Anda di halaman 1dari 21

Isi Kandungan

1.0 Soalan 1 ( Penulisan Karangan) ................................................................................................ 1

1.1 Karangan Argumentasi: Buli Siber ........................................................................................... 1

1.2 Karangan Naratif: Kisah Lucu .................................................................................................. 1

1.3 Karangan Deskriptif: Gempa bumi di Sabah ............................................................................ 2

2.0 Soalan 2 (Esei perbandingan/ perbezaan) ................................................................................. 3

2.1 Perbezaan dua atlit .................................................................................................................... 3

2.2 Pemilihan dua tempat berdasarkan perbandingan..................................................................... 5

3.0 Soalan 3 (Esei Analisis Proses)................................................................................................. 8

3.1 Cara mendapatkan pinjaman kereta dari bank .......................................................................... 8

3.2 Cara Komputer berfungsi ........................................................................................................ 11

3.3 Cara mendaftarkan syarikat .................................................................................................... 15

4.0 Esei Penyelesaian Masalah ..................................................................................................... 16

4.1 Isu-Isu ..................................................................................................................................... 17

4.2 Penyelesaian ............................................................................................................................ 18

4.3 Penutup ................................................................................................................................... 19

Rujukan ......................................................................................................................................... 20
1.0 Soalan 1 ( Penulisan Karangan)

Soalan 1 akan memfokuskan kepada penulisan karangan yang merangkumi karangan jenis
argumentasi, karangan naratif dan karangan deskriptif.

1.1 Karangan Argumentasi: Buli Siber

Pada masa kini, dunia siber dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Ia memudahkan kita
berhubung antara satu sama lain atau untuk memperolehi ilmu pada bila-bila masa, di mana jua
kita berada. Seiring dengan perkembangan teknologi, laman web sosial menjadi kegilaan dan
fenomena dalam kalangan penggunanya. Walaupun memberikan faedah dan mempunyai
kelebihan, pada masa yang sama, senario ini turut meningkatkan gejala buruk dalam alam siber,
antaranya buli siber dan gangguan siber. Buli siber dapat diterjemahkan sebagai gangguan atau
buli yang melibatkan golongan bawah umur menerusi aplikasi alat berteknologi seperti telefon,
komputer, dan lain-lain.

Buli siber berlaku apabila seseorang individu yang kebiasaannya dalam kalangan remaja atau
kanak-kanak dibuli, diganggu, diugut, atau dimalukan dalam internet. Buli siber tidak melibatkan
fizikal tetapi lebih kepada permainan emosi dan tekanan perasaan dengan tujuan untuk
memalukan seseorang. Melalui teknologi ini, terdapat ramai yang dibuli, sama ada diejek,
dibenci dan dipulaukan oleh orang lain melalui laman sosial, laman video mahupun sistem
pesanan ringkas (sms). Buli siber boleh memberikan impak yang sangat besar kepada mangsa.
Bagi sesetengah orang, sesuatu pernyataan, gambar atau video itu mungkin dianggap sebagai
bahan gurauan. Tetapi kepada mangsa, perkara itu boleh memalukan sehingga boleh
menyebabkan seseorang itu membunuh diri kerana baginya, gurauan tersebut melampaui batas
dan mereka tidak sanggup hidup untuk terus dicemuh.

1.2 Karangan Naratif: Kisah Lucu

Sedang aku duduk termangu di tepi tingkap tiba-tiba fikiran ku terimbas kembali peristiwa pagi
tadi. Peristiwa yang mencuit hatiku dan tiba-tiba aku tersenyum sendirian. Ketika itu aku dan
rakan ku Samat dalam perjalanan balik ke kampung. Dalam perjalanan tetiba Samat menyatakan
perutnya memulas-mulas hendak melepaskan hajat besar. Tanpa berlengah lagi aku pun menekan
minyak dan memecut mencari stesen minyak yang berdekatan. Motorsikal yang kami tunggang
memecut laju bagaikan pelesit. Sampai di satu simpang keluar sebuah motosikal polis mengejar

1
kami dan menyuruh berhenti. Namun aku terus memecut laju kerana Samat sudah tidak dapat
tahan lagi. Motosikal polis yang mengejar kami semakin hampir dan akhirnya kami pun berhenti
di tepi jalan.

Anggota polis itu dengan muka bengisnya bertanyakan lesen dan juga bertanya kenapa
membawa motorsikal terlalu laju. Aku menjelaskan bahawa kami ada hal kecemasan sebab
itulah terpaksa membawa dengan laju. Namun polis itu tidak percaya. Dalam aku meyakinkan
polis itu, tiba-tiba terhidu bau yang sangat tidak menyenangkan. Aku lihat muka polis itu, dia
pun melihat muka ku, kemudian kami menoleh ke muka Samat. Mukanya merah padam. Tahulah
kami bahawa Samat sudah tidak dapat menahan lagi dirinya. Anggota polis yang menahan kami
tadi beredar dengan tersenyum sambil menyerahkan saman. Kami meneruskan perjalan balik
kampung tanpa berbicara sepatah kata pun selepas itu.

1.3 Karangan Deskriptif: Gempa bumi di Sabah

Baru-baru ini negara kita telah digemparkan dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di
Sabah. Kejadian ini mengejutkan ramai pihak kerana Malaysia sepatutnya bebas dari
pengalaman gempa bumi. Malaysia tidak terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik. Meskipun
sebelum ini gempa bumi dirasai namun kejadian tersebut berpusatkan di tempat lain. Namun
kejadian kali ini berpusat di Ranau, Sabah. Bencana alam ini juga telah meragut beberapa nyawa.
Kejadian gempa bumi ini memberikan banyak pengajaran kepada kita agar sentiasa berwaspada
dengan kejadian alam sebegini. Banyak perkara perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi.
Kejadian tersebut juga telah banyak meragut harta benda termasuk bangunan-bangunan kerajaan.

Runtuhan juga telah berlaku di puncak gunung Kinabalu. Ini telah menyebabkan ramai pendaki
gunung terkandas di gunung. Dalam usaha menyelamatkan pendaki ini, lahirlah wira yang
dikenali sebagai Malim Gunung. Sebelum ini ramai yang tidak pernah dengar atau kenal dengan
mereka yang digelar Malim Gunung. Namun kejadian tersebut telah menyebabkan nama Malim
Gunung menjadi sebutan ramai pihak.

Kejadian gempa bumi ini seharusnya menyedarkan ramai pihak bahawa negara kita bukan lagi
terlepas daripada kejadian gempa bumi. Kejadian yang sama boleh berulang di masa yang akan
datang. Justeru semua pihak perlu membuat segala langkah persediaan untuk menghadapi
bencana yang sama sekiranya berlaku lagi di masa hadapan.

2
2.0 Soalan 2 (Esei perbandingan/ perbezaan)

Bahagian ini merupakan tugasan mengenai esei perbandingan/ perbezaan. Dua topik
dibincangkan yang terdiri daripada perbezaan dua atlit dalam bidang yang sama dan juga
perbezaan gaya hidup di dua tempat.

2.1 Perbezaan dua atlit

Badminton merupakan antara sukan yang popular di dunia. Badminton ialah acara sukan
Olimpik dengan lima disipin yang kompetitif perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan
wanita, dan beregu campuran, yang mana setiap pasangannya ialah lelaki dan perempuan. Bagi
permainan tahap tinggi, sukan ini memerlukan penjagaan kesihatan yang cemerlang, pemain
memerlukan stamina aerobik, ketangkasan, kekuatan, kelajuan, dan ketelitian. Ia juga merupakan
sebuah sukan teknikal, yang memerlukan koordinasi badan yang baik, kemahiran teknikal, dan
kecanggihan kemahiran penggunaan raket.

Lee Chong Wei dan Lin Dan merupakan dua nama yang cukup sinonim dalam sukan ini pada
masa kini. Datuk Lee Chong Wei sememangnya merupakan suatu ikon kejayaan Malaysia,
terutamanya pada masa kini. Bakat beliau yang begitu mengasyikkan telah menjadi perintis
kepada bidang kesukanan Malaysia, khususnya dalam sukan badminton. Lin Dan pula
merupakan seorang pemain dari negara China yang juga merupakan seteru utama Lee Chong
Wei suatu ketika dulu. Lin Dan mempunyai pencapaian yang sangat hebat dalam sukan
badminton. Beliau pernah memenangi dua pingat olimpik dan lima kejuaran dunia. Pertemuan
kedua-dua pemain ini kebiasaannya memberikan satu perlawanan yang sangat menarik dan
menghiburkan.

Meskipun kedua-dua pemain ini pernah menjadi pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei
tidak pernah memenangi pingat emas sukan Olimpik. Ini berbeza dengan Lin Dan yang
memenangi dua pingat emas. Begitu juga daripada segi pencapaian dalam kejohanan utama
dunia, Lin Dan mengatasi pencapaian Lee Chong Wei. Hal ini berlaku kerana Lin Dan
merupakan penghalang utama Lee Chong Wei. Jika tidak kerana Lin Dan, pastinya tiada gelaran
yang yang tidak dapat diraih oleh Lee Chong Wei.

3
Daripada segi strategi pula, Lin Dan tidak menyertai semua kejohanan yang dipertandingkan di
seluruh dunia. Dia hanya menyertai kejohanan utama dunia yang memberikan mata kemasukan
ke sukan olimpik. Ini berbeza dengan Lee Chong Wei yang menyertai hampir kesemua
superseries. Strategi yang dipilih oleh Lin Dan mampu untuk mengurangkan tekanan dan juga
mampu untuk mengumpul tenaga. Malah didapati bahawa Lin Dan mempunyai kekuatan mental
dan keyakinan diri yang berada dalam kelas tersendiri. Beliau cukup yakin pada kemampuan
dirinya.

Lin Dan dilihat mempunyai teknik serangan yang berbisa dan pada masa yang sama mempunyai
pertahanan yang amat kental. Malah Lin Dan juga mempunyai banyak helah dan sentiasa tenang
bila berada di dalam gelanggang. Dari segi skill dan teknik, kedua-dua pemain ini mempunyai
keupayaan yang hampir sama. Perbezaan antara kedua-dua pemain ini adalah mental dan
keyakinan diri.

Adalah penting untuk mengetahui perbezaan antara pemain ini kerana mereka adalah pemain
terhebat dunia yang menjadi penanda aras kepada kehebatan pemain. Dengan mengetahui
perbezaan pemain ini, maka pemain yang lebih hebat akan dapat dilahirkan. Pemain yang
mempunyai ciri-ciri kedua-dua pemain ini. Ini akan membuatkan permainan ini terus mencapai
kegemilangan dan terus diminati serta tetap relevan untuk selamanya.

Perbandingan dan perbezaan ini juga akan membolehkan pemain-pemain baru merangka strategi
untuk menjadi lebih hebat daripada kedua-dua pemain ini. Ia amat berguna dalam
membangunkan mutu permainan pemain pelapis. Adalah sukar untuk membuat perbandingan
antara dua pemain yang hebat, namun dalam masa yang sama secara tidak langsung
perbandingan yang dibuat menarik minat dan perhatian golongan muda untuk bermain
badminton. Pemain muda ini merupakan golongan pelapis kepada permainan ini. Sekiranya tiada
pelapis maka akan lenyaplah permainan ini dari dunia ini. Perbandingan yang dibuat juga
mampu untuk menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat, semangat muhibah,
kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberikan satu landasan
yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu
padu serta memupuk semangat cinta akan negara. Ini dapat dilakukan apabila wujudnya modul
bermutu yang dihasilkan daripada perbandingan antara pemain.

4
Perbandingan antara dua pemain ini juga dapat membantu dalam merencana agenda
pembangunan sukan badminton. Ini dapat dilakukan dengan menilai mengenai prestasi kedua-
dua pemain. Perancangan latihan juga dapat dilakukan dengan baik. Malah dapatan daripada
perbandingan ini boleh digunapakai dalam melatih pemain muda yang merupakan pelapis
pemain negara.

Selain itu, Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka
terhadap sukan. Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek
ekonomi harus dikikis dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan
dengan betul, sistematik dan tabah berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan
kepada penggamalnya.

Oleh itu, perubahan paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman
yang mengutamakan sukan di peringkat global. Ini semua dapat diubah kiranya terdapat role-
model yang dijadikan contoh kepada mereka. Perbandingan sukan sebegini memberi peluang
kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang sememangnya lebih
baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan menyedari kelemahan
serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang diperoleh.

Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana,
aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu,
pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan
dengan kerjasama semua pihak. Perbandingan antara pemain yang mempunyai prestasi tinggi
perlu dilakukan bagi melahirkan satu modul yang lebih baik dapat dihasilkan.

2.2 Pemilihan dua tempat berdasarkan perbandingan

Kehidupan manusia sering dinilai berdasarkan tahap kemodenan dan kualiti kehidupan yang
dinikmati. Mungkin bagi sesetengah negara islam,agama menjadi alat penting bagaimana
kehidupan perlu direncanakan.Namun bagi kebanyakan negara Barat nilai-nilai agama sudah
jauh terpinggir tetapi kebebasan bersuara menjadi pegangan dalam menghurikan maksud kualiti
kehidupan. Untuk tahun ini beberapa negara di Eropah menjadi bandaraya terbaik di dunia.
Terdapat beberapa kriteria untuk menjadi antara bandaraya terbaik di dunia.Kriteria pertama
ialah keadaan politik dan sosial seperti kestabilan politik dan kadar jenayah.Kedua ialah keadaan
5
sosio budaya setempat dimana kebebasan bersuara,peribadi dan berkarya antara yang menjadi
keutamaan.

Seterusnya ialah kemudahan kesihatan dan sistem sanitasi seperti kebersihan air dan pengurusan
sampah selain khidmat kesihatan yang menyeluruh diambil kira.Sistem pendidikan dan
persekolahan selain kemudahan awam serta pengakutan turut menjada penanda aras untuk
sesebuah bandar tersenarai antara yang terbaik.Kriteria ketujuh dan kelapan pula melibatkan
soal kemudahan rekreasi seperti pawagam dan tempat bersukan serta kemudahan pengguna
untuk mendapatkan barang keperluan terutamanya makanan.Terakhir ialah kemudahan
perumahan kepada penduduk selain turut mengambil kira masalah alam seperti gempa
bumi,letusan gunung berapi dan sebagainya

Memilih bandaraya untuk didiami bukanlah mudah pelbagai aspek perlu diambil kira. Antaranya
adalah kos sara hidup, cuaca, lokaliti, prasarana yang terdapat di tempat itu perlu diambil kira
lebih-lebih lagi jika hendak menetap di bandaraya. Perbandingan ini dibuat berdasarkan kepada
bandaraya Tokyo dan Hong kong.

Tokyo adalah ibu negara Jepun dan sebuah bandaraya metropolitan yang berpenduduk padat. Ia
terletak di selatan Pulau Honshu yang mempunyai empat musim. Musim bunga adalah waktu
yang paling menarik untuk anda lawati. Ini kerana npemandangan bandar Tokyo akan
dipanorama oleh bunga-bungaan yang baru berkembang yang mana bermula di awal April
hingga ke May setiap tahun. Musim luruh juga dikatakan musim yang cantik pemandangannya
dengan cuaca yang cerah dalam tona warna kuning keperangan. Musim luruh bermula dari awal
September.

Mata wang yang digunakan adalah Yen. Tokyo juga merupakan pusat perniagaan, perdagangan,
kewangan dan pendidikan Jepun. Tokyo diiktiraf sebagai metropolis kerana mempunyai
penduduk melebihi 12 juta orang. Kepadatan penduduk sangat tinggi dan dijangka akan terus
bertambah. Di Jepun, pengangkutan tren ringan dan kereta api merupakan kaedah perhubungan
yang paling sibuk dan popular di kalangan masyarakat negara itu berbanding menggunakan
kereta sendiri. Shinkansen, atau lebih popular dengan gelaran bullet train merupakan kereta api
laju pertama yang dihasilkan dalam dunia malah ia juga pelopor paling awal teknologi kereta api
laju

6
Walaupun Jepun adalah negara pengeluar kereta paling aktif dalam industri automobil, namun
sikap masyarakatnya berbeza. Ini kerana mereka lebih gemar menaiki pengangkutan awam
khususnya kereta api. Berjuta rakyat Jepun menggunakan perkhidmatan kereta api atau tren
ringan setiap hari kerana dengan cara itu mereka bukan sahaja akan sentiasa menepati waktu
malah pada masa yang sama menjimatkan kos perbelanjaan pengangkutan sendiri. Ini kerana,
kota raya besar seperti Tokyo menagih kos sara hidup yang terlalu tinggi dan hanya dengan cara
menggunakan pengangkutan awam sahajalah rakyatnya boleh berjimat-cermat.

Pada masa yang sama, amalan suka menggunakan pengangkutan awam itu juga banyak
membantu mengurangkan sedikit-sebanyak kesesakan lalu lintas, apatah lagi ketika waktu
puncak. Bandaraya termoden di Jepun ini menjadi tumpuan berjuta-juta pelancong setiap tahun
kerana terdapat banyak tempat menarik yang unik untuk dilawati. Kos sara hidup di Tokyo
adalah sangat tinggi. Bandaraya Tokyo telah dinyatakan sebagai antara kota raya yang termahal
di dunia. Namun demikian pendapatan perkapita penduduk disini juga tinggi. Ini membolehkan
penduduk di sini mampu untuk menjalani kehidupan dalam keadaan ekonomi yang mahal.

Hong Kong pula merupakan sebahagian daripada Negara China yang mempunyai kuasa
pentadbiran yang tersendiri. Hong Kong merupakan pusat perdagangan, pusat kewangan dan
merupakan ekonomi kapitalis yang sangat maju. Hong Kong terletak di selatan China, 60
kilometer di Timur Macau. Hong Kong mengunakan mata wang Dolar Hong Kong. Hong Kong
dilaporkan sebagai bandar yang paling hijau di Asia. Majoriti orang Hong Kong adalah tinggal di
dalam rumah pangsapuri yang tinggi. Ruangan terbuka yang lain di sana sentiasanya diliputi
dengan taman, semak dan belukar. Terdapat kira-kira 60% tanah di Hong Kong adalah
diperuntukkan bagi Hutan Rizab dan Taman Desa. Aktiviti pengembara dan berkhemah adalah
aktiviti kegemaran di taman-taman desa. Garisan pantai yang panjang di Hong Kong juga
menyediakan pantai-pantai pasir yang sesuai untuk periadahan penduduknya.

Secara amnya, iklim di Hong Kong adalah diklasifikasikan sebagai iklim sub-tropika dengan
empat musim berbeza iaitu musim sejuk, musim bunga, musim luruh dan musim panas. Namun
demikian tidak ada salji di Hong kong. Ini berlainan dengan Tokyo yang mempunyai salji. Hong
Kong mempunyai sistem pengangkutan awam yang dianggap salah satu yang terbaik didunia.
Bagi pengunjung ke Hong Kong, adalah lebih mudah untuk melawat ke tempat yang dituju
dengan menggunakan sistem tren. Penggunaan MTR adalah jauh lebih cepat daripada bas atau

7
bas mini dan harga tiketnya lebih kurang sama. Hong Kong juga mempunyai banyak tempat-
tempat yang menarik dan mempunyai banyak pusat membeli belah.

Pilihan untuk tinggal di Tokyo mahupun Hong Kong semuanya bergantung kepada kemampuan
masing-masing. Kedua-dua bandar ini merupakan bandar metropolitan dunia. Keduanya
merupakan antara kuasa ekonomi dunia. Malah mempunyai banyak tempat yang menarik.
Perbezaan yang paling ketara adalah musim sejuk dan juga daripada segi kepadatan. Bagi yang
memilih untuk menikmati salji bolehlah memilih Tokya. Manakala bagi yang berminat dengan
dengan bandar hijau pula boleh memilih untuk tinggal di Hong Kong.

3.0 Soalan 3 (Esei Analisis Proses)

Bahagian ini akan membincangkan mengenai esei analisis proses. Tiga esei analisis proses yang
meliputi cara mendapatkan pinjaman kereta dari bank, cara komputer berfungsi dan cara
mendaftarkan syarikat.

3.1 Cara mendapatkan pinjaman kereta dari bank

Kenderaan adalah keperluan utama bagi mana-mana individu. Masa yang anda luangkan untuk
berulang-alik ke sana ke mari boleh memakan masa yang banyak sehingga menjejaskan jadual
ketat anda. Ini menjadikan keperluan mempunyai kereta sendiri amat ketara. Namun, tak semua
orang mampu mempunyai bajet nak beli kereta. Oleh itu, membuat pinjaman kereta adalah
opsyen yang sesuai.

Pinjaman sewa beli merupakan cara yang sering digunakan untuk membeli kenderaan. Jika anda
memohon pinjaman sewa beli, anda akan dikenali sebagai penyewa dan institusi perbankan pula
ialah tuan punya kenderaan itu. Untuk membuat pinjaman kereta, perkara pertama yang perlu
dibuat adalah mepilih dahulu kereta yang ingin anda beli dan bersesuaian dengan gaji dan
kemampuan anda.

Selepas itu, anda perlu sediakan dokumen wajib buat loan kereta yang diperlukan oleh pihak
bank seperti Salinan Kad Pengenalan (MyKad), Salinan Lesen Memandu, Salinan slip gaji
selama sebulan dan salinan statement bank anda yang terbaru.

8
Dalam memilih bank yang ingin dipilih, beberapa perkara juga perlu diambil kira. Perkara
pertama yang perlu dibuat adalah bandingkan di antara pelbagai jenis pinjaman kenderaan yang
ada. Sebenarnya ada pelbagai pinjaman yang berbeza yang ditawarkan pada masa kini. Pinjaman
kereta berbeza berdasarkan tempoh pinjaman atau margin pinjaman. Sesetengah institusi
kewangan juga menawarkan pinjaman kereta dengan akaun bank yang berkaitan.

Seterusnya adalah menilai keadaan kewangan. Ramai orang sentiasa menghadapi risiko berdepan
dengan jumlah hutang yang tak terurus. Walau bagaimanapun, ini boleh dicegah dengan menilai
kapasiti kewangan dengan berhati-hati sebelum buat pinjaman. Ikut kebiasaan, dapatkanlah
pinjaman kereta yang anda tahu anda boleh bayar pada masanya. Oleh itu, adalah perlu untuk
objektif tentang aliran pendapatan dan perbelanjaan kita. Pendapatan yang boleh dipercayai dan
tetap perlu diambil kira dan tidak memasukan pendapatan yang tak tetap dan tak stabil. Adalah
penting untuk mencari jenis pinjaman kereta yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah.
Ini membolehkan kita mengurus kos tambahan pinjaman dengan mudah. Secara umumnya, kadar
faedah yang lebih tinggi tak digalakkan untuk apa-apa jenis pinjaman atau perjanjiaan kewangan.
Elak dari syarat seumpama itu bila membuat pinjaman.

Setiap produk pinjaman mempunyai satu set terma dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Adalah
sangat penting kita faham setiap perkara ini sebelum menurunkan tanda tangan. Terdapat kes-
kes tertentu di mana terdapat yuran dan bayaran tambahan yang tersembunyi dalam terma dan
syarat. Lihat jika pemberi pinjaman anda mempunyai syarat seumpamanya dan pastikan jika
anda selesa dengan syarat-syarat ini.

Masa untuk mencari produk pinjaman yang rendah juga dapat dilakukan dengan mengambil
manfaat dari hubungan penjual kereta. Adalah perkara biasa bagi institusi-institusi ini
mempunyai ikatan dengan syarikat-syarikat tertentu yang menawarkan pembiayaan kereta. Apa
yang baik ialah mereka biasanya mempunyai tawaran eksklusif yang anda boleh manfaatkan.
Walau bagaimanapun, tak semua pembiayaan di bawah satu bumbung menawarkan tawaran
terbaik. Ia masih bergantung kepada kedudukan kewangan setiap individu.

Peminjam juga perlu mengambil kira perkara berikut semasa membuat pinjaman bank. Perkara
pertama yang bank perlu tahu sebelum memberi pinjaman kereta kepada individu ialah
kemampuan individu untuk membayar balik pinjaman. Ini ertinya bank ingin memastikan setiap

9
individu mampu membuat bayaran bulanan di masa hadapan. Oleh itu bank akan menilai rekod
kredit dan pendapatan individu tersebut. Sekiranya invidu tersebut mempunyai rekod kredit yang
tak baik, pinjaman keretanya kemungkinan tak akan diluluskan, ataupun kadar faedah yang
dikenakan adalah lebih tinggi.

Beberapa perkara yang diambil kira oleh pihak bank sebelum meluluskan permohonan pinjaman
adalah :

i. Nama anda tiada dalam senarai blacklist atau diistiharkan muflis/bankrap


ii. Dokumen lengkap seperti salinan IC, lesen memandu, slip gaji dan bank statement. Jika
tiada lesen, anda kena dapatkan penjamin (guarantor yang mempunyai lesen).
iii. Bayaran ansuran kereta yang ingin anda beli hendaklah lebih kurang 1/3 dari gaji bersih
anda.
iv. Anda wajib mempunyai guarantor jika bayaran ansuran kereta anda lebih dari 1/3
daripada gaji bersih anda. Guarantor sebolehnya ibubapa, ahli keluarga atau suami/isteri
anda. Guarantor anda wajib mempunyai pendapatan teta

Peminjam juga perlu menyediakan wang pendahuluan. Peminjam perlu bertanya dengan bank
jumlah wang pendahuluan yang perlu dibayar. Kebiasaannya wang pendahuluan adalah 10% dari
nilai kereta, namun pihak bank boleh kenakan peratus yang lebih tinggi. Wang pendahuluan ini
diperlukan sebagai tanda kebertanggungjawaban peminjam. Jika peminjam boleh bayar lebih
lagi baik, kerana ini akan mengurangkan bayaran bulanan yang akan menguntungkan peminjam
dalam jangka masa panjang kerana jumlah faedah yang dikenakan adalah kurang.

Ada banyak bank dan syarikat kewangan yang menawarkan pinjaman kereta di Malaysia. Oleh
kerana kadar faedah berbeza di antara pemberi pinjaman, berbaloi kalau anda luangkan sedikit
masa mencari dan membuat perbandingan di antara kadar faedah yang ditawarkan oleh setiap
bank. Sedikit pengurangan dalam bayaran faedah bila dikumpulkan bertahun-tahun boleh jadi
satu penjimatan yang besar.

Selepas anda sediakan semua dokumen untuk beli kereta secara loan, anda boleh beri kepada
saleman/saleperson yang berkenaan untuk mereka submit ke bank. Selepas beberapa hari, pihak
bank akan call anda dan bertanya beberapa soalan mengenai anda untuk sahkan pembelian kereta
anda, nama anda, tempat tinggal, tempat kerja, berapa lama bekerja dan sebagainya. Biasanya

10
tempoh untuk mengetahui lulus loan bank kereta ialah 2,3 hari bekerja dan ada yang memakan
masa sehingga seminggu.

3.2 Cara Komputer berfungsi

Komputer boleh dikatakan suatu mesin elektronik yang telah diprogramkan oleh manusia bagi
melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan. Terdapat 2 prinsip atau sifat komputer yang utama
iaitu:

i. Bertindakbalas kepada set arahan yang spesifik mengikut kaedah atau turutan yang telah
ditentukan.
ii. Ia mampu menjalankan senarai arahan yang pelbagai bentuk dan aras secara lebih
sistematik.

Fungsi utama komputer ialah menggubah sesuatu data kepada maklumat. Data merujuk kepada
sesuatu yang tidak tersusun atau tidak mempunyai organisasi yang teratur. Maklumat pula
merujuk kepada data yang telah digubah kepada yang lebih tersusun dan bermakna.

Komputer memainkan peranan penting melaksanakan operasinya dalam memproses data kepada
maklumat, sebagai sebuah mesin elektronik kebanyakan system computer masa kini beroperasi
berdasarkan empat operasi asas seperti yang berikut :

i. Masukan ( Input )
ii. Pemprosesan ( Processing )
iii. Keluaran ( Output )
iv. Storan ( Storage )

Peranti masukan atau peranti input membolehkan seseorang untuk berkomunikasi dengan sistem
komputer. Peranti ini digunakan bagi membolehkan seseorang memasukkan data serta memberi
arahan-arahan kepada sesebuah sistem komputer. Papan kekunci (keyboard), Tetikus (mouse)
dan Kayuria (joystick) merupakan antara contoh peranti input yang digunakan.

Unit Pemprosesan Pusat atau CPU ( Central Processing Unit ) berperanan untuk memproses
arahan, melaksanakan pengiraan dan menguruskan laluan informasi menerusi sistem komputer.

11
Unit atau peranti pemprosesan juga akan berkomunikasi dengan peranti input, output dan storan
bagi melaksanakan arahan-arahan berkaitan yang diperlukan.

Peranti storan berperanan untuk menyimpan data atau maklumat. Komputer menggunakan
maklumat yang disimpan dari peranti ini untuk melaksanakan arahan-arahan lain yang berkaitan.
Cakera keras (Hard disk), cakera liut (floppy disk) dan CD-ROM merupakan contoh peranti-
peranti storan yang utama.

Bahagian-bahagian pengoperasian komputer pula terdiri daripada ingatan, pemprosesan, input-


output, arahan, seni bina, program dan sistem pengoperasian.

a. Ingatan

Di dalam sistem komputer, ingatan ialah jujukan bait (seperti sel), di mana setiap satunya
mengandungi sebutir maklumat. Maklumat tersebut mungkin adalah arahan untuk komputer, dan
setiap sel menyimpan serpihan data yang diperlukan komputer untuk menjalankan arahan. Secara
amnya, ingatan boleh diguna semula lebih sejuta kali. Ia lebih berupa pad lakaran, daripada batu
tablet yang hanya boleh ditulis sekali. Saiz setiap sel, dan bilangannya, berbeza di antara satu
komputer dengan komputer yang lain. Begitu juga dengan teknologi memori tersebut, daripada
denyutan elektromekanik, seterusnya tiub raksa, seterusnya kepada susunan matriks magnet
kekal, seterusnya kepada transistor, dan seterusnya litar bersepadu yang mengandungi berjuta
kapasitor dalam sebiji cip.

b. Pemprosesan

Unit Aritmetik dan Logik (ALU), ialah alat yang melaksanakan operasi asas, seperti operasi
aritmetik (tambah, tolak, darab, dan sebagainya), operasi logik (AND, OR, NOT) dan
membandingkan operasi. Unit ini melakukan tugas sebenar dalam komputer.

Unit pengawal menyelia slot-slot yang menyimpan arahan terkini, seterusnya memberitahu ALU
tentang operasi yang perlu dilakukan serta menerima maklumat yang perlu (daripada memori)
untuk melaksanakan operasi tersebut. Kemudiannya ia menghantar kembali hasil operasi ke
kedudukan memori yang sesuai. Setelah itu, Unit Pengawal akan beralih kepada arahan yang
seterusnya.

12
c. Input-Output

Unit Input-output membenarkan komputer menerima maklumat daripada dunia luar, dan
menghantar keputusan maklumat kembali ke dunia luar. Terdapat pelbagai bentuk alat I/O,
daripada Papan kekunci, skrin, Cakera liut, kepada alat yang luar biasa, seperti Webcam.

Kesemua alat (peranti) input mengkod maklumat kepada data supaya boleh diproses oleh sistem
komputer digital. Alat (peranti) output pula menyahkod data komputer kepada maklumat yang
boleh difahami oleh pengguna komputer.

d. Arahan

Arahan komputer bukanlah arahan berbunga seperti bahasa manusia. Komputer hanya
mempunyai arahan-arahan mudah yang terhad. Arahan biasa yang disokong oleh kebanyakan
komputer adalah seperti: Salin kandungan sel 123, dan letak salinan ke sel 456; tambahkan
kandungan sel 666 ke sel 042, dan letak hasil tambahan ke sel 013; sekiranya sel 999 adalah 0,
arahan seterusnya ialah pada sel 345.

Arahan-arahan tersebut diwakili sebagai angka (numbers). Contohnya, Kod untuk "Salin"
mungkin adalah 001. Set Arahan yang disokong oleh komputer dipanggil Bahasa Mesin. Secara
praktiknya, arahan untuk komputer biasanya tidak ditulis dalam bentuk Bahasa Mesin, tapi
dalam bentuk Bahasa Pengaturcaraan Tahap Tinggi (High Level Programming Language).
Bahasa pengaturcaraan kemudiaanya dialihbahasa kepada Bahasa Mesin dengan menggunakan
Program Komputer khas (seperti Pengkompil - compiler, atau Interpreter).

Sesetengah bahasa pengaturcaraan adalah dalam bentuk yang hampir dengan Bahasa Mesin,
contohnya Bahasa Penghimpun - (juga dikenali sebagai Bahasa Tahap Rendah - ); Manakala
sesetengah bahasa mengguna prinsip yang jauh berbeza dengan operasi mesin, contohnya
Prolog.

e. Seni bina

Komputer moden meletakkan ALU (Unit Aritmetik dan Logik) dan Unit Pengawal di dalam satu
litar bersepadu yang dikenali sebagai Unit Pemproses Pusat (Central Processing Unit - CPU).

13
Kebiasaanya, memori komputer akan diletak pada beberapa litar bersepadu kecil berhampiran
dengan CPU. Alat-alat yang lain dalam komputer adalah bekalan kuasa dan alat input-output.

Fungsi sebuah komputer secara prinsipnya agak jelas. Komputer menyambut arahan dan data
daripada memori. Arahan kemudiannya dilaksanakan, hasilnya disimpan, dan seterusnya
menyambut arahan yang berikutnya pula. Prosedur ini diulang sehingga komputer itu ditutup.

f. Program

Program Komputer ialah satu senarai arahan yang besar untuk dilaksana oleh komputer.
Kebanyakan Program Komputer mempunyai berjuta arahan, dan kebanyakan daripada arahan-
arahan tersebut dilaksanakan berulang-kali. Sebuah Komputer peribadi yang moden berupaya
melaksanakan lebih kurang 2-3 bilion arahan per saat.

Pada masa sekarang, kebanyakan komputer berupaya melaksanakan lebih dari satu program pada
satu masa. Keupayaan ini dinamakan multitugas. Walaupun secara kasarnya, seolah-olah
komputer melakukan dua kerja sekaligus, sebenarnya CPU melaksanakan arahan daripada satu
program dahulu, kemudian beralih ke program yang satu lagi pada jangka masa sejenak. Jangka
masa sejenak ini dipanggil Hirisan Masa (Time Slice). Sistem Pengoperasian ialah program yang
mengawal perkongsian masa ini. Contoh sistem pengoperasian yang membenarkan multitasking
ialah Windows dan Unix.

g. Sistem pengendalian

Sistem pengendalian ialah sistem yang menentukan program apa yang perlu dilaksanakan, dan
sumber apa (memori atau I/O) yang perlu digunakan. Sistem pengendalian membekalkan
perkhidmatan kepada program lain, contohnya kod (driver) yang membolehkan pengaturcara
menulis program untuk mesin tanpa perlu mengetahui lebih terperinci tentang alat elektronik
pada sistem komputer.

Secara ringkasnya komputer berfungsi seperti yang diringkaskan :

i. Data atau arahan dimasukkan melalui pernati masukan.


ii. Data atau arahan tadi kemudian diproses oleh peranti pemprosesan.

14
iii. Data yang telah diproses kemudiannya dihantar kembali kepada pengguna melalui peranti
keluaran

3.3 Cara mendaftarkan syarikat

Semua perniagaan yang dijalankan, perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM). Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mentakrifkan “perniagaan” sebagai setiap bentuk
perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud
mendapat keuntungan. SSM telah ditubuhkan pada 16 April 2002 dibawah Akta Suruhanjaya
Syarikat Malaysia 2001 yang bertanggungjawab bagi pendaftaran semua perniagaan dan syarikat
di Malaysia.

Tiga jenis perniagaan yang boleh didaftarkan adalah pemilikan tunggal, perkongsian dan
Syarikat. Perbincangan ini akan menumpukan kepada perniagaan jenis syarikat. Jenis perniagaan
ini didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Penubuhan dan pengurusan syarikat adalah lebih
rumit dan melibatkan kos yang tinggi berbanding dengan perniagaan jenis pemilikan tunggal dan
perkongsian. Syarikat dapat dibahagikan kepada Syarikat Sendirian Berhad, Syarikat awam
berhad dan syarikat awam tidak berhad.

Langkah pertama sebelum menubuhkan syarikat sendirian berhad adalah membuat carian nama
dengan mengisi Borang 13A iaitu Borang Pencarian Nama. Selepas mendapat kelulusan nama
dari SSM, pemohon perlu membuat pendaftaran dalam tempoh 3 bulan. Sekiranya gagal
mendaftarkan syarikat selepas tamat tempoh 3 bulan, nama yang sudah diluluskan itu akan
dilupuskan dan pemohon perlu membuat permohonan baru kepada SSM.

Langkah kedua, selepas pemohon berjaya memperoleh kelulusan nama syarikat, pemohon perlu
mengemukakan dokumen-dokumen berikut:

i. Memorandum dan Artikel Syarikat (M&A)


ii. Borang 6: Surat akuan tentang pematuhan segala peraturan yang ditandatangani oleh
setiausaha syarikat dan mengandungi maklumat tentang alamat berdaftar syarikat dan
nama pengarah pertama syarikat.
iii. Borang 48A: Akuan Berkanun individu sebelum pelantikan sebagai pengarah syarikat
ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua orang bakal pengarah secara berasingan.

15
iv. Borang 48F: Borang akuan oleh Setiausaha syarikat yang disempurnakan oleh setiausaha
syarikat yang dilantik.
v. Surat kelulusan nama syarikat dan salinan asal Borang 13A. Bayaran Pendaftaran dikira
berdasarkan modal yang dibenarkan. Contohnya bayaran bagi syarikat yang mempunyai
modal dibenarkan tidak melebihi RM100,000.00 adalah RM1000.00

Langkah ketiga adalah selepas menyerahkan semua dokumen seperti yang dinyatakan dalam
langkah kedua, SSM akan mengeluarkan sijil Perakuan Pemerbadanan Syarikat Persendirian
dalam Borang 9. Dengan adanya Sijil Perakuan Pemerbadanan ini, kita dapat memulakan
perniagaan syarikat kita. Walau bagaimanapun, dalam tempoh sebulan, kita perlu
mengemukakan dokumen-dokumen berikut kepada SSM bagi simpanan rekod:

i. Borang 49: Daftar Pengarah, pengurus serta setiausaha syarikat


ii. Borang 24: Borang Perumpokan saham
iii. Borang 44: Notis alamat pejabat berdaftar.

Adalah dinasihatkan melantik syarikat yang menawarkan khidmat profesional pendaftaran


syarikat baru bagi membantu mendaftarkan syarikat memandangkan prosedur penubuhan
syarikat agak rumit dan banyak. Pendaftaran juga boleh dibuat di atas talian dengan mengakses
laman web SSM.

4.0 Soalan 4 (Esei Penyelesaian Masalah)

Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras pada peringkat Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR). Mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat UPSR mempunyai dua
bahagian, iaitu Bahasa Melayu Pemahaman SK (011) dan Bahasa Melayu Penulisan (SK) (012).
Satu instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan (SK) adalah karangan.
Aspek yang diberikan penekanan dalam penulisan karangan ialah kemahiran membuat
pendahuluan, pernyataan isi, dan penutup. Menulis karangan memerlukan pelajar menguasai
kemahiran berkenaan secara berkesan. Oleh itu, penulisan karangan memerlukan kemahiran aras
tinggi.

Kemahiran membuat pendahuluan, pernyataan isi, dan membuat penutup dalam penulisan
karangan umum perlu dikuasai oleh pelajar UPSR bagi membolehkan pelajar memperoleh

16
markah yang tinggi. Oleh hal demikian, penguasaan terhadap kemahiran menulis karangan
memerlukan pendekatan berfokus yang komprehensif untuk memberi kefahaman yang mudah
dan jelas kepada pelajar.

4.1 Isu-Isu

Berdasarkan ujian pra Bahasa Melayu bulan Mac. Kelas Tahun 6 (Kelas Ixora, Dahlia, dan
Teratai) didapati 18.4 peratus pelajar gagal dalam kelas berkenaan dalam penulisan karangan.
Oleh itu, pelajar gagal dalam penulisan karangan berpunca daripada pelbagai faktor yang perlu
ditinjau secara teliti dan mendalam. Pembedahan terhadap isu kegagalan pelajar dalam
pembelajarannya, khususnya dalam penulisan karangan perlu dilakukan dengan segera. Keadaan
ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana pelajar ini akan menghadapi UPSR 2015 pada
bulan September. Seandainya mereka tidak menguasai kemahiran menulis karangan dengan baik
kebarangkalian mereka tidak akan mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu peringkat UPSR.

Tinjauan awal terhadap masalah kajian berkaitan dengan mengenal pasti masalah pembelajaran
pelajar dan seterusnya mengenal pasti punca pelajar gagal dalam penguasaan kemahiran menulis
karangan. Pemerhatian dilihat terhadap tingkah laku pembelajaran pelajar dalam aspek sikap dan
kesediaan pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam kelas. Sikap
pelajar yang kurang memberi tumpuan terhadap pengajaran guru dan budaya leka dalam
pembelajaran telah dikenal pasti sebagai faktor yang mempengaruhi kemahiran pelajar dalam
penulisan karangan. Begitu juga terdapat pelajar yang membuat latihan yang diberikan oleh guru
secara sambalewa dan kurang berkualiti. Masalah yang dihadapi pelajar dalam penulisan
karangan dapat diperhatikan melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Berdasarkan latihan, saya dapati murid berkenaan masih lemah mengemukakan isi-isi penting
yang berkaitan dengan tajuk karangan yang diberi. Oleh sebab kekurangan isi, murid-murid ini
gagal menghuraikan karangan dengan tepat dan terpesong daripada tajuk. Kelemahan ini
menyebabkan murid-murid ini tidak dapat menghasilkan karangan yang baik dan seterusnya
menjejaskan markah mereka.

Terdapat dua sebab utama mengapa pencapaian pencapaian dalam penulisan Bahasa Melayu
agak rendah. Pertamanya murid-murid ini tidak dapat menguasai kemahiran mengemukakan isi-

17
isi penting serta menghuraikan isi-isi penting tersebut. Kedua, kaedah pengajaran yang saya
gunakan kurang menarik dan kurang memberi kesan terhadap pemahaman mereka.
Kemungkinan besar sekiranya masalah ini tidak diatasi, peratus kelulusan dalam matapelajaran
subjek Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR akan terjejas.

4.2 Penyelesaian

Berdasarkan analisis pemerhatian dan laporan semakan latihan pelajar yang dinyatakan di atas,
satu tindakan telah dijalankan. Langkah pertama yang dijalankan ialah memberi pendedahan
teknik menjawab soalan Bahasa Melayu UPSR sebenar, khususnya kepada penulisan karangan
dan sistem pemarkahan.

Pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dan kurang memberi tumpuan terhadap
pengajaran dan lemah dalam penulisan karangan adalah perlu diberi perhatian dalam kalangan
pelajar sasaran. Oleh itu, tindakan dilakukan dengan memperkenalkan ‘Pendekatan Berfokus’
dalam penulisan karangan. Tindakan yang dilakukan ialah memberi pendedahan berkaitan
kemahiran menulis karangan dan penekanan terhadap semakan latihan pelajar berpandukan
kepada strategi ‘Pendekatan Berfokus’ yang diperkenalkan.

Setiap kali mata pelajaran Bahasa Melayu, aktiviti latihan penulisan karangan dijalankan.
Aktiviti tersebut memerlukan pelajar menulis karangan berpandukan bahan rangsangan yang
diberikan oleh guru. Guru membuat aktiviti sesuai dengan topik karangan yang diajar. Sebelum
menulis karangan, guru memberikan maklumat berkaitan dengan kaedah menulis karangan
berpandukan tip-tip penulisan yang ditunjukkan dalam ‘Pendekatan Berfokus’. Soalan karangan
diberikan kepada pelajar untuk dibincangkan yang ada terkandung dalam ‘Pendekatan Berfokus’.
Soalan berkenaan adalah sebagai rangsangan kepada pelajar untuk panduan dan pengembangan
idea pelajar dalam penulisan karangan.

Setelah beberapa latihan diberikan kepada pelajar dan akhir kajian pelajar telah menunjukkan
penguasaan baik dalam kemahiran menulis karangan. Keadaan ini memberi respon positif
terhadap pembelajaran pelajar sehingga mempunyai keyakinan diri dalam menjawab soalan
karangan sehingga mampu berdikari membuat latihan sendiri dan menulis karangan dengan baik.
Guru juga telah mengemukakan soalan kepada pelajar di kelas sama ada mereka masih
menghadapi masalah menulis karangan. Pelajar memberi respon baik bahawa bimbingan guru

18
dalam pendekatan menulis karangan dan tip-tip penting penulisan karangan banyak membantu
pelajar untuk meningkatkan kemahiran dalam menulis karangan. Respon positif daripada pelajar
terhadap pelaksanaan ‘Pendekatan Berfokus’ amat bermakna kepada penyelidik dalam usaha
meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam Bahasa Melayu di peringkat UPSR.

4.3 Penutup

Pembelajaran pelajar perlu diberi perhatian secara serius kerana boleh memberi kesan terhadap
kemahiran penulisan karangan. Seandainya pelajar mengalami masalah pembelajaran boleh
menjejaskan pencapaian pelajar dalam penulisan karangan. Guru seharusnya peka terhadap
masalah pembelajaran pelajar dan berusaha untuk mengatasinya dengan menggunakan strategi
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu Pendekatan Berfokus yang diserapkan
dalam pengajaran dan pembelajaran guru dalam penulisan karangan diharap mampu
meningkatkan pencapaian pelajar dalam penulisan karangan dan seterusnya melonjakkan
kecemerlangan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat UPSR.

19
Rujukan

9 Pekara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Membeli Kereta diakses daripada
http://loanstreet.com.my/ms/pusat-pembelajaran/bimbingan-untuk-memilih-pinjaman-
kereta\

Apa anda perlu tahu diakses daripada


http://www.bankinginfo.com.my/02_know_your_products/0202_applying_for_loan/hire_
purchase.php?intPrefLangID=2

Asas Komputer: Pengenalan kepada komputer diakses daripada


http://komputerdananda.blogspot.com/p/muka-2.html

Loan Kereta,Pinjaman Kereta (2009) Loan kereta, Pinjam Kereta diakses daripada
https://autofin.wordpress.com/

Pengenalan Kepada Komputer diakses daripada


http://ww2.sabah.gov.my/mafi/download/Pengenalan_Asas_kepada_Komputer.pdf.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (2015) Permulaan Perniagaan Milik Tunggal/Perkongsian


diakses daripada http://www.ssm.com.my/ms/sole/starting-a-sole-proprietorship-
partnership

20

Anda mungkin juga menyukai