Anda di halaman 1dari 14

FAKTOR MEMPENGARUHI KESATUAN SEKERJA DAN IMPAK

SAMSIR BIN SAMSUDDIN

(HA12) HUBUNGAN INDUSTRI

1.0 PENGENALAN

Kesatuan sekerja merupakan sebuah institusi utama bagi buruh khasnya dalam konteks sistem
hubungan industri. Organisasi ini memainkan peranan penting terutamanya dalam mewakili
kepentingan pekerja (Webbs,1920;Metcalf,1990). Menurut pasangan Webbs (dalam Farnham
dan Pimlott,1996), kesatuan sekerja adalah persatuan penerima-penerima upah yang
menubuhkan kesatuan bagi tujuan mengekalkan atau meningkatkan kondisi kehidupan bekerja
dan syarat kerja sepanjang hayat pekerjaan mereka. Kesatuan sekerja diiktiraf sebagai satu
perwakilan pekerja yang sah dari segi undang-undang (Wun Min Aun, 1995 ; Anantaraman,
1997 ; Balakrisnan Parasuraman 2002). Namun, pengiktirafan ini tidak bererti selagi
dipertahankan oleh sokongan keahlian dan tanggungjawab dalam sistem tripartism iaitu
menggubal satu polisi pembahagian upah dan kekayaan yang sama rata dalam sesebuah
masyarakat.

Kesatuan sekerja juga merujuk kepada satu pertubuhan yang berdikari, yang akan
membuat perundingan kolektif dan terpisah dengan majikan yang berperanan untuk
mengekalkan dan meningkatkan keadaan,persekitaran dan syarat pekerjaan dan menggunakan
haknya untuk mencapai tujuan dan keperluan pekerja (Green,1994; Mankiw,2001).

Menurut Akta Kesatuan Sekerja 1959, kesatuan sekerja merujuk kepada satu persatuan
atau gabungan pekerja atau majikan yang bekerja di Malaysia dan keahliannya hendaklah
terdiri daripada pekerja atau majikan dalam ketukangan, pekerjaan dan perindustrian yan
tertentu atau yang seakan-akan sama. Menurut Poon (2002), kesatuan sekerja merujuk kepada
satu pertubuhan pekerja dan majikan yang ditubuhkan untuk memajukan, memelihara dan
memperbaiki kepentingan sosial,ekonomi serta politik ahli-ahlinya melalui tindakan kolektif.
Menurut Allen (1996) ,kesatuan sekerja yang ditubuhkan adalah bertujuan untuk memperbaiki
syarat-syarat keadaan tempat kerja dan meningkatkan taraf hidup mereka.

1
Selain daripada itu, kesatuan sekerja juga berfungsi untuk meningkatkan keadaan dan
syarat pekerjaan, mendapatkan jaminan pekerjaan,pendapatan yang adil, menyuarakan
pendapat, mempertimbangkan peralatan di tempat kerja, meningkatkan taraf hidup dan
keselamatan sosial pekerja (Williamson,1985 ; Mariam,1993).

Kesatuan sekerja juga berperanan untuk menyuarakan dan melindungi hak-hak ahlinya
bagi menyeimbangi kuasa dan autoriti yang dimiliki oleh majikan dan pekerja seperti
menyelesaikan perbezaan nilai, kemahuan, sikap dan tanggungjawab (Armstrong,1999;
Salamon,2000). Oleh itu, jumlah keahlian dalam kesatuan sekerja sangatlah penting supaya
hak-hak pekerja khususnya kebajikan dan keselamatan mereka dapat dipelihara dan
diperjuangkan sepanjang tempoh mereka bekerja dalam organisasi berkenaan.

2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEAHLIAN KESATUAN SEKERJA

Kesatuan sekerja merupakan wakil kepada pekerja untuk mempertahankan hak-hak seseorang
pekerja dalam sesebuah organisasi. Kesatuan sekerja yang ditubuhkan dalam organisisi
seharusnya didaftarkan di bawah Akta 1959. Kesatuan sekerja yang telah didaftarkan,
mempunyai hak serta kuasa bagi membolehkan kesatuan itu ditadbirkan dan beroperasi dengan
baik mengikut peruntukan undang-undang seperti diperuntukkan oleh Akta 1959. Seterusnya,
kekebalan daripada sebarang tindakan sivil untuk apa-apa perbuatan yang dilakukan sebagai
lanjutan kepada satu pertelingkahan tred mengikut seksyen 21, kekebalan daripada
tanggungan terhadap perbuatan tort sekiranya ia berlaku sebagai lanjutan daripada satu
pertelingkahan tred mengikut seksyen 22. Disamping itu, kekebalan untuk tidak didakwa
sekiranya melakukan sesuatu perbuatan semata-mata kerana perbuatan itu adalah disifatkan
sebagai satu penyekatan perniagaan mengikut seksyen 24. Dalam konteks ini, penglibatan
pekerja dalam sesebuah kesatuan sekerja tersebut, bukanlah semata-mata untuk
mempertahankan hak dan kebajikan tenaga kerja sahaja malah pelbagai faktor yang dapat
diketengahkan oleh beberapa penyelidik mengenai keahlian pekerja dalam kesatuan sekerja ini.

2
Menurut Maimunah (1999) terdapat tiga sebab utama mengapa pekerja membentuk dan
menganggotai kesatuan sekerja iaitu ekonomi,hak dan sosial yang sebenarnya telah
dibincangkan dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow. Pekerja melalui kesatuan sekerja ingin
menuntut kenaikan gaji selaras dengan pertambahan beban tugas serta desakan ekonomi serta
menginginkan suasana perhubungan perindustrian yang harmoni dan sihat tanpa mengabaikan
kebajikan pekerja-pekerjanya ( Rosenbloom dan Shafritz,1985; Fossum 2006). Disamping itu,
menurut Thomas (1982) pula menyatakan bahawa faktor utama yang mendorong pekerja
menyertai kesatuan sekerja adalah disebabkan oleh tuntutan psikologi. Antaranya adalah
ketidakpuasan pekerjaan seperti persekitaran kerja,merasa ketidakadilan bayaran yang
dilakukan, memerlukan keterlibatan pengaruh dan penyertaan dalam pekerjaan serta persepsi
bahawa pekerja mampu untuk mempengaruhi keadaan pekerjaan.

Manakala menurut Zafir dan Fazilah (2003) kebanyakan pakerja menyertai kesatuan
sekerja kerana faktor ekonomi dan bukan ekonomi. Maksudnya, jika pekerja tidak berpuas hati
dengan pampasan yang diberikan sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan kewangan,
ianya menyebabkan pekerja mempercayai bahawa pentingnya kesatuan sekerja untuk
memperjuangkan hak mereka. Ini juga dilihat sebagai faktor yang mendorong penglibatan
pekerja dalan sesebuah kesatuan sekerja.

Berikut merupakan faktor- faktor yang mempengaruhi keahlian dalam kesatuan sekerja :-

i. Motif Ekonomi

Faktor ekonomi merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi keahlian kesatuan
sekerja. Hal ini kerana, melalui penyertaan mereka dalam kesatuan sekerja, mereka dapat
menambah baik situasi ekonomi mereka khususnya dalam meningkatkan perdapatan pekerjaan
mereka. Menurut Zakaria Ismail (2000) apabila pekerja menyertai kesatuan sekerja, pekerja
juga dapat meningkatkan kekuatan perundingan di mana pekerja mempunyai kuasa apabila
bergabung dan kuasa untuk berunding dengan majikan berkaitan syarat-syarat pekerjaan yang
lebih baik seperti upah dan faedah-faedah yang diperolehi. Contohnya, tuntutan kenaikan gaji
oleh Kogres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang telah
menyebabkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji baru kepada kakitangan kerajaan
seluruh negara.

3
Apabila mereka bersatu padu, mereka mempunyai kekuatan secara kolektif untuk berunding
dan tawar menawar dengan majikan bagi mendapat terma-terma dan syarat-syarat
perkhidmatan yang lebih baik. Di samping itu, penglibatan mereka dalam aktiviti kesatuan yang
sah dilindungi oleh undang-undang. Oleh itu, kejayaan perjuangan kesatuan bagi mendapat
terma-terma yang lebih baik akan memberi pulangan faedah secara langsung kepada ahli-
ahlinya. Secara tidak langsung, keadaan ini dapat membantu dalam meningkatkan taraf
ekonomi mereka melalui faedah-faedah yang diterima oleh mereka setelah menyertai kesatuan
sekerja.

ii. Perlindungan Hak

Pekerja juga menyertai kesatuan sekerja bagi mendapatkan perlindungan hak daripada
diskriminasi, eksploitasi dan layanan yang tidak adil di tempat kerja oleh pihak pengurusan
atau majikan seperti pilih kasih, membezakan upah antara individu pekerja dari segi ras,
agama, jantina, dan sebagainya. Contohnya kes yang berlaku di Sea Firebricks di mana
pembayaran gaji yang berlainan berdasarkan jantina untuk jumlah kerja yang sama. Keadaan
ini jelas menunjukkan layanan yang tidak adil berdasarkan jantina terhadap pekerjanya. Bagi
mengelakkan masalah ini berlaku kepada mereka, pekerja telah menyertai kesatuan untuk
mendapatkan perlindungan hak.

Selain itu, menurut Zakaria Ismail (2000) hak pekerja dalam organisasi juga dapat
diperolehi oleh pekerja dalam sesebuah organisasi. Hak ini termasuklah hak untuk
menyuarakan pendapat dan rasa tidak puas hati melalui saluran yang betul dengan melibatkan
diri dalam kesatuan sekerja dan hak untuk mendapat faedah tertentu dalam organisasi. Hak
lain yang diberikan kepada pekerja oleh organisasi adalah seperti penglibatan pekerja dalam
membuat keputusan. Oleh itu, kesatuan sekerja ini menjadi pemerhati bagi mereka sekiranya
ahli-ahlinya tidak mendapat layanan yang tidak adil daripada majikan. Keadaan ini, sekiranya
mereka menyertai kesatuan sekerja, hak-hak mereka akan terpelihara dan akan mendapat
bantuan daripada kesatuan sekerja sekiranya berlaku ketidakadilan kepada mereka daripada
pihak majikan sepanjang tempoh bekerja mereka dalam organisasi berkenaan.

4
iii. Sifat Konteks Organisasi Berkenaan

Kesatuan sekerja bertanggungjawab sebagai wakil pekerja untuk menyuarakan suara rintihan
pekerja dalam aspek persekitaran di tempat mereka berkerja. Pekerja menyertai kesatuan
sekerja juga disebabkan oleh sifat konteks di sesebuah organisasi, di mana mereka ini cuba
untuk meringankan beban pekerja dalam organisasi tersebut. Sekiranya sesebuah organisasi
mempunyai bilangan ahli-ahli kesatuan yang begitu ramai, ia dapat mempengaruhi atau
mendorong pekerja khususnya pekerja baru untuk menyertainya.

Tambahan pula, menurut Dzulrizah Ibrahim (2009) keyakinan terhadap kebolehan dan
kemampuan kesatuan sekerja tersebut yang mampu menarik ramai ahli menyebabkan suara
mereka menjadi lebih kuat. Oleh itu, penyertaan seseorang individu dalam kesatuan
bergantung kepada situasi di tempat kerja mereka.

iv. Persekitaran Tempat Kerja Yang Selesa

Menurut Thomas (2003) semua pekerja menginginkan persekitaran kerja yang selesa untuk
bekerja. Oleh itu keadaan tempat kerja yang tidak selesa untuk bekerja menyebabkan mereka
menyertai kesatuan sekerja. Persekitaran tempat kerja yang selesa merujuk kepada keadaan
persekitaran tempat kerja yang bebas daripada segala bahaya yang boleh mendatangkan
kemaudaratan kepada pekerja. Ia meliputi aspek kemudahan yang selesa, persekitaran kerja
yang aman, dan mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan berfungsi. Kegagalan dalam
menyediakan persekitaran yang kondusif dan selesa menyebabkan mereka menyertai kesatuan
sekerja bagi menyelesaikan masalah kemudahan tersebut dan seterusnya memberi jaminan
tempat kerja yang selesa bagi mereka.

v. Ganjaran

Ganjaran mencukupi dan adil merujuk kepada persepsi pekerja tentang ganjaran berbentuk
kewangan seperti gaji,elaun,bonus, dan faedah lain yang diterima. Ganjaran harus berpatutan
dan adil dari segi jumlah,kualiti dan jenis pekerjaan. Menurut Lewicki (1981), pampasan yang
mencukupi dan adil bermaksud sistem pampasan yang diterima oleh semua pihak tanpa
mereka mempertikaikannya.

5
Anonymous (1995) menjelaskan bahawa ketidakadilan dan ketidakcukupan pampasan yang
diberikan dapat menyebabkan motivasi individu berkurangan dan akhirnya menimbulkan
banyak masalah kepada syarikat seperti lantik henti pekerja dan sebagainya. Oleh itu, pekerja
akan menyertai kesatuan sekerja di sesebuah organisasi supaya mereka boleh mendapat
ganjaran yang setimpal dengan kerja yang dilakukan dan juga bagi mengelakkan daripada
ditindas oleh pihak majikan. Antara ganjaran dan faedah yang diperolehi oleh pekerja yang
melibatkan diri dalam kesatuan sekerja adalah seperti berikut : lihat jadual di bawah.

Jadual 1 : Ganjaran dan Faedah dalam kesatuan sekerja

GANJARAN FAEDAH
BERBENTUK BERBENTUK BUKAN MENGIKUT PERATURAN FAEDAH SAMPINGAN
KEWANGAN KEWANGAN DAN UNDANG-UNDANG
Secara Secara tidak langsung Mengikut peruntukan Akta Cuti Tidak Berkerja
langsung Pekerjaan Berbayar
Upah Anugerah pencapian  Cuti kahwin
Gaji Surat penghargaan  Cuti umum  Cuti kelahiran
 Cuti tahunan anak
 Cuti sakit  Cuti
kecemasan
 Cuti kematian
Bonus Tajaan pekerja KWSP Khidmat kesihatan
Komisen  Keluar negeri PERKESO Kemudahan Rekreasi
 Kovensyen Surau
 Seminar
Faedah Tabung
Persaraan
Kemudahan
permberian subsidi
Elaun sampingan :
 Makan
 Perumahan
 Kerja shift
Program pekerja
bulanan
Bonus tahunan
Insentif

Sumber: Kementerian Sumber Manusia (2015)

6
vi. Faktor Peribadi

Menurut Zakaria Ismail (2000) faktor peribadi atau diri sendiri juga menjadi faktor keahlian
dalam kesatuan sekerja. Hal ini demikian kerana, terdapat juga pekerja yang melibat
penyertaan mereka dalam kesatuan secara positif, di mana mereka ingin menunjukkan
kebolehan mereka dalam memimpin dan menjadi wakil untuk menyuarakan hak-hak mereka.
Sebagai contoh, keselesaan di tempat kerja,faedah-faedah, cuti bersalin dan kemudahan
bekerja. Ada di antara mereka melibatkan diri dalam kesatuan kerana memiliki ciri-ciri
kepimpinan dan melihat peluang untuk memanifestasikan kualiti-kualiti kepimpinan dalam
hierarki kesatuan.Mereka percaya bahawa mereka dapat menolong rakan-rakan sekerja
membaiki terma-terma dan syarat-syarat.

vii. Pengaruh Rakan Sekerja

Pengaruh rakan sekerja memainkan peranan penting dalam meningkat keahlian kesatuan
sekerja. Menurut Zakaria Ismail (2000) apabila mereka bekerja dalam berkumpulan atau di
tempat yang sama, mereka boleh memperkuatkan lagi kekuatan kesatuan sekerja di dalam
organisasi berkenaan. Keadaan ini menyebabkan pekerja berkenaan akan lebih terpengaruh
dengan pendapat dan persepsi rakan sekerjanya. Di samping itu, tahap kepercayaan yang
tinggi terhadap rakan sekerja memudahkan pekerja berkenaan dipengaruhi. Tambahan pula,
apabila melihat kelebihan dan faedah-faedah yang diperolehi oleh rakan sekerja setelah
menjadi ahli kesatuan sekerja menyebabkan mereka tertarik untuk menjadi ahli kesatuan
sekerja.

viii. Aktiviti Kesatuan Sekerja

Aktiviti kesatuan sekerja juga mempengaruhi keahlian dalam kesatuan sekerja. Menurut
Balakrishnan Parasuraman (2001) kesatuan sekerja bukan hanya berminat mengenai
kehidupan ahli-ahli mereka semasa waktu bekerja tetapi juga secara meluas dan
memperkenalkan polisi-polisi yang akan memberi faedah kepada pekerja-pekerja pada amnya.
Oleh itu aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja mempunyai tiga cabang. Ia memberi tumpuan kepada
majikan individu dan layanan majikan terhadap pekerja-pekerja mereka, mengenai isu-isu
kebangsaan yang lazim kepada semua majikan dan memberi kesan kepada semua pekerja
serta mewakili pekerja-pekerja individu yang memohon bantuan mereka.

7
Menurut Balakrishnan Parasuraman (2001) aktiviti kesatuan ini mampu memupuk
hubungan yang kuat dalam kesatuan tersebut dan mewujudkan nilai kesetiaan yang tinggi
dalam diri pekerja terhadap kesatuan tersebut. Selain itu, melalui aktiviti-aktiviti kesatuan yang
telah dirancang rapi dan tersusun dapat menarik pekerja di organisasi berkenaan. Hal ini
demikian kerana startegi ini membolehkan ahli-ahli kesatuan untuk melihat perjalanan dan
faedah yang diperoleh mereka setelah menyertai kesatuan berkenaan. Secara langsung,
keadaan ini menarik lebih ramai pekerja untuk menyertai dan seterusnya mampu
meningkatkan bilangan ahli dalam kesatuan sekerja.

ix. Kepimpinan Kesatuan Sekerja

Keahlian pekerja dalam kesatuan sekerja turut dipengaruhi oleh faktor pemimpin. Menurut
Rozhan Othman (2005) pemimpin merujuk kepada individu yang mengetuai kesatuan sekerja
dalam organisasi tersebut. Pemimpin yang berkebolehan serta bertanggungjawab dapat
mengambil kepercayaan dan meyakinkan pekerja lain untuk menyertai kesatuan dalam
organisasi. Hal ini demikian kerana, melalui pemimpin yang berkebolehan dan berani, mereka
dapat meyakinkan ahli-ahli kesatuan bahawa perjuangan mereka adalah tidak sia-sia dan hak-
hak mereka dapat dipelihara. Sebaliknya, pemimpin yang tidak berkebolehan akan
menyebabkan kesatuan sekerja mereka menjadi lemah dan juga mempunyai jumlah keahlian
yang sedikit. Hal ini demikian kerana, para pekerja dalam organisasi berkenaan tidak yakin
akan barisan pimpinan yang di bawa oleh kesatuan tersebut dan seterusnya akan
menyebabkan perjuangan mereka menjadi sia-sia apabila mereka menyertai kesatuan tersebut
khusus dalam menyuarakan isu kebajikan pekerja.

Tambahan pula, menurut Maimunah Aminuddin (1999) apabila pemimpin kesatuan


yang dipilih adalah daripada jumlah keahlian yang sedikit, ini akan memberi peluang kepada
pihak majikan untuk mengeksploitasi pemimpin kesatuan tersebut. Secara tidak langsung,
keadaan ini akan menyebabkan sebarang tindakan dan pembuatan keputusan dalam kesatuan
tersebut akan dipengaruhi oleh pihak majikan dalam organisasi berkenaan.

8
Di samping itu, wujudnya rasa gelisah di kalangan pemimpin kesatuan di mana menjadi
mangsa kepada pihak majikan terutamanya perkara yang berkaitan kenaikan pangkat,
pemberhentian kerja, penukaran kerja dan penyerahan tugas adalah isu prerogatif pengurusan.
Keadaan ini menyebabkan pemimpin kesatuan menjadi takut dan mudah dieksploitasi oleh
pihak majikan.

x. Peranan Utama Kesatuan Sekerja

Peranan kesatuan sekerja juga sangat penting dalam penyertaan pekerja dalam kesatuan
sekerja. Menurut Gamal el Banna (1999) peranan utama kesatuan sekerja adalah
memperjuangkan dan memenuhi keperluan dan kehendak pekerja dengan perundangan
kolektif di antara pekerja dengan majikan. Pekerja biasanya menyokong dan berminat untuk
menyertai kesatuan pekerja kerana ketidakpuasan kerja seperti gaji dan faedah, jaminan kerja,
keselamatan kerja, kenaikan pangkat dan sikap ketidakpuasan terhadap penyelia.

Selain itu, mereka menganggap bahawa kesatuan sebagai satu badan yang saling tolong-
menolong, bersikap keadilan dan mempunyai kuasa yang besar untuk mempengaruhi
keputusan yang dibuat oleh pihak yang sebaliknya. Di samping itu, pekerja menyertai kesatuan
sekerja adalah disebabkan oleh mereka tidak berpuas hati terhadap keperluan asas fisiologi,
keselamatan di tempat kerja, sosial dan keperluan selfesteem. Pekerja juga membuat
keputusan untuk menyertai kesatuan pekerja bergantung kepada faedah yang diterima melalui
kesatuan sekerja berbanding kos yang akan diberikan kepada kesatuan sekerja.

xi. Komitmen Pekerja Yang Tinggi Terhadap Pekerjaan

Menurut David Farnham (1990) komitmen pekerja juga merupakan salah satu faktor yang
mempengaruhi penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja. Pekerja yang lebih cenderung
kepada pekerjaan tidak akan berminat untuk menyertai kesatuan sekerja dalam organisasi
mereka. Hal ini demikian kerana mereka lebih berkomitmen dalam pekerjaan mereka
berbanding menyertai mana-mana kesatuan dalam organisasi mereka. Keadaan ini
menyebabkan penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja berkurangan dan kesatuan sekerja
tidak dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan dengan pihak majikan kerana
kurangnya sokongan daripada pekerja.

9
3.0 IMPAK TERHADAP KEAHLIAN PEKERJA KEPADA KESATUAN SEKERJA DI SABAH

i. Kuasa Kesatuan Sekerja

Menurut Dzurizah Ibrahim (2009) keahlian pekerja dalam kesatuan sekerja sangat
mempengaruhi kuasa sesebuah kesatuan sekerja di Sabah. Hal ini kerana, bilangan ahli dalam
kesatuan sekerja dapat menunjukkan kekuatan sesebuah kesatuan sekerja di dalam sebuah
syarikat. Jumlah ahli kesatuan yang sedikit menyebabkan kuasa atau pengaruhnya kepada
syarikat turut berkurangan. Keadaan ini menyebabkan hak-hak pekerja sukar dipelihara dan
diperjuangkan. Tambahan pula, kekurangan keahlian juga menyebabkan kesatuan sekerja
sukar memainkan peranannya dalam syarikat berkenaan. Sebaliknya, sekiranya kesatuan
sekerja mendapat sambutan daripada aspek penyertaan pekerja, kesatuan sekerja berikut
dapat memainkan fungsi mereka dengan baik. Hal ini demikian kerana,jumlah ahli yang ramai
menunjukkan sokongan para pekerja dalam sesebuah syarikat terhadap kesatuan sekerja.
Kesatuan sekerja dapatlah memainkan fungsi utama mereka iaitu menjaga kebajikan pekerja
dan seterusnya menyuarakan suara pekerja kepada pihak majikan. Keadaan ini turut akan
menyebabkan majikan akan lebih peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh
pekerja mereka.

ii. Peningkatan Taraf Keselamatan Pekerja

Menurut Thomas (2003) keselamatan pekerja merupakan salah satu hak pekerja yang perlu
dijaga dan diberi perhatian yang tinggi khususnya oleh majikan. Walaubagaimana pun,
terdapat juga majikan yang lebih mementingkan hasil produktiviti syarikat berbanding
keselamatan pekerja bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Oleh itu,bagi memastikan
keselamatan dan keselesaan pekerja terjaga, peranan kesatuan sekerja adalah sangat penting.
Jumlah ahli yang ramai dalam kesatuan sekerja membolehkan kesatuan sakerja menyuarakan
hal-hal berbangkit yang berkaitan dengan pekerjaan khususnya dalam aspek keselamatan
kepada pihak majikan.

10
Menurut Michael Salamon (2000) dengan adanya sokongan daripada pekerja, aspek
keselamatan pekerja dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa seperti menyediakan tempat
kerja yang selesa dan kondusif serta menyediakan peralatan yang sesuai dan selamat
digunakan semasa bekerja di kawasan yang berbahaya. Aspek ini amat penting khususnya bagi
pekerja supaya kemalangan dapat dielakkan atau kesan kemalangan dapat diminimumkan.
Oleh itu, keahilan pekerja dalam kesatuan sekerja sangatlah penting bagi membantu pekerja
meningkatkan taraf keselamatan pekerja melalui rundingan yang dibuat bersama pihak
majikan.

iii. Kedudukan Kesatuan Sekerja

Keahlian pekerja dalam kesatuan sekerja turut mempengaruhi kedudukan kesatuan sekerja
dalam sebuah syarikat. Menurut Siti Zaharah Jamaluddin (2000) kedudukan kesatuan sekerja
merujuk kepada pengekalan atau pembubaran kesatuan sekerja dalam sesebuah organisasi.
Jumlah keahlian pekerja yang sedikit dalam kesatuan sekerja boleh menyebabkan sesebuah
kesatuan sekerja itu bubar kerana tidak mendapat sokongan daripada pekerja lain dalam
organisasi tersebut. Hal ini kerana, keputusan dalam kesatuan sekerja adalah berdasarkan
persetujuan bersama iaitu oleh semua ahli dalam kesatuan.

Sekiranya tiada sokongan dan penglibatan pekerja dalam organisasi berkenaan, maka
rundingan yang dilakukan bersama pihak majikan hanya akan menemui kegagalan dan
menyukarkan kesatuan sekerja untuk menyuarakan masalah yang dihadapi oleh pekerja.
Sebaliknya, sekiranya penglibatan pekerja dalam kesatuan sekerja ramai, maka ia merupakan
sebuah kesatuan sekerja yang kuat kerana mampu mempengaruhi ramai pekerja untuk
menjadi ahli kesatuannya. Keadaan ini menyebabkan kesatuan sekerja yang di wujudkan terus
kekal dalam sesebuah organisasi dan fungsi kesatuan sekerja iaitu menjaga kebajikan pekerja
dapat dijalankan.

11
4.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa kesatuan sekerja yang telah wujud sejak
zaman penjajahan British lagi memainkan peranan yang amat penting dan tersendiri dalam
melindungi dan menjaga hak-hak serta kebajikan pekerja. Penjagaan dan pelindungan hak-hak
serta kebajikan amat bermakna kepada pekerja di peringkat bawahan. Hal ini kerana, pekerja-
pekerja kebiasaannya mereka selalunya ditindas dan dizalimi oleh pihak atasan iaitu majikan
yang tidak bertanggungjawab dengan bertindak sesuka hati tanpa mendengar suara-suara dan
rintihan-rintihan oleh pekerja.

Sehubungan dengan itu, kesatuan sekerja bermula daripada sebelum merdeka dan
selepas merdeka banyak perubahan yang berlaku terhadap fungsi, peranan, kepentingan
kesatuan sekerja ini dalam memperjuangkan kebajikan dan hak pekerja agar didengari oleh
majikan. Jelaslah terdapat beberapa perubahan yang boleh dilihat melalui perjuangan oleh
kesatuan sekerja adalah mengenai isu-isu yang berlaku pada masa ini adalah seperti
memperjuangkan gaji minimum, keselamatan dan kesihatan pekerja, kegawatan ekonomi,
peranan wanita untuk menyertai kesatuan sekerja, pembuangan pekerja dan lain-lain lagi.

Dalam konteks ini, Kesatuan sekerja merupakan medium yang terbaik bagi para pekerja
untuk menyuarakan hak dan kepentingan mereka dalam menuntut hak mereka kepada
majikan. Hal ini kerana kesatuan sekerja menggunakan perundingan kolektif sebagai salah satu
aspek yang penting bagi memastikan perjuangan mereka berhasil untuk mewakili pekerja bagai
mencapai matlamat kesatuan sekerja. Ia merupakan fungsi utama kesatuan sekerja dalam
memastikan kebajikan ahli-ahlinya dilindungi. Melalui perundingan kolektif, wujudnya titik tolak
kepada mencari kesefahaman antara majikan dan pekerja tentang syarat, terma dan keadaan
kerja.

Tidak lupa kepada pihak pemerintah juga harus memainkan peranan yang penting dalam
memperkenalkan dasar-dasar baru yang boleh memastikan hak-hak dan kebajikan serta
keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin. Hal ini kerana pekerja adalah sebuah aset
untuk negara bagi memastikan Negara Malaysia mempunyai tenaga dan sumber manusia dalam
membangunkan Negara Malaysia. Pihak pemerintah harus memastikan peluang pekerjaan yang
cukup untuk mengelakkan pengangguran dan meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah yang
lebih baik.

12
5.0 RUJUKAN

BUKU

Balakrisnan Parasuraman. 2002. Hubungan Industri Di Malaysia: Pendekatan dan


Amalan. Selangor Darul Ehsan: Dawama Sdn.Bhd.

Balakrishnan Parasuraman. 2001. Isu-Isu Pekerjaan Dalam Organisasi Industri Dan


Perindustrian. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

David Farnham and John,Pimlott. 1990. Understanding Industrial Relations Fourth


Edition. London, England: Cassell Educational Limited

Dzurizah Ibrahim. 2009. Hubungan Industri Dan Sumber Manusia: Isu Dan Perspektif.
Kota Kinabalu: Norzaynab Printing Sdn.Bhd.

Maimunah Aminuddin. 1999. Malaysian Industrial Relations and Employment Law 2th.
Singgapura: McGraw-Hill.

Michael Salamon. 2000. Industrial Relations: Theory and Practice Fourth Edition.

Meyer and Marilyn Wertheimer. 1999. Computers In Your Future. Macmillan Computer
Publishing

Rozhan Othman. 2005. Pengurusan Sumber Manusia: Menghadapi Cabaran dan


Pengetahuan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Siti Zaharah Jamaluddin. 2000. Pengenalan Kepada Undang-Undang Perhubungan


Perusahaan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Thomas. 2003. Hubungan Industri Dan Pengurusan Sumber Manusia: Isu Dan Cabaran.
Petaling Jaya Selangor: Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

13
Zakir dan Fazilah. 2003. Malaysian Industrial Relations: A Critical Analysis. Petaling Jaya
Selangor: Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

INTERNET

Gamal el Banna. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.1999.


http://www.mtuc.org.my/mengapaislam-menggalak-kesatuan-sekerja/?lang=MS. Laman
Sesawang. Diakses 2 April 2016.

Kesatuan Sekerja. http://www.academia.edu/2562996/kesatuan_pekerja. Laman Sesawang.

Diakses 2 April 2016.

Zakaria Ismail. 2000. Faktor Yang Mempengaruhi Kesetiaan Pekerja Bukan Pengurusan.
http://repo.uum.edu.my/500/1/Zakaria_Ismail.pdf . Laman Sesawang. Diakses 2 April 2016.

ARTIKEL

Ab Rahman, B., & Mapjabil, J. (2016). Ciri dan pengaruh stereotaip feminin terhadap
pengurusan dalam kalangan penjawat awam (The features and implication of feminine
stereotypes in public service management). Geografia-Malaysian Journal of Society and
Space, 12(14).

Mapjabil, J., Marzuki, S. N., Ab Rahman, B., Rosmiza, M. Z., Marzuki, M., & Noor, H. M. (2016).
Kualiti perkhidmatan dan kemudahan di Taman Tema I-City, Shah Alam (The quality of services
and facilities of theme parks at I-City Theme Parks, Shah Alam). Geografia-Malaysian Journal of
Society and Space, 12(14).

14