Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH

Oleh : Natasha Aiman binti Che Bdullah

Salah satu kepentingan sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah ialah

dapat meningkatkan daya ingatan terhadap fakta sejarah. Dengan adanya maklumat

baru yang dikemukakan oleh guru dengan menggunakan sumber pengajaran dan

pembelajaran yang sesuai, murid dapat meningkatkan daya ingatan mereka terhadap

sesuatu perkara yang diajar tersebut. Hal ini yang demikian boleh direalisasikan dengan

kebijaksanaan guru dalam menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran dalam

menyampaikan maklumat di mana guru boleh menghubungkan maklumat baru dengan

maklumat lama dalam memudahkan murid memahami sekaligus memantapkan daya

ingatan terhadap sesuatu bahan pembelajaran.

Selain itu, dengan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran, guru

dapat merangsang pemikiran murid di samping meningkatkan kreativiti dan

keseronokan murid terhadap pembelajaran. Signifikannya penggunaan sumber ini

dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dilihat kerana ia mampu merangsang

perkembangan murid merangkumi kognitif, bahasa, fizikal serta sosial atau kemahiran

komunikasi murid. Sebagai contoh, guru boleh menggambarkan kehidupan orang

Zaman Air Batu dengan membina bahan maujud seperti diorama. Diorama ini bukan

sahaja memberikan gambaran kehidupan pada zaman itu, bahkan juga membolehkan

murid menyentuh sumber pengajaran ini yang sekaligus dapat menarik minat mereka

untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah di samping mencetuskan sifat inkuiri dalam

diri. Sifat inkuiri ini membantu murid dalam mendalamkan pengetahuan mereka

terhadap sesuatu perkara termasuklah mata pelajaran Sejaran ini sendiri.


Di samping itu, kepentingan sumber pengajaran dan pembelajaran sejarah juga

adalah dapat menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah berkenaan. Dalam

usaha menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah yang sering kali diberi

jolokan sebagai mata pelajaran yang membosankan ini, guru perlu menggunakan

kepelbagaian sumber pengajaran dan pembelajaran yang terdiri daripada tiga jenis iaitu

bahan bercetak, bahan elektronik dan bahan maujud. Kekreatifan guru dalam memilih

sumber yang bersesuaian ini dapat memastikan minat murid dapat dipupuk serta terus

diperkukuh terhadap mata pelajaran Sejarah. Hal ini membolehkan murid untuk

memahami konsep yang diutarakan dalam sukatan serta menghayati kisah dan nilai

yang terkandung dalam sesuatu pembelajaran.

Akhir sekali, dengan menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran, guru

dapat memudahkan murid untuk menginterpretasi maklumat daripada peristiwa sejarah

yang berlaku. Interpretasi dalam konteks ini bermaksud membuat tafsiran atau

menganalisis maklumat daripada sumber sejarah. Tafsiran yang dilakukan ini dapat

membantu murid dalam meneroka bukti serta menghayati sesuatu peristiwa bersejarah

yang dipelajari oleh mereka. Guru boleh menggunakan bahan bersumberkan elektronik

seperti penggunaan video untuk menunjukkan atau memberi gambaran terhadap

sesuatu situasi seperti video animasi yang berkaitan dengan Zaman Air Batu. Aktiviti ini

dapat merangsang minda murid untuk berfikir dan pada masa yang sama

menggalakkan mereka untuk berimaginasi dalam membina gambaran mereka sendiri

terhadap keadaan pada zaman itu. Hal ini memudahkan penyerapan maklumat berlaku

di samping merangsang minda murid untuk terus berfikir secara kreatif dan kritis.