Anda di halaman 1dari 22

1

INSTITUSI PONDOK SEBAGAI PENJANA INTELEKTUAL UMMAH DI KELANTAN

Prof. Madya Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim, Dr Nur Azuki Yusuff (UMK), Rohani Desa (KUIN) ,
Norazlina Bt Zakaria (KUIN), Nor hayati Md. Dahlal,

FAKTA UTAMA
1. Pondok; institusi pendidikan tertua di Tanah Melayu yang berkembang mengikut keperluan
masyarakat/pelajar berpusatkan ketokohan ‘Tok Guru’. Ia berfungsi sebagai medium dan incubator
pengajian ilmu Islam bersifat duniawi/ukhrawi dan ‘kilang pemprosesan’ intelektual ummah.
2. Kertas kerja ini berusaha meyakinkan/menegaskan institusi ini sebagai penjana intelektual ummah di
Kelantan khususnya.
Analisa konsep intelektual Islam - Peranan institusi pondok menjana daya intelektualisme Islam
Kelantan - Bagaimana institusi pondok di Kelantan menerapkan elemen intelektualisme.

PERMASALAHAN

1.Dikotomi Masyarakat Islam Tradisionalis dan Modernis. (Azyumardi Azra,1999,60-62)


Tradisionalis: serba keburukan, tidak mahu berubah, keras kepala, berpendirian nastolgia, anti pemodenan, out of
date. Sesuai untuk pelajar tercicir daripada arus pendidikan perdana dan terbaru sekali, ianya menjadi pusat
yang melahirkan golongan teroris (Rahimin Affandi Abd. Rahim,2002) puncanya media massa barat
Modernis: positif yang kononnya bakal memajukan masyarakat Islam berasaskan kerangka penilaian barat yang
dicanangkan sebagai bermutu tinggi dan penuh dengan elemen kemanusiaan sejagat. Namun, institusi ini
terdapat pelbagai kelemahan besar. Rendahnya mutu elemen kognitif, afektif dan psikomotor graduan IPT
moden ini.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1998,230) Hilangnya semangat patriotisme dan kesungguhan
belajar,(Nordin Kardi,2002,29-34) tiadanya sifat amanah dan terjerumus di dalam kancah maksiat.(Zaini
Ujang,1993,28-29)

Pendirian: Bagi penulis, konsep intelektualism sebenarnya telah difahami dan dimainkan sepenuhnya oleh para
mubaligh Islam awal yang kemudiannya diteruskan oleh ulama Melayu tempatan. Oleh sebab itu, sebagai kerangka
asas perbincangan, kertas kerja ini tidak akan menggunakan neraca penilaian yang berasaskan kepada kerangka
dikotomi tradisionalis-modenis. Sebaliknya, sebagai jalan tengah, kerangka perbincangan akan menggunakan suatu
bentuk neraca penilaian yang lebih adil dan berteraskan pendekatan Realism (Dr. H.M. Atho Mudzhar,1998,47-58)

2. Intelektual menurut pandangan barat. Golongan manusia yang;


1) moden yang mampu mempergunakan kapasiti akal untuk meneliti perkembangan idea yang berbentuk bukan
kebendaan di dalam masyarakatnya secara kritikal.(Azyumardi Azra,1998,32-34)
2) prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan berusaha keras untuk menyelesaikan permasalahan
masyarakat.
3) lulusan daripada institusi pendidikan tinggi yang mengkhususkan program latihan dalam bidang S&T. (Ahmad
Shukri Mohd. Naim,2003,226-227)
4) berpegang kepada kerangka ideologi sekularisme sebagai piawaian dan sistem nilai di dalam menjalankan
aktiviti. (Ahmad Shukri Mohd. Naim,2003,240-245) Mengikut pandangan faham sekularisme, neraca utama
bagi sesuatu etika dan perbuatan yang baik itu bergantung kepada;(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2003)
a) Prinsip vitalisme – apa sahaja yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebendaan.
b) Prinsip kreativiti – apa sahaja yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru.
c) Prinsip hedonisme – apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia.
d) Prinsip majoriti masyarakat – apa-apa sahaja yang disukai oleh tren dan kecenderungan masyarakat.
Sekularisme dan anti agama beranggapan agama sebagai punca kelemahan dan penderitaan manusia,(Rahminah
Muharam,2000,202-212).
Golongan intelektual perlu ditonjolkan sebagai ikon utama yang patut ditiru oleh semua lapisan masyarakat.
Namun, dukacitanya mengikut pengamatan semasa, kita dapati media massa sering menonjolkan empat golongan
sebagai idola dan simbol orang yang Berjaya di dalam hidup. Keempat golongan ini terdiri dari artis, ahli politik,
ahli sukan dan tokoh korporat.(Wan Mohd Nor Wan Daud,2001,125-129). Jika dikaji secara mendalam, semua
2

keempat ikon ini sebenarnya lebih banyak membawa elemen kerosakan di dalam masyarakat;(Muhammad Kamal
Hasan,1996,233)
Kini, wujud kecenderungan yang begitu meluas di kalangan sarjana untuk menjelaskan tentang konsep dan
peranan intelektual yang terikut-ikut dengan pendekatan sosiologi kapitalis dan Marxism yang cuba membezakan
antara kelas ulama dengan golongan bukan berpendidikan agama. Pada akhirnya golongan bukan ulama akan
ditonjolkan sebagai golongan terpelajar, prihatin dengan keadaan masyarakat, sanggup berkorban untuk memajukan
masyarakat dan segala bentuk nisbah kebaikan.(Syukri Ahmad,2000,19-28) Sebaliknya, golongan ulama
dikategorikan sebagai golongan yang jumud, degil, pengganas, mementingkan diri sendiri dan banyak lagi nisbah
negatif yang amat dashyat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)

KERANGKA TEORI

1.Ciri-ciri Intelektual Muslim dan Melayu

Kelas intelektual Melayu moden menurut pandanganMuhammad Zainiy Uthman (2001,146-148) perlu beroperasi di
dalam masyarakat agar lebih bersesuaian dengan nilai-nilai Islam dan bertentangan dengan konsep intelektual barat
yang berteraskan faham sekularisme seperti mana diperincikan oleh Azra Ayumardi tentang sifat-sifat yang perlu
dimiliki oleh seseorang intelektual Muslim(Azyumardi Azra,1998,43-47). Sarjana Melayu moden perlu bercirikan;
1) prihatin dengan realiti semasa membabitkan kemunduran anggota masyarakat yang dianggap sebagai
tanggungjawab bersama bagi semua lapisan masyarakat.(Russli Kamarudin,2002,140-144)
2) Penganalisaan akal yang kritis dan membina di dalam usaha meneliti sesuatu masalah.
3) Pergantungan kepada hidayah, inayah dan pertunjuk agama di dalam kehidupan.
4) Menyertai sesuatu jamaah Islam terpilih bagi tujuan tarbiyyah diri dan anggota jamaah yang disertakan pula
dengan kesanggupan berkorban demi meningkatkan kalimah Allah dan tidak mudah terpedaya dengan dugaan
kebendaan.
5) keteguhan pendirian (istiqamah) dalam perjuangan dan tidak mudah lalai dan leka dengan perkembangan positif
yang telah dicapai daripada gerakan kebangkitan Islam era 1970-1990an. Apa yang jelasnya, mengikut
Muhammad Abu Bakar kerana terlalu leka dengan perkembangan positif ini menyebabkan sesetengah kalangan
ummah Melayu-Islam terlepas pandang terhadap perkembangan faham sekularisme yang turut sama merebak
secara meluas di dalam masyarakat.(Muhammad Abu Bakar,2000,207-219)
6) Melakukan penganalisaan kritikal terhadap konsep intelektual semasa(Syed Hussein al-Atas,1992,10-44) yang
cuba menisbahkan lulusan agama dengan pelbagai nisbah negatif yang tidak sesuai dikaitkan dengan sifat
seseorang intelektual yang amat diperlukan untuk zaman moden. Sebaliknya, berbanding dengan lulusan
agama, lulusan bukan agama walaupun tidak dibekali dengan paradigma dan semangat pemikiran Islam yang
jelas, telah ditonjolkan sebagai penyelamat umat Melayu Islam moden.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
7) Menjalinkan hubungan dan prihatin dengan nasib umat Islam lain di seluruh dunia,(Rahimin Affandi Abd.
Rahim,2002) termasuk juga perlu prihatin dengan perkembangan dialog peradaban yang menyaksikan
kelemahan tamadun barat sebagai akibat daripada fahaman sekularisme yang menjemput pelbagai masalah yang
kronik kepada masyarakat(Wan Mohd. Nor Wan Daud,2001,25-40.) dan alam sekitar.(Muhammad Kamal
Hasan,2001,113-116)
8) Mengamalkan budaya ilmu yang positif membabitkan kesemua jenis ilmu pengetahuan yang berguna kepada
diri dan masyarakat.( Muhammad Kamal Hasan,1996,56-57&93-97)
9) Berusaha memperlengkapkan diri dengan segala bentuk ilmu dunia dan akhirat ataupun menjalankan
sepenuhnya budaya ilmu di dalam kehidupan.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1990,51-67)
10) Meletakkan neraca pertimbangan kebenaran hanya untuk mempertinggikan prinsip idealism Islam dan
bukannya untuk kepentingan puak dan kecendurongan parti politik tertentu.(Zulkifli Abd. Ghani,2002,257-258)
11) Terbuka dengan pendapat dan ilmu asing secara bertapis.
12) Membabitkan diri dengan merangka program untuk menghadapi permasalahan yang bakal timbul di dalam
masyarakat.( Azyumardi Azra,1998,43-47)
13) Mementingkan pendekatan yang mencari punca dan mencadangkan jalan penyelesaian masalah secara
mikro.(Badlihisham Mohd. Nasir,1998,190-300)
14) Menghargai struktur, mekanisme dan sistem penyelesaian masalah yang sebelumnya telah dijalankan di dalam
masyarakat (paradigma evolusi).(Shukri Ahmad,2001,120-121)
15) Berusaha melakukan kajian dan mencuba model penyelesaian masalah yang difikirkan perlu.(Ghazali
Basri,1990,51-54)
3

16) Berusaha memantau keberkesanan cara penyelesaian masalah yang dikemukakan(Abd Halim el-
Muhammady,1993,18-19)
17) Berusaha menjalin dan menghidupkan jalinan ummah Islam sedunia bagi mempelajari kaedah penyelesaian
masalah yang lebih sesuai untuk konteks zaman moden.( Azyumardi Azra,1998,43-45)

2. Intelektual Melayu Muslim; Satu Realiti

Pernyataan:
Berpandukan kesemua elemen intelektualism yang diterangkan di atas, jika dikaitkan dengan sejarah tamadun Islam
yang awal, ternyata ketiga-tiga golongan ini, iaitu ulama, reformis dan intelektual merupakan suatu golongan yang
sama sahaja, walaupun cuba dibezakan susunan tipologinya oleh sarjana yang terkemudian. Persamaan ini boleh
dilihat dari segi peranan dan sumbangan mereka ke arah menyedarkan dan mengembalikan kefahaman masyarakat
kepada nilai-nilai yang sejati, berhadapan dengan segala bentuk kemungkaran yang berkembang pesat di dalam
masyarakat, yang sering dikenali dengan konsep jahiliah klasik dan moden.
Penulis berpendapat, hanya golongan mubaligh awal dan anak murid mereka dari kalangan ulama Melayu
tempatan yang paling sesuai dinisbahkan sebagai intelektual sejati. Hal ini didasarkan kepada fakta bahawa kerana
usaha mereka masyarakat Melayu menganut ajaran Islam sehingga pada masa sekarang.
Penafian:
Apa yang menyedihkan, terdapat kalangan sarjana Islam sendiri yang telah terkena tempias pandangan negatif
yang disogokkan oleh dunia barat, dan dalam konteks sejarah Tanah Melayu sendiri pengaruh ini turut dikesan
dengan begitu meluas sekali. Golongan Kaum Muda yang memperjuangkan aliran reformism di Tanah Melayu telah
seolah-olah menafikan sama sekali sumbangan besar yang telah dimainkan oleh golongan ulama tradisionalis di
dalam membangunkan kefahaman Islam di Tanah Melayu.(Mohd. Taib Osman,1989,48-50;Abd. Jalil
Borhan,1996,278-280) Dalam kupasan yang diberikan oleh Kaum Muda tentang golongan tradisionalis yang
dikenali dengan Kaum Tua, mereka telah menggunakan beberapa pendekatan ala tajdid;
1) Pendekatan yang secara terang-terangan menghina ulama tradisional ini dengan menisbahkan kepada mereka
dengan pelbagai nama yang hina.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1995,30-31.)
2) Pendekatan yang mengutuk sistem pengajian tradisional Melayu, sistem Pondok yang menggunakan sistem
pengajian ala Taqlid.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1995,30-31.)
3) Pendekatan yang mengutuk ulama tradisional yang terlibat di dalam institusi pentadbiran undang-undang Islam,
termasuklah institusi fatwa yang kononnya telah bersekongkol dengan raja-raja Melayu dan pihak British
sendiri tanpa mempedulikan nasib ummah Melayu yang serba kekurangan dalam aspek pemodenan.( Adnan Hj.
Nawang,1998,74-76)
Penegasan:
Sikap keterlaluan kaum Muda ini yang kononnya cuba bertindak selaku penyelamat ummah Melayu, jika
dilihat secara mendalam ternyata mempunyai kelemahan yang tersendiri, iaitu pandangan mereka yang begitu taasub
dengan kemajuan material yang dicapai oleh kuasa British, sehinggakan menafikan sumbangan bernilai yang pernah
dimainkan oleh ulama tradisional Melayu.(Ibrahim Abu Bakar,1994,171-172)
Mungkin ada setengah pihak yang memperkecilkan sumbangan mubaligh yang awal, yang kononnya boleh
diusahakan oleh sesiapa. Akan tetapi, jika dilihat kepada sumbangan mubaligh yang awal yang berjaya menerapkan
pandangan world-view Islam, ternyata hal ini mustahil dapat dilakukan oleh ulama terkemudian. Mereka telah
memberi nafas sebenar kepada pembinaan world-view(Abdul Halim El-Muhammady,1992,1-14) (pandangan alam
semesta) Melayu.(Abdul Rahman Abdullah,1999) Hasil penelitian yang dibuat oleh Prof. Hashim Musa terhadap
tipologi sejarah tamadun alam Melayu, mendapati pembinaan tamadun Melayu ini telah diasaskan dengan enam
pandangan world-view yang bersumberkan wahyu Allah. Keenam-enam pandangan ini telah menjadi pegangan
utama masyarakat Melayu (konsep jati diri Melayu) sehingga kini (Hashim Musa,1999,48-49) yang terdiri antara
lainnya;
1) Alam ini hasil ciptaan dan tabdiran Allah yang mencakupi alam primordial (arwah), alam dunia dan alam
akhirat. Alam akhirat adalah destinasi dan natijah muktamad dari kehidupan di alam dunia. Kejayaan hakiki di
alam akhirat adalah dapat memasuki syurga dan kejayaan di alam dunia adalah ketaatan kepada Allah.
2) Islam adalah panduan dari Allah sebagai al-Din yang mengandungi segala peraturan bagi segala gelagat hidup
di dunia untuk individu dan masyarakat demi untuk kejayaan hakiki mereka.
3) Keyakinan kepada pembalasan yang baik bagi amalan yang baik dan sebaliknya pembalasan yang buruk untuk
amalan yang buruk.
4) Wawasan, misi, objektif, niat, strategi dan operasi segala bidang kerja hendaklah salih, benar dan mematuhi
segala aspek hukum Islam tanpa kompromi, manipulasi dan tolak ansur.
4

5) Nilai tertinggi dikaitkan dengan segala perkara yang membantu pembentukan insan yang beriman, beramal salih
dan berakhlak mulia yang manafaatnya dapat dinikmati sama oleh orang lain.
6) Kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani, akali dan rohani berasaskan kepada ilmu pengetahuan
dalam bentuk fardhu Ain dan fardhu kifayah.
Pemilihan Islam sebagai asas jati diri ini ternyata menguntungkan masyarakat Melayu kerana seperti mana
berlaku kepada masyarakat Arab, Islam juga telah mengangkat martabat tamadun Melayu ke persada
antarabangsa.(Hashim Musa,2001,50)Proses ini telah menimbulkan semangat perpaduan (internationalism) di
kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka Tauhid, Ummah dan ukhuwwah bukan terhad
kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam
seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.(Rahimin Affandi Abdul Rahim,2000,18-19)
Dengan konsep jati diri ini umat Melayu berasa berbangga menganut Islam yang menjadikan mereka
sebahagian daripada serangkaian ummah Islam, seperti mana halnya golongan Arab yang dipandang mulia oleh
masyarakat Melayu.(William Roff,1980,41) Faktor inilah juga yang menyebabkan di dalam sejarah alam Melayu
kerap berlaku penentangan umat Melayu terhadap kuasa penjajah barat yang dianggap sebagai kuasa kafir(Abdul
Rahman Abdullah,1994) dan hal ini telah diakui sendiri oleh mubaligh Kristian yang mengatakan bahawa orang
Melayu sebagai golongan yang kuat berpegang kepada agama Islam.(Charles Tisdall,1916,348-349) Apa yang
jelasnya, sifat kemelayuan yang begitu sebati dengan Islam ini telah mengakibatkan sebarang serangan yang dibuat
terhadap Islam akan dianggap seperti serangan yang dibuat terhadap asas kebudayaan Melayu.(Isabella
Bird,1967,20)

3.0 PERANAN PONDOK DI DALAM MENJANA DAYA INTELEKTUALISM ISLAM DI KELANTAN

3.1 TERAWAL DAN KEKAL BERTAHAN

Kawasan pantai timur Tanah Melayu (Kelantan dan Terengganu) sebagai tempat terawal di tanah Melayu yang
menerima dan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. Bukti terawal menerima Islam perlu didasarkan
kepada wujudnya beberapa artifak yang khusus, merangkumi (i) kitab atau manuskrip agama, (ii) masjib tertua, (iii)
institusi pendidikan Islam seperti pondok, (iv) kubur seseorang ulama dan (v) terpenting sekali pengaruh pemikiran
Islam yang berkekalan serta dapat dikesan penggunaanya secara meluas di dalam masyarakat.(S. Hossein Nasr,
Traditional Islam In The Modern World, London : Kegan Paul International, 1990, hlm 13). Fakta sampingan lain,
sejarah Terengganu yang menjadi tempat persinggahan saudagar Islam Asia Barat dalam rutin perjalanan dagang
mereka ke negeri China antara abab ke 13 dan 14 Masihi. Hal ini turut dikaitkan dengan fakta Islamisasi wilayah
Champa di Indo China dan persamaannya dengan reality yang berlaku di Terengganu. Hal ini dibuktikan dengan
penemuan Batu Bersurat di Phang Rang, Champa bertarikh 1309 Masihi.(S.M. Naqqiub al-Attas,1992,12)
Kemudiannya, Terengganu, Pattani dan Kelantan telah kekal statusnya sebagai pusat pendidikan Islam
tradisional yang agak terkenal, sehingga kekal sampai pada masa sekarang. Walaupun kedatangan penjajah British
di Tanah Melayu telah menyuntik epistemologi sekularisme barat di dalam masyarakat Melayu lain, institusi
pendidikan Islam (pondok) di ketiga kawasan pantai timur Malaysia ini masih lagi mengekalkan tradisi keintelektual
Islam sejati. Bahkan, ianya telah dianggap sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan kesucian ajaran Islam
itu sendiri, khususnya berhadapan dengan asakan fahaman sekularisme British.(Rahimin Affandi Abd
Rahim,1999,18-31)
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sektor pendidikan merupakan medium terbaik yang boleh
membawa perubahan dan kemajuan di dalam masyarakat ataupun tamadun. Input yang dilahirkan oleh IPT dalam
bentuk graduan boleh menjadi aset terpenting di dalam membawa kemajuan dan pengembangan budaya kepada
masyarakat.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1998,230) Atas dasar ini, aset ataupun modal insan ini perlu sentiasa
diperkasakan dengan ilmu pengetahuan yang bakal memberikan kesan kepada aspek kognitif (elemen pemikiran),
afektif (elemen sikap) dan psikomotor (kemahiran). Maknanya, ketiga elemen ini perlu dibangunkan potensinya
yang kemudiannya perlu digabungkan dengan kemahiran teknikal dan sosial (insaniah) yang sangat diperlukan oleh
masyarakat.(Nurcholish Madjid,2003,215-222)

3.2 PENERAPAN KEMAHIRAN INSANIAH

Institusi pondok tradisi mampu menerapkan beberapa bentuk kemahiran insaniah. Sebagai contohnya, institusi
pondok silam telah mampu menerapkan elemen Kemahiran Berkomunikasi, Pemikiran Kritis dan Menyelesaikan
Masalah dan Etika dan Moral Professionalisme kepada lulusannya. Dalam sistem pengajian pondok, soal ilmu, amal
(akhlak) dan disiplin amat dititikberatkan mengatasi soal lain.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103) Kita dapat
5

menyaksikan bagaimana usaha mulia ini akan mengambil masa yang panjang dan ianya tidak dianggap sebagai
masalah oleh pelajar pondok. Mereka menyedari tentang kepentigan konsep Rehlah Ilmiah(Azyumardi
Azra,1998,89-90) (termasuk beberapa ciri budaya ilmu : sentiasa ingin belajar, bertindak mengikut perkiraan ilmu
dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi) Konsep ini menuntut pelajar sentiasa berusaha keras di
dalam menuntut ilmu di pelbagai tempat tempat yang berbeza, bukan setakat untuk menimba ilmu bahkan
pengalaman (seperti menyaksikan sosiologi masyarakat yang berbeza). Hasilnya, pengamalan konsep ini akan
melahirkan ulama Islam yang mantap dari segi ilmu, akhlak dan pengalaman hidup yang kemudiannya mengikut
epistemologi Islam bakal melahirkan hikmah (kebijaksanaan).
Bagi tujuan penyebaran ilmu Islam tidak dapat tidak seseorang pelajar pondok perlu menguasai pelbagai bahasa
seperti bahasa Melayu dan Arab yang memang menjadi bahasa pengantar keilmuan Islam dan lingua franca pada
masa tersebut. Hal ini terbukti dengan timbulnya konsep Serambi Mekah di kawasan Alam Melayu yang menjadi
tempat persinggahan (pusat yang menyediakan Kursus Persediaan Pelajar) bagi mana-mana pelajar Alam Melayu
yang melanjutkan pengajian mereka ke Mekah. Antara beberapa tempat yang dimaksudkan, Kelantan, Terengganu,
Pattani, Kedah dan Acheh.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2003,47-74)

3.3 PENERAPAN ELEMEN KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN

Antara penekanan utama yang dititikberatkan dalam falsafah pendidikan pondok adalah : mendapat sebanyak
mungkin ilmu untuk mencapai keredaan Allah; bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam
masyarakat dan berfungsi sebagai pemimpin masyarakat(Shafie Abu Bakar,1994,101-103); menjadikan matlamat
pencarian ilmu bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai keredaan Allah dan nikmat
pengetahuan(Shafie Abu Bakar,1994,101-103) dan terpenting sekali menjadikan pelajar sebagai seorang yang
mampu berdikari tanpa bergantong kepada orang lain. Untuk tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala
bentuk keilmuan Islam dan kemahiran hidup yang amat diperlukan. (Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
Dalam konteks latihan keusahawanan, apa yang menariknya, pelajar pondok telah mempelajarinya secara
langsung daripada pengamalan budaya hidup berdikari yang diamalkan oleh guru pondok. Guru pondok rata-ratanya
boleh dikatakan sebagai usahawan yang berjaya sehingga dapat menarik minat masyarakat Melayu pada masa itu,
seperti mana halnya mubaligh awal yang mengembangkan ajaran Islam di Alam Melayu yang terdiri daripada
saudagar besar. Guru pondok terlibat dalam pelbagai aktiviti keusahawanan seperti penternakan (lembu, kambing
dan ikan), pertanian (padi, tanaman kontang, getah, buah-buahan dan sayuran), pengilangan padi dan balak, kedai
runcit, orang tengah untuk penjualan tanah dan getah serta agen haji.
Apa yang diusahakan oleh guru pondok ini telah ditiru oleh pelajar mereka secara langsung sehingga ianya
mampu melahirkan beberapa orang usahawan lulusan pondok yang berjaya. Sikap berdikari ini kemudiannya telah
mula berubah apabila pihak British memperkenalkan sistem pendidikan barat di Tanah Melayu yang mewujudkan
sindrom makan gaji di kalangan masyarakat Melayu.(Abdul Rahman Aziz,1996,213-218) Apa yang diperkenalkan
oleh pihak British ini bertentangan sama sekali dengan budaya keusahawan dan hidup berdikari yang diterapkan
dalam sistem pondok, berpaksikan kepada prinsip Tauhid (hanya Allah yang menentukan hidup dan rezeki mahkluk
tanpa perlu bergantung harap kepada mahkluk) dan hadis Rasulullah tentang 90 peratus daripada sumber rezeki
bersumberkan kepada perniagaan. Atas dasar inilah kita dapat melihat bagaimana institusi pondok berbentuk swasta
(bebas) tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak pemerintah. Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama
itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan
tertentu.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1994) Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak
selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di
dalam masyarakat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
Pengembangan ekonomi yang dijana oleh institusi pondok boleh dilihat daripada fakta sejarah
pengembangan ekonomi masyarakat Melayu silam. Sesuatu penempatan pondok yang biasanya berpusat di kawasan
pendalaman dengan sebab hubungan yang rapat di antara masyarakat awam sekitar dengan warga pondok
kemudiannya telah menambah aktifkan kegiatan sosial dan ekonomi serta melahirkan beberapa penempatan
kampung yang baru.( Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Fenomena ini boleh dilihat contohnya dengan fakta
kelahiran dan kemasyuran kawasan baru di Kelantan yang dikaitkan dengan ulama tempatan yang ada di tempat
tersebut. Antaranya kawasan pekan Melor, Pasir Mas, Kubang Kerian (Tuk Kenali), Kota Bharu, Machang (Tuk
Kemuning), Bachok (Tuk Bachok) dan sebagainya.

4.0 KAEDAH PENERAPAN ELEMEN INTELEKTUALISM DALAM MASYARAKAT KELANTAN

(1) Mengasaskan Sistem Pendidikan Islam Yang Lebih Sistematik.(Abdul Latif Hamindong,1993,748)
6

