Anda di halaman 1dari 1

Penggunan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di Sekolah

Kebelakangan ini, kawasan sekolah sering dicerobohi oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab untuk melesapkan barangan berharga milik pihak kerajaan. Selain
itu, berlaku juga peristiwa guru diserang oleh pelajar yang bermasalah. Situasi kurang
sihat ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak tentang tahap
keselamatan pelajar dan guru di sekolah. Oleh yang demikian, pelbagai pihak
menyuarakan cadangan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di
sekolah.

Banyak faedahnya jika CCTV dipasang di sekolah terutamanya di tempat-tempat


yang strategik dengan menyediakan pemantauan yang berterusan. CCTV yang dipasang
di pagar sekolah akan menghalang tabiat pelajar yang suka ponteng kelas atau pulang
lebih awal. Hal ini demikian kerana pihak sekolah dapat mengesan gejala yang kurang
sihat dan mengawal tahap disiplin para pelajar. Pemasangan CCTV di dalam kelas pula
membantu pengetua memantau proses pengajaran dan pembelajaran sama ada berlaku
secara efektif atau sebaliknya.

Bagi sekolah yang berindeks jenayah tinggi, pemasangan CCTV memang perlu
agar kadar jenayah menurun selain dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran
yang selamat. Walaupun pengawal keselamatan ada ditempatkan di sesetengah sekolah,
namun jumlahnya tidak berpadanan dengan keluasan sekolah. Hal ini akan membuka
ruang kepada penjenayah untuk mencuba nasib. Dengan pemasangan CCTV ini,
pengawal keselamatan dapat menghidu jejak penjenayah dengan lebih cepat. Pihak
berkuasa pula akan dapat merujuki kejadian jenayah melalui rakaman pita video yang
dirakam oleh sistem tersebut. Justeru, pemasangan CCTV merupakan langkah terbaik
bagi mengelakkan kerugian jutaan ringgit.

Di samping itu, ahli jawatankuasa disiplin sekolah dapat juga memantau


kegiatan para pelajar dengan adanya CCTV. Maklumat daripada CCTV ini akan
dihubungkan terus ke sistem e-disiplin, iaitu sistem pengurusan masalah disiplin
pelajar secara berkesan dan sistematik berasaskan teknologi web. Cetakan surat
amaran serta kemas kini rekod merit kesalahan pelajar dibuat oleh sistem berkenaan
secara automatik. Jika seorang pelajar melakukan kesalahan, merit pelajar itu akan
berkurang, sekali gus memberi kesan kepada rating disiplin sekolah yang terbabit.
Ternyata pemasangan CCTV amat efektif kerana wujud kesedaran dalam diri pelajar
supaya berkelakuan baik bagi memastikan sijil tamat persekolahan mereka dicatat
sebagai bersahsiah cemerlang.

Rumusannya, pemasangan CCTV di sekolah sangat relevan dengan era


kecanggihan teknologi. Hal ini demikian kerana banyak masalah disiplin dalam
kalangan pelajar dan kes kehilangan barang milik sekolah didedahkan kepada pihak
media massa. Pemasangan CCTV merupakan salah satu usaha untuk mengelakkan
kemudaratan lebih besar. Jadi, pihak sekolah perlu mengambil tindakan yang proaktif
bagi membendung permasalahan ini.

Anda mungkin juga menyukai