Sumber manusia ditakrifkan sebagai sekumpulan kakitangan dan
pekerja yang berkhidmat dalam sesebuah organisasi. Sumber manusia yang berkualiti adalah elemen terpenting dalam memastikan sesebuah negara dapat terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang berlandaskan pengetahuan, serta bertunjangkan sains dan teknologi. Pembangunan sesebuah negara itu akan berjaya dalam persekitaran yang mencabar ini sekiranya sumber manusia yang ada pada negara tersebut berusaha dengan lebih tekun untuk meninggikan produktiviti, kecekapan dan daya saing, serta meningkatkan kemampuan inovasi dan daya kreativiti. Hal yang selalu kita dengar terutamanya di Malaysia ialah mengenai pembangunan modal insan kerana hal inilah yang akan menentukan kejayaan dan kegemilangan sesebuah negara itu pada masa akan datang. Tidak dapat dinafikan lagi tanpa sumbangan sumber manusia yang berkualiti, agak sukar bagi sesebuah negara mencapai matlamat yang diinginkan sama ada dalam pembangunan ekonomi atau pun dalam aspek pembangunan sosial. Jadi topik yang lebih dititik beratkan dalam perbincangan ini ialah mengenai sumbangan sumber manusia dalam pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara dengan mengambil contoh Malaysia.
SUMBANGAN SUMBER MANUSIA DALAM PEMBANGUNAN
SOSIAL DAN EKONOMI SESEBUAH NEGARA
Pendidikan dan pembangunan sumber manusia adalah kunci kepada
peningkatan daya saing negara. Bekalan tenaga kerja yang terlatih, produktif dan komited adalah keperluan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan seperti negara lain. Merujuk kepada Malaysia, kita dapat melihat sumber manusia berdasarkan pertambahan jumlah penduduk yang ada pada negara ini sejak dari tahun 2002 hingga 2006. Melalui pertambahan jumlah penduduk yang sentiasa meningkat di negara ini, ia dapat menjamin pembangunan negara secara berterusan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Justeru itu, dapat kita membuat kesimpulan yang tepat mengenai kadar sumber manusia yang perlu dan dapat digunakan di negara ini secara optimum. Sistem pendidikan kita harus mampu memenuhi kehendak komersil dan industri, dan boleh menghasilkan tenaga kerja yang berupaya dan bersifat inovatif, produktif dan berkemahiran. Kepelbagaian kemahiran, kecemerlangan intelek, ketinggian nilai moral dan keteguhan jati diri sepatutnya adalah hasil muktamad sistem pendidikan kita. Kekurangan buruh mahir akan memperlahankan peralihan Malaysia ke ekonomi yang berdasarkan pengetahuan. Dalam aspek ekonomi, adalah penting menyediakan sumber manusia yang berilmu selaras dengan kemajuan negara berasaskan kemahiran, kreativiti, serta berdaya saing tinggi bagi mencapai kemajuan negara berasaskan K-ekonomi dan selaras dengan perkembangan globalisasi. Jadi penggunaan optimum guna tenaga buruh dan sumber sama ada sumber manusia atau sumber alam yang sedia ada akan mempercepatkan dan menjayakan matlamat ini. Pembangunan sumber manusia yang bermatlamatkan kemajuan negara berasaskan K-ekonomi adalah antara objektif utama Rancangan Malaysia Ke-9, ianya merupakan langkah-langkah awal mencapai Wawasan 2020. Untuk mencapai sasaran ini, rancangan, penelitian dan strategi yang bertepatan ke arah penyediaan sumber manusia yang berilmu selaras dengan kemajuan negara berasaskan kemahiran, kreativiti, serta berdaya saing tinggi perlu diadakan. Apabila matlamat ini dapat dicapai, secara langsung ianya akan meningkatkan produktiviti dalam negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta taraf hidup atau pendapatan rakyat di negara ini meningkat . Mengikut perangkaan, lebih kurang 80 peratus dari sumber pendapatan isi rumah Bumiputera adalah dihasilkan melalui upah dan gaji. Sementara pendapatan dari milikan harta hanyalah menyumbang kurang dari 1 peratus (Ismail, 2005). Berdasarkan guna tenaga yang ada pada Malaysia kini, tidak mustahil perkara ini dapat dicapai dan ini merupakan antara sumbangan sumber manusia yang penting dalam pembangunan sesebuah negara itu . Di sisi lain, ianya meningkatkan mobiliti buruh yang ada pada negara tersebut. Guna tenaga yang banyak di sesebuah negara mewujudkan daya saing yang tinggi di kalangan buruh dan kesannya dapat meningkatkan mobiliti buruh serta tahap kemahiran dan kecekapan.
Sumber manusia merupakan aset kepada guna tenaga sesebuah
negara. Sumber manusia di sesebuah negara itulah yang akan memenuhi peluang pekerjaan. Rajah 3 di atas menunjukkan kadar guna tenaga mengikut industri sektor peringkat primer, sekunder, dan tertier serta kadar pengangguran di kalangan rakyat Malaysia dari tahun 2004 sehingga suku pertama 2006. Pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia memerlukan guna tenaga yang banyak dan di sinilah menerangkan sumbangan sumber manusia sebagai memenuhi peluang pekerjaan dan guna tenaga dalam industri pelbagai sektor di negara ini tanpa mengharapkan sumber manusia atau tenaga kerja dari luar. Apabila penggunaan sumber manusia secara optimum dipraktikkan di sesebuah negara, secara langsung ia dapat mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing bagi memenuhi keperluan dalam industri primer, sekunder dan tertier contohnya sektor perindustrian, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan. Secara tidak langsung juga ia akan mengurangkan pengaliran Ringgit (RM) ke luar negara. Namun amat berbeza dengan keadaannya di Malaysia setakat ini yang kekurangan sumber manusia (tenaga buruh) dalam pelbagai sektor terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan dan perindustrian. Justeru itu, pengambilan pekerja asing terutamanya dari Indonesia, Bangladesh, India dan Vietnam semakin bertambah dari tahun ke tahun untuk memenuhi kekurangan dalam sektor terbabit. Antara faktor utama menyebabkan keter bergantungan kepada pekerja asing untuk memenuhi kekurangan dalam sektor terbabit adalah disebabkan sikap rakyat Malaysia yang memilih pekerjaan dan kemungkinan besar disebabkan gaji yang rendah atau beratnya sesuatu pekerjaan itu. Lebih buruk lagi apabila sesetengah golongan lebih rela menganggur dan ini juga antara faktor yang menerangkan berlakunya sedikit peningkatan kadar pengangguran dari tahun 2004 sehingga fasa 1 tahun 2006. Walaupun kita tidak dapat menafikan sumbangan tenaga kerja asing kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negara ini, namun kuantiti tenaga kerja asing perlu dikurangkan sedikit demi sedikit kerana di sebalik kebaikan pengambilan tenaga kerja asing ini terdapat kesan negatif yang timbul terutamanya dalam bidang sosial seperti peningkatan kes jenayah, setinggan dan sebagainya. Dalam konteks ini, kerajaan perlu mewujudkan dasar yang konsisten mengenai pengambilan pekerja asing. Dengan adanya dasar yang konsisten, perancangan yang lebih tersusun boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang terlalu bergantung kepada tenaga asing. Pada masa yang sama, kita perlu menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan sepenuhnya dengan memberi peluang kerja sandaran/sementara kepada suri rumah dan pesara diberi peluang terus menyumbang mengikut kepakaran masing-masing dan sedikit sebanyak dapat mengatasi dan mengurangkan kadar dan masalah pengangguran di kalangan rakyat negara ini. Sementara itu, pihak-pihak yang terlibat dalam penggunaan tenaga buruh secara intensif hendaklah bersedia untuk menghadapi perubahan dalam rancangan jangka panjang yang menjurus kepada penggunaan jentera untuk mengambil alih tenaga buruh asing yang banyak dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Oleh yang demikian, mereka perlulah melengkapkan diri dengan modal dan pengetahuan secukupnya bagi menghadapi peralihan kepada penggunaan teknologi tinggi yang lebih mengutamakan tenaga kerja mahir menggunakan peralatan canggih berteknologi tinggi. Kehadiran tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan peralatan berteknologi tinggi sekali gus akan dapat mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Bahkan ianya akan menyemarakkan lagi kajian dan penyelidikan (R&D) untuk mengenal pasti teknologi baru. Penemuan-penemuan teknologi baru sekali gus akan meningkatkan imej negara ini di mata dunia. Dalam situasi ini sudah tentu Malaysia akan menjadi tumpuan dunia untuk menjalankan proses R&D dan sedikit sebanyak mempercepatkan dan memperbanyakkan lagi pertumbuhan pusat kajian dan penyelidikan (R&D) di Malaysia. Menurut C.F. Ayres dalam bukunya The Theory of Economic Growth, pendidikan adalah syarat yang paling utama untuk pembangunan ekonomi sesebuah negara. Bagi melahirkan generasi masa hadapan yang berkemahiran, berketerampilan, berilmu dan beretika mulia yang dapat memenuhi keperluan guna tenaga dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan serta mewujudkan satu bangsa yang bersepadu, perkara-perkara berikut perlu dilakukan kepada pengurusan sumber manusia di negara ini terutamanya dalam sistem pendidikan seperti memperkasakan sekolah kebangsaan, memperkukuhkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, memantapkan profesion perguruan, meningkatkan kualiti sekolah luar bandar, menyediakan peluang pendidikan tinggi dan menggalakkan pendidikan sepanjang hayat, membanteras amalan bibit-bibit perkauman di kalangan pelajar dan sebagainya (Ismail, 2005). Jadi modal insan pada sesebuah negara dapat ditingkatkan kualitinya apabila kemajuan dalam sistem pendidikan dapat dicapai. Sesebuah masyarakat boleh berdiri sendiri di atas kaki sendiri sebagaimana Jepun andainya mempunyai tenaga mahir dan terlatih. Jepun sudah lama mementingkan pendidikan dan mereka menggunakan sumber yang terhad di negaranya dengan sebaik-baiknya. Jika penduduk Malaysia boleh mencapai taraf ini, sudah tentu Malaysia merupakan negara yang paling kaya di dunia. Pada keseluruhan, terdapat peningkatan dalam penyertaan dalam sistem pendidikan kebangsaan telah bertambah baik, dengan peningkatan ketara di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta tertiari. Purata nisbah saiz guru bagi sekolah rendah dan menengah telah bertambah baik. Oleh sebab itu, pelbagai langkah telah diambil seperti penggunaan ICT serta meningkatkan kemahiran mengajar. Dengan berkembangnya sistem pendidikan negara, ia menyumbang melahirkan ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan sedikit sebanyak ia menyumbang kepada kemajuan negara. Bagi memenuhi permintaan sumber manusia mahir yang meningkat, seramai 597, 384 pekerja mahir telah dikeluarkan institusi latihan dan 4.8 juta tempat latihan untuk meningkatkan kemahiran telah disediakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad dalam tempoh 1991 hingga 2005. Peluang meningkatkan kemahiran dan belajar sepanjang hayat juga ditambah melalui penubuhan kolej komuniti dan universiti terbuka dan hal ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada golongan muda yang tidak dapat meneruskan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam mendapat peluang pendidikan alternatif bagi meneruskan minat dan mengasah bakat mereka (RMK Ke-9). Jadi, pertambahan penduduk dan sumber manusia di sesebuah negara merupakan penyumbang utama kepada mempercepatkan pertumbuhan institusi pendidikan dan latihan dalam pelbagai bidang seperti MARA, kolej komuniti dan sebagainya. Apabila berlakunya peningkatan dalam pendidikan, kualiti hidup juga bertambah dari segi keperluan-keperluan asas, seperti makanan, kesihatan, pakaian dan tempat perlindungan. Dalam aspek kesihatan, sumber manusia yang ada pada negara ini merupakan penentu kepada kemajuan kerana sesebuah masyarakat tidak boleh maju tanpa kesihatan yang baik. Selalunya kadar kematian bayi ialah petunjuk paling baik mencerminkan taraf kesihatan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, Malaysia boleh dikatakan negara yang mempunyai taraf kesihatan yang tinggi kerana pengetahuan dalam kesihatan telah meningkat di kalangan rakyatnya serta banyaknya kemudahan kesihatan di pelbagai tempat.Apabila taraf kesihatan telah meningkat, kemajuan dalam sektor ekonomi secara tidak langsung juga meningkat kerana hanya sumber manusia yang sihat sahaja mampu menjalankan pembangunan di sesebuah negara. Kesannya, kualiti hidup di negara ini bertambah baik dengan peningkatan kadar kesihatan yang baik. Selain itu, pembangunan dalam pendidikan melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang serta berketerampilan tinggi bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi dalam aspek sosial. Hal ini menjurus kepada pemupukan dan perpaduan kaum di samping meninggikan nilai sosial di Malaysia. Dalam bidang pendidikan, sekolah kebangsaan memainkan peranan penting dalam mengeratkan integrasi pelbagai kaum kerana penyertaan masyarakat berbilang kaum di sekolah-sekolah kebangsaan seluruh negara sedikit sebanyak menyemai pemahaman agama dan budaya berlainan kaum. Di institusi pengajian tinggi awam seperti universiti, pengenalan kursus Hubungan Etnik sedikit sebanyak membantu pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi mengenai kebudayaan dan adat resam sesuatu kaum selanjutnya mewujudkan golongan bermasyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Apabila perpaduan kaum wujud, kestabilan dan keamanan negara akan terjamin. Konsep Islam Hadari yang diperkenalkan pada tahun 2004 merupakan suatu pendekatan penting kepada rakyat dalam menggabungkan pencapaian dan kemajuan, di samping berpegang teguh kepada nilai sejagat dan tuntutan Islam. Apabila norma-norma ini dapat dihayati dengan baik, maka ia akan menyemarakkan lagi kehidupan bermasyarakat yang berpegang teguh kepada nilai sejagat dan tuntutan Islam dan dapat mewujudkan perpaduan kaum serta menjamin kestabilan politik dan keamanan negara. Di samping itu, peningkatan dalam kecekapan dan keberkesanan dalam sektor awam meyakinkan masyarakat akan keberkesanan pemerintahan kerajaan sesebuah negara. Jadi konsep sektor awam yang lebih proaktif dan lebih tertumpu kepada pelanggan menjadi teras kepada kejayaan ini. Namun beberapa perkara harus diambil perhatian dalam menjayakannya seperti menjalankan program pengurusan kualiti, perlaksanaan Piagam Pelanggan, perkhidmatan kaunter yang cekap, penilaian produktiviti dan prestasi, penggunaan teknologi yang meluas, pengurusan pengaduan awam yang lebih cekap dan pemupukan nilai etika serta kerja yang positif (RMK 9, 2006). Meningkatkan produktiviti kerja melalui latihan yang bercorak kemahiran dan pengetahuan IT di samping menyerapkan budaya pendidikan sepanjang hayat bukan sahaja di kalangan pekerja di sektor awam tetapi juga di sektor swasta. Dalam aspek ini, maka wujudnya kestabilan politik sesebuah negara kerana kepercayaan rakyat kepada pemerintah dalam mengurus pentadbiran negara. Politik yang stabil dan sumber manusia yang banyak serta berkemahiran akan menarik minat kemasukan modal asing ke dalam negara. Syarikat dan firma-firma gergasi asing seperti Toyota, Samsung, Philips, Intel dan Shell ( hanya menyebut beberapa nama) akan tertarik melabur di Malaysia kerana kestabilan politik negara ini di samping mempunyai sumber manusia yang mahir dalam pelbagai bidang. Kita ambil contoh perbandingan Malaysia dengan China dalam sumber manusia. Kemasukan modal dan pelaburan asing di Malaysia kemungkinan disebabkan dasar pemerintah dan sumber manusia yang mempunyai kemahiran yang tinggi. Berbanding dengan China akibat dasar pemerintahnya selepas kemasukannya ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun 2001 dan membuka pasaran negaranya kepada pelaburan asing menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang mendadak sekali. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor dan di antaranya ialah faktor sumber manusia iaitu China mempunyai penduduk yang paling ramai di dunia dan secara langsung menyediakan guna tenaga buruh yang ramai di samping kos upah buruh yang murah. Penduduk atau sumber manusia yang ramai akan meluaskan lagi pasaran dan meningkatkan kuasa beli di sesebuah negara. Sumber manusia merupakan aset pasaran sesebuah negara serta sumber manusia juga merupakan pengguna dalam pasaran ekonomi sesebuah negara. Contohnya Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk kira-kira 26 juta orang pada tahun 2006 merupakan pasaran bagi barang dan perkhidmatan yang di keluarkan oleh sesebuah firma dan kerajaan tempatan atau firma gergasi pelbagai bangsa dari luar negara. Apabila adanya sumber manusia sebagai pengguna dan mereka ada kuasa beli, ia seterusnya akan menjadi penentu kepada kemajuan ekonomi negara itu. Terdapatnya pasaran yang luas di sesuatu kawasan kerana mempunyai sumber manusia yang ramai, ia akan menarik pemodal untuk melabur di kawasan tersebut. Apabila semakin ramai industri yang masuk, secara tidak langsung ia memajukan kawasan terbabit dengan pembinaan pelbagai infrastruktur seperti jaringan pengangkutan, perumahan, kemudahan awam dan sebagainya. Seterusnya ia dapat mewujudkan aglomerasi ekonomi di kawasan tersebut. Lembah Klang merupakan salah satu kawasan perindustrian yang bukan sahaja menyebabkan kemajuan di kawasan tersebut malah juga mewujudkan aglomerasi ekonomi. Sumber manusia yang ada di kawasan itu sama ada penduduk asal atau hasil daripada migrasi telah mewujudkan pasaran yang luas kerana terdapatnya ramai pengguna di kawasan tersebut. Seperti yang telah kita ketahui, suatu ketika dahulu sumber manusia dikatakan sebagai ‘kos’ kepada sesebuah organisasi tetapi berdasarkan perubahan masa dan anjakan paradigma, ia menukar sumber manusia sebagai ‘aset’ kepada sesebuah organisasi. Betapa pentingnya sumber manusia kepada sesebuah organisasi dapat kita lihat pada pernyataan tersebut. Oleh itu, sumber manusia akan dapat memajukan sesuatu organisasi yang terlibat meluaskan empayarnya. Hal ini dapat kita lihat kepada syarikat-syarikat besar atau firma-firma gergasi dunia seperti Sony (Jepun) dan Samsung firma dari Korea Selatan (sekadar menyebut beberapa nama) yang mempunyai cawangan dan rangkaian hampir di seluruh dunia. Kecekapan dalam sistem pengurusan dan pentadbiran serta peningkatan produktiviti dan inovasi di kalangan pekerja atau sumber manusia merupakan faktor penting sebagai aset kejayaan sesebuah organisasi. Nyata sekali sumber manusia pada firma-firma tersebutlah yang menentukan kejayaan firma itu pada masa sekarang. Begitu juga dengan keberkesanan sesebuah kerajaan kerana faktor sumber manusia yang menguruskannya. Selain dua firma tersebut, kita ambil contoh Malaysia misalnya, khususnya Petronas iaitu syarikat cari gali minyak serta Proton iaitu pengeluar kereta nasional, penentu kepada kejayaan kedua firma milik kerajaan Malaysia ini meluaskan empayarnya ke luar negara seperti Petronas yang melabur di negara Timur Tengah adalah disebabkan kecekapan pengurusan, peningkatan produktiviti, serta penemuan inovasi oleh sumber manusia yang menguruskan firma-firma ini. Program yang patut diperluaskan ialah penggunaan E-Dagang di kalangan syarikat- syarikat Malaysia dalam aktiviti pemasaran mereka untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa yang lain bagi melebarkan empayar perniagaan. Seterusnya ia bukan sahaja memajukan dan meningkatkan ekonomi negara tetapi meningkatkan imej negara di mata dunia. Jadi betapa pentingnya sumber manusia sebagai aset sesebuah organisasi. Peningkatan kuantiti sumber manusia di sesebuah negara menyebabkan peningkatan kadar proses urbanisasi di sesebuah negara seterusnya memajukan kawasan sekitarnya. Lazimnya bandar-bandar tumbuh dengan pesat di negara membangun. Mengikut hitung panjang, penduduk bertambah pada kadar 2.5 peratus setahun di rantau Asia Tenggara ini, sementara bandar- bandar bertambah pada kadar 5.0 peratus setahun (Norlaily dan Yusuf, 1982). Proses ini seterusnya menyebabkan perkembangan proses perbandaran dan pertumbuhan peluang pekerjaan di sesuatu kawasan. Kuala Lumpur misalnya merupakan contoh yang paling dekat dengan proses urbanisasi yang pesat akibat kemasukan sumber manusia dari kawasan lain contohnya perpindahan penduduk yang mempunyai pendidikan dan kemahiran yang tinggi bukan sahaja dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia, malah dari kawasan sekitarnya serta dari Sabah dan Sarawak. Hal ini seterusnya akan mempercepatkan proses urbanisasi Kuala Lumpur melalui pembinaan kemudahan awam dan infrastruktur, perumahan, perindustrian dan sebagainya. Dalam konteks proses urbanisasi di Asia Tenggara termasuk di Malaysia, antara faktor kepada pengembangan urbanisasi ialah kesan migrasi luar bandar ke kawasan bandar. Hal ini kemungkinan besar disebabkan oleh faktor tolakan dari luar bandar seperti kesempitan ladang akibat sistem pembahagian tanah pusaka dan pemilik tanah mungkin menjualnya lalu berpindah ke kawasan bandar dengan harapan mencari pekerjaan di pelbagai sektor yang lebih menguntungkan. Namun tidak dapat dinafikan terdapat juga faktor lain seperti penduduk luar bandar yang berpindah ke bandar secara sukarela serta faktor tarikan di bandar. PENUTUP Pembangunan sumber manusia merupakan sesuatu yang harus dititik beratkan kerana sumber manusia adalah penyumbang atau aset utama dalam pembangunan sesebuah negara. Dengan kata lain, sumber manusia merupakan teras kepada pembangunan negara. Dalam era globalisasi ini, sesebuah negara yang tidak mempunyai pembangunan sumber manusia akan terus ketinggalan dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Pendidikan memainkan peranan penting untuk memajukan sumber manusia, oleh itu kemajuan dalam sistem pendidikan seharusnya menjadi matlamat utama kerana melalui sistem pendidikan inilah lahirnya sumber manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Apabila kemajuan dalam bidang pendidikan telah di kecapi, istilah negara maju serta Wawasan 2020 bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Bab 5 MEMBANGUN DAN MENGEKALKAN MODAL INSAN BERTARAF DUNIA Menara Kuala Lumpur 194 Modal Insan Merupakan Pelaburan Terpenting Bagi Pembangunan Sesebuah Negara Dan Menjadi Teras Kepada Inovasi Dan Ekonomi b
LDR2020 CHAIRUNNISA ANGGUN SETIONO SMAN 1 SURAKARTA PENGEMBANGAN DAN PERLINDUNGAN SUMBER DAYA MANUSIA DALAM SEKTOR EKONOMI DAN PENDIDIKAN DALAM UPAYA MENDUKUNG KEMAJUAN INDONESIA DI KANCAH GLOBAL