Anda di halaman 1dari 2

Antara Dua Nilai

Islam tidak pernah mengajar kita untuk membezakan bangsa, bahasa dan warna kulit sebaliknya
menegaskan bahawa Taqwa itulah sebaik-baik nilai ukuran. Kita dipandang mulia oleh Allah SWT apabila
nilai Taqwa itu tercerna di dalam hati dan minda kita lalu menjadikan Taqwa itu sebagai neraca hidup
dalam setiap sikap dan tindak kita. Kita akan menjadi individu yang soleh selagi mana kita menjadikan
taqwa sebagai asas pembinaan diri kita, penentu wawasan serta dasar dalam pertimbangan dan
tindakan kita. Kita akan menjadi anggota keluarga yang baik selagi mana kita mewarnai hubungan
dengan anggota lain dengan warna-warna Taqwa. Begitu juga kita akan menjadi anggota masyarakat
yang baik apabila kita mengukur setiap sesuatu yang berlaku dengan neraca Taqwa.

Malangnya hari ini kita melihat pertumbuhan masyarakat lebih dipengaruhi oleh acuan-acuan lain selain
Taqwa. Bahkan nilai Taqwa itu sendiri dipandang begitu asing dan pendokong-pendokong Taqwa
seringkali merasa tersisih dan terpinggir.

Ketika menghadiri satu majlis perkahwinan baru-baru ini saya cuba memperhatikan setiap babak
pergaulan masyarakat untuk menjayakan majlis tersebut. Kerana saya ada hubungan kekeluargaan
dengan pemilik rumah jadi saya hadir dari awal hinggalah majlis bermula. Saya dapat merasai dan
melihat suatu hubungan yang melampaui batas ketaqwaan, terutamanya dikalangan kanak-kanak dan
remaja. Jika nak dilihat dengan nilaian kemasyarakatan tentu banyak yang positifnya; Kerjasama yang
begitu erat, sikap ambil berat dan tolong menolong ditonjolkan dengan begitu ketara. Tetapi jika di lihat
dengan nilaian taqwa maka kita akan lihat perhubungan yang tiada batasan syarak. Sesama kawan
mereka bertempuk bertampar seperti satu keluarga yang sah.

Kalau golongan dewasa dan tuanya sibuk bergotong royong dan mengumpat maka golongan mudanya
sibuk meng’adjust’ pasangan masing. Dari pergerakan dan air muka, memang nampak dengan jelas
setiap orang ada pasangannya yang cukup diberi perhatian; makan, minum, susah dan senangnya
bersama.

Saya tidak melihat semua ini dengan kebencian tetapi dengan penuh rasa simpati. Mereka ini
diumpamakan oleh Syed Qutb umpama kanak-kanak kecil yang sedang bermain pisau, yang akan
membahayakan diri mereka sendiri. Kita tidak seharusnya menghina dan menjauhkan diri dari mereka
tetapi mencari jalan penyelesaian agar benih keimanan kembali tersemai dihati-hati mereka hingga
tumbuhnya pohon-pohon ketaqwaan yang menghiasi halaman jiwa mereka.
Inilah titik tolak (noktah bidayah) dalam dakwah seperti yang digambarkan oleh As Syeikh Ramadhan Al
Buti, kita melihat mereka yang tenggelam tanpa hidayah itu bagaikan manusia-manusia yang terkurung
dalam lubang yang gelap dan sempit dan takut untuk keluar meilhat dunia yang luas dan indah. Mereka
sudah terbiasa dengan kegelapan dan merasakan itulah keindahan dunia yang sebenar. Maka kita perlu
menghulurkan tangan kita dengan wajah yang manis sambil memujuk mereka bahawa kegelapan itu
bukanlah dunia sebenar, dan ksempitan itu bukanlah nikmatnya; dunia sebenarnya luas dan indah
bercahaya. Kita juga melihat kerosakan akhlaq mereka sebagai kotoran pada pakaian yang sangat saya
sayangi; kita tidak bencikan mereka walau sedikitpun, kita Cuma bencikan kekotoran yang mencemari
mereka. Lalu kita hampiri dan menyentuh mereka dengan penuh kasih sayang lalu kita cuba
membersihkan segala kekotoran tanpa meninggalkan bekas calaran dan gurisan pada pemilik hatinya.

Sukar! Ya, memang sukar tetapi itulah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW yang kita imani
kerasulannya; Rasul Dakwah dan rasul tarbiyyah yang telah mewaqafkan segala yang dimiliki dan
diupayai untuk mendekatkan manusia kepada jalan yang benar.

Payah! Ya, memang payah tetapi itulah harga bagi meraih redha Allah dan syurgaNya yang seluas langit
dan bumi.

Saya meninggalkan majlis ketika petugas-petugas kenduri menghilangkan kepenatan mereka dengan
ber’karaoke’. Sambil melangkah keluar saya bersembang dengan anak-anak saya “Nak ke kalau kenduri
rumah kita nanti kita buat macamni?” Mereka menggeleng kepala. “Memang salah, tapi jangan rasa
benci pada mereka, sebab mereka semua tak tahu yang mereka buat itu salah. Nanti anak-anak Abi dah
besar nanti, kena ajak mereka untuk faham Islam, biar mereka kenal Allah dan takutkan neraka Allah,
boleh?” Anak-anak saya mengangguk. Walaupun anak-anak saya masih terlalu muda namun saya benar-
benar berharap mereka merasai apa yang tersemat dijiwa saya pada ketika itu. Dan saya tidak merasai
adanya perkara yang mustahil dibawah kekuasaan Allah SWT.