Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Abstrak
Kaunseling adalah salah satu program pemulihan yang disediakan kepada banduan yang
disabitkan atas kesalahan dadah di penjara. Antara cabaran yang besar kepada perunding
cara dalam menjalankan perkhidmatan kaunseling adalah komunikasi dalam sesi dan
aktiviti bimbingan dengan banduan bangsa asing atas kesalahan dadah. Banduan warga
asing tidak dikecualikan untuk terlibat dalam rawatan pemulihan. Namun, bahasa adalah
halangan utama antara perunding cara dengan klien yang mana sekaligus memberi kesan
terhadap keberkesanan sesi kaunseling dan hubungan menolong. Kajian ini bertujuan
untuk meneroka cabaran komunikasi dan strategi daya tindak dalam kaunseling banduan
warga asing. Kajian ini juga turut menjelaskan tentang layanan yang diberikan kepada
banduan warga asing, pandangan perunding cara terhadap sikap mereka di penjara, dan
aktiviti yang dilakukan oleh banduan warga asing sepanjang tempoh hukuman.
Pengumpulan data dilakukan dengan menemu bual pegawai penjara dan perunding cara
yang menguruskan banduan bangsa asing di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu (IPDJ)
iaitu dikenali sebagai penjara yang menempatkan pesalah-pesalah dadah. Hasil kajian
mendapati pelbagai cara telah dilakukan untuk mengatasi cabaran menjalankan sesi
kaunseling dengan banduan warga asing di IPDJ antaranya ialah melantik perantara
sebagai penterjemah, menggunakan isyarat tangan atau bahasa badan untuk menjelaskan
sesuatu perkara kepada mereka dan melatih banduan menggunakan bahasa melayu pada
keadaan tertentu. Kajian ini mencadangkan untuk pengkaji akan datang mengkaji
persepsi banduan bangsa asing ini terhadap program-program pemulihan yang
disediakan oleh pihak penjara dan sejauh mana keinginan mereka untuk terlibat dengan
aktiviti-aktiviti tersebut.
PENGENALAN
Isu dadah persis barah dalam masyarakat kita dan ianya semakin parah. Bermula awal
tahun 1970an sehingga kini belum dapat diatasi bahkan bertambah parah dan kronik
(Mohamad Johdi 2012). Masalah dadah adalah masalah serius dan mengancam secara
berantai yang bermula dari penyeludupan dan pengedaran, membawa kepada
penyalahgunaan dan penagihan dadah (Rohany et al. 2008). Masalah dadah bukan sahaja
dihadapi oleh Malaysia tetapi sudah menjadi masalah global (Rohany et al. 2008). Lebih
membimbangkan, Malaysia dikatakan menjadi salah satu pusat transit pengedaran dadah
(Rohany et al. 2008). Hal ini membuktikan penglibatan warga asing dengan isu dadah di
negara kita bukanlah perkara yang mengejutkan. Kehadiran warga asing juga dikesan
216
terlibat dengan pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah. Statistik penglibatan
warga asing dalam aktiviti pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah pada tahun
2014 hingga Oktober adalah seramai 4,930 orang (Laporan Dewan Rakyat 2014).
KAEDAH KAJIAN
Kaedah dalam kajian ini melibatkan aspek-aspek seperti persampelan, jenis-jenis data,
kaedah pengumpulan data dan kaedah menganalisis data. Unit analisis utama dalam
kajian ini terdiri daripada banduan yang menghuni penjara jelebu dan pihak pengurusan
penjara yang terdiri daripada pegawai penjara yang mengendalikan program pemulihan
kepada banduan dan memberikan khidmat kaunseling kepada banduan. Pengkaji juga
telah mendapatkan maklumat melalui beberapa orang informan. Informan ini terdiri
daripada pegawai di penjara ini yang mempunyai kemahiran kaunseling, pegawai yang
menyelaras program rawatan dan pemulihan, dan beberapa pegawai penguasa penjara
yang terbabit secara langsung dalam program-program pemulihan di Penjara Jelebu.
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan data kualitatif. Kaedah pengumpulan data yang
digunakan dalam ialah temu bual. Penyelidikan dokumentari turut digunakan iaitu
merupakan teknik untuk mendapatkan data dan bukti melalui kajian ke atas dokumen
dan rekod. Penyelidik melakukan aktiviti penganalisisan data, membuat kenyataan
berdasarkan data yang diproses, mengaitkan atau membandingkan dapatan kajian dengan
hasil lain. Langkah ini diakhiri dengan penyataan kesimpulan atau implikasi.
DAPATAN KAJIAN
Menguruskan tahanan warga asing memberikan pelbagai cabaran kepada perunding cara.
Cabaran yang ingin dibincangkan dalam kajian ini adalah dari segi pengurusan banduan
asing, sikap banduan warga asing dan sesi bimbingan dan kaunseling.
Pengurusan Banduan
Dari segi makanan pula, dapatan menunjukkan bahawa banduan asing dan
banduan tempatan menerima makanan yang sama di penjara.
218
“Tentang makanan, tidak ada beza antara banduan warga asing dengan
banduan tempatan, diet makan pun sama, apa yang dah ditetapkan untuk
catuan harian, diorang kena terima sama-sama, tak ada yang spesial
melainkan ada surat kebenaran dari pegawai perubatan.”
(informan 2)
“Kalau ada alahan atau perlu ambil ubat ikut masa, jadi diorang akan
disediakan makanan yang sesuai dengan mereka. Tapi masalah pada
kami bila ada banduan tak maklum bahawa mereka ada alahan jadi bila
salah makan, kami yang kena bertanggungjawab.”
(informan 2)
“Makanan tidak cukup bila hidangan ayam tetapi jika ikan yang
dihidangkan tidak akan alami masalah ini. Ini mungkin sebab mereka
lebih menggemari ayam berbanding ikan.”
(informan 3)
Dalam kajian Wan Roslili & Najibah (2015), penyediaan makanan kepada
tahanan atau banduan mengikut peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh pihak
berkuasa. Antaranya termasuklah semua keperluan disediakan dengan cara yang
sepatutnya. Menurut laporan yang ditulis di dalam rencana oleh Ramli (2012), Penyelia
Hospital Penjara Sungai Buloh memberitahu pihaknya memang mengikut jadual
pemakanan yang ditetapkan di bawah peraturan penjara. Jika pakar perubatan
mengesyorkan diet atau menu di luar jadual pemakanan penjara, mereka akan patuh.
Dari segi rawatan, banduan asing bebas untuk mendapatkan rawatan yang
disediakan di penjara. Namun yang memberikan cabaran adalah apabila terdapat
banduan asing yang cuba menipu untuk mendapatkan rawatan semata-mata untuk
mengelakkan diri dari mengikuti aktiviti penjara. Terdapat juga banduan yang tidak
memaklumkan kepada pegawai bahawa mereka mempunyai alahan dan apabila mereka
tersalah makan, pegawai yang bertugas akan dipertanggungjawabkan.
219
Langkah yang dilakukan oleh penjara untuk atasi masalah ini adalah dengan
mewujudkan klinik di dalam penjara. Dengan cara ini, rawatan akan diberikan dengan
segera dan tidak perlu dirujuk ke hospital kecuali melibatkan kes-kes yang serius.
Cabaran yang dihadapi dari aspek kesihatan adalah penyakit. Pihak penjara
menghadapi risiko apabila menerima banduan asing yang membawa wabak-wabak
penyakit. Malah pernah berlaku jangkitan kulit di dalam penjara. Ini menyebabkan
mereka perlu penjagaan yang rapi dan perlu diasingkan dari banduan-banduan lain.
“..kita tak ada rekod kesihatan mereka jadi kita tidak tahu penyakit
mereka, kalau macam pendatang tanpa izin, tahap kesihatan diorang tu
faham-faham saja, risiko untuk banduan lain berjangkit memang tinggi.
Pernah jadi kes penyakit kulit di penjara. Banduan ramai, senang untuk
berjangkit dengan banduan lain.”
(informan 2)
“Kalau ada yang penyakit berjangkit diorang akan diasingkan dan kami
akan memantau dengan kerap dan rapi.”
(informan 3)
“…banduan asing nak pergi rawatan diri pun tidak ada masalah. Apa
yang banduan tempatan dapat, dapat juga untuk banduan asing ni.
Malah kami juga baru sahaja menerima pegawai perubatan baru yang
bertugas di penjara.”
(informan 2)
Dalam Wan Roslili & Najibah (2015), perkhidmatan kesihatan dalam institusi
pemulihan bertujuan menyediakan perkhidmatan perubatan yang diperlukan dan khidmat
bantuan asas kepada penghuni, selain mengendalikan kes kecemasan yang memerlukan
rawatan perubatan segera. Menurut L. Dominion (2002), telah lama diakui bahawa
tahanan berhak menerima tahap perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kualiti yang
sama dengan masyarakat awam.
220
Hasil dapatan dari segi amalan agama, terutamanya dari aspek ibadat, cabaran
yang dihadapi adalah apabila tiba waktu untuk program keagamaan bagi warga bukan
islam. Kemasukan individu yang menjalankan program ini turut mengundang berlakunya
penyebaran artikel larangan iaitu barang-barang yang tidak boleh dibawa masuk ke
dalam penjara seperti senjata, alatan telekomunikasi, rokok, alkohol dan sebagainya.
“seminggu sekali tok sami akan datang buat program kepada pengganut
Buddha di penjara. Tapi terdapat kes penggunaan alatan berbahaya yang
dibawa untuk pemujaan mereka seperti pemetik api. Ini boleh bagi risiko
kepada keselamatan banduan.”
(informan 1)
Dalam laporan akhbar oleh Juani (2013) memetik kata-kata Mohd Noor iaitu
timbalan penguasa penjara kajang, para banduan selain beragama islam tidak
dipinggirkan daripada aspek agama dengan mereka tidak terlepas diberikan penekanan
berdasarkan kepercayaan masing-masing kerana penjara mendapat dokongan badan-
badan agama seperti hindu sanggam dan lain-lain dalam melaksanakan misi berkenaan.
Dalam Zulkifli (2013), Pengajar agama dan guru-guru dari pelbagai agama memberi
bimbingan di semua institusi. Lawatan oleh kumpulan-kumpulan agama dan agensi
sukarelawan akan membantu banduan tentang kepercayaan agama dan pemahaman yang
lebih baik daripada dunia luar dan mungkin masa depan mereka.
Strategi yang boleh dilakukan untuk menghalang penyebaran artikel larangan ini
adalah dengan memeriksa individu yang terlibat dalam program keagamaan tersebebut
dan banduan yang terlibat sebelum dan selepas program.
Dalam Kajian Wan Rosili & Najibah (2015), salah satu perkara penting berkaitan
dengan pengukuhan akal melalui aktiviti keilmuan ialah peluang yang diberikan kepada
221
banduan untuk menikmati bahan bacaan di perpustakaan penjara. Namun faktor bahasa
menjadikan sumber bahan bacaan adalah terhad.
Pihak penjara tidak menghalang banduan asing untuk menghubungi ahli keluarga
ataupun waris terdekat. Namun cabaran mereka adalah terdapat kekangan untuk
menghubungi keluarga yang jauh kerana melibatkan kos yang tinggi.
Strategi yang dilakukan untuk bantu banduan warga asing ini supaya dapat
menghubungi keluarga adalah dengan menggunakan kaedah video call.
Coyle A. (2002) menyatakan lawatan peribadi adalah cara yang penting dalam
keluarga sebagai sokongan kepada banduaan asing. Menurut Singh 2010, banduan warga
asing jarang menerima lawatan saudara-mara dan rakan-rakan mereka atas beberapa
faktor kerana majoriti penghuni datang daripada kumpulan berpendapatan rendah dan
dari kewangan yang lemah. Anggota keluarga dapat memainkan peranan penting untuk
memberikan nasihat kepada banduan untuk memperbaiki diri dan tidak mengulangi
kesalahan yang telah dilakukan (Allen R. 2015).
Banduan warga asing yang yang datang dari pelbagai negara mempunyai amalan budaya
yang berbeza. Perbezaan amalan budaya ini menghasilkan sikap yang berbeza dari
banduan tempatan. Antara sikap mereka yang memberi cabaran kepada pegawai penjara
adalah kasar, malas, suka bergaduh dan tidak sefahaman.
“Tidaklah semua banduan warga asing ini baik, ada juga yang buat
perangai, tapi kebanyakan senang ikut arahan. Faktor masa pun kadang
222
kala mempengaruhi juga. Kalau baru masuk diorang baik lagi, bila dah
lama di dalam penjara, dah jadi senior, kadang kala suka buat kepala
sendiri jugak…kasar, malas, suka bergaduh dan tidak sefahaman.”
(informan 1)
Cara untuk atasi masalah ini adalah dengan merujuk mereka kepada perunding
cara untuk menjalani sesi kaunseling. Segala isu berkaitan dengan sikap dan salah laku,
kaunseling adalah pendekatan yang sering digunakan untuk membantu banduan.
Di penjara, kaunseling adalah salah satu rawatan yang digunakan untuk membantu
pesalah. Kaunseling individu dijalankan apabila terdapat kes yang dirujuk manakala
kaunseling kelompok dijalankan pada waktu yang ditetapkan oleh pengurusan penjara
ini sebanyak dua kali seminggu. terdapat juga banduan yang datang berjumpa sendiri
dengan pegawai runding cara untuk memaklumkan bahawa mereka memerlukan sesi
kauseling. Selalunya klien yang memerlukan sesi kaunseling individu adalah klien tahun
akhir yang akan tamat hukuman ataupun banduan yang akan bebas kerana isu yang
sering dikongsikan adalah tentang bagaimana mereka ingin membawa diri setelah keluar
dari penjara setelah dibebaskan kelak.
“..ada juga banduan asing yang join sesi kaunseling kelompok tapi
sampai separuh jalan diorang tarik diri sebab diorang tak boleh ikut dan
juga susah nak berkomunikasi..”
(informan 2)
“saya pula akan bagi teguran dan nasihat pada banduan yang mengadu
nak kerja bengkel ataupun yang minta nasihat kalau ada pressure kat
penjara.”
(informan 1)
Cabaran akan menjadi lebih hebat apabila sesebuah penjara itu didominasi warga
asing hingga mewujudkan kekangan bahasa. Disebabkan tidak boleh bertutur dalam
bahasa Melayu mahu pun Inggeris, banduan-banduan yang terdiri daripada warga Iran,
Afrika, dan lain-lain itu menyukarkan komunikasi dan memaksa bahasa isyarat untuk
digunakan.
Keperluan bahasa kumpulan minoriti dan orang asal yang diabaikan boleh
menyebabkan pengasingan diri mereka. Sebagai contoh, mungkin terdapat peraturan-
peraturan penjara yang mereka tidak faham, ataupun semasa mengikuti aktiviti
penjara/program pemulihan, mereka tidak boleh dibantu dengan bahan-bahan bacaan
dalam bahasa yang mereka boleh faham (Atabay T. 2009). Berada dalam penahanan di
negeri asing dengan bahasa yang berbeza, pasti akan mempunyai banyak kesukaran
dalam menyesuaikan diri. Tekanan, kebimbangan, dan kekecewaan akan diburukkan lagi
oleh komunikasi yaang minimum. Oleh kerana halangan bahasa, mereka tidak dapat
meluahkan perasaan mereka, cara mereka pemikiran, dan perbezaan dalam adat.
Kekurangan komunikasi juga boleh menyebabkan konflik dengan banduan tempatan
(Somboon 2001).
(informan 2)
(informan 3)
Strategi lain yang digunakan adalah dengan menggunakan bahasa isyarat untuk
menyampaikan sesuatu perkara ataupun memberikan arahan kepada mereka.
Komunikasi yang berlaku antara pegawai dan banduan bukan sahaja di dalam sesi,
namun apabila perlu menyampaikan arahan, memberi bimbingan jika banduan datang
untuk meminta nasihat daripada pegawai. Cara yang paling mudah dan berkesan untuk
memastikan berlakunya komunikasi adalah dengan menggunakan bahasa isyarat ataupun
bahasa badan yang mudah.
“kalau nak bagi arahan yang mudah, kami guna bahasa isyarat sebab
senang nak bagi banduan faham. Tapi tengok keadaan juga, kalau
diorang masih tak faham kami akan panggil penterjemah.”
(informan 1)
“Ada dikalangan banduan asing ini yang mudah serap dan faham
bahasa kita, tapi ada juga yang duduk lama pun still tak boleh faham
bahasa kita, itu memang cabaran jugak.”
(informan 3)
“Kita akan minta mereka melapor dalam bahasa melayu supaya diorang
lebih hormat bahasa kita dan boleh bantu diorang faham bahasa kita.”
(informan 3)
225
Rumusan dan Kesimpulan
Bilangan warga asing yang menjalani hukuman di penjara Malaysia atas pelbagai
kesalahan jenayah termasuklah masalah dadah semakin meningkat setiap tahun. secara
keseluruhan, jumlah penghuni untuk 33 penjara di seluruh Malaysia adalah lapan peratus
di bawah kapasiti atau kemampuan sebenar muatan seluruh penjara. Banduan yang
menghuni adalah dari warga tempatan dan warga asing yang berasal dari lebih 20 negara
atas pelbagai kesalahan. Walaupun status mereka sebagai warga asing, namun ini tidak
menghalang mereka untuk menjalani rawatan pemulihan di penjara tempatan. Namun
proses pemulihan di negara kita mengikut acuan budaya, agama dan program pemulihan
negara kita. Hal ini menyebabkan banduan asing tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya
dalam aktiviti pemulihan di penjara tempatan. Proses pemulihan mereka melibatkan
pelbagai aktiviti termasuklah sesi kaunseling. Kaunseling merupakan kaedah yang
digunakan oleh perunding cara untuk membantu banduan berkongsi pengalaman dan
dalam masa yang sama membantu mereka untuk memperbaiki diri dah berubah menjadi
lebih baik.
