Anda di halaman 1dari 4

“Cita-cita hidup seseorang itulah yang menjadi ukuran kebesarannya.

Apalah
sebabnya maka ada manusia yang diberi gelaran “orang besar” dan ada pula
yang bergelar “orang kecil” kalau bukan kerana cita-citanya?” – Ayahku
karya HAMKA

Itulah kata-kata HAMKA yang membuatku terpaku setelah membolak-balik


muka surat buku itu, dalam harapan mencari inspirasi untuk menggerakkan
hatiku menghadapi hari tersebut. Ia, iman kita naik dan turun, dan kadang
kita merasa kita tidak ada arah tujuan dalam hidup kita. Gelisah, risau; kita
takut melihat kejayaan terbentang di hadapan kita. Seolah-olah tujuan hidup
kita hanya diisi untuk berhiburan, makan, kerja, dan tidur.

Pernah aku bersembang bersama rakan kerjaku. Dalam perbualan itu aku
menanyakan bagaimana dia menghabiskan waktunya setiap hari.

“Bangun, kerja, pulang ke rumah, makan dan menonton televisyen lalu tidur.
Ulang semula untuk hari seterusnya.”

Padaku, itu bukan hidup. Itu hanya sekadar ‘mejalankan kewajipan hidup’
yang ada pada setiap manusia. Tidak ada makna pada kehidupan sebegitu.
Apakah kita dicipta sekadar itu? Jawapan rakanku itu membuatku marah,
walaupun itu bukan cara hidupku, kerana hidup sebegitu tidak ada nilainya!
Kita dicipta untuk lebih dari itu! Kita manusia!

Ia, kita manusia. Pernahkah engkau bertanya kepada diri sendiri,”Apakah erti
manusia? Untuk apa aku ada di muka bumi ini?” Pertanyaan sebeginilah yang
selalu mengiringi fikiranku setiap waktu, kerana ia menghidupkan hati dan
akal fikiranku supaya selalu bertanya tujuan hidup di dunia.
Aku sedar bahawa dalam hidup, kita akan lebih memahami sesuatu apabila
kita bertanyakan akan sesuatu hal demi memahami jawapan yang akan diraih
di penghujung persoalan itu daripada diberi jawapannya terus.

“You can give a man a fish, but better to teach him how to fish.”

Ia, mengajar seseorang bagaimana untuk berfikir lebih bermanfaat daripada


setiap kali memberinya jawapan terus.

Mudah sekali jika ada jawapan depan kita, tetapi jika kita asyik disuap
dengan jawapan kepada hidup dan tidak berdikari untuk memikirkan
bagaimana kita boleh sampai ke jawapan itu, maka kita akan malas berfikir
untuk perkara-perkara penting dalam kehidupan kita. Kita akan turut kepada
jawapan itu tanpa menanyakan bagaimana sesuatu itu terjadi atau berlaku.

Mungkin ramai sudah tahu tujuan kita diciptakan.

Allah ‘Azza Wa Jal berfirman,

{Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka
menyembah-Ku.} Surah Adh-Dhariyat Ayat 56

Mungkin engkau akan berkata, “Ia, itu aku tahu, tapi aku tak tahu apa aku
nak buat dengan hidup aku ni.” Engkau tidak bersendirian, dan ingatlah itu!
Kerana aku percaya, ramai juga yang masih tercari-cari panggilan hidup
mereka, apa yang dipanggil ‘passion’ dalam bahasa inggeris

Jika ingin mendalami akan makna tujuan hidup, bolehlah kita kisarkan erti
cita-cita. Ada beberapa kata-kata HAMKA yang menusuk ke hatiku, kata-
kata, yang padaku, indah dan mendalam.

“Orang yang memperoleh kemenangan dalam suatu pekerjaan ialah orang


yang mengukur bajunya sesuai dengan tubuhnya.” – Falsafah Hidup.
Mengukur baju sesuai dengan tubuh. Jika engkau seseorang yang suka
menulis, tidak pantas jika engkau menghabiskan hidupmu mengejar suatu
pekerjaan yang tidak dekat pada hati. Contoh, tidak wajar engkau menjadi
seorang wartawan tetapi engkau memilih kursus jurutera kerana ‘mereka’
kata itu jalan yang selamat, jalan yang boleh memberikan pendapatan dan
hidup yang stabil.

Tetapi, siapakah yang menjalankan hidup engkau? ‘Mereka’ atau engkau


sendiri? Kadang, cara terbaik untuk hidup adalah dengan menepis segala
kata-kata orang yang tidak pandai menilai diri kita, kerana walaupun mereka
berniat baik untuk memberi nasihat, tidak semestinya nasihat itu bagus untuk
diri kita. Di sini kita dapat pelajari betapa pentingnya memilih kawan dan
juga orang orang terhormat seperti orang tua kita dan guru-guru kita dalam
memberikan nasihat hidup.

Belajarlah mengenali diri sendiri, akan kekuatan dan kelemahan yang ada
dalam dirimu. Dari situ dapatlah kita membina cita-cita yang besar dan kecil
mengikuti keupayahan setiap individu. HAMKA faham akan kekuatan dan
kelemahannya, dan terlihatlah kekuatannya dalam menuliskan sekian banyak
buku dan novel yang telah menghidupkan masyarakat Islam di Nusantara. Di
situ terlihatlah kebesaran cita-citanya.

Islam mengajarkan kita untuk menjadi mukmin yang bercita-cita tinggi.


Tidak cukup hanya sekadar menjalankan kewajipan yang diperintahkan oleh
Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam perkara duniawi juga, kita harus
memberikan segala fokus dalam pekerjaan kita dengan meniatkan untuk
meraih ridha Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Jadi, apakah cita-cita kita?