Anda di halaman 1dari 1

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu telah bercuti di kampung datuk dan nenek kamu.

Ceritakan pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek saya yang
terletak di Pasir Puteh Kelantan. Saya bertolak ke sana pada awal pagi dengan menaiki bas dari Kota
Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

Setibanya di rumah datuk, nenek sedang menunggu dengan hidangan makan tengahari. Saya makan
dengan berselera sekali kerana terlalu lapar, tambahan pula masakan ikan haruan dan puyu yang nenek
sediakan amat menyelerakan.

Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang terletak tidak jauh dari
rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah
aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya teknik memancing ikan di sungai. Saya
bersorak kegembiraan apabila dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya
tersenyum melihat gelagat saya.

Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk sangat luas. Di sini, saya
berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah mereka. Ada yang sedang merumput,
membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai
pada bulan hadapan. Saya berasa agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai
padi.

Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk mencari buluh. Mereka
bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja kerana ini adalah peluang keemasan kepada
saya untuk belajar membuat wau. Sepupu-sepupu saya mengajar saya menebang buluh, membelah,
dan meraut buluh untuk dibuat wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah
wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang
berhampiran rumah datuk.

Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang menjemput saya pulang
kerana cuti akan berakhir tidak beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan untuk meninggalkan
kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman
menarik pada cuti kali ini.