Anda di halaman 1dari 10

AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008: PERKEMBANGAN HAK ORANG

KURANG UPAYA DI MALAYSIA


Hirwan Jasbir Bin Jaafar1, (Dr. Harlida Bt. Abdul Wahab 2 & Dr. Nurli Bt. Yaacob3)

hirwan@unimap.edu.my
Universiti Malaysia Perlis
ABSTRAK
Akta Orang Kurang Upaya 2008 membuka lembaran baru kepada golongan orang-orang yang tidak
bernasib baik akibat kekurangan yang dimiliki mereka. Mereka merupakan salah satu golongan istimewa
yang mendapat perhatian Kerajaan Malaysia apabila Kerajaan Malaysia bersetuju menandatangani
Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) 2010. Justeru itu, kajian ini dijalankan untuk mengkaji
perkembangan hak Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya
2008. Akta ini telah diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008.
Kajian ini akan memberi tumpuan kepada fungsi, kuasa, skop dan keanggotaan Majlis Kebangsaan bagi
Orang Kurang Upaya seperti yang dinyatakan menerusi Akta ini. Kajian ini juga akan membincangkan
latar belakang dan perkembangan hak OKU di Malaysia. Kesimpulannya, beberapa cadangan akan
dikemukakan untuk memastikan hak OKU mendapat perlindungan sejajar dengan tujuan asal Akta Orang
Kurang Upaya 2008 diwujudkan.

Kata Kunci: Hak OKU, Majlis Kebangsaan bagi OKU dan Akta Orang Kurang
Upaya 2008.

PENGENALAN

Hak asasi manusia ialah satu bentuk keperluan asas untuk kesejahteraan seseorang manusia.
Menurut Britanica Concise Encyclopedia, hak asasi ialah hak yang dimiliki oleh seseorang
individu disebabkan ia dilahirkan sebagai seorang manusia. Berdasarkan definasi ini hak itu lahir
bersama lahirnya seorang manusia ke muka bumi ini. Hak asasi menjadi teras kepada kebebasan,
keadilan, keharmonian, keamanan dan ketenteraman kehidupan manusia di muka bumi ini.
Pelanggaran hak asasi bermakna kita seolah-olah telah melanggar hukum alam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) telah menerima dan meluluskan


Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration Of Human Right(UDHR)
dalam perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10/12/1948 yang menjadi teras
perlindungan hak asasi setiap manusia di seluruh dunia(Abdul Ghani Shamsuddin, 2007). Tujuan
utama pengisytiharan ini adalah untuk mengiktiraf keutuhan kemuliaan dan hak sama rata serta
asasi yang berasaskan kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia. Kebebasan hak asasi manusia
turut dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai akta di Malaysia. Sebagai
contoh, Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan melarang sesiapa sahaja untuk memaksa orang lain
menjadi buruh secara penghambaan. Ini bermakna tiada siapa yang dibenarkan untuk memaksa
orang lain untuk bekerja untuknya. Setiap orang adalah bebas untuk bergerak dan melakukan apa
sahaja selagi mana undang-undang membenarkannya. Ini bermakna undang-undang melindungi
setiap orang tanpa membezakan sama ada seseorang itu cukup sifat mahupun tidak dalam
ertikata OKU. Selain itu, setiap orang berhak untuk bergerak ke mana-mana sahaja dan memiliki
harta sebanyak mana sekalipun selagi mana ia diperoleh tanpa melanggar undang-undang.

1
Justeru itu, Perlembagaan Persekutuan memberikan perlindungan terhadap hak sama rata kepada
sesiapa sahaja yang tinggal di negara kita.

Perkembangan Hak Di Bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008

Setiap orang di dunia ini mengimpikan kehidupan yang selesa dan dihormati. Oleh yang
demikian setiap orang adalah sama di sisi undang-undang dan mendapat perlindungan yang sama
rata menurut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas menggambarkan kepada kita
bahawa setiap orang yang berada di Malaysia berhak mendapat perlindungan dan layanan yang
sama di sisi undang-undang tanpa mengira status dan fizikal seseorang. OKU adalah golongan
minoriti yang juga memerlukan perlindungan dan bantuan sama seperti golongan minoriti yang
lain seperti orang asli, wanita dan kanak-kanak. Atas sebab itulah hak golongan ini diiktiraf di
peringkat antarabangsa melalui beberapa deklarasi dan konvensyen. Bagi golongan OKU selain
daripada konvensyen berkaitan hak asasi hak mereka juga jelas dinyatakan dalam Konvensyen
Hak Orang Kurang Upaya (Convention On The Right Of Person With Disabilities) yang telah
diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 13 Disember 2006 dan dibuka untuk
ditandatangan dan diratifikasi pada 30 Mac 2007. Sebanyak 158 buah negara telah
menandatangani dan meratifikasi konvensyen ini termasuklah Kerajaan Malaysia. Tujuan utama
Konvensyen ini adalah untuk memberikan hak sama rata kepada OKU untuk menikmati
kehidupan seperti insan normal yang lain. Berdasarkan Konvensyen ini terdapat tujuh hak
khusus yang dimaktubkan kepada OKU iaitu:

i. Hak kesamaan dari segi perundangan tanpa diskriminasi.


ii. Hak untuk kehidupan.
iii. Hak kebebasan dan keselamatan individu.
iv. Hak untuk bebas daripada penyeksaan.
v. Menghormati integriti fizikal & mental.
vi. Hak untuk pendidikan, kesihatan dan pekerjaan
vii. Hak untuk terlibat dalam politik, aktiviti awam dan kesenian dengan bebas

Ketujuh-tujuh hak ini menjadi teras kepada setiap negara yang telah menandatangani
konvensyen ini. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Malaysia bersetuju menandatangani
Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) 2010 pada 8 April 2008 dan meratifikasikan
konvensyen tersebut pada 19 Julai 2010. Hasil dari komitmen dan kesungguhan kerajaan
Malaysia dalam mengiktiraf golongan OKU, Akta OKU 2008 telah diluluskan di Parlimen pada
24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008. Ia mula dikuatkuasakan pada 7 Julai
2008 dengan tujuan untuk memberikan pengiktirafan terhadap hak OKU dan menukar konsep
OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based. Akta ini membuka ruang kepada
OKU memiliki hak sama rata terhadap peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara
dengan ahli masyarakat yang lain. Justeru itu, bagi OKU, Akta Orang Kurang Upaya 2008
membuka lembaran baru kepada golongan orang-orang yang tidak bernasib baik akibat
kekurangan yang dimiliki mereka. Akta OKU 2008 telah memberikan nafas baru kepada OKU di
Malaysia terutamanya berkaitan perlindungan, pembangunan dan kesejahteraan OKU,
pendaftaran, rehabilitasi serta penubuhan sebuah majlis di peringkat kebangsaan bagi menjaga
dan melindungi hak-hak OKU berdasarkan Akta OKU 2008. Kewujudan Akta OKU 2008 telah
mengiktiraf:

2
1. Ketidakupayaan sebagai sesuatu yang normal dan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk
menyekat kebebasan OKU untuk bermasyarakat.
2. Sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh OKU kepada masyarakat.
3. Hak Akses OKU terhadap kemudahan fizikal, ekonomi, sosial, kebudayaan, kesihatan,
pendidikan dan maklumat.
4. Hak untuk dilindungi dan mendapat bantuan.
5. Hak untuk melibatkan diri dalam sektor Kerajaan dan Swasta.

Skop Akta

Akta Orang Kurang Upaya 2008 mengandungi lima bahagian yang merangkumi 46
seksyen. Bahagian pertama mengandungi dua seksyen yang menerangkan tentang tajuk dan
penguatkuasaan akta serta definisi bagi istilah yang berkaitan di dalam akta ini. Bahagian kedua
pula adalah bahagian yang memiliki jumlah peruntukan seksyen yang paling banyak iaitu
sebanyak 17 seksyen. Bahagian ini memberikan penumpuan kepada penubuhan sebuah majlis di
peringkat kebangsaan untuk OKU. Majlis ini dikenali sebagai Majlis OKU Kebangsaan(selepas
ini disebut Majlis). Bahagian ini menerangkan tentang hal ehwal pentadbiran Majlis seperti
keanggotaan Majlis, kuasa-kuasa dan tanggungjawab Majlis, tanggungjawab Kerajaan dan
swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Manakala bahagian tiga pula mengandungi enam
seksyen yang memberikan perhatian kepada aspek-aspek pendaftaran dan maklumat OKU.
Bahagian empat pula boleh dibahagikan kepada lima bab dan mengandungi 15 seksyen.
Peruntukan dalam bahagian empat memberikan tumpuan utama kepada hak-hak yang dimiliki
oleh golongan OKU. Hak-hak sepertimana yang termaktub dalam bahagian empat adalah
berkaitan kebolehaksesan, habilitasi dan rehabilitasi, kesihatan, perlindungan orang dengan
ketidakupayaan teruk dan keadaan berisiko dan kecemasan kemanusiaan. Secara lebih terperinci
boleh diterjemahkan dalam bentuk seperti berikut:

