Anda di halaman 1dari 4

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

PENDAHULUAN

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat dibicara semua
rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh
para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah
pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak
cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan
yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian
gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup
mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah
menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul
amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang
cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, kerana hendak seribu daya tak hendak seribu
dalih, prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum
hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi
membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu
bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.
Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti
ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang
bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang
yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana
keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-
anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut
acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga
kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis
untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada
ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang
masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan
kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah
satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada
generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan
tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan
ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam
memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan
ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak
telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji
kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka
mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan
budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga
bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa
mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka.
Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu
bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan
menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai
contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman
dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan
sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga
perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka.
Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak
tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang
diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula,
anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka
memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang
dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua
mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-
legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal
ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan
kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat
mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep
muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu
mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja
cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan
kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi
ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut.
Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik
sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang
menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya,
memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka
menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar
nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir
saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan
akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-
dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di
akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9
orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika
seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-
anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika
umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air
ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya,
memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang
menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.
7

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh
dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif
yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan
yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang
demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka.
Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin
selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan
diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak
hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu
bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah
akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya
berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh.
Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama
untuk membahagiakan ibu bapa.

KESIMPULAN

Tuntasnya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk
membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa
mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk
di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu
ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-
anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu,
selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk
memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi
bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam
mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka
sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa

Anda mungkin juga menyukai