Anda di halaman 1dari 5

ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA | UKM MODE CUTI SEKOLAH 2018

ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA

TEKANAN NEGATIF GURU DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

SONG YU CHUAN
GPO7118

FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

MAC, 2018

1
ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA | UKM MODE CUTI SEKOLAH 2018

ABSTRAK

Kerja kursus ini bertujuan menyingkap dan membincangkan isu tekanan negatif yang berlaku
di kalangan guru serta cara penyelesainya. Dalam bidang Pendidikan, guru perlu bertindak
sebagai pelaksana dasar dan program. Selain mengajar, tugas-tugas sampingan juga perlu
dipikul oleh setiap guru. Oleh itu, guru juga dikatakan mengalami tekanan yang sangat tinggi.
Faktor faktor yang menyumbangkan kepada tekanan guru termasuklah latihan dan kursus yang
terlalu banyak, kerja sampingan yang banyak, guru mengajar subjek di luar opsyennya,
bilangan murid yang terlalu banyak dalam satu kelas, masa bekerja yang panjang dan tidak
tentu serta status guru yang semakin tergugat pada zaman sekarang. Dengan tekanan yang
melambak ini, guru tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan sempurna dan baik. Oleh itu,
pelbagai pihak perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meringankan tekanan guru
supaya masa hadapan generasi hadapan dapat dijamin. Kementerian perlu mengkaji semula
bebanan guru, termasuklah kerja sampingan yang dipikul oleh guru, menambahkan bilangan
guru dalam sekolah, menurunkan bilangan murid dalam satu kelas, menkaji semula waktu
bekerja guru, menambahbaik kecekapan sistem-sistem atas talian, meningkatkan status dan
imej guru di masyarakat.

2
ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA | UKM MODE CUTI SEKOLAH 2018

PENGENALAN / LATAR BELAKANG


Pada era globalisasi ini, hampir semua orang dari pelbagai bidang bercakap mengenai
tekanan. Kita boleh mendengar atau mengetahui isu ini melalui perbualan harian, televisyen,
internet, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya. Isu ini juga seolah-olahnya merangkumi
semua bidang, termasuklah Bidang Pendidikan. Kenyataan ini juga disokong oleh banyak
sarjana bahawa tekanan tidak dapat dielakkan dalam banyak persekitaran kehidupan, keluarga,
sosial, masyarakat dan pekerjaan.
Tekanan atau stress didefinisikan sebagai keadaan ketegangan yang berpengaruh
terhadap emosi, cara pemikiran dan keadaan fizikal seseorang. Ia juga merupakan desakan atau
paksaan yang diterima oleh seseorang. Menurut Cox (2002), tekanan kerja merupakan keadaan
psikologi yang tidak menyenangkan timbul kerana pekerja merasa terancam dalam bekerja.
Hal ini kerana pekerja merasa tidak seimbang terhadap kerja dan kemampuan mereka terhadap
kerja yang diterima, dan terasa tidak senang hati dan tidak dapat bekerja dengan keupayaan
yang optimum. Pekerja tersebut akan menjadi cemas, khuatir dan akibatnya menjadi senang
marah, agresif, tidak dapat relaks terhadap kerja yang diterima ataupun orang yang
mengarahkan kerja kepada mereka. Mereka juga tidak mempunyai semangat untuk bekerja,
kepuasan kerja menjadi rendah, dan akhirnya hasil kerja mereka menjadi tidak produktif.
Dalam bidang Pendidikan, guru perlu bertindak sebagai pelaksana dasar dan program.
Selain mengajar, tugas-tugas sampingan juga perlu dipikul oleh setiap guru. Tugasan yang
bertambah telah menimbulkan masalah yang membawa kepada peningkatan tekanan kerja
(Rozi et al.,2016). Oleh itu, guru juga dikatakan mengalami tekanan yang sangat tinggi.
Tekanan guru pula ditakrifkan sebagai pengalaman kurang disenangi oleh guru dari segi emosi,
seperti tension, tertekan, kebimbangan, kemarahan, dan segala yang berkaitan dengan aspek
pekerjaan sebagai seorang. Tekanan kerja ialah emosi negatif yang dialami oleh seorang guru
semasa menjalankan tugas. Mengajar merupakan satu tugas yang mencabar dan mengakibatkan
tekanan. Kerjaya guru dianggap sebagai kerjaya yang penuh dengan pelbagai tekanan. Unsur-
unsur tekanan yang negatif ini menyebabkan guru kehilangan minat untuk bekerja, berhenti
bekerja, ponteng bekerja dan mengalami tahap penguasaan yang amat rendah. Emosi ini secara
langsung menjejaskan tugas-tugas kerja dan prestasi guru di sekolah serta kehidupan hariannya
di dalam rumah.

3
ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA | UKM MODE CUTI SEKOLAH 2018

PERBINCANGAN
Guru memainkan peranan yang sangat penting di dalam sekolah. Guru memainkan peranan
penting dalam merealisasikna strategi Kementerian Pendidikan Malaysia demi mencapai
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan seterusnya membangunkan sistem Pendidikan
bertaraf dunia (Fadzli et al., 2005).Akan tetapi, guru zaman sekarang menghadapi banyak
cabaran dan tekanan daripada pelbagai pihak.
Lambakan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat dan komunikasi pada era
globalisasi ini menyebabkan guru perlu menghadiri pelbagai kursus dan latihan yang diadakan
oleh PPD, JPN, KPM atau agensi pelajaran yang lain. Latihan dan kursus ini biasanya diadakan
pada waktu petang. Hal ini menyebabkan guru-guru perlu mengorbankan masa berehat atau
masa bersama keluarganya. Kekurangan masa persendirian menyebabkan guru tidak dapat
menjaga kerjaya dan keluarga pada masa yang sama.
Guru zaman sekarang juga perlu memikul banyak tugas sampingan seperti
menyediakan pelbagai kertas kerja, aktiviti, program, mesyuarat dan sebagainya. Guru perlu
merancang dan mengadakan pelbagai aktiviti di sekolah sepanjang tahun. Guru juga perlu
sentiasa bersedia untuk menerima arahan untuk menjalankan tugas pada bila-bila masa sahaja.
Selain itu, guru mengajar pelbagai subjek yang bukan opsyennya. Guru perlu
menggunakan banyak masa untuk mengadaptasi dirinya dalam subjek yang bukan opsyen yang
diajarnya. Banyak masa juga diperlukan untuk menyediakan alat bantu mengajar atau
kandungan pengajarannya sebab tidak pernah didedah olehnya.
Di samping itu, jumlah murid yang terlalu banyak dalam satu kelas menyebabkan guru
terasa tertekan. 40-50 orang murid dalam satu kelas telah menyebabkan guru terasa tertekan.
Guru perlu menyemak 40-50 buah buku untuk satu kelas sahaja setiap hari. Guru menghabiskan
hampir semua masa di sekolah untuk menyemak buku latihan muridnya. Guru perlu
meluangkan masa untuk menjalankan tugas-tugas rutin yang diagih oleh pentadbir sekolah.
Masa bekerja guru adalah panjang dan tidak tentu. Walaupun kebanyakan orang
beranggapan bahawa waktu bekerja guru adalah sangat singkat, iaitu sampai sekolah bersurai.
Akan tetapi, guru terpaksa tinggal di sekolah untuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun.
Kadangkala, guru juga perlu menghadiri mesyuarat atau kursus pada waktu cuti selepas
menerima panggilan dari sekolah, PPD, JPN atau KPM.
Pada zaman sekarang, status guru semakin tergugat dalam kalangan masyarakat.
Kebanyakan ibu bapa sekarang yang berpendidikan tinggi memandang rendah terhadap
profession guru, mereka berasa kelulusan akademik mereka lebih tinggi daripada guru, dan
4
ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA | UKM MODE CUTI SEKOLAH 2018

tidak menghormati guru. Seterusnya, anak-anak murid juga turut tidak menghormati guru.

REFLEKSI DAN PENUTUP


Kementerian harus mengkaji semula beban tugas guru iaitu mengkaji dan memperbaiki
semula tugas hakiki guru iaitu mengajar dan memindahkan ilmu pengetahuan kepada murid di
dalam kelas tanpa perlu memberi tumpuan berlebihan kepada bukan tugas hakiki. Antara
langkah yang perlu diambil adalah penambahan guru, pengurangan murid di dalam sesebuah
bilik darjah dan mengambil lebih banyak kakitangan perkeranian supaya guru dapat memberi
tumpuan kepada tugas teras iaitu mengajar.
Kementerian juga perlu mengkaji semula dan memperbaiki sistem-sistem atas talian
yang sedia ada supaya kerja dan beban guru tidak terlalu berat. Contohnya, kementerian harus
menggabungkan semua sistem dan mengelakkan kerja pengisian data yang berulang-ulang.
Kestabilan dan kecekapan laman web juga perlu diberi perhatian supaya tidak timbul masalah
kurang stabil atau putus talian. Bukan begitu sahaja, status guru juga perlu dipertingkatkan
dalam kalangan masyarakat. Guru perlu diikhtiraf dan mendapat penghormatan daripada
pelbagai pihak agar status guru setaraf dengan profesion doktor dan peguam.
Masa bekerja guru harus ditetapkan supaya guru mempunyai masa sendiri untuk
menyiapkan kerja yang bertimbun atau masa lapang untuk menemani keluarga. Strategi ini
secara langsung mengurangkan tekanan guru dan meningkatkan motivasi serta prestasi guru.
Pihak pentadbir juga harus memberi sokongan sepenuhnya kepada guru-gurunya
supaya dapat mengurangkan tekanan guru di sekolah. Pihak pentadbir juga boleh meminta
bantuan kaunseling untuk menyelesaikan masalah yang berlaku antara guru-murid, guru-guru
dan guru-pihak pentadbir. Pihak pentadbir haruslah pandai membahagi kerja secara adil dan
saksama untuk mengelakkan ketidakpuasan dan kemarahan guru.
Selain itu, pihak pentadbir juga harus mewujudkan suasana bilik guru dan sekolah
yang sesuai serta sepadan dengan pangkat guru sebagai seorang pegawai. Dengan itu, maruah
dan imej guru secara tidak langsung juga dapat dipertingkatkan. Suasana sekolah yang kondusif
dapat mengurangkan tekanan guru dan seterusnya meningkatkan kualiti kerja guru.
Kesimpulannya, profesion guru adalah satu tugas yang sukar dan perlu pengorbanan
yang tinggi. Tekanan yang dihadapi oleh guru harus dipandang berat dan diberi perhatian serta
langkah-langkah atau tindakan perlu diambil supaya tekanan guru dapat dikurangkan, guru
dapat bekerja di suasana yang kondusif serta dapat bekerja dengan optimum untuk melahirkan
generasi muda yang berjaya.
5