Anda di halaman 1dari 13

MENYELESAIKAN MASALAH DAN MEMBUAT KEPUTUSAN

A. MENYELESAIKAN MASALAH

1. PENGENALAN
“It’s not that I am so smart, it’s just that I stay with problems longer”
-Albert Einstein

Penambahbaikan tidak berlaku selagi masalah yang wujud tidak diselesaikan.Masalah


menghalang organisasi atau sekolah mencapai visinya. Pengetahuan dan kemahiran pemimpin
sekolah dalam menyelesaikan masalah bukan sahaja mampu meningkatkan kecemerlangan
sekolah, malah ia bergerak seiringan dengan kualiti, kompetensi dan profesionalisme
pemimpin sekolah melalui aktiviti perbincangan dan penerokaan dalam usaha menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Bakal pemimpin sekolah perlu kompeten dengan kemahiran
menyelesaikan masalah bagi melaksanakan penambahbaikan berterusan dan meningkatkan
kecemerlangan sekolah.

2. KONSEP MASALAH DAN PENYELESAIAN MASALAH


Apa itu masalah? Memandangkan istilah masalah digunakan secara berulang-ulang dalam
bab ini, kita perlu memahami definisi yang jelas tentang masalah. Masalah adalah suatu
keadaan, situasi atau pengalaman yang boleh memberi kesan ketidakseimbangan kepada
seseorang individu dari aspek emosi, pemikiran, tindakan dan adakalanya fizikal (Compton,
B.R., Galaway, B., & Cournoyer, B. R., 2005). Masalah mungkin memberi tekanan kepada
seseorang individu, tetapi bagi individu lain, masalah dapat menyuntik motivasi dan memberi
ruang untuk lebih maju ke hadapan. Usaha menyelesaikan masalah berupaya meningkatkan
kualiti peribadi seseorang individu melalui peningkatan profesionalisme dan kreativiti.

Apabila seseorang berhadapan dengan masalah, bermakna dia berhadapan dengan suatu
halangan yang akan mengekangnya daripada mencapai matlamat. Menurut Pokras (2010),
masalah ialah dilema dihadapi yang tidak mempunyai jalan keluar, keadaan yang tidak diingini
yang tiada jalan penyelesaian, atau persoalan yang tidak dapat dijawab pada masa itu
disebabkan wujud halangan terhadapnya. Anatomi masalah digambarkan oleh Rajah 1.

Rajah 1 Anatomi Masalah


Contohnya:
Anda ingin membeli belah tetapi anda juga ingin menyimpan
wang untuk masa hadapan
Anda ingin menyediakan Bilik Warisan tetapi sekolah tiada lebihan bilik darjah
Dalam usaha menangani perubahan, tiga ciri masalah menurut (Katherine and Gloria, 2009)
ialah:
i. Situasi tidak diingini (Undesirable situation). Jika kita telah berada dalam situasi yang
diingini, bermakna matlamat telah dicapai dan masalah adalah tidak relevan atau tidak
wujud.
ii. Situasi yang dikehendaki (A desired situation). Matlamat yang masih kabur atau belum
jelas boleh dikembangkan menjadi lebih tepat dan boleh dicapai walaupun penyelesaian
masih belum dihasilkan.
iii. Halangan (Obstacle). Halangan berada antara situasi yang tidak diingini dan situasi yang
sepatutnya. Masalah ialah jurang antara dua situasi ini.

Banyak aspek perlu diambil kira dengan jelas dalam usaha memahami halangan. Contoh
halangan termasuklah kewangan yang terhad, sumber maklumat, masa dan maklumat yang
diperlukan tidak mencukupi. Halangan juga termasuk ahli dalam organisasi yang akan bekerja
menyelesaikan masalah dalam kumpulan. Mereka menjadi halangan jika memiliki ketahanan
diri yang rendah dan tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil.

Masalah wujud apabila terdapat jurang perbezaan antara situasi semasa dan situasi yang ingin
dicapai (Anita, 2004). Semakin besar jurang, semakin jauh seseorang individu atau organisasi
daripada matlamat yang ingin dicapai iaitu semakin rumit masalah dihadapi. Jurang ini juga
menggambarkan keperluan yang wajar diisi melalui aktiviti menyelesaikan masalah bagi
mencapai matlamat.

Masalah perlu mencetuskan keinginan ke arah usaha untuk menyelesaikannya. Halangan atau
situasi yang dihadapi mesti menimbulkan keinginan untuk mencari penyelesaian (Schunk,
2012). Sebagai contoh, mempunyai pendapatan yang kecil bukan masalah bagi seorang “buruh
kasar” jika keadaan itu tidak memberi tekanan kepada beliau dan tiada keinginan untuk
meningkatkan pendapatannya. Beliau merasakan pendapatan yang diperoleh sudah cukup dan
tidak perlu ditambah lagi. Berbeza dengan seseorang yang setiap masa tidak berpuas hati
dengan prestasi kewangannya dan sentiasa memikirkan bagaimana untuk menambah
pendapatan. Bagi individu ini, kewangan merupakan masalah baginya walaupun dia sendiri
seorang yang berpendapatan berlipat kali ganda berbanding buruh kasar tadi.

Punca masalah sebenar berbeza dengan simptom masalah. Simptom adalah gejala daripada
masalah sebenar yang merupakan kesan awal atau permulaan bagi sesuatu masalah, manakala
punca sebenar masalah adalah situasi atau halangan sebenar yang mencetuskan kesan tersebut.
Usaha mengatasi simptom tidak akan menyelesaikan masalah, malah, masalah baharu mungkin
akan terhasil di samping masalah yang sedia ada tadi tetap gagal diatasi. Merujuk Jadual 1,
sesuatu masalah, jika dianalisis secara mendalam akan membolehkan punca sebenar masalah
dikenal pasti. Oleh itu, definisi masalah yang baik membolehkan seseorang itu berhadapan
dengan punca sebenar masalah bukan simptom masalahnya.
Jadual 1: Perbezaan Antara Simptom dan Punca Masalah Sebenar
Masalah Simptom Punca sebenar masalah

Kereta berhenti bergerak Suhu enjin panas dan berasap; Paip getah kereta bocor;
secara tiba-tiba. Enjin Meter suhu kereta naik; Kipas tidak berfungsi;
kereta “mati” Enjin gagal dihidupkan; Radiator bocor;
Air radiator kering Termostat rosak;
Hos radiator tersumbat

Satu contoh lain untuk anda lebih memahami perbezaan antara simptom dengan punca masalah
ialah dalam bidang perubatan. Contohnya seseorang yang mengalami tekanan (stress)
menunjukkan beberapa symptom seperti mudah marah, mudah tersinggung, tindakan agresif
dan defensif, selalu merasa serba salah, kurang focus, bersikap pelupa dan jantung berdebar-
debar. Cuba anda kenal pasti beberapa simptom awal bagi seseorang yang menghadapi
masalah kencing manis (diabetes).

Rumusannya, masalah adalah suatu halangan atau situasi sebenar yang memberi tekanan
kepada seseorang sehingga menimbulkan keinginan untuk mengatasi halangan itu. Masalah
tersebut akan memberi kesan terhadap prestasi individu atau organisasi sekiranya tidak diatasi.
Masalah menyebabkan simptom tetapi masalah berlaku disebabkan oleh punca yang perlu
dikenal pasti. Memahami masalah dan mengenal pasti punca sebenar masalah perlu dilakukan
bagi merancang strategi penyelesaian yang berkesan.

REFLEKSI 1:
Kenal pasti apakah situasi yang tidak diingini yang sedang dihadapi (situasi semasa) dan situasi
yang dikehendaki (matlamat yang diingini), seterusnya kenal pasti jurang/masalah dalam
pelaksanaan tugas anda sebagai pentadbir? Hadkan hanya kepada satu masalah. Lengkapkan
jadual di bawah.
Situasi semasa Jurang/Masalah Situasi matlamat

Sesuatu masalah perlu diselesaikan bagi mencapai matlamat yang dikehendaki. Usaha mencari
penyelesaian kepada masalah ini dinyatakan sebagai proses penyelesaian masalah.
Penyelesaian masalah melibatkan proses mental yang perlu diikuti. Proses ini dipengaruhi oleh
jenis dan cara masalah itu dilihat, maklumat yang diketahui tentang masalah dan matlamat yang
hendak dicapai. Menurut John & Gloria (1998), proses penyelesaian masalah bergerak dari
situasi yang tidak dikehendaki kepada situasi matlamat dengan suatu tindakan.
3. MODEL PENYELESAIAN MASALAH
Penyelesaian masalah melibatkan proses berfikir secara heuristik (berperingkat) bagi mengenal
pasti punca sebenar masalah sebelum strategi terbaik diputuskan. Model Penyelesaian Masalah
Langkah-demi-Langkah (step-by-step problem solving) oleh Chang dan Kelly (1993)
melibatkan enam proses berfikir yang perlu dilalui. Model ini berstruktur dan sistematik serta
banyak membantu organisasi dalam menyelesaikan masalah dan membuat penambahbaikan
organisasi mereka. Rajah 2 menunjukkan proses yang terlibat dalam menyelesaikan masalah.

Rajah 2: Model Menyelesai Masalah (Chang & Kelly, 1993)

Model penyelesaian masalah di atas menunjukkan bahawa proses berfikir akan berulang
semula sehingga masalah selesai sepenuhnya. Pemahaman terhadap masalah akan dilakukan
sekali lagi agar punca sebenar masalah dikenal pasti. Model penyelesaian masalah menurut
Sternberg (2003), melibatkan tujuh langkah seperti ditunjukkan dalam Jadual 2.

Jadual 2: Perbandingan Model Menyelesai Masalah

Chang & Kelly (1993) Sternberg (2003)


1- Memahami masalah 1- Mengenal pasti masalah
2- Analisis punca masalah 2- Mendefinisikan masalah
3- Kenal pasti penyelesaian yang mungkin 3- Membina strategi menyelesaikan masalah
4- Memilih penyelesaian terbaik 4- Mengorganisasikan maklumat
5- Membina Pelan Tindakan 5- Memperuntukkan Sumber
6- Melaksanakan penyelesaian dan 6- Menyelia kemajuan
menilai kemajuan
7- Menilai Hasil
Umumnya kedua-dua model ini dan juga beberapa model penyelesaian masalah yang lain tidak
terkecuali daripada melibatkan empat langkah utama iaitu memahami masalah (define the
problem), merancang pelan tindakan penyelesaian (devicing a plan), melaksanakan tindakan
(carrying out the plan) dan menyemak semula penyelesaian (looking back). Empat proses ini
adalah langkah asas yang diperkenal oleh Polya (1957) dalam membantu murid menyelesaikan
masalah matematik di bilik darjah.

4. PROSES MENYELESAIKAN MASALAH

Kejayaan sesuatu penyelesaian masalah amat bergantung kepada pendekatan, pelaksanaan dan
penyeliaan setiap langkah secara berkesan dan teratur. Ahli psikologi menyatakan bahawa
manusia sedang mempelajari sesuatu apabila mereka berusaha menyelesaikan masalah.
Perkara ini adalah disebabkan dalam proses penyelesaian masalah, individu akan mencari
kesimpulan tentang sesuatu perkara, mengaplikasi masalah dengan cara yang paling mudah,
mempelajari langkah-langkah menyelesaikan masalah dan mencipta beberapa pelan tindakan
atau cadangan untuk menyelesaikan masalah.

Terdapat pelbagai jenis masalah yang dihadapi oleh pemimpin sekolah, begitu juga
penyelesaiannya. Keadaan ini menyebabkan proses penyelesaian masalah juga menjadi
pelbagai, fleksibel dan perlu disesuaikan mengikut kepelbagaian punca yang dikenal pasti.

Penyelesaian masalah boleh dipecahkan kepada beberapa langkah yang perlu diselesaikan
secara sistematik. Satu contoh proses yang boleh dijadikan panduan ialah proses penyelesaian
masalah melibatkan lima langkah menggunakan akronim IDEAL seperti di bawah:

I Identify the problem (Kenal pasti masalah)


D Define the represent problem (Takrifkan masalah yang dihadapi)
E Define possible strategies (Takrifkan strategi yang mungkin)
A Act on the strategies (Bertindak terhadap strategi)
L Look back (Menyemak kembali pelaksanaan)

Berdasarkan fasa penyelesaian masalah oleh Pokras (1994), proses penyelesaian dibahagikan
kepada dua fasa iaitu:
i) Mengenal pasti punca masalah
ii) Membuat keputusan bagaimana untuk menyelesaikannya

Setiap langkah melibatkan aktiviti dan kemahiran tertentu. Proses penyelesaian masalah
mengikut dua fasa di atas diterangkan seperti di bawah:

Fasa Mengenal Pasti Masalah

i. Memahami masalah – Proses utama penyelesaian masalah adalah langkah mendefinisi


atau memahami masalah secara mendalam. Langkah ini memerlukan anda menentukan
apa yang ingin dicapai dan melibatkan aktiviti menyiasat secara mendalam untuk
mengenal pasti masalah sebenar yang ingin diselesaikan. Lebih awal masalah dikenal
pasti dan difahami, lebih mudah untuk bergerak ke langkah berikutnya.

Masalah boleh difahami dengan melakukan analisis jurang iaitu dengan membandingkan
jurang antara situasi semasa dan matlamat yang hendak dicapai. Selain itu, maklumat
tentang masalah boleh dikumpulkan dengan mencari jawapan kepada soalan “siapa
(who)”, “apa (what)”, di mana (where)”, “bila (when)”, “mengapa (why)” dan
“bagaimana (how)” untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang masalah yang ingin
diselesaikan. Beberapa soalan perlu dijelaskan dalam langkah ini antaranya:
● Berapa kerapkah masalah itu berlaku?
● Bilakah masalah terjadi?
● Bilakah masalah terjadi paling kerap?
● Siapakah yang biasanya terlibat dengan masalah ini?

ii. Analisis punca masalah – Setelah masalah dikenal pasti dan difahami, sama ada dari
segi wujud keperluan untuk mendapatkan maklumat tambahan atau halangan yang
perlu diatasi untuk mencapai matlamat, analisis lebih mendalam perlu dilakukan
bertujuan mengenal pasti punca sebenar masalah. Analisis 5 Whys merupakan antara
alat yang sesuai untuk mengenal pasti punca sebenar masalah melalui soalan “why”
beberapa kali sehingga menemui punca sebenar masalah.

Punca masalah yang lebih kompleks boleh ditentukan menggunakan Rajah Sebab-
Akibat atau juga lebih dikenali sebagai Gambar rajah Tulang Ikan. Sebab merujuk
kepada perkara yang menyebabkan berlakunya sesuatu kesan, akibat atau sesuatu yang
menyumbang kepada situasi yang sedang dihadapi dan tidak diingini.

Fasa Membuat Keputusan


i. Kenal pasti penyelesaian yang mungkin – Apabila punca masalah sebenar telah dikenal
pasti, anda berada pada sebahagian daripada perjalanan untuk menyelesaikan masalah
berkenaan. Aktiviti seterusnya adalah mengenal pasti beberapa opsyen bagi
menyelesaikan masalah berkenaan.
Teknik sumbang saran (brainstorming) boleh digunakan secara kreatif dengan
mengemukakan soalan-soalan seperti “siapa (who)”, “apa (what)”, di mana (where)”,
“bila (when)”, “mengapa (why)” dan “bagaimana (how)” bertujuan meneroka idea
tentang strategi yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah. Selain itu, terdapat
beberapa lagi alat yang boleh digunakan dan akan dibincangkan secara lebih terperinci
dalam tajuk alat menyelesai masalah.
ii. Memilih penyelesaian terbaik – Keputusan terbaik boleh dilakukan bengan menentukan
skor bagi setiap idea yang dikemukakan dan memilih idea dengan skor terbaik.
Pemilihan juga boleh dilakukan berdasarkan beberapa kriteria utama seperti
keberkesanan strategi penyelesaian, masa, kos diperlukan dan sejauh mana ia
memuaskan hati pelanggan atau stakeholders.
iii. Membina pelan tindakan – Langkah ini memerlukan anda mengenal pasti tindakan yang
perlu diambil bagi melaksanakan penyelesaian secara terperinci. Setiap langkah yang
akan diambil perlu dinyatakan secara jelas, merangkumi anggaran tempoh selesai dan
jumlah kos yang diperlukan. Dalam konteks pengurusan sekolah, tempoh masa dan kos
adalah elemen penting yang perlu diambil kira. Sebagai langkah proaktif, pelan
kontigensi perlu dirangka jika berhadapan dengan situasi luar jangka atau “terlepas
pandang”. Umumnya langkah ini melibatkan aktiviti merangka tindakan untuk
melaksanakan penyelesaian yang telah dipilih.
iv. Melaksanakan penyelesaian dan menilai kemajuan – Proses ini perlu berlaku secara
berterusan dan sentiasa dipantau dan dinilai dari semasa ke semasa sehingga masalah
berjaya diselesaikan. Sumber-sumber yang ada perlu dipastikan supaya sentiasa bersedia
dan boleh digunakan. Tanpa langkah pemantauan dan penilaian, segala aktiviti
penyelesaian masalah menjadi sia-sia. Sebaliknya, aktiviti penilaian dan pemantauan
memberi peluang kepada peningkatan profesionalisme individu yang terlibat melalui
pelan penyeliaan yang berkesan.

Perlu difahami bahawa model penyelesaian masalah ini boleh diubah suai mengikut situasi dan
bentuk masalah yang dihadapi. Sekiranya setiap langkah diikuti dengan sistematik,
penyelesaian kepada masalah sebenar yang lebih objektif dan dipercayai dapat dibina.
Penggunaan alat menyelesaikan masalah yang sesuai dalam proses penyelesaian masalah akan
membantu kita mengenal pasti punca sebenar masalah.

5. DATA MENYELESAIKAN MASALAH


Data memandu keputusan organisasi. Seorang kapten kapal misalnya, perlu berpandukan
kepada data yang khusus bagi memastikan pelayarannya lancar dan tiba di lokasi ditetapkan.
Data membekalkan maklumat yang signifikan dan sangat bermakna dalam program
penambahbaikan sekolah.

Sekolah merupakan organisasi yang kaya dengan data. Beberapa contoh data di sekolah
merangkumi data kehadiran murid, data maklumat disiplin murid, data peribadi dan latar
belakang murid, analisis peperiksaan, maklumat tentang guru dan latar belakang mereka, data
tentang pelaksanaan program LINUS, maklumat pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan
pelbagai jenis data lagi. Menurut Bernhardt (2004) data di sekolah boleh dikategorikan kepada
empat jenis data utama seperti Jadual 3.

Jadual 3: Kategori Data di Sekolah


Kategori Data Contoh
Data demografi Jantina, bangsa, status ekonomi, alamat,
keperluan khas
Data program sekolah Program sekolah, ekstra kurikulum, kelas
tambahan latihan guru, perkembangan staf.
Data pencapaian murid Markah peperiksaan, kemajuan murid,
pentaksiran berjadual
Data persepsi Persepsi ibu bapa/stakeholder, nilai, sikap
terhadap sekolah

Keempat-empat jenis data berkenaan juga dikategorikan kepada data input, data proses, data
hasil (output/outcome) dan data kepuasan hati. Data input merupakan data yang
mendeskripsikan status seseorang seperti data demografi. Data proses memfokuskan data
proses sekolah seperti bahan, latihan guru dan data proses pembelajaran. Data hasil lebih
berfokuskan kepada sesuatu pencapaian manakala data kepuasan hati merupakan data persepsi
yang mempunyai implikasi kepada khidmat yang diterima sesuatu kumpulan. Rajah 3
menunjukkan hubungan antara data di sekolah dengan punca sebenar masalah dan penyelesaian
masalah.

Rajah 3: Data dalam menyelesaikan masalah


Data memberikan maklumat berguna dalam usaha memahami dan mengenal pasti punca
sebenar masalah. Data pencapaian murid dalam setiap saringan program LINUS misalnya,
memandu pemimpin sekolah mengenal pasti punca sebenar masalah murid tidak menguasai
membaca. Maklumat ini digunakan untuk membantu sekolah merancang program intervensi
sesuai dengan punca sebenar masalah. Sejak Program LINUS diperkenalkan pada tahun 2010
dan LINUS 2.0 pada tahun 2013, berbagai-bagai program intervensi bagi mengatasi masalah
yang dihadapi telah dijalankan oleh pihak sekolah. Semua program intervensi yang dijalankan
dilakukan oleh pemimpin sekolah dengan mengambilkira semua data yang ada di sekolah
6. RUMUSAN
Menyelesaikan masalah merupakan kemahiran yang penting kepada pemimpin sekolah dan
semua warga pendidik dalam usaha menambah baik sekolah. Setiap pemimpin perlu
membimbing guru-guru seliaanya supaya bukan sahaja berkebolehan menggunakan alat (tool)
untuk menyelesaikan masalah, bahkan perlu juga menanam kesedaran tentang bagaimana
proses penyelesaian masalah mampu meningkatkan kualiti peribadi mereka seterusnya
membangunkan sekolah secara berterusan.

BIBLIOGRAFI
Adams, K.L., Galanes, G.J dan Adams, K. (2005). Communicating in group. USA: McGraw
Hill.
Canter, A. (2004). A Problem-Solving Model for Improving Student Achievement.
Principal Leadership Magazine. Vol. 5. Number 4
Chang, R. dan Kelly, P. (1993). Step-by-step problem solving a practical guide to ensure
problems get (and stay) solved. San Francisco, Calif: Jossey-Bass Pfeiffer/Richard
Chang Associates
Compton, B.R., Galaway, B., dan Cournoyer, B. R. (2005). Social Work Processes (7th
Edition). California: Brooks/Cole Publishing

Drummond, H. (1991). Effective decision making. USA: Kogan Page Ltd.


Fullan, M. (2001). The new meaning of educational change. New York: Teachers

Harris, R. (2002). Problem-solving techniques. Also at http://virtualsalt.com/crebook4.htm.


Retrieved on 27 April 2011.
Pokras, S. (2010). Problem solving for teams make consensus more achievable. Rochester,
N.Y: Axzo Press.
Polya, G. (1988). How to solve it. USA: Princeton University Press

Schunk, D. (2012). Learning theories: An educational perspective. Boston: Pearson

West, C.E. (2011). Problem solving tools and tips for school leader. USA: Eye
on Education
Woolfolk, A. (2004). Educational psychology (9th Edition). Englewood Cliffs, New Jersey:
Prentice-Hall, Inc.
B. MEMBUAT KEPUTUSAN

1. PENGENALAN
Membuat keputusan merupakan satu aspek penting dalam pengurusan dan kepimpinan.
Lazimnya, pemimpin akan membuat keputusan berdasarkan data yang ada, perbincangan,
pengalaman dan intuisi. Membuat keputusan memerlukan kompetensi tertentu bagi
memastikan keputusan yang diambil adalah tepat.

Kecekapan seseorang pemimpin organisasi membuat keputusan dari pelbagai alternatif melalui
proses membuat keputusan bagi mencapai keputusan yang tepat bukanlah mudah kerana
memerlukan kreativiti dan kesabaran. Menurut Ainon (2003), akal adalah fitrah manusia untuk
berfikir. Akan tetapi dalam menggunakan akal, kadang kala seseorang itu berkecenderungan
membuat keputusan yang salah kerana dia tidak menggunakan logik akalnya.

Ahmad Atory (1991), menyatakan bahawa keputusan adalah dianggap baik jika ia berkesan
apabila dilaksanakan. Setiap keputusan yang diambil bergantung kepada situasi yang
mengelilingi individu atau kumpulan berkenaan kerana situasi yang berlaku akan
mempengaruhi dalam membuat keputusan.

2. KONSEP MEMBUAT KEPUTUSAN

Keputusan merujuk kepada pilihan yang dibuat melalui pelbagai alternatif yang sedia ada.
Membuat pilihan merupakan suatu fungsi kepada objektif membuat keputusan. Oleh itu dalam
pemilihan alternatif, pembuat keputusan juga berminat untuk mengetahui akibat daripada
tindakan pilihan yang dibuatnya. Pilihan juga melibatkan elemen ketidakpastian. Beberapa
definisi membuat keputusan adalah seperti berikut:

(i) Fred Luthawa (1997)


Membuat keputusan adalah satu proses membuat pilihan antara beberapa
alternatif dan merupakan nadi dalam perancangan serta mencari penyelesaian
terhadapnya.

(ii) Jaafar (2000)


Alternatif yang dirumuskan akan diedarkan kepada semua bagi tujuan perbincangan
dan maklum balas. Apabila persetujuan dicapai, ia akan dimeterai dan diedarkan untuk
pengumuman dan seterusnya dilaksanakan. Biasanya seorang pemimpin yang fleksibel
akan memilih alternatif paling optimum sebagai keputusan yang terbaik.

(ii) Robert (2001)


Proses membuat keputusan itu dimulai dengan, mengenal pasti permasalahan dan
menakrifkannya. Kedua, membuat penganalisisan masalah mengikut kepentingan.
Ketiga, membuat pembangunan alternatif yang paling sesuai untuk diberi tumpuan.
Keempat, melakukan penilaian alternatif. Kelima, memilih alternatif yang terbaik
dengan memperlihat ciri-ciri kejayaannya. Keenam, melaksanakan alternatif yang
dipilih.
(iii) Aziz (2004)
Keputusan diambil berdasarkan pelbagai alternatif supaya menepati situasi sebenar
atau situasi yang dikehendaki. Justeru membuat keputusan adalah satu proses
pemilihan daripada beberapa alternatif yang perlu dilakukan oleh pemimpin.

Menurut Mason Carpenter, Talya Bauer and Berrin Erdogan (2010), membuat keputusan
adalah membuat pilihan antara beberapa tindakan alternatif, merujuk kepada membuat pilihan
alternatif yang ada.

REFLEKSI 1
a) Sepanjang perkhidmatan anda, apakah keputusan terbaik pernah dibuat?
b) Bagaimanakah anda membuat keputusan itu?
c) Pernahkah keputusan yang dibuat itu gagal menyelesaikan masalah dihadapi?
d) Jika ya, Mengapakah gagal menyelesaikan masalah tersebut?

3. PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN


Menurut Raihana (2010), terdapat enam langkah proses membuat keputusan.

i. Kenal Pasti Keperluan Membuat Keputusan


Keperluan ini selalunya dalam bentuk masalah atau peluang. Dalam memilih sesuatu
masalah atau peluang, kriteria berikut boleh digunakan:

 Kawalan – sejauhmana masalah dan penyelesaiannya boleh dikawal


 Kepentingan – darjah kepentingan masalah tersebut
 Kerumitan – bagaimana rumitnya untuk mencari penyelesaian
 Masa – jangka masa yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah
 Faedah – jangkaan faedah yang akan didapati daripada penyelesaian
masalah tersebut
 Sumber – sumber-sumber yang diperlukan (manusia, masa, wang,
peralatan dan sebagainya)

ii. Diagnosis dan Analisis Sebab


Sesuatu masalah boleh dianalisis dengan menggunakan beberapa alat bagi mengumpul
dan mempamerkan maklumat. Alat-alat tersebut termasuklah Rajah Ishikawa, Rajah
Aliran, Histogram dan Carta Pie.

iii. Pembentukan Alternatif


 Terdapat beberapa cara untuk membentuk alternatif seperti percambahan
fikiran, membuat rujukan kepustakaan dan membuat meta analisis
 Kita juga boleh mengembangkan, menyatukan atau mencipta alternatif baru
 Dalam membincangkan setiap alternatif, pertimbangan tentang pelbagai perkara
perlu dibuat terutama yang menyentuh peluang, keupayaan dan batasan
iv. Pemilihan Alternatif
Alternatif yang dipilh sewajarnya adalah alternatif yang paling berkesan.
Pertimbangan untuk membuat alternatif:

 Kawalan – adakah pelaksanaan alternatif dalam kawalan?


