NOTA : Contoh karangan ini saya ubah suaikan daripada karangan asal pelajar;
ADIBAH NURHANANI BINTI ABDUL RAHMAN. (Beliau kini sedang menderita
sakit belakang yang kronik. Mohon doa untuk kelegaannya). Terima kasih.
Selain itu, saya juga perlulah menjadi anak muda yang bersifat patriotik yang
sentiasa memahami dan menghayati sejarah negara. Sesungguhnya kenyataan tersebut
wajar disemaikan dalam setiap diri individu yang bernama remaja. Hal ini demikian
kerana semangat tersebut semakin menipis dalam jiwa remaja pada alaf baru ini.
Lantaran itu, saya hendaklah menyimpan perasaan bangga dan berterima kasih kepada
tokoh-tokoh yang telah bersusah payah memerdekakan dan memajukan negara.
Contohnya, saya boleh melibatkan diri dalam sambutan kemerdekaan negara setiap
tahun bagi memperingati hari kemenangan negara yang telah bebas daripada
cengkaman penjajah Barat. Oleh itu, saya perlulah menjadi anak muda yang bersifat
patriotik yang sentiasa memahami dan menghayati sejarah negara bagi menghargai
pengorbanan jasa tokoh-tokoh kemerdekaan negara.
“Sesiapa yang melupakan sejarah, maka dia akan mengulangi kesilapan semula,“
ialah kata-kata daripada seorang tokoh falsafah pada era silam. Oleh itu, sebagai
prakarsa bagi memastikan saya menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah
memerdekakan negara kita daripada penjajah, saya mencadangkan kepada semua pihak
agar mengabadikan nama tokoh-tokoh negara di setiap tempat penting. Hal ini
demikian kerana perkara ini dapat memastikan nama tokoh-tokoh ini tak lapuk dek
hujan dan tak lekang dek panas.. Pada pendapat saya, pihak kerajaan memainkan
peranan penting untuk mewujudkan tempat–tempat yang dapat mengingatkan kembali
jasa tokoh-tokoh terdahulu. Tempat strategik adalah seperti pada papan tanda di
sepanjang lebuh raya dan tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti di muzium,
pusat beli-belah serta di destinasi pelancongan. Hal ini demikian dapat mendidik anak
watan seperti saya mengenali tokoh tersebut dengan lebih dekat lagi. Tuntasnya, saya
berharap biarlah mereka hilang pada jasad tetapi hidup kerana jasa yang
disumbangkan.
Kata-kata hikmat yang menyebutkan, tiada yang dahulu tiada yang sekarang
dan tiada yang lama maka tiadalah yang baharu menunjukkan bahawa hubung kait
antara yang lama dan yang baru sentiasa saling memerlukan. Seandainya, generasi
terdahulu sebagai pelakar sejarah, nescaya generasi kini perlulah menauladani sejarah
dan bijak pula menghargainya. Apa-apa yang telah dilakarkan oleh mereka hendaklah
dijadikan wasilah untuk membentuk sebuah masyarakat madani. Mana-mana yang salah
jadikanlah panduan untuk membuka lembaran sejarah yang baru, kerana yang baik
dijadikan tauladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.