Anda di halaman 1dari 5

PERANAN INTERVENSI AWAL DAN KHIDMAT SOKONGAN UNTUK KANAK-KANAK

BERKEPERLUAN KHAS

1.0 PENGENALAN

Semua kanak-kanak di Malaysia mempunyai hak dan peluang untuk mendapat akses
pendidikan yang sempurna termasuk kanak-kanak berkeperluan khas. Menurut Yasmin
Hussain (2013), kanak-kanak berkeperluan khas yang datang ke sekolah kebiasaannya
menghadapi masalah kognitif, sosioemosi dan juga perkembangan psikomotor yang lambat
Justeru, intervensi awal perlu dilaksanakan dalam usaha untuk membantu murid berkeperluan
khas ini menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain.

Menurut Addison (2003), intervensi awal didefinisikan sebagai suatu proses


membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang dikenalpasti
mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental. Atau dengan kata lainnya,
intervensi merupakan perkhidmatan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak
dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu perkembangan
fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi melalui pelbagai terapi atau
perkhidmatan, seperti terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan
untuk keluarga. Program Intervensi awal hendaklah diberikan seawal mungkin iaitu sebaik
sahaja kanak-kanak tersebut disahkan oleh pakar mengalami ketidakupayaan atau kecacatan
seawal umur 0 hingga 6 tahun. Hal ini demikian kerana, tindakan awal yang dilakukan dapat
mengurangkan kesan kelambatan perkembangan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut
malah boleh mengelakkannya daripada menjadi semakin serius.

Wolfendale (1997) dalam Liew Ping Yee dan Manisah Mohd. Ali (2008) mengemukakan
empat peranan utama intervensi awal. Pertama, intervensi awal membekalkan sokongan
kepada keluarga supaya berupaya menyokong perkembangan kanak-kanak. Kedua, intervensi
awal adalah untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak dalam bidang utama seperti
komunikasi dan mobiliti. Ketiga adalah untuk meningkatkan keyakinan kanak-kanak, dan
keempat adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah pada masa hadapan. Justeru, tidak
dapat dinafikan bahawa intervensi awal memainkan peranan yang sangat penting untuk
membantu kanak-kanak berkeperluan khas mengurangkan impak ketidakupayaan sekaligus
meningkatkan potensi diri seperti kanak-kanak normal yang lain.
PERANAN INTERVENSI AWAL DAN KHIDMAT SOKONGAN UNTUK KANAK-KANAK
BERKEPERLUAN KHAS

2.0 Komponen-komponen dalam intervensi awal serta masalah yang dihadapi


murid berkeperluan khas

Terdapat beberapa komponen yang perlu di ambil kira oleh guru sebelum menjalankan program
intervensi awal antaranya membuat penapisan, pengesanan awal dan pentaksiran, merancang
aktiviti peneguhan dan merangsang perkembangan yang sesuai, menganalisis tugasan-tugasan
yang berurutan serta membuat penilaian tahap kefungsian selepas sesuatu intervensi
dijalankan. Namun, sebelum membangunkan sesuatu program intervensi, K.A Jamilah (2005)
mencadangkan supaya, guru mengumpul dan menganalisis maklumat subjek kajian telebih
dahulu bagi mengesan daerah kelemahan yang perlu diberi pemulihan.

Berikut merupakan ringkasan maklumat subjek kajian yang dipilih. Nama subjek kajian
ialah Mohd Haziq Bin Lutfi. Lahir pada 12 Mac 2006 dan kini berumur 7 tahun. Haziq
merupakan anak bongsu kepada 8 orang adik beradik. Ayah Haziq, Encik Lutfi Bin Ismail
merupakan seorang Nelayan manakala ibunya, Puan Norsiah Binti Harun merupakan peniaga
kuih kecil-kecilan. Haziq telah disahkan oleh pakar menghidap Autisme dengan ADHD ketika
berusia 4 tahun.

Menurut Ghani Abdullah dan Rahman Aziz. (2009), pengesanan awal perlu dilakukan
oleh guru bagi merancang pelan pengurusan tingkah laku dan seterusnya melaksanakan
intervensi. Maklumat hasil dari pengesanan ini juga bertujuan membantu ibubapa merancang
aktiviti yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan impak ketidakupayaan kanak–
kanak tersebut. Berdasarkan kes Haziq, pengesanan awal boleh direkod oleh guru
menggunakan rekod Senarai Semak Tingkah Laku seperti yang dicadangkan oleh Mohd
Arshad, Mohd Hanafi, Mohd Mokhtar Tahar (2016). Hasil dapatan yang diperoleh, guru
mendapati Haziq mengalami masalah tingkah laku yang dominan sehingga menggangu
pembelajarannya. Disebabkan oleh masalah tumpuan yang singkat, dia sering mengabaikan
tugasan sekolah kerana tingkah lakunya yang meninggalkan tempat duduk ketika dikelas,
ingkar arahan guru dan gagal menyiapkan tugasan yang diberi.