 Kesesuaian – adakah alternatif dapat menyelesaikan masalah?
 Keperluan sumber – mampukah melaksanakan alternatif yang dipilih?
 Faedah – adakah alternatif mendatangkan faedah?
 Masa - berapa lamakah dapat lihat hasil?
 Kebolehterimaan – adakah ahli organisasi menerima alternatif ?

v. Pelaksanaan Alternatif yang Dipilih


Pelaksanaan alternatif memerlukan perancangan yang rapi dan terperinci. Perkara-
perkara berikut dapat membantu:

 Kebolehterimaan – bagaimanakah mendapatkan penerimaan daripada pihak


yang berkaitan?, apakah faedah yang boleh ditonjolkan daripada alternatif yang
diambil?
 Jangkaan – apakah tentangan yang mungkin timbul, bagaimanakah tentangan
boleh diatasi?
 Bantuan – apakah bantuan yang boleh diperoleh dan bagaimana
memperolehnya?
 Lokasi - di manakah alternatif wajar dilaksanakan?
 Masa – bilakah masa paling sesuai untuk melaksanakan alternatif?
 Keberkesanan alternatif – bagaimanakah keberkesanan alternatif boleh diuji?

vi. Penilaian dan Maklum Balas


Penilaian adalah langkah penting bagi membolehkan penyemakan dibuat terhadap
kejayaan penyelesaian yang telah diambil. Beberapa perkara perlu diambil kira dalam
langkah ini antaranya:

 Ukuran –apakah maklumat yang perlu dikumpulkan?


 Alat analisis – apakah alat untuk membuat analisis?
 Masa – bilakah penilaian wajar dijalankan?
 Keputusan – apakah yang akan dibuat dengan keputusan?

4. RUMUSAN

Membuat keputusan secara berkumpulan harus digalakkan dalam menghasilkan keputusan


atau mencari jalan penyelesian. Pemimpin perlu bergerak keluar dari gaya kebiasaan berfikir
supaya mendapat pandangan yang menyeluruh untuk membuat keputusan. Ahli kumpulan
perlu berfungsi menyumbang idea supaya keputusan yang dibuat dapat memuaskan hati semua
pihak. Bagi memastikan ahli kumpulan memainkan peranan masing-masing dalam menetapkan
keputusan yang akan diambil, seseorang pemimpin perlu melalui enam proses membuat
keputusan yang telah dibincangkan. Penggunaan pelbagai alat atau kaedah dalam membuat
keputusan dapat menghasilkan perspektif yang lebih besar dalam menyelesaikan masalah yang
timbul dengan membuat keputusan yang disepakati bersama.

BIBLIOGRAFI
Ab. Aziz Yusof (2004). Kepemimpinan dalam mengurus perubahan: Dari dimensi
kemanusiaan. Selangor: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Ahmad Atory Hussain (1991). Pengurusan organisasi. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Ainon Mohamad (2007). Pemikiran lateral. www.e-episode.blogspot.com/ pemikiran
lateral-dan-6-kaedah. 3 Febuari 2015
Ainon Mohd (2003). Teori dan kepimpinan: Panduan aplikasi di tempat kerja. Pahang: PTS
Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Carpenter, M., Bauer, T. dan Erdogan, B (2010). Management principles. United State:
Jupiterimages Corperation.
Davis, S.H. dan Davis, P.B. (2003). The intuitive dimensions of administrative decision
making. Lanham, MD: Scarecrow
Jaafar Muhamad (2000). Kelakuan organisasi (Edisi keempat). Kuala Lumpur: Leeds
Publications.
Luthawa, F. (1997). Trends in multicriteria decision making. Proceeding of the 13th
International Conference on Multiple Criteria Decision Making. Cape Town, South
Africa.
Mat Yusof Che Mat (2010). Kejayaan menjadi impian semua orang.
www.matyusof/blogspot.com/2010/05/1.html 2 Mei 2015
Marsh, J.A., Pane, J.F. dan Hamilton, L. S. (2006). Making sense of data-driven decision
making in education. CA: RAND Corporation.
Noor Mutia (2013). Gaya pembuatan keputusan. http://www.noormutia/ blogspot.com 2 Julai
2015
Nurhidayah binti Mohd Daruni. Model membuat keputusan. Jurnal KMK. Jurnal 2263
http://www.bblogspot.com 22 Ogos 2015
Raihana (2010). Proses membuat keputusan. http:///www.blogspot.com 29 Ogos 2015

Riemer, N., Simon, D.W dan Romance, J. (2015). The challenge of politics. An introduction to
political science. Canada: SAGE Publications.
Simon, H. (2010). Bounded rationality and politics. Los Angeles: University of California
Press.
Trappl, R., Petta, P. dan Payr, S. (2001). Emotions in humans and artifacts. London:
Massachusetts Institute of Technology.