Untuk memastikan bahawa kajian ini mampu memberi nilai tambah di Malaysia
dari sisi isu banduan asing, pengkaji berharap bahawa akan ada kajian selanjutnya untuk
melihat persepsi banduan warga asing tentang program pemulihan yang dijalankan di
penjara Malaysia dan sejauh mana mereka melihat ianya dapat membantu banduan untuk
memajukan diri dan membantu banduan untuk pulih. Pengkaji berharap agar kajian lebih
terperinci dilakukan untuk melihat persepsi banduan asing tentang program pemulihan
yang dilakukan dan bagaimana cara yang boleh dilakukan untuk melibatkan banduan
226
asing dalam semua aktiviti pemulihan bersama-sama dengan banduan tempatan. Ini
berdasarkan respon daripada banduan asing yang berminat untuk terlibat bersama-sama
dengan banduan tempatan dalam program pemulihan tidak berjaya mengikuti atas
beberapa kekangan. Semoga dengan kajian yang dilakukan dapat menambah baik usaha
pihak penjara dalam memberikan rawatan dan pemulihan kepada banduan asing agar
mereka mendapat sesuatu yang bermanfaat daripada program yang dirancang dan tidak
mensia-siakan masa mereka sepanjang menjadi tahanan di negara kita, Malaysia.
227
Rujukan
Allen R. 2015. Forgotten Prisoners: The plight of foreign national prisoners in England
and Wales. London: Prison Reform Trust.
Atabay T. 2009. Handbook On Prisoners With Special Needs. New York: Uniteds
Nations Publications.
Coyle A. 2003. Humanity In Prison Questions Of Definition And Audit. United Kingdom:
International Centre for Prison Studies.
Darussalam Budin. 2013. Pendidikan Juvana Di Jabatan Penjara Malaysia: Dasar, Hala
Tuju, Perlaksanaan Dan Cabaran. Jurnal hadhari, 6 (1): 87-104.
Jamaludin Saad. 2015. Cabaran Dalam Usaha Membangunkan dan Melaksanakan Modul
Pemulihan di Dalam Penjara Untuk Pesalah Jenayah Syariah. Jurnal Kanun, 27(1): 169-
178.
Juani Abu Bakar. 2013. Bimbing Kembali ke Jalan Benar. Utusan Melayu (M) Bhd. 5
September.
Khairul Hamimah Mohammad Jodi, Mohd Fauzi Hamat & Hadenan Towpek. 2012.
Nilai-Nilai Islam Dalam Program Pemulihan Banduanita Di Penjara. Jurnal Usuluddin,
35: 99-116.
228
Program Pembangunan Insan Modul Pendidikan Dan Bimbingan. 2013. Jabatan Penjara
Malaysia.
Ramli Abdul Karim. 2001. Kawalan keselamatan juga berbeza-Banduan Diasing Ikut
Kategori.Utusan Malaysia. 22 April.
Rohani Nasir, Fatimah Yusooff, Zainah Ahmad Zamani & Mohd Norahim Mohamed
Sani. 2008. Pencegahan Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Generasi Muda. Institut
Penyelidikan Pembangunan Belia dan Sukan Malaysia. 7-66.
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem &Ajis Saadon Awang. 2014. Permasalahan Pendatang
Asing Tanpa Izin Di Malaysia Dari Aspek Sosial Dan Perundangan. Jurnal Kanun,
26(2): 173-191.
Singh, Kunwar Jaya Pratap. 2010. Human Rights Of Prisoners: A case study Of Central
Jail Amritsar. Thesis Ph. D University Guru Nanak Dev.
Wan Roslili Abd. Majid dan Najibah Mohd Zain. 2015. Isu Dalam Penahanan dan
Pemulihan Banduan di Malaysia. Jurnal Kanun, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 27(1):
143-168.
Zulkifli Bin Omar. 2013. The Prisons Department Ministry Of Home Affairs Malaysia:
Challenges and Initiatives In Corrections. 33rd Asian And Pacific Conference Of
Correctional Administrators New Delhi.
Portal Rasmi Jabatan Penjara Malaysia. 2007. Aktiviti Pemulihan Di Jabatan Penjara
Malaysia. www.prison.gov.my/Berita/htdocs/berita/ViewBeritaPrint.jsp?id=25 25Ogos
2015.
229