Anda di halaman 1dari 4

Mukjizat Israk dan Mikraj

Memperkatakan 'israk dan mik-raj' Nabi s.a.w. bukan saja dari segi bagaimana Allah SWT
memperjalankan Rasul-Nya dalam peristiwa tersebut, tetapi juga diperkatakan tentang mukjizat yang
berkaitan dengan peristiwa tersebut. Mukjizat adalah sesuatu yang mencarik adat dan di luar kemampuan
akal fikiran manusia untuk menilainya.

Walaupun manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah di muka bumi ini kerana manusia dikurniakan
akal fikiran, namun keupayaan akal manusia itu sekadar mana yang Tuhan beri. Dalam perkara mukjizat
itu, fikiran dan akal manusia tidak mampu menjangkaunya. Apa yang di luar kemampuan akal manusia
menjadikan mereka hilang upaya dan akhirnya buntu. Itulah kedudukan mukjizat di sisi akal manusia yang
terbatas.

Contoh, sejak dari manusia mengenal api, kesimpulan yang mereka dapat bahawa api itu
membakar. Tetapi apabila Nabi Ibrahim Khalilullah dibakar oleh para penentangnya dalam unggun api yang
besar, kaumnya terkejut besar apabila mendapati Nabi Ibrahim dalam keadaan selamat dan tidak terjejas.
Demikianlah contoh mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. membuat akal fikiran
para penentangnya buntu, terpegun melihat Nabi Ibrahim segar bugar di dalam nyalaan api yang
menjulang.

Lemah akal manusia dalam analisa mereka untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat
mukjizat itu. Dalam banyak perkara yang manusia tidak mampu mengerti sampai bila-bilapun, ialah
peristiwa agung 'Israk Mikraj' yang berlaku pada batang tubuh Nabi Muhammad s.a.w.. Bagaimana Nabi
s.a.w. sebagai manusia biasa boleh naik ke langit yang tertinggi dengan begitu pantas, tanpa sebarang
persiapan dan peralatan, kecuali seekor 'buraq' yang menjadi kenderaan dan pesawat angkasa.
Menjelajahi alam angkasa raya, bahkan lebih tinggi. Kemudian Nabi s.a.w. turun semula ke bumi dan
pulang ke Makkah, memberitahu orang ramai tentang peristiwa yang dilaluinya. Bingung akal manusia
untuk mengerti tentang mukjizat israk mikraj itu.

Maksud 'Israk' ialah perjalanan (rehlah) yang Allah SWT perlakukan kepada Nabi s.a.w. secara
terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin.
Sementara maksud 'Mikraj' ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa israk, iaitu naik dari al-Aqsa
kepada beberapa lapis langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat
bernama 'Sidratul Muntaha' di mana ilmu dan akal manusia atau jin tidak mampu sampai kepadanya.

Tarikh peristiwa israk mikraj itu berlaku tidak dapat dipastikan dengan tepat, ahli sejarah
menganggap peristiwa terhormat yang berlaku kepada Nabi s.a.w. itu sebagai 'khilaf' dari segi tarikhnya.
Sebahagian ahli sejarah menyebut pada tahun kesepuluh selepas kenabian, namun ada juga yang
mengatakan selepas dari tahun tersebut iaitu tahun kesebelas. Pokok persoalan yang penting diperkatakan
ialah tentang peristiwa israk dan mikraj itu sememangnya berlaku ke atas diri Nabi s.a.w. sebelum daripada
Nabi berhijrah ke Madinah.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya
"At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan
sebelum Nabi s.a.w. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu. Ada pihak yang
menimbulkan pertanyaan, adakah israk mikraj Nabi s.a.w. itu berlaku hanya roh sahaja iaitu kejadian
seperti mimpi? ataupun kejadian sebenar dengan roh dan jasad Nabi sekali? Hampir keseluruhan umat
Islam dan para ulama'nya mengatakan bahawa Nabi s.a.w. di israk dan dimikrajkan oleh Allah SWT
dengan jasad dan rohnya sebagai suatu mukjizat dan kemuliaan dariNya. Bukhari dan Muslim telah
meriwayatkan peristiwa israk mikraj itu dengan panjang lebar.

Di antara yang disebut oleh Bukhari ialah pada suatu ketika Nabi sedang duduk ditepi Ka'bah, lalu
didatangkan oleh malaikat Jibril seekor "Buraq". Dari segi bahasa buraq bererti "kilat cahaya". Ia sejenis
makhluk menyerupai haiwan, besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Bagaimanapun ia
dijadikan oleh Allah SWT bukan jenis berdarah, berdaging dan tulang belulang seperti haiwan, sebaliknya
ia diciptakan dari cahaya.

Hikmah dijadikan buraq yang berfungsi sebagai kenderaan dan pesawat angkasa menyerupai
seekor binatang walaupun unsur kejadiannya daripada cahaya, adalah bagi memudahkan Nabi s.a.w.
memahami tujuan Jibril datang membawa makhluk menyerupai haiwan untuk dikenderai oleh Nabi s.a.w.
dalam peristiwa israk mikraj. Kerana kenderaan yang lazim digunakan oleh manusia pada ketika itu ialah
haiwan sama ada unta atau kuda dan seumpamanya.
Buraq mempunyai kelajuan yang luar biasa iaitu selangkah kakinya memacu, bergerak sejauh
mata memandang. Sesuai dengan hakikat 'zat' lembaga buraq yang dijadikan oleh Allah SWT dari cahaya.
Ahli sains juga mendapati bahawa pergerakan yang paling pantas di alam maya ini ialah cahaya. Dalam
kelajuan seperti cahaya, membolehkan Nabi s.a.w. tiba di Masjid al-Aqsa Baitul Maqdis, dalam waktu yang
singkat. Sungguh menakjubkan apabila Nabi s.a.w. mengenderai kenderaan dengan kelajuan cahaya
tanpa memakai pakaian khas, sedangkan kenderaan buraq itu juga menjadi pesawat yang menembusi
angkasa lepas dalam peristiwa mikraj, yang membelah lapisan-lapisan langit menuju ke tempat maha
tinggi yang tidak mampu di sebut dengan bahasa manusia. Inilah yang dimaksudkan dengan mukjizat israk
mikraj yang tidak mampu difikirkan oleh otak dan akal manusia.

Hikmah buraq dicipta oleh Allah SWT menyerupai seekor binatang, besar sedikit dari khimar dan
kecil sedikit dari baghal ialah sebaik saja Nabi s.a.w. tiba di Baitul Maqdis, baginda singgah di Masjid al-
Aqsa untuk menunaikan solat dua rakaat, iaitu solat tahiyyatul masjid. Mengenai Nabi s.a.w. mendirikan
solat tahiyyatul masjid dalam peristiwa israk mikraj, setelah menempuh perjalanan yang jauh dari Makkah
ke Baitul Maqdis di Palestin. Ada pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa tersebut, terutama bagi
orang yang musafir jauh, telah menjadi kelaziman menjadikan masjid tempat persinggahan, ada yang
singgah semata-mata hendak buang air, atau mandi-manda bagi menghilangkan keletihan.

Orang mukmin yang memahami fungsi masjid, selepas mereka menunaikan segala hajatnya,
sudah pasti mereka tidak lupa menunaikan solat sama ada solat fardhu ataupun solat tahiyyatul masjid.
Tetapi tidak kurang juga mereka yang tidak tahu menghormati masjid, mereka semata-mata menjadikan
masjid ketika terdesak untuk buang air, kemudian beredar meninggalkan masjid berkenaan tanpa
melakukan solat sunat tahiyyatul masjid, seolah-olah mereka hanya mengambil kesempatan ketika
terdesak, tetapi tidak tahu mengucap terima kasih dengan tuan rumah itu setelah hajat mereka selesai.

Selepas Nabi s.a.w. menunaikan solat dua rakaat di Masjid al-Aqsa, lalu Jibril membawa dua buah
bejana yang mengandungi arak dan yang satu lagi mengandungi susu. Ketika arak belum di haramkan
oleh Allah SWT, pengharamannya ialah setelah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah. Kedua minuman itu
diletakkan di hadapan Nabi s.a.w., tidak menjadi kesalahan sekiranya Nabi mengambil arak kerana ketika
itu ia belum diharamkan. Tetapi Nabi s.a.w. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tidak
mengambil bejana berisi arak.
Lalu Jibril memberi ucap tahniah kepada Nabi s.a.w. kerana membuat pilihan tepat, iaitu
mengambil minuman yang sesuai dengan fitrah manusia. Sekalipun arak boleh diminum ketika itu, tetapi ia
adalah minuman yang tidak sesuai dengan tabi'e manusia. Arak boleh merosakkan akal manusia, sebab itu
akhirnya Allah SWT mengharamkan arak yang menjadi ibu segala maksiat itu. Sedangkan susu adalah
minuman sejak manusia (bayi) dilahirkan, dan ia menjadi minuman semua peringkat umur.
Oleh TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

Anda mungkin juga menyukai