Hasil daripada pengesanan awal yang dilakukan, guru kemudiannya perlu merancang
aktiviti peneguhan yang sesuai bagi merangsang perkembangan murid tersebut sekaligus
mengurangkan masalah tingkah laku yang dihadapi. Menurut Ghani Abdullah dan Rahman
Aziz. (2009), aktiviti meneguh dan merangsang perkembangan merupakan fasa yang penting
semasa menjalankan intervensi bagi mengekal dan meningkatkan tingkah laku yang diingini
serta mengurangkan dan melupuskan tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh subjek
PERANAN INTERVENSI AWAL DAN KHIDMAT SOKONGAN UNTUK KANAK-KANAK
BERKEPERLUAN KHAS

kajian. Berdasarkan kajian Mohd Fadli Mustafa Kamala, Mohd Hanafi dan Mohd Mokhtar
(2016), aktiviti yang dicadangkan kepada guru untuk memodifikasikan tingkah laku subjek
kajian adalah dengan menggunakan kaedah pokok ganjaran. Kaedah pokok ganjaran
merupakan suatu teknik yang mana individu mendapatkan token untuk tingkah laku diingini
yang ditunjukkan. Contohnya, token akan diberikan sekiranya Haziq mendengar arahan guru
dan menyiapkan tugasan yang diberikan. Token yang dikumpulkan boleh ditukar pula dengan
peneguh simpanan. Peneguh simpanan yang diberikan hendaklah berdasarkan objek yang
diminati Haziq supaya Haziq sentiasa bermotivasi dan memberi tindak balas positif dengan
kaedah ini. Bagi memastikan keberkesanan intervensi ini, ibu bapa perlu mengambil bahagian
dengan meneruskan kaedah penggunaan pokok ganjaran ini di rumah supaya tingkah laku
positif yang ditunjukkan oleh subjek kajian lebih konsisten.

Selain itu, perlaksanaan kaedah pokok ganjaran ini juga perlu dipecahkan kepada
tugasan secara berturutan supaya perubahan tingkah laku yang diinginkan oleh subjek kajian
dapat dilihat secara jelas dan konsisten. Hal ini kerana menurut Hackenberg T. (2009),
sekiranya guru atau ibu bapa tidak konsisten dalam memberikan token, ia akan menyebabkan
subjek kajian tersebut akan hilang kepercayaan dan tidak mahu terlibat dalam program
intervensi ini. Oleh itu, semasa melaksanakan kaedah ini, pertama guru harus memberikan
pujian atau peneguhan sosial terlebih dahulu untuk merangsang tingkah laku yang diinginkan.
Kemudian, apabila subjek kajian sudah mula menunjukkan tingkah laku yang diinginkan
tersebut, token harus diberikan dengan serta merta dan tidak boleh ditunda. Contohnya, guru
memberikan arahan kepada Haziq untuk menyalin nota di papan putih. Kemudian, berikan
galakkan dan pujian serta mengingatkan Haizq tentang perjanjian untuk merangsang Haziq
menyiapkan tugasan tersebut. Sekiranya Haziq mendengar arahan guru dan menyiapkan
tugasan tersebut, guru perlu memberikan token serta merta sebaliknya jika Haziq masih
mengekalkan tingkah laku negatif yang sama, penarikan token akan dilakukan sebagai
peneguhan negatif kepada Haziq. Kesimpulannya, token yang diberikan ini dapat menjadi satu
motivasi yang boleh mengawal tindakan Haziq berkelakuan lebih baik dan positif serta
konsisten.

Seterusnya, langkah terakhir selepas melaksanakan sesuatu intervensi adalah dengan


membuat penilaian tahap kefungsian. Menurut Mok Soon Sang (2003), penilaian merupakan
suatu proses untuk mendapatkan maklumat bagi mengetahui kekuatan dan kelemahan
sebelum mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Dalam proses ini, guru perlu
mengumpulkan data sebelum, semasa dan selepas intervensi dijalankan untuk melihat sejauh
PERANAN INTERVENSI AWAL DAN KHIDMAT SOKONGAN UNTUK KANAK-KANAK
BERKEPERLUAN KHAS

mana keberhasilan teknik pokok ganjaran sebagai satu kaedah intervensi bagi mengatasi
masalah tingkah laku Haziq.. Oleh itu, Ngu Mee Kok (2009) telah mencadangkan supaya
penilaian dijalankan dengan cara membuat pemerhatian terhadap tingkah laku bersama guru
lain yang turut mengajar di kelas Haziq. Hasil pemerhatian tersebut boleh direkod
menggunakan instrumen skala semak dan skala kadar. Hasil daripada analisis data yang
dikumpul, guru boleh melihat sama ada penggunaan kaedah pokok ganjaran berjaya
mengurangkan masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh Haziq atau sebaliknya. Justeru,
dapatan yang diperoleh juga dapat membantu guru untuk mengetahui kekuatan, kelemahan
dan seterusnya membuat penambahbaikan bagi meminimakan pengulangan tingkah laku
negatif yang ditunjukkan oleh Haziq.

3.0 PERLAKSANAAN KHIDMAT SOKONGAN TERHADAP MURID BERKEPERLUAN


KHAS

Selain itu, khidmat sokongan juga memainkan peranan penting dalam membantu subjek kajian
menangani impak ketidakupayaan yang dialami. Khidmat sokongan yang boleh dirujuk bagi
masalah Haziq adalah seperti Permata Kurnia. Matlamat utama Permata Kurnia ini adalah
untuk meningkatkan kesedaran tentang autisme dan menyediakan perkhidmatan intervensi
awal kepada kanak-kanak autisme bagi mengembangkan potensi mereka sepenuhnya (Pusat
PERMATA Negara, 2018).

Antara program yang ditawarkan Permata Kurnia adalah seperti Program Intervensi
Awal dan Sokongan Keluarga, Program Pra-Sekolah, serta Program Pendidikan Komuniti.
Program Pendidikan Komuniti merupakan program yang paling sesuai bagi subjek kajian
kerana program ini memberikan pendedahan kepada ibu bapa, guru dan komuniti mengenai
kesedaran mengenai anak autisme dan juga strategi intervensi yang berkesan. Dalam program
ini juga, Permata Kurnia telah menyediakan bengkel untuk ibu bapa dan kursus-kursus secara
atas talian seperti panduan kepada ibu bapa untuk mengendalikan anak autism dan persediaan
ibu bapa sebelum menjalankan intervensi di rumah. Menurut Asmah Suboh, Nurulhuda Azizi
dan Mascilla Hamzah (2011), bengkel dan kursus seperti ini penting bagi membantu ibu bapa
Haziq menjalankan tindakan susulan kepada aktiviti di sekolah.

Di samping itu, Permata Kurnia juga menyediakan modul untuk para guru mendapat
maklumat dan menambah pengetahuan mengenai Autisme. Modul-modul ini terdiri daripada
PERANAN INTERVENSI AWAL DAN KHIDMAT SOKONGAN UNTUK KANAK-KANAK
BERKEPERLUAN KHAS

bengkel, kursus atas talian dan bahan sumber rujukan. Antara modul yang diberikan seperti
strategi pengajaran berstruktur yang diadaptasikan daripada TEACCH (Treatment and
Education of Autistic and Related Communication Handicapped Children). TEACCH adalah
program perkhidmatan komprehensif yang menekankan penyampaian maklumat melalui
bantuan visual (Panerai, Ferrante dan Zingale, 2002). Dengan bantuan visual, Haziq akan lebih
memahami arahan, tugasan atau urutan peristiwa seharian sekaligus dapat membantu guru
untuk memahami dan menjangka tingkah laku yang akan ditunjukkan Haziq. Justeru, modul
yang diberikan dapat membantu guru untuk dijadikan panduan dalam memberi intervensi
kepada Haziq serta menjalankan tindakan susulan selanjutnya.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, perlaksanaan intervensi yang sesuai serta bantuan dariapada khidmat


sokongan amat penting dalam membantu subjek kajian untuk mengurangkan masalah tingkah
laku yang dihadapinya. Masalah tingkah laku tersebut sekiranya tidak diberi pemulihan dari
awal akan menyebabkan individu mengalami masalah yang lebih serius sekaligus
mempengaruhi kebolehannya dalam melaksanakan sebarang kerja pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai