Anda di halaman 1dari 7

KOMPONEN-KOMPONEN PENTING

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH)

1
1.0 Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian (RPH) adalah satu perancangan mengajar yang


disediakan oleh guru untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran dalam tempoh jangka
waktu tertentu pengajaran. Rancangan Pengajaran juga dikenali sebagai persediaan
mengajar. Guru akan melaksanakan pengajarannya berdasarkan persediaan mengajar yang
telah dirancang dengan teliti untuk mencapai objektif pengajarannya.

Persediaan mengajar merupakan suatu perencanaan atau perancangan yang terdiri


daripada langkah-langkah pengajaran yang bakal dilaksanakan oleh guru dalam bilik
darjah. RPH ini mengandungi unsur-unsur seperti butiran am, tajuk pelajaran, objektif,
induksi set, perkembangan, penilaian, penutup, dan sebagainya. Persediaan mengajar
kebiasaannya bukan sahaja menyenaraikan unsur-unsur tersebut tetapi bertindak sebagai
peraturan-peraturan yang tidak boleh tidak dipatuhi dan diikuti oleh guru-guru.

2.0 Kepentingan Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian dihasilkan adalah untuk memenuhi kepentingan


persediaan mengajar guru seperti berikut:

1. Untuk mencatatkan semua perancangan mengajar dari awal hinggalah akhir


pengajaran yang melibatkan aktiviti pengajaran dan penggunaan bahan bantu
mengajar.
2. Guru akan lebih yakin untuk mengajar dan berhadapan dengan pelajarnya di dalam
kelas.
3. Membantu guru membuat jangkaan tentang masalah, kekuatan , dan kelemahan
pengajarannya dan membuat persediaan untuk mengatasi sekiranya terdapat
masalah yang timbul.
4. Menentukan objektif pengajaran dan merancang aktiviti yang dapat mencapai
objektif pengajaran tersebut.
5. Guru dapat merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai
dengan akiviti pengajaran.

2
3.0 Komponen Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian ditulis mengikut format tertentu yang


telah dipersetujui dan dipakai oleh sesebuah sekolah, peringkat daerah ataupun di peringkat
negeri. Selain itu format rancangan mengajar juga mungkin berbeza mengikut mata
pelajaran. Rancangan Pengajaran Harian mempunyai persamaan iaitu mengandungi tiga
komponen penting iaitu persediaan, penyampaian, dan penutup.

3.1 Komponen Persediaan


Komponen persediaan dalam RPH terdiri daripada maklumat am, pengetahuan
sedia ada, kemahiran, penggabungjalinan isi kandungan, hasil pembelajaran, perentasan
kurikulum, dan bahan bantu belajar.

3.1.1 Maklumat Am
Maklumat am adalah butir-butir tentang tarikh, masa, kelas/tingkatan, bilangan
pelajar, mata pelajaran, dan tajuk pelajaran/pengajaran. Maklumat ini adalah penting
supaya guru dapat merancang strategi pengajaran untuk pelajarnya.

3.1.2 Standard kandungan dan Standard Pembelajaran


Isi pengajaran pada hari tersebut akan dijalankan berdasarkan standard kandungan
dan standard pembelajaran yang dipilih daripada Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran (DSKP) Sejarah. Sebagai contoh adalah seperti berikut:

Standard
9.2 Bendera Kebangsaan
Kandungan

9.2.1 Menyatakan nama bendera kebangsaan.

Standard Pembelajaran / 9.2.3 Menyatakan makna warna dan lambang pada bendera
Objektif Pembelajaran kebangsaan.

3
3.1.3 Hasil Pembelajaran
Hasil pembelajaran digunakan bagi menggantikan ”objektif” dalam penulisan
RPH. Penulisan hasil pembelajaran hendaklah dalam bentuk tingkah laku, boleh diukur,
dan khusus. Contoh:

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat:


1. Menyatakan makna lambang yang terdapat pada jalur gemilang.

”Menyatakan” - dinyatakan dalam bentuk tingkah laku


”makna lambang” - boleh diukur
”Jalur Gemilang” - khusus

Penulisan hasil pembelajaran yang jelas dan spesifik dapat membantu guru bergerak di
atas landasan yang betul sewaktu menyampaikan pengajaran mereka.

3.1.4 Pengetahuan sedia ada


Pengetahuan sedia ada adalah pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar
berkaitan dengan tajuk yang telah diajar, atau pengetahuan yang dimilikinya berdasarkan
pengalaman dan pemerhatian. Berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar, guru dapat:
1. menentukan peringkat pembelajaran pelajarnya;
2. dapat mengelak guru daripada mengulang mengajar sesuatu yang telah dipelajari
atau dikuasai pelajar;
3. membantu guru merancang persediaan mengajar;
4. membantu guru merancang penyediaan bahan bantu mengajar;
5. menjangkakan hasil pembelajaran yang diharap dari pengajarannya.

3.1.5 Perentasan kurikulum


Perentasan kurikulum bermaksud pelajaran bahasa yang diajar itu merentasi atau
merangkumi isi kandungan mata pelajaran lain seperti sains, muzik, pendidikan seni,
dan pendidikan jasmani.

4
3.1.6 Penerapan nilai
Nilai murni hendaklah diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung. Penerapan nilai murni adalah bersesuaian
dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Terdapat 16 nilai murni yang boleh
diterapkan dalam pengajaran guru. Nilai-nilai tersebut adalah baik hati, hormat-
menghormati, kasih sayang, berdikari, keadilan, berhemah tinggi, kebebasan, kejujuran,
keberanian, kebersihan, kerajinan, rasional, kerjasama, kesyukuran, kesederhanaan, dan
semangat bermasyarakat. Guru boleh memilih mana-mana nilai murni yang hendak
diterapkan sesuai dengan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, apabila
guru mengadakan aktiviti berkumpulan dan selepas itu meminta pelajar ke depan
membentangkan hasil kerja mereka, maka guru telah menerapkan nilai kerjasama dan juga
nilai keberanian (apabila pelajar ke depan kelas untuk bercakap).

3.1.7 Unsur terapi


Unsur terapi adalah elemen yang membezakan antara RPH Pendidikan Khas
dengan RPH kelas normal. Unsur terapi yang boleh dimasukkan dalam RPH adalah terapi
pertuturan, terapi muzik, terapi cara kerja, terapi fizikal, atau terapi lain yang
bersesuaian. Unsur terapi bermaksud apabila guru menjalankan aktiviti pengajarannya,
terdapat unsur-unsur yang boleh membantu pelajar mengatasi kelemahan
mereka. Misalnya, apabila guru meminta pelajar menguli doh untuk membentuk huruf-huruf
atau objek tertentu, maka secara tidak langsung guru telah memasukkan unsur terapi cara
kerja (motor halus) dalam pengajarannya.

3.1.8 Bahan bantu mengajar/belajar


Bahan bantu mengajar atau bahan bantu belajar merujuk kepada media atau bahan
yang guru gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara bahan bantu mengajar
yang guru gunakan adalah seperti kad perkataan, kad huruf, kad imbasan, gambar tunggal
atau gambar bersiri, perakam video, model , dan sebagainya. Bahan bantu mengajar juga
boleh berbentuk bahan sumber yang guru gunakan dalam pengajarannya atau sebagai
rujukan seperti buku rujukan, jurnal, risalah, buletin, dan sebagainya.

Komponen persediaan ini perlu dinyatakan dengan jelas dan perinci bagi mengelakkan
kekeliruan. Persediaan mengajar yang baik akan dapat digunakan oleh guru lain untuk
mengajar tanpa sebarang masalah sekiranya guru berkenaan tidak dapat mengajar
disebabkan sesuatu hal yang timbul.

5
3.2 Komponen Penyampaian

Komponen penyampaian adalah bahagian yang memerlukan guru berfikir dengan


teliti untuk merancang aktiviti pengajaran yang hendak dijalankan sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Pada peringkat ini guru hendaklah bijak memilih strategi
pengajaran yang sesuai dengan isi pelajaran, penggunaan media pengajaran yang sesuai
dan menarik, serta aktiviti pengajaran yang berkesan. Komponen penyampaian terdiri
daripada induksi set, perkembangan, dan penutup.

