Anda di halaman 1dari 3

KOLUM BUKA MINDA, MINGGUAN MALAYSIA:

Didik Anak Tanpa Tertekan


Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Fanpage: www.facebook.com/drasmadi
E-Mel: drasmadi@maptraining.com.my

Bagi ramai ibu bapa, membesarkan anak-anak bukanlah satu perkara yang mudah. Malah tidak
kurang pula yang mengeluh kerana telatah, tingkah laku dan perangai anak-anak ada ketika
membuatkan mereka tertekan. Malah ada yang sehingga mencabar kesabaran ibu bapa sendiri.
Namun itulah hakikatnya menjadi ibu bapa, terpaksa menghadapi semua ini sama ada suka atau
sebaliknya. Anak-anak yang kuat jiwanya lahir daripada ibu bapa yang mampu menangani
emosinya sendiri. Semakin tenang ibu bapa dalam mendidik anak-anak semakin kuat jiwa anak-
anak itu dan semakin mampu dia bersaing dan menghadapi cabaran hidup.

Bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang tenang dan bebas daripada tekanan?

Allah sudah tetapkan rezeki anak. Anak-anak adalah anugerah dan amanah yang Allah berikan
kepada ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu faham bahawa rezeki anak itu telah pun Allah tetapkan.
Sama ada anak kita itu menjadi seorang doktor, jurutera, peguam, usahawan, ahli politik dan
sebagainya, telah pun Allah ketahui. Oleh itu peranan ibu bapa hanyalah lakukan yang terbaik
untuk anak-anak. Iaitu memberikan mereka didikan agama, akademik dan pembentukan sahsiah
yang baik, disamping menyediakan segala keperluan mengikut kemampuan masing-masing.
Selebihnya, serahlah pada Allah. Inilah satu bentuk tawakal yang tinggi terhadap Allah.

Anak-anak bukan kita. Ibu bapa hendaklah sentiasa ingat bahawa anak-anak bukan kita dan
mereka tidak mungkin menjadi kita. Oleh itu usahlah terlalu tertekan jika kita seorang yang bijak
pandai tetapi anak-anak tidak mendapat semua A atau menduduki tempat pertama dalam kelasnya.
Sebab mereka mungkin ditakdirkan untuk memiliki kerjaya yang berbeza daripada kita. Memaksa
anak-anak mewarisi kerjaya atau bidang yang kita ceburi sekarang bukanlah suatu tindakan yang
bijak. Sebab mereka mungkin tidak mampu menjadi sehebat kita kerana mereka telah Allah
letakkan untuk hebat dalam bidang yang lain daripada kita. Oleh itu, ibu bapa hendaklah bersifat
terbuka dan tidak terlalu tertekan dengan pilihan anak-anak mereka. Begitu juga apabila mengajar
anak di rumah, usahlah terlalu tertekan jika anak-anak lambat memahami sebab mereka mungkin
memerlukan pendekatan belajar yang berbeza daripada kita. Misalnya, anak-anak yang ada
masalah disleksia, mereka ini banyak belajar dengan menggunakan otak kanan. Oleh itu cara
belajarnya tidak sama.

Cemerlang akademik bukan segala-galanya. Ramai ibu bapa yang tertekan apabila anaknya
kurang cemerlang dari segi pelajarannya. Ibu bapa perlu akur, dalam hidup ini bukan semua orang
mampu belajar sehingga ke peringkat universiti. Malah kita memerlukan modal insan dalam
pelbagai sektor pendidikan dan pembangunan. Misalnya di sebuah hospital, kita perlukan
pengarah, pengurus, doktor, jururawat, pembantu makmal, tukang cuci, kerani dan sebagainya.
Tidak mungkinlah hanya doktor sahaja yang bekerja di hospital. Kelak lumpuhlah operasi hospital
itu. Jadi kita perlukan modal indal dalam pelbagai bidang. Menyedari akan hakikat ini maka ibu
bapa perlu berpijak di bumi nyata. Jika anak-anak mereka nampak kurang mampu dari segi
akademik maka pupuklah pula bakat dan kemahiran mereka dalam aspek yang lain. Dengan bakat
dan kemahiran ini mereka akan mencari rezeki. Jadi tidak perlulah rasa tertekan dengan
membandingkan anak kita dengan anak-anak yang lain atau dengan anak orang lain. Malah ibu
bapa juga tidak perlu tertekan jika anaknya seorang yang pandai dan sepatutnya boleh dapat semua
A dalam peperiksaan tetapi tidak mencapainya. Sebab sudah lumrah kehidupan ada ketikanya kita
tidak memperolehi apa yang dihajati meskipun telah berusaha bersungguh-sungguh. Didik anak
untuk menerima hakikat dan raikan usaha anak itu dan tidak salah mengganjari usaha tersebut
dengan hadiah.

Usah cepat mahu campur tangan apabila anak-anak bergaduh. Ada ketikanya kita tertekan
pada perkara yang kita tidak perlu rungsing, misalnya anak-anak yang sering bergaduh di rumah,
kerapkali apabila ada anak yang datang mengadu pada kita (biasanya anak yang kecil) maka kita
akan cepat campur tangan lalu bising meminta agar abang atau kakaknya beralah atau menjaga adik
baik-baik. Kita lupa, mungkin yang mengacau memang si adik yang belum begitu memahami atau
mengerti soal berkongsi dan bermain bersama-sama. Sebenarnya, jika ibu bapa tidak masuk
campur, dan suruh adik kecil itu pergi pujuk abang atau kakaknya sendiri, maka adik akan belajar
skil memujuk dan mempengaruhi. Biasanya, tidak sampai satu jam pun anak-anak akan bermain
dan bergelak ketawa semula seolah-olah tiada apa pun yang berlaku.

Carilah sesuatu yang positif disebalik setiap yang negatif. Misalnya, rumah berselerak, dinding
terconteng, makanan berterabur, gelas pecah, suasana bising dan sebagainya, itu biasanya dianggap
negatif dan membuatkan ibu bapa stres. Sebaliknya cuba fikirkan, rumah berselerak bermakna
anak-anak kita masih aktif dan sihat, dinding terconteng maknanya anak kita mahu belajar,
makanan berterabur maknanya anak kita ada sesuatu untuk dimakan di rumah, gelas pecah
maknanya anak cuba membantu kerja rumah, susana bising maknanya anak kita dalam mood
gembira dan seronok, dan begitulah seterusnya. Apabila kita berfikiran positif, kita berjaya
mengurangkan tekanan ke atas diri kita Bukanlah bermakna kita tidak perlu lakukan apa-apa atas
perkara yang berlaku. Rumah yang berselerak tetap perlu dikemas, dinding yang diconteng tetap
perlu dicuci malah anak perlu dilatih untuk menconteng pada tempat yang sepatutnya. Cuma
apabila kita sedar bahawa anak-anak membesar dalam suasana mempelajari soal hidup maka kita
jadikan setiap peluang sebagai ruang untuk mendidik mereka. Mengajar mereka soal tanggung
jawab, disiplin dan kepentingan bertolak ansur dan saling menghormati. Tanpa masalah bagaimana
mahu dididik anak-anak kita? Bagaimana mereka dapat membezakan sesuatu perkara itu betul atau
salah?

Membebel itu satu bentuk didikan. Ramai ibu bapa tertekan dan merungut apabila terpaksa
membebel perkara yang sama pada anak-anak. Kata mereka bercakap dengan anak-anak macam
bercakap dengan tunggul kayu. Malah ada juga yang menyatakan bercakap dengan anak-anak ini
bagaikan mencurah air ke daun keladi, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Adakah benar
semua ini? Yang menjadi isu bukanlah bebelan itu tetapi apa yang dibebelkan. Ramai ibu bapa
menggunakan bebelan negatif yang tidak memberikan sebarang kesan pada pembentukan jiwa,
minda dan sahsiah anak-anak. Sebaliknya jika ibu bapa menggunakan pendekatan bebelan positif,
anak-anak akan lebih cepat bertindak dan melakukan perubahan positif. Setiap perkara yang kita
tidak mahu (negatif) ada perkara yang kita mahu (positif). Oleh itu setiap kali membebel, pastikan
ayat-ayat yang digunakan adalah ayat-ayat yang menjurus kepada apa yang kita mahukan.


Sebagai contoh:


“Kan mak dah cakap, balik sekolah jangan campak baju atas lantai.” (Bebelan negatif)

“Kan mak dah cakap, balik sekolah baju kotor masukkan dalam bakul.” (Bebelan positif)


“Berapa kali ibu nak ingatkan, jangan lambat solat.” (Bebelan negatif)

“Biar ibu ingatkan lagi, solat mesti diawal waktu.” (Bebelan positif)


“Kenapa setiap hari kerja sekolah tak siap ni?” (Bebelan negatif)

“Ambil beg sekolah sekarang dan siapkan kerja sekolah.” (Bebelan positif)


Bebelan positif membuatkan minda anak terarah kepada apa yang dia perlu lakukan. Ambil contoh
paling mudah, katakanlah anak kita yang berusia 3 tahun memegang gelas kaca sambil berjalan,
lalu kita jerit, “Eh, jangan adik, nanti jatuh gelas tu!”. Apa agaknya yang berlaku? Ketika itu juga
adik kecil melepaskan gelas ditangan lalu pecah. Sebaliknya apa yang akan berlaku sekiranya kita
berkata begini, “Eh, adik pegang gelas tu kuat-kuat!”. Apa pula yang akan berlaku? Dia akan
pegang gelas itu kuat-kuat dan gelas tidak jatuh.

Anda mungkin juga menyukai