Anda di halaman 1dari 4

Tajuk :

KISAH BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Melati kuntum tumbuh melata,


Sayang merbah di pohon cemara,
Salam sejahtera mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara,

Terima kasih saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim
yang arif lagi bijaksana. Barisan guru-guru yang saya kasihi dan saya sanjungi.
Seterusnya salam perkenalan kepada rakan-rakan seperjuangan saya yang turut
bertanding pada hari ini.

Pada zaman dahulu kala, ada sepasang suami isteri yang bernama Pak Melur dan Mak
Tanjung. Mereka bekerja sebagai petani di sebuah kampung. Mereka mempunyai dua
orang anak iaitu Melur dan Pekan. Pada suatu hari, Pak Melur jatuh sakit dan
meninggal dunia. Walaupun sedih, Mak Tanjung masih tabah menjaga kedua-dua
orang anaknya yang masih kecil itu.

Pada suatu hari, Mak Tanjung berasa teringin untuk memakan telur ikan tembakul.
Maka, dia pun pergi ke sungai berhampiran untuk mencari ikan tembakul. Dia
bernasib baik kerana berjaya menangguk seekor ikan tembakul. Dengan perasaan
yang gembira dia membawa pulang ikan itu ke rumah dan berpesan kepada Melur
supaya memasak gulai.

“Melur, Pekan, kamu makanlah ikan itu, tetapi tinggalkan telurnya sedikit untuk ibu,
ya” pesan Mak Tanjung. Kedua-duanya pun mengangguk. Lalu, Mak Tanjung pun
keluar ke hutan untuk mencari sedikit ulam sementara Melur memasak di dapur.
Semasa di dalam hutan, Mak Tanjung terlihat seketul batu belah yang sangat
mengerikan.

Dia teringat cerita-cerita orang tua yang mengatakan bahawa batu belah batu
bertangkup itu batu berpuaka. Ia akan terbuka jika lapar dan akan bertangkup kembali

1
setelah mendapat mangsanya. Dalam diam-diam Mak Tanjung berfikir di dalam
hatinya tentang siapakah yang akan menjadi mangsanya nanti.

Di rumah pula, Melur sudah siap memasak gulai. Pekan berasa sangat lapar lalu
Melur memberinya sedikit telur ikan. Pekan makan dengan gelojoh dan setelah habis,
dia meminta lagi. Pekan menghentakkan kakinya ke lantai kerana mahukan telur ikan
yang separuh lagi. Melur berasa sangat kasihan lalu memberinya bahagian telur yang
disimpan untuk ibunya.

Selepas seketika, Mak Tanjung pun pulang ke rumah sambil teringat tentang telur
ikan tembakul yang akan dimakannya nanti. Namun, apabila ditanya tentang telur
ikan tembakul itu, Melur mengatakan bahawa Pekan telah memakan semuanya. Mak
Tanjung yang berasa terkilan itu berkata sambil menangis teresak-esak, “Sampainya
hati kamu berdua.”

Mak Tanjung yang merajuk dan makan hati itu terus melarikan diri dan masuk ke
dalam hutan. Melur dan Pekan mengejar ibu mereka sambil meraung-raung, “Ibu,
janganlah pergi! Kasihanilah kami berdua!” Si ibu itu tidak mahu mendengar kata-
kata anaknya dan terus berlari sehingga tiba di hadapan batu belah yang sedang
membuka mulutnya dengan luas.

Dengan sedihnya Mak Tanjung berkata, “Batu Belah Batu Bertangkup, makanlah aku.
Anak-anak aku tidak sayangkan aku lagi. Makanlah aku!” Mak Tanjung pun
melompat masuk ke dalamnya. Dengan cepatnya ia bertangkup kembali dengan
meninggalkankesan darah di tepi mulutnya itu. Apabila Melur dan Pekan tiba di situ,
ibu mereka sudah tiada lagi.

Mereka meraung-raung dan menangis lalu tertidur di situ. Melur bermimpikan satu
mimpi yang aneh dimana ibunya telah meninggalkannya sebiji telur ayam. Ibunya
meminta Melur supaya menjaga telur itu kerana ia akan membawa nasib yang baik
untuk mereka kelak. Apabila terjaga keesokan paginya, Melur benar-benar terjumpa
sebiji telur ayam di sisinya.

2
Kemudian, seorang nenek kebayan terjumpa mereka berdua. Dia berasa kasihan lalu
menjaga mereka. Selepas beberapa tahun, Melur membesar menjadi gadis yang jelita,
manakala Pekan telah menjadi seorang pemuda yang tampan dan berani. Telur yang
disimpan Melur pun telah menetas dan menjadi seekor ayam jantan yang hebat dan
diberi nama Si Jalak.

Pada suatu hari, Raja Indera Sakti iaitu raja di negeri itu telah mengadakan suatu
perlawanan menyabung ayam. Baginda akan memberi hadiah yang lumayan kepada
pemenang pertandingan itu. Pekan berasa sangat gembira apabila mendapat tahu akan
hal itu dan terus membawa ayam sabungnya, Si Jalak ke perlawanan tersebut tanpa
memberitahu Melur.

Apabila tiba di situ, Pekan melihat ramai orang yang menyabung ayam. Lalu dia pun
menyertai pelawanan itu dengan Si Jalak. Tidak lama kemudian, Si Jalak berjaya
menewaskan semua ayam, jantan yang bertanding kecuali seekor iaitu ayam jantan
Indera Sakti. Maka, bermulalah pertandingan antara kedua ayam jantan yang sama-
sama hebat itu

Semasa bertarung, ayam jantan Raja telah ditewaskan oleh Si Jalak. Maka Pekan telah
memenangi pertandingan itu. Walaupun kalah, Raja Indera Sakti berasa amat kagum
dengan kehebatan ayam jantan milik Pekan itu. Semasa ingin memberi hadiah kepada
Pekan, tiba-tiba ada suara berkata, “Pekan, sanggup kamu membiarkan Si Jalak
mencederakan ayam raja!”

Pekan terpinga-pinga apabila melihat Melur yang begitu marah. Namun Raja
terpesona apabila melihat Melur. Baginda tidak pernah bertemu dengan seorang gadis
yang cantik seperti Melur. Hati Raja terus terpikat. Tidak lama selepas itu, Raja telah
menghantar suatu rombongan meminang ke rumah nenek kebayan. Melur menerima
pinangan itu dengan hati gembira.

Tetapi, sebelum berumah tangga, Melur menceritakan segala-gala mengenai dirinya


dan Pekan. Termasuklah kisah tentang batu belah batu bertangkup yang telah menelan
ibu mereka. Oleh sebab kasihankan Melur, Raja Indera Sakti terus mengarahkan
orang-orangnya untuk meletupkan batu belah batu bertangkup itu.

3
Selepas itu, batu belah yang berpuaka itu tidak lagi menelan orang. Manakala Raja
Indera Sakti dan Melur telah berkahwin dan hidup dengan bahagianya. Melur
mengajak nenek kebayan dan Pekan untuk tinggal bersama-sama mereka di dalam
istana. Mereka akhirnya hidup aman dan damai sehingga ke akhir hayat.

Berakhirlah sudah cerita saya mengenai batu belah berpuaka ini. Moral yang kita
boleh dapati daripada cerita ini ialah,

“Bersabarlah dalam menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan.”

Kerana, tanpa cabaran makna kejayaan tidak ada ertinya.


Ingat, pelangi hanya muncul selepas hujan turun.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai