Anda di halaman 1dari 6

LARRYSON ANAK ROSLAN

PISMP SEJ JUN 2015

A. Jelaskan hubungan etnik dari perspektif ekonomi, politik dan kepelbagaian agama.
Sejak dari peristiwa bersejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957
sehingga kepada terbentuknya kerajaan Malaysia pada 16 September 1963, negara ini kian
membangun ke arah menjadi sebuah negara yang menonjol di rantau Asia Tenggara dan
berterusan sehingga ke hari ini. Kebanyakan pencapaian cemerlang negara ini adalah
berteraskan kepada kerjasama dan toleransi antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Hal
ini kerana, negara Malaysia itu sendiri adalah terbina diatas paksi perpaduan rakyat berbilang
kaum yang telah melalui proses asimilasi dan nasionalisme yang kian lama. Perbezaan dalam
etnisiti tidak menjadi masalah besar kepada masyarakat negara ini untuk menjalinkan
hubungan mesra antara satu sama lain tanpa mengira dari segi perspektif ekonomi, politik
dan kepelbagaian agama.

Jumlah penduduk Malaysia pada bulan Ogos 1970 ialah 10, 439, 530 orang. 46.8%
adalah orang Melayu dan 10.1% adalah bumiputera lain seperti Dayak, Iban, Kadazan dan
sebagainya. Oleh itu bumiputera merupakan 56.9% daripada penduduk Malaysia. Jumlah
orang Cina ialah 34.1% orang manakala orang India dan lainnya pula 9.0% daripada jumlah
penduduk Malaysia. Sungguhpun jumlah penduduk bumiputera melebihi penduduk bukan
bumiputera, tetapi mereka jauh ketinggalan dalam lapangan ekonomi. Ini adalah kesan dasar
ekonomi penjajah British selama 90 tahun yang menimbulkan dwi-ekonomi yang tidak
menyediakan orang Melayu untuk bertanding dalam ekonomi moden seperti mana golongan
bukan Bumiputera yang lain (Chai Hon Chan, 1967). Oleh yang demikian, selepas perisitiwa
13 Mei 1969, kerajaan telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat untuk
membasmi kemiskinan iaitu dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada semua rakyat
Malaysia tanpa mengira kaum. Seterusnya DEB juga bertujuan untuk menyusun semula
masyarakat Malaysia dengan memperbaiki kedudukan ekonomi yang tidak seimbang antara
kaum. Stratergi penyusunan semula masyarakat diharapkan dapat menghapuskan
pengenalan kaum berdasarkan kepada kegiatan ekonomi dan tempat tinggal (Wan Hashim,
2011). Lanjutan daripada DEB, Dasar Pembangunan Nasional juga turut dilancarkan pada
tahun 1991 dengan matlamat untuk menghapuskan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan
sosial dan ekonomi dalam negara. Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa sistem
ekonomi yang diamalkan di negara ini adalah bersifat terbuka kepada semua penyertaan
pelbagai kaum.

Di samping itu, hubungan etnik antara kaum juga dapat dikenal pasti sejak bermulanya
perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air sehinggalah kepada pembentukan negara
baharu iaitu Malaysia. Pada mulanya, parti-parti politik berasaskan kaum seperti United Malay
National Organisation (UMNO) untuk orang Melayu, Malayan Indian Congress (MIC) untuk
orang India dan Malayan Chinese Association (MCA) untuk orang Cina telah ditubuhkan bagi

1
LARRYSON ANAK ROSLAN
PISMP SEJ JUN 2015

persediaan ke arah berkerajaan sendiri khususnya dalam mencapai kemerdekaan dan


penubuhan negara Malaysia (Ghazali Shafie, 1998). Hubungan etnik antara kaum dari segi
perspektif politik jelas dilihat melalui kompromi yang terbina antara tiga parti politik berbilang
kaum untuk bergabung bagi membentuk Parti Perikatan yang masih wujud sehingga ke hari
ini dengan nama Barisan Nasional. Dalam sebuah Pilihan Raya Persekutuan yang pertama
pada tahun1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Keputusan pilihan tersebut telah memperlihatkan penduduk mula menerima
kerjasama etnik dalam proses politik negara (Mohd. Noor Abdullah, 1979). Barisan Nasional
pada masa kini telah dianggotai oleh berbagai parti politik berdaftar yang terdiri daripada
pelbagai ahli politik yang berbilang kaum berbilang kaum.

Walaupun masyarakat plural di negara Malaysia menganuti dan mengamalkan


kepercayaan yang berbeza-beza, namun hubungan antara kaum tetap terpelihara. Titik
permulaan kepada kompromi pelbagai kaum dalam konteks kepelbagaian agama adalah di
mana para pemimpin Parti Perikatan (UMNO, MIC dan MCA) telah mencapai permuafakatan
dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara (11) Perlembagaan
Persekutuan, walaupun agama Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan, namun semua
rakyat Malaysia berhak untuk menganut, mengamal dan mengembangkan agama masing-
masing namun tertakluk kepada sekatan di bawah Fasal (4), Perkara (11) (Ahmad Yousif,
1998). Selain itu, perlembagaan mengharamkan diskriminasi antara warganegara atas sebab
agama yang dianutinya. Tidak kurang bukti yang nyata seperti apabila semua rakyat Malaysia
walaupun berbilang agama berkumpul bersama-sama meraikan suatu perayaan keagamaan
seperti rumah terbuka Hari Raya, sambutan Hari Krismas dan seumpamanya. Perlembagaan
Malaysia yang terbentuk jelas sekali memelihara hubungan etnik dalam konteks kepelbagaian
agama dan semua rakyat Malaysia dari pelbagai agama perlu menghormati perkara yang
termaktub dalam perlembagaan ini.

Kesimpulannya, hasil tolak ansur antara masyarakat Malaysia dan penubuhan


Perlembagaan Persekutuan telah berjaya mempertahankan hubungan etnik yang sihat
sehingga ke hari ini walaupun terdapat ada anasir yang cuba memporak perandakan
perpaduan negara ini. Sejak dari zaman menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada zaman
pembinaan negara moden, boleh diperhatikan bahawa telah ada kompromi yang wujud antara
etnik tidak kira dalam perspektif ekonomi, politik mahupun kepelbagaian agama. Harapan
untuk negara Malaysia ini adalah supaya bukan sahaja berkembang dari segi ekonomi,
teknologi dan sains namun tetapi juga melahirkan modal insan yang memiliki sifat perpaduan
yang kuat.

2
LARRYSON ANAK ROSLAN
PISMP SEJ JUN 2015

B. Huraikan masyarakat plural di alam Melayu, Sarawak dan Sabah, Kesultanan


Melayu Melaka dan penjajahan British serta selepas pembentukan Malaysia
melalui rujukan daripda pelbagai sumber.

Pluraliti dalam masyarakat Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada interaksi antara
etnik yang telahpun berlaku sejak zaman perkembangan kerajaan Alam Melayu ataupun
dikenali sebagai Nusantara. Pembentukan dan komposisi masyarakat plural di negara ini
secara umumnya telah melalui empat peringkat masa iaitu pada sebelum abad ke-13M,
zaman Kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan British dan zaman selepas
kemerdekaan serta selepas pembentukan Malaysia.

Alam Melayu ataupun dikenali sebagai Nusantara adalah kepulauan Melayu yang
terdiri daripada beberapa kerjaan Maritim awal seperti kerajaan Chih Tu, kerajaan Kedah
Tua, Langkasuka dan sebagainya (Nazarudin Zainun & Nasha Roziadi, 2015). Kepulauan
Melayu merupakan kawasan geopolitik rumpun Melayu dan penduduknya bergerak atau
berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain. Masyarakat di Alam Melayu adalah seperti
Orang-orang asli daripada suku kaum Negrito, Senoi dan Melayu Asli dianggap sebagai
penduduk asal kawasan Kepulauan Melayu. Hubungan antara etnik telahpun wujud di
antara orang Melayu yang mendiami kawasan pantai dengan orang Sakai iaitu orang asli
di kawasan pedalaman (Wilkinson, 1923). Antara barangan utama yang dibawa oleh
orang Sakai ini ialah rotan, gambir dan lain-lain hasil hutan untuk ditukar dengan orang
Melayu. Orang Sakai malah pernah menjadi tenaga pekerja bagi kaum Melayu.

Manakala di Sabah dan Sarawak, masyarakatnya adalah lebih plural dan majoritinya
adalah daripada pelbagai etnik peribumi asal (Aziz Deraman, 2005). Sebelum abad ke-
19M, Sarawak adalah dibawah Kesultanan Brunei yang mana penduduknya adalah terdiri
daripada orang Iban, Bidayuh, Kedayan, Kayan, Melanau dan orang Melayu Sarawak
yang dipercayai berasal daripada Sumatera. Di Sabah pula, penduduknya adalah
daripada kaum Kadazan, Bajau, Murut dan Dusun. Seterusnya, semua entik kecil ini pula
mempunyai sejarah asal usulnya yang tersendiri. Contohnya, Kadazan berasal dari
Kalimantan manakala Bajau pula berasal daripada Kepulauan Mindanao dan Sulu. Namun
begitu sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak, sudah ada imigran Cina yang
menetap di Sarawak dan mereka menjalankan aktiviti perniagaan serta perlombongan
emas (Steven Ruchiman, 2011). Kemudian, semasa perkembangan pemerintahan
keluarga Brooke, semakin ramai imigran India yang dibawa masuk untuk menjadi polis di
Sarawak. Kedatangan imigran Cina ke Sabah pula didorong oleh pembukaan syarikat-
syarikat tembakau dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British.

3
LARRYSON ANAK ROSLAN
PISMP SEJ JUN 2015

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1400M dengan kedatangan


Parameswara dari Srivijaya. Pada zaman kegemilangannya, Melaka telah menjadi pusat
perdagangan, pengembangan agama Islam dan pusat kemasyarakatan yang termahsyur
sekali di Alam Melayu (Andaya, Barbara dan Leonard, 2001). Ramai pedagang dari luar
telah tertarik dengan perkembangan pesat kerajaan Kesulta nan Melayu Melaka dan
menyebabkan mereka berminat menjalankan aktiviti ekonomi di negeri terserbut. Melaka
mula menerima kemasukan pedaganga Arab dan Parsi melalui perhubungan
perdagangan yang erat dan secara tidak langsung telah melahirkan satu jalinan interaksi
dan hubungan etnik yang baharu dalam kalangan masyarakat luar dengan masyarakat
tempatan. Contoh jalinan interaksi yang dimaksudkan ialah seperti perkahwinan campur
antara orang Arab dan Parsi dengan orang tempatan lalu terus menetap di Melaka.

Zaman kolonialisme British khususnya di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah
memainkan peranan penting dalam sejarah pembentukan masyarkat majmuk di Malaysia
boleh dilihat kesannya sehingga ke hari ini. Perkembangan penjajahan British di Tanah
Melayu telah menggalakkan banyak lagi episod kemasukkan imigran Cina dan India bagi
memenuhi keperluan tenaga buruh dalam pelbagai komoditi seperti perlombongan bijih
timah dan penanaman pokok getah (Furnivall, 1956). Imigran Cina masuk ke Tanah
Melayu melalui Sistem Tiket Kredit manakala imigran India melalui Sistem Kontrak atau
Kangani. Oleh yang demikian, masyarakat Cina adalah lebih tertumpu di bahagian
kawasan bandar manakala masyarakat India pula tertumpu di kawasan estet pokok getah.
Lama-kelamaan, buruh Cina yang sudah tamat kontrak membuka perniagaan sendiri dan
berjaya menguasai ekonomi moden. Walaupun pluraliti masyarakat Tanah Melayu pada
ketika itu semakin bertambah namun pada peringkat awal kedatangan imigran dari China
dan India, tidak wujud sebarang bentuk hubungan antara kaum.

Dalam menuju ke arah kemerdekaan Tanah Melayu, semua kaum Melayu, Cina dan
India telah menyedari kepentingan bersama untuk membebaskan tanah air daripada
belenggu penjajahan. Maka dengan itu telah wujud satu kompromi dan toleransi antara
kaum bagi mencapai matlamat memerdekakan tanah air sehinggalah kepada
pembentukan Malaysia. Hasil daripada pembentukan Malaysia pada tahun 1963,
komposisi tiga kaum utama di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India dapat
diseimbangkan dengan penduduk peribumi di Sabah dan Sarawak (Mohd. Isa Othman,
2002). Namun, enam tahun selepas penubuhan Malaysia, timbul peristiwa berdarah iaitu
perisitiwa 13 Mei 1969 yang telah mencerminkan permasalahan serius dalam
perhubungan antara kaum (Leon Comber, 1985). Peristiwa ini telah melibatkan
perbalahan antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Peristiwa ini telah berjaya
diselesaikan dengan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan sehingga ke

4
LARRYSON ANAK ROSLAN
PISMP SEJ JUN 2015

hari ini, peristiwa 13 Mei 1969 telah menjadi pengajaran semua rakyat Malaysia untuk
bersama-sama menjaga perpaduan antara kaum.

Kesimpulannya, masyarakat plural khususnya di negara Malaysia pada hari ini adalah
hasil daripada perkembangan sejarah sejak dari zaman tradisional lagi sehinggalah
kepada era pembangunan negara moden yang melibatkan unur-unsur seperti
perdagangan, kekuasaan wilayah, penghijrahan, penjajahan dan kemerdekaan.

5
LARRYSON ANAK ROSLAN
PISMP SEJ JUN 2015

RUJUKAN

Ahmad F. Yousif, (1998), Religious Freedom, Minorities and Islam: An Inquiry into the
Malaysian Experience, Kuala Lumpur: Thinkers Library.

Andaya, Watson. B & Leonard Y., (2001), A History of Malaysia (2nd Edition), Hampshire:
Palgrave.

Aziz Deraman, (2005), Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Chai Hon Chan, (1967), The Development of British Malaya 1896-1909, Kuala Lumpur:
Oxford University Press.

Furnivall, J.S., (1956), Colonial Policy and Practice, New York: New York University Press.

Ghazali Shafie, (1998), Memoir of the Formation of Malaysia, Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Leon Comber, (1985), Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina, University of


Michigan: International Book Services.

Mohd. Isa Othman, (2002), Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publications and
Distributors Sdn. Bhd.

Mohd. Noor Abdullah, (1979), Kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan
Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bhasa dan Pustaka.

Nazarudin Zainun & Nasha Rodziadi Khaw, (2015), Sejarah Arkeologi Nusantara,
Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Richard James Wilkinson, (1923), A History of Peninsular Malays, University of California:


Kelly & Walsh.

Steven Ruchiman, (2011), The White Rajah: A History of Sarawak from 1841-1946,
London: Cambridge University Press.

Wan Hashim Wan The, (2011), Hubungan Etnik di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia.