Anda di halaman 1dari 4

Dalam pemilihan bidang kerjaya, minat menjadi faktor utama. Bincangkan.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang
kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem
pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di
sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “Apakah kerjaya
yang anda inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran
yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa
dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah
hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita.

Dasawarsa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini
mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan
tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor,
juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam
pemilihan sesuatu bidang kerjaya? Hakikatnya, minat merupakan salah satu faktor dominan yang
mewarnai fokus perbincangan akan dikupaskan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Kita dapat menyaksikan betapa minat merupakan faktor paling dominan yang mempengaruhi seseorang
dalam pemilihan kerjaya mereka. Dalam konteks ini, minat juga akan menyebabkan seseorang berusaha
dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita mereka. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan
belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mahupun STPM.
Pelajar haruslah memberikan tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas. Kesannya, pelajar akan
lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan dengan senang. Sikap
kesungguhan ini dapat digambarkan melalui peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Tegasnya, seseorang yang mempunyai minat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan
kerjaya yang diidam-idamkannya menjadi kenyataan.

Umum mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan
dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka
lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat
persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar
seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang
dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan
kerjaya turut diberi keutamaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah jika
seseorang ingin menjadi seorang jurutera, subjek yang mesti dipilih ialah Lukisan kejuruteraan. Sebagai
langkah untuk merealisasikan kerjaya idaman dan cita-cita yang menggunung tinggi ini, pelajar haruslah
memilih subjek yang seiring dengan kursus yang dipilih mereka.

Sesungguhnya, seseorang pelajar sudah pasti mempunyai idola yang ingin dicontohi sebelum mereka
menentukan kerjaya masa depan. Biasanya, idola yang dipilih memang dikagumi dan menepati dengan
kerjaya yang dipilih. Sebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek, mereka boleh
menjadikan arkitek negara yang terkenal dan gah namanya di persada dunia iaitu Hijjas Kasturi sebagai
idolanya. Bukan itu sahaja, malah segala ketekunan, kegigihan dan kekreatifan beliau akan dijadikan
sebagai teladan dalam menggapai kerjaya idaman mereka. Impaknya, seseorang yang dijadikan idola
seharusnya mampu mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta
kesungguhan seseorang untuk memastikan kerjaya yang dihasratkan dapat
direalisasikan. Sememangnya, idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan
motivasi ke arah menjadikan kerjaya sebagai kenyataan bukannya omong-omong kosong sahaja.
Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah
tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak
mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka
akan kecundang di peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat
anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa. Bagi
menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan
anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan. Janganlah menjadi sokong yang membawa
rebah. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-
anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan
menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama
dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan
dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara
dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak,
manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-
anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan
maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka
menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju
yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada
semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya
yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang
dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi
yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi.
KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI [ICT]
Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini
sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan
dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di
hujung jari sahaja. Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan
atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat
kepada individu, masyarakat dan negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan.
Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu
jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran
negara ke arah lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat
dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang
kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia. Pentadbiran
negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai
wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen,
permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap. Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan
disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM)
dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.

Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan
negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk
kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar. Jika dahulu ada
yang merujuk keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum.
Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci.
Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan
cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan
pengorbanan nyawa. Persis peribahasa yang berbunyi sediakan payung sebelum hujan. Banjir, ribut
taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai
manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung
sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat
persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang
yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem
pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut
(IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai
panduan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat
dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil
dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali
mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama
ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat
menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit.
Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-
merta seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita
mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di
Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung. Siaran
ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video
bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut
berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas
kepada masa depan yang gemilang.

Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di
sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar
mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau
di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain
menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan
lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun
jagung dan darah setampuk pinang sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik
daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah
ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam
cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang
penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di
negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan
dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan
pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-
tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan
televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja.
Umpama serampang dua mata dan sambil menyelam minum air. Di samping itu, kegiatan jenayah
yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV,
akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah
menggegarkan seluruh Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun
mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera
video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga,
kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC)
sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat
kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan
ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak
swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia sekata
untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.