Anda di halaman 1dari 8

ULASAN JURNAL

Oleh : Mohamad Hafizi Bin Johan

No. Matriks : D 2014 10 67616

Tajuk Artikel : Patriotisme Belia Ke Arah Perpaduan dan 1Malaysia

Penulis Artikel : Ahmad Shah Bin Pakeer Mohamed (2013)

Bahan Ulasan : Jurnal

Penerbit : Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri

1.0 PENGENALAN/LATARBELAKANG: KONTEKS

Dalam kajian ini yang diterbitkan pada 2013, penulis ingin melihat konteks bagaimana peranan
yang harus dilaksanakan oleh seseorang belia dalam usaha untuk mengukuhkan ikatan perpaduan
yang selama ini diidamkan seterusnya merealisasikan hasrat untuk mencapai matlamat
1Malaysia. Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada
telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum
iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk
pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan.
Walau bagaimanapun, belia pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga
mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat
bahawa belia kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan
oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Belia kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di
negara kita. Sedia maklum bahawa belia merupakan tunjang kekuatan kepada pembangunan
sesebuah negara. Penulis berpendapat bahawa semangat patriotik haruslah diterapkan pada
peringkat awal lagi supaya dapat merealisasikan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang
maju. Persoalan yang ditimbulkan oleh penulis, mampukah belia yang masih berdarah panas ini

1
memikul tanggungjawab yang berat? Menerusi artikel ini, penulis juga turut mengaitkan peranan
belia di dalam konsep 1Malaysia serta memberikan satu mekanisme yang harus dilakukan untuk
mengembalikan semangat patriotisme dalam diri belia. Remaja yang bersemangat patriotik
merupakan satu aset yang tidak ternilai buat mana-mana negara termasuklah Malaysia. Golongan
ini yang masih muda dan penuh dengan impian boleh memberikan sumbangan yang bermakna
kepada negara jika diasuh dengan betul oleh generasi lama. Kegagalan melakukan tindakan yang
betul mampu menjadikan generasi remaja ini satu bebanan pula kepada masyarakat di negara ini.
Lantaran itu, banyak kepentingan yang boleh wujud menerusi remaja yang bersemangat patriotik
ini jika usaha-usaha memupuknya berjalan lancar.

2.0 SASARAN PEMBACA

Berdasarkan kepada tajuk fokus kajian dan jurnal ini adalah ditujukan kepada para belia yang
merupakan tulang belakang sesebuah negara yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan
yang akan datang. Artikel ini amat berguna umumnya kepada kepada orang ramai sebagai bahan
bacaan tambahan mereka dan khususnya kepada para belia tentang langkah-langkah yang perlu
diambil untuk menyemai semangat patriotik untuk menjamin perpaduan kaum dan keharmonian
negara sekali gus mencapai matlamat Gagasan 1Malaysia. Melalui pembacaan artikel ini, secara
tidak langsung, para belia akan terdedah dengan langkah-langkah yang perlu diambil oleh
seorang belia serta kesan sekiranya semangat cintakan tanah air tidak dipraktikan sejak awal lagi.

3.0 RUMUSAN JURNAL

Pada permulaan penulisan artikel ini, penulis menceritakan permasalahan semangat patriotisme
yang berlaku dalam kalangan belia yang menjadi duri dalam daging dalam usaha untuk
mengukuhkan perpaduan dalam kalangan belia sekali gus menghalang hasrat kerajaan untuk
mencapai matlamat Gagasan 1Malaysia. Penulis mengambarkan bahawa penghayatan dan
pengertian patriotisme pada masa kini dipandang enteng oleh golongan belia. Keadaan ini dapat
dibuktikan melalui beberapa keadaan yang telah berlaku dimana telah menyebabkan nilai-nilai
patriotisme negara terhakis. Penulis memberi contoh permasalahan seperti seorang rakyat
Malaysia, Wee Meng Cheng(Namawee) yang memperlekehkan lagu kebangsaan Malaysia(Lagu
Negaraku) yang mendapat tentangan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

2
Timbul suara-suara yang memberi cadangan kepada Kerajaan Malaysia agar Namawee
dilucutkan kerakyatan. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku di mana ianya akan membawa satu
kesan yang tidak baik kepada perpaduan negara. Penulis membincangkan punca utama lunturnya
semangat patriotik adalah disebakan sikap remaja itu sendiri yang selalu dimanjakan dan
keadaan kehidupan tidak pernah mengalami kesusahan membebaskan negara dari cengkaman
penjajah seperti perjuangan yang dibuat oleh Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja
Lela dan lain-lain.

Seterusnya, penulis membincangkan cabaran yang belia yang perlu dihadapai dalam
konteks perpaduan. Semangat ini berguna dipupuk kerana mampu mengurangkan risiko
berlakunya rusuhan kaum di negara ini. Masyarakat kita yang berbilang bangsa menjadikan
perkara ini satu risiko yang boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja. Jika rusuhan kaum tercetus
di negara ini maka semua pembangunan yang dirancang selama ini akan hilang begitu sahaja.
Jelaslah, semangat patriotik harus dipupuk dalam jiwa anak remaja kita. Penulis juga
memberikan contoh cabaran seperti contoh yang dihadapi dalam merangka sebuah negara
Malaysia yang berdaya saing tinggi. Menurut penulis, setiap kaum mempunyai sistem
pendidikan yang berbeza. Contohnya sekolah Kebangsaan dimanopoli oleh orang Melayu yang
menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu, pelajar Cina yang menuntut di sekolah Cina
yang menggunakan bahasa Mandarin dan begitulah dengan kaum India. Cabaran yang
dimaksudkan oleh penulis ialah berlaku jurang yang menyebakan interaksi mereka terhad dan
pemupukan persefahaman sukar dibentuk.

Seterusnya, penulis juga membincangkan berkaitan dengan beberapa langkah yang perlu
diambil untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia. Contohnya, penerapan
nilai-nilai patriotisme di kalangan rakyat Malaysia perlu bermula sejak dibangku sekolah lagi. Ini
kerana, pada peringkat awal pendidikan kanak- kanak, mereka telah diajar dengan lagu-lagu
rakyat yang mana tujuannnya adalah untuk melahirkan satu generasi yang tahu akan asal usul
bangsanya. Dalam penerapan nilai-nilai inilah strategi kerajaan digunakan supaya setiap
warganegaranya tahu akan kewujudan asal usul bangsa serta negaranya. Selain itu, penulis juga
menghuraikan peranan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai egen untuk
menyemaikan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

3
Seterusnya, penulis menghuraikan peranan dan konsep 1Malaysia yang telah digunakan
oleh kerajaan khususnya untuk menarik minat remaja agar mempunyai semangat cintakan negara
yang tinggi supaya remaja yang ada kini dapat mempertahankan negara pada masa hadapan.
Penulisan menyatakan bahawa melalui konsep ini, kerajaan kini lebih bersedia menjadi
pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah, rintihan
serta pendapat dari belia. Jadi, golongan belia perlu menanam semangat perpaduan yang tinggi
dalam diri mereka bagi menyemarakkan lagi Gagasan 1Malaysia.

Penulis juga membincangkan peranan belia dan masa depan negara. Penulis
menghuraikan bahawa belia perlu diberi ruang dalam bidang yang penting sama ada ekonomi,
politik mahupun sosial, mereka tidak pasti akan kelebihan dan kebolehan mereka. Oleh yang
demikian sumbangan idea dan pendapat mereka yang diambil kira oleh pihak kerajaan
menyebabkan mereka lebih rasa dihargai dan mampu menyumbang sesuatu kepada
pembangunan negara. Penulis menjelaskan bahawa belia boleh memainkan peranan besar dalam
negara jika diberi ruang dan peluang yang berpandukan kepada satu garis panduan yang telah
ditetapkan agar hala tuju mereka lebih terarah dengan matlamat negara.

4.0 PENILAIAN
4.1 Tema
Tema penulisan jurnal ini berkaitan dengan semangat patriotisme yang harus ada
dalam setiap individu khasnya kepada golongan belia ke arah perpaduan yang selama
ini diidamkan sekali gus mencapai hasrat Gagasan 1Malaysia. Pelbagai persoalan
ditumbulkan oleh penulis antaranya persoalan tentang permasalahan semangat
patriotisme, cabaran yang perlu dihadapi oleh belia dalam konteks perpaduan dan
sebagainya di mana persoalan ini dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan
pembacaan mereka. Pokok persoalannya, penulis menerangkan apakah peranan
sebenar belia yang perlu dilakukan oleh mereka untuk memantapkan perpaduan dan
merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

4
4.2 Kandungan: Penting dan Terkini
Secara keseluruhannya, kandunga artikel ini penting sebagai pengetahuan dan boleh
memberi kesedaran kepada pembaca tentang betapa pentingnya semangat patriotisme
dalam kalangan belia sebagai pemangkin perpaduan di negara kita serta
merealisasikan hasrat kerajaan dalam mencapai matlamat Gagasan 1Malaysia.
Penulis membincangkan permasalahan semangat patriotisme yang menjadi
menghalang dalam usaha pengukuhan perpaduan. Segala isu yang dibincangkan dapat
memberi pengajaran kepada pembaca tentang betapa pentingnya semangat
patriotisme ini. Selain itu, penulis juga menyelitkan cabaran yang dihadapi oleh belia
dalam konteks perpaduan dan dalam konteks 1Malaysia. Penulis juga
membincangkan langkah-langkah yang perlu dimainkan oleh belia bagi menerapkan
semangat patriotisme. Menerusi artikel ini, penulis juga turut membincangkan tentang
peranan dan tanggungjawab seorang belia kepada negara yang boleh diambil oleh
mahasiswa dan mahasiswi sekarang dalam menjalani kehidupan seharian sekali gus
menerapkan nilai-nilai murni yang sepatutnya ada di dalam diri setiap belia.

4.3 Fakta Utama


Penulisan ini menunjukkan bahawa berlaku permasalahan dari segi semangat
patriotisme dan cabaran yang harus dihadapi oleh belia kerana berlaku peredaran
zaman dahulu dan zaman moden yang semakin hari semakin luntur ditelan arus
pemodenanan. Penulis turut menyelitkan beberapa langkah yang bernas yang boleh
diambil oleh belia untuk menerapkan semangat patriotisme dalam diri mereka.
Penulis juga memperhalusi peranan dan tanggungjawab seseorang belia kepada
negara seperti boleh memainkan peranan besar dalam negara jika diberi ruang dan
peluang yang berpandukan kepada satu garis panduan yang telah ditetapkan agar hala
tuju mereka lebih terarah dengan matlamat negara. Usaha untuk membentuk belia
yang berwawasan harus mengambil kira faktor perkembangan semasa supaya sejajar
dengan kehendak dan keperluan terkini. Selain itu, penulis juga mengaitkan peranan
belia di dalam konsep 1Malaysia, di mana kerajaan kini lebih bersedia menjadi
pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah,
rintihan serta pendapat dari belia. Golongan belia perlu menanam semangat

5
perpaduan yang tinggi dalam diri mereka bagi menyemarakkan lagi Gagasan
1Malaysia.

4.4 Gaya Penulisan


Penulisan dalam artikel ini jelas dan mudah difahami dengan menggunakan laras
bahasa yang sesuai dan berbentuk formal. Selain itu, penulis menggunakan nota kaki
dan rujukan gaya penulisan British. Nota kakinya diletakkan di bahagian bawah
setiap halaman. Selain itu, penulis juga turut menggunakan sistem pengarang tarikh.
Kaedah ibid digunakan untuk merujuk penggunaan buku yang sama. Terdapat 23 nota
kaki keseluruhannya. Senarai rujukan disusun mengikut abjad nama penulis. Sumber
yang digunakan teridiri daripada sumber sekunder. Sumber sekunder pula ialah buku-
buku, jurnal dan artikel dan laman-laman web yang rasmi.

4.5 Kredibiliti kandungan: Meneroka isu-isu yang dikemukakan


Artikel ini adalah sahih kerana releven dengan isu semasa di mana berlakunya
kelunturan semangat patriostime yang saban hari terpampang di dada akhbar-akhbar
contohnya, isu segelintir yang tidak menghormati Lagu Kebanggsaan negara, berlaku
pergaduhan antara kaum-kaum yang disebabkan api perkauman yang telah
disebarkan, isu diskrimasi ekonomi oleh orang Cina dan banyak lagi. Kajian ini
sangat penting kerana melalui kajian ini, golongan belia dapat membuka mata dan
mula sedar apakah peranan dan tanggujawab yang perlu dilakukan sebagai pewaris
takhta sesebuah kerajaan. Jadi, penulis menyenaraikan beberapa langkah yang boleh
diambil sebagai usaha untuk menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

5.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN

Penulisan jurnal ini mempunyai banyak kekuatan memandangkan penulis berpegang kepada
fakta melalui kajian dalam buku-buku ilmiah dan rujukan di lawan-lawan web yang rasmi dalam
menguatkan hujah yang diberikan. Penulis ini juga, berjaya membawakan kesedaran kepada
pembaca tentang betapa pentingnya semangat patriotism yang perlu dipupuk dari awal dalam
kalangan belia supaya dapat mengukuhkan perpaduan negara kita sekali impian Gagasan

6
1Malaysia dapat dicapai dengan jayanya. Dari penulisan ini juga penulis berjaya menyedarkan
pembaca langkah-langkah yang boleh diambil oleh kalangan belia untuk menerapkan dan
mengembalikan semangat patriotime yang selama ini dicari-cari. Melalui penulisan ini juga,
golongan belia juga akan sedar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan
sebagai bakal peneraju masa hadapan. Utuhnya sesebuah negara adalah dek kerana kukuhnya
semangat cintakan akan tanah air. Dengan ada Gagasan 1Malaysia ini, secara tidak langsung
dapat mewujudkan belia Malaysia yang mempunyai peribadi yang kukuh dan bersepadu dari segi
mental, fizikal, bertanggungjawab, berdisiplin, bersemangat patriotik dan sukarelawan serta
menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara. Penulis juga
berjaya menyerdarkan diri pengkaji sendiri sebagai seorang belia untuk bangun dan bangkit
mempertahankan negara sendiri dengan menghayati semangat patriotisme sejak awal lagi.
Menerusi artikel ini juga, pembaca juga dapat didedahkan dengan konsep 1Malaysia itu sendiri.
Konsep 1Malaysia boleh dijayakan lagi jika semua golongan belia bersatu. Golongan belia dapat
sedar sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai pelapis dan pemimpin
negara pada masa hadapan. Mereka perlu menjadi warganegara Malaysia yang mementingkan
perpaduan dan menanam semangat cintakan negara seterusnya bekerjasama tanpa mengira kaum,
agama dan bangsa dalam menjadikan 1Malaysia menjadi realiti.

6.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Selain daripada langkah-langkah yang dicadangkan oleh penulis, penkaji juga ingin turut
berkongsi langkah-langkah lain yang dapat menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan
remaja. Antaranya, dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek
semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya
perkara ini dilakukan, para pelajar pada peringkat awal akan memahami dan menghayati
semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan
perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan
dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari pelajar hinggalah selepas mereka menamatkan
persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi. Selain itu, pengkaji turut
mencadangkan, golongan belia juga perlu selalu didedahkan kepada Jalur Gemilang yang
berkibar megah pada sepanjang masa dan perayaan Hari Kebangsaan setiap tahun itu sepatutnya

7
dijadikan wadah untuk memperbaharui azam mempertahan kemerdekaan pada masa depan.
Mereka perlu diberi kesedaran betapa pentingnya erti kemerdekaan terhadap sesebuah negara.
Pihak-pihak yang tertentu seperti Persatuan Sejarah Malaysia hendaklah menganjurkan
pertandingan menulis esei bertemakan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan generasi
muda. Peraduan seperti ini akan memberi kesempatan kepada golongan belia untuk
mengumpulkan bahan-bahan sejarah yang banyak dalam akhbar-akhbar. Pengumpulan bahan-
bahan sejarah ini secara tidak langsung akan mencelikkan mereka kepada sejarah perjuangan
generasi silam demi kemerdekaan negara daripada belenggu penjajah.

7.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya artikel ini telah menerangkan secara jelas berkaitan dengan kepentingan
semangat patriotisme dalam kalangan belia dalam memastikan perpaduan dapat dikukuhkan
seterusnya Gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan. Penulis juga menerangkan dengan terperinci
tentang permasalahan yang berlaku dan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh golongan
belia dalam menyemaikan semangat cintakan negara pada peringkat awal lagi. Selain itu, dapat
disimpulkan juga melalui Gagasan 1Malaysia, kerajaan juga hendaklah memupukkan semangat
cinta akan negara dalam setiap orang rakyat, khususnya dalam kalangan remaja supaya dapat
melahirkan seorang modal insan yang cinta akan negara dan pemimpin yang berwibawa untuk
masa yang akan datang. Oleh itu, penulisan ini juga boleh menyedarkan khalayak pembaca
khususnya golongan belia agar bersama-sama bertanggungjawab menjaga kestabilan yang kita
nikmati sekarang ini dari aspek politik, ekonomi, dan sosial daripada tercemar dengan anasir
yang negatif seperti isu perkauman supaya negara kita akan terus membina nama dipersada
dunia.