Anda di halaman 1dari 6

PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Hari ini tidak seperti rakaman mikropengajaran yang lepas, suasana agak riuh
dengan suara kanak-kanak prasekolah yang berada di sebelah bangunan kelas saya.
Perasaan saya pula penuh dengan bunga-bunga harapan agar semuanya berjalan
dengan lancar berkat izin dari yang Maha Esa. Hari ini juga bertempat di Sekolah
Kebangsaan Umas-umas, Tawau Sabah pada 15 November 2011, bersamaan hari
selasa antara pukul 10.25 hingga 10.55 pagi kira-kira 30 minit di kelas 4 Amanah saya
telah menjalankan rakaman makropengajaran bagi mata pelajaran Matematik dengan
tajuk Ukuran Panjang. Objektif pembelajaran saya pada hari ini ialah, memahami
perhubungan antara unit panjang. Harapan agar, diakhir proses pengajaran dan
pembelajaran murid-murid dapat menyatakan perhubungan antara mm, cm dan m,
menukar unit panjang, menjawab latihan secara individu disamping dapat menjalankan
aktiviti berkumpulan dengan seronok bersama rakan mereka.

Pengajaran dan pembelajaran dimulakan dengan bacaan doa, agar ilmu yang kita
sampaikan diterima oleh murid mendapat keberkatan dan rahmat dari-Nya. Selesai
sahaja berdoa dan bertanya khabar murid-murid, saya arahkan agar mereka melakukan
sedikit senaman iaitu lari setempat agar semua murid sedia menerima dan melakukan
aktiviti yang saya rancang. Bagi memulakan set induksi yang menjurus kepada kesediaan
murid dengan isu semasa dan pengetahuan sedia ada murid, saya memanggil dua orang
murid yang mempunyai bentuk fizikal yang berbeza diikuti dengan menunjukkan 2 batang
pembaris yang berbeza panjangnya diselangselikan dengan soal jawab bagi mencungkil
idea dan mengaitkan pengetahuan sedia ada murid dengan isi pelajaran.

Setelah selesai set induksi, saya teruskan pengajaran dengan menjalankan


penerangan konsep tajuk yang ingin saya ajar iaitu menyatakan perhubungan unit
panjang. Pendekatan masteri saya gunakan dalam pengajaran saya agar murid dapat
memahami dan menguasai konsep isi pelajaran dan boleh menyelesaikan soalan-soalan
matematik menggunakan konsep yang dipelajari. Penerangan konsep ini saya lakukan
dengan memaparkan slaid Powerpoint yang saya sediakan lebih awal. Selesai
memberikan beberapa contoh penyelesaian, saya edarkan kepada setiap orang murid
lembaran kerja bagi menjalankan aktiviti individu. Tujuannya adalah untuk memberi lebih
fokus kepada murid yang kurang mahir menyelesaikan soalan berkaitan tajuk yang saya
ajar. Dalam aktiviti ini saya dapatkan bantuan rakan murid yang saya gelar sebagai guru
kecil untuk membantu rakan kumpulan.

Pembelajaran koperatif digunakan untuk aktiviti kumpulan. Aktiviti kumpulan saya


jalankan dengan menyediakan papan penyelesaian untuk mereka menulis hasil jawapan
melalui perbincangan soalan yang dipaparkan melalui slaid. Kumpulan yang dapat
menjawab dengan betul akan saya berikan kad wang syiling agar mereka boleh menukar
kad tersebut dengan hadiah yang saya sediakan. Aktiviti penutup saya jalankan dengan
membuat penutupan kognitif dan sosial yang memfokuskan kepada rumusan isi pelajaran
yang telah dipelajari oleh murid dengan meminta mereka menyatakan hubungan antara
unit panjang.

2.0 KEKUATAN

2.1 Sebutan dan dan nada suara yang jelas


Selepas saya menonton video makropengajaran yang telah dirakam, kelebihan
yang ada pada pengajaran saya adalah nada suara atau sebutan yang jelas ketika
menyampaikan maklumat dan ketika memberikan arahan. Kesannya, murid dapat faham
isi pelajaran dan arahan yang saya sampaikan kepada mereka dengan baik.

2.2 Kawalan kelas yang baik


Selain itu juga saya mampu melaksanakan kawalan kelas yang baik dalam
mengurus tadbir murid dan memastikan wujud suasana yang kondusif untuk pengajaran
dan pembelajaran. Kawalan kelas yang baik membantu saya menjalankan aktiviti dengan
lebih lancar, ditambah pula dengan kerjasama dan penyertaan yang ditunjukkan oleh
murid-murid dalam menjalankan aktiviti. Murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif
terutamanya dalam aktiviti kumpulan kerana saya telah mengambil kira ketidaksamaan
kebolehan di kalangan murid-murid semasa merancang aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Kawalan dan kerjasama yang yang diberikan ini telah mewujudkan
keadaan pembelajaran yang kondusif dan selesa.

2.3 Bahan bantu mengajar yang berkesan


Kaedah dan bahan bantu mengajar yang saya gunakan juga menarik perhatian,
sesuai dan releven untuk murid. Bahan bantu belajar dan mengajar ini banyak memberi
sumbangan dalam menjayakan pengajaran saya pada kali ini. Saya akan terus berusaha
menghasilkan bahan pengajaran yang bukan hanya berguna untuk pengajaran saya
sendiri malah untuk kegunaan bersama-sama Panitia Matematik. Bukan hanya dalam
bentuk benda-benda maujud malah menghasilkan aneka koleksi bahan pengajaran
menggunakan perisian-perisian komputer seperti penggunaan Microsoft PowerPoint.
Tanpa bahan mengajar umpama resepi yang kekurangan perisanya.

2.4 Peneguhan positif


Daripada pemerhatian, murid-murid amat suka diberi pujian dan galakan.
Peneguhan diberikan secara lisan dan isyarat kepada perlakuan yang baik sama ada
dalam bentuk ungkapan, perkataan, dan isyarat peneguhan yang bersesuaian dengan
murid. Pada sesi pengajaran kali ini, peneguhan positif yang saya lakukan kepada murid
menjadikan pengajaran lebih bermakna seperti mengatakan “bagus!”, “pandai” dan
bertepuk tangan kepada murid yang menjawab soalan dengan betul. Oleh yang demikian
saya harus terus menggunakan kemahiran dalam memberikan peneguhan agar murid
bersemangat untuk menjawab soalan yang diajukan. Disamping itu, peneguhan ini
penting agar murid-murid rasa dihargai oleh guru. Peneguhan dengan memberi teguran
yang berseuaian kepada pelakuan yang negatif juga perlu dilakukan bagi mengelakkan
perlakuan yang negatif ini dari berulang Namun demikian, saya juga perlu beringat agar
peneguhan yang diberikan tidak terlalu kerap sehingga murid berasa boring dan
menjangkakan hanya ucapan kosong seorang guru.

2.5 Penerapan nilai murni


Dalam proses pengajaran ini, saya juga telah menekankan aspek penerapan nilai-
nilai murni kepada murid-murid saya. Antara nilai-nilai murni yang saya terapkan ialah
semangat tolong-menolong, berani mencuba, bekerjasama dan bersaing secara sihat
terutamanya dalam menjalankan aktiviti individu dan kumpulan yang telah dirancang.
Saya juga menerapkan rasa kepimpinan dalam diri individu murid dengan adanya guru
kecil yang menjadi pembimbing kepada rakan-rakan mereka yang lemah. Semoga
penerapan nilai-nilai murni ini dapat membentuk dan melahirkan murid-murid yang
berakhlak mulia.

2.6 Membimbing dan menyemak hasil kerja murid.


Sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung saya mendisiplinkan diri saya
agar sentiasa membimbing dan menyemak hasil kerja murid-murid saya. Tujuannya
adalah untuk memastikan setiap murid dapat memahami dan melaksanakan tugasan
yang saya berikan kepada mereka.

2.7 Memeriksa hasil kerja murid


Dalam makropengajaran juga saya telah memeriksa latihan dan tugasan murid
dengan menunjukkan kesilapan yang dilakukan oleh mereka disamping memberi ulasan
yang membina dan memberi penghargaan kepada hasil kerja yang baik. Ini penting bagi
memastikan objektif pelajaran dapat dicapai dengan lebih berkesan.

3.0 KELEMAHAN

3.1 Pengurusan masa


Ketepatan masa penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran
berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan rakaman dan RPH yang telah saya
sediakan, saya dapati masa yang digunakan untuk aktiviti individu agak lama berbanding
masa yang peruntukkan dalam RPH. Akibatnya saya tidak dapat menggunakan masa
dengan optimum dan terpaksa mempercepatkan aktiviti kumpulan.

3.2 Penggunaan bahasa (laras dan istilah)


Kelemahan seterusnya yang dapat saya kesan ialah penggunaan bahasa dari segi
laras dan istilah. Contohnya penggunaan perkataan “ok” yang terlalu kerap. Pada
dasarnya, kelemahan ini berlaku tanpa saya sedari, mungkin disebabkan ianya sudah
menjadi kebiasaan. Penggunaan perkataan “ok” yang terlalu kerap boleh menyebabkan
murid-murid terikut dengan gaya bahasa tersebut. Selain itu juga penggunaan dialek yang
juga boleh

3.3 Pembelajaran koperatif


Dalam aktiviti kumpulan, saya menggunakan pendekatan pembelajaran koperatif.
Setiap kumpulan mempunyai 4 orang murid. Namun ada 2 kumpulan yang mempunyai
lebih dari 4 orang ahli kumpulan. Kelemahan saya dalam situasi ini ialah, tidak semua
murid dapat menulis di atas papan penyelesaian yang saya sediakan. Walaupun mereka
memberikan pendapat namun peluang untuk turut sama menggunakan dengan optimum
adalah terhad. Sepatutnya saya memastikan setiap ahli kumpulan menjawab soalan
secara bergilir-gilir.

