Anda di halaman 1dari 7

Pembukaan dan penempatan awal di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka
dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali
sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya.
Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu
petempatan.

Asal Penduduk Pulau Perhentian


Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu
jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau
Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke
Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak
menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat.
Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang
berasal dari Tanah Besar Semenanjung.

Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama


Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat
persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti
Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga
dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk
menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat
persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau
Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan
pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal
dari angin kencang dan ombak besar.

Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri


Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan
panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan
orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar
yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang
tinggi.

Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada
zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar.
Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin
dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan
kestabilan persekitaran pulau.

Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu
Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan
Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana
adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh
Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana
dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal
lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.

Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri
Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini.
Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal
beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin
untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-
orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya
dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki
Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.

Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris.
Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet.
Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan
orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin
Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian,
selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu
oleh panglimanya yang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok
Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu
tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua
penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas
Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek.
Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir
Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak
ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti
dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda
Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi
sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina
berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin
hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah
hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu
ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda.
Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.

Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-
dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan
dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga
sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.

Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku
Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-
Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila
berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil
untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan
Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku
Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.

Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu
kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada
masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim
tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan.
Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah,
beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan
Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.

Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai
keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada
sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang
menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh
orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan
akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.

Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin
Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi
oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang
Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-
Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri.
Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak
sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina.
Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.

Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa
daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan
memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau
Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya
dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau
Perhentian.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan
Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang
Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian.
Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan
upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin
yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di
bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya
bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan
kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang
Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua
Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.

Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan


Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri.
Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam
di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian
Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi
mengeluarkan hasilnya.

Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan
menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan
menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala
hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.

Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah
penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk Pulau
Perhentian pada masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh
di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian
dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina
yang berlabuh itu dikenali sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal
layar yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai,
tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di
sekitar perairan pulau. Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan
pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut
cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina
beting pasir di tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting
pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah
pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai
kepada Batin Mina.

Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka


Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun.
Di persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian
ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula
ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke
Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan
penempatan yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang
ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah
tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut
mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam
orang yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni
lagi di Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah
ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun
hilang.

SEBENARNYA, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri
Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil.
Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di
antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu
Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan
dan perkelahan yang menarik pada masa ini.

Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian
dan cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di
beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi
penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan
berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.

Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada
zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan
semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua
penduduk Pulau Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau
Perhentian Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan
sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada
lagi penduduk di sini yang tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan
sekarang di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah
batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau
Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan kepada
semua penduduk.

Pulau Perhentian Semasa Jepun


Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga
tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian
dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain
tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu
sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung.
Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun
bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di
Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan
memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam
hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah
masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki
sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera
Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana
yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang
tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan
diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat
persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah
baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum
pendudukan tentera Jepun.

Pulau Perhentian Zaman Sekarang


Sekarang Pulau Perhentian sedang pesat membangun. Segala kemudahan asas yang ada di
Tanah Besar terdapat di sini walaupun tidak secanggih yang terdapat di Tanah Besar. Penduduk
Pulau Perhentian hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan mereka kini tidak lagi susah
dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu. Mereka tidak ketinggalan dalam arus
pembangunan negara.

Dengan adanya kemudahan eletrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki dan mengikuti
perkembangan semasa melalui peti televisyen dan tidak lagi tertutup kepada dunia luar. Boleh
dikatakan hampir setiap keluarga memiliki peti televisyen dan setiap rumah diterangi lampu
letrik. Di samping tenaga letrik penduduk Pulau Perhentian juga mendapat kemudahan bekalan
air paip yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Perkampungan Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang lebih tersusun
kerana adanya beberapa fasa perumahan yang dibina oleh kerajaan di samping beberapa fasa
lagi yang dalam pembinaan. Apabila semua projek perumahan kos rendah yang dibina itu siap,
Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik, kemas dan tersusun. Dalam
tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian tidak akan ada lagi rumah-rumah di tepi pantai
yang menyesakkan persekitaran.

Selain dari itu, Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan asas yang lain, iaitu
sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan, sebuah klinik untuk memberi rawatan
dan kemudahan kesihatan kepada penduduk kampung sebelum dihantar ke pusat kesihatan
besar di Tanah Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk memberi kemudahan kepada orang
ramai yang memerlukan pertolongan.

Sejak penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus mengunjungi
Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara mengunjungi Pulau Perhentian kerana
udaranya yang bersih, pantainya yang cantik dengan pasir putih bersih serta persekitaran pulau
yang menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara kian meningkat,
penduduk kampung merebut peluang yang ada dengan menyediakan keperluan untuk para
pelancong. Banyak rumah tumpangan didirikan untuk disewakan kepada pelancong. Bot-bot
untuk kemudahan pelancong pergi dan balik dari Pulau Perhentian juga disediakan.
Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau Perhentian mempunyai pilihan dalam
mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup, penduduk Pulau Perhentian kini
mempunyai taraf hidup yang sama dengan apa yang dirasakan oleh penduduk di Tanah Besar.

Lagenda Di Pulau Perhentian


Batin Mina

Batin Mina merupakan orang yang pertama membuka satu kawasan penempatan di Pulau
Perhentian. Beliau dikatakan berasal dari Johor-Riau. Oleh kerana adanya campurtangan
Inggeris dan Belanda di situ, beliau telah bertindak menentang campurtangan itu. Pada masa
itu, Belanda menguasai kepulauan Indonesia dan Inggeris menguasai Tanah Melayu. Beliau
dikatakan begitu marah dengan campurtangan itu dan bertindak menentang dasar itu.

Beliau dikatakan bersama orang-orangnya telah bertindak menyerang kapal-kapal dagang


Inggeris dan Belanda yang berlayar di sekitar perairan Riau. Tindakannya menyerang dan
merampas barang-barang dagangan yang dibawa oleh kapal-kapal dagang Inggeris dan
Belanda itu telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan Inggeris. Pihak Belanda dan
Inggeris menganggap Batin Mina dan orang-orangnya sebagai lanun. Tetapi tindakan Batin Mina
dan orang-orangnya tidak begitu berkesan untuk menghalang dua kuasa imperialis itu dari
menguasai gugusan Kepulauan Melayu. Ini adalah kerana dua kuasa itu mempunyai
kelengkapan senjata yang baik.

Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan pihak Belanda dan Inggeris menyerang balas dan
menyerang kubu-kubu yang digunakan oleh Batin Mina dan orang-orangnya. Batin Mina yang
telah dianggap lanun oleh dua kuasa barat itu telah menjadi buruan pihak Belanda dan Inggeris.
Batin Mina dan orang-orangnya telah lari dari buruan pihak Inggeris dan Belanda itu ke Timur
Semenanjung. Kemudian membuka penempatan dan menetap di Teluk Dalam Pulau Perhentian
Besar.

Beliau dikatakan seorang yang terkenal kerana mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Seorang
pendekar yang terbilang serta mempunyai ilmu kebal. Beliau juga adalah seorang bomoh yang
handal. Di Pulau Perhentian beliau dikenali sebagai Batin. Kehandalan Batin Mina sebagai
bomoh memang terkenal kerana dikatakan telah berjaya mengubati penyakit sehingga sampai
ke istana.

Pada masa beliau menjadi batin di Pulau Perhentian, bekalan pakaian dan makanan tidak
mencukupi untuk penduduk yang di bawah tanggungjawabnya. Langkah yang diambil oleh Batin
Mina ialah dengan meminta bekalan makanan dan pakaian dari wakam atau tongkang besar
Cina yang berlabuh di sekitar perairan Pulau Perhentian. Segala pemberian itu bolehlah
dianggap sebagai cukai dan jaminan keselamatan kepada kapal-kapal dagang yang berlabuh.

Tetapi ada di antara kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu enggan memberikan apa yang
diminta oleh Batin Mina. Tindakan pedagang itu menimbulkan kemarahan Batin Mina. Dengan
menggunakan ilmu kebatinan yang ada padanya, beliau dikatakan telah bertindak menghalang
pelayaran kapal-kapal dagang itu dengan membina beting-beting pasir di tengah laut. Oleh
kerana adanya beting pasir itu, kapal-kapal tidak dapat meneruskan pelayaran dan terpaksa
tunduk kepada Batin Mina. Tindakan Batin Mina itu telah menyebabkan kapal-kapal dagang
yang berlindung di Pulau Perhentian membayar cukai kepada Batin Mina.

Panglima Dayak

Beliau adalah merupakan panglima kepada Batin Mina. Panglima Dayak bertindak sebagai
pembantu kepada Batin Mina dari segi keselamatan penduduk Pulau Perhentian pada masa itu.
Beliau tidak terus menjadi panglima kepada batin yang selepas Batin Mina. Mengikut cerita,
beliau dikatakan ghaib selepas sahaja kematian Batin Mina.

Mengikut cerita, jika ada orang yang tersesat di atas bukit Pulau Perhentian Besar akan
terjumpa dengannya dan beliau akan membantu atau membawa ke satu tempat yang
dinamakan Pinang Seribu. Dari cerita lisan yang diperkatakan, pernah terjadi orang yang
tersesat di atas bukit Pulau Perhentian akan ditemui di tempat yang sama sahaja dengan
mereka yang tersesat sebelumnya. Ini terjadi kerana mereka yang tersesat itu dikatakan telah
dibawa oleh Panglima Dayak. Setelah mereka yang tersesat itu dibawa ke beberapa tempat
dengan tidak disedari oleh mereka yang tersesat itu, kemudian ianya akan dihantar ke satu
tempat yang dikenali dengan Pinang Seribu. Orang yang mencari akan menemui mereka yang
tersesat itu di tempat yang sama setiap kali kejadian sesat ini berlaku. Panglima Dayak ini
dikatakan masih ada lagi hingga sekarang ini. Wallahualam.

Metos Di Pulau Perhentian


Pada zaman dahulu, di Pulau Perhentian tinggal seekor naga yang sangat besar. Naga itu
dikenali dengan panggilan Naga Pulau Berjuang. Ia tinggal di satu tempat yang sekarang ini
dikenali dengan Tanjung Basi, Pulau Perhentian Besar. Pada satu ketika, Naga Pulau Berjuang
turun ke laut kerana berjuang menentang seekor naga lain yang cuba mengganas dan
menenggelamkan Pulau Perhentian. Tempat naga itu turun meninggalkan kesan di atas bukit
Pulau Perhentian. Jalan yang dilalui oleh naga itu sekarang ini dikenali dengan nama Jalan
Naga. Satu perkara lagi yang menarik di Pulau Perhentian ialah tentang ular yang ada di atas
pulau ini. Tidak ada ular bisa tinggal di atas pulau ini. Semua ular yang tinggal di pulau ini tidak
mempunyai bisa. Dari apa yang diperkatakan, yang ada di atas pulau ini hanyalah ular sawa
sahaja. Mengikut cerita, ular bisa tidak boleh tinggal di atas pulau ini kerana terdapatnya keladi
lekir dan akar cina putih yang mujarab sebagai penawar bisa ular. Walau ular itu bisa semacam
manapun, ianya akan menjadi tawar kerana adanya dua jenis tumbuhan itu. Oleh kerana itulah,
semua ular bisa tidak berani tinggal di atas Pulau Perhentian. Akar cina putih mendapat nama
kerana, ianya digunakan oleh kelasi-kelasi kapal dagang Cina untuk membuat tali sauh dan tali
kapal. Akar cina putih ini adalah sejenis tumbuhan yang menjalar dan kukuh sebagai tali. Oleh
kerana ianya sering digunakan oleh tongkang-tongkang dan kapal-kapal dagang cina, lalu ianya
diberi nama sebagai akar cina putih. Sebagaimana yang telah diceritakan, Pulau Perhentian
memang bebas dari ular yang berbisa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah di atas pulau itu.
Mengikut cerita, memang tidak ada ular bisa di atas pulau itu melainkan ular laut saja. Cuma
yang ada sejenis ular sahaja iaitu ular sawa.

Anda mungkin juga menyukai