Apa yang jelasnya, sebelum sistem pondok ini diperkenalkan, bentuk pengajian agama Islam adalah tidak teratur
dan lebih bersifat serpihan yang berpusat di rumah ulama, Surau dan masjib.(Che Omar Awang,1996,196-
220)Sebaliknya, sistem pondok ala Patani-Kelantan dilihat sebagai lebih sistematik dan berkesan yang kekal
sehingga sekarang. Di antara bentuk dan sistem pondok ini adalah, pertama, sesuatu kawasan pondok perlu
mempunyai rumah guru, masjib dan hostel pelajar yang terletak di sekitar kawasan pondok yang biasanya dibina
dalam kawasan pendalaman(Abdul Rashid Ahmad,1966,23-24); keduanya, pembelajaran akan dilakukan di dalam
masjib dalam bentuk halaqah yang dipimpin oleh seseorang guru dan pembantunya;(Abdullah Ishak,1995, hlm 212-
218) ketiga, terdapat jadual waktu pengajian yang khusus disesuaikan dengan pencapaian seseorang pelajar yang
dibahagikan kepada tiga peringkat utama (awal, pertengahan dan tinggi);(Abdullah Ishak,1995,205-207) keempat,
sesuatu pengajian dibuat berasaskan kepada beberapa kitab tertentu mengikut kecenderungan dan kepakaran
seseorang guru(Shafie Abu Bakar,1994,104-111); kelima, pedagogi dan kaedah pengajaran biasanya menggunakan
pendekatan Taqlid (menadah kitab) membabitkan pengajaran satu hala daripada guru kepada murib dan
perbincangan antara keduanya, (Shafie Abu Bakar,1994,112-115;Abdul Rashid Ahmad,1966,26-28) dan
keenamnya, struktur organisasi pondok telah disusun secara teratur dengan seseorang guru selaku pemimpin dan
rujukan utama yang dibantu sepenuh oleh beberapa orang pembantu yang terdiri dari pelajar-pelajar yang lebih
senior.(Ibrahim Abu Bakar,1994,101-104)
Apa yang cukup membanggakan adalah sistem pengajian pondok ini dapat dianggap cukup advance untuk
zaman dan keadaan masyarakat tradisi dengan keistimewaan khusus merujuk kepada usaha pembudayaan ilmu.
Dewasa ini, kedapatan beberapa orang sarjana yang mengkritik dan bersikap sinikal terhadap sistem pengajian
pondok yang dikatakan out of date dan tidak mampu berhadapan dengan pemodenan.(Rahimin Affandi Abd.
Rahim,1995, hlm 30-31) Pendapat ini walaupun boleh dikatakan sebagai separuh betul, tetapi ianya dibuat dalam
bentuk yang tidak memenuhi adab ikhtilaf di dalam Islam. Ini kerana, sistem pengajian pondok telah difikir dan
dirangka dengan teliti oleh ulama silam untuk era zamannya, dan ternyata ianya telah berjaya berfungsi seperti yang
diharapkan. Oleh sebab itu tindakan mengkritik secara sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira faktor masa ini
adalah amat salah.(Shafie Abu Bakar,1994,93-94) Dalam konteks penerapan budaya ilmu, keistimewaan yang
dimiliki oleh sistem pondok ini adalah;
1) Sistem pengajian yang dibuat secara swasta tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak
pemerintah.(Abdul Rashid Ahmad,23-24) Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara
bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.(Rahimin
Affandi Abd. Rahim,1994) Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak selaku agen
perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam
masyarakat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
2) Sistem pengajian yang berorientasikan perkaitan antara teori dan praktikal, yang menekankan pemupukan
budaya ilmu bagi menjadikan seseorang pelajar;
a) mendapat sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai keredaan Allah.
b) bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam masyarakat dan berfungsi sebagai
pemimpin masyarakat.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
c) Menjadikan matlamat pencarian ilmu bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai
keredaan Allah dan nikmat pengetahuan.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
d) Menjadikan pelajar sebagai seorang yang mampu berdikari tanpa bergantong kepada orang lain. Untuk
tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala bentuk keilmuan Islam dan kemahiran hidup yang amat
diperlukan.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
e) Menekankan persoalan akhlak dan disiplin Islam melebihi segala-galanya.(Abdullah Ishak,1995,202-204)
3) Sistem pengajian yang bersifat terbuka yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengikutinya tanpa
mengira latar belakang keturunan dan faktor umur.(Robert L. Winzeler,1975,92-99) Apa yang boleh
dibanggakan adalah melalui pendekatan ini secara tidak langsung ianya telah pun mengamalkan konsep
pendemokrasian pendidikan berasaskan penekanan kepada kepentingan ilmu dalam kehidupan seseorang Islam,
ilmu adalah milik bersama dan setiap individu berhak diberi peluang untuk mendapatkan ilmu.(Rahimin
Affandi Abd. Rahim, 2003,1-31)

(2) Menjana Perkembangan Sosio-Politik-Ekonomi Masyarakat Melayu Ke Arah Yang Lebih Berasaskan
Budaya Ilmu Yang Agak Positif.

Proses ini boleh dilihat daripada tindakan yang merapatkan hubungan antara pondok dengan kegiatan masyarakat
dan menjadikan Pondok sebagai kubu utama untuk mempertahankan kesuciaan agama Islam dari serangan kuasa
7

penjajah barat.(Kamaruzzaman Bustaman Ahmad,2002,65-84) Mengikut analisa Muhammad Abu Bakar, sesuatu
penempatan pondok yang biasanya berpusat di kawasan pendalaman dengan sebab hubungan yang rapat di antara
masyarakat awam sekitar dengan warga pondok kemudiannya telah menambah aktifkan kegiatan sosial dan ekonomi
serta melahirkan beberapa penempatan kampung yang baru.(Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Jalinan hubungan
kemasyarakatan ini telah menjadikan pondok tersebut sebagai tempat rujukan utama kepada anggota
masyarakat.(Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Dengan cara ini secara tidak langsung institusi pondok telah menjadi
pembimbing utama kegiatan masyarakat ke arah nilai-nilai Islam dan menjadi penapis dan kubu untuk menangkis
serangan idea pemodenan berteraskan sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat.(Abdullah Ishak,1995,230-235)

(3) Menjana Perkembangan Intelektualisme Islam Di Kalangan Masyarakat Melayu.

Hal ini boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti;

(i) Menjana kelahiran sarjana Melayu-Islam yang mampu bertindak sebagai intelektual ummah secara lebih
kritikal berhadapan dengan permasalahan masyarakat.
Contohnya yang cukup jelas boleh dilihat daripada sumbangan ulama Patani-Kelantan yang menetapkan di Mekah
dan Mesir yang menjana dan meniupkan semangat nasionalisme sebenar kepada serangkaian pelajar Melayu di
timur tengah.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-28)Reputasi ulama Patani yang berada di Mekah dan Mesir telah
menarik sebahagian besar pelajar Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka ke pusat pengajian keilmuan Islam
ini.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,46-50). Akibatnya, pelajar-pelajar alam Melayu ini telah terdedah dengan
perjuangan Pan-Islamism di bawah pimpinan Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.(Mohammad Redzuan
Othman,1998,154) Berbanding dengan tokoh-tokoh nasionalis feudal Melayu(Shaharuddin Maaruf, Konsep wira
dalam masyarakat Melayu, Singapura, 1993,99-116) di Tanah Melayu yang lahir dari sistem pendidikan penjajah
yang kebanyakannya menjadikan seseorang pelajar itu berjiwa British dan pro-British(Khasnor Johan,2000,134-
145), nasionalis-reformis Melayu yang awal ini lebih menjiwai kesedaran Islam yang sejati dan menghayati
penderitaan umat Melayu yang disisih dengan dasar penjajahan British.( Husin Mutalib,1990,18-19)

(ii) Penggunaan kitab Jawi sebagai alat untuk memperkembangkan keilmuan Islam di kalangan masyarakat
tempatan dengan cukup berkesan.(Omar Awang,1981,80-85)
Fenomena yang mengambilkira elemen tempatan dalam bentuk memilih bahasa tempatan sebagai medium untuk
penyebaran ilmu agama telah dilakukan oleh sarjana Islam di kebanyakan dunia Islam, seperti penciptaan tulisan
Urdu di India dan tulisan Parsi di Iran berteraskan dari segi bentuknya kepada bahasa Arab dengan sedikit sebanyak
pengubahsuaian.(Omar Awang,1980,55) Kemudiannya, dalam kerangka perpaduan ummah, karya-karya Melayu
Islam menggunakan tulisan jawi ini telah dikembangkan dan disebarkan di banyak tempat dalam dunia Islam seperti
di Mekah, Bombay, Istanbul dan Kaherah.(Mohammed Redzuan Othman,1998,57) Ini menunjukkan bagaimana
apabila diterima sebagai salah satu dari rangkaian ummah Islam sedunia, hasil karya intelektual Islam umat Melayu
(kitab Jawi) telah turut diterima secara meluas dan diakui mutu akademiknya di beberapa pusat keilmuan Islam
dunia.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-34)
Daripada perkembangan pesat kitab Jawi di alam Melayu ini kita dapat melihat bentuk dan pengetahuan
keilmuan Islam amnya dan perundangan Islam khususnya telah dicirikan dengan pandangan tradisional fuqaha
Patani-Kelantan. Selain itu juga bentuk keilmuan Islam yang dianuti dan dipelajari di Mekah telah turut mencirikan
pemahaman keislaman yang diamalkan di alam Melayu.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-34) Hal ini bersesuaian
dengan situasi keilmuan pada masa ini yang berkiblat secara langsung dengan kota Mekah, yang merupakan pusat
pengajian Islam yang menduduki hiraki yang tertinggi sekali.(Mahmood Zuhdi Abd. Majid,1992,217-224)
Selanjutnya, segala bentuk pemahaman ala Mekah ini akan turut diikuti secara sakral oleh penduduk alam
Melayu.(C.S. Hurgronje,1906,165)

(iii) Penggunaan kaedah gradualism yang berhikmah bagi menghakis dominasi budaya feudalism di dalam
masyarakat Melayu.
Penulisan keilmuan Islam di dalam kitab jawi adalah bebas dari pengaruh pandangan world-view pra-Islam yang
berasaskan feudalism. Penulisan perundangan di zaman sebelumnya, dengan menggunakan contoh teks Hukum
Kanun Melaka, secara jelas telah diresapi dengan unsur-unsur Islam yang bercampur aduk dengan sistem adat
tempatan.(M.B. Hooker,1978,48-68) Bersesuaian dengan latar belakang masyarakat yang mengamalkan sistem
sosial yang tertutup dan masih baru menerima Islam, kita dapati dalam banyak hal penggunaan kaedah dan prinsip
syariah adalah amat ringkas, terhad dan terbatas.(M.B. Hooker,1978,33-34) Dengan penghasilan kitab jawi yang
diusahakan oleh fuqaha Patani yang rata-ratanya terputus dengan pengaruh feudalism yang mendominasi rantau
8

alam Melayu, sedikit demi sedikit world-view feudalism ini telah dihapuskan. Berbanding dengan bentuk penulisan
sebelumnya, kandungan kitab jawi lebih mengambarkan perundangan Islam yang sebenar tidak seperti pandangan
golongan feudal Melayu yang telah menyusun Hukum Kanun Melaka.( Abdul Kadir Muhammad,1996,13-14 dan
32)

(4) Pengukuhan Aliran Sunni-Mazhab Shafi’I Sebagai Wadah Perpaduan Ummah Melayu-Islam.

Bagi pandangan penulis, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pendekatan ke (4) ini amat bersesuaian dengan realiti
masyarakat Melayu yang baru memeluk Islam. Seandainya hal ini tidak berlaku ataupun perkembangan hukum
Islam berjalan dalam pelbagai mazhab yang berbeza, rasanya tidak mustahil pengaruh budaya Taqlid yang berlaku
di luar tanah Melayu yang dicirikan dengan sifat fanatik yang melampau(Mahmood Zuhdi Abd. Majid, Sejarah
pembinaan Hukum Islam, hlm 217-220) akan turut tersebar di Tanah Melayu. Seandainya hal ini berlaku, sudah
pasti usaha memperkembangkan nilai-nilai Islam di dalam masyarakat Melayu akan turut terjejas teruk.
Dalam soal ini, rantau alam Melayu telah secara teguh mengikut faham tradisionalism yang berteraskan
mazhab Shafi’i. Penguasaan dan dominasi ini tercetus memandangkan rantau alam Melayu ini telah menerima
kedatangan awal Islam mengikut aliran Ahlu Sunnah wal jamaah yang bercampur dengan prinsip kesufian yang
tinggi.(A.H. John,1961,40-41) Di lihat kepada teori dan sejarah kedatangan Islam yang awal, walaupun memang ada
pengaruh mazhab Syiah(Abdul Rahman Abdullah, Pemikiran Umat Islam di Nusantara, hlm 36-39) dan wujud
pertentangan mazhab dalam soal tasawuf falsafah(Abdul Rahman Abdullah,1999,157-167), fakta sejarah telah
mencatatkan bahawa umat Melayu di rantau alam Melayu masih secara kuat berpegang kepada mazhab Sunni.
Penguasaan ini kemudiannya telah diperkuatkan lagi dengan penulisan kitab jawi yang diusahakan oleh fuqaha
Patani-Kelantan yang hanya menggunakan pandangan mazhab sunni dalam perbincangan mereka.(Abdul Halim el-
Muhammady,1992,54-55& 57)

(5) Penerapan Kaedah Ilmiah Yang Ketat Di Dalam Pemahaman Hukum Islam.

Bertentangan dengan pandangan sinis yang sering dilontarkan kepada pendekatan ala Taqlid yang dipakai dalam
kitab Jawi,(Rahimin Affandi Abdul Rahim,1995,29-41) kita boleh mendapati bagaimana fuqaha Patani-Kelantan
masih menerapkan kaedah ilmiah yang mempunyai nilai akademik yang tinggi. Memanglah diakui bahawa
bersesuaian dengan dominasi era taqlid yang melanda seluruh dunia intelektual Islam pada masa ini, sifat, ciri-ciri
dan penggunaan metodologi taqlid ini memang telah diaplikasikan sepenuhnya di dalam penulisan kitab-kitab jawi
oleh fuqaha Patani-Kelantan. Kalau dilihat secara teliti, kita akan mendapati bagaimana penggunaan metodologi
taqlid ini telah digunakan secara sederhana. Antara metodologi yang dimaksudkan adalah :-
1) penulisan kitab jawi lebih merupakan saduran dan terjemahan dari kitab asal zaman taqlid.(M.B.
Hooker,1985,11) Namun begitu, pemilihan yang rapi telah dibuat berasaskan kepada kitab-kitab yang berotoriti
dan muktabar yang terkenal dalam dunia sunni pada masa itu.(Omar Awang,1981,80-81;Fauzi
Deraman,1997,493-502)
2) Kitab jawi telah menggunakan kitab turath era taqlid yang lebih awal sebagai sumber rujukan utama dan tidak
mempedulikan sumber rujukan yang asasi.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1994,51-52) Namun begitu, ini
bukanlah bermakna fuqaha Patani langsung tidak merujuk kepada sumber yang lebih asasi, Quran dan sunnah.
Ini kerana kedapatan beberapa penerangan dalam kitab jawi karangan fuqaha Patani yang merujuk dan memetik
beberapa ayat Quran dan hadis sebagai landasan asas keterangan mereka.(Fauzi Deraman,1997,439-440&441-
445)
3) Keterangan ala Taqlid yang dikemukakan terputus dari realiti semasa yang bersifat tempatan (alam Melayu) dan
lebih menumpukan perhatian kepada realiti timur tengah.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2000,32-34) Dalam
soal ini dua contoh boleh diberikan untuk menafikan dakwaan penggunaan pendekatan ini dalam tulisan fuqaha
Patani. Pertamanya, Syeikh Daud Patani dalam menerangkan tentang dinamika dan kepentingan sumber Urf
untuk sesuatu masyarakat yang bukan Arab telah memasukkan untuk bacaan masyarakat antarabangsa pada
waktu itu, konsep dan pengamalan harta sepencarian yang telah diterima sebagai urf yang sahih di dalam
masyarakat Melayu (Negeri di bawah angin).(Suwaid Tapah,2001,11-13) Keduanya, Syeikh Daud Patani juga
telah membangkitkan isu dan kepentingan jihad menentang kuasa penjajah kafir yang pada masa itu sedang
meluaskan empayar jajahan takluk mereka di alam Melayu.

Perbincangan sistem fiqh Islam yang begitu luas telah dijadikan sebagai teks panduan utama yang
membantu kesempurnaan pengamalan Islam dan taklif syarak oleh penduduk alam Melayu.(Virginia
Matheson&M.B. Hooker,1988,28-30) Dalam konteks Malaysia, walaupun perkembangan pesat telah melanda
9

sistem pendidikan negara, akan tetapi kepentingan kitab jawi ini masih belum dilupakan, bahkan ianya telah menjadi
rujukan utama yang digunakan dalam sistem pengajian keilmuan Islam dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan
Malaysia.

(6) Mengamalkan Sikap Yang Terbuka Dan Menerima Pakai Prinsip Tajdid Yang Difikirkan Mampu
Menyelesaikan Permasalahan Hukum Amali Masyarakat.

Hal ini secara terang-terangan boleh dilihat daripada penggunaan fuqaha tradisionalis di Kelantan pelbagai pendapat
fuqaha yang berbeza dan prinsip Talfiq di dalam menyelesaikan masalah zakat fitrah padi di Kelantan. Pengamalan
pelbagai prinsip tajdid terpilih di dalam pengeluaran fatwa membabitkan isu yang timbul di dalam masyarakat. Hal
ini antara lainnya boleh dirujuk kepada penggunaan konsep maslahah, amalan merujuk terus kepada Quran dan
Sunnah, penerimaan konsep talfiq dan pengunaan sumber rujukan para reformis semasa di dalam mentarjihkan
sesuatu pandangan baru. Pengamalan prinsip-prinsip tajdid ini jelas membuktikan bagaimana aliran tradisionalism
walaupun sering dituduh sebagai anti kepada pemodenan, masih lagi terbuka dengan segala prinsip dan kehendak
moden semasa. Hal ini juga membuktikan bahawa aliran ini tidaklah seburuk seperti yang kerap didakwa dan masih
lagi mengutamakan kepentingan umat Islam, khususnya yang membabitkan persoalan baru yang timbul di dalam
masyarakat.

5.0 KESIMPULAN

Sebagai rumusan akhir, dapat kita katakan bahawa walaupun kita dituntut untuk mengamalkan paradigma pemikiran
yang bersifat moden dan progressif untuk konteks zaman moden ini, ini bukanlah bermakna kita boleh
memperkecilkan sumbangan yang pernah diberikan oleh kalangan ulama Melayu-Islam silam berasaskan paradigma
tradisionalism. Setakat yang telah dipaparkan dengan cukup panjang lebar di dalam kajian ini, terbukti bahawa
sumbangan bermakna yang telah diberikan oleh aliran tradisionalism ini dalam konteks negeri Kelantan adalah amat
besar sekali. Sebaiknya, sebagai umat Islam yang mempunyai asas jati diri kekuatan iman dan tradisi yang cukup
kukuh, segala pandangan negatif yang dibawakan oleh genre penulisan barat yang sering memperkecilkan
paradigma tradisionalism perlu ditolak dan dinilai secara selektif. Apa yang lebih penting lagi, sebagai langkah
strategic kita patut merancang langkah yang berstruktur dan berteraskan wawasan zaman moden untuk
memperkuatkan lagi dominasi pengamalan Islam yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia semasa.

INSTITUSI PONDOK SEBAGAI PENJANA INTELEKTUAL UMMAH DI KELANTAN

Prof. Madya Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim, Dr Nur Azuki Yusuff (UMK), Rohani Desa (KUIN) ,
Norazlina Bt Zakaria (KUIN), Nor hayati Md. Dahlal,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.
Telefon : 012-5376560/ 012-3192177.
Emel : faqir_ila_rabbih@um.edu.my , annur_1909@yahoo.com

Abstrak

Institusi pondok adalah antara institusi pendidikan tertua di Tanah Melayu. Ia berkembang mengikut
keperluan masyarakat dan sambutan pelajar yang datang dengan berpusatkan ketokohan ‘Tok Guru’ yang
mengajar ilmu-ilmu Islam. Institusi pondok berperanan menyampaikan dan mengekalkan sistem ajaran
Islam kepada masyarakat Islam setempat. Ia mempunyai keistimewaan dan berkedudukan tinggi serta
berpengaruh besar dalam ketamadunan Masyarakat Melayu Tanah Melayu. Institusi pondok berfungsi
sebagai medium atau incubator kepada pengajian ilmu-ilmu Islam samada bersifat duniawi dan ukhrawi
serta menjadi ‘kilang pemprosesan’ bagi melahirkan intelektual ummah zaman berzaman. Berpaksikan
reality tersebut, kertas kerja ini berusaha meyakinkan semua berkenaan penegasan institusi pondok sebagai
penjana intelektual ummah amnya dan di Kelantan khususnya. Kertas kerja ini mengandungi beberapa
bahagian utama. Ia dimulai dengan pengenalan kemudiannya pernyataan konsep intelektual Islam; satu
analisis, seterusnya melihat peranan institusi pondok dalam menjana daya intelektualisme Islam di
Kelantan. Perbincangan kemudiannya tertumpu kepada bagaimana institusi pondok di Kelantan
menerapkan elemen intelektualism dan akhirnya disusuli dengan kesimpulan.
10

Keywords: Institusi Pondok, Konsep Intelektual, Pengajian Islam, Elemen Intelektualism

1.0 PENGENALAN

Sebilangan besar sarjana moden dengan tren yang terkini membahagikan kalangan masyarakat Islam kepada dua
kumpulan (dikotomi) yang berbeza iaitu tradisionalis dan modernis.(Azyumardi Azra,1999,60-62) Dikotomi ini
cuba mengaitkan golongan tradisionalis ini dengan serba keburukan seperti sifat yang tidak mahu berubah, keras
kepala, berpendirian nastolgia dan anti pemodenan.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2002) Manakala, golongan
modernis pula dikaitkan dengan pelbagai sifat positif yang kononnya bakal memajukan masyarakat Islam
berasaskan kerangka penilaian barat yang dicanangkan sebagai bermutu tinggi dan penuh dengan elemen
kemanusiaan sejagat. Lebih memburukkan lagi keadaan, institusi pondok yang mewakili paradigma tradisionalis
telah dikaitkan dengan pelbagai nisbah yang buruk, seperti institusi pondok adalah institusi klasik yang out of date,
hanya sesuai untuk golongan pelajar yang tercicir daripada arus pendidikan perdana dan terbaru sekali, ianya
menjadi pusat yang melahirkan golongan teroris. Sebahagian besar paparan ini sebenarnya telah diberikan oleh
media massa barat, yang kemudiannya turut dipegang oleh masyarakat Islam sendiri. Namun, institusi pendidikan
moden ini yang sering diagung-agungkan kini, didapati turut terdapat pelbagai kelemahan yang besar. Antara yang
utama, ianya dikaitkan dengan rendahnya mutu elemen kognitif, afektif dan psikomotor yang ditunjukkan oleh
graduan institusi pengajian tinggi (IPT) moden ini.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1998,230) Ianya termasuk hilangnya
semangat patriotisme dan kesungguhan belajar,(Nordin Kardi,2002,29-34) tiadanya sifat amanah dan terjerumus di
dalam kancah maksiat.(Zaini Ujang,1993,28-29)
Berasaskan tren yang perlu dipulihkan ini, kertas kerja ini cuba mengetengahkan resolusi dengan
menganalisa konsep intelektualism Islam yang dikaitkan dengan institusi pondok di Kelantan secara amnya dan di
dalam lipatan sejarah tanah Melayu khususnya. Bagi penulis, konsep intelektualism sejati sebenarnya telah difahami
dan dimainkan sepenuhnya oleh para mubaligh Islam yang awal yang kemudiannya telah diteruskan oleh ulama
Melayu tempatan. Oleh sebab itu, sebagai kerangka asas perbincangan, kertas kerja ini tidak akan menggunakan
neraca penilaian yang berasaskan kepada kerangka dikotomi tradisionalis-modenis. Sebaliknya, sebagai jalan
tengah, kerangka perbincangan akan menggunakan suatu bentuk neraca penilaian yang lebih adil dan berteraskan
pendekatan realism(Dr. H.M. Atho Mudzhar,1998,47-58)iaitu bakal dilakukan terhadap sejarah perkembangan
isntitusi Pondok di Negeri Kelantan, mengikut kontekstual zaman silam.(Shafie Abu Bakar,1994,93-94) Ini
bukanlah bermakna bahawa semua aliran tradisionalism akan dianggap sebagai serba sempurna (maksum),
memandangkan memang kedapatan pelbagai keburukan yang dibawa oleh aliran tradisionalism ini.(Rahimin
Affandi Abd. Rahim,1995,30-31)

2.0 KONSEP INTELEKTUALISM ISLAM: SATU ANALISIS

Dalam kerangka intelektual barat yang berfahaman sekularisme dan anti agama beranggapan agama sebagai punca
kelemahan dan penderitaan manusia,(Rahminah Muharam,2000,202-212) Kupasan mengenai konsep dan siapa dia
golongan intelektual beracuan barat dijelaskan dengan beberapa perkara yang utama, iaitu;
5) Segolongan manusia moden yang mampu mempergunakan kapasiti akal untuk meneliti perkembangan idea
yang berbentuk bukan kebendaan di dalam masyarakatnya secara kritikal.(Azyumardi Azra,1998,32-34)
6) Manusia yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan berusaha keras untuk menyelesaikan
permasalahan masyarakat.
7) Ianya adalah lulusan daripada institusi pendidikan tinggi yang mengkhususkan program latihan dalam bidang
S&T yang kemudiannya membolehkan mereka menceburi bidang profession yang memerlukan kepakaran yang
bersifat khusus dan tidak mungkin diceburi oleh masyarakat awam yang biasa. Pendek kata, mereka adalah
golongan professional moden seperti doktor, arkitek, jurutera, akautan, peguam dan sebagainya yang amat
diperlukan untuk proses pembangunan sesuatu masyarakat.(Ahmad Shukri Mohd. Naim,2003,226-227)
8) Ianya berpegang kepada kerangka ideologi sekularisme sebagai piawaian dan sistem nilai di dalam menjalankan
aktiviti. (Ahmad Shukri Mohd. Naim,2003,240-245) Mengikut pandangan faham sekularisme, neraca utama
bagi sesuatu etika dan perbuatan yang baik itu bergantung kepada;(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2003)
a) Prinsip vitalisme – apa-apa sahaja yang berbentuk kuat dan menguntungkan dari segi kebendaan akan
dianggap sebagai baik.
b) Prinsip kreativiti – apa-apa sahaja yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru
akan dianggap sebagai baik dan bermutu.
11

c) Prinsip hedonisme – apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap sebagai
baik, manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap sebagai buruk.
d) Prinsip majoriti masyarakat – apa-apa sahaja yang disukai oleh tren dan kecenderungan sesuatu masyarakat
akan dianggap sebagai baik
Hakikatnya, golongan intelektual perlu ditonjolkan sebagai ikon utama yang patut ditiru oleh semua lapisan
masyarakat. Namun, dukacitanya mengikut pengamatan semasa, kita akan mendapati bagaimana media massa di
Malaysia sering menonjolkan empat golongan sebagai idola dan simbol orang yang Berjaya di dalam hidup.
Keempat golongan ini terdiri dari artis, ahli politik, ahli sukan dan tokoh korporat.(Wan Mohd Nor Wan
Daud,2001,125-129) Apa yang jelasnya, golongan intelek tidak dimasukkan sebagai salah satu daripada ikon pilihan
ini. Jika dikaji secara mendalam, semua keempat ikon ini sebenarnya lebih banyak membawa kepada wujudnya
elemen kerosakan di dalam masyarakat;(Muhammad Kamal Hasan,1996,233)
1) Dukungan antara tokoh korporat, bekas kakitangan tertinggi kerajaan yang terlibat di dalam penguatkuasaan
undang-undang negara dan ahli politik Melayu, - di dalam mewujudkan budaya munkar dan menjadi taukeh
maksiat.(Zaharom Nain,2002,112-122)
2) Artis dijadikan sebagai alat untuk mengukuhkan budaya comsumerism dan maksiat(Salasiah Abd.
Wahab,2001,15-20) yang membawa budaya sekularisme.( Abdul Rahman Abdullah,2001,150-153)
3) Ahli politik terlibat dalam usaha menghidupkan budaya feudal yang melampau,(Shaharuddin Maaruf,1993,99-
116) terlibat di dalam amalan pecah amanah, menghidup budaya politik berpuak (kronisme) dan menjual
kepentingan Negara kepada pihak luar.(Jamaie Hamil,2004, 126-131)
Kini, wujud kecenderungan yang begitu meluas di kalangan sarjana untuk menjelaskan tentang konsep dan
peranan intelektual yang terikut-ikut dengan pendekatan sosiologi kapitalis dan Marxism yang cuba membezakan
antara kelas ulama dengan golongan bukan berpendidikan agama. Pada akhirnya golongan bukan ulama akan
ditonjolkan sebagai golongan terpelajar, prihatin dengan keadaan masyarakat, sanggup berkorban untuk memajukan
masyarakat dan segala bentuk nisbah kebaikan.(Syukri Ahmad,2000,19-28) Sebaliknya, golongan ulama
dikategorikan sebagai golongan yang jumud, degil, pengganas, mementingkan diri sendiri dan banyak lagi nisbah
negatif yang amat dashyat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
Kelas intelektual Melayu moden menurut pandanganMuhammad Zainiy Uthman (2001,146-148) perlu
beroperasi di dalam masyarakat agar lebih bersesuaian dengan nilai-nilai Islam dan bertentangan dengan konsep
intelektual barat yang berteraskan faham sekularisme seperti mana diperincikan oleh Azra Ayumardi tentang sifat-
sifat yang perlu dimiliki oleh seseorang intelektual Muslim(Azyumardi Azra,1998,43-47). Sarjana Melayu moden
juga turut bercirikan;
3. Prihatin dengan realiti semasa membabitkan kemunduran anggota masyarakat yang dianggap sebagai
tanggungjawab bersama bagi semua lapisan masyarakat.(Russli Kamarudin,2002,140-144)
4. Penganalisaan akal yang kritis dan membina di dalam usaha meneliti sesuatu masalah.
5. Pergantungan kepada hidayah, inayah dan pertunjuk agama di dalam kehidupan.
6. Menyertai sesuatu jamaah Islam terpilih bagi tujuan tarbiyyah diri dan anggota jamaah yang disertakan
pula dengan kesanggupan berkorban demi meningkatkan kalimah Allah dan tidak mudah terpedaya dengan
dugaan kebendaan.
7. Mengamalkan keteguhan pendirian (istiqamah) dalam perjuangan dan tidak mudah lalai dan leka dengan
perkembangan positif yang telah dicapai daripada gerakan kebangkitan Islam era 1970-1990an. Apa yang
jelasnya, mengikut Muhammad Abu Bakar kerana terlalu leka dengan perkembangan positif ini
menyebabkan sesetengah kalangan ummah Melayu-Islam terlepas pandang terhadap perkembangan faham
sekularisme yang turut sama merebak secara meluas di dalam masyarakat.(Muhammad Abu
Bakar,2000,207-219)
8. Melakukan penganalisaan kritikal terhadap konsep intelektual semasa(Syed Hussein al-Atas,1992,10-44)
yang cuba menisbahkan lulusan agama dengan pelbagai nisbah negatif yang tidak sesuai dikaitkan dengan
sifat seseorang intelektual yang amat diperlukan untuk zaman moden. Sebaliknya, berbanding dengan
lulusan agama, lulusan bukan agama walaupun tidak dibekali dengan paradigma dan semangat pemikiran
Islam yang jelas, telah ditonjolkan sebagai penyelamat umat Melayu Islam moden.(Syukri Ahmad,2000,19-
28)
9. Menjalinkan hubungan dan prihatin dengan nasib umat Islam lain di seluruh dunia,(Rahimin Affandi Abd.
Rahim,2002) termasuk juga perlu prihatin dengan perkembangan dialog peradaban yang menyaksikan
kelemahan tamadun barat sebagai akibat daripada fahaman sekularisme yang menjemput pelbagai masalah
yang kronik kepada masyarakat(Wan Mohd. Nor Wan Daud,2001,25-40.) dan alam sekitar.(Muhammad
Kamal Hasan,2001,113-116)
12

10. Mengamalkan budaya ilmu yang positif membabitkan kesemua jenis ilmu pengetahuan yang berguna
kepada diri dan masyarakat.( Muhammad Kamal Hasan,1996,56-57&93-97)
11. Berusaha memperlengkapkan diri dengan segala bentuk ilmu dunia dan akhirat ataupun menjalankan
sepenuhnya budaya ilmu di dalam kehidupan.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1990,51-67)
12. Meletakkan neraca pertimbangan kebenaran hanya untuk mempertinggikan prinsip idealism Islam dan
bukannya untuk kepentingan puak dan kecendurongan parti politik tertentu.(Zulkifli Abd. Ghani,2002,257-
258)
13. Terbuka dengan pendapat dan ilmu asing secara bertapis.
14. Membabitkan diri dengan merangka program untuk menghadapi permasalahan yang bakal timbul di dalam
masyarakat.( Azyumardi Azra,1998,43-47)
15. Mementingkan pendekatan yang mencari punca dan mencadangkan jalan penyelesaian masalah secara
mikro.(Badlihisham Mohd. Nasir,1998,190-300)
16. Menghargai struktur, mekanisme dan sistem penyelesaian masalah yang sebelumnya telah dijalankan di
dalam masyarakat (paradigma evolusi).(Shukri Ahmad,2001,120-121)
17. Berusaha melakukan kajian dan mencuba model penyelesaian masalah yang difikirkan perlu.(Ghazali
Basri,1990,51-54)
18. Berusaha memantau keberkesanan cara penyelesaian masalah yang dikemukakan(Abd Halim el-
Muhammady,1993,18-19)
19. Berusaha menjalin dan menghidupkan jalinan ummah Islam sedunia bagi mempelajari kaedah penyelesaian
masalah yang lebih sesuai untuk konteks zaman moden.( Azyumardi Azra,1998,43-45)
Berpandukan kesemua elemen intelektualism yang diterangkan di atas, jika dikaitkan dengan sejarah
tamadun Islam yang awal, ternyata ketiga-tiga golongan ini, iaitu ulama, reformis dan intelektual merupakan suatu
golongan yang sama sahaja, walaupun cuba dibezakan susunan tipologinya oleh sarjana yang terkemudian.
Persamaan ini boleh dilihat dari segi peranan dan sumbangan mereka ke arah menyedarkan dan mengembalikan
kefahaman masyarakat kepada nilai-nilai yang sejati, berhadapan dengan segala bentuk kemungkaran yang
berkembang pesat di dalam masyarakat, yang sering dikenali dengan konsep jahiliah klasik dan moden.
Penulis berpendapat, hanya golongan mubaligh awal dan anak murid mereka dari kalangan ulama Melayu
tempatan yang paling sesuai dinisbahkan sebagai intelektual sejati. Hal ini didasarkan kepada fakta bahawa kerana
usaha mereka masyarakat Melayu menganut ajaran Islam sehingga pada masa sekarang. Apa yang menyedihkan,
terdapat kalangan sarjana Islam sendiri yang telah terkena tempias pandangan negatif yang disogokkan oleh dunia
barat, dan dalam konteks sejarah Tanah Melayu sendiri pengaruh ini turut dikesan dengan begitu meluas sekali.
Golongan Kaum Muda yang memperjuangkan aliran reformism di Tanah Melayu telah seolah-olah menafikan sama
sekali sumbangan besar yang telah dimainkan oleh golongan ulama tradisionalis di dalam membangunkan
kefahaman Islam di Tanah Melayu.(Mohd. Taib Osman,1989,48-50;Abd. Jalil Borhan,1996,278-280) Dalam
kupasan yang diberikan oleh Kaum Muda tentang golongan tradisionalis yang dikenali dengan Kaum Tua, mereka
telah menggunakan beberapa pendekatan ala tajdid;
4) Pendekatan yang secara terang-terangan menghina ulama tradisional ini dengan menisbahkan kepada mereka
dengan pelbagai nama yang hina.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1995,30-31.)
5) Pendekatan yang mengutuk sistem pengajian tradisional Melayu, sistem Pondok yang menggunakan sistem
pengajian ala Taqlid.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1995,30-31.)
6) Pendekatan yang mengutuk ulama tradisional yang terlibat di dalam institusi pentadbiran undang-undang Islam,
termasuklah institusi fatwa yang kononnya telah bersekongkol dengan raja-raja Melayu dan pihak British
sendiri tanpa mempedulikan nasib ummah Melayu yang serba kekurangan dalam aspek pemodenan.( Adnan Hj.
Nawang,1998,74-76)
Sikap keterlaluan kaum Muda ini yang kononnya cuba bertindak selaku penyelamat ummah Melayu, jika
dilihat secara mendalam ternyata mempunyai kelemahan yang tersendiri, iaitu pandangan mereka yang begitu taasub
dengan kemajuan material yang dicapai oleh kuasa British, sehinggakan menafikan sumbangan bernilai yang pernah
dimainkan oleh ulama tradisional Melayu.(Ibrahim Abu Bakar,1994,171-172)
Mungkin ada setengah pihak yang memperkecilkan sumbangan mubaligh yang awal, yang kononnya boleh
diusahakan oleh sesiapa. Akan tetapi, jika dilihat kepada sumbangan mubaligh yang awal yang berjaya menerapkan
pandangan world-view Islam, ternyata hal ini mustahil dapat dilakukan oleh ulama terkemudian. Mereka telah
memberi nafas sebenar kepada pembinaan world-view(Abdul Halim El-Muhammady,1992,1-14) (pandangan alam
semesta) Melayu.(Abdul Rahman Abdullah,1999) Hasil penelitian yang dibuat oleh Prof. Hashim Musa terhadap
tipologi sejarah tamadun alam Melayu, mendapati pembinaan tamadun Melayu ini telah diasaskan dengan enam
pandangan world-view yang bersumberkan wahyu Allah. Keenam-enam pandangan ini telah menjadi pegangan
13

utama masyarakat Melayu (konsep jati diri Melayu) sehingga kini (Hashim Musa,1999,48-49) yang terdiri antara
lainnya;
7) Alam ini hasil ciptaan dan tabdiran Allah yang mencakupi alam primordial (arwah), alam dunia dan alam
akhirat. Alam akhirat adalah destinasi dan natijah muktamad dari kehidupan di alam dunia. Kejayaan hakiki di
alam akhirat adalah dapat memasuki syurga dan kejayaan di alam dunia adalah ketaatan kepada Allah.
8) Islam adalah panduan dari Allah sebagai al-Din yang mengandungi segala peraturan bagi segala gelagat hidup
di dunia untuk individu dan masyarakat demi untuk kejayaan hakiki mereka.
9) Keyakinan kepada pembalasan yang baik bagi amalan yang baik dan sebaliknya pembalasan yang buruk untuk
amalan yang buruk.
10) Wawasan, misi, objektif, niat, strategi dan operasi segala bidang kerja hendaklah salih, benar dan mematuhi
segala aspek hukum Islam tanpa kompromi, manipulasi dan tolak ansur.
11) Nilai tertinggi dikaitkan dengan segala perkara yang membantu pembentukan insan yang beriman, beramal salih
dan berakhlak mulia yang manafaatnya dapat dinikmati sama oleh orang lain.
12) Kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani, akali dan rohani berasaskan kepada ilmu pengetahuan
dalam bentuk fardhu Ain dan fardhu kifayah.
Pemilihan Islam sebagai asas jati diri ini ternyata menguntungkan masyarakat Melayu kerana seperti mana
berlaku kepada masyarakat Arab, Islam juga telah mengangkat martabat tamadun Melayu ke persada
antarabangsa.(Hashim Musa,2001,50)Proses ini telah menimbulkan semangat perpaduan (internationalism) di
kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka Tauhid, Ummah dan ukhuwwah bukan terhad
kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam
seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.(Rahimin Affandi Abdul Rahim,2000,18-19)
Dengan konsep jati diri ini umat Melayu berasa berbangga menganut Islam yang menjadikan mereka
sebahagian daripada serangkaian ummah Islam, seperti mana halnya golongan Arab yang dipandang mulia oleh
masyarakat Melayu.(William Roff,1980,41) Faktor inilah juga yang menyebabkan di dalam sejarah alam Melayu
kerap berlaku penentangan umat Melayu terhadap kuasa penjajah barat yang dianggap sebagai kuasa kafir(Abdul
Rahman Abdullah,1994) dan hal ini telah diakui sendiri oleh mubaligh Kristian yang mengatakan bahawa orang
Melayu sebagai golongan yang kuat berpegang kepada agama Islam.(Charles Tisdall,1916,348-349) Apa yang
jelasnya, sifat kemelayuan yang begitu sebati dengan Islam ini telah mengakibatkan sebarang serangan yang dibuat
terhadap Islam akan dianggap seperti serangan yang dibuat terhadap asas kebudayaan Melayu.(Isabella
Bird,1967,20)
Dalam perkembangan di tahun-tahun 1990an, telah muncul beberapa cubaan bagi mengugat asas jati diri ini
dalam bentuk penyebaran idea yang anti Islam seperti penolakan hadis Rasulullah,(Mohd. Napiah
Abdullah,1998,41-44) penghinaan terhadap Rasulullah(Farish A. Noor,2000) dan krisis murtad di kalangan anak
gadis Melayu.(Mohd Farid Mohd Shahran,2001,28-30.) Apa yang boleh dibanggakan adalah kebanyakan
masyarakat Melayu moden telah menunjukkan respon yang cukup sensitive terhadap semua perkembangan ini, yang
dijelmakan dalam pelbagai bentuk tindakan, seperti tindakan Persatuan Ulama Malaysia yang mengadu keburukan
tren ini kepada Majlis Raja-Raja Melayu.(Persatuan Ulama Malaysia&Persatuan Ulama Kedah,2002,1-5) Pendek
kata, tidak seperti dilakukan oleh masyarakat barat yang mengamalkan sikap tidak kesah terhadap tindakan yang
menghina intipati asas agama Kristian, masyarakat Melayu moden telah melakukan hal yang sebaliknya, didorong
dengan rasa tanggungjawab keimanan untuk membela keutuhan agama Islam yang menjadi asas identiti kemelayuan
masyarakat Melayu.

3.0 PERANAN PONDOK DI DALAM MENJANA DAYA INTELEKTUALISM ISLAM DI KELANTAN

Sebagai asas perbincangan, penulis ingin mengutarakan suatu teori penting yang mungkin perlu dikaji oleh semua
pihak. Ianya adalah fakta bahawa kawasan pantai timur Tanah Melayu (Kelantan dan Terengganu) sebagai tempat
terawal di tanah Melayu yang menerima dan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. Sebelum ini, terdapat
teori yang mendakwa Melaka merupakan tempat terawal menerima ajaran Islam di Tanah Melayu, yang dikaitkan
juga sebagai pusat yang memperkembangkan Islam ke seluruh jajahan takluk empayar Melaka yang lain. Secara
mudahnya, kita dapat mengatakan bukti tempat awal menerima Islam perlu didasarkan kepada wujudnya beberapa
artifak yang khusus, merangkumi (i) kitab atau manuskrip agama, (ii) masjib tertua, (iii) institusi pendidikan Islam
seperti pondok, (iv) kubur seseorang ulama dan (v) terpenting sekali pengaruh pemikiran Islam yang berkekalan
serta dapat dikesan penggunaanya secara meluas di dalam masyarakat.(S. Hossein Nasr, Traditional Islam In The
Modern World, London : Kegan Paul International, 1990, hlm 13) Seandainya bukti-bukti ini mahu diambilkira, kita
akan bersetuju bahawa kawasan pantai Timur Tanah Melayu lebih memenuhi syarat bukti ini, kerana kesemua
14

artifak dan bukti ini memang terdapat secara lengkap di kawasan pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan,
dan bukannya di kawasan Pantai Barat Tanah Melayu.
Hal ini turut dibantu dengan beberapa fakta sampingan yang lain. Antaranya, fakta sejarah Terengganu
yang menjadi tempat persinggahan saudagar Islam Asia Barat dalam rutin perjalanan dagang mereka ke negeri
China antara abab ke 13 dan 14 Masihi. Hal ini turut dikaitkan dengan fakta Islamisasi wilayah Champa di Indo
China dan persamaannya dengan reality yang berlaku di Terengganu. Hal ini dibuktikan dengan penemuan Batu
Bersurat di Phang Rang, Champa bertarikh 1309 Masihi.(S.M. Naqqiub al-Attas,1992,12)
Kemudiannya, Terengganu, Pattani dan Kelantan telah kekal statusnya sebagai pusat pendidikan Islam
tradisional yang agak terkenal, sehingga kekal sampai pada masa sekarang. Walaupun kedatangan penjajah British
di Tanah Melayu telah menyuntik epistemologi sekularisme barat di dalam masyarakat Melayu lain, institusi
pendidikan Islam (pondok) di ketiga kawasan pantai timur Malaysia ini masih lagi mengekalkan tradisi keintelektual
Islam sejati. Bahkan, ianya telah dianggap sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan kesucian ajaran Islam
itu sendiri, khususnya berhadapan dengan asakan fahaman sekularisme British.(Rahimin Affandi Abd
Rahim,1999,18-31)
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sektor pendidikan merupakan medium terbaik yang boleh
membawa perubahan dan kemajuan di dalam masyarakat ataupun tamadun. Input yang dilahirkan oleh IPT dalam
bentuk graduan boleh menjadi aset terpenting di dalam membawa kemajuan dan pengembangan budaya kepada
masyarakat.(Wan Mohd Nor Wan Daud,1998,230) Atas dasar ini, aset ataupun modal insan ini perlu sentiasa
diperkasakan dengan ilmu pengetahuan yang bakal memberikan kesan kepada aspek kognitif (elemen pemikiran),
afektif (elemen sikap) dan psikomotor (kemahiran). Maknanya, ketiga elemen ini perlu dibangunkan potensinya
yang kemudiannya perlu digabungkan dengan kemahiran teknikal dan sosial (insaniah) yang sangat diperlukan oleh
masyarakat.(Nurcholish Madjid,2003,215-222)

Sebagai bukti tambahan untuk memperlihatkan bagaimana institusi pendidikan Islam tradisional ini mampu
berperanan di dalam masyarakat Melayu tradisional, kita boleh merujuk kepada beberapa perkara yang utama;

3.4 PENERAPAN KEMAHIRAN INSANIAH

Institusi pondok tradisi mampu menerapkan beberapa bentuk kemahiran insaniah (suatu bentuk kemahiran yang
cukup ketara dibincangkan dalam sistem pendidikan semasa) dengan cukup sempurna kepada graduannya. Sebagai
contohnya, institusi pondok silam telah mampu menerapkan elemen Kemahiran Berkomunikasi, Pemikiran Kritis
dan Menyelesaikan Masalah dan Etika dan Moral Professionalisme kepada lulusannya. Dalam sistem pengajian
pondok, soal ilmu, amal (akhlak) dan disiplin amat dititikberatkan mengatasi soal lain.(Shafie Abu Bakar,1994,101-
103) Untuk jangka masa panjang, ia terbukti mampu melahirkan ulama dan individu Melayu yang celek akgama dan
mampu menyelesaikan masalah yang timbul dalam kehidupan peribadi dan bermayarakat mengikut persepktif
Islam.(Abdullah Ishak,1995,202-204) Kita dapat menyaksikan bagaimana usaha mulia ini akan mengambil masa
yang panjang dan ianya tidak dianggap sebagai masalah oleh pelajar pondok. Mereka menyedari tentang kepentigan
konsep Rehlah Ilmiah(Azyumardi Azra,1998,89-90) (termasuk beberapa ciri budaya ilmu : sentiasa ingin belajar,
bertindak mengikut perkiraan ilmu dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi) Konsep ini menuntut
pelajar sentiasa berusaha keras di dalam menuntut ilmu di pelbagai tempat tempat yang berbeza, bukan setakat untuk
menimba ilmu bahkan pengalaman (seperti menyaksikan sosiologi masyarakat yang berbeza). Hasilnya, pengamalan
konsep ini akan melahirkan ulama Islam yang mantap dari segi ilmu, akhlak dan pengalaman hidup yang
kemudiannya mengikut epistemologi Islam bakal melahirkan hikmah (kebijaksanaan).
Bagi tujuan penyebaran ilmu Islam tidak dapat tidak seseorang pelajar pondok perlu menguasai pelbagai bahasa
seperti bahasa Melayu dan Arab yang memang menjadi bahasa pengantar keilmuan Islam dan lingua franca pada
masa tersebut. Hal ini terbukti dengan timbulnya konsep Serambi Mekah di kawasan Alam Melayu yang menjadi
tempat persinggahan (pusat yang menyediakan Kursus Persediaan Pelajar) bagi mana-mana pelajar Alam Melayu
yang melanjutkan pengajian mereka ke Mekah. Antara beberapa tempat yang dimaksudkan, Kelantan, Terengganu,
Pattani, Kedah dan Acheh.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2003,47-74)

3.5 PENERAPAN ELEMEN KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN

Institusi pondok tradisi mampu menerapkan elemen latihan kemahiran keusahawanan. Antara penekanan utama
yang dititikberatkan dalam falsafah pendidikan pondok adalah : mendapat sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai
keredaan Allah; bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam masyarakat dan berfungsi
sebagai pemimpin masyarakat(Shafie Abu Bakar,1994,101-103); menjadikan matlamat pencarian ilmu bukan untuk
15

tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai keredaan Allah dan nikmat pengetahuan(Shafie Abu
Bakar,1994,101-103) dan terpenting sekali menjadikan pelajar sebagai seorang yang mampu berdikari tanpa
bergantong kepada orang lain. Untuk tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala bentuk keilmuan Islam dan
kemahiran hidup yang amat diperlukan. (Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
Dalam konteks latihan keusahawanan, apa yang menariknya, pelajar pondok telah mempelajarinya secara
langsung daripada pengamalan budaya hidup berdikari yang diamalkan oleh guru pondok. Guru pondok rata-ratanya
boleh dikatakan sebagai usahawan yang berjaya sehingga dapat menarik minat masyarakat Melayu pada masa itu,
seperti mana halnya mubaligh awal yang mengembangkan ajaran Islam di Alam Melayu yang terdiri daripada
saudagar besar. Hasilnya, mereka sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Melayu yang mendorong proses
penyebaran Islam dapat berjalan dengan lancar dan tanpa menumpahkan darah. Guru pondok terlibat dalam pelbagai
aktiviti keusahawanan seperti penternakan (lembu, kambing dan ikan), pertanian (padi, tanaman kontang, getah,
buah-buahan dan sayuran), pengilangan padi dan balak, kedai runcit, orang tengah untuk penjualan tanah dan getah
serta agen haji.
Apa yang diusahakan oleh guru pondok ini telah ditiru oleh pelajar mereka secara langsung sehingga ianya
mampu melahirkan beberapa orang usahawan lulusan pondok yang berjaya. Sikap berdikari ini kemudiannya telah
mula berubah apabila pihak British memperkenalkan sistem pendidikan barat di Tanah Melayu yang mewujudkan
sindrom makan gaji di kalangan masyarakat Melayu.(Abdul Rahman Aziz,1996,213-218) Apa yang diperkenalkan
oleh pihak British ini bertentangan sama sekali dengan budaya keusahawan dan hidup berdikari yang diterapkan
dalam sistem pondok, berpaksikan kepada prinsip Tauhid (hanya Allah yang menentukan hidup dan rezeki mahkluk
tanpa perlu bergantung harap kepada mahkluk) dan hadis Rasulullah tentang 90 peratus daripada sumber rezeki
bersumberkan kepada perniagaan. Atas dasar inilah kita dapat melihat bagaimana institusi pondok berbentuk swasta
(bebas) tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak pemerintah. Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama
itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan
tertentu.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1994) Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak
selaku agen perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di
dalam masyarakat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
Aura kehebatan dan pengaruh pengembangan ekonomi yang dijana oleh institusi pondok boleh dilihat
daripada fakta sejarah pengembangan ekonomi masyarakat Melayu silam. Mengikut analisa Muhammad Abu Bakar,
sesuatu penempatan pondok yang biasanya berpusat di kawasan pendalaman dengan sebab hubungan yang rapat di
antara masyarakat awam sekitar dengan warga pondok kemudiannya telah menambah aktifkan kegiatan sosial dan
ekonomi serta melahirkan beberapa penempatan kampung yang baru.( Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Fenomena
ini boleh dilihat contohnya dengan fakta kelahiran dan kemasyuran kawasan baru di Kelantan yang dikaitkan dengan
ulama tempatan yang ada di tempat tersebut. Antaranya kawasan pekan Melor, Pasir Mas, Kubang Kerian (Tuk
Kenali), Kota Bharu, Machang (Tuk Kemuning), Bachok (Tuk Bachok) dan sebagainya. Jalinan hubungan
kemasyarakatan ini telah menjadikan pondok tersebut sebagai tempat rujukan utama kepada anggota
masyarakat.(Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Dengan cara ini secara tidak langsung institusi pondok telah menjadi
pembimbing utama kegiatan masyarakat ke arah nilai-nilai Islam dan menjadi penapis dan kubu untuk menangkis
serangan idea pemodenan berteraskan sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat.( Abdullah Ishak, 1995,230-235)

4.0 KAEDAH PENERAPAN ELEMEN INTELEKTUALISM DALAM MASYARAKAT KELANTAN

Secara amnya, beberapa cara elemen intelektualism Islam diterapkan ke dalam masyarakat Melayu Kelantan.
Antaranya;

(2) Mengasaskan Sistem Pendidikan Islam Yang Lebih Sistematik.(Abdul Latif Hamindong,1993,748)

Apa yang jelasnya, sebelum sistem pondok ini diperkenalkan, bentuk pengajian agama Islam adalah tidak teratur
dan lebih bersifat serpihan yang berpusat di rumah ulama, Surau dan masjib.(Che Omar Awang,1996,196-
220)Sebaliknya, sistem pondok ala Patani-Kelantan dilihat sebagai lebih sistematik dan berkesan yang kekal
sehingga sekarang. Di antara bentuk dan sistem pondok ini adalah, pertama, sesuatu kawasan pondok perlu
mempunyai rumah guru, masjib dan hostel pelajar yang terletak di sekitar kawasan pondok yang biasanya dibina
dalam kawasan pendalaman(Abdul Rashid Ahmad,1966,23-24); keduanya, pembelajaran akan dilakukan di dalam
masjib dalam bentuk halaqah yang dipimpin oleh seseorang guru dan pembantunya;(Abdullah Ishak,1995, hlm 212-
218) ketiga, terdapat jadual waktu pengajian yang khusus disesuaikan dengan pencapaian seseorang pelajar yang
dibahagikan kepada tiga peringkat utama (awal, pertengahan dan tinggi);(Abdullah Ishak,1995,205-207) keempat,
sesuatu pengajian dibuat berasaskan kepada beberapa kitab tertentu mengikut kecenderungan dan kepakaran
16

seseorang guru(Shafie Abu Bakar,1994,104-111); kelima, pedagogi dan kaedah pengajaran biasanya menggunakan
pendekatan Taqlid (menadah kitab) membabitkan pengajaran satu hala daripada guru kepada murib dan
perbincangan antara keduanya, (Shafie Abu Bakar,1994,112-115;Abdul Rashid Ahmad,1966,26-28) dan
keenamnya, struktur organisasi pondok telah disusun secara teratur dengan seseorang guru selaku pemimpin dan
rujukan utama yang dibantu sepenuh oleh beberapa orang pembantu yang terdiri dari pelajar-pelajar yang lebih
senior.(Ibrahim Abu Bakar,1994,101-104)
Apa yang cukup membanggakan adalah sistem pengajian pondok ini dapat dianggap cukup advance untuk
zaman dan keadaan masyarakat tradisi dengan keistimewaan khusus merujuk kepada usaha pembudayaan ilmu.
Dewasa ini, kedapatan beberapa orang sarjana yang mengkritik dan bersikap sinikal terhadap sistem pengajian
pondok yang dikatakan out of date dan tidak mampu berhadapan dengan pemodenan.(Rahimin Affandi Abd.
Rahim,1995, hlm 30-31) Pendapat ini walaupun boleh dikatakan sebagai separuh betul, tetapi ianya dibuat dalam
bentuk yang tidak memenuhi adab ikhtilaf di dalam Islam. Ini kerana, sistem pengajian pondok telah difikir dan
dirangka dengan teliti oleh ulama silam untuk era zamannya, dan ternyata ianya telah berjaya berfungsi seperti yang
diharapkan. Oleh sebab itu tindakan mengkritik secara sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira faktor masa ini
adalah amat salah.(Shafie Abu Bakar,1994,93-94) Dalam konteks penerapan budaya ilmu, keistimewaan yang
dimiliki oleh sistem pondok ini adalah;
4) Sistem pengajian yang dibuat secara swasta tanpa kongkongan dan kekangan polisi dari pihak
pemerintah.(Abdul Rashid Ahmad,23-24) Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama itu dapat bertindak secara
bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.(Rahimin
Affandi Abd. Rahim,1994) Lebih tepat lagi, ulama pondok dalam era tradisi telah bertindak selaku agen
perubahan dan intelektual ummah yang bersikap sensitif dan proaktif dengan isu semasa yang timbul di dalam
masyarakat.(Syukri Ahmad,2000,19-28)
5) Sistem pengajian yang berorientasikan perkaitan antara teori dan praktikal, yang menekankan pemupukan
budaya ilmu bagi menjadikan seseorang pelajar;
a) mendapat sebanyak mungkin ilmu untuk mencapai keredaan Allah.
b) bertindak mengikut perkiraan ilmunya, menyebarkannya ke dalam masyarakat dan berfungsi sebagai
pemimpin masyarakat.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
c) Menjadikan matlamat pencarian ilmu bukan untuk tujuan kebendaan (makan gaji) tetapi untuk mencapai
keredaan Allah dan nikmat pengetahuan.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
d) Menjadikan pelajar sebagai seorang yang mampu berdikari tanpa bergantong kepada orang lain. Untuk
tujuan ini, mereka akan dibekalkan dengan segala bentuk keilmuan Islam dan kemahiran hidup yang amat
diperlukan.(Shafie Abu Bakar,1994,101-103)
e) Menekankan persoalan akhlak dan disiplin Islam melebihi segala-galanya.(Abdullah Ishak,1995,202-204)
6) Sistem pengajian yang bersifat terbuka yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengikutinya tanpa
mengira latar belakang keturunan dan faktor umur.(Robert L. Winzeler,1975,92-99) Apa yang boleh
dibanggakan adalah melalui pendekatan ini secara tidak langsung ianya telah pun mengamalkan konsep
pendemokrasian pendidikan berasaskan penekanan kepada kepentingan ilmu dalam kehidupan seseorang Islam,
ilmu adalah milik bersama dan setiap individu berhak diberi peluang untuk mendapatkan ilmu.(Rahimin
Affandi Abd. Rahim, 2003,1-31)

(2) Menjana Perkembangan Sosio-Politik-Ekonomi Masyarakat Melayu Ke Arah Yang Lebih Berasaskan
Budaya Ilmu Yang Agak Positif.

Proses ini boleh dilihat daripada tindakan yang merapatkan hubungan antara pondok dengan kegiatan masyarakat
dan menjadikan Pondok sebagai kubu utama untuk mempertahankan kesuciaan agama Islam dari serangan kuasa
penjajah barat.(Kamaruzzaman Bustaman Ahmad,2002,65-84) Mengikut analisa Muhammad Abu Bakar, sesuatu
penempatan pondok yang biasanya berpusat di kawasan pendalaman dengan sebab hubungan yang rapat di antara
masyarakat awam sekitar dengan warga pondok kemudiannya telah menambah aktifkan kegiatan sosial dan ekonomi
serta melahirkan beberapa penempatan kampung yang baru.(Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Jalinan hubungan
kemasyarakatan ini telah menjadikan pondok tersebut sebagai tempat rujukan utama kepada anggota
masyarakat.(Muhammad Abu Bakar,1990,1-4) Dengan cara ini secara tidak langsung institusi pondok telah menjadi
pembimbing utama kegiatan masyarakat ke arah nilai-nilai Islam dan menjadi penapis dan kubu untuk menangkis
serangan idea pemodenan berteraskan sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat.(Abdullah Ishak,1995,230-235)

(4) Menjana Perkembangan Intelektualisme Islam Di Kalangan Masyarakat Melayu.


17

Hal ini boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti;

(i) Menjana kelahiran sarjana Melayu-Islam yang mampu bertindak sebagai intelektual ummah secara lebih
kritikal berhadapan dengan permasalahan masyarakat.
Contohnya yang cukup jelas boleh dilihat daripada sumbangan ulama Patani-Kelantan yang menetapkan di Mekah
dan Mesir yang menjana dan meniupkan semangat nasionalisme sebenar kepada serangkaian pelajar Melayu di
timur tengah.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-28)Reputasi ulama Patani yang berada di Mekah dan Mesir telah
menarik sebahagian besar pelajar Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka ke pusat pengajian keilmuan Islam
ini.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,46-50). Akibatnya, pelajar-pelajar alam Melayu ini telah terdedah dengan
perjuangan Pan-Islamism di bawah pimpinan Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.(Mohammad Redzuan
Othman,1998,154) Berbanding dengan tokoh-tokoh nasionalis feudal Melayu(Shaharuddin Maaruf, Konsep wira
dalam masyarakat Melayu, Singapura, 1993,99-116) di Tanah Melayu yang lahir dari sistem pendidikan penjajah
yang kebanyakannya menjadikan seseorang pelajar itu berjiwa British dan pro-British(Khasnor Johan,2000,134-
145), nasionalis-reformis Melayu yang awal ini lebih menjiwai kesedaran Islam yang sejati dan menghayati
penderitaan umat Melayu yang disisih dengan dasar penjajahan British.( Husin Mutalib,1990,18-19)

(ii) Penggunaan kitab Jawi sebagai alat untuk memperkembangkan keilmuan Islam di kalangan masyarakat
tempatan dengan cukup berkesan.(Omar Awang,1981,80-85)
Fenomena yang mengambilkira elemen tempatan dalam bentuk memilih bahasa tempatan sebagai medium untuk
penyebaran ilmu agama telah dilakukan oleh sarjana Islam di kebanyakan dunia Islam, seperti penciptaan tulisan
Urdu di India dan tulisan Parsi di Iran berteraskan dari segi bentuknya kepada bahasa Arab dengan sedikit sebanyak
pengubahsuaian.(Omar Awang,1980,55) Kemudiannya, dalam kerangka perpaduan ummah, karya-karya Melayu
Islam menggunakan tulisan jawi ini telah dikembangkan dan disebarkan di banyak tempat dalam dunia Islam seperti
di Mekah, Bombay, Istanbul dan Kaherah.(Mohammed Redzuan Othman,1998,57) Ini menunjukkan bagaimana
apabila diterima sebagai salah satu dari rangkaian ummah Islam sedunia, hasil karya intelektual Islam umat Melayu
(kitab Jawi) telah turut diterima secara meluas dan diakui mutu akademiknya di beberapa pusat keilmuan Islam
dunia.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-34)
Daripada perkembangan pesat kitab Jawi di alam Melayu ini kita dapat melihat bentuk dan pengetahuan
keilmuan Islam amnya dan perundangan Islam khususnya telah dicirikan dengan pandangan tradisional fuqaha
Patani-Kelantan. Selain itu juga bentuk keilmuan Islam yang dianuti dan dipelajari di Mekah telah turut mencirikan
pemahaman keislaman yang diamalkan di alam Melayu.(Md. Sidin Ahmad Ishak,2000,26-34) Hal ini bersesuaian
dengan situasi keilmuan pada masa ini yang berkiblat secara langsung dengan kota Mekah, yang merupakan pusat
pengajian Islam yang menduduki hiraki yang tertinggi sekali.(Mahmood Zuhdi Abd. Majid,1992,217-224)
Selanjutnya, segala bentuk pemahaman ala Mekah ini akan turut diikuti secara sakral oleh penduduk alam
Melayu.(C.S. Hurgronje,1906,165)

(iii) Penggunaan kaedah gradualism yang berhikmah bagi menghakis dominasi budaya feudalism di dalam
masyarakat Melayu.
Penulisan keilmuan Islam di dalam kitab jawi adalah bebas dari pengaruh pandangan world-view pra-Islam yang
berasaskan feudalism. Penulisan perundangan di zaman sebelumnya, dengan menggunakan contoh teks Hukum
Kanun Melaka, secara jelas telah diresapi dengan unsur-unsur Islam yang bercampur aduk dengan sistem adat
tempatan.(M.B. Hooker,1978,48-68) Bersesuaian dengan latar belakang masyarakat yang mengamalkan sistem
sosial yang tertutup dan masih baru menerima Islam, kita dapati dalam banyak hal penggunaan kaedah dan prinsip
syariah adalah amat ringkas, terhad dan terbatas.(M.B. Hooker,1978,33-34) Dengan penghasilan kitab jawi yang
diusahakan oleh fuqaha Patani yang rata-ratanya terputus dengan pengaruh feudalism yang mendominasi rantau
alam Melayu, sedikit demi sedikit world-view feudalism ini telah dihapuskan. Berbanding dengan bentuk penulisan
sebelumnya, kandungan kitab jawi lebih mengambarkan perundangan Islam yang sebenar tidak seperti pandangan
golongan feudal Melayu yang telah menyusun Hukum Kanun Melaka.( Abdul Kadir Muhammad,1996,13-14 dan
32)

(4) Pengukuhan Aliran Sunni-Mazhab Shafi’I Sebagai Wadah Perpaduan Ummah Melayu-Islam.

Bagi pandangan penulis, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pendekatan ke (4) ini amat bersesuaian dengan realiti
masyarakat Melayu yang baru memeluk Islam. Seandainya hal ini tidak berlaku ataupun perkembangan hukum
Islam berjalan dalam pelbagai mazhab yang berbeza, rasanya tidak mustahil pengaruh budaya Taqlid yang berlaku
di luar tanah Melayu yang dicirikan dengan sifat fanatik yang melampau(Mahmood Zuhdi Abd. Majid, Sejarah
18

pembinaan Hukum Islam, hlm 217-220) akan turut tersebar di Tanah Melayu. Seandainya hal ini berlaku, sudah
pasti usaha memperkembangkan nilai-nilai Islam di dalam masyarakat Melayu akan turut terjejas teruk.
Dalam soal ini, rantau alam Melayu telah secara teguh mengikut faham tradisionalism yang berteraskan
mazhab Shafi’i. Penguasaan dan dominasi ini tercetus memandangkan rantau alam Melayu ini telah menerima
kedatangan awal Islam mengikut aliran Ahlu Sunnah wal jamaah yang bercampur dengan prinsip kesufian yang
tinggi.(A.H. John,1961,40-41) Di lihat kepada teori dan sejarah kedatangan Islam yang awal, walaupun memang ada
pengaruh mazhab Syiah(Abdul Rahman Abdullah, Pemikiran Umat Islam di Nusantara, hlm 36-39) dan wujud
pertentangan mazhab dalam soal tasawuf falsafah(Abdul Rahman Abdullah,1999,157-167), fakta sejarah telah
mencatatkan bahawa umat Melayu di rantau alam Melayu masih secara kuat berpegang kepada mazhab Sunni.
Penguasaan ini kemudiannya telah diperkuatkan lagi dengan penulisan kitab jawi yang diusahakan oleh fuqaha
Patani-Kelantan yang hanya menggunakan pandangan mazhab sunni dalam perbincangan mereka.(Abdul Halim el-
Muhammady,1992,54-55& 57)

(5) Penerapan Kaedah Ilmiah Yang Ketat Di Dalam Pemahaman Hukum Islam.

Bertentangan dengan pandangan sinis yang sering dilontarkan kepada pendekatan ala Taqlid yang dipakai dalam
kitab Jawi,(Rahimin Affandi Abdul Rahim,1995,29-41) kita boleh mendapati bagaimana fuqaha Patani-Kelantan
masih menerapkan kaedah ilmiah yang mempunyai nilai akademik yang tinggi. Memanglah diakui bahawa
bersesuaian dengan dominasi era taqlid yang melanda seluruh dunia intelektual Islam pada masa ini, sifat, ciri-ciri
dan penggunaan metodologi taqlid ini memang telah diaplikasikan sepenuhnya di dalam penulisan kitab-kitab jawi
oleh fuqaha Patani-Kelantan. Kalau dilihat secara teliti, kita akan mendapati bagaimana penggunaan metodologi
taqlid ini telah digunakan secara sederhana. Antara metodologi yang dimaksudkan adalah :-
4) penulisan kitab jawi lebih merupakan saduran dan terjemahan dari kitab asal zaman taqlid.(M.B.
Hooker,1985,11) Namun begitu, pemilihan yang rapi telah dibuat berasaskan kepada kitab-kitab yang berotoriti
dan muktabar yang terkenal dalam dunia sunni pada masa itu.(Omar Awang,1981,80-81;Fauzi
Deraman,1997,493-502)
5) Kitab jawi telah menggunakan kitab turath era taqlid yang lebih awal sebagai sumber rujukan utama dan tidak
mempedulikan sumber rujukan yang asasi.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,1994,51-52) Namun begitu, ini
bukanlah bermakna fuqaha Patani langsung tidak merujuk kepada sumber yang lebih asasi, Quran dan sunnah.
Ini kerana kedapatan beberapa penerangan dalam kitab jawi karangan fuqaha Patani yang merujuk dan memetik
beberapa ayat Quran dan hadis sebagai landasan asas keterangan mereka.(Fauzi Deraman,1997,439-440&441-
445)
6) Keterangan ala Taqlid yang dikemukakan terputus dari realiti semasa yang bersifat tempatan (alam Melayu) dan
lebih menumpukan perhatian kepada realiti timur tengah.(Rahimin Affandi Abd. Rahim,2000,32-34) Dalam
soal ini dua contoh boleh diberikan untuk menafikan dakwaan penggunaan pendekatan ini dalam tulisan fuqaha
Patani. Pertamanya, Syeikh Daud Patani dalam menerangkan tentang dinamika dan kepentingan sumber Urf
untuk sesuatu masyarakat yang bukan Arab telah memasukkan untuk bacaan masyarakat antarabangsa pada
waktu itu, konsep dan pengamalan harta sepencarian yang telah diterima sebagai urf yang sahih di dalam
masyarakat Melayu (Negeri di bawah angin).(Suwaid Tapah,2001,11-13) Keduanya, Syeikh Daud Patani juga
telah membangkitkan isu dan kepentingan jihad menentang kuasa penjajah kafir yang pada masa itu sedang
meluaskan empayar jajahan takluk mereka di alam Melayu.

Perbincangan sistem fiqh Islam yang begitu luas telah dijadikan sebagai teks panduan utama yang
membantu kesempurnaan pengamalan Islam dan taklif syarak oleh penduduk alam Melayu.(Virginia
Matheson&M.B. Hooker,1988,28-30) Dalam konteks Malaysia, walaupun perkembangan pesat telah melanda
sistem pendidikan negara, akan tetapi kepentingan kitab jawi ini masih belum dilupakan, bahkan ianya telah menjadi
rujukan utama yang digunakan dalam sistem pengajian keilmuan Islam dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan
Malaysia.

(6) Mengamalkan Sikap Yang Terbuka Dan Menerima Pakai Prinsip Tajdid Yang Difikirkan Mampu
Menyelesaikan Permasalahan Hukum Amali Masyarakat.

Hal ini secara terang-terangan boleh dilihat daripada penggunaan fuqaha tradisionalis di Kelantan pelbagai pendapat
fuqaha yang berbeza dan prinsip Talfiq di dalam menyelesaikan masalah zakat fitrah padi di Kelantan. Pengamalan
pelbagai prinsip tajdid terpilih di dalam pengeluaran fatwa membabitkan isu yang timbul di dalam masyarakat. Hal
ini antara lainnya boleh dirujuk kepada penggunaan konsep maslahah, amalan merujuk terus kepada Quran dan
19

Sunnah, penerimaan konsep talfiq dan pengunaan sumber rujukan para reformis semasa di dalam mentarjihkan
sesuatu pandangan baru. Pengamalan prinsip-prinsip tajdid ini jelas membuktikan bagaimana aliran tradisionalism
walaupun sering dituduh sebagai anti kepada pemodenan, masih lagi terbuka dengan segala prinsip dan kehendak
moden semasa. Hal ini juga membuktikan bahawa aliran ini tidaklah seburuk seperti yang kerap didakwa dan masih
lagi mengutamakan kepentingan umat Islam, khususnya yang membabitkan persoalan baru yang timbul di dalam
masyarakat.

5.0 KESIMPULAN

Sebagai rumusan akhir, dapat kita katakan bahawa walaupun kita dituntut untuk mengamalkan paradigma pemikiran
yang bersifat moden dan progressif untuk konteks zaman moden ini, ini bukanlah bermakna kita boleh
memperkecilkan sumbangan yang pernah diberikan oleh kalangan ulama Melayu-Islam silam berasaskan paradigma
tradisionalism. Setakat yang telah dipaparkan dengan cukup panjang lebar di dalam kajian ini, terbukti bahawa
sumbangan bermakna yang telah diberikan oleh aliran tradisionalism ini dalam konteks negeri Kelantan adalah amat
besar sekali. Sebaiknya, sebagai umat Islam yang mempunyai asas jati diri kekuatan iman dan tradisi yang cukup
kukuh, segala pandangan negatif yang dibawakan oleh genre penulisan barat yang sering memperkecilkan
paradigma tradisionalism perlu ditolak dan dinilai secara selektif. Apa yang lebih penting lagi, sebagai langkah
strategic kita patut merancang langkah yang berstruktur dan berteraskan wawasan zaman moden untuk
memperkuatkan lagi dominasi pengamalan Islam yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia semasa.

BIBLIOGRAFI

A.H. John, “ Muslim mystics and historical writing “, dalam Historians of South-East Asia, London, 1961.
Abd Halim el-Muhammady, “ Pendidikan Islam era 2020 : Penghayatan menyeluruh “, dalam Pendidikan Islam
era 2020 : Tasawur dan Strategi, Kajang : Percetakan Bintang Jaya, 1993.
Abdul Halim el-Muhammady, “ Ikhtilaf and its development in Malaysia “, dalam International Islamic
University Law journal, v. 2, no.2, 1992.
Abdul Halim El-Muhammady, “ Tasawwur Islam “, Dalam Dinamika Dakwah : Satu Perspektif Dari Zaman Awal
Islam Hingga Kini, Kuala Lumpur, 1992.
Abdul Kadir Muhammad, Sejarah penulisan Hukum Islam di Malaysia, Kuala Lumpur, 1996.
Abdul Latif Hamindong, “ Institusi Pondok dalam tradisi budaya ilmu “, dalam Tamadun Melayu, Kuala Lumpur,
1993, v. 2.
Abdul Rahman Abdullah, Falsafah Alam Semesta Di Nusantara, Kuala Lumpur, 1999.
Abdul Rahman Abdullah, Falsafah dan kaedah pemikiran, Kuala Lumpur : Utusan publication, 2001.
Abdul Rahman Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan Di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama Dan Tarikat, Kuala
Lumpur : Penerbit Kintan, 1994.
Abdul Rahman Aziz, “ Nilai pekerjaan orang Melayu “, dalam (ed. Oleh Ahmad Fawzi Basri) Nilai Orang Melayu,
Sintok : UUM, 1996.
Abdul Rashid Ahmad, Kedudukan Pondok dalam masyarakat di Kelantan, Tesis B.A. untuk Universiti Malaya,
1966.
Abdullah Ishak, Pendidikan Islam Dan Pengaruhnya Di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP, 1995.
Adnan Hj. Nawang, Za’ba dan Melayu, Kuala Lumpur : Berita Publishing, 1998.
Ahmad Shukri Mohd. Naim, Konsep, teori, dimensi dan isu pembangunan, Skudai : Penerbit UTM, 2003.
Azyumardi Azra, Esei-Esei Intelektual Muslim Dan Pendidikan Islam, Jakarta : LOGOS, 1998.
Azyumardi Azra, Islam Reformis : Dinamika intelektual dan gerakan, Jakarta : PT RajaGrafindo Persada, 1999.
Badlihisham Mohd. Nasir, Islamic movements in Malaysia : A study of Da’wah in PAS and ABIM, Tesis Ph.D
untuk University of Birmingham, 1998.
C.S. Hurgronje, Mekka in the later part of the 19th century, Leiden, 1906.
Charles Tisdall, “ Ideas Of Mohammedan Malaya “, dalam The Missionary Review Of The World, v. xxxiv, 1916.
Che Omar Awang, The Methodology of teaching in Islam, with special reference to the traditional educational
method in Malaysia, Tesis Ph.D untuk University of Edinburgh, 1996.
Dr. H.M. Atho Mudzhar, Pendekatan studi Islam dalam teori dan praktik, Yogyakarta, 1998.
Farish A. Noor, “ Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On Sexuality “, dalam NST, 4 November,
2000.
20

Fauzi Deraman, Lihat Fauzi Deraman, Kedudukan Hadith dalam kitab Jawi : satu kajian terhadap karya-
karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani, Tesis Ph.D untuk Akademi Pengajian Islam Universiti
Malaya, 1997.
Ghazali Basri, “ Moral dan etika : Huraian konsep dan permasalahan dalam konteks pelaksanaan nilai murni di
sekolah-sekolah “, dalam Jurnal Pendidikan Islam, v. 3, bil. 2, 1990.
Hashim Musa, Merekonstruksi tamadun Melayu Islam : ke arah pembinaan sebuah tamadun dunia alaf
ketiga, Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya,2001
Husin Mutalib, Islam And Ethinicity In Malay Politics, Singapura, 1990.
Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1994.
Isabella Bird, The Golden Chersonese And The Way Thither, Kuala Lumpur, 1967.
Jamaie Hamil, UMNO Dalam Politik Dan Perniagaan Melayu, Bangi : Penerbit UKM, 2004.
Kamaruzzaman Bustaman Ahmad, Islam Historis : Dinamika studi Islam di Indonesia, Yogyakarta : Galang
press, 2002.
Khasnor Johan, “ Perkhidmatan Tadbir Melayu : Tradisi dan peranan dalam konteks kerajaan penjajah “, dalam
Malaysia : Sejarah dan proses pembangunan, Kuala Lumpur, 2000
Kontroversi Mengenai Memo Kepada Majlis Raja-Raja Melayu : Islam Dicabar, Rasulullah S.A.W. Uan Ulama
Dihina, Persatuan Ulama Malaysia dan Persatuan Ulama Kedah, Pulau Pinang, 2002.
M.B. Hooker, “ The translation of Islam into South-East Asia “, dalam Readings on Islam in Southeast Asia,
Singapore, 1985.
M.B. Hooker, A concise legal history of Southeast Asia, Oxford, 1978, hlm 48-68.
Mahmood Zuhdi Abd. Majid, Sejarah pembinaan Hukum Islam, Kuala Lumpur, 1992.
Md. Sidin Ahmad Ishak, The Malays in the Middle East, Kuala Lumpur, 2000.
Mohammad Redzuan Othman, “ The role of Makka-educated Malays in the development of early Islamic
scholarship and education in Malaya “, dalam Journal of Islamic Studies, v. 9:2, 1998.
Mohd Farid Mohd Shahran, Abim 30 Tahun, Beberapa Isu Penting Sepanjang Tiga Dekad, Kuala Lumpur, 2001.
Mohd. Napiah Abdullah, “ Penolakan Hadith Oleh Orientalis Dan Penulis Islam “, dalam Islam Dalam Persepsi
Orientalisme, Terbitan Tak berkala no. 3, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM,
Bangi, 1998.
Mohd. Taib Osman, Malay Folk Beliefs : An integration of disparate elements, Kuala Lumpur, 1989, hlm 48-50;
Abd. Jalil Borhan, “ Sumbangan ulama dalam perkembangan Islam di Alam Melayu “, dalam Jurnal
Syariah, v. 4, bil. 2, 1996.
Muhammad Abu Bakar, “ Dakwah di persimpangan : Halatuju dan masa depan Islam di Malaysia “, dalam ed. Oleh
Ahmad Redzuwan Mohd Yunus, Dakwah Gerakan Islam Alaf Baru, Bangi : UKM, 2000.
Muhammad Abu Bakar, “ Dari Pusat Ke Penggiran : Masa Kini Dan Masa Depan Pondok Di Malaysia “, dalam
Jurnal Pendidikan Islam, v. 3, bil 1, 1990.
Muhammad Abu Bakar, “ Dari pusat ke penggiran : Masa kini dan masa depan Pondok di Malaysia “, dalam Jurnal
pendidikan Islam, v. 3, bil 1, 1990.
Muhammad Kamal Hasan dalam Intellectual Discourse At The End Of The Second Millennium : Concerns Of
A Muslim-Malay CEO, Kuala Lumpur : UIAM, 2001.
Muhammad Kamal Hasan, Toward Actualizing Islamic Ethical And Educational Principles In Malaysia, Kuala
Lumpur : ABIM, 1996.
Muhammad Zainiy Uthman, “ Islam, Sains Dan Pemikiran Objektif : Suatu Perbandingan Ringkas “, dalam Jurnal
YADIM, bil. 2, November 2001.
Nordin Kardi, “ Melayu dan Islam dalam konteks pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi “, dalam edit oleh Suzalie
Mohamad Anjakan Minda belia Islam, Kuala Lumpur : IKIM, 2002.
Nurcholish Madjid, Islam Agama Kemanusiaan : Membangun Tradisi Dan Visi Baru Islam Indonesia, Jakarta :
Penerbit Paramadina, 2003.
Omar Awang, “ The major Arabic sources which determined the structure of Islamic thought in the Malay
Archipelago before the Nineteenth century A.D. in the field of law, theology and sufism “, dalam Islamika,
v. 1, 1981.
Omar Awang, “ The Trengganu inscription as the earliest known evidence of the finalisation of the Jawi alphabet “,
dalam Federation Museums Journal, v. 25, 1980.
Rahimin Affandi Abd Rahim (1999) “ The Malay-Muslim Legal Educational System During The Colonial Period “,
Dalam The Journal Of Hamdard Islamicus, Pakistan, v. 22.
21

_________ “ Analisis sejarah Dakwah dan jalinan intelektuaal rantau Malaysia-Indonesia “, dalam (edit oleh
Zulkiple Abd. Ghani) Jaringan Dakwah Malaysia-Indonesia, Terbitan Jabatan Pengajian Dakwah dan
Kepimpinan, UKM dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Bangi, 2003.
_________, “ Pemikiran reformis Melayu semasa : satu analisa “, dalam Seminar Bahasa dan Pemikiran Melayu,
anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pada 18hb. Jun 2002.
_________, “ Dakwah Dan Jalinan Intelektual Di Rantau Alam Melayu-Indonesia : satu analisa sejarah “, dalam
Seminar Antarabangsa Pengajian Dakwah Indonesia-Malaysia, anjuran bersama Universitas
Muhammadiyah Sumatera Utara dan Fakulti Pengajian Islam, UKM, pada 18hb. Mei 2002, di Medan,
Indonesia.
_________, “ Fiqh Malaysia : satu tinjauan sejarah “, dalam Fiqh Malaysia, ke arah pembinaan Fiqh tempatan
yang terkini, Kuala Lumpur, 2000, hlm 32-34.
_________, “ Hubungan antara ulama dan pemerintah di dalam sejarah tamadun umat Islam “, dalam Jurnal
Pengajian Melayu, v. 4, 1994.
_________, “ Keistimewaan Islam sebagai sistem hidup yang lengkap “, dalam Seminar Keindahan Islam 2003
Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus, Anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Sembilan, di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Seremban, pada 25hb. Mac 2003.
_________, “ Reformasi perundangan Islam di Malaysia : antara impian dan realiti “, dalam Jurnal Syariah, v. 2,
bil. 1, 1994.
_________, “Al-Quran dan peranan Ulama Melayu dalam Pemodenan Rantau Alam Melayu “,dalam (edit. oleh
Mohd Radzi Othman) Warisan al-Quran dan peradaban manusia siri 1, Penerbit Universiti Sains
Malaysia, Pulau Pinang, 2003.
_________, “ Budaya Taqlid dalam masyarakat Melayu : satu tinjauan ringkas “, dalam Jurnal Syariah, v. 3, bil. 1,
1995.
_________, “ Kebudayaan Melayu Dan Islam Di Nusantara : Satu Analisa Pengkaedahan “, dalam Seminar Hukum
Islam Semasa 111 Peringkat Kebangsaan 2000, Anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya, pada 7-8hb. November 2000.
Rahminah Muharam, “ Hubungan Islam dan Kristian dalam konteks dokumen Vatican 11 “, dalam Pemikir,
Oktober-Disember 2000.
Robert L. Winzeler, “ Traditional Islamic school in Kelantan “, dalam JMBRAS, 48 :1, 1975.
Russli Kamarudin, “ Realisme, Niccolo Machiavelli dan al-Ghazali : Satu perbandingan “, dalam Politik Malaysia :
perspektif teori dan praktik, Bangi, 2002.
S. Hossein Nasr, Traditional Islam In The Modern World, London : Kegan Paul International, 1990.
Salasiah Abd. Wahab, “ Madonna, Pascamoden dan Kebudayaan Popular “, dalam Jurnal YADIM, bil. 2, 2001.
Shafie Abu Bakar, “ Keilmuan Islam dan tradisi pengajian pondok “, dalam Budi Kencana, Kuala Lumpur, 1994.
Shaharuddin Maaruf, Konsep wira dalam masyarakat Melayu, Singapura : Pustaka Antara, 1993.
Shaharuddin Maaruf, Konsep wira dalam masyarakat Melayu, Singapura, 1993, hlm 99-116.
Shukri Ahmad, “ Implikasi pengaruh ulama terhadap halatuju perubahan pemikiran politik masyarakat Islam
wilayah utara Semenanjong Malaysia dari tahun 1950an hingga 1990an “, dalam Jurnal Usuluddin, bil. 14,
2001.
Suwaid Tapah, Harta Perkahwinan : Harta Sepencarian, Siri Penerangan Undang-Undang Islam 2, Kuala
Lumpur, 2001.
Syed Hussein al-Atas, Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur : DBP, 1992.
Syukri Ahmad, “ Aplikasi konsep ulama dan intelektual : suatu penilaian kritis “, dalam Jurnal Usuluddin, bil. 11,
2000.
Syukri Ahmad, “ Aplikasi konsep ulama dan intelektual : suatu penilaian kritis “, dalam Jurnal Usuluddin, bil. 11,
2000.
Virginia Matheson dan M.B. Hooker, “ Jawi literature in Patani : The maintenance of an Islamic tradition “, dalam
JMBRAS, v. 61, Part 1, 1988.
Wan Mohd Nor Wan Daud, “ Budaya Ilmu Sebagai Asas Pembangunan Tamadun “, dalam Jurnal Pendidikan
Islam, v. 3, bil. 1, 1990.
_________, Pembangunan Di Malaysia ; Ke Arah Satu Kefahaman Baru, Kuala Lumpur, 2001.
_________, The Educational Philosophy And Practice Of Syed Muhammad Naquib Al-Attas ; An Exposition Of The
Original Concept Of Islamization, Kuala Lumpur : ISTAC, 1998.
William Roff, The Origins Of Malay Nationalism, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1980.
Zaharom Nain, “ The structure of the media industry : implications for democracy “, dalam Democracy in
Malaysia; discourse and practices, Richmond, Surrey, 2002.
22

Zaini Ujang, Universiti : Mendukung tradisi intelektual, Kuala Lumpur : Institut Kajian Dasar, 1993.
Zulkifli Abd. Ghani, “ Gerakan Dakwah : Satu Takrifan Semula Untuk Melahirkan Islam Yang Progressif “, dalam
Himpunan kertas kerja Isu dan proses pembukaan minda umat Melayu Islam, Kuala Lumpur : DBP,
2002.

Anda mungkin juga menyukai