Anda di halaman 1dari 2

Kaunselor wajib daftar elak didenda

Lindungi profesion, pastikan perkhidmatan terbaik untuk klien

Berita Harian · 31 Oct 2017 · Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Pengamal kaunselor diwajibkan mendaftar dengan Lembaga Kaunselor dalam usaha melindungi
profesion berkenaan daripada disalah guna.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kaunselor, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Juhari Jani, berkata pendaftaran itu mengikut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).
Katanya, mengikut akta itu, mana-mana individu tidak berdaftar jika sabit kesalahan boleh
dikenakan denda maksimum RM30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
kedua-duanya sekali.
“Sejak 2000 hingga 30 September, 7,429 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor.
Bagaimanapun, saya dapati ramai tidak berdaftar, tetapi memberi perkhidmatan kepada klien.
“Kita mewajibkan pendaftaran itu sebagai cara mengekalkan kualiti kaunselor tempatan, selain
melindungi pengguna daripada mendapatkan perkhidmatan pihak yang tidak berkelayakan,” katanya
ketika ditemui, baru-baru ini.
Kesempatan kaut untung
Juhari berkata, isu kaunselor wajib berdaftar dibangkitkan berikutan ada individu yang
menggunakan status berkenaan untuk mengaut keuntungan selepas melihat masa depan cerah
terhadap kerjaya itu.
Kaunselor perlu membayar RM300 untuk membolehkan mereka memiliki dua sijil, iaitu Sijil
Perakuan Pendaftaran dan Sijil Peraturan Amalan Dwitahunan sebagai bukti pendaftaran sekali gus
diiktiraf untuk mempraktikkan kaunseling kepada pelanggan.
Sijil Perakuan Pendaftaran memerlukan tempoh 21 hari bekerja untuk diproses, manakala Sijil
Perakuan Amalan selama tujuh hari bekerja.
“Kaunselor berdaftar disyorkan meletakkan perkataan KB: PA di belakang nama yang membawa
erti kaunselor berdaftar dan perakuan amalan.
“Dengan adanya sijil berkenaan ia boleh memberi kaunseling kepada klien dengan tertakluk pada
etika ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan secara dalam talian, tetapi pada masa sama,
masih perlu hadir ke Lembaga Kaunselor, untuk pengesahan kelayakan di mana-mana tempat yang
ditetapkan.
Tidak boleh disalah guna
Juhari yang juga Pendaftar Kaunselor Lembaga Kaunselor, memberitahu perkataan Kaunselor
tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Malah, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak polis atau Lembaga Kaunselor sekiranya
ada pihak tertentu yang sengaja mengaku sebagai kaunselor.
Beliau berkata, dengan ada peraturan berkenaan diharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya
melakukan tugas berkenaan sesuka hati dan membelakangkan peraturan sedia ada.
“Kementerian dari semasa ke semasa membuat promosi bagi pendaftaran kaunselor. Kami
menyasarkan jumlah kaunselor berdaftar meningkat daripada 7,429 kepada 11,000 orang atau dalam
nisbah 1:2,909 orang menjelang 2020,” katanya.
Pendaftaran:
- Manfaat:
1- Patuhi perundangan ditetapkan dalam amalan kerjaya ini.
2. Kemahiran kaunselor diasah dari semasa ke semasa.
3. Kaunselor didedahkan dengan pengetahuan

Anda mungkin juga menyukai