Anda di halaman 1dari 5

Tugasan 2

1.0 Pendahuluan

Masalah tingkah laku, emosi dan mental bukan sahaja dihadapi oleh orang dewasa
malahan kanak-kanak seperti murid sekolah rendah tidak terkecuali menghadapi masalah ini.
Namun begitu, kanak-kanak masih tidak mampu untuk meluahkan masalah yang dihadapi
disebabkan oleh mereka tidak mencapai kematangan dalam sudut pemikiran kognitif dan
afektif. Oleh sebab itu, pembimbing atau guru kaunselor yang berhubung dengan murid-murid
bermasalah ini perlu peka dengan situasi tersebut dengan memahami murid-murid dalam
konteks masalah murid itu sendiri. Menurut Johari Talib (2009), tanggungjawab kaunselor
profesional adalah luas berdasarkan kepada prinsip iaitu semua murid tanpa mengira latar
belakang kelas dan etnik adalah berhak untuk dihormati dan menerima khidmat kaunseling,
tiap individu berhak menerima maklumat bagi memperbaiki diri mereka, tiap individu
mempunyai hak untuk memahami peluang pendidikan mereka dan tiap individu berhak
mengekalkan privasi mereka. Oleh hal yang demikian, kaunselor hendaklah bijak dalam
melakukan langkah-langkah intervensi bagi mengawal masalah murid sebelum menjadi lebih
serius.

2.0 Kaedah Intervensi Bimbingan Dan Terapi

Berdasarkan pemerhatian saya semasa menjalani pengalaman berasaskan sekolah


(PBS), kaunselor terlebih dahulu melakukan intervensi awal terhadap murid yang bermasalah
bagi mencari kaedah terapi yang bersesuaian untuk mengatasi masalah murid tersebut.
Contoh masalah yang ditimbulkan oleh murid tersebut ialah masalah tidak hadir ke sekolah
dalam jangka masa yang panjang. Pada mulanya, beliau melakukan pertemuan dengan murid
tersebut untuk melakukan soal selidik bagi mengetahui punca masalah itu berlaku. Hal ini
demikian kerana, kaunselor ialah pendengar manakala murid ialah klien. Sekiranya klien tidak
berperanan dengan baik ahli terapi haruslah ketika itu memahami perasaan atau ‘angin’ klien
itu (Mohammed Sharif, Roslee Ahamad, & Jamaludin Ramle, 2007). Oleh itu, dalam
pertemuan tersebut beliau cuba menyelami perasaan murid tersebut bagi membina hubungan
yang positif antara murid. Hal ini bertujuan supaya murid dapat menaruh kepercayaan yang
tinggi kepada kaunselor sebagai seorang pendengar. Di samping itu, kaunseor melakukan
pertemuan ini juga adalah untuk mengetahui rentak emosi serta perilaku murid di samping
mencari kaedah terapi yang sesuai kepada murid tersebut.

Bagi mengatasi masalah murid tersebut, kaunselor telah mengambil langkah dengan
melakukan kaedah terapi bercerita. Terapi bercerita merupakan salah satu medium
komunikasi antara kaunselor dengan murid dan salah satu inisiatif guru untuk mengenali
murid dengan lebih mesra. Hal ini demikian kerana, cerita merangkumi pengalaman emosi
dan menggambarkan hidup emosi dalaman. Terapi bercerita memberi kanak-kanak perkataan
yang diperlukan untuk menyatakan serta meluahkan perasaan dan konteks untuk mereka
memahami perasaan tersebut. Penceritaan semasa proses terapi dijalankan hendaklah
bersesuaian dengan masalah yang dihadapi oleh murid supaya kaunselor dapat menyuntik
emosi murid. Apabila guru dapat merangsang emosi murid, secara tidak langsung murid akan
bersedia untuk membuka mulut atau bercerita kepada kaunselor berkaitan masalah yang
dihadapinya. Perkara ini adalah kerana murid berasa seolah-olah watak yang diceritakan oleh
kaunselor amat dekat dengan dirinya dan tidak mustahil jika murid berimaginasi sesuatu
watak tersebut merupakan dirinya sendiri. Dengan terapi bercerita, mereka dapat mengaitkan
diri dalam cerita tersebut dan sekali gus menyelesaikan masalah dengan bimbingan dan
pendapat guru dan kawan-kawan (Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2016). Oleh
sebab itu, kaunselor perlu kreatif dalam menjalankan terapi bercerita untuk membolehkan
murid menghayati watak yang diceritakan sekali gus mendapat jalan penyelesaian kepada
masalah mereka melalui jalan cerita sesuatu penceritaan.

Berbalik kepada masalah murid tersebut, kaunselor melakukan kaedah terapi


bercerita secara individu. Hal ini demikian kerana, kaunselor mendapati bahawa murid
tersebut lebih bersedia untuk berkongsi masalahnya secara individu. Walaupun pada mulanya
agak sukar untuk dia membuka cerita, namun setelah kaunselor memberi bimbingan seperti
menetapkan matlamat yang realistik kepadanya, menerangkan kesan dan akibat daripada
tingkah lakunya yang negatif dan menetapkan tingkah laku yang ingin diubah murid tersebut
sedikit demi sedikit lebih terbuka terhadap kaunselor. Antara perkara utama yang dapat saya
rumuskan di sini ialah murid tersebut telah dapat menganalisis dan menilai cerita sepanjang
sesi terapi dijalankan terhadap dirinya. Seperti sedia maklum, cerita memberi kejayaan,
kegagalan, kegembiraan dan kesedihan yang mencerminkan akibat setiap keputusan watak,
sama ada positif atau negatif. Hal ini telah memberi tunjuk ajar kepadanya untuk membuat
keputusan positif pada masa kelak. Disebabkan itu murid tersebut telah memberi kerjasama
yang sewajarnya kepada kaunselor tersebut. Selain itu, dapatan lain yang saya dapat
rumuskan ialah murid tersebut telah dapat menambah keyakinan diri untuk mengekspresikan
perasaan dan idea melalui terapi bercerita tersebut kerana kaunselor telah melibatkan dirinya
secara aktif sepanjang sesi terapi.

Namun begitu, dalam melakukan intervensi berpusatkan murid kaunselor tersebut


turut menggunakan pendekatan intervensi berpusatkan keluarga kerana kanak-kanak dilihat
sebagai sebahagian daripada sistem sesebuah keluarga. Bimbingan dan kaunseling yang
berkesan sememangnya memerlukan kolaboratif daripada pelbagai pihak terutamanya
daripada keluarga atau ibu bapa. Tujuannya adalah supaya ibu bapa prihatin terhadap
masalah anak di samping membina kemesraan yang mendalam dalam keluarga. Tambahan,
keluarga merupakan pihak yang terdekat dan rapat dengan anak. Menurut Yahya Don (2006),
interaksi dua hala yang sihat antara ibu bapa dan anak perlu bagi membina hubungan yang
baik. Oleh sebab itu, satu pertemuan antara pihak sekolah dan ibu bapa murid yang tidak
hadir ke sekolah ini telah diatur bagi menyelesaikan masalah ini. Dalam pertemuan tersebut,
guru dan ibu bapa saling berbincang perihal anak-anak mereka supaya ibu bapa dapat sama-
sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Bukan itu sahaja, tujuannya juga
adalah supaya ibu bapa mampu mewujudkan komunikasi dua hala yang positif dengan anak
mereka bagi mengatasi masalah anak mereka. Dengan hal ini, anak mereka lebih bersedia
untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa di mana usaha ini sedikit sebanyak membantu
pihak sekolah dalam menangani kes ini.

