Anda di halaman 1dari 3

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,

Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana,

Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin –hadirat sekalian.

Salam Sejahtera , Salam Satu Malaysia, Salam Pembuka Bicara.

“Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari
ini. Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan dahulu tajuk pidato ini.

Mengikut kamus dewan, ‘alam sekitar’ ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan di langit.

‘Tanggungjawab’ pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh seseorang,
manakala ‘bersama’ pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam
sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata pepatah hadirin-hadirat
sekalian, ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Maka segala usaha untuk
membersihkan dan mencantikkan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

Hadirin yang dihormati,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di sana sini mata
dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan arus pembangunan yang
kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin rancak, janganlah pula kita leka dengan
isu pembangunan alam sekitar kerana sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Hadirin yang dihormati,


Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab itu lebih
daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara sendirian. Semua
pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam
sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu
bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh,
jerebu, sungai dipenuhi sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan
alam sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar. Kita
sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat alam. Mereka
percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya juga demikian

Hadirin yang dikasihi.

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita. Alam yang
cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara tidak langsung hadirin
sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih ke sector pelancongan untuk
menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi
untuk memelihara alam sekitar

Hadirin yang dihormati,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada kanak-
kanak sehinggalah orang dewasa. Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya mencintai alam
sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan muda
terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya
memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menjadikan alam
sekitar lebih menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama
menjaga dan memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian
bahawa pendidikan menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga
Yunani, iaitu hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan
kita kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam sekitar.

Hadirin sekalian.

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar.
Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan kepekaan kita terhadap
alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa
tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu hidup
kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah sumber makanan dan
udara yang sihat. Oleh itu, untuk memastikan tubuh kita sihat, semuanya bergantung pada alam
sekitar yang sihat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-sama
bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini sebelum saya
menutup bicara :

Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa

Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai