Anda di halaman 1dari 2

Salah satu cabang matematik yang mempunyai kaitan rapat dengannya, iaitu bidang senibina menjadi

pilihan untuk edisi bulan ini. Secara faktanya, suatu ketika dahulu sehinggalah kini, senibina merupakan
sebahagian daripada topik matematik yang saling berhubungan. Dewasa ini, matematik terus mengorak
langkah kehadapan apabila teknologi komputer memainkan peranan penting dalam pengajian dan
penemuannya. Matematik menjadi alat penyelesaian masalah dalam pelbagai bidang dan antaranya
ialah senibina.

Gambar menunjukkan konsep matematik, trigonometri digunakan bagi pembinaan piramid.

Secara umumnya, matematik pada asasnya merupakan pemahaman mengenai paten dan corak, maka
di sini kita dapat melihat bahawa hubungannya dengan senibina menjadi semakin jelas. Matematik dan
senibina sering dikaitkan dalam pencarian susunan dan keindahan terutama dalam proses lakaran
bentuk bangunan. Konsep rekabentuk bangunan yang berasaskan sistem geometri matematik adalah
seperti segiempat tepat, bulatan, segiempat sama dan tiga dimensi.

Dari sudut sejarah, ahli matematik juga merupakan seorang arkitek yang telah mendirikan bangunan-
bangunan atau menara yang hebat dan tersergam indah seperti piramid, ziggurat, tokong-tokong dan
sebagainya. Pada zaman Greek dan Rome lama, arkitek diminta untuk menjadi ahli matematik. Jelas
bahawa kedua-dua bidang ini saling berhubungan. Tradisi ini diteruskan sehingga ke zaman pemodenan
islam. Perkembangan matematik ekoran daripada penggunaan nombor-nombor dari tamadun islam.
Salah satu pengaruh matematik yang ketara dalam bidang senibina ialah Pythagoras. Pythagoras
menganggap bahawa ‘semua benda adalah angka’. Ini mempunyai signifikasi yang jelas terhadap
senibina. Antara kejayaan beliau ialah penemuan pembahagian ‘ratio’ atau nisbah melalui integer
terkecil. Penemuan ini membolehkan para arkitek merekabentuk bangunan menggunakan nisbah integer
terkecil. Angka bagi Pythagoras juga, merupakan kajian dan pemahaman mengenai bentuk dan bentuk
ditentukan daripada angka. Selain itu, beliau telah mengembangkan tanggapan estetik perkadaran.
Kegunaan simetri diaplikasikan dalam senibina. Perkataan simetri berasal daripada bidang senibina
Greek lama iaitu, ‘symmetria’ yang bermaksud pengulangan bentuk dan nisbah yang digunakan daripada
bahagian terkecil dalam sebuah bangunan terhadap keseluruhan strukturnya. Ini membuktikan konsep
daripada Pythagoras memberi impak kepada bidang senibina di Greek.

Nama seperti Leonardo da Vinci merupakan seorang yang tidak asing lagi dalam dunia seni lukisan.
Tetapi tahukah anda bahawa beliau juga terlibat dalam bidang senibina? Walaupun nama Leonardo da
Vinci membuatkan semua orang mengingati keindahan lukisan beliau semata-mata, atau lebih spesifik
lagi, potret monalisa, namun di sebalik itu beliau adalah seorang yang amat tertarik dan terpesona
dengan matematik. Senibina merupakan salah satu kepakaran beliau dan mempelajari teori-teori dan
prinsip-prinsip di sebaliknya. Beliau mempunyai pelbagai kebolehan dan minat. Beliau merupakan
penasihat kepada ‘The Duke of Milan’ dalam bidang senibina. Kemudiannya, beliau telah dinobatkan
sebagai ‘pelukis, arkitek dan mekanik pertama raja’ oleh Raja Francis I (French).
Kini senibina menjadi satu simbol kemegahan bagi sesebuah negara. Ianya secara tidak langsung cuba
menarik perhatian dunia di atas kewujudannya dan memberitahu dunia bahawa sesebuah negara itu
mampu bersaing di peringkat global. Contohnya negara kita, Malaysia, yang mempunyai menara ketiga
tertinggi dunia, iaitu menara berkembar petronas (KLCC) yang menjadi kebanggaan setiap rakyatnya.
Kesimpulannya, bidang senibina sentiasa mencuba untuk mencapai satu pencapaian dimana ia bukan
sahaja berkenaan dengan fungsi malah nilai estetik, falsafah dan makna juga dititikberatkan. Di sebalik
keindahan senibina yang gah, hampir kesemuanya adalah saling berkait rapat dengan keindahan dan
struktur matematik. Sehingga kini, penggunaan matematik sentiasa cuba ditingkatkan dalam kesemua
bidang di seluruh dunia.

Anda mungkin juga menyukai