i. Hak untuk akses kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam


ii. Hak untuk mendapatkan pendidikan
iii. Hak untuk mendapatkan pekerjaan
iv. Hak untuk mendapatkan maklumat, komunikasi dan teknologi
v. Hak untuk akses kepada kehidupan berbudaya
vi. Hak untuk akses kepada rekreasi, santai dan sukan
vii. Hak untuk mendapat rawatan dan tempat perlindungan
viii. Hak untuk mendapat kemudahan kesihatan
ix. Hak perlindungan sepanjang hayat dan sistem sokongan sosial
x. Hak untuk mendapat bantuan semasa kecemasan

Bab kelima mengandungi enam seksyen berkaitan perlindungan terhadap tindakan guaman,
kuasa-kuasa tambahan menteri, kecualian dan peralihan.
Jelaslah secara keseluruhan akta ini menitik beratkan penubuhan sebuah Majlis yang
bertanggungjawab penuh dalam menjaga dan melindungi hak OKU di Malaysia. Majlis
berperanan untuk melaksanakan segala peruntukkan-peruntukan undang-undang yang terdapat di
dalam akta ini. Secara keseluruhan akta ini memberikan penekanan kepada aspek-aspek

3
penggalakan dan pembangunan OKU untuk menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain
disamping memiliki hak yang sama untuk mendapat layanan sama seperti orang lain.

Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya

Akta Orang Kurang Upaya 2008 diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan dalam
membantu golongan OKU disamping memberikan pengiktirafan kepada mereka. Sebagai sebuah
negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) sudah tentu
kerajaan Malaysia bersetuju dan komited untuk melaksanakan segala kehendak konvensyen
tersebut dan salah satu kehendak konvesnyen tersebut ialah untuk menubuhkan satu
Jawatankuasa yang akan memastikan perlaksanaan segala kehendak konvesnyen dilaksanakan di
negara tersebut berdasarkan Artikel 34 Convensyen On The Right Of Persons With Disabilities.
Justeru itu satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan
Bagi Orang Kurang Upaya(selepas ini disebut sebagai Majlis) pada bulan Julai 2008,
sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 3, Akta Orang Kurang Upaya 2008. Majlis
ini berfungsi sebagai sebuah organisasi yang memantau, mengkaji dan menasihat kerajaan dalam
hal ehwal OKU. Penubuhan dan fungsi Majlis adalah selaras dengan kehendak dan fungsi
Jawatankuasa yang diperuntukkan dalam CRPD. Antara fungsi-fungsi Majlis yang termaktub
dalam Seksyen 9(1)(a) hingga 9(1)(n) Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah seperti berikut :-

1. Untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan
dengan OKU;
2. Untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan
OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan
kesejahteraan OKU;
3. Untuk memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan
sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang
berhubungan dengan OKU;
4. Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga
mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU
dalam masyarakat;
5. Untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi
meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU;
6. Untuk menasihati Kerajaan mengenai isu ketidakupayaan termasuk perkembangan di
peringkat antarabangsa;
7. Untuk mengumpul data dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan yang berhubungan
dengan OKU;
8. Untuk menggalakkan pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional
dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi;
9. Untuk menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi OKU dalam pasaran
buruh;
10. Untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri bagi
pelaksanaan sewajarnya Akta ini.

4
Keanggotaan

Majlis ini dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan
dianggotai seramai 18 orang yang lain yang terdiri daripada 8 orang mereka yang telah
ditetapkan di dalam akta dan 10 orang lain yang memiliki kepakaran dan pengalaman dalam
mengendalikan OKU berdasarkan seksyen 3(2)(a) hingga 3(2)(i). Seseorang anggota Majlis akan
memegang jawatan sekurang-kurangnya 2 tahun dan boleh dilantik semula tetapi tidak boleh
melebihi daripada dua penggal berturut-turut(Seksyen 3(4)). Ini bermakna seseorang anggota
Majlis hanya boleh menjadi ahli tidak lebih dari empat tahun. Sejak penubuhannya, keangotaan
Majlis kini dianggotai oleh ahli-ahli baru selepas ahli dahulu telah tamat tempoh 4 tahun iaitu
dari tahun 2008 hingga tahun 2012.

Peranan Dan Fungsi

Peranan Majlis dilaksanakan melalui mesyuarat yang perlu diadakan sekurang-kurangnya 3 kali
setahun. Bagi memantapkan pengurusan dan pengendalian hal ehwal pembangunan OKU, enam
jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membantu Majlis dalam memainkan peranan dan
fungsinya. Jawatankuasa tersebut adalah seperti Jadual berikut:

BIL. JAWATANKUASA PENGERUSI

1. Jawatankuasa Reka Bentuk Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar,


Sejagat Dan Alam Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Bina

2. Jawatankuasa Pengangkutan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

3. Jawatankuasa Quality Life Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia


Care

4. Jawatankuasa Pendidikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

5. Jawatankuasa Pekerjaan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia

6. Jawatankuasa Pendaftaran Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan


Orang Kurang Upaya Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

5
Jadual 2. Senarai Jawatankuasa dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi OKU. (Sumber:
Jabatan Pembangunan OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia)

Keenam-enam Jawatankuasa ini akan membentangkan laporan perkembangan tugas mereka


dalam mesyuarat Majlis yang akan diadakan 3 kali setahun. Namun mesyuarat bagi setiap
Jawatankuasa adalah bergantung kepada Pengerusi setiap Jawatankuasa yang telah dilantik.

Penubuhan Majlis adalah salah satu usaha kerajaan dalam memastikan hak dan pembangunan
golongan OKU terjamin dan diperlihara sentiasa. Isu pekerjaan OKU turut menjadi salah satu
agenda penting Majlis dibawah Jawatankuasa Pekerjaan. Namun usia kewujudan Majlis yang
hanya baru berusia 5 tahun masih belum mencukupi untuk memastikan ianya dapat berfungsi
dengan lebih berkesan kerana ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam memastikan
Majlis dapat berfungsi dengan lebih efektif seperti kuasa untuk menguatkuasa Akta yang telah
diwujudkan dan memastikan pengurusan Majlis teratur dan lancar. Menurut Dr. Naziaty Binti
Mohd Yaacob dan Dr. Wong Hui Siew, Majlis tidak memiliki sebarang kuasa untuk
menguatkuasakan Akta disamping itu perjalanan mesyuarat sering terganggu kerana kuasa untuk
mempengerusikan mesyuarat Majlis perlu diperturunkan kepada Timbalan Pengerusi kerana
kesibukan Menteri menyebabkan seringkali bilangan mesyuarat yang diperuntukkan dalam Akta
iaitu 3 kali setahun tidak dapat dicapai.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Isu hak golongan pekerja kurang upaya merupakan isu global dan di Malaysia terdapat beberapa
kajian yang telah dijalankan membincangkan tentang hak pekerja kurang upaya. Mohd Rizal Bin
Mohd Said dan Rosmawati Bt. Sulaiman(2010) telah menjalankan kajian terhadap faktor-faktor
yang mempengaruhi seseorang pekerja kurang upaya untuk bekerja di JARO(Johor
Rehabilitation Organisation). Dalam kajian tersebut faktor utama mengapa OKU bekerja ialah
faktor keperluan untuk dihargai dan menghargai. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa OKU
juga berhak untuk dilayan sama rata sebagaimana orang lain dan pengiktirafan hak mereka
melalui Akta OKU 2008 membuka peluang untuk mereka menikmati kehidupan yang sempurna
sebagaimana ynag dinikmati oleh manusia biasa. Pengenalan undang-undang yang melindungi
hak OKU adalah merupakan rentetan kepada komitmen kerajaan yang telah meratifikasikan
CRPWD. Akta OKU telah diluluskan menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam menjaga
kebajikan dan mengiktiraf golongan OKU di Malaysia. Namun peruntukkan-peruntukannya
masih ada kekurangan dari beberapa sudut seperti unsur definasi, unsur diskriminasi, penalti atau
hukuman, badan penguatkuasa, dan tribunal. Kekurangan yang wujud tidak bermakna keperluan
kepada akta lain bagi menyokong Akta OKU 2008 diwujudkan. Pada pandangan penyelidik
adalah tidak wajar untuk diwujudkan lebih banyak akta kerana kewujudan akta yang banyak
akan menimbulkan kekeliruan dan pertindanan kuasa. Ia jelas dapat dilihat apabila Akta
Kesaksamaan 2010 diwujudkan di UK bagi tujuan untuk menyatukan semua akta berkaitan OKU
di UK. Tujuan pengabungan dibawah akta ini adalah bagi memudahkan dan mengelakkan
berlaku pertindihan kuasa malah masyarakat turut mudah untuk memahami akta tersebut kerana
semuanya berada dibawah satu akta.

