Anda di halaman 1dari 9

1.

MIGRASI DAN CARA KEMASUKANNYA YANG BERLAKU DI TANAH


MELAYU
1.0 PENGENALAN
Kerajaan yang muncul dalam tamadun awal di Asia Tenggara boleh dibahagikan
kepada dua, iaitu kerajaan maritim dan kerajaan agraria. Pembahagian ini adalah
berasaskan aspek kedudukan geografi dan sosioekonomi. Kerajaan yang mengamalkan
ekonomi maritim menjadi tumpuan pedagang dari setiap sudut dunia, terutamanya
pedagang China, India, Arab dan Eropah. Para pedagang amat berminat untuk medapatkan
barangan tempatan. Sistem perdagangan dalam ekonomi maritim adalah berdasarkan
kepada sistem tukar barang. Malaysia telah dijajah oleh kuasa asing selama 446 tahun.
Penjajah asing yang dimaksudkan di atas ialah Portugis, Belanda, Jepun dan British. Pada
zaman penjajahan British, banyak perubahan telah berlaku di Malaysia. Ramai imigran telah
datang ke Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Secara tidak langsung, sistem sosial
masyarakat Melayu telah berubah. Masyarakat berbilang kaum atau dikenali sebagai
masyarakat majmuk telah terbentuk. Penjajah British telah memperkenalkan dasar ekonomi
kapitalis di Tanah Melayu. Sebelum itu ekonomi tradisional diamalkan di Tanah Melayu. Di
bawah sistem perdagangan bebas, Syarikat India Timur Inggeris ( EIC) telah memberi
sedikit sebanyak kebebasan kepada setiap orang untuk menjalankan kegiatan ekonomi
masing-masing.
1.1 Migrasi
Menjelang akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, aktiviti penghijrahan begitu
mendadak dengan bilangan yang ramai dan tidak putus-putus sehingga awal abad ke-20.
Keadaan ini boleh dikaitkan dengan kehadiran British ke negeri-negeri Melayu sejak
pengambilan Pulau Pinang pada tahun 1786, diikuti Singapura pada tahun 1819, Melaka
pada tahun 1824, Perak pada tahun 1874 dan negeri Melayu yang lain pada tahun-tahun
berikutnya. Kuasa-kuasa Eropah berusaha meningkatkan kegiatan perlombongan bijih timah
dan menjalankan sistem pertanian komersial. Ekoran itu, lebih banyak lombong bijih timah
diusahakan dan penanaman sistem perladangan diperkenalkan untuk tanaman kontan
seperti lada hitam, tebu, kopi dan lebih-lebih lagi getah apabila didapati bahawa getah boleh
hidup subur di Tanah Melayu. Untuk menjayakan kegiatan-kegiatan ekonomi ini, tenaga
buruh yang ramai dan murah sangat diperlukan. Bertepatan dengan waktu dan ketikanya,
buruh-buruh luar mudah untuk dicari terutamanya dari negara China, India dan Indonesia.
1.1.1 Migrasi dari Indonesia
Migrasi penduduk dari Indonesia ke Tanah Melayu, terutamanya dari Pulau Jawa
didorong oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran. Pertambahan penduduk khususnya di
Pulau Jawa menimbulkan masalah kepadatan, kekurangan tanah pertanian, pengangguran,

1
tempat tinggal, penyakit, kesihatan dan kemiskinan. Sudah lama menjadi lumrah hidup
untuk manusia berpindah apabila kawasan asal tidak menjanjikan apa-apa lagi. Malah,
pelarian politik juga wujud tetapi bilangannya tidak begitu ramai berbanding penghijrah
ekonomi.
Tekanan penjajah Belanda dengan dasar-dasar yang menindas memaksa
sesetengah penduduk berhijrah. Belanda mengenakan pelbagai jenis cukai yang
membebankan rakyat seperti cukai buruh, cukai harta benda, cukai perniagaan, cukai tanah
dan cukai kepala bagi menggantikan perkhidmatan peribadi. Oleh itu, penduduk Indonesia
memutuskan untuk berhijrah ke Tanah Melayu supaya bebas daripada tekanan dan
penindasan tersebut. Tanah Melayu memang sudah lama menjadi tempat tumpuan utama
penghijrah dari Indonesia. Hal ini bukan sahaja disebabkan faktor kedudukan yang dekat,
tetapi juga didorong oleh dasar ekonomi kapitalis yang diamalkan oleh penjajah British.
Syarikat India Timur Inggeris telah memberi sedikit sebanyak kebebasan kepada setiap
orang untuk menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing. Pihak British tidak seperti
penjajah Belanda yang melaksanakan sistem tanaman paksa yang banyak menindas
penduduk tempatan.
Seterusnya, Tanah Melayu mempunyai peluang ekonomi yang banyak dan sesuai
sebagai petempatan baru penduduk Indonesia. Hal ini demikian kerana perkembangan
perusahaan bijih timah dan pembukaan banyak ladang di Tanah Melayu telah mewujudkan
banyak peluang pekerjaan. Penduduk Indonesia berhijrah ke Tanah Melayu untuk bekerja
sebagai buruh di ladang-ladang getah bersama-sama buruh India dan China.
1.1.2 Migrasi dari China
Kebanyakan orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu berasal dari tiga wilayah di
bahagian tenggara negara China, iaitu Kwangtung, Kwangsi dan Fukien. Kawasan tersebut
mempunyai sumber alam yang terhad dan tekanan penduduk yang ramai. Penghijrahan
mereka ke negara lain dibuat berasaskan satu tujuan, iaitu “untuk bekerja dan menyara
penghidupan masing-masing”.
Kebanyakan orang Cina yang berasal dari wilayah di bahagian tenggara negara
China mempunyai beberapa sifat semula jadi yang istimewa. Mereka lebih mudah menerima
idea-idea yang dibawa masuk dari luar dan terkenal dengan sifat berani, ingin mengembara
dan mahir dalam ilmu pelayaran. Kedudukan Tanah Melayu yang hampir dengan negara
China turut mendorong orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu.
Seterusnya, kedudukan geografi Tanah Melayu yang beriklim tropika mempunyai
banyak persamaan dengan bahagian tenggara negara China. Keadaan ini menggalakkan
lagi penghijrahan mereka kerana mudah untuk menyesuaikan diri apabila tiba di Tanah
Melayu. Kewujudan kemudahan jalan perhubungan laut dan sistem pengangkutan yang baik
telah memudahkan orang Cina belayar ke seberang laut bagi memulakan kehidupan baru.

2
Pada awal abad ke-20, negara China sering berhadapan dengan masalah bencana
alam, terutamanya banjir. Tahun 1901, 1906 dan 1910 merupakan tahun-tahun yang paling
buruk kerana negara China dilanda bencana alam secara berterusan. Ini seterusnya diikuti
pada tahun 1911 apabila berlaku bencana kebuluran di negara China yang mengakibatkan
kekurangan bekalan makanan. Bencana tersebut melibatkan hampir 2.5 juta penduduk.
Faktor bencana alam yang sering melanda negara China menyebabkan ramai penduduk
China brhijrah ke Tanah Melayu.
Menjelang abad ke-19 dan ke-20, pertambahan penduduk menjadi satu masalah
yang rumit di negara China. Kecepatan dalam menghasilkan bahan-bahan makanan dan
peluang untuk memperoleh pekerjaan tidak seimbang dengan kadar kecepatan dalam
pertambahan penduduk. Orang Cina sentiasa mencari peluang untuk membaiki taraf hidup
masing-masing. Peluang bagi tujuan itu semakin terbuka luas, terutamanya di Asia
Tenggara yang amat memerlukan tenaga buruh bagi beberapa sektor ekonomi yang
semakin berkembang.
Bukan itu sahaja, perubahan sikap kerajaan China yang menggalakkan perpindahan
keluar rakyatnya. Mulai tahun 1860, larangan untuk berhijrah keluar dilonggarkan apabila
kerajaan China bersetuju menandatangani satu perjanjian dengan Britain dan Perancis yang
membenarkan rakyat China berhijrah dan bekerja di tanah jajahan British atau mana-mana
negara lain di Asia Tenggara. Pada tahun 1929, undang-undang kerakyatan baru diluluskan
dengan mengakui semua keturunan Cina kekal sebagai warganegara. Pada tahun 1930,
satu percubaan dibuat untuk mendaftarkan orang Cina di seberang laut tetapi usaha itu
tidak berjaya sepenuhnya. Menyedari bahawa mereka tidak akan teraniaya jika berhijrah ke
seberang laut, ramai orang Cina mula meninggalkan negara China secara besar-besaran.
1.1.3 Migrasi dari India
Proses penghijrahan masuk orang India secara besar-besaran bermula pada awal
abad ke-20. Ketika itu, tanaman getah mula diusahakan secara komersial oleh syarikat-
syarikat Eropah, terutamanya di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Jumlah
kawasan penanaman getah meningkat daripada 50000 ekar pada tahun 1900 kepada
543000 pada tahun 1911. Secara tidak langsung, bilangan penduduk India turut meningkat
daripada 270000 pada tahun 1911 kepada 470000 pada tahun 1921 dan 625000 pada
tahun 1931.
Penghijrahan imigran India sedikit sebanyak didorong oleh pergolakan dalaman yang
berlaku di India. Bilangan penduduk India telah bertambah pada kadar yang sangat ketara,
iaitu dari 130 juta pada tahun 1845 meningkat kepada 390 juta pada tahun 1941. Hal ini
menyebabkan kawasan tanah yang boleh diusahakan untuk menyara kehidupan para petani
semakin berkurangan dan mengakibatkan sumber asas untuk menampung kehidupan
harian semakin terbatas. Para petani yang memiliki tanah pula mula kehilangan tanah

3
masing-masing kerana terpaksa menjual atau menggadaikannya untuk membayar cukai
atau hutang.
Tambahan pula, bencana alam yang lebih kerap berlaku seperti banjir, kemarau,
kebuluran dan merebaknya wabak penyakit telah memburukkan lagi keadaan ini. Pada
tahun 1840-an, Dataran Tinggi Deccan dan India Selatan dilanda bencana alam seperti
kemarau yang memusnahkan tanaman dan kemudiannya menimbulkan masalah kebuluran
yag berpanjangan. Penduduk India hidup menderita dan akhirnya memutuskan untuk
berhijrah keluar supaya dapat memperbaiki nasib dan kehidupan masing-masing.
Tidak dapat dinafikan bahawa sistem sosial yang diamalkan di India juga menjadi
pendorong kepada penghijrahan orang India ke Tanah Melayu. Sistem ini membataskan
mobiliti ekonomi dan sosial. Orang India yang berasal daripada kasta yang rendah sentiasa
dipandang rendah dan tidak dibenarkan untuk menikmati hak yang sama seperti orang yang
berasal daripada kasta yang tinggi. Dalam pada itu, sebahagian besar mereka yang kurang
terdidik atau buta huruf berasal daripada kasta yang rendah. Oleh sebab peluang pekerjaan
yang terhad, maka pilihan yang ada untuk mereka adalah mencari pekerjaan di tempat lain.
Menjelang tahun 1931, boleh dikatakan hampir satu pertiga daripada jumlah orang India
yang berhijrah ke Tanah Melayu datang daripada kasta rendah dan berasal dari India
Selatan.
1.2 Cara Kemasukan
1.2.1 Cara kemasukan imigran Indonesia
Kedatangan imigran Indonesia adalah melalui usaha persendirian mahupun melalui
agen. Jika melalui agen, syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan kemasukan
mereka akan menguruskan semua hal. Pejabat syarikat ini diadakan di Jakarta, Semarang
dan Singapura. Buruh yang masuk melalui cara ini dikenali sebagai buruh kontrak. Kos yang
dikenakan tinggi dan menyebabkan majikan di Tanah Melayu kurang berminat.
Agen kedua terdiri daripada syeikh-syeikh haji. Agen-agen haji turut menjalankan
perniagaan mengimport buruh Indonesia ke Tanah Melayu selain menguruskan bakal-bakal
haji. Syeikh-syeikh haji akan membiayai semua perbelanjaan. Bayaran ini perlu dilusnakan
dengan cara bekerja dengan syeikh atau dengan majikan lain di Tanah Melayu. Biasanya
buruh-buruh ini akan terus tinggal di Tanah Melayu apabila selesai membayar hutang.
Mereka yang datang sendiri pula bebas untuk bekerja dalam sektor yang mereka
sukai. Kebanyakan mereka meneroka tanah untuk pertanian. Secara umumnnya di negeri-
negeri Melayu, kebanyakan buruh Indonesia bekerja di sektor-sektor perladangan sama ada
ladang tebu mahupun getah. Dianggarkan bahawa pada tahun 1909 sejumlah 6170 orang
Jawa bekerja di ladang-ladang di seluruh negeri-negeri Melayu Bersekutu terutamanya di
Selangor.
1.2.2 Cara kemasukan imigran Cina

4
Kemasukan buruh-buruh Cina ke negeri-negeri Melayu ini melalui beberapa cara
yang telah dikenal pasti, iaitu sistem tiket kredit, sistem pengambilan kakitangan dan sistem
pengambilan rumah kongsi.
Melalui sistem tiket kredit, bakal imigran ke Tanah Melayu dikumpulkan dari
kampung-kampung di negara China oleh kheh-thau (ketua). Ketua ini dibayar sejumlah
wang bagi setiap imigran China yang dibawa. Bakal-bakal imigran ini dikenali sebagai sin
kheh. Golongan imigran ini diletakkan di bawah pengawasan nakhoda kapal atau agensi
buruh yang biasanya terlebih dahulu telah menerima bayaran daripada bakal majikan
imigran berkenaan. Golongan sin kheh ini perlu membuat perjanjian secara lisan atau
bertulis untuk menjelaskan hutang mereka dengan cara bekerja dengan majikan berkenaan
dalam satu tempoh yang tertentu. Mereka kemudiannya akan dibekalkan dengan tiket yang
menunjukkan pelabuhan yang mereka akan tuju serta keterangan sama ada mereka bebas
atau berhutang.
Apabila sin kheh sampai di pelabuhan yang dituju, mereka akan diambil oleh
pemborong buruh yang akan bertindak sebagai orang tengah yang akan mendapatkan
majikan untuk mereka dengan bayaran tertentu. Pada bulan Mac 1872, jawatan pegawai
pelindung buruh dari China telah diwujudkan di Tanah Melayu bagi mengawasi kemasukan
buruh dan imigran dari China. Sehubungan dengan itu, beberapa undang-undang dan
tindakan telah diluluskan untuk membaiki sistem pengambilan buruh. Bagaimanapun, pada
30 Jun 1914 sistem ini telah digantikan oleh kerajaan British dengan sistem pengambilan
kakitangan ataupun sistem pengambilan rumah kongsi.
Melalui sistem pengambilan kakitangan, majikan yang memerlukan buruh akan
menghantar pegawainya ke China untuk mendapatkan tenaga buruh. Segala tambang dan
perbelanjaan buruh tersebut akan dibiayai oleh majikan. Pegawai yang dihantar
bertanggungjawab untuk mengiringi buruh-buruh tersebut sehingga mereka sampai di
tempat majikannya.
Di bawah sistem pengambilan rumah kongsi pula, pengambilan buruh dilakukan oleh
pegawai di negara China yang dilantik oleh sesebuah rumah kongsi. Pegawai tersebut akan
membiayai segala perbelanjaan buruh-buruh tersebut sehinggalah mereka sampai di rumah
kongsi di Tanah Melayu. Apabila buruh itu diserahkan kepada tuan punya rumah kongsi,
pembawa buruh akan dibayar dengan kadar tertentu seperti yang telah dipersetujui bagi
setiap buruh yang dibawanya.
1.2.3 Cara kemasukan imigran India
Cara pengambilan buruh-buruh India agak berlainan daripada buruh-buruh Cina dan
lebih sistematik. Sistem kontrak merupakan cara pengambilan yang pertama sekali
digunakan. Majikan akan membiayai tambang mereka ke Tanah Melayu dan sebagai
balasannya buruh tersebut akan bekerja dengannya untuk jangka masa tertentu (antara 1-3

5
tahun) dengan bayaran yang paling minimum, iaitu antara 9 hingga 13 sen sehari. Keadaan
ini menyebabkan sering berlakunya pemerasan dan penindasan terhadap buruh dan sistem
ini pernah disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan yang tidak ketara.Akhirnya sistem ini
digantikan dengan sistem Kangani pada tahun 1907 dengan berkuatkuasanya Undang-
Undang Tabung Imigresen India.
Di bawah sistem Kangani, seseorang kangani akan diberi lesen dan dihantar pulang
ke India untuk mencari tenaga buruh. Kangani diberikan wang pendahuluan untuk
membiayai perbelanjaan buruh tersebut sehingaa mereka tiba di Tanah Melayu. Sistem ini
kemudiannya menjadikan seseorang kangani itu seperti pengurus agensi yang membawa
masuk pekerja asing. Akhirnya, pada tahun 1938 sistem ini telah diharamkan kerana
wujudnya penyelewengan oleh kangani itu sendiri.
Padahal, terdapat juga buruh-buruh bebas yang lebih bernasib baik kerana boleh
memilih pekerjaan yang diingini. Mereka datang sendiri dengan biayaan masing-masing.
Kedatangan mereka diaturkan oleh orang atau kumpulan tertentu.
1.3 Kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penjajahan dan perluasan kuasa British di
Tanah Melayu telah meninggalkan kesan yang cukup besar, ketara dan berpanjangan,
terutamanya dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Penjajah British telah berjaya
mewujudkan satu persekitaran yang dapat menarik minat masyarakat dari luar untuk datang
ke Tanah Melayu. Hal ini disebabkan berlakunya perkembangan pesat dalam bidang
ekonomi, khususnya perusahaan bjih timah dan getah yang mula diusahakan secara
komersial dan memerlukan ramai tenaga kerja.
Keperluan tenaga buruh yang semakin mendesak telah mendorong penjajah British
mengamalkan dasar yang menggalakkan kemasukan imigran-imigran dari China dan India
ke Tanah Melayu. Walaupun kemasukan penghijrah dari luar bukan merupakan satu
perkara baru kerana masyarakat di sekitar Kepulauan Melayu telah pun berhijrah lebih awal
daripada itu, tetapi proses penghijrahan kali ini berlaku secara besar-besaran dalam tempoh
masa yang agak singkat.
Menjelang abad ke-20, beberapa kawasan petempatan baru muncul di sepanjang
pantai barat yang sebahagian besarnya didiami oleh kaum imigran. Seiring dengan
kemasukan kaum imigran Cina dan India, orang Melayu dari Indonesia turut berhijrah ke
Tanah Melayu. Hal ini menyebabkan bilangan penduduk Tanah Melayu semakin bertambah
dengan pesat. Pada tahun 1870, bilangan penduduk Tanah Melayu berjumlah kurang
daripada setengah juta. Bilangan ini meningkat kepada 3.3 juta pada tahun 1921.
Pertambahan penduduk yang berterusan dalam kalangan kaum Cina dan India
menyebabkab jumlah penduduk bukan kaum Melayu melebihi jumlah penduduk Melayu.
Contohnya, pada tahun 1931, jumlah penduduk bukan Melayu ialah 53.2% berbanding

6
dengan hanya 44.7% jumlah penduduk Melayu. Daripada 53.2% jumlah penduduk kaum
bukan Melayu, 39% daripadanya ialah orang Cina. Pada tahun 1957, bilangan peratus
penduduk Melayu ialah 49.8%, Cina (37.2%), India (11.3%) dan bangsa-bangsa lain (1.8%).
Kehadiran mereka telah membentuk satu kelompok baru dalam masyarakat di Tanah
Melayu yang dikenali sebagai masyarakat majmuk. Walaupun menetap di sebuah negara
yang sama, tetapi ketiga-tiga kaum masih mengekalkan identiti masing-masing dan
mengamalkan tradisi yang tersendiri tanpa mengasimilasi budaya antara satu sama lain.
1.4 Rumusan
Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia seperti mana yang
boleh kita lihat pada hari ini banyak disebabkan oleh penjajahan British di Tanah Melayu.
Penjajah British telah memperkenalkan dasar yang menggalakkan kemasukan imigran-
imigran, terutamanya dari China dan India. Hal ini demikian kerana penjajah British
menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh tempatan untuk memenuhi keperluan
aktiviti ekonomi di Tanah Melayu. Buruh dari India telah dibawa masuk secara beramai-
ramai untuk bekerja di ladang getah. Tenaga buruh dari China pula dibawa masuk untuk
bekerja di lombong bijih timah. Malahan, kestabilan politik turut merupakan salah satu faktor
tarikan kepada para imigran untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Hal ini dapat dibuktikan
pemberontakan dan perang saudara yang kerap berlaku di negara China. Suasana politik
dalam negara yang tidak stabil telah menyebabkan rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan.
Contohnya, walaupun Dinasti Manchu dapat digulingkan dalam Revolusi 1911, tetapi pada
peringkat awalnya kerajaan Republik masih lemah. Perbutan kuasa antara Yuan Shih Kai
dengan Sun Yat Sen menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara China. Ini telah
memberi alasan yang kuat kepada orang Cina untuk berhijrah ke seberang laut bagi
memperbaik kehidupan mereka yang buruk.

7
2. REFLEKSI
Bak kata pepatah, “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, hasil
usaha saya membuat rujukan mengenai migrasi, cara kemasukan imigran dan pembentukan
masyarakat majmuk di Tanah Melayu, tugasan ini telah berjaya disiapkan. Terdapat
beberapa kekurangan dalam diri saya ketika menjalankan tugasan ini. Antaranya, saya tidak
dapat menguruskan masa dengan sempurna. Saya terpaksa membuat rujukan sehingga
larut malam bagi menyiapkan tugasan ini kadang-kala. Walaupun begitu, saya telah
menemui jalan penyelesaiannya, iaitu membuat jadual waktu harian dan mematuhinya.
Saya mendapati kerja dapat disiapkan tepat pada masa dan sistem pengurusan masa saya
bertambah baik.
Semasa menulis esei ini, saya menyedari bahawa sememangnya kemerdekaan
negara kita, iaitu Malaysia diperoleh dengan. susah payah. Negara kita telah dijajah oleh
kuasa asing secara 446 tahun dan sistem sosial tempatan telah mengalami perubahan yang
sangat ketara. Masyarakat majmuk telah terbentuk di Tanah Melayu ekoran dasar yang
diperkenalkan oleh penjajah British yang menggalakkan kemasukan imigran dari China dan
India. Imigran Cina dan India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di
kawasan lombong dan estet ladang.
Apabila membuat rujukan menggunakan buku Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia
yang merupakan karya Azmah Abdul Manaf, saya turut mendapati bahawa bilangan buruh-
buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa,
namun angka yang tepat sukar untuk ditentukan. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan
bahawa dalam masa dua tahun iaitu dari tahun 1899 hingga 1900 tidak kurang daripada 100
000 orang dewasa Cina telah tiba di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sahaja dan tidak
termasuk negeri-negeri lain. Angka ini amat memeranjatkan dan memang jelas bahawa
kemasukan imigran telah mengakibatkan sistem sosial tempatan berubah dengan ketara.

8
Sehubungan dengan itu, sebagai warganegara Malaysia, kita harus bersyukur
dengan apa-apa yang kita ada pada masa kini. Kita mempunyai negara sendiri dan tidak
seperti penduduk-penduduk di tanah Palestin yang hidup menderita. Negara mereka telah
diancam oleh pihak Israel. Meskipun negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang
kaum tetapi kita masih dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Tambahan pula,
kemerdekaan negara kita dicapai atas rundingan rombongan Kemerdekaan yang diketuai
oleh Tunku Abdul Rahman dengan pihak British di London tanpa pertumpahan darah.
Presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy pada pidato pelantikannya
tahun 1961 pernah menyebutkan bahawa “Jangan tanyakan apa yang negara berikan
padamu, tapi tanyakan apa yang telah kamu berikan pada negaramu.” Konklusinya, kita
harus sentiasa mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi.