Anda di halaman 1dari 2

2.

3 Cadangan Cara Mengatasi Masalah


Segala kelemahan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan
kualiti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan
dalam tugasan pengajaran mikro yang dijalankan, guru perlu meningkatkan keyakinan
diri dan lebih berhati-hati bila berinteraksi dan memberi penerangan kepada murid agar
dapat menggunakan Bahasa Melayu standard atau Bahasa Melayu baku dengan betul
tanpa mencampuradukkan dengan dialek negeri Kelantan. Semasa memberi arahan
dan penerangan, guru perlu berdiri di hadapan kelas tanpa perlu berjalan terlalu kerap
kerana ini akan mengganggu tumpuan murid-murid. Percakapan guru seharusnya tidak
terlalu laju dan terlalu perlahan agar murid dapat mendengar dengan jelas. Sebelum
menjalankan sesuatu aktiviti atau latihan kendiri, guru haruslah memastikan murid-
murid telah dapat menguasai dan memahami isi pelajaran yang disampaikan, barulah
berlaku perkembangan idea daripada murid-murid. Sewaktu murid membuat latihan
atau melakukan aktiviti kendiri guru seharusnya kurang bercakap dan memberi
tumpuan serta teguran kepada murid secara individu. Guru harus memantau kerja-kerja
murid secara menyeluruh bagi mengelak murid meniru atau ‘curi tulang’.
Bahan bantu mengajar (BBM) haruslah menarik minat murid. Guru perlu
menunjukkan beberapa contoh akuarium melalui gambar atau tayangan slaid bagi
meningkatkan kefahaman dan idea murid-murid untuk mencipta dan melukis akuarium
mereka sendiri. Masa yang diberikan haruslah mencukupi antara sepuluh hingga lima
belas minit untuk melukis.
Guru harus memastikan alat tulis murid sentiasa mencukupi sebelum sesi
pengajaran dan pembelajaran bermula. Ini akan memudahkan guru untuk menjalankan
aktiviti pembelajaran. Guru juga boleh menyediakan peralatan yang perlu sebagai
persediaan awal bagi membantu murid-murid yang tidak mempunyai alatan yang
diperlukan.
Selepas aktiviti melukis dan mempamerkan hasil kerja murid, guru sepatutnya
mengambil sedikit masa untuk memberi peluang kepada murid bercerita tentang lukisan
yang dihasilkan dan memberi rakan-rakan komen tentang lukisan tersebut. Ini juga
dapat dijadikan pertandingan lukisan tercantik. Sebagai penghargaan guru boleh
menampal hasil lukisan pada sudut Bahasa Melayu di dalam kelas tersebut. Guru juga
boleh memberikan hadiah seperti alat tulis, buku cerita dan sebagainya. Ini akan
membuatkan murid berasa bangga dan dihargai seterusnya mereka akan seronok
untuk meneruskan pembelajaran selanjutnya.
Semoga refleksi ini dapat membantu saya untuk memperbaiki dan membuat
penambahbaikan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran saya pada masa akan
datang.

Anda mungkin juga menyukai