Akta OKU 2008 telah mendefinasikan OKU sebagai “mereka yang mempunyai
kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi

6
dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam
masyarakat;”. Namun definasi ini tidak diperluaskan kepada pekerja OKU. Hak untuk bekerja
dinyatakan dengan jelas dalam seksyen 29 Akta OKU 2008, namun tidak diperjelaskan di dalam
akta ini. Definasi OKU perlu diperluaskan kepada beberapa perkara seperti definasi pekerja
OKU dan bentuk-bentuk diskriminasi yang boleh berlaku kepada OKU. Penjelasan yang lebih
jelas perlu dilakukan dalam mendefinasikan OKU terutama frasa “jangka masa panjang” dan “
menyumbang kepada masyarakat” yang sering mendatangkan kekeliruan. Akta Kesaksamaan
2010 di UK dan Undang-Undang Promosi Pekerjaan dsb. Bagi OKU di Jepun turut memberikan
penjelasan kepada frasa tersebut bagi memastikan definasi tersebut mencakupi semua bentuk
kecacatan yang dialami oleh OKU. Melalui definasi yang lebih jelas diperlukan agar masyarakat
dapat memahami dengan mudah dan menghormati akta ini.

Secara keseluruhan akta ini memberikan penumpuan kepada aspek pengiktirafan hak
OKU, namun ketiadaan hukuman kepada sesiapa yang melanggar akta ini memberikan impak
yang besar terhadap penggunaannya. Ketiadaan sebarang peruntukkan berkaitan sebarang bentuk
hukuman kepada pihak-pihak yang melanggar peruntukan-peruntukan akta ini menyebabkan
akta ini kurang diberikan perhatian. Justeru itu, suatu bentuk hukuman perlu diwujudkan bagi
memastikan undang-undang ini dihormati dan diikuti. Jika kita lihat Akta Diskriminasi 1995 di
UK melalui seksyen 8 telah memperuntukkan kepada OKU yang merasakan diri mereka telah
didiskriminasi untuk mengadu kepada sebuah tribunal dan sekiranya ia benar, maka pihak yang
telah melakukan diskriminasi itu boleh diarahkan untuk membayar pampasan dan nilaiannya
adalah seperti melakukan kesalahan tort atau kesalahan melanggar tanggungjawab statut.
Kewujudan hukuman dapat menggerakkan masyarakat untuk memberikan perhatian dan
seterusnya menghormati akta tersebut.

Kewujudan sebuah Majlis yang bertanggungjawab dalam memastikan perlindungan


terhadap hak dan pembangunan OKU di Malaysia adalah suatu langkah yang baik namun kuasa
yang diberikan berdasarkan Akta OKU 2008 agak terhad. Kuasa yang terhad kepada mengkaji
dan memberikan cadangan kepada kerajaan tidak dapat menjadikan Majlis sebagai sebuah Majlis
yang benar-benar efektif. Selain berfungsi sebagai penasihat kepada Kerajaan, Majlis juga perlu
berperanan sebagai sebuah tribunal khas bagi membicarakan kes-kes berkaitan diskriminasi yang
berlaku keatas OKU. Tribunal khas ini juga terdapat di UK dan Jepun bagi menyelesaikan kes-
kes berkaitan diskriminasi ke atas OKU. Disamping itu tribunal ini dapat membantu
menyelesaikan kes OKU dalam tempoh masa yang pendek sebagaimana Tribunal Pengguna dan
Tribunal Perumahan yang ada pada hari ini. Disamping itu, Majlis sebagai sebuah badan bebas
perlu ditadbir terus dibawah Parlimen seperti Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia(SUHAKAM). Apabila pentadbirannya terus dibawah Parlimen fungsi dan
peranannya akan menjadi bebas dan kredibiliti Majlis akan lebih dihormati. Keahliannya juga
harus dibuka untuk dianggotai oleh Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang. Justeru
itu, peranan Majlis akan lebih dilihat menyeluruh kerana setiap tahun Majlis perlu memberikan
laporan terus kepada Parlimen tentang kedudukan OKU di Malaysia.

Disamping itu Jabatan Pembangunan OKU turut ditubuhkan berdasarkan Akta OKU
2008. Namun penubuhan Jabatan ini hanya sekadar menguruskan pendaftaran dan program-

7
program pembangunan untuk OKU. Kuasa jabatan ini perlu diperluaskan dari sebuah jabatan
yang hanya mengurus pendaftaran dan program-program pembangunan OKU kepada sebuah
Jabatan yang turut diberikan kuasa untuk menguatkuasakan Akta OKU 2008. Sebagai
penguatkuasa Akta OKU 2008, ia dapat berfungsi sebagai sebuah agensi yang mempunyai kuasa
untuk menyiasat dan mendakwa pihak-pihak yang melanggar akta ini. Konsep ini turut
diamalkan di UK dan Jepun. Justeru itu, OKU dapat membuat aduan seandainya berlaku
sebarang diskriminasi kepada mereka. Oleh yang demikian, ia dapat menjawab persoalan OKU
berkenaan kemanakah haru mereka mengadu atau membuat rujukan sekiranya berlaku
permasalahan kepada mereka terutama berkaitan undang-undang.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan senario berkaitan hak OKU di Malaysia tidaklah dalam kategori lemah,
Berbagai dasar dan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada golongan OKU
bermula sebelum pengenalan Akta OKU 2008 lagi. Konsep kebajikan yang diamalkan oleh
kerajaan telah membantu ramai OKU untuk menjalani kehidupan mereka. Melalui pengenalan
Akta OKU 2008, ia membuka lebih peluang dan ruang kepada OKU untuk menuntut apa yang
menjadi hak mereka. Selepas lima tahun ia diperkenalkan, tindakan yang diambil oleh kerajaan
melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
Dan Masyarakat harus dipuji kerana tindakan proaktif mereka meletakkan Malaysia hampir sama
dengan negara-negara lain yang lebih lama mewujudkan undang-undang perlindungan bagi
OKU. Bukti kesungguhan kerajaan ialah apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan Bagi OKU
yang turut diwujudkan oleh kerajaan UK dan Jepun. Malah Jabatan Pembangunan OKU
diwujudkan dibawah JKMM sama sepertimana yang ada di UK iaitu Pejabat Isu OKU dan di
Jepun ada Pejabat Bagi Mempromosikan Kebajikan OKU.

Walaubagaimanapun dengan usia yang baru mencecah lima tahun, sudah pasti wujud kelemahan
dan kekurangan di sana sini yang memerlukan penambahbaikan. Namun dengan usaha kerajaan
dan sokongan dari pelbagai pihak, usaha untuk memantapkan undang-undang dan pentadbiran
berkaitan OKU boleh dilaksanakan. Disamping itu sokongan dari IPTA khususnya golongan
akademik dalam menghasilkan kajian-kajian berkaitan OKU amat ditagih. Melalui hasil-hasil
kajian yang dijalankan, ia dapat membantu kerajaan menilai dan mengubahsuai dasar dan polisi
agar ia dapat memenuhi keperluan OKU yang sebenar. Sehingga kini bilangan hasil-hasil kajian
berkaitan OKU di Malaysia masih lagi kurang. Justeru itu, kerajaan juga perlu menyediakan
peluang-peluang berbentuk bantuan geran kewangan yang lebih banyak kepada penyelidik-
penyelidik agar kajian-kajian dapat dilaksanakan dan cadangan-cadangan penambahbaikan dapat
diperbanyakkan lagi.

Namun segala usaha yang dilakukan perlu mendapat sokongan dari golongan OKU itu sendiri.
Pertama mereka perlu bersatu agar hak mereka akan didengari oleh kerajaan. Sehingga kini
terdapat berpuluh-puluh persatuan yang mewakili pelbagai jenis kecacatan. Setiap jenis
kecacatan diwakili lebih daripada satu persatuan. Sebagai contoh menurut Presiden Persekutuan
Orang Buta Malaysia(SBM), terdapat 13 persatuan yang mewakili golongan OKU penglihatan.
Keadaan ini menyebabkan kerajaan sukar untuk mendengar pandangan dari semua persatuan
disamping bantuan yang hendak diberikan turut akan berkurangan. Oleh yang demikian,

8
persatuan-persatuan ini harus bergabung sekurang-kurangnya satu persatuan yang besar untuk
satu jenis ketidakupayaan. Jika mereka bersatu, segala bentuk bantuan dari kerajaan dapat
disalurkan secara lebih efektif dan dalam jumlah yang besar. Jika tidak satu jumlah perlu
dikongsi beberapa buah persatuan menyebabkan jumlah bantuan yang diberikan akan menjadi
kecil.

Disamping itu sikap OKU turut perlu berubah, Tidak ada gunanya wujud undang-undang
dan dasar-dasar kerjaan yang terbaik jika mereka masih bersikap pemalu dan rendah diri. Mereka
perlu mengubah sikap lama kepada sikap baru yang lebih proaktif terutama dalam hal ehwal
berkaitan hak mereka. Disamping itu mereka juga tidak boleh menggunakan alasan kekurangan
yang dimiliki sebagai penghalang untuk memajukan diri mereka sendiri. Kata perpatah manakan
dapat sagunya jika ruyung tidak dipecahkan.

RUJUKAN

1. Abdul Ghani Shamsuddin, Hak Asasi Manusia Dalam Islam: Konsep dan Falsafah.(2007),
http://madani.ikram.org.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=18:hak-
asasi-manusia-dalam-islam-konsep-dan-falsafah&catid=6:artikel-pilihan&Itemid=9 (diakses
pada 6/6/2013)
2. Akta Orang Kurang Upaya 2008(Akta ) Kuala Lumpur, Percetakan Nasional Berhad.
3. Convensyen On The Right Of Person With Disabilities.
http://www.un.org/disabilities/default.asp?id=259
4. Dr. Naziaty Binti Mohd Yaacob merupakan salah seorang ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU
bagi sesi 2008 hingga 2012.
5. Dr. Wong Hui Siew merupakan salah seorang ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU bagi sesi
2012 hingga 2014.
6. Laman Web Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. http.jkmm.gov.my
7. Mohd Rizal Bin Mohd Said & Rosmawati Bt. Sulaiman, Faktor-Faktor Yang Mendorong
Golongan Orang Kurang Upaya(OKU) Bekerja di JARO(Johor Rehabilation Organisation),
2010, Universiti Teknologi Malaysia, . www.eprints.utm.my.
8. SUHAKAM. Laporan Mengenai Hak OKU. Selangor: Percetakan Asni Sdn. Bhd. 2006.
9. Suet Leng Khoo, Tiun Ling Ta and Lay Wah Lee, “The Role of The State towards
Employability of Malaysian PWDs – Myth or Reality?” World Academy Of Science,
Engineering and Technology, 66 2012: 1102-1107.
10. YM Tengku Dato’ Omar Bin Tengku Bot. Pewujudan peluang-peluang pekerjaan bagi orang-
orang cacat di dalam sektor swasta. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Mengenai
Peranan Sektor Swasta Dalam Peningkatan Taraf Sosio Ekonomi Orang-Orang Cacat di
Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 22 hingga 23 November 1993
11. Zianida Ariffin. Kerjaya Untuk Orang Kurang Upaya. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd., 2006.

9
12. Zulfikri Osman, “Malaysian Employers’ Attitudes Toward Hiring Person With Disabilities”
Thesis Universiti Utara Malaysia (Tidak Diterbitkan), 2003.

10

Anda mungkin juga menyukai