Anda di halaman 1dari 5

Amalan Nilai-nilai Murni Dalam Masyarakat Malaysia

Sosial
- Perpaduan

Pendahuluan
Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya
terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina,
India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan
yang aman dan damai malah saling hormat menghormatidan
bekerjasama berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei
1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan,
bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat”.
Konsep 1Malaysia
1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan
beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan
setiap rakyat Malaysia. Konsep 1Malaysia yang berasaskan
prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dapat
menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama antara
pelbagai kaum adalah kunci utama untuk menghadapi pelbagai
ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai
matlamat yang telah ditetapkan.
Perpaduan Melalui Pendidikan
Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah
sebagai salah satu usaha kerajaan untuk merealisasikan aspirasi
negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum
dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak
dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan
peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan
pembentukan negara.
Satu cara pendekatan penting untuk mewujudkan perpaduan
dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam
konteks Malaysia, pendidikan adalah tonggak utama dalam
membina perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda.
Berikut adalah cara bagaimana sistem pendidikan negara ini
boleh membentuk perpaduan.
Bahasa MalaysiaSebagai Bahasa Pengantar Utama
Bahasa Malaysia adalah medium paling penting untuk
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di
antara satu kaum dengan yang lain telah dapat diwujudkan tanpa
menimbulkan rasa curiga.
Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni
antara kaum di negara ini. Secara tidak langsung, dasar ini dapat
melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan
berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara.
Melalui penggunaan dan penghayatan Bahasa Malaysia yang
bersepadu, semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep
1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan akan dapat
dilaksanakan.
Bahasa Malaysia juga digunakan di semua sekolah kebangsaan
sebagai matapelajaran wajib, manakala bagi Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
(SJKT) yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing wajib
mengajar Bahasa Malaysia kepada pelajarnya.
Peperiksaan Yang Seragam
Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di
sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan
satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan
pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar
tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah ke sekolah yang
lain. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar
berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang
sama.
Kelulusan kepujian Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia menjadi satu keperluan bagi mendapat jawatan ataupun
untuk diserap ke jawatan tetap. Kelulusan Bahasa Malaysia pada
peringkat kemahiran bertutur juga menjadi syarat untuk lulus
dalam peperiksaan ijazah di universiti.
Sekolah Wawasan
Sekolah Wawasan adalah tempat yang terbaik untuk memulakan
proses integrasi antara kaum.Sekolah Wawasan menyediakan
ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi
secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang
permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.Mereka
berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu
sama lain dan akan membesar dengan sikap toleransi dan
hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Dengan ini
Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan
seterusnya mempercepatkan integrasi nasional.
Pada masa kini terdapat 6 buah Kompleks Sekolah Wawasan
yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu :
 Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar,
Perak
 Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar,
Kedah
 Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang
 Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya,
Selangor
 Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak
Kurikulum Sekolah Yang Sama
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di
dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai
dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah
menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-
ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk
membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani,
rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia,
kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang
mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang
berpandukan prinsip-prinsip Rukun Negara, di samping
menghasilkan modal insan yang terlatih untuk keperluannegara.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan
ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja,
bahkan memupuk semangat perpaduan. Ianya berorientasikan
suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983.
Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah,
Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral
yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama,
menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama
dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang
bersopan santun dan saling menghormati antara satu sama lain.
Setiap subjek yang diajar di sekolah juga harus menitikberatkan
aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan
budaya bersama diberikan keutamaan dalam setiap subjek.
Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk
membentuk dan menguatkan peribadi serta moral para pelajar.
Kesimpulan
Perpaduan kaum adalah elemen yang penting dan harus diberi
perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat
adalah amat penting bagi kesejahteraan negara.Hubungan kaum
yang harmoni adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan
negara. Bagi mencapai matlamat tersebut, negara memerlukan
rakyat yang berpendidikan, berilmu dan semangat patriotisme
yang tinggi dan komited untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab masing-masing dalam memacu negara ke arah
mencapai Wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai