perasaan bertimbang rasa
murid. Hal ini demikian kerana aktiviti berkumpulan memerlukan murid untuk
saling bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain. Guru perlu
menggalakan murid untuk bekerja dalam satu kumpulan tanpa mengira kaum dan
agama murid tersebut. Kebanyakan murid hanya selesa bergaul dengan rakan-
rakan yang mempunyai persamaan daripada aspek budaya, bahasa, gaya hidup,
warna kulit dan agama. Melalui aktiviti berkumpulan, murid-murid dapat diberi
peluang untuk berinteraksi serta berkomunikasi dengan murid yang datang
daripada kelompok serta latar belakang yang berbeza. Aktiviti seperti ini dapat
meminimakan diskriminasi perkauman serta merapatkan jurang perbezaan yang
wujud dalam diri murid.
3.3 Sikap guru
Selain daripada itu, guru itu sendiri juga perlu menunjukkan sikap bertimbang
rasa kepada murid-murid. Melalui sikap bertimbang rasa yang guru tonjolkan
murid-murid akan mencontohi sikap tersebut dan secara tidak langsung akan
diterapkan dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini demikian kerana menurut
Albert Bandura, manusia secara semula jadi belajar melalui proses peniruan dan
pemerhatian (dipetik daripada Mohd Fuad Sam, Marina, Rosnah & Nordin, 2016).
Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk mempamerkan sikap bertimbang rasa.
Salah satu cara mengaplikasikan pendekatan bertimbang rasa ialah guru perlu
mengamalkan sikap demokrasi di dalam bilik darjah. Amalan autokratik perlulah
dihindari supaya murid belajar tidak mencontohi corak kepimpinan yang
menggunakan pendekatan secara paksaan. Guru perlu mengambil berat tentang
pendapat kesemuaa murid-murid dalam membuat keputusan berkenaan dengan

7
bilik darjah. Guru hendaklah menunjukkan sikap bertimbang rasa kepada semua
murid tanpa mendiskriminasikan mana-mana kaum atau agama murid.

4.0 Keberkesanan pendekatan ini dalam membentuk keperibadian pelajar

Pada pendapat saya, pendekatan bertimbang rasa adalah berkesan untuk digunakan
bagi menyemai nilai moral dalam diri murid-murid. Murid-murid akan belajar untuk
memahami impak sesuatu perbuatan yang tidak bermoral kepada individu lainnya. Secara
tidak langsung, mereka akan belajar untuk bersikap prihatin terhadap individu lainnya. Jika
murid mampu menyelami emosi dan perasaan orang lain, mereka akan lebih berhati-hari
terhadap segala tindakan yang mereka lakukan. Mereka akan berfikir dengan lebih
mendalam dalam membuat keputusan yang menyebabkan penaakulan moral berlaku.
Setelah murid, berfikir, menilai, membuat pemerhatian dan menganalisis kesan serta
akibat daripada keputusan yang akan mereka ambil, timbul perasaan moral yang akan
mempengaruhi perlakuan moral murid tersebut.

Sikap bertimbang rasa bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, malah
mendatangkan balasan yang baik kepada diri kita sendiri di mana kita akan dilayan dengan
baik oleh orang lain (Lindhard, N., 2005). Melalui pendekatan bertimbang rasa murid dapat
melihat bahawa sikap yang bermoral ini akan mendatangkan kebaikan kepada semua
pihak. Kesedaran tentang perkara ini akan menggalakkan mereka untuk menjadikan
perbuatan bermoral sebagai amalan. Keperluan serta keinginan murid untuk diterima dan
diiktiraf dalam sesebuah komuniti akan mengakibatkan mereka berusaha untuk sentiasa
memperhatikan dan menilai tindakan yang mereka lakukan. Fenemona ini akan
menyebabkan nilai moral dapat diajar secara berkesan dalam diri murid.

Walaupun pendekatan bertimbang rasa ini mempunyai banyak kekuatan tetapi


pendekatan ini juga mempunyai kekurangannya sendiri. Kita dapat mengurangkan
kelemahan yang ada dengan mengintegrasikan sikap bertimbang rasa dengan nilai-nilai
lainnya. Pengabungjalinan ini akan menguatkan lagi pendekatan bertimbang rasa. Secara
tidak langsung, pendekatan bertimbang rasa akan menjadi lebih efektif untuk digunakan
dalam pengajaran Pendidikan Moral.

8
Senarai rujukan

Abdullah Zhidi Omar & Mahdi Shuid, (2016). Pedagogi dan pentaksiran moral. Petaling Jaya:
Sasbadi Sdn. Bhd.

Hin, E., B., (2003). Pendidikan Moral. Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Hirst, P., (2012). Educational Theory and Its Foundation Disciplines (RLE Edu K). New York:
Routledge Taylor & Francis Group.

Kelly, A.V. & Downey (1978). Mixed Ability Grouping. London: Harper & Row Publishers.

Kementerian Pendidikan Malaysia. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kwai, T., Y., (1996). Pendidikan Moral 1. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Lindhard, N., (2005). Guidance in the classroom. Johannesburg: Maskew Miller Longman.

Lynch, J., Modgil, C., Modgil, S., (1997). Education and Development: Tradition and
Innovation. London: British Library Cataloguing-in-Publication Data.

McPhail, P, Miller, D. L. 1973. The Assembling Process: A Theoretical and Empirical


Investigation. Am. Sociol. Rev. 38:721-35

Mohd Fuad Sam, Marina, Rosnah & Nordin, (2016). Murid dan pembelajaran. Petaling Jaya:
Sasbadi Sdn. Bhd.

Rahmad Sukor, (2007). HBME1103 Pengenalan Pendidikan Moral. Kuala Lumpur: UNITEM
Sdn. Bhd.

Rogers, S.R., (1974). Sex education: Rationale and reaction. London: Cambridge University
Press.

Straughan, R., (2012). Can We teach to be good?. New York: Routledge Library Editions.

9
Lampiran

10
11