Anda di halaman 1dari 1

Peranan Remaja Untuk Menjayakan Wawasan Negara.

Remaja terdiri daripada golongan muda yang berusia 13 tahun hingga 18 tahun. Remaja memainkan peranan penting
dalam memajukan negara dan golongan inilah yang mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Dalam hal ini, pelbagai
pihak perlu berusaha untuk memastikan remaja kini dapat memainkan peranan dalam menjayakan wawasan negara
iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020.

Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran sahajalah,seseorang itu boleh mengubah nasib
dirinya,keluarga,masyarakat dan juga negara. Tanpa ilmu pengetahuan,remaja tidak boleh mencipta rekaan-rekaan
baru dan dengan ini kita masih bergantung kepada negara luar dari segi teknologi. Remaja sepatutnya modal insan
cemerlang yang boleh mereka cipta sesuatu kerana remaja perlu menjadi penyumbang teknologi, bukannya pengguna
teknologi semata-mata.

Selain itu, remaja perlu menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang terjebak dalam masalah sosial. Janganlah
melibatkan diri dalam vandalisme,gengsterisme,peras ugut dan penyalahgunaan dadah. Kesemua gejala ini akan
merosakkan diri remaja itu dan memalukan keluarga. Kerajaan pula terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk
menyelesaikan masalah ini. Alangkah baiknya jika remaja menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti- aktiviti
yang berfaedah seperti membaca buku dan mengumpul setem. Lantaran itu,remaja yang berwawasan perlu
menghargai masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas.

Di samping itu, remaja juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang negara agar negara aman dan rakyat
dapat hidup dalam harmoni. Apabila remaja mengamalkan sikap yang terpuji dan tidak melanggar undang-undang
negara,barulah segala wawasan negara dapat dijalankan dengan sempurna.

Remaja juga perlu menjayakan segala program yang dianjurkan oleh kerajaan. Remaja sepatutnya menjadi teladan
yang baik kepada adik-adik mereka dengan berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan kempen-kempen seperti
Kempen Anti merokok,Kempen Cintailah Sungai kita dan Kempen Galakan Membaca. Remaja yang menjadi tonggak
negara akan dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.

Dalam usaha menjayakan wawasan negara, remaja boleh memberikan sumbangan tenaga dan idea yang berterusan
agar aspirasi negara untuk menjadi negara maju akan terlaksana. Untuk mencapai hasrat itu,remaja yang berwawasan
perlu banyak membaca bahan-bahan berbentuk pengetahuan dan berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri dari
pelbagai aspek seperti pengetahuan ICT yang membolehkan mereka memperoleh pengetahuan tanpa batasan
menerusi Internet. Mereka boleh bertukar-tukar idea dengan remaja dari negara lain dan seterusnya boleh menjana idea
untuk menjayakan wawasan negara.

Konklusinya,remaja memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara. Remaja yang
berkualiti,merupakan pemangkin kecemerlangan negara. Oleh itu,marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk
mewujudkan remaja yang benar-benar berwawasan,berdedikasi dan berketerampilan dan akhirnya negara kita akan
maju setanding negara maju yang lain.

Anda mungkin juga menyukai