3.4 Ada murid yang tidak aktif.


Penglibatan murid-murid yang lemah semasa pross pengajaran dan pembelajaran
adalah kurang memuaskan. Mereka kurang melibatkan diri dalam kebanyakan aktiviti
yang dilaksanakan. Masalah ini berkemungkinan berpunca daripada perasaan kurang
yakin atau takut ingin mencuba. Sepatutnya saya memainkan peranan dengan memberi
keyakinan kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang
dijalankan.

4.0 LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN

Hari ini membawa azam baru untuk memperbaiki kaedah penyampaian dan pendekatan
dalam pengajaran demi mencapai objektif dan memenuhi kriteria-kriteria guru berkesan
dalam pengajaran yang bukan sahaja memberi impak kepada pencapaian murid malah
perubahan tingkah laku murid ke arah yang lebih positif. Menyedari bertapa besar
tanggungjawab sebagai seorang guru dan begitu banyak perkara yang perlu diperbaiki,
menambah semangat dan motivasi dalam diri saya untuk menjadi guru yang cemerlang
bukan sahaja untuk murid-murid saya, tetapi untuk meningkatkan martabat profesion
keguruan khasnya.
Berdasarkan kelemahan dan kekurangan yang tedapat dalam makropengajaran
saya, beberapa aspek penambahbaikan perlu dilaksanakan. Penambahbaikan yang
pertama perlu saya lakukan adalah memperbaiki penggunaan bahasa dari segi laras dan
istilah. Penggunaan bahasa seperti penggunaan perkataan “ok” yang berulang perlu
dielakkan, saya juga boleh menggunakan perkataan lain seperti “baiklah” dan
diselangselikan dengan perkataan lain. Penggunaan dialek dalam pengajaran juga perlu
dihindarkan agar murid tidak mudah terikut-ikut dengan bahasa guru yang boleh
mengelirukan murid-murid.

Saya juga perlu memantau dan memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada
murid-murid yang mempunyai kebolehan yang rendah agar mereka tidak tercicir dalam
pembelajaran dan dapat menyiapkan tugasan dengan lebih berkesan. Peneguhan juga
perlu diberikan kepada murid yang lemah agar mereka juga rasa dihargai oleh guru
seperti rakan mereka yang lain disamping dapat memupuk keyakinan dalam diri mereka.

Saya juga perlu bijak melaksanakan aktiviti pengajaran agar selari dengan had
masa yang saya peruntukkan. Saya perlu menepati masa yang telah saya peruntukan
dalam rancangan pengajaran dan menggunakan masa yang ada dengan optimum Namun
demikian saya juga perlu bersikap “fleksibel” yakni berubah mengikut keadaan bagi
memastikan tiada kecacatan dalam proses pengajaran.

Sekiranya saya berpeluang mengajar sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama,
saya akan memastikan setiap murid mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang saya
jalankan. Ianya bertujuan supaya murid yang lemah juga memainkan peranan yang aktif
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala untuk aktiviti
kumpulan pula, saya akan mengaplikasikan pembelajaran koperatif dengan memastikan
setiap murid dalam kumpulan akan mempunyai peranan atau nombor masing-masing.
Saya akan menetapkan peraturan menjawab soalan kepada murid yang nombornya
disebut sahaja perlu bangun dan menyelesaikan soalan. Walau bagaimanapun rakan
kumpulan boleh membimbing rakan mereka jika rakan mereka tidak dapat menyelesaikan
soalan yang diberikan. Secara tidak langsung nilai-nilai murni dapat diterap dalam aktiviti
seperti ini.

Secara keseluruhannya, objektif pengajaran dapat dicapai dan saya berpuas hati
terhadap makropengajaran kali ini walaupun timbul beberapa kelemahan yang
mencacatkan sedikit proses pengajaran dan pembelajaran. Saya beriltizam dan berazam
untuk memperbaiki diri dan menghasilkan pengajaran yang lebih berkualiti di masa akan
datang walaupun saya perlu memaksimumkan usaha saya, kerana kemanisan akan
dikecapi oleh guru apabila melihat murid-muridnya mencapai kefahaman terhadap apa
yang diajar dan memperolehi kejayaan. Guru berkualiti meneraju pembangunan negara
ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.