Selain itu, kaunselor tersebut juga mengadakan satu sesi kaunseling secara
berkelompok bagi kanak-kanak tahun satu. Kaedah terapi yang digunakan ialah terapi seni.
Terapi seni ialah satu profesion kesihatan mental yang menggunakan proses kreatif dalam
lukisan untuk menambah baik dan menyempurnakan fizikal, mental dan emosi individu di
bawah semua peringkat umur. Melalui ekspresi seni murid dapat memahami cara untuk
mendedahkan keperluan dalaman dan konflik jiwa serta boleh memberi bantuan dalam
pencarian resolusi. Penggunaan lukisan ketika membantu kanak-kanak untuk kaunseling atau
psikiatri kerana kanak-kanak tidak dapat bercerita dengan jelas disebabkan keupayaan
bahasa dan kefahaman tentang apa yang berlaku masih lemah (Amla Salleh, Zuria Mahmud,
& Salleh Amat, 2009). Oleh hal yang demikian, kaunselor tersebut menggunakan teknik
lukisan kaunseling kanak-kanak bagi menyelami perasaan murid-murid tahun satu. Beliau
telah menggunakan teknik Ujian-Lukis-Keluarga di mana kaunselor meminta murid-murid
melukis gambar keluarganya yang sedang melakukan aktiviti. Secara kasarnya, murid-murid
tersebut kelihatan teruja untuk melukis gambaran keluarga masing-masing mengikut
imaginasi masing-masing. Hal ini demikian kerana, aktiviti melukis adalah amat sinonim
dengan murid tahun satu.

Namun begitu, dapatan yang diperoleh kaunselor ternyata membantu beliau dalam
menjalankan tugas beliau sebagai seorang kaunselor. Terdapat seorang lukisan murid yang
agak ganjil jika dibandingkan dengan lukisan rakan-rakannya. Warna lukisannya kebanyakan
berwarna hitam dan ahli keluarganya tidak lengkap di mana murid tersebut tidak melukis
gambar ayahnya. Disebabkan itu, kaunselor telah mengambil murid tersebut sebagai kliennya
bagi menyelidik latar belakang murid tersebut. Dalam terapi seni ini, murid secara tidak
langsung telah meluahkan emosinya yang terpendam tanpa mereka sedari. Mereka bukannya
tidak mahu meluahkan konflik yang dihadapi oleh dirinya, tetapi mereka tidak mengetahui
kaedah dan cara untuk mengekspresikan masalahnya. Hal ini demikian kerana, mereka masih
lagi kanak-kanak yang terbatas kosa katanya dan tidak memahami erti masalah dan konflik
dalaman. Oleh sebab itu, teknik ini merupakan salah satu teknik yang efektif dalam sesi terapi
kerana melalui lukisan kanak-kanak mendedahkan banyak perkara penting yang berlaku
dalam dirinya.

3.0 Penutup

Sebagai kesimpulannya, kaunseling untuk kanak-kanak sememangnya tidak patut


dipandang enteng atas tiket mereka hanya seorang kanak-kanak. Realitinya, golongan kanak-
kanak yang sewajarnya diberi perhatian dalam menyelami emosi mereka kerana kanak-kanak
tidak pandai untuk meluahkan masalah yang dihadapinya. Menurut Baharuddin Ismail dan
Madihah Mohamad Shukri (2007), melalui proses kaunseling untuk kanak-kanak, kaunselor
mampu mencegah dan menghalang masalah-masalah normal kanak-kanak daripada bertukar
menjadi masalah yang lebih serius dan berat. Hal inilah yang dikatakan mencegah lebih baik
daripada merawat. Kaunseling kanak-kanak dijalankan adalah bertujuan untuk
menyelesaikan masalah mereka serta mengajar mereka membina keyakinan diri yang tinggi
terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Namun begitu, mereka memerlukan bantuan orang
dewasa dalam menjalani proses kedewasaan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama
pihak sekolah seperti guru dan kaunselor serta ibu bapa dalam menguruskan hal ini agar
dapat mengurangkan masalah tingkah laku murid bermasalah di dalam kelas. Emosi yang
stabil akan mendorong kepada perilaku normal yang memberi kelebihan kepada proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Rujukan
Amla Salleh, Zuria Mahmud, & Salleh Amat. (2009). Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Baharuddin Ismail & Madihah Mohamad Shukri. (2007). Kaunseling Kanak-Kanak. Kuala
Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku.
Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Johari Talib. (2009). Profesionalisme Kaunselor Sekolah Rendah. Jurnal Pengajian Umum
Asia Tenggara, 3-4.

Mohammed Sharif, Roslee Ahamad, & Jamaludin Ramle. (2007). Kaunseling & Psikoterapi
Teori, Teknik Dan Amalan. Johor: Universiti Teknologi Malaysia Skudai.

Yahya Don. (2006). Psikologi Sosial Dalam Pendidikan. Selangor: PTS Publication Publishing
Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai