Anda di halaman 1dari 7

TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK

1.0 Pendahuluan
Menurut Leonard & Karen (1996), bilik darjah adalah sebuah ruang tertentu yang
menjadi tempat belajar murid-murid bagi menerima seberapa banyak input berguna sebagai
persediaan untuk cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Bilik darjah adalah sepatutnya
menjadi tempat penerimaan ilmu yang paling menyeronokkan bagi semua pihak. Bagi rakyat
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang sosiobudaya, sekolah
menjadi tempat pertemuan kanak-kanak daripada pelbagai etnik untuk bergaul dan belajar
mengenali antara satu sama lain (Noriati A Rashid et al, 2014). Dalam hal ini, peranan sistem
pendidikan bukan sahaja mengalirkan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat tetapi ia
juga bertindak sebagai saluran yang mempromosikan kepentingan perpaduan bagi negara ini
yang terdiri daripada masyarakat pluralistik (Mior Khairul Azrin, 2011). Dalam pengajaran dan
pembelajaran (pdp) yang melibatkan kepelbagaian etnik ini, pengaplikasian konsep
pengurusan bilik darjah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya.

Justeru itu, Bani Hidayat (2010) menyatakan bahawa guru memainkan peranan yang
amat penting dalam menentukan mekanisme merancang langkah pengurusan bilik darjah
yang mesra budaya bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (pdp)
guru dalam bilik darjah. Pengurusan bilik darjah merujuk kepada kerjasama antara guru dan
murid untuk mengurus segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah agar dapat
menghasilkan sesi pdp yang kondusif (Mok Soon Sang, 2011). Antara aspek yang perlu
dititikberatkan adalah aspek pengurusan persekitaran fizikal, sosial, dan emosi. Guru juga
perlu meneliti latar belakang murid-murid dan meraikan budaya yang berbeza dalam kalangan
semua pihak termasuklah kepelbagaian sosiobudaya, ekonomi, tahap intelek, dan
latarbelakang keluarga yang berbeza. Setiap murid yang datang daripada pelbagai latar yang
berbeza ini pastinya mempunyai tingkah laku yang berbeza.

1.1 Pengurusan persekitaran fizikal

Aspek pengurusan bilik darjah pertama yang perlu diketengahkan adalah aspek fizikal.
Aspek fizikal merujuk kepada persekitaran fizikal yang murid hadapi. Menurut kamus Dewan
Edisi Keempat, persekitaran fizikal merujuk kepada persekitaran yang menjurus kepada
perkara yang bukan kebendaan dan boleh dilihat secara terus. Suasana fizikal bilik darjah
menjadi rangka yang akan menentukan keadaan pembelajaran, iaitu samada menggalakkan
atau mengganggu pembelajaran. Oleh sebab itu, guru haruslah bijak mengawal dan
mengendalikan kelas mereka. Aspek persekitaran fizikal boleh mempengaruhi tahap psikologi
dan tingkah laku sosial (Moos, 1979). Penyusunan aspek fizikal dalam ruang pembelajaran
pula boleh mengehadkan atau menggalakkan interaksi dan juga mempamerkan perlakuan-
perlakuan yang diharapkan oleh guru (Woolfolk, 2007). Bagi mewujudkan persekitaran fizikal
yang mesra budaya bagi murid yang berbeza etnik, budaya, serta latar keluarga, guru boleh
menyusun atur kedudukan murid di dalam kelas secara bercampur-campur supaya terdapat
kesamarataan taburan di antara murid-murid dari pelbagai kumpulan etnik yang berbeza. Hal
ini secara tidak langsung membolehkan murid berinteraksi antara satu sama lain sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran (pdp) berlangsung. Sebagai contoh, murid berbangsa
Melayu, Cina dan India diletakkan dalam satu kumpulan yang sama. Semasa proses pdp
berlangsung, mereka terlazim untuk bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu tugasan
yang diberikan oleh guru dan sering berinteraksi antara satu sama lain dalam perbincangan
kumpulan atau aktiviti-aktiviti kumpulan. Kesannya, mereka dapat mengetahui sedikit
sebanyak mengenai bangsa lain dan dapat menerima perbezaan yang masing-masing miliki.
Secara tidak langsung, kepelbagaian kumpulan etnik dalam satu-satu kumpulan dapat
mewujudkan serta memupuk satu suasana mesra budaya.

Bukan itu sahaja, dari aspek fizikal, guru boleh mengambil inisiatif untuk menghasilkan
sudut pembelajaran yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan murid serta meningkatkan
kefahaman mereka mengenai kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia. Contohnya,
guru menghasilkan sudut patriotik di mana murid dapat memperoleh pelbagai maklumat
mengenai kaum-kaum yang terdapat di negara kita seperti maklumat mengenai perayaan-
perayaan yang disambut, kuih tradisional, pakaian tradisional, kepercayaan, adat resam serta
pantang larang yang diamalkan. Melalui maklumat yang diperoleh, murid dapat
memperluaskan lagi pengetahuan yang mereka miliki seterusnya meningkatkan rasa hormat
dan menghargai setiap perbezaan yang dimiliki. Sumber maklumat yang disediakan juga
boleh dipelbagaikan seperti melalui buku, majalah, risalah, artikel, komik, multimedia dan
sebagainya. Hal ini dapat mengelakkan murid memandang kepada kepentingan kaumnya
sendiri. Murid-murid juga patut didedahkan dengan proses sosiolisasi antara kaum tanpa
mengira anutan agama agar proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan.

1.2 Pengurusan persekitaran sosial

Bagi aspek sosial pula, guru boleh berbincang bersama murid untuk merangka
peraturan bilik darjah dan denda yang akan dikenakan sekiranya mereka melanggar
peraturan yang telah ditetapkan. Hal Ini adalah untuk memastikan murid dapat mengawal
tingkah laku serta sentiasa menghormati budaya dan fahaman masing-masing. Menurut Mok
Soon Sang (2011), guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi
juga menanam sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna dan mematuhi peraturan masyarakat.
Bertepatan dengan itu, guru perlu bersedia dengan kepelbagaian sosiobudaya murid yang
datangnya daripada pelbagai kelas sosial dan kaum. Contohnya, guru menetapkan peraturan
bahawa murid tidak boleh mengejek rakan lain menggunakan panggilan yang mereka tidak
sukai. Sekiranya murid melanggar peraturan yang telah ditetapkan tersebut, guru akan
mengenakan denda seperti yang telah dipersetujui oleh keseluruhan kelas sewaktu merangka
peraturan bilik darjah tersebut. Oleh hal yang demikian, murid tidak akan sesuka hati bertindak
menyentuh sensitiviti rakan-rakan yang lain sebaliknya akan terbiasa dan menerima setiap
perbezaan yang mereka miliki.

Selain itu, guru boleh merancang aktiviti pembelajaran yang menggunakan


pendekatan koperatif. Menurut (Slavin, 1982; Johnson, Johnson & Holubec, 1990; Kagan,
1992) pendekatan koperatif boleh didefinisikan sebagai kaedah-kaedah pengajaran yang
mana murid-murid dari semua peringkat pencapaian bekerjasama dalam kumpulan kecil
untuk mencapai matlamat bersama. Dalam menyelesaikan tugas berkumpulan, setiap ahli
kumpulan perlu bekerjasama dan saling membantu untuk memahami sesuatu bahan
pembelajaran (Sugiyanto, 2009). Pendekatan ini adalah melibatkan interaksi seseorang
individu dengan individu yang lain. Dalam melaksanakan pembelajaran koperatif, murid akan
berkomunikasi sesama rakan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Dalam salah satu
prinsip-prinsip asas, teori konstruktivisme menekankan proses pembinaan pengetahuan
melibatkan aspek sosial dimana seorang murid akan berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat
dengan pelajar dan individu lain ketika membina pengetahuan (Ee Ah Meng, 2005). Hal ini
secara tidak langsung dapat meningkatkan interaksi sosial dan tahap keyakinan diri murid
untuk bergaul bersama rakan yang berlainan budaya. Contohnya, guru menjalankan aktiviti
kuiz secara berkumpulan. Melalui aktiviti ini, murid akan bekerjasama untuk menyelesaikan
soalan kuiz yang diberi oleh guru. Aktiviti yang dirangka juga mestilah berupaya untuk
menanam semangat saling mempercayai dalam jiwa murid. Semangat kepercayaan yang
tinggi akan meruntuhkan tembok perkauman dan secara tidak langsung perpaduan antara
kaum akan terjalin.

1.3 Pengurusan persekitaran emosi

Bagi mewujudkan sebuah bilik darjah yang mesra budaya dari aspek emosi pula, guru
tidak sepatutnya mempunyai pandangan negatif kepada murid disebabkan ras, agama,
kecacatan atau kebolehan mereka dan menyampaikan pdp tanpa mengambil kira sebarang
perbezaan dan bias. Pelaksanaan bilik darjah mesra budaya ini memberi peluang kepada
kelompok yang berasa tersisih meningkatkan keyakinan diri mereka selain meningkatkan
peluang mereka mengecapi kejayaan. Persekitaran yang mesra budaya dapat meningkatkan
peluang untuk mereka mencapai kejayan serta menimbulkan kesefahaman dan perpaduan
dalam kalangan murid. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, budaya asal seseorang murid itu
boleh mempengaruhi tingkah lakunya di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, kehidupan
ekonomi-fizikal keluarga yang miskin menyebabkan keluarga tidak mampu untuk memenuhi
keperluan asas anak-anak (Power & Maluccio, 1998; Smith & Elander, 2006), yang
seterusnya boleh memudaratkan perkembangan anak dan memberi kesan kepada gaya
belajar mereka (Power & Maluccio, 1998). Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar
yang lebih spesifik berbanding dengan murid yang lebih berupaya yang hanya memerlukan
bimbigan sahaja dan boleh belajar sendiri. Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira
sama ada mereka dari kelas atasan atau bawahan dan hendaklah tidak menunjukkan
sebarang peminggiran.

Tambahan lagi, guru perlu memberi peneguhan positif sekiranya murid menunjukkan
tingkah laku yang baik atau menunjukkan kerjasama yang baik dengan rakan. Peneguhan
positif adalah suatu rangsangan yang diberikan kepada seorang murid supaya sesuatu
tingkah laku diulangi atau kebarangkalian ia dilakukan akan diperkuatkan lagi (Mohd. Saat et
al. 2011, 1113-1120). Pemberian ganjaran positif ini adalah sebagai galakan dan motivasi
untuk mendorong murid terus kekal atau konsisten untuk berkelakuan positif. Lahir daripada
latar belakang dan pengaruh persekitaran yang berbeza, pastinya mempengaruhi pemikiran
serta fahaman murid pada sesuatu perkara. Sebagai contoh, murid yang beragama Islam dan
murid beragama Buddha pastinya mempunyai pandangan tersendiri terhadap agama dan
budaya mereka. Oleh hal yang demikian, guru perlu peka dengan perbezaan pemikiran itu
dan mendengar segala pandangan atau idea yang murid sampaikan. Guru perlu memberi
respon dan ulasan yang positif yang boleh menyebabkan mereka saling menghormati dan
sedia mendengar pandangan rakan yang lain. Respon yang baik daripada guru akan
meningkatkan pemahaman mereka dan meningkatkan perasaan ingin tahu dalam diri murid.
Di samping itu, guru juga perlu menekankan budi bahasa dan tutur kata yang sopan ketika
menyampaikan pandangan bersesuaian dengan nilai-nilai murni yang dinyatakan dalam
falsah pendidikan negara.

1.4 Kesimpulan

Kesimpulannya, guru perlu memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk
mengurus bilik darjah masa kini secara berkesan serta membentuk satu persekitaran
pembelajaran yang mesra budaya dan kondusif di sekolah. Guru wajar merancang langkah
pengurusan bilik darjah tertentu yang dirasakan paling sesuai sebagai usaha menjadikan
murid berasa seronok berada di dalam kelas dan berjaya menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran dengan berkesan.
RUJUKAN

Bani Hidayat bin Mohd Shafie et. al. (2010). Strategi Teknik Demonstrasi dan Pemerhatian
Terhadap Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Ibadat Pendidikan Islam
KBSM Di Surau Sekolah. International Conference on Learner Diversity. Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus dewan (4th ed.). Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Ea Ah Meng. (2005). Pendidikan di Malaysia, Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah (edisi
kedua). KualaLumpur: Fajar Bakti.
Mior Khairul Azrin. (2011). Sistem Pendidikan Di Malaysia: Dasar, Cabaran Dan
Pelaksanaan Ke Arah Perpaduan Nasional. Sosiohumanika, 4(1), 33-47.
Mok Soon Sang (2011). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku (3rd ed.) Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang, (2011). Pedagogi Untuk Pengajaran dan Pembelajaran (2nd ed.) Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Moos, R.H. (1979). Evaluating Educational Environments: Procedures, measures, finding
and policy implication. San Francisco: Jossey-Bass.
Noriati A Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah & Zuraidah (2014). Budaya dan
Pembelajaran Edisi Kemas kini. Selangor: Oxford Fajar SDN. BHD.
Leonard, M. S., & Karen, L. (1996). Guru Yang Kreatif, Isu-Isu Teorikal & Aplikasi Praktikal.
Kuala Lumpur: Arena Buku Sdn Bhd.
Johnson, D. W., Johnson, R. T. & Holubec, E. J. (1990). “Circle of learning. Cooperation in
the classroom (3rd ed.).”Edina, Minnesota: Interaction Book
Kagan, S. (1992). “Cooperative learning.” San Juan Capistrano, CA: Kagan Cooperative
Learning.
Mohd. Saat, Rohaida, Zulfa Izza Mohamed@Hashim, Mohamad Khairudin Bajuri, Mohd.
Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff, Noor Naemah Abdul Rahman, dan Durriyyah Sharifah
Hasan Adli. (2011). "Memorization Activity and Use of Reinforcement in Learning:
Content Analysis from Neuroscience and Islamic Perspectives." Journal of Applied
Sciences no. 11 (7):1113-1120.
Power, M. & Maluccio, A. N. (1998). Intergenerational approaches to helping families
at-risk. Generation, 22(4), 37-49.
Slavin, R. E. (1982). Cooperative learning: Student teams. What research says to the
teacher. Washington, D. C.: National Education AssociationUnit Pendidikan Teknikal
JPNJ (1998). “Pengurusan Makmal Kemahiran Hidup Bersepadu Melalui
Pendekatan Kolaboratif.” Jabatan Pendidikan Negeri Johor
Smith, D. M. & Elander, J. (2006). Effects of area and family deprivation on risk factors for
teenage pregnancy among 13-15-year-old girls. Psychology, Health and Medicine,
11(4), 399-410
Sugiyanto (2009). Model-model Pembelajaran Inovatif. Surakarta: PSG Rayon 13

Woolfolk, A. (2007). Educational psychology (10th ed.). Allyn and Bacon.