Anda di halaman 1dari 4

Refleksi

Sepanjang saya menjalankan tugasan Kurikulum dan Pedagogi Pendidikan Jasmani


(PJM3103E), banyak perkara yang saya pelajari. Antaranya ialah cara membina Rancangan
Pengajaran Harian, Isi kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Isu
semasa mengenai Pendidikan Jasmani, cabaran yang dihadapi oleh guru dalam membina
objektif serta perkara yang perlu diambil kira ketika guru membuat aktiviti Pendidikan Jasmani
di sekolah.

Pada awalnya, saya menganggap pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan


Jasmani adalah lebih mudah berbanding subjek lain. Selain itu juga, tanggapan saya
mengenai Pendidikan Jasmani merupakan subjek yang tidak penting. Perkara ini telah
tersemai dalam diri saya semenjak saya di sekolah rendah lagi. Namun, apabila saya mula
mempelajari perkara berkaitan dengan Pendidikan Jasmani, barulah saya mengetahui betapa
pentingnya mata pelajaran ini dan betapa sukarnya untuk membina satu rancangan
pengajaran harian yang lengkap bagi membantu memperkembangkan potensi dalam diri
murid.

Sebelum saya memulakan kerja kursus projek.ini, saya telah memuat turun file DSKP
Pendidikan Jasmani tahun 5 dan juga buku panduan guru bagi tahap 5. Namun demikian,
DSKP tahun 5 yang saya temui dalam internet mempunyai beberapa kesalahan di dalamnya.
Ini dapat dikesan apabila saya dan rakan membuat semakan bersama sebelum mula
membuat rancangan pengajaran harian ringkas bagi tujuan pembentangan. Di sini saya dapat
mempelajari beberapa perkara penting iaitu meneliti sesuatu sumber sebelum
menggunakannya dan juga banyakkan membuat bacaan serta perbincangan bagi
mengelakkan atau mengesan kesilapan ketika membina RPH.

Dalam membina RPH pula, saya agak keliru untuk memilih objektif serta aktiviti yang
sesuai mengikut Standard Pembelajaran. Selepas diteliti dan berbincang dengan rakan
beserta pensyarah, barulah saya boleh memahami dengan jelas cara untuk membina objektif
serta aktiviti yang sesuai. Perkara yang menarik bagi saya apabila mempelajari cara membuat
RPH ini ialah, ia lebih mudah berbanding RPH Bahasa Melayu kerana penerangan mengenai
perkara yang dikehendaki dalam setiap langkah adalah jelas.

Selain daripada RPH dan DSKP, saya juga didedahkan dengan kemungkinan yang
bakal saya hadapi apabila mengajar. Contohnya kekurangan peralatan, ketiadaan padang
permainan dan juga masalah kawalan murid. Walaupun ketiga-tiga perkara ini nampak mudah
dan senang diatasi, namun banyak perkara yang perlu diambil kira. Sekiranya ketiadaan
peralatan, saya sebagai guru perlu membina peralatan menggunakan daya kreativiti sendiri
bagi memudahkan aktiviti dilaksanakan. Manakala apabila ketiadaan padang, saya perlu
mencari alternatif lain bagi membolehkan Pendidikan Jasmani tetap dijalankan. Contohnya
saya boleh mencari kawasan lapang di sekolah untuk dijadikan kawasan permainan. Namun
demikian, faktor keselamatan perlu juga diambil kira. Bagi mengatasi masalah kawalan murid
pula, saya diterangkan cara untuk mengawal murid daripada bertindak liar dan juga
kedudukan saya ketika aktiviti turut diajar supaya saya boleh memerhati murid ketika mereka
melaksanaka aktiviti. Ini penting bagi saya untuk mengetahuinya kerana dalam tugasan ini
juga saya perlu membuat sesi pengajaran mikro mengikut RPH yang telah saya bina.

Dalam tugasan ini juga, saya diingatkan untuk memikirkan kemungkinan halangan
yang bakal saya hadapi semasa menjalankan sesi pengajaran mikro. Saya perlu memikirkan
alternatif lain sekiranya terdapat perkara lain yang berlaku di luar perancangan. Ini
membolehkan saya sering merujuk rakan-rakan cara mengatasi masalah-masalah tertentu.
Adakalanya terdapat juga perbincangan secara spontan di dalam kelas mengenai situasi
pengajaran Pendidikan Jasmani di sekolah.

Apabila sesi pengajaran mikro berlangsung pada 4/4/2015, saya merupakan peserta
pertama yang akan mengajar. Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya kerana saya tidak
pernah mengajar matapelajaran Pendidikan Jasmani. Selain itu juga, perasaan takut dan
kurang yakin lebih banyak menguasai saya berbanding perasaan ingin mencuba. Walaupun
pada awalnya saya gementar Alhamdulillah saya berjaya mengawal perasaan sebelum
memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di Dewan Za’Ba.

Semasa saya menjalani sesi pengajaran mikro, saya dapati banyak kekurangan yang
ada dalam pengajaran saya. Antaranya ialah pengurusan masa, pengurusan tempat, kawalan
murid dan juga penerangan saya mengenai permainan adalah kurang jelas. Pada awal
permainan lagi saya dapat rasakan, bahawa aktiviti set induksi saya terlalu banyak dan
permulaannya juga kurang sesuai. Saya sepatutnya terus bermula dengan permainan kecil.
Selain itu juga, semasa membuat pentaksiran kognitif, saya dapati soalan saya tidak
bersesuaian dengan aktiviti yang saya lakukan. Gambar yang terdapat pada soalan kognitif
tersebut juga kurang jelas. Pada masa itulah baru saya nampak segala kelemahan dalam
perancangan yang saya bina.

Sebelum peserta kedua bermula, saya diberikan sehelai kertas yang mengandungi
keseluruhan masa aktiviti bagi pengajaran mikro yang saya lakukan. Walaupun dalam rph
telah dinyatakan masa untuk setiap empat fasa yang terdapat dalam RPH, namun masa
tersebut tidak saya tepati. Ini kerana setiap permainan mengambil masa yang agak lama.
Tambahan pula, masa aktiviti turut terjejas apabila murid diminta untuk mengambil peralatan
dan juga mendengar sedikit taklimat atau cara bermain. Untuk fasa permulaan, saya
mengadakan dua aktiviti. Masa yang di peruntukan dalam rph saya hanyalah 3 minit sahaja,
namun ia telah berlarutan sehingga 6 minit 20 saat. Disini saya telah mengambil masa bagi
melakukan aktiviti perkembangan. Disebabkan itu lah saya mengambil langkah untuk
menggugurkan salah satu aktiviti dalam fasa perkembangan bagi mengelakkan masa saya
terlajak jauh. Pada pendapat saya, aktiviti pada fasa permulaan ini saya sepatutnya terus
dengan permaianan kecil iaitu musang dan ayam. Ini kerana permainan tersebut lebih menarik
dan boleh dijadikan aktiviti “warm up” bagi murid.

Dalam fasa perkembangan pula, setelah saya menggugurkan aktiviti pertama saya
terus meneruskan aktiviti kedua iaitu pundi kacang beraga. Masa yang saya gunakan untuk
aktiviti ini terlalu singkat iaitu hanya selama 50 saat sahaja. Saya memberikan murid untuk
membuat hantaran dalam pundi kacang beraga sebanyak lima kali sahaja. Oleh kerana terlalu
gementar, saya terlupa untuk meminta murid menghantar pundi kacang menggunakan
pelbagai aras iaitu aras kepala, paras dada, sisi dan aras bawah. Kesilapan ini hanya disedari
pada akhir pengajaran mikro. Aktiviti kedua dalam fasa ini ialah permainan monyet dan bola.
Aktiviti ini juga melibatkan hantaran. Masa yang diambil hanyalah selama 1 minit 28 saat. Juga
terlalu singkat. Apabila masa kedua-dua aktiviti ini dicampur, durasinya hanyalah selama 2
minit 18 saat sahaja. Berbeza dengan masa yang telah saya tetapkan dalam rph iaitu 12 minit.

Bahagian kemuncak pula, saya memperuntukkan masa selama 7 minit. Namun ini juga
tidak tercapai. Aktiviti pada fasa ini ialah “Mark Attact” iaitu melibatkan hantaran pundi kacang
dan serangan ke kawasan pertahanan lawan. Aktiviti ini sangat menarik. Ia melibatkan murid
berfikiran kreatif dalam merancang strategi untuk menyerang kawasan pertahan lawan
sekaligus mendapatkan markah bagi ahli kumpulan. Masa yang saya gunakan pada aktiviti
kali ini ialah 3 minit 36 saat sahaja.

Bagi bahagian penutup iaitu bahagian regangan atau menyejukkan badan beserta
dengan pentaksiran, saya memperuntukkan masa sebanyak 5 minit sahaja. Namun sekali lagi
saya telah melakukan aktiviti melebihi masa. Pada bahagian regangan saya mengambil masa
2 minit 32 saat manakala pada bahagian pentaksiran pula saya menggunakan masa sebanyak
4 minit, 45 saat. Masa bagi pentaksiran seharusnya saya kurangkan lagi. Supaya masa yang
di peruntukan pada awalnya boleh dicapai.

Dalam melaksanakan pentaksiran ini, banyak kelemahan yang saya lakukan. saya
menjalankan pentaksiran secara berkumpulan iaitu 2 orang satu kumpulan. Saya juga tidak
membacakan soalan kepada murid. Semasa perbincangan juga, saya tidak mengumpul
dahulu lembaran kerja sebelum berbincang. Ini membolehkan murid menukar jawapan. Ini
merupakan kelemahan yang saya catat sebagai pengajaran dan panduan pada saya apabila
praktikum nanti.

Jumlah keseluruhan masa dari awal hingga tamat pengajaran mikro saya ialah 32 minit
39 saat. Ini melebihi masa yang diperuntukkan iaitu selama 30 minit. Jumlah masa aktiviti
berlangsung dari fasa permulaan sehingga cooling down pula adalah sebanyak 19 minit. Ini
merupakan masa yang sesuai bagi menjalani pengajaran dan pembelajaran Pendidikan
Jasmani di sekolah. Masa selebihnya pula adalah bagi penerangan yang diberikan dan juga
pengambilan peralatan untuk tujuan permainan.

Kesimpulannya, apabila membina sesebuah RPH, guru harus teliti dalam menentukan
objektif, aktiviti dan pentaksiran bagi membolehkan ketiga-tiga perkara ini selari dan boleh
digunakan untuk menguji kefahaman serta kemahiran yang murid kuasai. Selain itu juga, guru
harus berusaha untuk menepati masa yang telah diperuntukkan dalam rph bagi mengelakkan
masa pendidikan jasmani menjadi lebih panjang serta menganggu masa mata pelajaran
seterusnya. Kerja kursus kali ini membuka minda saya mengenai betapa pentingnya
Pendidikan Jasmani di sekolah kerana matapelajaran ini merangkumi hampir keseluruhan
matapelajaran di sekolah. Pendidikan Jasmani ini juga boleh membantu melahirkan murid
yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial. Ini kerana aktiviti ini
membolehkan murid bergerak aktif dalam aktiviti dan menyebabkan mereka berkembang dari
segi fizikal, mental dan emosi. Mereka juga perlu bijak mengawal emosi semasa bermain, tahu
menjaga kebersihan diri, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, bijak memikirkan perkara-
perkara tertentu dalam pelbagai situasi serta saling bekejasama antara satu sama lain. Ini
menunjukkan bahawa Pendidikan Jasmani ini mampu melahirkan rakyat Malaysia yang
diharapkan oleh Falsafah Kebangsaan.

Anda mungkin juga menyukai