3.2.1 Set Induksi


Set induksi adalah permulaan pengajaran yang penting. Induksi set adalah untuk
memfokus atau mengorientasi perhatian pelajar terhadap pelajaran yang hendak
dimulakan. Bermula dari sini aliran pemikiran pelajar yang menjurus kepada
pelajaran dapat dibina dengan cara menimbulkan minat serta perasaan ingin tahu
mereka. Induksi set hendaklah dijalankan dengan menarik dalam lingkungan 3 hinga 5 minit
sahaja. Guru boleh menjalankan induksi set dengan berbagai-bagai cara untuk menarik
perhatian dan membina aliran fikiran pelajar.

3.2.2 Perkembangan pelajaran


Peringkat perkembangan pelajaran adalah peringkat guru menyampaikan isi
pelajaran . Peringkat ini guru akan menggunakan segala teori dan prinsip pedagogi yang
dipelajarinya. Guru akan menggunakan kemahiran seperti teknik menyoal, peneguhan,
kemahiran berkomunikasi, kemahiran menerang, memeringkat isi pelajaran, serta memilih
kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai. Berkaitan dengan perkembangan pengajaran
terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru.

3.2.3 Penggunaan bahan bantu mengajar


Penggunaan bahan bantu mengajar boleh menarik minat pelajar terhadap
pengajaran guru di samping membantu mereka memahami isi pelajaran. Bahan bantu
mengajar hendaklah digunakan secara maksimum ketika guru menyampaikan isi
pelajaran. Sebaik-baik bahan bantu mengajar adalah yang dibuat oleh guru sendiri kerana
guru tahu apa yang diperlukan oleh pelajarnya.

6
3.3 Penutup

Guru boleh menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan terhadap


pelajaran yang diajar. Pengajaran guru tidak seharusnya berhenti secara tiba-tiba
terutamanya ketika pelajar hendak keluar semasa waktu rehat. Guru hendaklah merancang
pengajarannya supaya dapat ditutup dengan baik dan berkesan. Minda pelajar hendaklah
difokuskan kepada perkara yang telah dipelajari terutamanya melalui kesimpulan, penilaian,
atau aktiviti susulan (tugasan).

3.3.1 Kesimpulan
Kebiasaannya guru akan menutup pengajarannya dengan membuat kesimpulan atau
rumusan pelajaran. Melalui kesimpulan pelajar dapat membentuk konsep serta dapat
melihat perkaitan antara fakta yang dipelajari. Selain itu pelajar akan berasa yang mereka
telah mempelajari sesuatu dan faham apa yang dipelajari. Kesimpulan juga adalah sebagai
peneguh kepada pelajaran bagi memudahkan pelajar mengingati apa yang telah
dipelajari. Guru boleh membantu pelajar membuat kesimpulan sendiri melalui soalan-soalan
yang dikemukakan.

3.3.2 Penilaian
Penilaian pada bahagian penutup bukanlah seperti penilaian yang dibuat
semasa pengajaran. Penilaian di sini adalah ringkas yang pada kebiasaannya dibuat
secara lisan untuk mengetahui sama ada pelajar memahami apa yang telah mereka
pelajari. Selain itu, penilaian juga secara tidak langsung membantu pelajar membuat
kesimpulan.

3.3.3 Aktiviti susulan/tugasan


Aktiviti susulan biasanya diberi oleh guru pada akhir bahagian penutup. Aktiviti
susulan merupakan kerja tambahan yang guru berikan kepada pelajar dalam bentuk kerja
rumah. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan aspek-aspek pembelajaran yang telah
disampaikan. Tugasan hendaklah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah disampaikan
supaya sesuai dengan fungsinya sebagai satu bentuk aktiviti pengayaan. Namun begitu,
guru perlu memberi perhatian supaya aktiviti susulan yang diberi itu tidak membebankan
pelajar. Bayangkan sekiranya guru yang mengajar setiap pelajaran yang diikuti pada hari itu
memberikan tugasan dan perlu disiapkan dalam masa yang singkat, maka sudah pasti
pelajar akan tertekan dan bosan. Hal ini akan menghilangkan minat pelajar terhadap
pelajaran.